Sunday, February 18, 2007

WASIAT SEBAGAI INSTRUMEN TERBAIK PENGURUSAN HARTA

Wasiat adalah instrumen dan mekanisme terbaik kepada pengurusan dan pentadbiran aset dalam Islam. Tuntutan berwasiat tidak hanya tertentu kepada orang kaya dan berharta sahaja malahan orang yang miskin dan tidak berkemampuan juga perlu berwasiat sebelum menghembus nafas terakhir.

Persepsi bahawa wasiat hanya aplikasi pengurusan dan pentadbiran harta orang kaya dan gaya hidup mewah perlu diubah segera. Ini adalah kerana wasiat disyariatkan kepada seluruh umat manusia lantaran bukan Islam pun turut berwasiat menjelang kematiannya.

Sekitar tahun 1990an kita dikejutkan dengan laporan hampir RM30 bilion nilai aset umat Islam yang dibekukan dan tidak dituntut akibat kematian yang rata-ratanya tanpa wasiat di samping sistem pentadbiran dan pengurusan harta yang lemah. Terkini kita digemparkan sekali lagi dengan figure hampir RM40 bilion nilaian semasa aset umat Islam di Malaysia yang tidak dituntut atas alasan yang sama.

Situasi genting ini ekoran kelalaian umat Islam mentadbir harta mereka menurut syariat dan kurangnya maklumat serta rendahnya kesedaran berwasiat. Isu yang dianggap sensitif bagi sesetengah pihak dan dianggap tidak penting serta dipandang remeh ini telah membelenggu umat Islam sejak dahulu kala lagi sehinggalah di zaman serba moden dan sofistikated ini.

Lantaran itu, isu vital ini turut mendapat perhatian serius Timbalan Perdana Menteri (TPM)yang menggesa umat Islam di negara ini agar mengambil berat dan tidak lagi memandang ringan berkenaan pengurusan dan pentadbiran harta mereka iaitu melalui alternatif penyediaan wasiat ketika masih hidup lagi.

Islam telah menyediakan platform terbaik untuk mengurus dan mentadbir harta secara yang lebih bijaksana, namun ruang dan peluang ini tidak digunakan sepenuhnya oleh umat Islam masa kini.

Sekiranya umat Islam masih memandang remeh berkenaan penyediaan wasiat ke atas harta di bawah milikan dan kawalan mereka, maka sudah tentu nilaian aset tidak dituntut umat Islam akan terus bertambah dan dibekukan. Kelalaian ini amat tidak ekonomik dan amat merugikan negara. Seharusnya aset bernilai ini ditadbir dan diurus sebaik mungkin agar ianya bermanfaat kepada pihak yang memerlukan ataupun boleh disalurkan terus ke arah perkembangan dan kemajuan Islam di Malaysia.

Menurut istilah syarak, wasiat itu adalah pemberian seseorang kepada orang lain baik berupa wang, hutang ataupun manfaat untuk dimiliki oleh orang yang diberi wasiat sesudah orang yang berwasiat meninggal dunia. ( Sayyid Sabiq, 1990. Fikih Sunnah Edisi Malaysia. Kuala Lumpur: Victory Agencie, halaman 215 ).

Sebahagian fuqaha mendefinisikan wasiat sebagai pemberian hak milik secara sukarela yang dilaksanakan setelah pemberinya meninggal dunia. Di sini, terdapat perbezaan antara hibah dan wasiat. Pemilikan yang diperolehi dari hibah terjadi pada saat itu juga yakni ketika pemberinya masih hidup sedangkan pemilikan yang diperolehi dari wasiat hanya berlaku selepas kematian pewasiat tersebut. Di samping itu, hibah berupa barang, sementara wasiat boleh berupa barang, hutang ataupun manfaat.

Legaliti dan legitimasi wasiat adalah berpandukan firman Allah s.w.t dalam surah Al-Baqarah, ayat 180 yang bermaksud: " Diwajibkan ke atas kamu, apabila seseorang di antara kamu kedatangan tanda-tanda kematian, jika dia meninggalkan harta yang banyak, berwasiatlah untuk ibu bapa dan karib kerabatnya secara ma'ruf. Ini adalah kewajipan atas orang-orang yang bertakwa ".

