Thursday, March 29, 2007

HAPPY MAULIDUR RASUL 1428!

Bismillahir Rahmanir Rahim,
Allahumma solli 'ala Muhammad wa 'ala ali Muhammad............

Kelahiran nabi Muhammad s.a.w membawa rahmat, makrifat, mukjizat dan syafaat kepada seluruh alam. Baginda adalah kekasih Allah dan penghulu segala nabi dan rasul. Melalui bagindalah, hari ini kita dapat merasai nikmat iman dan Islam sebagai bekalan menuju hari abadi.

Firman Allah s.w.t dalam surah al-Anbiyak, ayat 107 yang bermaksud: "Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam", menerangkan betapa Rasulullah adalah manusia paling agung dan dimuliakan oleh segala makhluk yang ada di muka bumi ini sehinggalah ke hari kiamat.

Rasulullah adalah contoh dan model unggul umat Islam. Kredibiliti dan ketrampilan baginda terserlah sebagai seorang bapa yang mulia; suami yang mithali; pemimpin yang adil; dan nabi yang agung. Firman Allah s.w.t dalam surah al-Ahzab, ayat 21 yang bermaksud: "Sesungguhnya pada (diri) Rasulullah itu menjadi contoh yang paling baik untuk (menjadi ikutan) kamu".

Seyyed Hossein Nasr menukilkan kata-kata Sa'di dalam bukunya Muhamamd Insan Kamil (2001), bahawa Nabi Muhammad adalah "penghulu kejadian, makhluk termulia, rahmah seluruh alam, tersuci antara manusia, penyempurna edaran zaman, perantara sebenar, yang dibenarkan kata dan perbuatannya, nabi penyayang, pemurah, agung pekertinya, tiada cacat celanya, nabi yang terakhir. Dikau capai puncak keagungan dengan kesempurnaanmu; dikau cahayai kegelapan malam dengan keindahan cahayamu; setiap lakumu mulia; selawat dan salam ke atasmu dan para pengikutmu". (Seyyed Hossein Nasr, 2001. Muhammad Insan Kamil. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, halaman 1)

Islam yang dibawa baginda kekal relevan, segar dan memenuhi cita rasa manusia di muka bumi ini, melalui perantaraan kitab suci Al-Quran yang komprehensif, akomodatif dan informatif. Menurut Abdul Halim El-Muhammady (1992), Al-Quran memberi sumbangan dan kesan besar terhadap peradaban manusia. Hasil perubahan ini mampu melahirkan corak tamadun baru yang berjaya mensepadukan tamadun kebendaan dengan kerohanian secara seimbang berteraskan konsep tauhid. (Abdul Halim El-Muhammady, 1992. Al-Quran dan Sunnah Sebagai Sumber Hukum dan Ilmu dlm. Dinamika Dakwah: Suatu Perspektif dari Zaman Awal Islam hingga Kini. Selangor: Budaya Ilmu Sdn. Bhd., halaman 15)

Melalui Al-Quran yang unik, baginda telah mendedah, mengupas dan menjelaskan persoalan sains (Yaasin: 36), fizik (al-Nur: 35), biologi (al-Mukminun: 12-14), kimia (Yaasin: 80), geografi (al-Hajj: 46), astronomi (al-Dhariyat: 47), sejarah (al-Mu'min: 82), dan matematik (al-Nisa': 11-12) sebagai panduan dan medium kemajuan ummah.

Manakala perspektif undang-undang, sosio ekonomi, pelayaran, pertanian, teknologi dan pelbagai dimensi yang mencakupi seluruh persoalan kehidupan manusia turut menjadi sunnah warisan dan khazanah paling berharga Rasulullah kepada kita.

Pemikir Islam Mustafa Masyhur (2003) berpendapat keseluruhan sunnah Rasulullah adalah bekal yang dapat menghidupkan hati para pengikutnya, membawa mereka kepada darjat keimanan dan ketakwaan yang tinggi, membekali mereka dengan berbagai kebaikan, menjauhkan mereka dari berbagai keburukan, membangun keperibadian mereka di sisi akidah, ibadah, akhlak, fizikal, pemikiran dan sosial dengan kuat dan sempurna. (Mustafa Masyhur, 2003. Bekalan di Sepanjang Jalan Dakwah. Selangor: Dewan Pustaka Fajar, halaman 237)

Menelusuri sirah kehidupan baginda, jelas membuktikan kebolehan, kewibawaan dan kebijaksanaannya sebagai seorang ahli ekonomi, usahawan dan ahli perniagaan yang produktif; penternak yang gigih; ahli politik yang mapan, pentadbir dan pengurus yang kompeten, tokoh pendidik yang cemerlang; ahli sains dan teknokrat yang berwawasan; dan sebagainya.

Produk dan graduan modal insan yang dilatih, dididik dan dicanai baginda telah melahirkan generasi emas umat Islam seperti Abu Bakar, Umar, Uthman, Ali dan para sahabat lain. Mereka telah berjaya melakukan transformasi dan reformasi yang hebat sehinggalah Islam mampu memimpin hampir tiga per empat keluasan dunia. Sabda Rasulullah yang bermaksud: "Sahabat-sahabat aku seperti bintang-bintang dengan mana seorang dari mereka kamu ikuti, kamu mendapat petunjuk (hidayah)".

Tunas Islam yang tumbuh dan berkembang selepas era tersebut merupakan ikon pewaris, pejuang, reformis dan penyelamat Islam yang sebenar. Generasi Ulul Albab ini telah berjaya merubah iklim jahiliah kepada erti kehidupan yang sebenar. Proses 'pencerahan' ini berjaya diterjemahkan dengan penuh konsisten, dinamik dan holistik membina pembangunan dan ketamadunan umat Islam dulu, kini dan selamanya.

Kini fungsi dan tanggungjawab itu menjadi misi dan visi utama yang perlu dilaksanakan oleh kita semua.

Saban tahun, menjelang 12 Rabiul Awal, negara dan umat Islam di seluruh dunia akan menyambut dan meraikan perayaan Maulidur Rasul. Negara kita memilih tema "Insan Cemerlang, Ummah Terbilang" pada tahun ini menunjukkan komitmen dan usaha kerajaan yang komited menjadikan Rasulullah sebagai model dan idola sebenar umat Islam di negara ini.

Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) dan prinsip Islam Hadhari telah dijadikan sandaran kepada potensi modal insan di negara kita. Dengan inspirasi dan aspirasi Maulidur Rasul kali ini, diharapkan dapat melahirkan modal insan yang versatil, madani, serta sedia melakukan anjakan paradigma dan mempunyai weltanschauung yang hebat.

Atas premis tersebut, dengan spirit dan roh Maulidur Rasul, umat Islam perlu bangun dari tidur yang panjang; tingkatkan prestasi ekonomi, politik dan sosial umat Islam; berusaha ke arah penambaikan agenda pendidikan, kesihatan, ketenteraan, sains dan teknologi serta pembangunan negara; dan seterusnya mengekalkan Malaysia sebagai sebuah negara yang berdaulat dan disanjungi.

Salam dan selawat kepada nabi Muhammad s.a.w dan keluarganya. Firman Allah dalam surah al-Ahzab, ayat 56 yang bermaksud: "Sesungguhnya Allah dan malaikatNya berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi Muhammad; wahai orang yang beriman, berselawatlah serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya".

Salam Maulidur Rasul 1428!

Friday, March 09, 2007

UNDANG-UNDANG MELINDUNGI PENGGUNA

Undang-undang digubal dan dilaksanakan bagi kemudahan, kepentingan dan kemaslahatan rakyat. Asas kewujudan undang-undang bertujuan mengawal, mengatur, melindungi, mengurus dan mentadbir perjalanan hidup manusia. Dokumen rasmi negara bertulis ini digubal selaras dengan prinsip keadilan dan keluhuran undang-undang sesebuah negara.

Bagi sesebuah negara yang berdaulat, dan Malaysia, Perlembagaan Persekutuan adalah undang-undang tertinggi di negara kita. Undang-undang dasar ini adalah ibu kepada semua undang-undang di mana sekiranya berlaku percanggahan dengannya, maka undang-undang tersebut dengan sendirinya terbatal. Bagi melindungi pengguna di Malaysia, terdapat beberapa peruntukan undang-undang diluluskan oleh Parlimen yang merupakan badan penggubal undang-undang di negara kita. (Ahmad Ibrahim, 1995. The Malaysian Legal System. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka)

Undang-undang seperti yang terkandung Akta Makanan 1983, Peraturan-Peraturan Makanan 1985 dan Akta Racun Makhluk Perosak 1974 adalah safeguard melindungi pengguna daripada amalan dan perbuatan yang boleh memudaratkan kehidupan, kesihatan dan gaya hidup sihat pengguna di Malaysia. Namun begitu terdapat beberapa peruntukan di dalam akta-akta tersebut yang perlu kini dipinda bagi memastikan hak dan kepentingan pengguna tidak diabaikan.

Baru-baru ini kita digemparkan dengan isu makanan segera di mana Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bercadang untuk mengambil tindakan menghentikan iklan produk tersebut di media sama seperti rokok dan arak. Cadangan ini turut mendapat sokongan Kementerian Penerangan Malaysia (RTM) dan pelbagai pihak lain seperti Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dan Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) .

