Saturday, February 24, 2007

REFORMASI INSTITUSI ULAMA MALAYSIA

Institusi Ulama adalah benteng terakhir umat Islam dulu, kini dan selamanya. Institusi ini diasaskan atas landasan yang dibina sejak zaman kepimpinan agung Nabi Muhammad s.a.w lagi.

Kewujudannya adalah bagi menjawab segala persoalan dan permasalahan umat yang akan berpanjangan sehingga ke hari kiamat. Pandangan pemikir Islam, Ismail Al-Faruqi terhadap institusi ini ialah " It inspires and moves the Muslim, to change himself, the others, nature and the world". ( Hilmy Bakar Almascaty, 1994. Ummah Melayu: Kuasa Baru Dunia Abad Ke-21. Kuala Lumpur: Berita Publishing Sdn. Bhd. )

Kerelevanan dan keunggulan institusi ini adalah bergantung sepenuhnya kepada penerimaan serta kekuatan umat Islam selamanya.

Sejak lebih 1400 tahun dahulu lagi, Rasulullah s.a.w telah berpesan bahawa institusi ini adalah pewaris para nabi bagi dalam usaha merealisasikan inisiatif dan aspirasi sepeninggalan baginda. Ini adalah tugas dan amanah paling besar perlu dipikul institusi ini.

Lebih hebat lagi Allah s.w.t telah bersumpah di dalam Al-Quran bahawa orang yang paling takut kepadaNya adalah golongan ulama yang sudah tentu menjadi peneraju institusi besar ini. Dalam surah Fatir, ayat 28, firman Allah s.w.t yang bermaksud: " Sebenarnya orang yang menaruh bimbang dan takut (melanggar perintah) Allah dari kalangan hamba-hambaNya hanyalah orang-orang yang berilmu (ulama)".

Kesinambungan dan kewibawaan institusi ini diteruskan oleh para sahabat baginda, tabi' tabien, salafus soleh, ulamak mujtahid terkemudian dan selanjutnya oleh ulama mutakhir kini. Dalam buku Islam dan Umat Islam, ulama telah didefinisikan sebagai jamak kepada alim, yang bermakna "berilmu" atau "ilmuan"; ilmuan Islam atau mereka yang berilmu dalam agama Islam; pencari ilmu; dan ahli teologi. ( Mahathir Mohamad, 2003. Islam dan Umat Islam. Kuala Lumpur: Utusan Publications & Distributions Sdn. Bhd. )

Personaliti, evolusi dan kredibiliti institusi milik umat Islam ini terus dilihat berada di landasan yang betul walaupun terdapat insiden serta tribulasi yang cuba menggugat keampuhan dan kedominan institusi ini.

Momentum dan impak positif institusi ini kini diyakini mampu menyelesaikan permasalahan dan persoalan semasa yang dihadapi oleh umat terutamanya di Malaysia walaupun kadang-kala berhadapan dengan imej negatif serta implikasi diketepikan masyarakat umum yang hidup dalam variasi agama dan bangsa.

Namun persoalannya, sejauhmanakah institusi ini mampu bertahan dan bertapak kukuh sebagai badan reformis; juru bicara umat; meneraju transformasi umat dan agama; di samping mengangkat martabatnya sebagai benteng terakhir umat masa kini.

Sedalam manakah penerimaan dan kepedulian masyarakat umum ke atas institusi ini yang kadang-kala dilihat semakin lemah, kaku, tidak popular, hilang arah, tidak relevan dan pelbagai lagi label negatif yang merencatkan fungsi serta peranannya.

Keadaan ini terkesan apabila masyarakat lebih mengenali ahli politik, artis popular, ahli akademik, ahli perniagaan yang berjaya dalam dan luar negara serta ramai lagi tokoh yang menjadi pujaan dan sokongan, tetapi malangnya ramai di antara kita yang masih tidak mengenali nama dan fungsi tokoh agamawan negara seperti mufti dan ulamak di negeri masing-masing; melupakan jasa dan sumbangan tokoh-tokoh besar agama dalam dan luar negara; tidak memperdulikan peranan ulamak tempatan dan setempak; apatah lagi bersama-sama berganding bahu melakukan islah dalam masyarakat.

Lebih malang lagi masih terdapat individu yang tidak mengenali nama sebenar dan kitab yang dikarang oleh Imam Syafie serta latar belakang perkembangan mazhab beliau yang merupakan mazhab rasmi umat Islam di Malaysia serta termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan.