Manakala dalam ayat lain pula Allah s.w.t telah berfirman yang bermaksud: "Wahai orang yang beriman, apabila salah seorang di antara kamu menghadapi kematian, sedang dia akan berwasiat, maka hendaklah wasiat itu disaksikan oleh dua orang yang adil di antara kamu..." ( Surah Al-Maidah, ayat 106 ).

Dalam sebuah hadis, dari Ibnu Umar bahawa Rasulullah pernah bersabda yang bermaksud: "Hak bagi seorang Muslim yang mempunyai sesuatu yang hendak diwasiatkan, sesudah bermalam selama dua malam tiada lain wasiatnya itu tertulis pada amal kebajikannya". Ibnu Umar berkata: " Tidak berlalu bagiku satu malam pun sejak aku mendengar Rasulullah s.a.w mengucapkan hadis itu kecuali wasiatku selalu berada di sisiku". (HR Bukhari dan Muslim)

Bagi Imam Syafie pula " Tidak ada keberhati-hatian dan keteguhan bagi seorang Muslim, melainkan bila wasiatnya itu tertulis dan berada di sisinya bila dia mempunyai sesuatu yang hendak diwasiatkan; sebab dia tidak tahu bilakah kedatangan ajalnya. Sebab bila dia mati sedqang wasiatnya tidak tertulis dan tidak berada di sisinya, maka wasiatnya mungkin tidak kesampaian".

Terdapat beberapa kelebihan sekiranya kita membuat persediaan awal menyediakan wasiat sebagai salah satu proses pengurusan dan pentadbiran aset di bawah kawalan dan milikan kita. Ini adalah kerana ianya dapat diselenggarakan dengan baik, efisien dan profesional dengan kos yang minima.

Wasiat kita dapat diurus dan ditadbir oleh orang yang bertauliah seperti peguam dan agen wasiat yang mempunyai kelayakan dalam mengendalikan segala urusan berkenaan wasiat merangkumi aspek dokumentasi, penyimpanan, pengurusan, pemeliharaan dan sehinggalah kepada urusan perlaksanaan wasiat itu sekiranya berlaku kematian.

Proses tuntutan harta pusaka juga menjadi lebih cepat, mudah dan lancar dengan adanya wasiat yang sah dan ini sudah tentu dapat mengelakkan berlakunya pergaduhan, perselisihan dan perebutan harta di kalangan waris yang berhak di kemudian hari.

Di Malaysia terdapat agensi kerajaan seperti Amanah Raya Berhad (ARB) dan agensi swasta seperti Amanah Hibah, Wasiyyah Shoppe dan banyak lagi yang menyediakan khidmat pengurusan dan pentadbiran wasiat secara yang lebih profesional dan sistematik.

Kebiasaannya aset yang dilaporkan terpaksa dibekukan ekoran tidak dituntut oleh pewaris yang berhak meliputi wang simpanan di Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), simpanan di koperasi dan bank, kereta, hartanah seperti rumah dan bangunan; simpanan unit trust, insuran, pelaburan saham syarikat; saham amanah ASN, ASB, ASW dan banyak lagi.

Sekiranya keadaan ini tidak diberi perhatian yang sewajarnya maka ianya akan memberi impak negatif kepada perkembangan ekonomi negara kerana aset-aset tersebut beku dan tidak dapat dimajukan sewajarnya. Oleh yang demikian, kerajaan perlulah melakukan sesuatu bagi menerapkan kepentingan berwasiat dan semua pihak hendaklah peka mentadbir serta mengurus harta mereka melalui medium wasiat.

Untuk itu, di samping penyediaan wasiat melalui khidmat peguam dan agen wasiat bertauliah, maklumat dan langganan khidmat ini boleh didapati melalui kaedah kursus gaya pos yang membekalkan buku dan VCD yang berkaitan yang banyak diiklankan di dalam akhbar utama tempatan ataupun melalui internet sama ada dalam versi bahasa Melayu ataupun bahasa Inggeris. Keadaan ini sudah tentu memudahkan orang ramai mempelajari cara-cara penyediaan wasiat yang betul dan selamat.

Apa yang diharapkan ialah masyarakat sedar, insaf dan berlakunya anjakan paradigma bahawa penyediaan wasiat yang komprehensif serta akomodatif merupakan persiapan awal mengurus dan mentadbir aset mereka tanpa kompromi.

No comments: