Saturday, February 24, 2007

REFORMASI INSTITUSI ULAMA MALAYSIA

Institusi Ulama adalah benteng terakhir umat Islam dulu, kini dan selamanya. Institusi ini diasaskan atas landasan yang dibina sejak zaman kepimpinan agung Nabi Muhammad s.a.w lagi.

Kewujudannya adalah bagi menjawab segala persoalan dan permasalahan umat yang akan berpanjangan sehingga ke hari kiamat. Pandangan pemikir Islam, Ismail Al-Faruqi terhadap institusi ini ialah " It inspires and moves the Muslim, to change himself, the others, nature and the world". ( Hilmy Bakar Almascaty, 1994. Ummah Melayu: Kuasa Baru Dunia Abad Ke-21. Kuala Lumpur: Berita Publishing Sdn. Bhd. )

Kerelevanan dan keunggulan institusi ini adalah bergantung sepenuhnya kepada penerimaan serta kekuatan umat Islam selamanya.

Sejak lebih 1400 tahun dahulu lagi, Rasulullah s.a.w telah berpesan bahawa institusi ini adalah pewaris para nabi bagi dalam usaha merealisasikan inisiatif dan aspirasi sepeninggalan baginda. Ini adalah tugas dan amanah paling besar perlu dipikul institusi ini.

Lebih hebat lagi Allah s.w.t telah bersumpah di dalam Al-Quran bahawa orang yang paling takut kepadaNya adalah golongan ulama yang sudah tentu menjadi peneraju institusi besar ini. Dalam surah Fatir, ayat 28, firman Allah s.w.t yang bermaksud: " Sebenarnya orang yang menaruh bimbang dan takut (melanggar perintah) Allah dari kalangan hamba-hambaNya hanyalah orang-orang yang berilmu (ulama)".

Kesinambungan dan kewibawaan institusi ini diteruskan oleh para sahabat baginda, tabi' tabien, salafus soleh, ulamak mujtahid terkemudian dan selanjutnya oleh ulama mutakhir kini. Dalam buku Islam dan Umat Islam, ulama telah didefinisikan sebagai jamak kepada alim, yang bermakna "berilmu" atau "ilmuan"; ilmuan Islam atau mereka yang berilmu dalam agama Islam; pencari ilmu; dan ahli teologi. ( Mahathir Mohamad, 2003. Islam dan Umat Islam. Kuala Lumpur: Utusan Publications & Distributions Sdn. Bhd. )

Personaliti, evolusi dan kredibiliti institusi milik umat Islam ini terus dilihat berada di landasan yang betul walaupun terdapat insiden serta tribulasi yang cuba menggugat keampuhan dan kedominan institusi ini.

Momentum dan impak positif institusi ini kini diyakini mampu menyelesaikan permasalahan dan persoalan semasa yang dihadapi oleh umat terutamanya di Malaysia walaupun kadang-kala berhadapan dengan imej negatif serta implikasi diketepikan masyarakat umum yang hidup dalam variasi agama dan bangsa.

Namun persoalannya, sejauhmanakah institusi ini mampu bertahan dan bertapak kukuh sebagai badan reformis; juru bicara umat; meneraju transformasi umat dan agama; di samping mengangkat martabatnya sebagai benteng terakhir umat masa kini.

Sedalam manakah penerimaan dan kepedulian masyarakat umum ke atas institusi ini yang kadang-kala dilihat semakin lemah, kaku, tidak popular, hilang arah, tidak relevan dan pelbagai lagi label negatif yang merencatkan fungsi serta peranannya.

Keadaan ini terkesan apabila masyarakat lebih mengenali ahli politik, artis popular, ahli akademik, ahli perniagaan yang berjaya dalam dan luar negara serta ramai lagi tokoh yang menjadi pujaan dan sokongan, tetapi malangnya ramai di antara kita yang masih tidak mengenali nama dan fungsi tokoh agamawan negara seperti mufti dan ulamak di negeri masing-masing; melupakan jasa dan sumbangan tokoh-tokoh besar agama dalam dan luar negara; tidak memperdulikan peranan ulamak tempatan dan setempak; apatah lagi bersama-sama berganding bahu melakukan islah dalam masyarakat.

Lebih malang lagi masih terdapat individu yang tidak mengenali nama sebenar dan kitab yang dikarang oleh Imam Syafie serta latar belakang perkembangan mazhab beliau yang merupakan mazhab rasmi umat Islam di Malaysia serta termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan.

Di samping itu, masih ada sebilangan besar daripada kita yang langsung tidak mengenali tokoh mazhab unggul lain seperti Hanafi, Maliki dan Hambali. Apatah lagi sejarah dan penglibatan mereka dalam menegakkan agama Allah yang penuh dengan fitnah dan mehnah hatta ada di kalangan mereka yang riwayat hidupnya berakhir di penjara dan tali gantung langsung tidak dipedulikan.

Sementara itu, idola unik lain seperti tokoh hadis Bukhari, Muslim, Tarmidzi, Ibnu Majah dan An-Nasai seringkali tidak mendapat tempat di dalam senarai tokoh yang kita sanjungi dan sayangi.

Berapa ramaikah di kalangan kita yang menyanjung dan menghormati ikon popular umat Islam seperti Ibnu Khaldun, Ibnu Rush, Al-Farabi, Ibnu Sina, Ibnu Taimiyyah, Al-Ghazali, Al-Kindi, Ibnu Batutah, Jabir Hayyan, Ibnu Hazm, Al-Idrisi, Al-Khawarizmi, Al-Tusi, Al-Haitham dan ramai lagi yang sekian lama diiktiraf dunia Islam dan bukan Islam dalam arena sains, perubatan, matematik, fizik, geografi, astronomi, kimia, algebra, kejuruteraan, sejarah, teknologi serta pelbagai disiplin ilmiah lain.

Pernahkan kita membaca dan mendalami karya-karya magnum opus mereka? Mungkinkah kita pernah melihat dan menelaah Al-Umm, Al-Muwatta', Al-Qanun Fi Al-Tibb, Al-Risalah, Muqaddimah, Ihya Ulumuddin, Madinah Al-Fadhilah dan lain-lain lagi yang pernah menggegarkan korpus intelektual dunia suatu ketika dahulu.

Penampilan, kredibiliti, dan inovasi mereka yang versatil dan kreatif ini perlu dicontohi oleh para ulama masa kini dan generasi ulama akan datang. Mereka tidak seharusnya bermain dan berlegar di dalam kancah penyelesaian hukum hakam semata-mata.

Kita juga masih belum betul-betul kenal dan mengagumi ulama nusantara seperti Syed Sheikh Al-Hadi, Za'ba, Hamzah Fansuri, Abdul Samad Al-Palembangi, Nuruddin Al-Raniri, Sheikh Tahir Jalaluddin, Tok Kenali, Abdullah Fahim dan yang seangkatan dengan mereka yang sanggup mengorbankan jiwa dan raga mereka menginstitusikan ilmu di dalam masyarakat Melayu serta mempertahan dan menempatkan Islam setingginya.

Bagaimana pula dengan ulama, pemikir dan tokoh gerakan Islam mutakhir seperti Yusuf Al-Qardawi, Al-Tantawi, Mustafa Masyhur, Said Ramadan, Hasan Al-Banna, Syed Qutb, Al-Maududi, Hasan Turabi, Mustafa Al-Siba'iyy, Wahbah Al-Zuhayli, Muhammad Mutawalli Al-Sya'rawi dan ramai lagi yang masih hidup ataupun yang telah lama meninggalkan kita.

Bagi yang telah meninggalkan kita, mereka sebenarnya telah meninggalkan prasarana dan medium dakwah yang begitu luas dan praktikal untuk dilaksana serta diterjemahkan kepada medium massa bersesuaian dengan realiti semasa.

Trend dan cabaran semasa institusi ulama masa kini khususnya di Malaysia ialah bagaimana mereka sedia membantu kerajaan mendidik dan membawa masyarakat Islam ke landasan yang betul di samping membina keyakinan masyarakat Islam dan bukan Islam terhadap kerajaan melalui aplikasi dan mekanisme Islam Hadhari di dalam seluruh dimensi dan aspek pentadbiran negara.

Ulama juga perlu mampu menerangkan kepada rakyat akan kepentingan dan hala tuju projek besar negara seperti hub halal, Industri Kecil dan Sederhana (IKS) yang didominasi umat Islam sebagai teras ekonomi dan fiskal negara; reformasi dan jihad ekonomi umat Islam melalui semangat dan ruh Dasar Ekonomi Baru (DEB); pembasmian kemiskinan dan rasuah secara total sehingga ke akar umbi; transformasi dasar kewangan dan saham Islam sebagai tunjang dan model ekonomi negara.

Selanjutnya mereka bersedia membantu kerajaan menjelaskan dasar pertanian negara sebagai perniagaan dan pelaburan yang menguntungkan serta selaras dengan inspirasi Islam terhadap pertanian; projek Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2007 yang mampu menarik lebih ramai pelancong negara Islam dan bukan Islam bagi menjana kembali dana negara serta menjadikan Malaysia sebagai model negara Islam yang maju, moden dan sofistikated serta lain-lain agenda besar kerajaan yang perlu dijuarai institusi ini.

