Sunday, December 30, 2007

MALAYSIA SYURGA PEKERJA ASING

Kemakmuran, keamanan dan kestabilan Malaysia menjadikan negara ini pilihan dan idaman pekerja asing dari seluruh dunia. Malaysia yang juga terkenal dengan jolokan negara kebajikan dan bersikap adil kepada rakyatnya dan warga asing menambah lagi keyakinan kepada pekerja asing untuk mencuba nasib di sini.

Biarpun bakal ditangkap dan dibawa ke mahkamah kerana tiada permit pekerjaan di sini, namun mereka sanggup bergadai nyawa untuk mencari sesuap nasi di Malaysia. Situasi ini sewajarnya menjadi motivasi kepada warganegara yang masih memilih bidang pekerjaan dan mereka sepatutnya malu kepada diri sendiri melihat bagaimana warga asing sanggup bersusah payah membanting tulang untuk pembangunan negara.

Namun begitu kebanjiran pekerja asing di negara kita yang kini sudah berjumlah 2.6 juta atau hampir sepuluh peratus dari jumlah keseluruhan rakyat Malaysia adalah amat membimbangkan semua pihak. Jumlah ini jika diambil kira adalah melebihi jumlah penduduk negeri Negeri Sembilan, Perlis dan Melaka. Sehubungan itu, saranan agar pengambilan pekerja asing dihentikan adalah amat praktikal dan wajar dilaksanakan segera.

Kebimbangan ini adalah disebabkan kemasukan pekerja asing sama ada berpermit atau tanpa permit kerja semakin bertambah dari semasa ke semasa. Warga asing juga menjadi pilihan hampir 500 ribu majikan di seluruh negara kita kerana melibatkan kos yang murah, proses pengambilan yang mudah, gaji yang rendah dan pekerja yang komited serta serba boleh.

Lebih membimbangkan lagi ialah kebanjiran ini boleh menyebabkan peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan juga semakin kurang dan keadaan ini boleh menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan warga tempatan kerana periuk nasi mereka terjejas teruk dan tidak terbela.

Lebih menakutkan lagi pekerja asing yang sedang berada di negara kita sering kali dikaitkan dengan pelbagai kesalahan jenayah yang berlaku di negara kita, terutamanya jenayah berat seperti membunuh, merompak, merogol, mencuri, menipu, dan sebagainya. Kegiatan ini jika tidak dikawal dan dipantau oleh pihak berwajib boleh mengancam ketenteraman negara dan menimbulkan kemarahan rakyat kepada warga asing.

Pekerja asing ini juga saban hari turut dikaitkan dengan kegiatan maksiat dan aktiviti tidak bermoral yang semakin berleluasa seperti pelacuran, perjudian, rumah urut, khidmat seks murah dan sebagainya yang boleh menganggu gugat struktur sosial dan budaya di negara kita.

Dengan jumlah pekerja asing yang sebegitu besar, membuktikan Malaysia masih menjadi destinasi kerjaya warga asing terutamanya dari Indonesia, Vietnam, India, China dan lain-lain negara terutamanya dalam sektor pembinaan, pekilangan, perladangan dan pertanian, bahkan terdapat warga Afrika juga sudah mula berjinak-jinak menapak dan mencuba nasib di sini.

Kajian Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) baru-baru menunjukkan hampir 20 peratus peluang pekerjaan baru yang wujud tahun ini dibolot oleh pekerja asing. Realiti ini menurut Pengarah Eksekutif MIER, Profesor Emiretus Dr. Mohamed Arif Abdul Kareem sebagai senario yang amat berbahaya kepada sektor buruh negara dan bertentangan dengan matlamat negara iaitu menyediakan peluang pekerjaan kepada rakyat sendiri.

Mungkin saranan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) agar kerajaan menetapkan garis panduan yang jelas supaya majikan tidak sewenang-wenangnya mengambil pekerja asing dan membayar gaji murah sesuka hati mereka wajar diberikan perhatian serius. Ketika ini terdapat sebilangan besar pekerja asing dibayar gaji yang murah, penyediaan tempat perlindungan yang daif serta tiada apa-apa kelebihan pekerjaan lain seperti cuti, elaun, insentif, bonus dan sebagainya.

Di samping itu kerajaan juga disarankan menetapkan gaji minimum kepada pekerja tempatan dan pekerja asing serta menguatkuasakan undang-undang buruh sedia ada terhadap majikan sewajarnya. Penetapan gaji minimum mampu menarik perhatian warga tempatan untuk merebut peluang pekerjaan yang ada seperti sektor pembinaan dan peladangan di seluruh negara yang kini dibolot warga asing.

Walaupun inisiatif ke arah itu sememangnya sukar untuk direalisasikannya dalam masa terdekat ini, namun usaha membendung kebanjiran ini perlu dilaksanakan secepat mungkin agar Malaysia tidak dipenuhi warga asing yang semakin tidak terkawal, berleluasa dan keras kepala.

Friday, December 28, 2007

POTENSI, PROSPEK KERJAYA BAHASA

Ada yang terpaksa berfikir dua kali untuk memilih bidang bahasa dan linguistik di peringkat pengajian tinggi. Walaupun bidang bahasa bukanlah satu bidang yang baharu diperkenalkan, bahkan bidang ini ditawarkan di kebanyakan universiti ternama tempatan serta mempunyai pusat dan akademinya yang tersendiri di institusi pengajian tinggi masing-masing.

Ini adalah kerana bidang bahasa dan linguistik amat penting dan diberikan penekanan utama oleh pihak pentadbiran universiti dan peruntukan yang besar juga disediakan oleh pihak kementerian yang bertanggungjawab bagi memastikan bidang ini terus menjadi pilihan pelajar, kompetitif, dinamik dan berdaya saing di pasaran global seiring dengan bidang-bidang lain yang ditawarkan di universiti.

Walaupun ramai pelajar tidak berminat dengan bidang bahasa, namun permohonan bidang tersebut setiap tahun masih tinggi. Namun begitu, tempat yang terhad disediakan oleh instiusi pengajian tinggi (IPT) dalam bidang ini telah membantut bilangan pelajar di dalam bidang ini. Biarpun begitu, bidang bahasa masih menjadi igauan dan mimpi ngeri kepada pelajar lepasan sekolah untuk memilihnya. Ini adalah kerana persepsi negatif, kurang pendedahan dan tiada sokongan moral kepada pemilihan bidang tersebut diberikan sepenuhnya.

Ada juga yang beranggapan bidang bahasa adalah bidang yang tidak ekonomik, paling mudah dan senang lulus berbanding bidang kejuruteraan, kedoktoran, undang-undang dan sebagainya, sedangkan pada hakikatnya adalah sebaliknya. Ini adalah kerana bidang ini menuntut komitmen, minat dan dedikasi yang tinggi untuk berjaya.

Bagi pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), bidang bahasa dan linguistik mungkin menjadi pilihan terakhir ketika membuat permohonan ke universiti. Jarang sekali kedengaran pelajar lepasan program matrikulasi atau pusat persediaan pelajar yang memilih bidang bahasa terutamanya bahasa Melayu sebagai bidang pengajian berbanding bahasa Inggeris, Jepun dan sebagainya.

Persepsi bidang bahasa sukar untuk mendapat peluang pekerjaan, tidak produktif, kurang praktikal dan ketinggalan zaman adalah tidak tepat dan tanggapan seperti ini perlu diperbetulkan segera. Ini adalah kerana bidang bahasa seperti lulusan bahasa Melayu, Inggeris, Mandarin, Tamil, Arab, Jepun dan sebagainya mempunyai potensi dan prospek yang luas di dalam pasaran kerja di Malaysia dan bukannya sekadar menjadi guru atau pensyarah bahasa sahaja seperti mana yang disangka selama ini.

Bagi lulusan bahasa dan linguistik, peluang pekerjaan di pasaran semasa masih terbuka luas dan tidak pernah tertutup sama sekali kerana bidang ini begitu unik, konstruktif dan relevan dengan realiti pekerjaan dan perkhidmatan semasa.

Antara bidang profesyen yang boleh diceburi oleh oleh graduan bahasa ialah di dalam bidang penulisan yang menjanjikan pulangan yang menarik dan lumayan seperti penulis buku, rencana, novel, biografi, makalah, skrip dan sebagainya. Hasil karya penulisan boleh dihantar ke Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sendiri, penerbitan swasta atau pengamal media massa lain yang banyak mengeluarkan akhbar harian, majalah, tabloid dan banyak lagi. Di sini juga peluang graduan bahasa untuk berkecimpung sebagai pengarang, editor, wartawan dan sebagainya adalah terbuka luas.

Di samping itu, graduan bahasa juga boleh menyertai perkhidmatan di sektor kerajaan terutamanya di lapangan profesional seperti Pegawai Tadbir Dan Diplomatik (PTD), Pegawai Tadbir Awam (PTA), Pegawai Tadbir Negeri (PTN), Pegawai Perancang Bahasa, Pagawai Penerbitan, Pegawai Penyiaran dan sebagainya yang pemilihannya dibuka dan dibuat sepanjang tahun.

Dalam bidang penyiaran, seni dan dunia perfileman pula, lulusan bahasa boleh mencuba bidang yang lebih mencabar sebagai pengarah drama dan filem, penulis skrip, penulis lirik dan sebagainya, bahkan boleh mencuba nasib sebagai pelakon atau penyanyi jika berbakat besar. Lulusan bahasa juga boleh dipertimbangkan sebagai penyampai berita, pengacara atau hos rancangan, pemberita dan wartawan media massa di kebanyakan stesen radio, televisyen dan televisyen satelit tempatan.

Dalam sektor pelancongan pula, lulusan bahasa boleh memainkan peranan sebagai pemandu pelancong dan juru bahasa atau penterjemah kepada pelancong luar negara yang datang bertandang ke negara kita seperti dari Eropah, Timur Tengah, China dan sebagainya. Kerjaya di dalam bidang ini amat menarik dan memberi pulangan gaji yang cukup lumayan terutamanya bagi sesiapa yang bekerja di hotel-hotel ternama dan pusat peranginan atau percutian besar di seluruh negara.

Lulusan bahasa juga perlu lebih kreatif, dinamik dan inovatif serta berani menyertai dunia perniagaan dan korporat negara. Suasana ekonomi yang begitu memberansangkan telah membuka peluang perniagaan yang banyak dan graduan bahasa perlu mengambil peluang dan ruang yang terbuka ini dengan memulakan perniagaan atau menyertai industri kecil dan sederhana (IKS) yang semakin berkembang di negara kita. Mereka juga boleh berkecimpung di dalam perniagaan pasaran pelbagai peringkat atau MLM yang begitu rancak dalam melahirkan ramai usahawan dan jutawan segera di seluruh negara.

Bagi yang berminat menyertai perkhidmatan yang melibatkan keselamatan dan ketenteraman awam serta penguatkuasaan, graduan bahasa boleh menyertai perkhidmatan ini sebagai pegawai tentera, polis, bomba, penguatkuasa dan sebagainya. Bidang ini menyediakan prospek perkerjaan yang sangat menarik dan graduan dapat berbakti kepada negara secara langsung. Dalam bidang penerbangan pula, bagi mereka yang mahir dengan pelbagai bahasa, mereka boleh memohon jawatan sebagai pramugara atau pramugari di agensi penerbangan dalam dan luar negara.

Mereka juga boleh menceburi bidang penyampaian dan pengucapan awam atau PR seperti penceramah, pakar motivasi, perunding, moderator, fasilitator, instruktor dan sebagainya dalam pelbagai bidang terutamanya pembangunan modal insan, pendidikan, keluarga dan lain-lain. Di samping itu, mereka juga boleh menyertai badan bukan kerajaan (NGO) dan bertindak sebagai sukarelawan, aktivis bahasa, masyarakat, alam sekitar dan sebagainya di dalam dan luar negara.

Lebih menarik lagi ialah graduan bahasa juga boleh menyertai sektor pertanian yang amat ekonomik, berpotensi dan berdaya maju. Kerajaan juga amat menggalakkan penyertaan di dalam bidang ini dengan pelbagai bantuan dan sokongan yang diberikan kepada yang berminat. Pertanian adalah perniagaan yang sangat menguntungkan dan lulusan bahasa boleh menjadi petani moden di dalam bidang penternakan, perladangan, perikanan, agro pelancongan dan lain-lain lagi. Mereka sepatutnya tidak perlu mengharapkan pekerjaan di sektor kerajaan dan swasta sahaja, malahan perlu bertekad untuk bekerja sendiri dan menjadi bos kepada perusahaan sendiri.

Untuk itu sebagai nilai tambah kepada graduan bahasa mempersiapkan diri di dalam dunia yang serba mencabar ini, adalah disarankan agar mereka menyertai kursus-kursus berkaitan ataupun mengambil sijil, diploma, ijazah lanjutan dalam bidang yang ingin diceburi sebagai langkah awal membuat anjakan paradigma dan melonjak nilai bidang bahasa di tahap yang sewajarnya. Kita tidak lagi mahu mendengar kata-kata yang boleh melemahkan semangat dan minat pelajar dan graduan IPT bahawa bidang ini hanya sesuai jadi guru sahaja, sedangkan peluang dan prospek bidang ini amat luas dan tiada sempadan.

Melihat kepada potensi dan prospek yang dinamik dalam bidang kerjaya bahasa ini, maka ibu bapa dan guru perlulah memberi sokongan moral kepada anak-anak yang berminat mengambil bidang ini dan tidak membantahnya. Pihak universiti dan mahasiswa juga disarankan agar turun padang memberi penerangan kepada masyarakat awam bahawa bidang bahasa bukan sekadar sesuai dengan skop perguruan dan pendidikan sahaja agar lepasan sekolah dan pelajar IPT yakin, minat dan bangga memilih bidang bahasa sebagai pilihan utama mereka.

Thursday, December 27, 2007

PAROL MAMPU TANGANI KESESAKAN PENJARA

Kesesakan banduan di penjara sejak kebelakangan ini begitu membimbangkan berikutan pertambahan drastik jumlah banduan dari masa ke semasa. Sehubungan dengan itu, pengenalan sistem parol di negara kita diharapkan mampu menangani kesesakan serius banduan dan sebagai alternatif kepada proses pemulihan banduan dalam struktur masyarakat di negara kita.

