MERAIKAN PELANCONG TANGGUNGJAWAB BERSAMA

Pelancong adalah tetamu negara yang wajar diraikan setingginya. Ini adalah kerana di samping para pelancong datang berduyun-duyun bertandang ke negara kita, tanpa kita sedari dan secara tidak langsung, sebenarnya mereka telah berbelanja sepanjang berada di negara kita dan ini sudah tentu menyumbang kepada aliran pendapatan negara. Sektor pelancongan kini adalah antara tiga penyumbang utama kepada kekuatan fiskal negara selepas petrolium dan perindustrian.

Pelancongan kini dilihat sebagai indikator utama kepada pertumbuhan ekonomi negara di samping menyediakan peluang pekerjaan yang banyak dan pelbagai kepada rakyat Malaysia. Oleh yang demikian, amat wajar dan tepat apabila kerajaan menyediakan peruntukan yang besar dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) di mana kerajaan begitu serius dan optimis menjadikan pelancongan sebagai medium utama kepada percaturan pemulihan ekonomi negara.

Walhasilnya, pelancaran Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2007 baru-baru ini adalah komitmen yang terpenting kerajaan dalam usaha menjana pendapatan negara dengan meramalkan jumlah kehadiran pelancong melebihi 20.1 juta dan perolehan pendapatan sebanyak RM44.4 billion. Di samping itu dianggarkan hampir 500 ribu peluang pekerjaan bakal tersedia kepada rakyat Malaysia. Ini adalah peluang keemasan yang seharusnya dipersiakan begitu sahaja.

TMM yang telah mula diperkenalkan pada tahun 1990, bermula sebagai usaha drastik kerajaan menjual Malaysia di mata dunia dan ianya telah berjaya menarik seramai 7.4 juta pelancong ke negara kita dengan pendapatan negara sebanyak RM4.47 billion. Tahun lalu sahaja kita telah berjaya memikat hampir 17 juta pelancong dengan menjana pulangan dana negara sebanyak RM37.7 billion. Ini adalah merupakan usaha genius kerajaan melalui Kementerian Pelancongan dan beberapa agensi kerajaan dan swasta, di mana natijahnya memberi nafas baru dan rangsangan kepada survival ekonomi negara. (Laman web Kementerian Pelancongan Malaysia)

Untuk itu, kerajaan hendaklah memanupulasikan sepenuhnya model Islam Hadhari sebagai teras dan wahana terbaik untuk implimentasikan sektor pelancongan negara berteraskan semangat kemalaysian dan keagamaan. Di sini apa yang penting ialah bagaimana kita meraikan tetamu negara ini sepanjang mereka berada di negara kita. Terdapat beberapa prinsip utama Islam Hadhari yang perlu diguna pakai sepanjang kita menjaya projek besar TMM 2007 yang antaranya ialah merealisasikan konsep amanah dan adil serta pembangunan ekonomi yang seimbang dan komprehensif.

Dalam ajaran Islam menghormati dan meraikan tetamu adalah ibadah yang amat dituntut dan terpuji. Perkara ini telah digambarkan di dalam Al-Quran dalam Al-Zariyat, ayat 26 yang bermaksud " Apakah telah sampai kepadamu cerita tetamu Ibrahim yang baik- baik itu. Ketika mereka masuk kepadanya dan memberi salam. Jawab Ibrahim: Selamat juga pada orang-orang yang belum dikenal. Maka segera dia masuk kepada keluarganya, dan datang kembali dengan membawa anak lembu yang gemuk yang telah disembelih dan dihidangkan kepada mereka sambil berkata: Tidaklah kamu makan?". ( Riyadus Salihin, 1995, ms. 527-528).

Manakala dalam sebuah hadis dari Abu Hurairah R.A berkata: " Bersabda Nabi S.A.W: Siapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia menghormati tetamunya. Dan siapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia merapatkan hubungan keluarganya. Dan barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, harus berkata baik atau diam." (HR Bukhari dan Muslim).

Menurut pemikir Islam Mustafa Masyhur, menghormati tetamu adalah amalan yang terpuji oleh Islam kerana ia dapat menguatkan semangat persaudaraan dan kasih sayang di antara kita. Sekiranya sifat ini ada pada satu-satu masyarakat maka setiap anggota masyarakat itu akan merasakan bahawa ia sentiasa berada di sisi keluarganya. Masyarakat Barat yang mengutamakan kebendaan tidak mempunyai sifat ini, bahkan berbuat baik dengan ibu bapa pun hampir tidak ada. (Suri Teladan Di Sepanjang Jalan Dakwah, 1989, ms. 87)

Bagi pendakwah terkenal Mohd. Ali Hashimi pula, Islam telah menjadikan dhiyafah atau menyambut dan menerima tetamu serta melayani mereka dengan gembira dan ikhlas hati sebagai perkara wajib ke atas tiap-tiap muslim. Ini adalah hak yang fardu bagi tetamu, yang tidak patut dicuaikan oleh seorang Islam. Menerima tetamu di dalam Islam bukanlah satu perkara yang boleh dipilih-pilih dan suka-suka begitu sahaja menurut keinginan hati seseorang. Tetapi urusan ini adalah satu kewajipan dan wajib ditunaikan dengan segera. Dalam satu hadis Rasulullah bersabda yang bermaksud: " Tidak ada kebaikan bagi orang yang tidak menerima tetamu " (HR Bukhari).

Menurut beliau lagi, seorang Muslim yang sejati dan telah sebati jiwanya dengan pengertian kemurahan, sudah pasti suka menerima tetamu dan menghormatinya. Dia tersenyum simpul dengan hati gembira apabila menyambut tetamunya. Dia bersegera menghormatinya kerana menyahut seruan akhlak Islam yang sejati di dalam dirinya hasil dari pancaran iman kepada Allah S.W.T dan hari akhirat. ( Keperibadian Muslim, 1988, ms. 265-266).

Oleh yang demikian, dalam kemeriahan kita meraikan pelancong di negara kita maka akhlak kita hendaklah dikawal agar tidak tersasar dari landasan agama. Ini adalah kerana akhlak dan moral masyarakat kita melambangkan keperibadian masyarakat negara keseluruhannya. Kita perlu menunjukkan contoh tauladan yang terbaik kepada pelancong berbudaya budi bahasa yang tinggi dan berhemah.

Di samping itu konsep jujur dan amanah perlu dihayati sepenuhnya sepanjang berurusan dengan pelancong di mana para peniaga tidak boleh menipu dan meletakkan harga yang tidak munasabah kepada pelancong semasa urusniaga berlaku. Agensi dan agen pelancongan juga tidak seharusnya menekan dan memperdayakan pelancong asing demi untuk mengaut keuntungan yang berlebihan. Para pemandu teksi dan pemandu pelancong juga dinasihatkan agar berlaku jujur dengan pelancong yang merupakan tetamu negara kita. Mereka tidak sewajarnya mengenakan tambang dan bayaran insentif yang tinggi dan mengambil kesempatan ke atas kesusahan pelancong di negara kita.

Terdapat juga beberapa adab yang perlu diaplikasikan sepanjang bermuamalah dengan para pelancong seperti memberi salam kepada yang Islam dan memuji mereka dengan ucapan selamat bagi yang bukan Islam. Kita juga hendaklah sentiasa bersedia membantu para pelancong dalam apa jua keadaan tanpa mengharapkan sebarang habuan kerana mereka adalah tetamu negara. Tutur kata dan tingkah laku hendaklah dijaga agar kita tidak menjadi bahan tawaan pelancong luar negara. Ini adalah kerana budi bahasa adalah budaya kita.

Prinsip Rukun Negara iaitu kesopanan dan kesusilaan perlu diterjemahkan sepenuhnya. Sikap tidak ambil tahu, sombong dan sambil lewa terhadap pelancong asing hanya akan merugikan negara dan boleh mencacatkan budaya rakyat Malaysia yang di pandang mulia oleh negara luar terutamanya negara Dunia Ketiga. Atas premis itu, kerajaan dan rakyat seluruhnya perlu turun padang berganding bahu untuk menyambut tetamu negara ini serta melaksanakan tanggungjawab masing-masing berusaha menaikkan kehebatan, kegemilangan tamadun dan menjual identiti Malaysia kepada mereka.

Konklusinya, bagi menjayakan misi besar ini maka pihak berwajib seperti polis, pihak PBT, badan NGO, agensi di bawah Kementerian Pelancongan, pemimpin setempat dan masyarakat awam umumnya hendaklah bekerjasama memantau bagi memastikan pelancong di negara kita dilayan dan ditatang sepenuhnya serta tidak menjadi mangsa keadaan dan individu yang tidak bertanggungjawab. Kita tidak mahu model dan semangat Islam Hadhari yang begitu gah di mata dunia tercemari oleh perlakuan yang tidak bermoral dan tidak bertamadun yang boleh merencatkan usaha kerajaan menjana ekonomi negara.

Comments

Popular Posts