Di samping itu, masih ada sebilangan besar daripada kita yang langsung tidak mengenali tokoh mazhab unggul lain seperti Hanafi, Maliki dan Hambali. Apatah lagi sejarah dan penglibatan mereka dalam menegakkan agama Allah yang penuh dengan fitnah dan mehnah hatta ada di kalangan mereka yang riwayat hidupnya berakhir di penjara dan tali gantung langsung tidak dipedulikan.

Sementara itu, idola unik lain seperti tokoh hadis Bukhari, Muslim, Tarmidzi, Ibnu Majah dan An-Nasai seringkali tidak mendapat tempat di dalam senarai tokoh yang kita sanjungi dan sayangi.

Berapa ramaikah di kalangan kita yang menyanjung dan menghormati ikon popular umat Islam seperti Ibnu Khaldun, Ibnu Rush, Al-Farabi, Ibnu Sina, Ibnu Taimiyyah, Al-Ghazali, Al-Kindi, Ibnu Batutah, Jabir Hayyan, Ibnu Hazm, Al-Idrisi, Al-Khawarizmi, Al-Tusi, Al-Haitham dan ramai lagi yang sekian lama diiktiraf dunia Islam dan bukan Islam dalam arena sains, perubatan, matematik, fizik, geografi, astronomi, kimia, algebra, kejuruteraan, sejarah, teknologi serta pelbagai disiplin ilmiah lain.

Pernahkan kita membaca dan mendalami karya-karya magnum opus mereka? Mungkinkah kita pernah melihat dan menelaah Al-Umm, Al-Muwatta', Al-Qanun Fi Al-Tibb, Al-Risalah, Muqaddimah, Ihya Ulumuddin, Madinah Al-Fadhilah dan lain-lain lagi yang pernah menggegarkan korpus intelektual dunia suatu ketika dahulu.

Penampilan, kredibiliti, dan inovasi mereka yang versatil dan kreatif ini perlu dicontohi oleh para ulama masa kini dan generasi ulama akan datang. Mereka tidak seharusnya bermain dan berlegar di dalam kancah penyelesaian hukum hakam semata-mata.

Kita juga masih belum betul-betul kenal dan mengagumi ulama nusantara seperti Syed Sheikh Al-Hadi, Za'ba, Hamzah Fansuri, Abdul Samad Al-Palembangi, Nuruddin Al-Raniri, Sheikh Tahir Jalaluddin, Tok Kenali, Abdullah Fahim dan yang seangkatan dengan mereka yang sanggup mengorbankan jiwa dan raga mereka menginstitusikan ilmu di dalam masyarakat Melayu serta mempertahan dan menempatkan Islam setingginya.

Bagaimana pula dengan ulama, pemikir dan tokoh gerakan Islam mutakhir seperti Yusuf Al-Qardawi, Al-Tantawi, Mustafa Masyhur, Said Ramadan, Hasan Al-Banna, Syed Qutb, Al-Maududi, Hasan Turabi, Mustafa Al-Siba'iyy, Wahbah Al-Zuhayli, Muhammad Mutawalli Al-Sya'rawi dan ramai lagi yang masih hidup ataupun yang telah lama meninggalkan kita.

Bagi yang telah meninggalkan kita, mereka sebenarnya telah meninggalkan prasarana dan medium dakwah yang begitu luas dan praktikal untuk dilaksana serta diterjemahkan kepada medium massa bersesuaian dengan realiti semasa.

Trend dan cabaran semasa institusi ulama masa kini khususnya di Malaysia ialah bagaimana mereka sedia membantu kerajaan mendidik dan membawa masyarakat Islam ke landasan yang betul di samping membina keyakinan masyarakat Islam dan bukan Islam terhadap kerajaan melalui aplikasi dan mekanisme Islam Hadhari di dalam seluruh dimensi dan aspek pentadbiran negara.

Ulama juga perlu mampu menerangkan kepada rakyat akan kepentingan dan hala tuju projek besar negara seperti hub halal, Industri Kecil dan Sederhana (IKS) yang didominasi umat Islam sebagai teras ekonomi dan fiskal negara; reformasi dan jihad ekonomi umat Islam melalui semangat dan ruh Dasar Ekonomi Baru (DEB); pembasmian kemiskinan dan rasuah secara total sehingga ke akar umbi; transformasi dasar kewangan dan saham Islam sebagai tunjang dan model ekonomi negara.