Sistem Parol ialah pembebasan seseorang banduan sebelum habis tempoh menjalani hukuman penjara kerana berkelakuan baik tetapi perlu melibatkan diri dalam kerja-kerja berfaedah di luar penjara di bawah pengawasan dan penyeliaan pegawai parol. Sistem ini jika dilaksanakan nanti dapat mengurangkan kesesakan di 29 penjara di seluruh negara, yang ketika ini menempatkan hampir 34,917 banduan, sedangkan kesemua penjara ini hanya mampu menampung banduan seramai 28,100 banduan sahaja.

Perlaksanaan sistem parol dimasukkan dalam satu seksyen baru menerusi pindaan Rang Undang-Undang Penjara (Pindaan) 2007 iaitu Seksyen 46A yang diluluskan baru-baru ini. Menerusi peruntukan baru tersebut membolehkan banduan yang dihukum penjara minimum satu tahun layak mengikuti sistem ini dengan syarat sudah menjalani separuh daripada tempoh penjara tanpa mengambil kira remit hukuman yang diberikan kepadanya kerana berkelakuan baik dan sudah melalui proses pemulihan.

Banduan-banduan juga layak dipertimbangkan mendapat parol selepas keputusan pertuduhan di mahkamah, proses rayaun serta mendapat pengampunan diselesaikan tetapi mereka yang disabitkan dengan kesalahan berat mengikut Jadual Keempat Kanun Kesiksaan tidak layak mengikuti sistem parol.

Sistem ini dilihat mampu mempercepatkan proses penyesuaiaan banduan dengan masyarakat dan agar mereka lebih bertanggungjawab terhadap diri sendiri, keluarga dan negara sebelum dibebaskan, di samping kerajaan dapat meringankan beban kos penyelenggaraan dan penambahbaikan penjara di seluruh negara yang semakin meningkat tinggi.

Sistem parol yang akan dilaksanakan ini menjadikan Malaysia seiring dengan negara maju lain seperti Amerika Syarikat, Kanada, United Kingdom dan Australia dalam mengurus dan mentadbir banduan mereka secara yang lebih praktikal, efisien dan konstruktif di sana.

Setakat ini kerajaan telahpun menghantar 60 orang pegawai kanan Jabatan Penjara Malaysia (JPM) ke Australia bagi menimba ilmu dan pengalaman perlaksanaan sistem parol di sana untuk diaplikasikan di sini. Dijangkakan seramai 2,300 orang pesalah jenayah ringan bakal dipertimbangkan di dalam sistem parol ini. 83 pejabat parol di 50 kawasan dan daerah di seluruh negara telah dikenal pasti oleh Lembaga Parol untuk dijadikan lokasi permulaan perlaksanaan sistem ini dengan peruntukan sebanyak RM6.5 juta.

Lembaga Parol juga akan berusaha membantu mencari pekerjaan yang sesuai kepada peserta sistem parol ini. Mereka juga dibenarkan tinggal bersama keluarga dan masyarkat serta bekerja dengan majikan yang akan dikenal pasti oleh pegawai parol. Sistem parol juga boleh diguna pakai kepada banduan asing jika negara asal mereka mengamalkan sistem yang sama dan bersedia untuk menerima kembali banduan tersebut ke negara masing-masing.

Melihat kepada kesesuaian sistem parol ini dilaksanakan di negara kita, maka usaha dan proses perlaksanaannya perlulah dipercepatkan dan dilakukan dengan berhati-hati. Sistem parol diharapkan mampu membuka peluang kedua dan ruang membina kepada banduan di Malaysia memperbaiki kesalahan dan kesilapan mereka dengan sokongan padu masyarakat setempat dan negara. Ini adalah kerana ramai banduan yang bersedia untuk dipulihkan, diasuh, dididik dan sedia kembali semula kepada masyarakat dengan semangat dan azam baru serta menyesali segala yang telah berlaku sebagai pelajaran paling berharga.

Sistem ini sesungguhnya bakal memecah tradisi pemulihan banduan negara dan melonjak lanskap sistem tahanan dan pemulihan di Malaysia kepada satu tahap yang lebih berkesan, positif dan dihormati.

Sunday, December 23, 2007

KEBEBASAN BERSUARA ADA BATASANNYA

Di antara ciri penting pemimpin yang bijak, matang dan berkarisma ialah mereka yang sentiasa berhati-hati, adil dan berfikir terlebih dahulu sebelum mengeluarkan sebarang pendapat, kenyataan atau rasa tidak puas hati yang terbuku di dada.

Pemimpin yang semborono, bercakap mengikut perasaan, tidak sensitif dan berani berbohong serta tergamak melemparkan fitnah yang serius adalah ciri-ciri pemimpin yang tidak baik, perlu ditolak dan tidak layak memimpin rakyat di bumi yang aman tenteram ini.

Seorang pemimpin yang dikagumi, dihormati dan disayangi rakyat juga perlulah pandai mengambil hati mereka, mengasihi mereka dan rela berkorban apa sahaja tanpa mengira batasan bangsa dan agama rakyat yang dipimpin serta tidak bersifat api dalam sekam atau musuh dalam selimut. Pemimpin yang baik dan mulia ialah mereka kuat bekerja dan berkhidmat kepada rakyat, bukan banyak bercakap perkara yang palsu, tidak berfaedah dan menyeleweng.

Oleh yang demikian, kenyataan berunsur fitnah seorang pemimpin kanan parti komponen Barisan Nasional (BN) baru-baru ini bahawa UMNO menjadi penyebab dan punca utama orang India terpinggir dan tidak terbela adalah amat keterlaluan, ekstrem serta tidak boleh dimaafkan. Ini adalah kerana kenyataan tersebut telah menyinggung perasaan masyarakat majmuk di negara ini dan mungkin pemimpin tersebut terlupa bahawa UMNO adalah hak kepentingan orang Melayu dan secara tidak langsung telah mengguris hati orang Melayu yang tidak pernah memusuhinya, apatah lagi membencinya.

Kenyataan fitnah beliau yang tersebar luas di internet bertindak menyerang jentera kerajaan dengan menuduh pemimpin UMNO gemar menjadikan parti komponen BN sebagai sasaran serta menjadikannya batu loncatan untuk mengekalkan popularitinya dalam masyarakat Melayu adalah amat tidak bertanggungjawab, tidak berasas, remeh, memalukan dan salah satu usaha menyalahgunakan kebebasan bersuara serta proses demokrasi di negara kita.

Sebagai seorang pemimpin kanan parti komponen BN dan lama berkecimpong di arena politik, beliau sepatutnya bijak dan telus mengeluarkan pendapat lebih-lebih lagi di ketika bahang pilihanraya yang semakin terasa. Walaupun Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO membuka peluang musyawarah dan sedia dikritik, namun kenyataan melampau tersebut sepatutnya tidak berlaku dan dikeluarkan oleh beliau.

Beliau sepatutnya menggunakan saluran parti sebagai orang tengah untuk menyatakan pendapat atau rasa tidak puas hati kaumnya dan bukanlah bertindak menyerang dengan berbohong kepada rakyat serta menabur fitnah di internet. Biarpun Malaysia mengamalkan dasar demokasi dan kebebasan bersuara, namun kebebasan tersebut tetap ada batasannya. Jika tidak negara boleh kucar kacir dan bergolak dek hanya kerana rakyat mudah diperdaya dengan pembohongan dan fitnah pemimpin mereka.

Untuk itu ketegasan dan keprihatinan kepimpinan tertinggi parti dalam menangani hal ini amatlah diharapkan dan perkara yang remeh temeh seperti ini diharapkan tidak lagi berlaku setelah 50 tahun negara merdeka. Ini adalah kerana kerajaan dan semua pemimpin parti komponen BN telah bersepakat dan setuju bahawa tidak ada satu kaum pun di negara ini yang disisih, dianak tirikan atau terpinggir tanpa pembelaan sewajarnya, bahkan statistik membuktikan bahawa orang Melayu sendiri dan bumiputera di Sabah dan Sarawak sebenarnya yang merupakan kaum termiskin di negara ini dan bukannya kaum minoriti lain.

Kurang minat berkhidmat dengan kerajaan dan tidak banyak permohonan daripada kaum India dan Cina adalah antara faktor utama berlakunya jurang di antara kaum ini dengan orang Melayu dalam sektor awam. Statistik Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) menunjukkan hanya 1.78 peratus kaum Cina dan 2.5 peatus kaum India daripada 486, 802 individu yang memohon untuk berkhidmat dengan sektor awam tahun 2006.

Oleh demikian, diharapkan selepas ini tidak ada lagi pemimpin pemberontak di kalangan parti komponen BN yang bangkit mengikuti jejak langkah pemimpin yang tidak bijak ini. Walaupun bernada sinis, kini sudah ada yang berjenaka "Selepas ini kita tunggu la, parti mana pula yang akan buat hal". Jenaka politik diharapkan tidak berlaku dan dapat diselesaikan segera dan kembali tenang seperti biasa.

RUJUKAN

Paranjothy Akan Didakwa, Keanggotaan Naib Ketua Pemuda Gerakan Boleh Digantung- Tsu Koon, Utusan Malaysia, 24 Disember 2007
Cina, India Tak Minat, Berita Harian, 24 Disember 2007

Tuesday, December 18, 2007

SEJARAH OKU TERCIPTA

Perlantikan Profesor Datuk Dr. Ismail Md. Salleh sebagai senator membuka lembaran baru kepada lanskap sejarah Malaysia memandangkan beliau adalah orang kurang upaya (OKU) pertama dilantik ke jawatan itu dan Malaysia menjadi negara pertama di Asia Tenggara yang memiliki senator di kalangan OKU.

Pemilihan beliau sebagai senator memperlihatkan betapa golongan OKU diberikan perhatian, pembelaan dan layanan yang begitu istimewa oleh kerajaan melihat kepada sumbangan golongan ini kepada pembangunan masyarakat dan negara. Ini adalah jawatan tertinggi bagi mewakili golongan OKU di Malaysia dan merupakan pengiktirafan tertinggi kerajaan kepada seramai 2.6 juta OKU di negara kita. Kini terdapat hampir 650 juta OKU seluruh dunia.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), dianggarkan 10 peratus daripada rakyat sesebuah negara adalah terdiri daripada OKU. Bagaimanapun, jumlah OKU yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sehingga akhir 2006 ialah 197,519 sahaja yang terdiri dari 66,250 cacat anggota; penglihatan (18,258); pendengaran (29,522); masalah pembelajaran (76,619) dan lain-lain seramai 5,983 orang.

OKU adalah modal insan yang tidak ada bezanya dengan insan sempurna lain dan apa yang membezakan mereka hanyalah dari segi kecacatan anggota lahiriah sahaja dan bukannya keupayaan minda, kreativiti, inovasi dan sumbangan mereka kepada pembinaan negara. OKU bukanlah golongan kelas kedua dan dunia telah mengiktiraf mereka melalui Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkenaan hak OKU di mana pada setiap 3 Disember setiap tahun adalah merupakan Hari OKU Sedunia.

Menurut perangkaan Jabatan Tenaga Kerja (JTK) sehingga September 2006 menunjukkan pekerja OKU yang diterima bekerja di sektor awam ialah seramai 325 membabaitkan mereka yang cacat penglihatan, anggota dan pekak dipelbagai kumpulan pekerjaan termasuklah profesional, dan kumpulan sokongan, manakala di sektor swasta pula seramai 6,691. Daripada 10 permohonan yang diterima di kalangan OKU, tiga daripada mereka layak bekerja.

Mungkin secara kebetulan ketika Rang Undang-Undang OKU 2007 diluluskan Dewan Rakyat, Dewan Negara pula menyaksikan perlantikan senator pertama di kalangan OKU. Di samping Dr. Ismail, negara juga memiliki seorang peguam yang cacat penglihatan bernama Mah Hassan yang juga bertanggungjawab dalam merangka rang undang-undang tersebut. Beliau merupakan orang buta pertama di Malaysia diterima masuk sebagai peguambela dan peguamcara di Mahkamah Tinggi Malaya.

Kita juga mempunyai personaliti hebat dalam pelbagai bidang seperti S. Jibeng dalam bidang seni yang begitu popular di dekad 60an dan lagu-lagu beliau masih segar dan diminati sehingga ke hari ini. Bekas personaliti TV iaitu Ras Adiba Radzi pula adalah OKU ynag begitu cekal memperjuangkan golongan senasibnya dan telah membuktikan bahawa beliau mampu berjaya dan popular walaupun tanpa bantuan orang lain. Pada tahun 2003, beliau telah berjaya mengembara menggunakan kerusi roda sejauh 398 kilometer dalam masa 14 hari sahaja.

Dalam bidang sukan pula kita memiliki personaliti seperti Datuk Zakaria Musa yang merupakan rakyat Malaysia pertama yang menyertai acara tenis kerusi roda di Sukan Paralimpik di Athens, Greece pada tahun 2004. Di samping kita juga mempunyai tokoh sukan OKU seperti Mohd Hisham Khaironi (olahraga), Zulkifli Mat Zin (memanah), Hamzah Dulah (lawan pedang) dan ramai lagi.

Dalam bidang pendidikan pula, baru-baru ini Dr. Ng Chee Kyun menjadi penerima ijazah sarjana kedoktoran pertama di kalangan OKU jenis spastik di negara ini. Beliau yang mengalami 'celebral palsy' yang menyebabkan beliau tidak boleh bertutur, kurang pendengaran dan sukar mengawal pergerakan sejak berusia setahun lagi.

Melihat kepada produktivi, kapasiti dan kreativiti golongan OKU yang berjaya dalam lapangan kerjaya dan pengajian mereka mampu menjadi pemangkin dan motivasi kepada golongan OKU lain di negara kita. Tambahan pula perlantikan Dr. Ismail sebagai senator juga diharapkan dapat membuka ruang dan peluang yang lebih luas memandangkan suara golongan ini sudah pun bergema di Dewan Negara dan perlantikan ini juga menjadi totik tolak bersejarah kepada mereka serta wadah terbaik ke arah memastikan golongan ini tidak lagi anaktirikan, di pandang sambil lewa atau hanya layak berada di kaki jalan sahaja.

Friday, December 14, 2007

DEMONSTRASI TAKUTKAN PELABUR DAN PELANCONG

Demontrasi jalanan, mogok atau apa sahaja bentuk perhimpunan haram yang dianjurkan oleh pihak-pihak tertentu adalah sesuatu tindakan primitif, mundur ke belakang, tidak bijak; merupakan sesuatu yang tidak ingin dilihat berlaku di negara kita. Ini adalah kerana tindakan ini adalah aktiviti yang sangat tidak sihat dan memberi impak negatif kepada negara dan seluruh rakyat Malaysia.

Walaupun perkara sedemikian kerap berlaku di negara maju lain dan mendapat sambutan hebat bukanlah bermakna ianya wajar dipraktikkan di negara kita, tambahan pula ianya turut membelakangkan etika dan budaya timur serta menyalahi aspirasi agama. Lagipun demonstrasi di sana berlaku dalam keadaan aman, teratur dan mendapat permit dari kerajaan serta jarang berlaku rusuhan dan keganasan.

Banyak lagi kaedah dan cara untuk menarik perhatian kerajaan serta menyampaikan sesuatu hasrat di mana demonstrasi, mogok dan perhimpunan haram bukanlah jalan atau langkah terakhir penyelesaian. Di samping itu, tindakan ini dilihat tidak beretika dan primitif, di mana ianya juga turut memberi kesan kepada struktur ekonomi, politik dan sosial negara. Imej dan integriti kerajaan akan menjadi topik hangat masyarakat dunia jika perhimpunan seperti ini dibiarkan terus berleluasa.

Masyarakat tempatan juga menjadi bimbang, takut dan rasa tidak selamat melihat kepada perkembangan terbaru yang berlaku sejak kebelakangan ini. Pelbagai spekulasi, kontroversi, tribulasi dan andaian dibuat yang boleh memburukkan lagi perpaduan dan ketenteraman awam di dalam negara. Bibit-bibit perpecahan, perkauman dan prejudis dikhuatiri mula berputik jika golongan pelampau ini terus berdegil dengan agenda misteri mereka.

Impak ini juga turut dirasai oleh para pelajar antarabangsa yang ingin menyambung belajar di universiti awam dan swasta tempatan, di samping pelajar luar negara sedia ada juga turut menerima kesan negatif ini yang sedikit sebanyak boleh merubah persepsi mereka kepada Malaysia dan sistem pendidikannya. Negara juga bakal kehilangan tenaga pakar dan mahir dari dalam dan luar negara jika aktiviti ini tidak dipantau sewajrnya. Walaupun apa yang berlaku tidaklah seteruk di negara luar, namun kita tidak boleh membiarkannya merosakkan kestabilan, keharmonian dan toleransi kaum di negara kita.
Pesakit luar negara yang ingin mendapatkan rawatan di dalam negara juga boleh menjadi takut dan bimbang hal keadaan mereka di sini. Ini sudah tentu menyebabkan hospital dan pusat rawatan ternama kelas pertama negara akan kehilangan pelanggan bernilai mereka jika perkara ini tidak dibendung segera. Pihak berkuasa tidak boleh berkompromi dalam hal ini dan individu yang terbabit dan masih terlepas perlu dibawa ke muka pengadilan.
Lebih-lebih lagi pelancong dalam dan luar negara yang sejak awal-awal lagi membuat tempahan dan merancang bertandang ke negara kita turut terpengaruh dengan situasi yang berlaku. Situasi yang berlaku dan kontroversi yang direka oleh pihak-pihak yang berniat jahat boleh menghilangkan mood mereka untuk datang ke negara kita. Seperti mana yang kita sedia maklum, pelancongan adalah industri ketiga terpenting selepas petroleum dan perkilangan dengan anggaran pendapatan pada tahun 2007 sebanyak RM44.5 bilion.

Dengan promosi dan kempen agresif Kementerian Pelancong menjual nama negara di luar negara dengan tema Malaysia Truly Asia, yang menggambarkan masyarakat majmuknya hidup aman damai dan bersatu padu. Namun apa yang berlaku adalah sebaliknya dan akibatnya ramai pelancong yang sudah membatalkan tempahan dan mula tawar hati melancong ke Malaysia.
Tambahan pula media massa barat yang sentiasa bersikap prejudis kepada Malaysia telah membayang negara ini berada dalam keadaan tidak terkawal, wujudnya huru hara, konflik kaum dan sebagainya, lebih memburukkan lagi imej dan nama baik negara di mata dunia. Keadaan menjadi lebih serius apabila ada rakyat Malaysia sendiri yang terhegeh-hegeh ke luar negara dan memburuk-buruk negara mereka sendiri serta memohon bantuan luar untuk campurtangan di sini.

Keadaan yang berlaku dan semakin kronik ini sudah tentu boleh memberi kesan besar kepada industri pelancongan negara, yang secara tidak langsung turut mengancam sektor peruncitan, perhotelan, percutian, industri kecil dan sederhana (IKS), industri desa, pengusaha homestay, kraftangan dan sebagainya. Jika keadaan dibiarkan terus berlaku serta tidak dijawab segala tohmahan pengkhianat negara ini, maka orang ramai yang terlibat secara langsung di dalam industri ini akan menjadi mangsanya.
Lebih malang lagi ialah situasi yang berlaku dan gambaran negatif media barat turut menyebabkan para pelabur yang berpotensi untuk menanam modal di Malaysia menangguhkan hasrat mereka. Ini adalah kerana mereka lebih rela mencari destinasi pelaburan dan perdagangan yang lebih selamat, aman dan tanpa sebarang gangguan dari dalam dan luar negara. Buktinya negeri maju pertama negara, Selangor turut mengalami kesan buruk daripada aktiviti tidak sihat ini di mana banyak peluang pelaburan luar negara terlepas tangan dan gagal di bawa masuk ke dalam negeri.

Kepada pemimpin politik, NGO atau siapa sahaja yang begitu berminat dan beria-ria menganjurkan road show, demontrasi jalanan, mogok dan sebagainya perlu merenung kembali kesan buruk kepada penganjuran tersebut serta mereka wajar utamakan kepentingan negara dan masyarakat awam berbanding kepentingan peribadi dan kumpulan tertentu sahaja.

Kerjasama dan budibicara pemimpin ini amatlah diharapkan dan rakyat juga dinasihatkan agar menghindari sebarang perhimpunan haram dan tidak sewenang-wenangnya mengikut sahaja telunjuk songsang pemimpin mereka. Jika rakyat bijak bertindak dan memilih untuk tidak menyertai perhimpunan haram ini, maka sudah tentu gejala tidak sihat ini dapat dihentikan segera. Oleh itu, rakyat mempunyai pilihan mutlak dan kuasa penuh dalam perkara ini.
Rujukan:
Perhimpunan Haram Jejas Pelancongan, Utusan Malaysia, 15 Disember 2007
Demontrasi Takutkan Pelancong, Berita Harian, 15 Disember 2007

AIDILADHA DAN SEMANGAT BERKORBAN

Aidiladha atau turut juga dikenali sebagai Hari Raya Haji dan Hari Raya Korban amat sinonim dengan ibadah sunat korban. Umat Islam digalakkan berkorban dengan menyembelih binatang ternakan jika mampu dan mempunyai simpanan wang belanja lebih. Ibadah korban sangat dituntut perlaksanaannya dan umat Islam perlu berusaha melaksanakannya setiap tahun.

Jika dahulu ibadah korban dilakukan di kampung-kampung dan di desa-desa, kini trend terbaru ibadah tersebut lebih global di mana ramai di kalangan orang berada mengambil kesempatan menunaikan ibadah korban di negara-negara luar yang mempunyai kelompok masyarakat Islam yang miskin tegar seperti di Kemboja, Selatan Thailand, kebanyakan negara Afrika dan sebagainya.

Di samping dapat melakukan ibadah sunat korban dan akikah, mereka juga dapat menunaikan tanggungjawab sosial mereka serta menyampaikan hajat masyarakat Islam yang hidup miskin dan melarat. Dilaporkan sebahagian besar dari mereka yang hanya dapat merasa keenakan daging lembu dan kamping setahun sekali iaitu ketika menjelang Aidiladha.

Keadaan ini amat berbeza dengan masyarakat Islam di Malaysia yang hidup mewah dan dapat merasai kenikmatan daging haiwan ternakan ini saban hari lebih-lebih lagi menjelang musim kenduri perkahwinan ketika cuti persekolahan berlangsung. Dengan kemewahan dan kesenangan yang ada juga menyebabkan kadang kala daging korban yang diterima terpaksa disimpan di dalam peti sejuk untuk jangka masa yang lama sehinggalah sampai ke peringkat ada yang tergamak membuangnya kerana sudah terlalu lama dan banyak dalam simpanan.

Tradisi menyambut Aidiladha juga berbeza di mana di kebanyakan negara Islam lain, Aidiladha di sambut dengan begitu meriah dan diraikan secara besar-besaran. Senario ini berbeza dengan negara kita di mana Aidiladha disambut secara sederhana dan bersahaja berbanding Aidilfitri yang disambut dengan penuh meriah dan mewah. Sedangkan menurut tradisi Islam, Aidiladhalah yang sewajarnya dirayakan secara meriah, di serikan dengan ibadah korban, ziarah menziarahi dan menganjurkan majlis rumah terbuka jika mampu.

Hanya beberapa negeri di pantai timur sahaja yang merayakan Aidiladha lebih berbanding Aidilfitri. Aidiladha tidaklah dinanti-nantikan seperti mana ketibaan Aidilfitri bagi kebanyakan orang. Bahkan ada yang langsung tidak mengambil cuti perayaan dan ada juga yang lebih selesa menghabiskan masa di rumah, di padang permainan atau di pangung wayang sahaja. Aidiladha hanyalah sekadar cuti umum sahaja, sama seperti cuti perayaan atau sambutan lain.

Sepertimana yang dimaklumi bahawa kita akan menyambut Aidiladha selama 4 hari bermula 10 sehinga 13 Zulhijjah 1428 di mana umat Islam digalakkan berpuasa pada hari 9 Zulhijjah dan memperbanyakkan ibadah sunat lain seperti bertakbir, berzikir dan sebagainya sepanjang tempoh 4 hari tersebut. Perlu ditegaskan bahawa Aidiladha bukan hanya hari kebesaran untuk orang yang mengerjakan haji di Mekah sahaja menyambutnya, tetapi bagi kita yang tidak mengerjakan ibadah tersebut perlu meraikannya semeriah mungkin.

Oleh demikian, melihat kepada realiti dan tradisi Islam ini, umat Islam perlu membuat perubahan serta mengubah persepsi dengan menyambut Aidiladha sewajarnya dan berusaha berkorban haiwan ternakan secara individu atau berkumpulan. Kini dengan kecanggihan teknologi dan kesedaran yang tinggi berkenaan ibadah ini, sudah terdapat banyak agensi kerajaan dan swasta yang menyediakan khidmat korban dan akikah di dalam dan di luar negara yang boleh dimanfaatkan oleh masyarakat Islam di Malaysia.

Bagi menarik orang ramai menyertai program korban dan akikah ini, pelbagai kemudahan seperti pelan bayaran mudah, bayaran secara ansuran hatta penggunaan kad kredit juga disediakan bagi memudahkan orang ramai beribadah dan menjalankan tanggungjawab masing-masing dalam ibadah korban. Ada juga agensi yang menyediakan khidmat mengetin daging korban dan akikah untuk disalurkan kepada umat Islam miskin dan mangsa-mangsa kebuluran di seluruh dunia.

Lebih penting lagi ialah di samping menyempurnakan ibadah korban, umat Islam perlu membuat perubahan drastik dan berkorban jiwa, masa, wang ringgit dan raga memperbaiki diri, keluarga, masyarakat dan negara ke arah mewujudkan sebuah generasi modal insan yang lebih cemerlang, gemilang dan terbilang serta bermaruah sebagai manifestasi sebenar ibadah korban di dalam kehidupan seharian.

Tuesday, December 11, 2007

TIADA KOMPROMI DALAM MENEGAK KEADILAN

Sistem keadilan dan kehakiman di negara kita begitu dihormati pemimpin luar, sarjana serta penggubal undang-undang, ahli juris dan masyarakat dunia lain.

Keadilan yang ditadbir adalah bersandarkan kepada keluhuran undang-undang negara dan kedaulatan Perlembagaan Persekutuan yang merupakan ibu kepada segala undang-undang yang terbentuk dan merupakan dokumen undang-undang tertinggi di negara kita.

Sejarah sistem kehakiman negara juga menyaksikan bagaimana keadilan diangkat pada tahap tertinggi dan tiada kompromi dalam hal ini. Sejarah merekodkan bagaimana mantan Timbalan Perdana Menteri, bekas menteri, kerabat di raja, orang kenamaan serta berpengaruh lain, peguam dan hakim sendiri diadili oleh sistem kehakiman negara.

Tiada kompromi kepada sesiapa yang melanggar undang-undang dan perintah mahkamah. Kejahilan undang-undang juga tidak boleh dimaafkan menurut perspektif perundangan negara. Menurut Kamus Dewan Edisi Ketiga, kompromi ditafsirkan sebagai suatu persetujuan atau penyelesaian berdasarkan kepada tolak ansur dan jalan tengah.

Oleh yang demikian, penahanan beberapa tokoh politik, pengamal perundangan dan pemimpin NGO baru-baru ini ketika berdemontrasi adalah proses biasa dalam usaha melaksanakan keadilan dan dalam perkara ini biarlah mereka diadili di mahkamah sewajarnya. Situasi ini menamatkan spekulasi sesetengah pihak yang mengatakan sistem perundangan dan keadilan negara bersifat apartaid dan tidak telus kerana menghakimi kaum tertentu sahaja.