Mereka juga mestilah mampu membicarakan persoalan yang lebih besar dan mencabar seperti isu dan soal teknologi maklumat, media dan kesenian, perubatan, bio-teknologi, ketenteraan, sains moden dan terkini negara telah pun bersedia menghantar ekspedisi pertama ke angkasa lepas tidak lama lagi.

Ini adalah peluang terbaik untuk para pemikir dan tokoh agamawan negara menerangkan kepada masyarakat akan peri pentingnya kita menjejaki dan menjelajah angkasa raya, di samping maslahatnya kepada perkembangan Islam di Malaysia.

Sebagai benteng terakhir umat Islam, institusi ini tidak boleh lemah dan dilemahkan. Mereka perlu lebih energetik, efisien, komited dan dinamik memacu serta memantau perkembangan Islam di Malaysia. Menurut Pemikir Islam Said Hawwa, "penyakit umat Islam dewasa ini telah menjangkiti lima bidang, 1. Ilmu Pegetahuan; 2. Pendidikan dan Moral; 3. Perancangan dan Program; 4. Organisasi dan Pengurusan; dan 5. Pelaksanaan". ( Said Hawwa, 1987. Durus Fi Al-Amal Al-Islami. Banggil: Al-Muslimun )

Segala permasalahan seperti keruntuhan moral dan akhlak muda-mudi; longgarnya institusi keluarga; hedonisme; semaraknya gerakan anti Islam seperti kumpulan ajaran sesat, murtad, pluralisme, anti hadis serta lain-lain; rapuhnya pentadbiran dan pengurusan negara; dan pelbagai lagi tribulasi yang tidak akan berhenti walaupun sesaat hendaklah ditangani secara lebih konsisten dan komprehensif.

Benarlah kata-kata dan janji Rasulullah s.a.w bahawa golongan ini yakni generasi ulama seumpama bintang bercahaya di langit yang sentiasa menerangi seluruh alam maya. Sabda Rasulullah yang bermaksud: " Perumpamaan seorang yang berilmu (ulama) di atas muka bumi ini adalah ibarat bintang bergemerlapan yang terang benderang di sisi gugusan bintang dan cakerawala yang lain yang menerangi kegelapan di daratan dan di lautan. Apabila bintang itu tidak bergemerlapan hampir-hampir menyebabkan manusia tersesat dan tersasar dari matlamatnya". (HR Ahmad)

Untuk itu mereka hendaklah melengkapi diri mereka dengan segala persiapan dan abiliti bagi mendepani segala cabaran, halangan dan dugaan. Mereka yakni genre agamawan tidak boleh sama sekali hanya mahir dan pakar berkenaan hukum halal dan haram sahaja di dalam dunia yang serba mencabar ini.

Amanah dan tanggungjawab memartabatkan institusi ini sebenarnya terletak kepada seluruh umat Islam tanpa kompromi menyokong dan menaruh harapan yang tinggi kepadanya kerana sekiranya institusi ini runtuh maka akibatnya umat Islam akan menjadi lemah, hilang arah dan maruah tercemar.

Dengan adanya institusi seperti Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Yayasan Dakwah Islamiyyah Malaysia (YADIM), Persatuan Ulamak Malaysia (PUM), Majlis Mufti-Mufti, Majlis Agama Islam di setiap negeri, badan-badan NGO Islam dan lain-lain adalah indikator serta penanda aras bahawa pentadbiran dan pengurusan Islam di Malaysia adalah terancang, sistematik dan sedang berada di landasan yang betul.

Namun begitu, usaha dan kejayaan ini tidak boleh selesa dan berhenti setakat ini sahaja kerana perjalanan kita masih jauh serta banyak lagi yang perlu dilakukan sewajarnya.

Sunday, February 18, 2007

WASIAT SEBAGAI INSTRUMEN TERBAIK PENGURUSAN HARTA

Wasiat adalah instrumen dan mekanisme terbaik kepada pengurusan dan pentadbiran aset dalam Islam. Tuntutan berwasiat tidak hanya tertentu kepada orang kaya dan berharta sahaja malahan orang yang miskin dan tidak berkemampuan juga perlu berwasiat sebelum menghembus nafas terakhir.

Persepsi bahawa wasiat hanya aplikasi pengurusan dan pentadbiran harta orang kaya dan gaya hidup mewah perlu diubah segera. Ini adalah kerana wasiat disyariatkan kepada seluruh umat manusia lantaran bukan Islam pun turut berwasiat menjelang kematiannya.

Sekitar tahun 1990an kita dikejutkan dengan laporan hampir RM30 bilion nilai aset umat Islam yang dibekukan dan tidak dituntut akibat kematian yang rata-ratanya tanpa wasiat di samping sistem pentadbiran dan pengurusan harta yang lemah. Terkini kita digemparkan sekali lagi dengan figure hampir RM40 bilion nilaian semasa aset umat Islam di Malaysia yang tidak dituntut atas alasan yang sama.

Situasi genting ini ekoran kelalaian umat Islam mentadbir harta mereka menurut syariat dan kurangnya maklumat serta rendahnya kesedaran berwasiat. Isu yang dianggap sensitif bagi sesetengah pihak dan dianggap tidak penting serta dipandang remeh ini telah membelenggu umat Islam sejak dahulu kala lagi sehinggalah di zaman serba moden dan sofistikated ini.

Lantaran itu, isu vital ini turut mendapat perhatian serius Timbalan Perdana Menteri (TPM)yang menggesa umat Islam di negara ini agar mengambil berat dan tidak lagi memandang ringan berkenaan pengurusan dan pentadbiran harta mereka iaitu melalui alternatif penyediaan wasiat ketika masih hidup lagi.

Islam telah menyediakan platform terbaik untuk mengurus dan mentadbir harta secara yang lebih bijaksana, namun ruang dan peluang ini tidak digunakan sepenuhnya oleh umat Islam masa kini.

Sekiranya umat Islam masih memandang remeh berkenaan penyediaan wasiat ke atas harta di bawah milikan dan kawalan mereka, maka sudah tentu nilaian aset tidak dituntut umat Islam akan terus bertambah dan dibekukan. Kelalaian ini amat tidak ekonomik dan amat merugikan negara. Seharusnya aset bernilai ini ditadbir dan diurus sebaik mungkin agar ianya bermanfaat kepada pihak yang memerlukan ataupun boleh disalurkan terus ke arah perkembangan dan kemajuan Islam di Malaysia.

Menurut istilah syarak, wasiat itu adalah pemberian seseorang kepada orang lain baik berupa wang, hutang ataupun manfaat untuk dimiliki oleh orang yang diberi wasiat sesudah orang yang berwasiat meninggal dunia. ( Sayyid Sabiq, 1990. Fikih Sunnah Edisi Malaysia. Kuala Lumpur: Victory Agencie, halaman 215 ).

Sebahagian fuqaha mendefinisikan wasiat sebagai pemberian hak milik secara sukarela yang dilaksanakan setelah pemberinya meninggal dunia. Di sini, terdapat perbezaan antara hibah dan wasiat. Pemilikan yang diperolehi dari hibah terjadi pada saat itu juga yakni ketika pemberinya masih hidup sedangkan pemilikan yang diperolehi dari wasiat hanya berlaku selepas kematian pewasiat tersebut. Di samping itu, hibah berupa barang, sementara wasiat boleh berupa barang, hutang ataupun manfaat.

Legaliti dan legitimasi wasiat adalah berpandukan firman Allah s.w.t dalam surah Al-Baqarah, ayat 180 yang bermaksud: " Diwajibkan ke atas kamu, apabila seseorang di antara kamu kedatangan tanda-tanda kematian, jika dia meninggalkan harta yang banyak, berwasiatlah untuk ibu bapa dan karib kerabatnya secara ma'ruf. Ini adalah kewajipan atas orang-orang yang bertakwa ".

Manakala dalam ayat lain pula Allah s.w.t telah berfirman yang bermaksud: "Wahai orang yang beriman, apabila salah seorang di antara kamu menghadapi kematian, sedang dia akan berwasiat, maka hendaklah wasiat itu disaksikan oleh dua orang yang adil di antara kamu..." ( Surah Al-Maidah, ayat 106 ).

Dalam sebuah hadis, dari Ibnu Umar bahawa Rasulullah pernah bersabda yang bermaksud: "Hak bagi seorang Muslim yang mempunyai sesuatu yang hendak diwasiatkan, sesudah bermalam selama dua malam tiada lain wasiatnya itu tertulis pada amal kebajikannya". Ibnu Umar berkata: " Tidak berlalu bagiku satu malam pun sejak aku mendengar Rasulullah s.a.w mengucapkan hadis itu kecuali wasiatku selalu berada di sisiku". (HR Bukhari dan Muslim)

Bagi Imam Syafie pula " Tidak ada keberhati-hatian dan keteguhan bagi seorang Muslim, melainkan bila wasiatnya itu tertulis dan berada di sisinya bila dia mempunyai sesuatu yang hendak diwasiatkan; sebab dia tidak tahu bilakah kedatangan ajalnya. Sebab bila dia mati sedqang wasiatnya tidak tertulis dan tidak berada di sisinya, maka wasiatnya mungkin tidak kesampaian".

Terdapat beberapa kelebihan sekiranya kita membuat persediaan awal menyediakan wasiat sebagai salah satu proses pengurusan dan pentadbiran aset di bawah kawalan dan milikan kita. Ini adalah kerana ianya dapat diselenggarakan dengan baik, efisien dan profesional dengan kos yang minima.

Wasiat kita dapat diurus dan ditadbir oleh orang yang bertauliah seperti peguam dan agen wasiat yang mempunyai kelayakan dalam mengendalikan segala urusan berkenaan wasiat merangkumi aspek dokumentasi, penyimpanan, pengurusan, pemeliharaan dan sehinggalah kepada urusan perlaksanaan wasiat itu sekiranya berlaku kematian.

Proses tuntutan harta pusaka juga menjadi lebih cepat, mudah dan lancar dengan adanya wasiat yang sah dan ini sudah tentu dapat mengelakkan berlakunya pergaduhan, perselisihan dan perebutan harta di kalangan waris yang berhak di kemudian hari.

Di Malaysia terdapat agensi kerajaan seperti Amanah Raya Berhad (ARB) dan agensi swasta seperti Amanah Hibah, Wasiyyah Shoppe dan banyak lagi yang menyediakan khidmat pengurusan dan pentadbiran wasiat secara yang lebih profesional dan sistematik.

Kebiasaannya aset yang dilaporkan terpaksa dibekukan ekoran tidak dituntut oleh pewaris yang berhak meliputi wang simpanan di Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), simpanan di koperasi dan bank, kereta, hartanah seperti rumah dan bangunan; simpanan unit trust, insuran, pelaburan saham syarikat; saham amanah ASN, ASB, ASW dan banyak lagi.

Sekiranya keadaan ini tidak diberi perhatian yang sewajarnya maka ianya akan memberi impak negatif kepada perkembangan ekonomi negara kerana aset-aset tersebut beku dan tidak dapat dimajukan sewajarnya. Oleh yang demikian, kerajaan perlulah melakukan sesuatu bagi menerapkan kepentingan berwasiat dan semua pihak hendaklah peka mentadbir serta mengurus harta mereka melalui medium wasiat.

Untuk itu, di samping penyediaan wasiat melalui khidmat peguam dan agen wasiat bertauliah, maklumat dan langganan khidmat ini boleh didapati melalui kaedah kursus gaya pos yang membekalkan buku dan VCD yang berkaitan yang banyak diiklankan di dalam akhbar utama tempatan ataupun melalui internet sama ada dalam versi bahasa Melayu ataupun bahasa Inggeris. Keadaan ini sudah tentu memudahkan orang ramai mempelajari cara-cara penyediaan wasiat yang betul dan selamat.

Apa yang diharapkan ialah masyarakat sedar, insaf dan berlakunya anjakan paradigma bahawa penyediaan wasiat yang komprehensif serta akomodatif merupakan persiapan awal mengurus dan mentadbir aset mereka tanpa kompromi.

Tuesday, February 06, 2007

PASARAN SAHAM PADA PANDANGAN ISLAM

Saham adalah akitiviti pelaburan ekonomi jangka pendek dan jangka panjang yang halal di mana segala urus niaganya adalah diharuskan oleh Islam. Namun begitu terdapat beberapa faktor yang perlu diambil kira bagi memastikan sesuatu saham yang ingin dilaburkan itu halal dan tidak menyalahi prinsip muamalah Islam.

Urus niaga saham dalam sesuatu institusi syarikat atau stok yang memperniagakan sesuatu yang dibenarkankan oleh Islam hukumnya harus kerana ia disifatkan sebagai berkongsi berbentuk pelaburan dalam sesuatu aktiviti perniagaan yang dilaksanakan. Ini adalah bersandarkan kepada firman Allah s.w.t dalam surah Al-Qasas, ayat 77 yang bermaksud : " Dan carilah pada apa yang telah dianugerahkan Allah kepadamu (kebahagiaan) negeri Akhirat dan janganlah kamu melupakan bahagianmu dari (kenikmatan) duniawi...".

Dengan demikian saham yang dimiliki itu boleh diperjualbelikan sepertimana urus niaga muamalah lain. Urus niaga saham juga sekiranya telah cukup haul yang ditetapkan maka wajib dikenakan zakat perniagaan sebanyak 2.5% dan istimewanya saham juga boleh diwakafkan sepertimana harta alih lain bagi tujuan kebajikan.

Sarjana Ekonomi Islam yang terkenal Abd. Al-Rahman Zaki Ibrahim (1998) menyatakan bahawa bursa saham adalah institusi permodalan contoh yang muncul dan berkembang semasa berkembangnya sistem kapitalis Barat. Contoh bursa ialah pasaran saham dan syer atau bon kerajaan yang beroperasi secara tunai (cepat) dan bertangguh atau hutang. Bursa memberikan banyak kebaikan kerana pemegang saham boleh mengetahui turun dan naik harga saham setiap hari melalui papan harga yang dipamerkan di syarikat bursa. Saham boleh ditukarkan kepada wang atau sebaliknya pada bila-bila masa sahaja. Saham juga boleh menjadi harta cair secara runcit atau seluruhnya pada bila-bila masa tanpa memecahkan harta tersebut. Dengan cara ini, bursa menggalakkan orang ramai untuk melaburkan harta masing-masing. (Petunjuk Amalan Ekonomi Islam, DBP, halaman 176-177)

Keharusan pembelian dan aktiviti saham tertakluk kepada beberapa syarat dan piawaian ketat yang ditetapkan oleh Islam. Menurut Nik Mustapha Nik Hassan (2006) urusniaga tersebut hendaklah tidak terdapat sebarang elemen riba dalam sumber pembiayaan pelaburan; tidak wujud unsur maisir atau judi dalam mekanisme kegiatan pelaburan; tidak terdapat elemen gharar atau sesuatu yang tidak jelas dan kabur dalam aktiviti-aktiviti ekonomi syarikat dan ianya tidak bercanggah dengan syariah; serta tidak terdapat unsur manipulasi pasaran atau bersifat penindasan yang boleh mempengaruhi harga sesuatu saham untuk kepentingan diri atau institusi terbabit. (Pentingnya Sektor Kewangan Dan Pasaran Saham, Berita Harian, 4 Oktober )

Di Malaysia, proses kawal selia dan pengawasan pasaran saham amat diberi penekanan oleh Suruhanjaya Sekuriti (SC), Indeks Syariah Kuala Lumpur (KLSI) dan Bursa Malaysia, di mana sesuatu aktiviti pelaburan halal hendaklah dilaburkan hanya di kaunter-kaunter pelaburan yang halal dan diluluskan oleh Majlis Pengawasan Syariah (MPS) yang terdiri daripada pakar ekonomi Islam, mufti, intelektual Islam dan sebagainya. Ianya juga melibatkan bon kerajaan, perkongsian untung al-Mudharabah, projek pelaburan di bawah prinsip al-Bai Bithaman Ajil, harta bangunan, dan lain-lain lagi.

Menurut Buletin Malaysian Islamic Capital Market (MICM) yang dikeluarkan oleh SC untuk bulan November 2006 (Bil. 1, No. 3), merekodkan bahawa terdapat hampir 886 stok atau 86 peratus pelaburan saham di Bursa Malaysia adalah diklasifikasikan sebagai halal serta shariah compliant. Fenomena ini boleh dilihat pada Papan Utama dan Kedua Bursa Malaysia yang meliputi stok barangan pengguna; barangan industri; pembinaan; dagangan/khidmat; kewangan; infrastrukur; hartanah; perladangan; perlombongan; hotel; teknologi; reits; dana tertutup; dana pertukaran dagangan dan Mesdaq.

Di samping KLSI, Indeks Komposit Kuala Lumpur (KLCI) turut bertindak secara positif sebagai pemangkin bulis daripada pasaran saham luar negara bagi mencatatkan rali berterusan ke paras tertinggi di mana saham mewah dan waran mampu meraih laba kukuh. Situasi ini menurut Kaladher Govindan (2007) bergantung kepada momentum positif termasuk usaha pengambilan untung dan minat jualan yang turut mempengaruhi saham-saham di kaunter halal bagi melepasi paras psikologi serta breakout KLCI. Seterusnya Indeks Perindustrian Dow Jones dan pengumuman Rizab Persekutuan Amerika Syarikat untuk mengekalkan kadar semalamannya pada 5.25 peratus pada 30 Januari 2007 turut membantu meningkatkan sentimen positif pelaburan serta mengurangkan kebimbangan terhadap kelembapan ekonomi dan pasaran saham Malaysia.(Kontrak Binaan Luar Negara Tambah Minat Pelabur Asing, Berita Harian, 5 Februari)

Menurut penganalisis saham Nazri Khan (2007) pula, KLCI dan KLSI masing-masing mencatatkan kenaikan tinggi sebanyak 37 peratus dan 35 peratus semenjak bermulanya menaik yang kukuh pada bulan Jun 2006. Sejak itu, kedua-dua indeks itu telah mewujudkan 'keluk parabolik yang tinggi' daripada 1,061 mata hingga 1,140 mata bagi Indeks Komposit dan 150 hingga 160 mata untuk Indeks Syariah. Menurut beliau, selagi garisan parabolik merentasi aliran menurun, pasaran Malaysia terutamanya di kaunter-kaunter halal secara teknikal kekal menaik. Ketika sektor teknologi lemah (ditutup pada 28.95 mata) menjejaskan sedikit kekukuhan pasaran manakala sebilangan sektor termasuk kewangan, industri, hartanah, perladangan dan perkhidmatan baru-baru ini menunjukkan prestasi baik dengan mencatatkan rekod. (Pasaran Diramal Terus Tarik Pembeli, Utusan Malaysia, 5 Februari)

Konklusinya, sebagai institusi intermediary, bagi Nik Mustapha Nik Hassan (2006), pasaran yang mantap, efisien, aktif, dan berdaya maju sudah pasti memiliki daya tarikan kepada masyarakat dalam dan luar negara untuk melabur dalam pembelian saham terbitan tempatan terutamanya saham-saham mewah seperti Proton, Golden Hope, Kulim dan lain-lain yang sebahagian besarnya merupakan pematuhan prinsip syariah secara teknikalnya berpotensi untuk mencatatkan untung kenaikan. Jumlah nilai dagangan yang bertambah besar akan menambahkan lagi dana dan peluang firma tempatan mengembangkan aktiviti ekonomi mereka. Oleh itu usaha untuk meningkatkan pembesaran dan pengemaskinian tred saham bagi menarik pelabur adalah usaha yang perlu kepada sesebuah negara secara holistik dan berterusan. Kejayaan mewujudkan kemantapan, kecergasan dan kestabilan pasaran saham adalah indikator positif kepada mekanisme pentadbiran dan pengurusan ekonomi negara kita.








Friday, February 02, 2007

HATI-HATI DENGAN HELAH PENGURUP WANG

Tindakan kerajaan meminda Akta Tukaran Wang Asing (ATWA) 1953 baru-baru amatlah diharapkan. Ini adalah kerana terdapat beberapa kelemahan dan ketidakseragaman di dalam akta tersebut terutamanya melibatkan seksyen dan peruntukan berkenaan definisi, penyiasatan, pemantauan, pendakwaan dan sebagainya. Sesuatu undang-undang yang dianggap lapuk dan tidak berkesan memerlukan kepada pindaan dan reformasi undang-undang bagi mengatasi masalah jenayah komersial ini yang kian berleluasa. Reformasi undang-undang seringkali dibangkitkan secara serius oleh Perdana Menteri Yang Amat Berhormat Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dalam siri-siri ucapan beliau.

Dalam laporan Bernama yang dipetik oleh akhbar pihak tuan semalam menyatakan bahawa kerajaan telah mengambil inisiatif meminda beberapa peruntukan di dalam ATWA 1953 yang secara tidak langsung melibatkan sekyen berkenaan jumlah amaun penalti kesalahan dan hukuman penjara ke atas kesalahan yang dilakukan di bawah akta tersebut. Di sini bagi pesalah atau Orang Kena Tuduh (OKT) yang telah didapati bersalah dan sabit kesalahan maka natijahnya dia boleh dikenakan hukuman penalti atau denda sehingga Ringgit Malaysia Satu juta dan boleh dikenakan hukuman penjara di antara tiga hingga lima tahun.

Sebelum ini hukuman bagi kesalahan di bawah ATWA 1953 hanya sejumlah Ringgit Malaysia Sepuluh ribu sahaja yang dianggap enteng oleh banyak pihak untuk membayarnya. Pindaan ini berkuatkuasa pada 1 Januari 2007 lalu lagi yang mana ianya melihatkan peruntukan hukuman yang lebih berat dan tegas ke atas mereka yang terlibat dalam urus niaga tukaran wang asing di negara kita.

Dengan pindaan tersebut, jumlah amaun penalti yang lebih tinggi ini diharapkan sekurang-kurangnya dapat menimbul rasa gerun dan serik kepada ejen-ejen tukaran wang asing yang tumbuh umpama cendawan selepas hujan di negara kita. Ada di antara mereka yang bergerak secara haram dan tidak memiliki lesen atau permit yang sah. Keadaan ini menyebabkan khalayak ramai menganggap kewujudan mereka adalah sah di sisi undang-undang kerana kegiatan dan premis mereka boleh dilihat mana-mana sahaja ceruk bandar besar dan kecil.

Pelbagai bentuk teknik dan helah yang digunakan oleh mereka untuk memperdaya orang ramai menyertai skim yang direka khas bagi mengaburi mata mangsa. Setakat tahun 2006 sahaja, kira-kira lima peniaga tukaran wang asing ditangkap atas pelbagai kesalahan dan perlanggaran ATWA 1953 di mana lanjutan dari itu hampir sepuluh kes yang sedang disiasat oleh Bank Negara yang merupakan badan induk utama yang mengendalikan kes-kes bersangkutan di samping Kementerian Kewangan.

Di antara bentuk laporan penipuan yang direkodkan ialah pengadu ditipu oleh ejen tukaran wang asing yang cuba menawarkan skim pelaburan tukaran yang asing tertentu dan juga yang urusniaganya dijalankan dalam mata wang Dinar Iraq dan mata wang Iran yang dikatakan mampu memberikan pulangan berganda kepada pelabur walaupun dengan jumlah pelaburan yang kecil. Spekulasi ini dilaksanakan secara sistematik dan efisien sehinggakan ianya dapat mengaburi mata bakal pelabur dan pihak pengguatkuasa yang bertanggungjawab dalam kes sebegini. Dalam keadaan ini ramai mangsa yang turut melibatkan peniaga, usahawan, golongan profesional, pelajar, masyarakat kebanyakan dan sebagainya berjaya diperdayakan menyertai skim palsu ini. Jenayah ini juga dijalankan secara siber dan transaksinya turut melibatkan penggunaan internet yang boleh diakses oleh sesiapa sahaja. Ini sudah tentu merumitkan kerja-kerja pemantauan dan pendakwaan oleh pihak berwajib.

Menurut Laporan Kementerian Kewangan, di Malaysia hanya bank-bank perdagangan dan institusi kewangan yang sah sahaja diberikan hak dan lesen untuk menjalankan urus niaga tukaran wang asing. Setakat ini tiada satupun entiti persendirian yang diberikan lesen menjalankan urus niaga ini. Ini adalah bagi mengelak berlakunya penipuan dan penyelewengan serta dapat menyekat usaha pihak tertentu mengambil kesempatan ke atas orang ramai. Situasi ini begitu diberi penekanan kerana ianya melibatkan transaksi sejumlah wang yang banyak, yang akan menyebabkan berlakunya aliran tunai yang tidak menentu dan mungkin juga berlakunya penipuan dalam urus niaga tersebut.

Apa yang perlu difahami oleh orang ramai ialah kewujudan sekian banyak pengurup wang di negara kita setakat ini hanyalah menjalankan urusniaga tukaran wang semata-mata dan tidak menjalankan urusniaga tukaran wang asing. Fenomena ini boleh dilihat terutamanya di lapangan terbang, kompleks perniagaan dan sebagainya. Keadaan ini perlu dihayati sepenuhnya agar kita tidak mudah diperdaya dan dipengaruhi oleh ejen-ejen yang tidak bertanggungjawab ini. Sekiranya terdapat situasi penipuan ini berlaku kepada diri anda maka wajarlah dilaporkan kepada pihak berkuasa agar tindakan lanjutan dan pendakwaan dapat dilakukan ke atas kesalahan yang mereka lakukan. Mereka perlu diberikan hukuman yang setimpal dengan kesalahan yang dilakukan dan agar ianya menjadi tauladan kepada semua.

Pihak berwajib seperti Bank Negara dan Kementerian Kewangan juga perlu tegas memantau dan kompeten membanteras jenayah komersial ini dengan membawa OKT kemuka pengadilan. Usaha berterusan dan komitmen yang jitu perlu diakomodasikan secara holistik bagi menyekat sebarang aktiviti yang bercanggah dengan peruntuk ATWA 1953. Sepanjang pengamatan penulis setakat ini belum ada lagi kes-kes seperti ini dilaporkan di dalam jurnal undang-undang utama seperti Malayan Law Journal (MLJ), Current Law Journal (CLJ) dan lain-lain secara serius. Ini adalah kerana mungkin kes-kes seperti ini belum lagi dibawa ke mahkamah yang lebih tinggi ataupun kes-kes seperti ini berjaya dikawal selia dengan baik oleh pihak berwajib ataupun ianya dianggap sebagai kes-kes terpencil sahaja.

Konklusinya, apa yang diharapkan ialah kesedaran yang tinggi perlu diterapkan kepada orang ramai agar sentiasa berhati-hati dalam sebarang urusniaga yang melibatkan wang; tidak mudah ditipu dan dipengaruhi; mereka perlu diselidiki dahulu latar belakang sesuatu agensi yang ingin berurusniaga dan tidak terlalu cepat mengejar kekayaan secara jalan pintas serta jangan senang hilang pertimbangan apabila dilayur dengan keuntungan yang mengiurkan.