Selanjutnya mereka bersedia membantu kerajaan menjelaskan dasar pertanian negara sebagai perniagaan dan pelaburan yang menguntungkan serta selaras dengan inspirasi Islam terhadap pertanian; projek Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2007 yang mampu menarik lebih ramai pelancong negara Islam dan bukan Islam bagi menjana kembali dana negara serta menjadikan Malaysia sebagai model negara Islam yang maju, moden dan sofistikated serta lain-lain agenda besar kerajaan yang perlu dijuarai institusi ini.

Mereka juga mestilah mampu membicarakan persoalan yang lebih besar dan mencabar seperti isu dan soal teknologi maklumat, media dan kesenian, perubatan, bio-teknologi, ketenteraan, sains moden dan terkini negara telah pun bersedia menghantar ekspedisi pertama ke angkasa lepas tidak lama lagi.

Ini adalah peluang terbaik untuk para pemikir dan tokoh agamawan negara menerangkan kepada masyarakat akan peri pentingnya kita menjejaki dan menjelajah angkasa raya, di samping maslahatnya kepada perkembangan Islam di Malaysia.

Sebagai benteng terakhir umat Islam, institusi ini tidak boleh lemah dan dilemahkan. Mereka perlu lebih energetik, efisien, komited dan dinamik memacu serta memantau perkembangan Islam di Malaysia. Menurut Pemikir Islam Said Hawwa, "penyakit umat Islam dewasa ini telah menjangkiti lima bidang, 1. Ilmu Pegetahuan; 2. Pendidikan dan Moral; 3. Perancangan dan Program; 4. Organisasi dan Pengurusan; dan 5. Pelaksanaan". ( Said Hawwa, 1987. Durus Fi Al-Amal Al-Islami. Banggil: Al-Muslimun )

Segala permasalahan seperti keruntuhan moral dan akhlak muda-mudi; longgarnya institusi keluarga; hedonisme; semaraknya gerakan anti Islam seperti kumpulan ajaran sesat, murtad, pluralisme, anti hadis serta lain-lain; rapuhnya pentadbiran dan pengurusan negara; dan pelbagai lagi tribulasi yang tidak akan berhenti walaupun sesaat hendaklah ditangani secara lebih konsisten dan komprehensif.

Benarlah kata-kata dan janji Rasulullah s.a.w bahawa golongan ini yakni generasi ulama seumpama bintang bercahaya di langit yang sentiasa menerangi seluruh alam maya. Sabda Rasulullah yang bermaksud: " Perumpamaan seorang yang berilmu (ulama) di atas muka bumi ini adalah ibarat bintang bergemerlapan yang terang benderang di sisi gugusan bintang dan cakerawala yang lain yang menerangi kegelapan di daratan dan di lautan. Apabila bintang itu tidak bergemerlapan hampir-hampir menyebabkan manusia tersesat dan tersasar dari matlamatnya". (HR Ahmad)

Untuk itu mereka hendaklah melengkapi diri mereka dengan segala persiapan dan abiliti bagi mendepani segala cabaran, halangan dan dugaan. Mereka yakni genre agamawan tidak boleh sama sekali hanya mahir dan pakar berkenaan hukum halal dan haram sahaja di dalam dunia yang serba mencabar ini.

Amanah dan tanggungjawab memartabatkan institusi ini sebenarnya terletak kepada seluruh umat Islam tanpa kompromi menyokong dan menaruh harapan yang tinggi kepadanya kerana sekiranya institusi ini runtuh maka akibatnya umat Islam akan menjadi lemah, hilang arah dan maruah tercemar.

Dengan adanya institusi seperti Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Yayasan Dakwah Islamiyyah Malaysia (YADIM), Persatuan Ulamak Malaysia (PUM), Majlis Mufti-Mufti, Majlis Agama Islam di setiap negeri, badan-badan NGO Islam dan lain-lain adalah indikator serta penanda aras bahawa pentadbiran dan pengurusan Islam di Malaysia adalah terancang, sistematik dan sedang berada di landasan yang betul.

Namun begitu, usaha dan kejayaan ini tidak boleh selesa dan berhenti setakat ini sahaja kerana perjalanan kita masih jauh serta banyak lagi yang perlu dilakukan sewajarnya.

No comments: