Thursday, January 25, 2007

INDUSTRI AUTOMOTIF PERLUKAN MOMENTUM POSITIF

Menurut laporan Persatuan Automobil Malaysia (MAA) baru-baru ini dalam Utusan Malaysia (8 Januari 2007) bahawa prestasi industri automobil negara dijangka sederhana sehingga Jun tahun ini dan bakal kembali aktif selepas itu. Impak ini mungkin dipengaruhi beberapa faktor internal dan external yang perlu diatasi segera melalui momentum positif dalam industi ini.

Syarikat pengeluar dan pengedar kenderaan perlu melipat-gandakan aktiviti promosi bagi menggalakkan prestasi jualan dan meningkatkan penguasaan pasaran tempatan. Ini adalah bagi memastikan pasaran automotif negara terus berkembang dan berdaya saingan di peringkat tempatan dan antarabangsa. Usaha ini perlu dilipat-gandakan melalui inisiatif yang lebih kreatif dan inovatif.

Penurunan jualan kenderaan di peringkat tempatan dan serantau berlaku ekoran kenaikan harga minyak mentah, besi dan keluli global. Keadaan ini menyebabkan pihak bank telah menaikkan kadar faedah dan pada hakikatnya juga pengguna mengambil langkah yang lebih berhati-hati serta menangguhkan pembelian kereta baharu. Situasi ini juga telah mengubah minat pengguna dan menyebabkan mereka beralih kepada kenderaan berkapasiti rendah yang lebih murah dan jimat minyak serta kos sampingan lain.

Berdasarkan kepada fenomena tersebut, MAA menyasarkan jualan kenderaan untuk tahun 2007 meningkat sederhana tiga peratus (3%) kepada 565,000 sahaja. Peningkatan sederhana ini besar kemungkinan disebabkan faktor harga pasaran yang masih tinggi dan sikap berhati-hati pembeli.

Setakat Januari 2007, hanya kira-kira 35,000 kenderaan laku di pasaran tempatan kerana ramai pembeli menangguhkan pembelian serta mengambil sikap tunggu dan lihat prestasi industri ini. Penangguhan ini adalah bertujuan untuk mengelak kejatuhan nilai jualan semula kenderaan yang pada asasnya berdasarkan kepada tahun pengeluaran dan pengilangan kenderaan terbabit dan ini membawa kepada pembeli melakukan pembelian pada tahun baharu. Sebagai contoh pembeli yang berminat membeli kereta pada bulan Oktober 2006 akan menunggu sehingga Januari atau Februari 2007 untuk membeli kenderaan baharu.

Pertumbuhan yang agak sederhana ini juga adalah ekoran kelembapan ekonomi Amerika Syarikat (AS) dan Jepun yang sekian lama menjadi peneraju utama kepada industri ini. Namun begitu mengikut laporan Bank Negara dan Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) menjangkakan pertumbuhan prestasi ekonomi sebanyak 5.95 peratus pada tahun ini. Peratusan ini diharapkan dapat membina keyakinan pelabur sedia ada untuk terus kekal di sini dan berjaya menarik pelabur baharu dan berpotensi ke negara kita. Ianya juga diharapkan akan mempengaruhi pertumbuhan industri automobil negara secara keseluruhannya.

Perlaksanaan Dasar Automotif Negara (NAP) terus dilihat sebagai plan genius kerajaan ke arah penyediaan satu garis panduan yang lebih telus dan adil demi kebaikan dan perkembangan industri automotif negara. Dasar ini mampu memberi keyakinan dan menarik minat pelabur asing ke negara kita untuk tempoh jangka panjang berdasarkan kepada penstrukturan semula tarif baru dan cukai bidang ini. Dasar ini juga diharapkan sebagai alternatif kepada tahap perlindungan terbaik kepada industri automotif nasional.

Keunikan NAP dilihat dapat mengimbangi impak jangka panjang Kawasan Perdagangan Bebas ASEAN (AFTA) ke atas perkembangan industri automotif di negara kita. Ini adalah kerana AFTA dijangkakan bakal memberi kesan semulajadi kepada penarafan harga kereta di pasaran nasional. Langkah lain yang telah diambil oleh kerajaan bagi mengantikan duti import automotif semasa yang diturunkan dengan duti aksais perlu disokong sepenuhnya. Keadaan ini diharapkan mampu memastikan aliran pendapatan negara tidak terjejas dan terus stabil.

Pertumbuhan industri automobil global dan serantau dilihat lebih stabil dan berdaya maju. Indonesia dan Thailand kini menjadi pusat utama pemasangan kenderaan di rantau ini selain China. Syarikat-syarikat gergasi seperti Toyota, Honda, Nissan dan lain-lain dilihat begitu ghairah melabur di sana. Keadaan ini adalah berikutan tenaga kerja mahir yang mudah diperolehi di sana, bayaran gaji yang amat minima, kos operasi yang rendah dan beberapa insentif lain yang disediakan oleh negara tersebut.

Senario di negara kita pula dijangka boleh berkembang sebagai pusat pemasangan utama kenderaan luar di mana kini terdapat usaha pemasangan kereta Mercedes Benz, Toyota, Kia dan lain-lain di Pahang, Melaka dan Kedah. Situasi dan perkembangan positif ini mampu merangsang pertumbuhan industri automotif nasional kerana pemasangan dalam bentuk unit terurai (CKD) atau unit tetap CBU boleh dilakukan di sini walaupun kebanyakan komponen yang digunakan adalah dari lingkungan dari negara Asean dan luar Asean.

Kerancakkan industri automotif nasional dan global kini sedikit terbantut dengan kenaikan harga besi dan keluli dunia yang dikatakan mencecah 30 peratus di pasaran dunia. Masalah utama ini kian mempengaruhi sektor pengeluaran automotif. Ini adalah kerana bahan material tersebut adalah komponen asas dan utama serta menjadi tulang belakang kepada industri ini.

Penurunan dolar AS juga sedikit sebanyak menjadi faktor penentu kepada industri ini kerana implikasinya kepada pasaran automotif dunia ialah kereta AS menjadi lebih murah berbanding bukan AS. Kenaikan dan penurunan harga minyak global turut mempengaruhi industri ini walaupun setakat ini harga minyak dunia masih berada dalam keadaan selesa iaitu dalam lingkungan AS$50 setong dan situasi ini dikatakan tidak menentu serta bersifat sementara.

Oleh yang demikian, demi survival industri automotif negara, kesetiaan pembeli tempatan perlu dipupuk di peringkat awal demi kesinambungan dan dinamik industri tempatan seperti kenderaan keluaran Proton, Naza dan Perodua. Kualiti dan prestasi kenderaan nasional perlu dipertingkatkan lagi demi kelansunsungan persaingan di peringkat global walaupun sehingga kini hampir 70 peratus pasaran kenderaan di Malaysia dikuasai oleh Proton dan Perodua.

Untuk itu Proton sebagai peneraju utama industri automotif negara perlu mengubah strategi pemasaran dan pemasangan mereka melalui pengenalan kenderaan generasi baharu MPV, SUV, 4WD dan lain-lain yang begitu digilai oleh pengguna moden masa kini. Mereka juga perlu memperkenalan model baharu yang lebih akomodatif, seduktif dan berprestasi tinggi. Masalah kelemahan teknikal dan komponen Proton perlu diatasi segera agar ianya tidak melarat dan memburukkan lagi imej dan identiti Proton. Inisiatif ini boleh diatasi dengan kerjasama pintar dilaksanakan antara syarikat automotif tempatan lain seperti NAZA dan lain-lain ataupun kerjasama international seperti General Motor, Mitsubishi dan lain-lain lagi.

Pasaran terbuka dan persaingan global juga merupakan cabaran utama kepada peneraju industri automotif nasional kerana pengguna kini mempunyai pilihan dan alternatif lain untuk menukarkan gaya hidup mereka dengan memiliki kenderaan baharu dari luar negara yang dikatakan lebih berkualiti. Sekiranya peneraju industri ini masih leka, selesa dan tidak mengambil tindakan segera untuk mengatasi masalah ini maka industri automotif tempatan akan terus tenggelam dan ditelan arus semasa permotoran.

Akhir kalam, kerajaan melalui Kementerian Kewangan, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri dan lain-lain agensi perlu tingkatkan usaha untuk mendepani implikasi yang bakal dihadapi ini. Konflik dan kerenah AP yang masih belum selesai hendaklah ditangani penuh bijaksana oleh pihak berwajib. Di samping itu, langkah menurunkan cukai jalan kereta nasional pada tahap lebih minima sekurang-kurangnya mampu menjadi daya penarik kepada pengguna untuk membeli kereta tempatan dan seterusnya mengekalkan kesetiaan mereka kepada kenderaan nasional. Seperkara lagi yang perlu dilakukan ialah penurunan kadar faedah pinjaman sewa beli kenderaan pada tahap yang paling minima juga boleh menjadi faktor penentu dan perkara ini perlulah mendapat kerjasama sepenuhnya daripada bank-bank tempatan.



Monday, January 22, 2007

MERAIKAN PELANCONG TANGGUNGJAWAB BERSAMA

Pelancong adalah tetamu negara yang wajar diraikan setingginya. Ini adalah kerana di samping para pelancong datang berduyun-duyun bertandang ke negara kita, tanpa kita sedari dan secara tidak langsung, sebenarnya mereka telah berbelanja sepanjang berada di negara kita dan ini sudah tentu menyumbang kepada aliran pendapatan negara. Sektor pelancongan kini adalah antara tiga penyumbang utama kepada kekuatan fiskal negara selepas petrolium dan perindustrian.

Pelancongan kini dilihat sebagai indikator utama kepada pertumbuhan ekonomi negara di samping menyediakan peluang pekerjaan yang banyak dan pelbagai kepada rakyat Malaysia. Oleh yang demikian, amat wajar dan tepat apabila kerajaan menyediakan peruntukan yang besar dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) di mana kerajaan begitu serius dan optimis menjadikan pelancongan sebagai medium utama kepada percaturan pemulihan ekonomi negara.

Walhasilnya, pelancaran Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2007 baru-baru ini adalah komitmen yang terpenting kerajaan dalam usaha menjana pendapatan negara dengan meramalkan jumlah kehadiran pelancong melebihi 20.1 juta dan perolehan pendapatan sebanyak RM44.4 billion. Di samping itu dianggarkan hampir 500 ribu peluang pekerjaan bakal tersedia kepada rakyat Malaysia. Ini adalah peluang keemasan yang seharusnya dipersiakan begitu sahaja.

TMM yang telah mula diperkenalkan pada tahun 1990, bermula sebagai usaha drastik kerajaan menjual Malaysia di mata dunia dan ianya telah berjaya menarik seramai 7.4 juta pelancong ke negara kita dengan pendapatan negara sebanyak RM4.47 billion. Tahun lalu sahaja kita telah berjaya memikat hampir 17 juta pelancong dengan menjana pulangan dana negara sebanyak RM37.7 billion. Ini adalah merupakan usaha genius kerajaan melalui Kementerian Pelancongan dan beberapa agensi kerajaan dan swasta, di mana natijahnya memberi nafas baru dan rangsangan kepada survival ekonomi negara. (Laman web Kementerian Pelancongan Malaysia)

Untuk itu, kerajaan hendaklah memanupulasikan sepenuhnya model Islam Hadhari sebagai teras dan wahana terbaik untuk implimentasikan sektor pelancongan negara berteraskan semangat kemalaysian dan keagamaan. Di sini apa yang penting ialah bagaimana kita meraikan tetamu negara ini sepanjang mereka berada di negara kita. Terdapat beberapa prinsip utama Islam Hadhari yang perlu diguna pakai sepanjang kita menjaya projek besar TMM 2007 yang antaranya ialah merealisasikan konsep amanah dan adil serta pembangunan ekonomi yang seimbang dan komprehensif.

Dalam ajaran Islam menghormati dan meraikan tetamu adalah ibadah yang amat dituntut dan terpuji. Perkara ini telah digambarkan di dalam Al-Quran dalam Al-Zariyat, ayat 26 yang bermaksud " Apakah telah sampai kepadamu cerita tetamu Ibrahim yang baik- baik itu. Ketika mereka masuk kepadanya dan memberi salam. Jawab Ibrahim: Selamat juga pada orang-orang yang belum dikenal. Maka segera dia masuk kepada keluarganya, dan datang kembali dengan membawa anak lembu yang gemuk yang telah disembelih dan dihidangkan kepada mereka sambil berkata: Tidaklah kamu makan?". ( Riyadus Salihin, 1995, ms. 527-528).

Manakala dalam sebuah hadis dari Abu Hurairah R.A berkata: " Bersabda Nabi S.A.W: Siapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia menghormati tetamunya. Dan siapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia merapatkan hubungan keluarganya. Dan barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, harus berkata baik atau diam." (HR Bukhari dan Muslim).

Menurut pemikir Islam Mustafa Masyhur, menghormati tetamu adalah amalan yang terpuji oleh Islam kerana ia dapat menguatkan semangat persaudaraan dan kasih sayang di antara kita. Sekiranya sifat ini ada pada satu-satu masyarakat maka setiap anggota masyarakat itu akan merasakan bahawa ia sentiasa berada di sisi keluarganya. Masyarakat Barat yang mengutamakan kebendaan tidak mempunyai sifat ini, bahkan berbuat baik dengan ibu bapa pun hampir tidak ada. (Suri Teladan Di Sepanjang Jalan Dakwah, 1989, ms. 87)

Bagi pendakwah terkenal Mohd. Ali Hashimi pula, Islam telah menjadikan dhiyafah atau menyambut dan menerima tetamu serta melayani mereka dengan gembira dan ikhlas hati sebagai perkara wajib ke atas tiap-tiap muslim. Ini adalah hak yang fardu bagi tetamu, yang tidak patut dicuaikan oleh seorang Islam. Menerima tetamu di dalam Islam bukanlah satu perkara yang boleh dipilih-pilih dan suka-suka begitu sahaja menurut keinginan hati seseorang. Tetapi urusan ini adalah satu kewajipan dan wajib ditunaikan dengan segera. Dalam satu hadis Rasulullah bersabda yang bermaksud: " Tidak ada kebaikan bagi orang yang tidak menerima tetamu " (HR Bukhari).

Menurut beliau lagi, seorang Muslim yang sejati dan telah sebati jiwanya dengan pengertian kemurahan, sudah pasti suka menerima tetamu dan menghormatinya. Dia tersenyum simpul dengan hati gembira apabila menyambut tetamunya. Dia bersegera menghormatinya kerana menyahut seruan akhlak Islam yang sejati di dalam dirinya hasil dari pancaran iman kepada Allah S.W.T dan hari akhirat. ( Keperibadian Muslim, 1988, ms. 265-266).

Oleh yang demikian, dalam kemeriahan kita meraikan pelancong di negara kita maka akhlak kita hendaklah dikawal agar tidak tersasar dari landasan agama. Ini adalah kerana akhlak dan moral masyarakat kita melambangkan keperibadian masyarakat negara keseluruhannya. Kita perlu menunjukkan contoh tauladan yang terbaik kepada pelancong berbudaya budi bahasa yang tinggi dan berhemah.

Di samping itu konsep jujur dan amanah perlu dihayati sepenuhnya sepanjang berurusan dengan pelancong di mana para peniaga tidak boleh menipu dan meletakkan harga yang tidak munasabah kepada pelancong semasa urusniaga berlaku. Agensi dan agen pelancongan juga tidak seharusnya menekan dan memperdayakan pelancong asing demi untuk mengaut keuntungan yang berlebihan. Para pemandu teksi dan pemandu pelancong juga dinasihatkan agar berlaku jujur dengan pelancong yang merupakan tetamu negara kita. Mereka tidak sewajarnya mengenakan tambang dan bayaran insentif yang tinggi dan mengambil kesempatan ke atas kesusahan pelancong di negara kita.

Terdapat juga beberapa adab yang perlu diaplikasikan sepanjang bermuamalah dengan para pelancong seperti memberi salam kepada yang Islam dan memuji mereka dengan ucapan selamat bagi yang bukan Islam. Kita juga hendaklah sentiasa bersedia membantu para pelancong dalam apa jua keadaan tanpa mengharapkan sebarang habuan kerana mereka adalah tetamu negara. Tutur kata dan tingkah laku hendaklah dijaga agar kita tidak menjadi bahan tawaan pelancong luar negara. Ini adalah kerana budi bahasa adalah budaya kita.

Prinsip Rukun Negara iaitu kesopanan dan kesusilaan perlu diterjemahkan sepenuhnya. Sikap tidak ambil tahu, sombong dan sambil lewa terhadap pelancong asing hanya akan merugikan negara dan boleh mencacatkan budaya rakyat Malaysia yang di pandang mulia oleh negara luar terutamanya negara Dunia Ketiga. Atas premis itu, kerajaan dan rakyat seluruhnya perlu turun padang berganding bahu untuk menyambut tetamu negara ini serta melaksanakan tanggungjawab masing-masing berusaha menaikkan kehebatan, kegemilangan tamadun dan menjual identiti Malaysia kepada mereka.

Konklusinya, bagi menjayakan misi besar ini maka pihak berwajib seperti polis, pihak PBT, badan NGO, agensi di bawah Kementerian Pelancongan, pemimpin setempat dan masyarakat awam umumnya hendaklah bekerjasama memantau bagi memastikan pelancong di negara kita dilayan dan ditatang sepenuhnya serta tidak menjadi mangsa keadaan dan individu yang tidak bertanggungjawab. Kita tidak mahu model dan semangat Islam Hadhari yang begitu gah di mata dunia tercemari oleh perlakuan yang tidak bermoral dan tidak bertamadun yang boleh merencatkan usaha kerajaan menjana ekonomi negara.