Di samping itu juga, amaran Ketua Hakim Negara ke-11 yang baru, Datuk Abdul Hamid Mohamad bahawa beliau tidak akan bertolak ansur dalam menangani masalah rasuah dan salah laku membabit pengamal perundangan serta penegak keadilan perlulah diberikan perhatian dan tindakan serius semua pihak. Mereka perlu bersungguh-sungguh, jujur, telus dan ikhlas dalam melaksanakan misi serta visi keadilan negara.

Beliau juga menggesa agar institusi keadilan dibersihkan dari unsur-unsur tidak sihat dan pengamal serta penegak keadilan juga tidak dibenarkan berkompromi dalam soal yang menyentuh kewibawaan, keberkesanan dan kebebasan sistem perundangan negara. Menurut Ketua Hakim Negara, jika kepercayaan terhadap sistem keadilan hilang, maka huru haralah akibatnya dan lantaran itu mahkamah adalah benteng terakhir bagi sesebuah negara sebagai kesinambungan kewujudan masyarakat sivil dan ketenteraman negara.

Komitmen dan inisiatif yang tinggi ditunjukkan oleh Ketua Hakim Negara ini diharapkan dapat memulihkan kembali persepsi negatif dan keyakinan masyarakat awam di negara ini serta mengembalikan semula kegemilangan sistem keadilan dan perundangan negara di landasan yang betul.

Monday, December 03, 2007

ISLAM MEMBELA GOLONGAN MINORITI

Sejak sebelum merdeka dan selepas 50 tahun negara menyambut kemerdekaan, semua rakyat di Malaysia tanpa membezakan bangsa dan agama telah mendapat pembelaan kerajaan secara adil dan saksama. Kerajaan yang telah diberikan amanah dan mandat politik rakyat Malaysia telah berusaha membangunkan negara dari sebuah negara miskin kepada sebuah negara yang pesat membangun di mana tempiasan kejayaan dan kemakmuran ini telah diterima oleh semua kaum di negara kita termasuklah golongan minoriti.

Bagi memperkasakan lagi hasrat murni kerajaan ini, maka jentera Islam diperkenalkan dengan prinsip utamanya jelas bertekad untuk melahirkan rakyat yang berjiwa merdeka di samping membela dan mempertahankan golongan minoriti di Malaysia dalam segala aspek sama ada meliputi sudut pendidikan, status ekonomi, kemahiran dan teknologi, peluang pekerjaan, kesihatan, perumahan, budaya dan sebagainya. Semua kaum berhak menerima dan mempunyai akses kepada segala kemudahan serta kepentingan yang disediakan negara dan golongan minoriti di Malaysia juga tidak pernah dipinggir dan diketepikan dalam arus perubahan serta pembangunan negara.

Buktinya kita dapat melihat golongan minoriti ini mengungguli dan menguasai sektor profesional serta korporat di Malaysia terutamanya bidang guaman, kedoktoran, kejuruteraan, teknologi komunikasi dan banyak lagi. Realiti ini membuktikan peluang dan ruang yang diberikan kepada semua rakyat adalah sama rata dan tidak bersandarkan kepada sifat perkauman, warna kulit dan agenda atau kepentingan sesuatu bangsa majoriti. Ini adalah kerana prinsip teras Islam Hadhari juga turut mengambil kira pembangunan ekonomi yang seimbang dan komprehensif di samping ke arah mewujudkan sebuah kerajaan yang adil dan beramanah kepada semua kaum.

Hakikat ini adalah selaras dengan firman Allah s.w.t yang bermaksud "Allah tidak menegah kamu berbuat baik dan berlaku adil kepada orang yang tidak memerangi kamu dan tidak menghalau kamu dari negeri kamu. Sesungguhnya Allah itu kasihkan orang yang berlaku adil dan saksama" (Al-Mumtahinah:8). Rasulullah s.a.w juga amat memperjuang hak golongan minoriti dan pernah menegaskan bahawa "Ingatlah, sesiapa yang berlaku kejam dan keras kepada golongan minoriti bukan Islam, atau mengekang hak mereka, atau membebankan mereka melebihi apa yang terdaya atau merampas hak mereka secara paksa, aku (Nabi s.a.w) akan mendakwa mereka di hari pembalasan kelak".

Melihat kepada komitmen dan kesungguhan padu kerajaan memperjuangkan hak golongan minoriti dalam proses pembangunan negara yang melibatkan semua pihak dan Islam sendiri mengiktiraf hak golongan minoriti, maka adalah amat tidak adil sekiranya negara dituduh dan dilabelkan sebagai berat sebelah, pilih kasih, diskriminasi kaum, perkauman, melakukan pembersihan etnik dan sebagainya jika diteliti rekod cemerlang sejarah perpaduan kaum di Malaysia berbanding negara serantau lain. Kebajikan dan kepentingan golongan minoriti tidak pernah diperjudikan oleh negara bahkan jika dilihat dari segi pendapatan isi rumah kasar bulanan dan tahap pendidikan kaum minoriti juga tinggi serta jauh lebih baik dari kaum Bumiputera sendiri.

Pelbagai dasar, plan dan program pembangunan telah diwujudkan untuk tujuan ini yang antaranya ialah Dasar Pembangunan Nasional (DPN), Dasar Urbanisasi Negara (DUN), Plan Integriti Nasional (PIN), Program Latihan Khidmat Negara (PLKN), Dasar Kependudukan Malaysia Ke Arah 70 Juta, Dasar Pendidikan Kebangsaan, Dasar Pertanian dan sebagainya yang bertujuan untuk merapatkan jurang ekonomi dan sosial di negara kita serta melahirkan generasi modal insan yang cemerlang, gemilang dan terbilang dalam segala aspek.

Masyarakat beragama dan golongan minoriti di Malaysia amat bertuah serta beruntung kerana dapat mengamalkan segala ajaran dan hukum hakam agama mereka tanpa ada sebarang sekatan dan kekangan dari pihak kerajaan berbanding dengan keadaan umat Islam sendiri seperti di beberapa buah negara. Ini membuktikan Islam bukanlah agama yang ekstrem dan anti agama lain, bahkan Islam turut menghormati kepercayaan dan hak beragama orang lain tanpa paksaan. Umat Islam sendiri tidak pernah memandang serong, negatif dan mempunyai perasaan curiga kepada penganut agama lain kerana agama Islam tidak pernah mengajar umatnya berbuat demikian, bahkan menegah sekeras-kerasnya perlakuan tesebut.

Saturday, November 24, 2007

KEPENTINGAN MEMPELAJARI BAHASA ARAB DAN KEUNIKANNYA

Bahasa Arab begitu dekat di hati umat Melayu dan hampir 1,700 patah perkataan Arab telah diterimapakai di dalam bahasa Melayu sejak awal kedatangan Islam di dunia nusantara. Bahasa Arab sudah sebati dan menjadi darah daging umat Islam dulu, kini dan selamanya di mana hampir setiap hari mereka akan mendengar dan bertutur di dalam bahasa Arab tanpa disedari. Buktinya ialah setiap hari kita diwajibkan bersembahyang yang mana bacaan dan doa di dalamnya adalah di dalam bahasa Arab manakala kita juga akan mendengar laungan azan dan iqamat setiap kali tibanya waktu sembahyang yang juga di dalam bahasa Arab.

Lebih unik lagi bagi umat Islam, perkataan pertama yang didengar sejurus selepas dilahirkan ke dunia ialah azan dan iqamat yang menandakan kecintaan kita terhadap bahasa Arab telah diterap sejak masih bayi lagi. Kajian Syed Muhammad Naquib Al-Attas pada tahun 1984 mendapati bahawa selain perkataan Arab yang diserap ke dalam bahasa Melayu, tulisan Arab juga diambil secara keseluruhan dan dijadikan tulisan bahasa Melayu. Ketinggian dan keistimewaan bahasa ini telah diakui dan dibuktikan oleh pakar-pakar ilmu bahasa (linguisticans), pengkaji bahasa (philogist) dan perkamusan (lexicographer) Barat. Bahasa Arab dianggap sebagai bahasa yang telah lama mempengaruhi iklim bahasa dunia dan membantu kepada perkembangan tamadun manusia serta menjadi dinamo yang telah berjaya merubah dan membentuk keperibadian struktur sesebuah negara bangsa.

Kitab al-Quran yang diturunkan kepada Nabi Muhammad s.a.w untuk disampaikan kepada seluruh umat manusia juga adalah di dalam bahasa Arab dan seluruh umat Islam digalakkan membaca, memahami, menghafal, mengikuti segala ajaran dan melaksana serta menterjemahkan segala panduan di dalam kehidupan seharian. Membaca al-Quran seolah-olah kita sedang berdailog dan berkomunikasi dengan Allah s.w.t secara live, satu pengalaman yang amat unik dan perlu dijadikan amalan harian umat Islam. Realiti ini menjadikan bahasa Arab mampu melonjak corak dan tahap pemikiran manusia yang lebih holistik, komprehensif dan membentuk satu anjakan paradigma ke arah menjadi individu yang versatil dalam menangani suvival semasa umat Islam.

Dengan menguasai bahasa Arab juga akan memudahkan kita mendalami intipati dan pengertian al-Quran, hadis Rasulullah dan kitab-kitab muktabar para ulama silam yang kebanyakannya ditulis di dalam bahasa Arab. Kemahiran bahasa Arab juga membolehkan kita memahami maksud setiap bacaan di dalam sembahyang, doa-doa, wirid, zikir dan sebagainya di mana sebahagian besar umat Islam tidak tahu pengertiannya walaupun sudah berpuluh tahun mengamalnya hatta ada yang tidak tahu pengertian doa iftitah dan qunud yang dibaca setiap hari dalam sembahyang. Kejahilan dan kelemahan umat Islam mendalami bahasa Arab akan hanya mewujudkan sebuah masyarakat tidak kreatif, kurang dinamik dan pak turut yang hanya menuturkan sesuatu yang tidak difahami seumpama burung kakak tua yang bijak berbicara. Oleh yang demikian, umat Islam perlu mencari jalan memahami dan mendalami bahasa al-quran ini sebaik mungkin.

Bahasa Arab adalah bahasa umat Islam dan bahasa syurga. Dengan jumlah umat Islam yang kini mencecah 1.6 bilion orang di seluruh dunia, membuktikan bahasa ini diucapkan setiap hari di dalam amalan ritual dan muamalah umat Islam secara global. Kebolehan berbahasa Arab membolehkan kita berkomunikasi dengan saudara seislam di seluruh dunia terutamanya di negara-negara Arab dan dapat mengenali mereka secara lebih dekat serta mengikat silatulrahim sesama umat Islam. Dalam konteks dunia Melayu pula, bahasa Arab digunakan secara meluas sejak awal kedatangan Islam dan kemuncaknya ialah pada era kegemilangan Kerajaan Melaka sehinggalah ke hari ini di mana bahasa ini digunakan di dalam pelbagai aspek dari sudut ekonomi, sosial, politik, diplomatik hatta di dalam amalan mistik dan jampi serapah pun bahasa Arab banyak digunakan terutamanya di dalam perubatan tradisional dan alternatif.

Bahasa Arab juga mempunyai nilai komersial yang tinggi dan berdaya saing serta mampu menandingi bahasa dunia lain seperti bahasa Inggeris, Perancis, Rusia dan sebagainya. Nilai ekonomi yang terdapat pada bahasa Arab membolehkannya diiktiraf sebagai salah satu bahasa utama dan terpenting di dunia serta telah menarik ramai orang mempelajarinya. Bagi umat Islam, bahasa Arab adalah bahasa perpaduan dan penyatuan. Walaupun tidak semua negara Islam menjadikan bahasa Arab sebagai bahasa rasmi, namun begitu bahasa Arab tetap memainkan peranan penting di dalam sistem pemerintahan negara dan struktur masyarakat terutamanya di kalangan negara anggota OIC. Melalui medium bahasa Arab juga negara Islam diseluruh dunia dapat mewujudkan kerjasama dan perkongsian ekonomi, teknologi, ketenteraan, pendidikan dan sebagainya secara yang lebih akomodatif dan progresif bagi mendepani segala anasir-anasir negatif yang boleh mengganggu-gugat kestabilan Islam.

Inisiatif kerajaan Malaysia melalui Kementerian Pelajaran memperkenalkan program J-QAF iaitu sistem pendidikan jawi, al-Quran, bahasa Arab dan tulisan Jawi secara yang lebih efektif di sekolah-sekolah rendah mampu memperkasakan penguasaan dan kemahiran bahasa Arab di kalangan rakyat Malaysia, di samping program bahasa Arab yang turut disediakan di peringkat sekolah menengah dan yang lebih tinggi hampir semua institusi pengajian tinggi di seluruh negara adalah momentum positif kepada bahasa syurga ini. Pemikir Islam terkenal, Hassan al-Banna pernah berpesan di dalam wasiat sepuluhnya yang berbunyi " Berusahalah sedaya upaya untuk bertutur dalam bahasa Arab yang betul kerana bahasa Arab yang betul itu adalah satu-satunya syiar Islam".

RUJUKAN:

Zamri Mohamad, 2003. Bahasa Arab, Bahasa Syurga Yang Mempengaruhi Dunia. Utusan Malaysia, 10 Jun

"Menghayati Sejarah Tulisan Bahasa Arab dan Tulisan Jawi", Utusan Malaysia, 2 Mac 2006


Saturday, November 17, 2007

SEJARAH AWAL IBADAH HAJI UMAT MELAYU

Amat sukar untuk dipastikan siapakah orang Melayu pertama yang telah berjaya menjejakkan kaki di bumi Mekah dan menunaikan fardu haji. Namun begitu, adalah dipercayai bahawa orang Melayu telah mula belayar ke Mekah untuk menunaikan ibadah haji sejak zaman awal Islam dikembangkan di semenanjung Tanah Melayu dan di Nusantara.

Dalam buku Haji Di Semenanjung Malaysia: Sejarah dan Perkembangannya Sejak Tahun 1300-1405H (1896-1985) oleh Mohd Saleh Haji Awang (1986) dengan merujuk kepada catatan yang dibuat oleh Tom Pires menyatakan bahawa Sultan Melaka, Sultan Alauddin Riayat Shah (1477-1488) merupakan orang Melayu pertama dalam sejarah yang mengerjakan ibadah haji di Mekah. Manakala di dalam Hikayat Hang Tuah yang cukup terkenal pula ada menceritakan bahawa laksamana kerajaan Melaka itu pernah menunaikan haji semasa singgah di Mekah ketika beliau dalam perjalanan ke Rom dan sempat menziarahi makam Rasulullah di Madinah dan makam para sahabat di Baqi' serta Uhud.

Menurut Mohammad Redzuan Othman (2003) catatan yang tepat berkenaan sejarah pemergian haji orang Melayu hanya terdapat pada abad ke-16 seperti pemergian ulama nusantara Hamzah Fansuri pada akhir abad ke-16 dan Abdul Rauf Singkel pada sekitar tahun 1643 ke Tanah Suci untuk menuntut ilmu dan sempat mengerjakan ibadah haji di sana. Pada pertengahan abad ke-19 pula lebih banyak penulisan yang melaporkan pemergian orang Melayu ke Mekah seperti karya Tuhfat al-Nafis yang ditulis sekitar tahun 1860an dan Hikayat Pelayaran Abdullah yang menceritakan pengalaman Munsyi Abdullah menunaikan haji pada tahun 1854.

Pegawai Haji yang pertama dilantik oleh kerajaan Inggeris pada tahun 1923 untuk menjaga kebajikan dan keselamatan jemaah haji Melayu ialah Tuan Haji Abdul Majid Zainuddin yang bertanggungjawab ke atas segala hal jemaah haji termasuk masalah kesihatan, keselamatan, perjalanan, dan kebajikan para jemaah haji yang ketika itu menggunakan kapal laut untuk ke Tanah Suci. Dalam tulisan beliau yang bertajuk 'A Malay Pilgrimage to Mecca' (1926) menceritakan secara detil pengalaman menarik beliau mengurus jemaah haji Tanah Melayu.

Antara tulisan klasik lain yang menceritakan kisah haji orang Melayu ialah oleh Tuan Haji Jaafar Jusoh al-Hajj dalam buku beliau Perihal Pemergian Ke Mekah dan Madinah, iaitu Pelayaran dan Perjalanan Ke Mekah al-Mushrifah Bagi Mengerjakan Haji dan Ke Madinah al-Munawwarah Bagi Ziarah Makam Rasul Allah s.a.w dan Sahabat-Sahabatnya (1937) dan buku The Conduct of the Hajj From Malaya, and the First Malay Pilgrimage Officer (1975) oleh William R. Roff. Manakala dalam buku Sejarah Hidup Tok Kenali (1967) turut menceritakan perihal pemergian haji ulama tersohor itu ke Mekah pada tahun 1886 dengan meggunakan kapal layar.

Statistik juga menunjukkan jumlah jemaah haji ke Mekah pada 1927 meningkat pada 12,184 orang ekoran peningkatan harga getah di pasaran dunia melambung tinggi dan penguasaan ekonomi orang Melayu yang lebih baik, pengenalan kapal wap yang lebih cepat serta mengambil masa yang singkat dan jaminan keselamatan pemerintahan Ibn Sa'ud di sana. Pengangkutan jemaah haji ke Mekah setiap tahun di anggap oleh kerajaan Inggeris sebagai perniagaan yang amat menguntungkan mereka.

Namun begitu pada tahun 1932, jumlah jemaah yang mengerjakan haji merosot teruk kepada hanya lapan puluh orang sahaja akibat kemelesetan ekonomi dunia dan pasaran harga getah yang jatuh merudum. Pada tahun 1939/40 sebelum meletusnya Perang Dunia Kedua pula merekodkan kemerosotan paling teruk di mana hanya empat puluh enam orang sahaja yang berjaya sampai ke Mekah untuk mengerjakan haji.

Jemaah haji juga turut berhadapan dengan pelbagai bentuk eksploitasi dan penipuan ketika mengerjakan haji. Menurut Mohammad Ridzuan Othman (2003), akhbar Chahaya Pulau Pinang pada tahun 1906 melaporkan ramai bakal jemaah haji ditipu oleh broker haji ketika berada di pelabuhan Pulau Pinang dan Singapura. Lebih malang lagi menurut N. Rajendran (1982) dalam tulisan beliau bertajuk Notes On Haji Labour in Early Singapore menukilkan pada akhir abad ke-19, pernah berlaku ekspoitasi kepada bakal jemaah haji dari Jawa yang ditipu dan menyebabkan mereka menjadi papa kedana dan terpaksa meminjam wang daripada broker haji. Untuk melunaskan kembali pinjaman yang dibuat, mereka terpaksa menjadi buruh paksa di ladang-ladang di Johor apabila selesai mengerjakan ibadah haji.

Belanja untuk mengerjakan haji juga amat mahal ketika itu dan ianya menjadi simpanan seumur hidup untuk sampai ke Tanah Suci. Pada akhir abad ke-19 umpamanya belanja haji mencecah hampir $200 dan pada tahun 1926 pula, kos keseluruhan untuk mengerjakan haji meningkat sehingga $600 seorang. Pada tahun 1947, kos terus meningkat kepada $1,500 seorang untuk membiayai keseluruhan kos dan perbelanjaan sepanjang berada di Mekah dan pulang ke tanahair.

Oleh demikian, melihat kepada paparan sejarah awal orang Melayu bersungguh-sungguh ke Mekah untuk mengerjakan haji membuktikan mereka begitu komited berusaha untuk sampai ke sana dalam apa jua keadaan dan sanggup berkorban apa sahaja biarpun nyawa sendiri. Oleh yang demikan, sebagai masyarakat moden, berpendidikan dan berkemampuan, perlulah bertekad untuk segera menunaikan ibadah haji di usia muda dan bagi yang tidak berkemampuan, maka simpanan dan tabungan untuk tujuan murni itu perlulah dilakukan bermula pada hari ini.


RUJUKAN


Mohammad Ridzuan Othman, 2003. Menyahut Panggilan Kaabah: Sejarah Pemergian Orang Melayu ke Tanah Suci dan Kepentingannya Kepada Orang Melayu Sebelum Perang Dunia Ke-II. Jurnal Usuluddin. Kuala Lumpur: Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya.

Mohd. Saleh Haji Awang, 1986. Haji Di Semenanjung Malaysia: Sejarah dan Perkembangannya Sejak Tahun 1300-1405H (1896-19850. Kuala Terenganu: Syarikat Percetakan Yayasan Islam Terengganu Sdn. Bhd.

Monday, November 12, 2007

MEMPERKASA SEKTOR KOPERASI

Pertumbuhan pesat institusi koperasi di Malaysia sejak sebelum merdeka sehingga ke hari ini begitu memberangsangkan serta mampu menjana ekonomi yang lebih mapan dan progresif. Oleh yang demikian, pengumuman kerajaan bahawa Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) yang akan memulakan operasi sulongnya pada 1 Januari tahun hadapan adalah satu langkah dan strategi yang amat tepat dalam usaha kerajaan memperkukuhkan gerakan koperasi di seluruh negara.

Antara tugas utama SKM ialah menetapkan garis panduan khusus bagi memastikan operasi sesebuah koperasi tidak menyimpang daripada objektif asal penubuhannya. SKM juga akan mengambil alih tugas Jabatan Pembangunan Koperasi (JPK) dengan memperkenalkan dua dana bagi memperkasakan gerakan koperasi, selain membantu institusi ini menghadapi masalah kecairan modal serta turut menganjurkan program keusahawanan.

Menurut Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MECD), Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, penubuhan SKM antara lain adalah sebagai langkah menggalakkan lebih ramai masyarakat menyertai koperasi sekaligus merealisasikan hasrat kerajaan untuk melahirkan lebih ramai masyarakat usahawan perdagangan dan industri bumiputera. Melalui pendekatan ini juga, kerajaan dapat menaik taraf koperasi sedia ada dan menyediakan pelan pembangunan yang lebih komprehensif termasuk pembiayaan pinjaman kecil kepada usahawan tempatan.

Koperasi-koperasi di seluruh negara juga digesa membuat anjakan paradigma dengan mewujudkan jaringan perniagaan yang baru dan boleh bersaing di peringkat global antaranya dengan menyertai kaedah perniagaan pemasaran pelbagai peringkat (MLM) yang berkesan dan sistematik, selain mengeluarkan produk sendiri yang berkualiti dan berdaya saing.

Sehingga 31 Disember 2006, terdapat hampir 4,918 buah koperasi dan bagi tahun 2007 pula menunjukkan penambahan kepada 5004 buah; yang dianggotai oleh 5.86 juta orang pada 2006 dan 6.05 juta bagi tahun 2007 di seluruh negara; dengan memiliki dana terkumpul sebanyak RM7.36 bilion modal syer serta yuran pada tahun 2006 dan RM7.79 pada 2007, di samping RM38.38 bilion jumlah aset pada tahun 2006, manakala RM42.5 bilion pada 2007 di dalam dan luar negara. Dengan kekuatan ini membukti institusi koperasi mampu bergerak lebih jauh dan bersaing di peringkat global.

Inisiatif penubuhan suruhanjaya ini diharapkan dapat mengatasi masalah birokrasi dan kerenah institusi kewangan tempatan yang membabitkan pembiayaan terutamanya dalam sektor pertanian dan perladangan yang dianggap tidak berpotensi serta tidak memenuhi kriteria dan syarat asas pinjaman yang ketat. Oleh demikian, dengan adanya SKM, masalah ini akan dapat diatasi di mana suruhanjaya ini boleh bertindak sebagai penyalur alternatif pembiayaan pinjaman kepada koperasi dan usahawan yang berpotensi.

Melalui pemantauan berterusan suruhanjaya yang bakal diwujudkan ini juga, dijangkakan dapat mengatasi kerenah anggota koperasi yang tidak membayar balik pinjaman yang dibuat oleh mereka. Di samping itu, koperasi juga boleh membuat pelaburan ke dalam syarikat perniagaan yang diusahakan oleh anggotanya memandangkan penubuhan koperasi baru di kalangan usahawan telah membawa suatu anjakan paradigma ke arah membawa gerakan koperasi yang lebih berdaya maju dan kompetitif.

Oleh yang demikian, anggota koperasi digalakkan menambah modal syer mereka agar koperasi dapat mempertingkatkan sumber modal dalaman selaras dengan strategi kelima Dasar Koperasi Negara (DKN) bagi membolehkan koperasi di seluruh negara bersaing dan tidak terlalu bergantung kepada pembiayaan dari institusi perbankan. Dengan pengumpulan dana dan modal syer yang banyak secara langsung dapat memperluas dan mempelbagaikan lagi kelangsungan aktiviti koperasi yang mana manfaatnya adalah untuk ahli-ahlinya secara tidak langsung.

Baru-baru ini Perikatan Koperasi Antarabangsa (ICA) dalam laporan terbaru Global 300, yang terdiri daripada koperasi-koperasi terbesar dunia dan syarikat kerjasama, mengumumkan sebagai sebuah kuasa ekonomi global, pergerakan koperasi telah menyediakan kira-kira 100 juta pekerjaan di seluruh dunia iaitu kira-kira 20 peratus yang disediakan oleh syarikat-syarikat multinasional.

Dalam laporan tersebut, dua koperasi dari Jepun iaitu Persekutuan Koperasi Pertanian Kebangsaan (Zen-Noh) berada di tempat pertama dengan jumlah dagangan bernilai AS$63.44 bilion, diikuti oleh Persekutuan Kebangsaan Insuran Kerjasama (Zenkyoren) dengan jumlah dagangan bernilai AS$46.8 bilion. Tempat ketiga pula ialah bank terbesar di Perancis iaitu Credit Agricole Group, dengan jumlah dagangan sebanyak AS$30.7 bilion.

Menurut ICA juga, 300 koperasi terbesar di seluruh dunia telah menyumbang hampir AS$1 trilion perolehan kepada ekonomi global setiap tahun. Potensi besar koperasi ini membuktikan bahawa institusi koperasi telah memainkan peranan penting dalam ekonomi dunia. Namun begitu tiada satu pun koperasi Malaysia berjaya menduduki senarai 300 koperasi terbaik ICA.

Biarpun begitu, terdapat beberapa koperasi tempatan yang tersenarai dalam 150 koperasi ICA di kalangan negara membangun yang antara yang boleh dibanggakan ialah Bank Kerjasama Rakyat Malaysia (Bank Rakyat), Felcra Co-operative Society Ltd., Persatuan Koperasi Pelaburan Felda, Koperasi Tentera, Koperasi Kebangsaan Permodalan Tanah, Koperasi Kakitangan Petronas, Koperasi Serba Usaha Makmur, Koperasi Sejati, Koperasi Polis Diraja Malaysia, Angkasa, Koperasi Kedai Buku Universiti, Koperasi Pegawai Kerajaan Kedah dan Koperasi Shamelin.

Berdasarkan laporan tersebut menunjukkan daripada 150 koperasi terbaik bagi negara membangun, 15 buah koperasi cemerlang adalah dari Malaysia yang mana Bank Rakyat berada di tangga keempat daripada senarai tersebut. Oleh demikian, cadangan pihak kementerian MCED untuk mewujudkan senarai 100 buah pertubuhan koperasi tempatan terbaik dan berjaya berdasarkan indeks atau kriteria amatlah dialu-alukan. Ini adalah sejajar dengan indeks yang dilaksana dan diguna pakai diperingkat antarabangsa berdasarkan kepada kemajuan, sumbangan dan pertumbuhan koperasi seperti mana yang sedang dilaksanakan oleh ICA selama ini.

Untuk itu, selaras dengan DKN, kerajaan telah melancarkan empat produk baru untuk memperkasakan sektor koperasi negara termasuk memberi peluang kepada institusi ini membangunkan tanah milik mereka dalam projek perumahan dan bangunan. Di bawah Skim Usahasama UDA-Koperasi (UDACOP), kedua-dua institusi ini boleh bekerjasama membangunkan tanah-tanah milik koperasi yang berpotensi dan terletak di tempat-tempat yang strategik di kawasan bandar untuk tujuan pembangunan.

Bagi produk kedua pula membolehkan pelaburan berstruktur dilaksanakan di bawah ASM-Koperasi (ASMKOP), di mana bagi koperasi yang mempunyai dana yang berlebihan digalakkan melabur di dalam ASM untuk jaminan pelaburan yang lebih selamat dan mampu memberikan pulangan yang baik pada masa hadapan. Sehingga kini jumlah pelaburan koperasi menerusi produk ini mencecah nilaian RM2.9 juta dan bagi membolehkan produk ini berjaya, maka 4,918 buah koperasi di seluruh negara perlulah mengambil bahagian sewajarnya.

Manakala produk ketiga dalam memperkasakan lagi institusi ini ialah kewujudan Wakil Khidmat Bank Rakyat yang menawarkan kepada koperasi-koperasi tertentu menjadi wakilnya yang berperanan mempromosi dan menjual produk serta perkhidmatan bank koperasi tersebut. Peluang ini secara tidak langsung dapat menjana pendapatan koperasi terutamanya bagi koperasi yang berskala besar dan mempunyai reputasi yang baik serta kedudukan kewangan yang kukuh.

Seterusnya bagi produk pemantapan keempat pula ialah mewujudkan Buku Panduan Tadbir Urus Koperasi yang merangkumi prinsip umum dan piawaian kepada anggota koperasi serta ahli lembaga koperasi ke arah pembentukan sistem pengurusan dan pentadbiran koperasi yang efisien, konstruktif dan berwibawa. Oleh yang demikian, Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi juga turut menggesa agar institusi koperasi di seluruh negara mengambil peluang keemasan di dalam usaha pembangunan di seluruh negara terutamanya di Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI), koridor-koridor pembangunan di Utara (NCER), Timur (ECER), Sabah dan Sarawak.

Perdana Menteri juga menyarankan agar golongan petani di seluruh negara menubuhkan koperasi agro atau koperasi yang berasaskan pertanian atau agro bagi menjamin masa depan mereka. Melalui koperasi itu juga dapat merintis usaha ke arah pembinaan kilang yang dapat mempertingkatkan lagi nilai hasil pertanian. Dengan adanya koperasi agro membolehkan para petani mempelbagaikan hasil pengeluaran dan menggunakan lebihan pengeluaran bagi memberikan pulangan lebih lumayan sebagai nilai tambah kepada pendapatan bulanan mereka. Agensi di bawah kementerian terbabit akan memberikan bantuan kepada para petani untuk membangunkan kilang secara koperasi ini dalam usaha membantu mereka menambah nilai hasil pengeluaran.

Tambahan pula penubuhan koperasi oleh Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) di seluruh negara dapat meningkatkan pengeluaran produk pertanian dan makanan berskala besar untuk menampung keperluan tempatan. Menurut Menteri Pertanian, Tan Sri Muhyiddin Yassin, penubuhan koperasi PPK akan membantu menyelaras aktiviti pertanian negara yang kebanyakkannya kini diusahakan secara bersendirian dan mempunyai kapasiti pengeluaran yang kecil dan terhad.

Dengan adanya koperasi sendiri, petani dan penternak PPK boleh menumpukan perhatian kepada urusan pengeluaran produk pertanian dan ternakan, manakala koperasi pula boleh menumpukan urusan kajian pasaran, pengangkutan, mencari pasaran dan kaedah promosi yang lebih berkesan. Koperasi-koperasi agro di Korea Selatan, Australia dan Kanada umpamanya mampu menubuhkan gedung dan pasar raya mereka sendiri bagi tujuan membekal dan memasarkan produk yang dikeluarkan.

Di samping itu, lebih signifikan lagi ialah institusi ini juga merupakan alternatif kepada usaha kerajaan memperkasa dan memperkukuh kedudukan pembangunan ekonomi umat Melayu memandangkan rata-rata ahli anggota koperasi di Malaysia adalah Melayu. Dan secara tidak langsung institusi ini mampu memperkasa fundamental dan struktur ekonomi umat Islam serta mampu merealisasikan wawasan kerajaan membebaskan orang Melayu daripada kepompong kemiskinan yang masih melanda mereka. Oleh yang demikian, tidak dapat dinafikan lagi koperasi merupakan landasan terbaik untuk merealisasikan hasrat kerajaan tersebut.


RUJUKAN:

Tubuh segera koperasi pertanian-Muhyiddin, Utusan Malaysia, 13 November 2007
100 koperasi disenarai terbaik, Utusan Malaysia, 13 November 2007
Indeks seratus koperasi terbaik tempatan diwujud, Berita Harian, 13 November 2007
Suruhanjaya koperasi mula operasi 1 Jan 2008, Utusan Malaysia, 12 November 2007
Garis Panduan SKM perkemas koperasi: Khaled, Berita Harian, 12 November 2007
Empat produk baru perkasa sektor koperasi dilancar, Utusan Malaysia, 23 Julai 2007
300 koperasi, syarikat kerjasama dunia catat perolehan AS$1 trilion, Utusan Malaysia, 17 Oktober 2007
Tubuh koperasi agro, rintis para petani bina kilang tingkatkan nilai hasil pengeluaran-PM, Utusan Malaysia, 28 Oktober 2007

Tuesday, October 30, 2007

SAINS ANGKASA: MISI NEGARA BERJAYA

Pada 10 Oktober 2007 yang lalu adalah detik paling bersejarah bagi negara dan bakal ditulis dengan tinta emas apabila Malaysia berjaya menghantar angkasawan pertama negara ke Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) dengan Soyuz TMA-11. Program penghantaran angkasawan negara ke ISS adalah hasil daripada persetujuan timbal balik pembelian 18 jet pejuang Sukhoi SU-30 MKM bernilai RM3.4 bilion dari Rusia yang ditandatangani pada 5 Ogos 2003.

Di ISS, angkasawan negara bukanlah melancong di angkasa lepas tetapi akan menjalankan beberapa kajian melibatkan tiga komponen penting iaitu sel di angkasa, mikrob di angkasa dan penghabluran protein. Terdapat beberapa eksperimen yang membabitkan kesan mikrograviti dan radiasi terhadap sel barah dan bakteria serta uji kaji pengkristalan protein bagi kemungkinan mencari penawar HIV/AIDS berjaya dilaksanakan dengan sempurna.

Menelusuri sejarah awal sains angkasa di mana pada 1957 ketika Tanah Melayu baru mencapai kemerdekaan, Kesatuan Soviet telah menjadi pelopor utama sains angkasa bagi membuktikan keunggulan mereka dalam industri sains dan teknologi, telah berjaya melancarkan Sputnik dan seterusnya berjaya melancarkan makhluk bernyawa pertama ke angkasa iaitu anjing bernama Laika, diikuti dengan angkasawan pertama dunia iaitu Yuri Gagarin dan seterusnya angkasawan wanita pertama, Valentino Tereshkova.

Namun begitu menurut Zin Mahmud (2007), Jerman merupakan negara pertama yang secara serius menbangun teknologi roket melalui penubuhan Persatuan Roket Jerman (VIR) pada tahun 1923 dengan melancarkannya pada tahun 1931. Tetapi Jerman bukanlah pihak pertama yang melancarkan roket moden. Pencipta pertama ialah Robert Goddard dari AS yang melancarkannya pada tahun 1926. Tetapi dari segi teori roket moden, yang mengasaskannya ialah warga Jerman iaitu Herman Oberth pada tahun 1923. Biarpun begitu, orang yang mula-mula menulis mengenai kemungkinan perjalanan antara planet di angkasa ialah seorang Rusia bernama Konstantin Tsiolkorsky pada tahun 1903.

Sejarah turut mencatatkan seorang tentera Uthmaniah, Lagari Hasan Celebi pada tahun 1633 menaiki kenderaan berbentuk kon dan dilancarkan ke udara seperti roket dan selamat mendarat. Menurut Hassan Ahmad (2007) pula, dari segi sejarah, orang pertama yang mencetuskan idea, mencipta dan melakukan teknologi penerbangan bukanlah di kalangan bangsa Eropah atau Amerika. Abbas Ibn Firnas (888M), ahli fizik dan astronomi Islam, merupakan manusia pertama membuat penerbangan percubaan secara saintifik dalam sejarah sebagaimana disebut oleh sejarawan Barat K. Phillip Hitti. Ia berlaku pada tahun 875M di Cordoba, Sepanyol.

Lebih awal dari itu, mauduk naik ke langit atau angkasa lepas di kalangan umat Islam sebenarnya telah pun bermula sejak zaman Rasululah s.a.w lagi. Nabi Muhammad s.a.w sendiri adalah angkasawan pertama yang menerobos angkasa ketika baginda melakukan Mikraj dari stesen pelancarannya di Masjid al-Aqsa, Baitulmaqdis. Peristiwa ini direkodkan di dalam al-Quran dalam Surah al-Israk dengan penuh simbolik dan signifikan sekali.

Selanjutnya pada tahun 1960, Presiden Amerika Syarikat (AS), John F. Kennedy melancarkan gerakan penerokaan angkasa lepas dan hanya selepas sepuluh tahun kemudian iaitu pada 1967, AS telah berjaya menghantar beberapa kapal angkasa untuk melakukan ujian pendaratan manusia ke bulan. Hasilnya pada tahun 1969, AS telah berjaya menobatkan angkasawannya iaitu Neil Armstrong di permukaan bulan yang pernah dianggap mustahil dan tidak masuk akal oleh sebahagian besar penduduk dunia ketika itu.

Kejayaan penuh gemilang ini telah membuka dimensi baru kepada korpus sains dan teknologi angkasa global di mana negara-negara besar dan kecil turut serta dan berusaha untuk menjejaki angkasa lepas dan menakluki bulan serta planet-planet lain termasuk Marikh bagi mencari penempatan baru manusia di galaksi ini. Hakikat ini juga turut mempengaruhi corak pemikiran dan dimensi sains dan teknologi angkasa rakyat Malaysia.

Impaknya, bekas Perdana Menteri Tun Abdul Razak begitu bersungguh-sungguh mengajak rakyat berusaha semampu mungkin mencapai kemajuan kerana bagi beliau rakyat perlu bekerja keras kerana dengannya kesemua akan mampu mencapai kemajuan, malah sampai "ke angkasa lepas" sekalipun. Petikan ucapan keramat ini telah disiarkan berulang kali oleh Radio Televisyen Malaysia (RTM) menjelang detik-detik pelancaran angkasawan pertama negara ke ISS.

Istilah angkasa dan angkasa lepas seperti mana yang menjadi polemik hebat sebelum ini sebenarnya membawa makna yang sama kalau penggunaan kedua-dua perkataan itu dilihat dari aspek saintifik. Menurut Ketua Pengarah Agensi Angkasa Negara (Angkasa), Profesor Datuk Dr. Mazlan Othman, kedua-dua perkataan itu saling bertukaran dan boleh digunakan untuk konteks harian. Perkataan angkasa dan angkasa lepas diwujudkan untuk menunjukkan jarak angkasa dengan muka bumi.

Isu perbezaan istilah ini timbul kerana kedua-dua perkataan itu diterjemahkan terus daripada bahasa Inggeris iaitu space dan outer space. Perkataan space mempunyai banyak makna dalam konteks bahasa Inggeris, oleh itu penggunaan outer space diwujudkan untuk menggambarkan ruang udara di luar muka bumi. Jarak angkasa lepas dengan bumi tidak semestinya lebih jauh berbanding angkasa dari muka bumi. Penggunaan angkasa dalam bacaan sering berkait dengan alam semesta dan galaksi. Kedua-dua makna tersebut adalah sama maknanya.

Manakala menurut Kamus Dewan Edisi Ketiga terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) mendefinisikan angkasa sebagai ruang, udara, lapisan yang mengelilingi bumi, awang-awang dan langit. Sementara itu, angkasa lepas pula membawa erti ruang di luar lapisan udara yang mengelilingi bumi. Kamus Pelajar pula mendefinisikan angkasa sebagai awang-awangan, langit, lapisan udara yang melingkungi bumi dan ruang di sebelah luar lapisan udara yang melingkungi bumi.

Dalam hal ini juga agensi Rusia menggunakan istilah cosmonaut yang bermaksud pelayar alam semesta untuk merujuk kepada angkasawan mereka, manakala AS pula menggunakan istilah astronaut yang bermaksud pelayar bintang. Namun begitu Malaysia memilih untuk menggunakan perkataan Melayu yang lebih bersifat patriotik iaitu Angkasawan bagi membukti bahawa bahasa Malaysia tidak akan diketepikan serta dijulang tinggi seiring dengan kepesatan teknologi industri angkasa lepas.

Sepanjang misi besar Program Angkasawan Negara, Sheikh Muszaphar juga menjalankan penyelidikan saintifik Twisting Orbital Platform (TOP) atau Platform Orbit Berpusing di ISS untuk dijadikan bahan kajian penting pengajaran subjek Fizik kepada pelajar sekolah menengah. Kaedah penyelidikan ini dilakukan hasil kerjasama Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) bagi mengkaji sifat putaran gasing aluminium dalam keadaan mikrograviti.

Manakala dengan kerjasama Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi dan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) pula menjalankan kajian mengenai makanan tempatan yang sesuai untuk dinikmati di angkasa lepas seperti sate ayam, rendang daging, nasi himpit beriani, gegulung pisang, hirisan mangga kering, jeli halia, granola bar dari roselle, kuih bangkit dan cip tempe. Semua angkasawan lain di ISS juga turut dihidangkan makanan Malaysia seperti gegulung pisang dan hirisan mangsa kering.

Lebih menarik lagi, angkasawan pertama Malaysia ini berjaya melakukan beberapa aktiviti bersifat simbolik patriotik dengan membaca Rukun Negara dan mengibarkan Jalur Gemilang di ISS. Di samping itu, beliau juga mendapat cop khas di ISS untuk ditandakan pada Jalur Gemilang, Jata Negara dan logo Program Angkasawan Negara sebagai bukti kehadiran beliau di sana dan bakal disimpan di Planetarium Negara di Kuala Lumpur.

Di samping itu juga, beliau juga berkesempatan bergaya dengan memakai baju batik yang menjadi pakaian tradisi serta kebanggaan negara di ISS dan lebih manis lagi apabila angkasawan lain turut memuji baju batik yang dipakainya yang disifatkan mereka sebagai sangat cantik. Batik adalah simbolik dan identiti umat Melayu dan Malaysia yang telah berjaya dinobatkan di angkasa lepas yang bakal menjadi momentum positif kepada industri batik Malaysia dan dunia.

Sementara itu, angkasawan pertama negara juga berkesempatan berbual dengan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr. Jamaluddin Jargis melalui sesi telepersidangan selama 10 minit dari ISS ke Pusat Penyiaran Asia (Astro) di Bukit Jalil. Manakala hampir 20 orang pelajar Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Tamil (SRJKT) Vivekanandan, Brickfield turut berpeluang berkomunikasi dengan Sheikh Muszaphar menerusi radio amatur.

Menurut Dr. Mohd. Roshdi Hassan (2007), Malaysia sebagai sebuah negara Islam yang memimpin Pertubuhan Persidangan Islam (OIC), sepatutnya mengetuai negara Islam lain untuk mengembalikan tamadun ilmu yang berkaitan dengan angkasa lepas ini kepada umat Islam. Kerjasama antara negara OIC harus dibentuk untuk menubuhkan sebuah agensi angkasa lepas seperti mana European Space Agency (ESA).

Tiada kesatuan untuk menguasai teknologi ini menyebabkan negara Islam terpaksa bergantung kepada kuasa Barat bagi mendapatkan teknologi ini. Kita bukan sahaja membayar harga yang tinggi untuk mendapatkan teknologi ini, bahkan ada kalanya ia tidak dapat berfungsi seperti mana yang diharapkan. Yang lebih malang lagi apabila satelit yang disediakan menjadikan alat sebagai pengintip bagi kuasa Barat ke atas negara Islam itu sendiri. Kelemahan kita menguasai teknologi ini juga menyebabkan umat Islam dianggap semakin lemah.

Adalah tidak mustahil suatu hari nanti kita akan memiliki OIC Space Agency setanding Rusia, AS, Kanada dan ESA memandangkan dunia Islam sudahpun memiliki beberapa angkasawan mereka seperti Putera Sultan Salman Saud dari Arab Saudi yang merupakan angkasawan Islam pertama di dunia pada tahun 1985; Muhammad Faris dari Syria pada tahun 1987; Abdul Ahad Mohammad dari Afghanistan pada tahun 1988; Talgat Amangeldyuly Mugabayev dari Kazakhstan pada tahun 1994; dan seterusnya angkasawan wanita Islam pertama iaitu Anousheh Ansari yang berasal dari Iran tetapi menetap di AS pada 2006.

Kemunculan Sheikh Muszaphar sebagai kesinambungan angkasawan Islam menakluki ISS dan kepada dunia bahawa umat Islam mampu melakukan apa sahaja yang dilakukan oleh umat maju lain serta setanding dengan mereka. Sebagai sebuah negara membangun, Malaysia bukanlah sekadar menghantar angkasawan malahan serius membina industri angkasa lepas negara pada masa hadapan serta komited menjadikannya sebagai agenda utama kemajuan negara.

Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menegaskan bahawa peruntukan besar yang disediakan kerajaan untuk program angkasawan bukan satu pembaziran kerana banyak faedah diperoleh rakyat dan negara. Pembabitan serius negara dalam industri angkasa lepas adalah pendekatan kerajaan untuk mencapai matlamat Wawasan 2020 bagi menjadikan Malaysia sebuah negara maju dan dihormati dunia. Pembabitan Sheikh Muszaphar telah mencetuskan minat rakyat terhadap program angkasa lepas yang sebelum ini tidak begitu banyak diketahui.

Lebih penting lagi kajian yang dijalankan di ISS seperti sel kanser turut mendapat perhatian negara maju termasuk Jepun dan Eropah. Walaupun Malaysia bukanlah dalam kelompok negara maju yang terlebih dahulu menerokai angkasa lepas seperti Rusia dan AS, namun negara berjaya menyaingi dan mendahului negara lain di rantau ini.



Rujukan

Kamus Dewan Edisi Ketiga
Kamus Pelajar Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP)

Dr. Mohd. Roshdi Hassan, 2007. "Manfaat Program Angkasawan Negara". Utusan Malaysia, 9 Oktober 2007
Zin Mahmud, 2007. "Impian Malaysia jadi kenyataan". Mingguan Malaysia, 14 Oktober 2007
Dr. Hassan Ahmad, 2007. "Islam pelopor sains angkasa". Utusan Malaysia, 25 Oktober 2007

"Pakai batik di angkasa", Utusan Malaysia, 9 Oktober 2007
"Angkasa, angkasa lepas sama makna" Utusan Malaysia, 9 Oktober 2007
"Kajian Platfom Orbit Berpusing", Utusan Malaysia, 16 Oktober 2007
"Dr. Sheikh Muszaphar baca Rukun Negara, kibar Jalur Gemilang di ISS", Utusan Malaysia, 16 Oktober 2007
"Separuh eksperimen berjaya diselesai", Utusan Malaysia, 16 Oktober 2007
"Program angkasa lepas bukan pembaziran:PM", Berita Harian, 23 Oktober 2007

Tuesday, October 16, 2007

MAJLIS RUMAH TERBUKA PENGIKAT PERPADUAN

Kemeriahan bulan Syawal begitu terasa dengan adanya majlis rumah terbuka sempena hari raya Aidilfitri yang diadakan hampir setiap hari sepanjang bulan ini.

Tradisi penganjuran rumah terbuka membolehkan semua golongan sama ada miskin atau kaya serta hina atau mulia merayakan Aidilfitri dalam suasana yang meriah dan penuh kesyukuran.

Jurang pemisah yang mungkin wujud selama ini dapat dikendur melalui penganjuran majlis rumah terbuka dalam suasana masyarakat plural Malaysia yang berbilang kaum dan agama.

Semua pihak bebas menikmati kemeriahan, keriangan dan kebesaran Aidilfitri di negara kita sebagai tanda manifestasi kesyukuran kita kepada Ilahi setelah sebulan berjuang melawan hawa nafsu.

Trend mengadakan rumah terbuka bukanlah perkara baru dalam masyarkat kita, cumanya sejak kebelakangan ini ianya diadakan secara yang lebih rasmi, teratur dan dibuat secara besar-besaran di premis kediaman atau perniagaan masing-masing.

Majlis rumah terbuka secara tidak langsung dapat merapatkan tali persaudaraan dan kasih sayang sesama manusia ke arah melahirkan masyarakat yang harmoni, progresif, bersatu, hormat menghormati dan tidak mementingkan diri sendiri.

Majlis ini memudahkan saudara mara, sahabat handai, masyarakat sekitar berkunjung dan berkumpul serta bertemu sama sendiri setelah sekian lama sibuk membawa haluan dan tujuan masing-masing.

Di majlis inilah semangat kejiranan dapat dierat dan diperkukuhkan lagi di mana jiran di sekeliling rumah boleh bertemu dan beramah mesra dalam suasana hari raya.

Dalam keadaan dan kesibukan kehidupan harian, menyebabkan ramai yang tidak sempat mengenali jiran masing-masing hatta jiran di sebelah rumah sekalipun.

Oleh yang demikan, dengan mengadakan majlis rumah terbuka sekurang-kurangnya semangat persaudaraan dan kekitaan dapat disuburkan semula.

Di samping itu juga bagi syarikat dan firma perniagaan yang mengadakan majlis rumah terbuka membolehkan orang bawahan berpeluang bertemu orang atasan yang mungkin sebelum ini jarang-jarang dapat berjumpa dan bertegur sapa.

Majikan yang prihatin dan peka dengan kebajikan pekerjanya sudah tentu akan menjadikan majlis rumah terbuka sebagai agenda tahunan wajib organisasi kerana majlis ini amat bermanfaat serta mampu memulihkan prestasi kerjasama, setiakawan dan semangat kerja berkumpulan para pekerja di samping mengekalkan hubungan baik dengan pelanggan dan rakan perniagaan.

Di majlis rumah terbuka yang penuh bermakna ini juga membolehkan rakyat bertemu pemimpin yang dihormati kerana bagi rakyat bawahan dan golongan marhaen, mereka begitu teruja untuk bertemu dan berjabat salam dengan pemimpin yang disayangi lagi dihormati mereka.

Jika sebelum ini mereka tidak berpeluang menatap wajah dan personaliti pemimpin mereka dari dekat maka di majlis rumah terbukalah peluang terbaik mereka mendekati pemimpin bagi menyatakan hasrat, hajat dan pandangan mereka.

Oleh yang demikian, pemimpin hendaklah meluangkan masa sepenuhnya melayan tetamu yang datang dan tidak membiarkan hanya wakil-wakil sahaja yang menjalankan tugas tersebut.

Berilah peluang rakyat bawahan bertemu, bertanya khabar dan bertegur sapa dalam suasana yang penuh kemeriahan tanpa mengira ras, agama dan fahaman politik.

Majlis yang diadakan saban tahun ini melihatkan masyarakat Malaysia yang berlainan agama, bangsa, politik dan kebudayaan sama-sama hadir meraikan majlis rumah terbuka tanpa sebarang rasa prejudis, takut dan bimbang.

Mereka begitu ghairah dan seronok menikmati juadah makanan serta pelbagai hidangan hari raya lain terutamanya kanak-kanak.

Di samping itu juga, para pelancong yang datang ke negara kita juga berpeluang untuk menikmati kemeriahan dan melihat sendiri perpaduan serta keunikan sambutan majlis rumah terbuka di negara kita sepanjang bulan Syawal yang mungkin situasi tersebut tidak terdapat di negara mereka.

Bagi yang berkemampuan dan ingin berkongsi kekayaan serta kemewahan seperti para hartawan, jutawan dan golongan artis popular, maka inilah peluang untuk beramal dan bertemu peminat masing-masing dengan mengadakan majlis rumah terbuka masing-masing.

Di kesempatan ini orang miskin dan susah, anak yatim, ibu tunggal, warga emas dan lain-lain bolehlah juga dijemput untuk sama-sama merai serta memeriahkan lagi majlis rumah terbuka yang diadakan.

Dan tidaklah menjadikan majlis itu eksklusif untuk kelompok, fahaman atau kumpulan tertentu sahaja.

Golongan ini tidak sepatutnya diketepi dan ditinggalkan begitu sahaja tanpa pembelaan serta tidak berkesempatan merasai kemeriahan dan kenikmatan Aidilfitri.

Cumanya apa yang perlu diambil perhatian ialah jangan sekali-kali bersikap membazir, boros dan berlebih-lebihan dalam berbelanja bagi merealisasikan majlis rumah terbuka yang kadang kala terpaksa berhutang menggunakan kad kredit pulak semata-mata untuk mengadakan majlis tersebut.

Janganlah kerana ingin menunjuk-nunjuk kepada jiran, saudara mara serta kawan-kawan dan riak mengadakan majlis rumah terbuka memaksa kita berhutang dan berhabis wang simpanan yang masih ada yang sepatutnya digunakan untuk perbelanjaan yang lebih penting.

Jika tidak dikawal perbelanjaan selepas raya dengan betul, kesannya mungkin terpaksa menanggung risiko 'sindrom poket kosong' di tengah atau hujung bulan.

Biarlah majlis rumah terbuka yang ingin diadakan tidaklah bersifat 'biar papa asal beraya' dan seiring dengan kemampuan yang ada.

Bersederhana dalam apa jua keadaan adalah langkah yang bijak, terbaik dan mendapat rahmat dari Allah s.w.t.

Sunday, October 07, 2007

RAMADHAN ADAT DAN RAMADHAN IBADAT

Hukama pernah berkata "orang yang beribadat kerana Ramadhan, maka Ramadhan akan pergi dan meninggalkan kita tetapi orang yang beribadat ikhlas kerana Allah s.w.t semata-mata, maka Allah kekal dan hidup selamanya".

Masa bergerak begitu pantas dan Ramadhan yang begitu dinanti-nantikan sudahpun berada di penghujungnya.

Jika diizinkan tuhan, Ramadhan yang penuh dengan keberkatan, keistimewaan dan kemuliaan ini akan kembali lagi pada tahun hadapan.

Terlalu banyak pengajaran, hikmah dan keajaiban berlaku sepanjang berlangsungnya Ramadhan yang boleh dijadikan panduan dan petunjuk kehidupan seharian kita.

Ramadhan umpama gerbang atau portal ibadah yang menjadi bulan bonus kepada seluruh umat Islam untuk mempertingkatkan amalan.

Institusi Ramadhan menjadi hab ibadah yang tiada bandingannya di mana ganjaran dan pahala yang disediakan adalah berlipat kali ganda berbanding bulan-bulan lain.

Jika sebelum Ramadhan, perokok tegar umpama tiada lagi penawar untuk berhenti merokok. Namun ketika Ramadhan, ramai yang mampu mengurangkan tabiat merokok bahkan ada yang berjaya berhenti merokok.

Bagi yang bertudung atau menutup aurat serta berpakaian sopan kerana menghormati bulan yang mulia ini, maka jangan jadikannya sekadar trend bermusim sahaja malahan peribadi mulia itu perlu diteruskan dan dijadikan gaya hidup wanita Muslim.

Sekiranya di bulan Ramadhan seseorang berasal janggal, takut dan bersalah terlibat dengan maksiat, menipu, memfitnah, menerima atau memberi rasuah dan sebagainya, maka perasaan murni itu hendaklah diteruskan di luar bulan Ramadhan.

Jika sepanjang bulan Ramadhan para peniaga dan usahawan berlaku amanah, adil, jujur dan bertimbanga rasa, maka sifat mulia itu perlu dijadikan falsafah perniagaan mereka pada bulan-bulan lain.

Ramadhan umpama magnet yang telah berjaya memotivasikan umat Islam mempertingkatkan amal ibadah seperti membaca al-Quran, bersolat sunat, beriktikaf dan berzikir, banyak bersedekah dan infak, menunaikan umrah, membantu orang miskin serta anak yatim dan sebagainya.