Situasi ini dipanaskan lagi apabila sebuah akhbar tempatan melaporkan terdapat sekurang-kurangnya 200 jenis makanan segera yang amat digemari rakyat negara ini menjadi punca pelbagai penyakit kritikal termasuklah roti canai dan nasi lemak. Malangnya Akta Makanan 1983 dan akta-akta lain tidak memberikan definisi serta penerangan yang jelas serta spesifik bagi membantu kemelut makanan segera ini.

Menurut laporan tersebut, pengguna di Malaysia terdedah dengan makanan yang mengandungi kandungan lemak trans-fats, gula garam dan bahan kimia yang tinggi. Antara penyakit yang diakibatkan oleh pemakanan tidak sihat ini ialah kanser, jantung, kegemukan, diabetes dan lain-lain. Produk makanan tidak sihat ini dikategorikan sebagai 'sampah' dan pembunuh senyap serta mengancam kesihatan dan kehidupan manusia terutamanya kanak-kanak. (Kementerian Kesihatan Umum Takrif Makanan Segera, Utusan Malaysia, 3 Mac 2007, halaman 12)

Selanjutnya, Akta Pendaftaran Farmasi 1951, Akta Jualan Dadah 1952 dan Akta Racun dan Akta Ubat (Iklan dan Jualan) 1956 digubal bagi memastikan semua kategori dan produk ubatan dan farmaseutikal di pasaran tempatan adalah selamat, berkesan, berkualiti dan tidak mudarat kepada pengguna di Malaysia.

Peruntukan ini dapat menyekat pengedaran dan penjualan produk farmaseutikal palsu dari dalam dan luaran negara yang boleh membawa maut kepada pengguna. Di samping itu, akta-akta ini juga mewajibkan semua produk perubatan dan farmaseutikal didaftarkan dengan KKM bagi mengelakkan sebarang kemungkinan negatif berlaku. Peraturan dan kaedah pengiklanan produk-produk kritikal ini perlu mendapat kebenaran dan selaras dengan syarat-syarak ketat yang telah ditetapkan.

Akta Perihal Dagangan 1972 pula membolehkan sebarang keterangan palsu, tidak tepat, meragukan dan mengelirukan berkenaan produk yang diperdagangkan dibawa ke mahkamah dan pelaku boleh didakwa atau dituduh atas kesalahan tersebut.

Sekiranya didapati bersalah dengan pertuduhan tersebut maka hukuman yang setimpal boleh dijatuhkan oleh mahkamah di bawah peruntukan akta terbabit sama ada denda atau penjara ataupun kedua-duanya sekali. Ganti rugi yang munasabah juga boleh berikan oleh mahkamah sekiranya difikirkan bersesuaian.

Akta Kawalan Bekalan 1961 (Pindaan 1973), Akta Kawalan Harga 1946, Akta Jualan Barang 1957, Akta Timbang Sukat 1972, Akta Sewa Beli 1967 dan lain-lain adalah contoh terbaik peruntukan undang-undang yang menjamin pengguna bebas untuk membuat pilihan, selamat, harga yang berpatutan dan hak-hak mereka dilindungi sepenuhnya.

Menurut sumber KPDNHEP, hak mendapat penerangan oleh pengguna berkenaan sesuatu produk adalah kewajipan pihak pengeluar, pengedar dan penjual membekalkan maklumat terkini, tepat dan mencukupi agar pengguna membuat pemilihan terbaik dan memastikan penggunaan yang mengikut spesifikasi yang ditetapkan, selamat serta mesra alam sekitar.

Manakala Akta Kawalan Harga (Arahan Melabel) 1980 sebagai contoh mewajibkan pengilang dan pengeluar memberi maklumat asas pada pembungkusan sesuatu produk makanan dan minuman seperti jenis makanan atau minuman, kandungan asasnya, jumlah kandungan, jumlah kandungan nutrien dalam makanan atau minuman, status halal, label harga, kelulusan pihak tertentu jika melibatkan bahan pewarna dan perasa serta berat minimum produk tersebut.

Untuk itu juga Akta Perlindungan Pengguna 1999 dan penubuhan Tribunal Tuntutan Pengguna digubal dan adalah mekanisme terbaik melindungi hak pengguna di negara kita. Pengguna yang ditipu, teraniaya, ditindas, diseleweng dan kehilangan hak kepenggunaan boleh menuntut ganti rugi yang sewajarnya melalui badan induk ini.

Menurut FOMCA, rakyat di negara ini perlu peka dengan Lapan Hak Pengguna Sejagat (LHPS) iaitu hak mendapatkan keselamatan, penerangan, membuat pilihan, ganti rugi, pendengaran, keperluan asas, alam sekitar yang sihat dan pendidikan pengguna. LHPS adalah medium terbaik mendidik rakyat menjadi pengguna yang bijak, berhati-hati dan berhemah.