Amat wajarlah amalan-amalan mulia tersebut menjadi rutin, darah daging dan teras di dalam kehidupan di samping amalan wajib lain walaupun bukan di bulan Ramadhan.

Oleh yang demikian, penanda aras atau petunjuk prestasi utama (KPI) kejayaan misi Ramadhan adalah impak selepas berakhirnya bulan tersebut.

Kedatangan Syawal menjadi bukti awal dan faktor penentu kepada draf konsistensi, konsentrasi dan kontinuiti kita dalam beribadah kepada Allah s.w.t.

Sekiranya kualiti dan piawaian ibadah yang tinggi dilaksanakan pada bulan Ramadhan, maka perkara sama juga perlu dilakukan di bulan-bulan yang lain sebagai tanda manifestasi kita menghayati kehendak dan wawasan Ramadhan.

Jika prestasi dan indeks ibadah masih tidak berubah, statik atau berada di takuk lama maka post-mortem ibadah perlu dilakukan segera.

Ini adalah bagi memastikan sama ada kita berada di kolompok yang menjadikan Ramadhan sebagai medan ibadat berimpak tinggi dan bukannya sekadar melakukan upacara adat atau ritual yang bermusim semata-mata.

Mengambil semangat Ramadhan, maka dinamo ibadah perlu digerak dan diperkemaskan lagi agar kualiti dan prestasi ibadah yang dihasilkan berada di tahap yang paling optimum.

Gerbang Ramadhan akan ditutup tidak lama lagi maka ramailah yang akan berasa sedih, pilu, rindu dan kesal kerana tidak mengambil kesempatan memaksimakan carta ibadah.

Wednesday, September 26, 2007

10 WANITA TERKAYA DI DUNIA

Kita seringkali didedahkan dengan senarai manusia terkaya di dunia yang majoritinya terdiri daripada kaum lelaki sahaja. Namun begitu kita jarangkali dihebahkan dengan kewujudan kelompok wanita terkaya di dunia.

Walaupun mereka tidak tersenarai di kalangan 10 manusia terkaya di dunia, namun kemunculan kumpulan 10 wanita terkaya di dunia mampu memberikan saingan hebat kepada dominasi kaum lelaki sebagai kelompok manusia paling kaya di dunia selama ini.

Menurut majalah Forbes, antara yang tersenarai di dalam kedudukan 10 wanita dan antara manusia terkaya di dunia ialah:


1. LILIANE BETTENCOURT


Pada usia emas 83 tahun, Puan Bettencourt adalah wanita terkaya di dunia dan di negara asalnya Perancis. Menurut majalah Forbes, beliau berada di kedudukan ke-15 di dalam senarai manusia terkaya di dunia secara keseluruhannya. Beliau mewarisi harta bernilai AS$20.7 bilion melalui firma konglomerat keluarganya, L'Oreal. Beliau adalah satu-satunya anak perempuan kepada pengasas L'Oreal iaitu Eugene Schueller dan memegang saham terbesar di dalam industri kosmetik dan kecantikan terbesar di dunia ini.

2. CHRISTY WALTON

Beliau merupakan wanita terkaya di dunia dan manusia yang ke-17 terkaya di dunia. Christy yang kini berusia 51 tahun adalah janda kepada John Walton iaitu pewaris tunggal pasaraya Wal-Mart yang meninggal dunia pada 2005 dalam satu nahas kapal terbang. Beliau dan anak lelaki beliau, Luke telah mewarisi harta bernilai $16.7 bilion dari gergasi peruncitan Amerika Syarikat (AS) yang diasaskan oleh Sam Walton pada 1962 dan menjadi konglomerat utama pada 1970. Wal-Mart adalah syarikat peruncitan terbesar di dunia dengan jumlah rangkaian mencecah 5,100 stor yang menyediakan perkhidmatan runcit kepada 138 juta pelanggan seminggu dan jumlah jualan meningkat kepada $285 bilion.

3. ALICE WALTON

Alice yang berusia 56 tahun merupakan kakak kepada John Walton dan mewarisi kekayaan sebanyak $16.6 bilion yang menjadikan beliau sebagai wanita ketiga terkaya di dunia. Senarai manusia terkaya pula, beliau berada di kedudukan yang ke-20. Graduan dari Universiti Trinity dan menetap di Mineral Wells, Texas. Kini beliau menghabis masa dan hayat beliau melaksanakan kerja-kerja kebajikan melalui yayasan yang dikenali sebagai Walton Family Foundation.

4. HELEN WALTON

Wanita keempat terkaya di dunia ini kini berusia 86 tahun adalah ibu kepada John Walton dan janda kepada Sam Walton iaitu pengasas Wal-Mart. Kekayan beliau mencecah $16.4 bilion dan meletakkan beliau sebagai manusia yang ke-29 terkaya di dunia. Anak-anak beliau yang lain ialah S. Robson Walton (Rob), John T. Walton (meninggal pada tahun 2005) dan Jim Walton. Walaupun mempunyai kepentingan di dalam syarikat tetapi beliau tidak lagi bergerak aktif di dalamnya.

5. ABIGAIL JOHNSON

Beliau adalah pewaris dan pemilik syarikat pengurusan dana pelaburan terbesar di AS iaitu Fidelity Investments yang diasaskan pada tahun 1946 dengan nilai kekayaan beliau mencecah $13 bilion. Beliau yang berusia 46 tahun adalah lulusan MBA dari Universiti Harvard. Wanita waja yang merupakan manusia ke-28 terkaya di dunia ini adalah contoh ahli korporat paling komited dan dedikasi dengan kerjaya beliau serta menjadi model kepada ahli perniagaan dunia.

6. BARBARA COX ANTHONY

Berusia 82 tahun dan kini mewarisi harta kekayaan bernilai $12.6 bilion dari peneraju industri media terkenal dunia iaitu Cox Enterprises. Empayar media yang dibina bapa beliau, James Cox termasuklah 17 syarikat surat khabar, 15 stesen TV, 79 stesen radio dan juga sitem kabel. Beliau juga mengemudi syarikat kereta seperti Manheim Auctions dan AutoTrader.com yang menjadi syarikat kereta terpakai utama di AS. Pada tahun 2006, beliau bersama kakaknya Anne Cox Chambers telah mengambil alih Cox Communications dengan nilaian jualan mencecah $8 bilion. Beliau juga adalah manusia yang ke-45 terkaya di dunia.

7. ANNE COX CHAMBERS

Jutawan media ini adalah kakak kepada Barbara Cox Anthony yang kini berusia 86 tahun. Kekayaan yang diwarisi dan dimilikinya yang bernilai $12.6 bilion menjadikan beliau manusia yang ke-45 terkaya di dunia serta wanita keenam terkaya di AS. Pernah menjadi duta AS ke Belgium dari tahun 1977 hingga 1981 ketika di bawah pemerintahan Presiden Jimmy Carter. Beliau banyak menghabiskan masa dan kekayaan beliau dengan kerja-kerja kebajikan serta aktif menyumbang dana kepada Parti Demokratik AS.

8. BIRGIT RAUSING

Nilai kekayaan beliau mencecah $11 bilion dan mewarisi serta pemilik Tetra Laval yang diasaskan oleh bapa mertua beliau pada 1944. Beliau yang kini tinggal di Switzerland adalah wanita ke-8 terkaya di dunia dan manusia ke-55 terkaya di dunia. Tetra Laval mempunyai aset yang bernilai $12.5 bilion yang kini diuruskan oleh tiga anaknya iaitu Jorn, Kirsten dan Finn. Syarikat ini turut terlibat di dalam kerja-kerja kebajikan dan penyelidikan terutamanya di dalam Swedish R.R Institute of Applied Economics.

9. JACQUELINE MARS

Cucu kepada jutawan coklat Frank dan Ethel Mars ini memiliki nilaian kekayaan berjumlah $10.5 bilion. Syarikat beliau cukup terkenal dan sinonim dengan jenama coklat seperti Snickers, Milky Way, 3 Musketeers, Twix, M&Ms, Skittles dan banyak lagi. Syarikat ini juga turut terlibat di dalam dunia pengeluaran makanan segera seperti Uncle Ben's Rice serta industri makanan segera binatang seperti Whiskas dan Pedigree. Di samping itu juga syarikat juga terlibat di dalam industri berat dan elektronik. Kini beliau ialah wanita ke-9 terkaya dan menjadi manusia ke-58 terkaya di dunia.

10. SUSANNE KLATTEN

Kekayaan beliau mencecah $9.6 bilion diwarisi dari pembuat kereta dunia iaitu BMW dan juga 50% kepentingan di dalam industri farmasitikal dan kimia di Altana. Antara produk yang cukup terkenal ialah penawar ulser Pantoprazol yang nilai jualannya mencecah $6 bilion di seluruh dunia. Beliau berkelulusan MBA dan merupakan ahli ekonomi bertauliah. Beliau yang merupakan wanita ke-10 terkaya dan manusia ke-68 terkaya di dunia.

Di samping mereka terdapat beberapa lagi wanita kental yang boleh dikategorikan sebagai antara wanita dan manusia terkaya di dunia seperti Sussanne Klatten, Chritina Green, Oprah Winfrey, Athina Onassis, Ratu Elizabeth, JK Rowling dan ramai lagi. Rata-ratanya dimonopoli oleh wanita Barat.

Kejayaan dan kegemilangan membina karier dan empayar perniagaan mereka perlu dijadikan inspirasi dan aspirasi kepada wanita Asia dan terutamanya seluruh wanita di Malaysia untuk turut serta menjejaki langkah gemilang kelompok wanita cemerlang ini.

RUJUKAN

Sarah Modlock (2007) The 10 Richest Women in the World (http://money.uk.msn.com)
A. Lewis (2007) 10 Richest Women in the World (http://ephosting.com)

JADIKAN AL-QURAN TEMAN SETIA RAMADHAN

Sebahagian besar dari kalangan kita kebiasaannya memperuntukkan masa sekurang-kurangnya selama 20 sehingga 30 minit membaca akhbar utama tempatan atau bahan bacaan lain sehari.

Namun begitu berapa ramai yang memperuntukkan masa yang sama untuk membaca al-Quran atau sekurang-kurang menyentuh dan menatapnya?

Kadang-kadang timbul rasa rugi, terlepas berita penting atau menyesal kerana tidak sempat membaca akhbar atau bahan bacaan yang diminati.

Namun begitu berapa ramaikah yang turut merasai perasaan sedemikian jika tidak membaca al-Quran walaupun sehalaman sehari?

Untuk itu setiap individu Muslim sewajarnya mempunyai senaskhah al-Quran peribadi atau sekurang-kurangnya untuk ditempatkan di bilik tidur, ruang pejabat, kenderaan, premis perniagaan dan sebagainya bagi memudahkan urusan membacanya.

Bagi yang memiliki capaian internet menjadi lebih mudah kerana terdapat banyak laman yang menyedia rujukan Al-Quran dan terjemahan secara online yang boleh diakses pada bila-bila masa dan di mana jua.

Kemudahan ini merupakan alat bantu paling berkesan bagi mempelajari dan mendalami Al-Quran, memperkukuh teknik bacaan yang betul, berguru kaedah ilmu tajwid dan tarannum dan sebagainya di samping kaedah sedia ada iaitu berguru dengan para ustaz dan ustazah.

Kini sudah tiada lagi alasan untuk tidak membaca Al-Quran.

Ini adalah kerana ramai yang mampu membeli pakaian berjenama, alat mekap dan minyak wangi yang mahal atau sekeping DVD yang nilainya mencecah puluhan ringgit.

Tetapi masih ada yang tidak mampu membeli senaskhah al-Quran beserta terjemahan yang berharganya antara RM20-RM30 sahaja.

Seperti yang diakui, Al-Quran adalah kitab mukjizat yang komprehensif, informatif dan futuris, penuh dengan segala rahmat, berkat serta penawar kepada seluruh umat Islam melalui perantaraan Nabi Muhammad s.a.w sejak lebih 1400 tahun yang lalu.

Mungkin ada yang terkejut dan tidak menyangka terdapat banyak ayat al-Quran yang menyebut secara detail berkenaan korpus sains, fizik, kimia, biologi, teknologi, geologi, ICT dan sebagainya.

Pepatah Melayu ada menyebut "tak kenal maka tak cinta" amat tepat sekiranya ada di kalangan kita yang masih meragui kenyataan berkenaan atau tertanya-tanya benarkah Al-Quran mempunyai keterangan-keterangan sedemikian.

Biarpun begitu, membaca al-Quran sahaja tanpa memahami pengertian dan maksud tersirat serta tersurat di dalamnya tidak memberi impak maksimum kepada kehidupan selain sekadar beroleh pahala sahaja.

Memandangkan Al-Quran begitu sinonim dengan penghayatan ihya Ramadhan iaitu bulan yang diturunkan Al-Quran maka wajarlah Al-Quran dijadikan teman setia sepanjang menjalani ibadah puasa.

Al-Quran boleh dibaca ketika waktu rehat pejabat, ketika menunggu dan di dalam kapal terbang, bas, keretapi, LRT, komuter dan sebagainya.

Jika sebelum ini ramai yang selesa membaca akhbar, novel, komik, majalah dan sebagainya, mungkin dapat diubah kepada membaca Al-Quran dan memahami maknanya.

Kini terdapat banyak hotel dan pusat peranginan yang turut menyediakan kemudahan Al-Quran kepada pelanggan mereka.

Di samping itu, banyak NGO yang bergiat aktif mempromosikan wakaf Al-Quran yang sewajarnya mendapat sokongan semua pihak.

Oleh yang demikian, sempena sambutan Nuzul Quran yang mulia ini, marilah kita semua kembali semula kepada induk al-Quran dengan membaca sebanyak-banyaknya; menelaah dan membuat kajian ilmiah kandungannya; mencari jawapan dan pedoman yang terbenam di dadanya; dan mempraktikkan dan menyampaikan segala isi kandungan dan petunjuk di dalamnya.

Semoga dengan keberkatan dan karamah Ramadhan menjadikan umat Islam terus 'melekat' dengan ajaran Al-Quran sepanjang hidup mereka.