Sunday, April 29, 2007

PERTIKAIAN STATUS HALAL PELABURAN KWSP

Saranan dan cadangan agar Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menyediakan garis panduan dan instrumen pelaburan halal perlu diberikan perhatian serius oleh pihak berwajib. Sehingga 31 Disember 2006, KWSP mempunyai 11.38 juta ahli termasuk 5.4 juta pencarum aktif berbanding 11.09 juta pencarum pada 2005, termasuk 5.26 juta ahli aktif.

KWSP adalah model contoh badan awam yang diberikan keistimewaan dan kebenaran menyimpan, mengurus, mentadbir dan melabur wang pencarum sehingga mereka mencecah umur 55 tahun selaras dengan Akta KWSP 1991. Melalui Akta tersebut majikan dan pekerja adalah diwajibkan mencarum sebahagian daripada gaji bulanan ke dalam KWSP. Tindakan undang-undang boleh diambil ke atas majikan yang ingkar dan gagal mencarum.

Menurut laporan akhbar baru-baru ini, KWSP komited bagi memastikan simpanan ahlinya tidak terjejas akibat inflasi dan mengekalkan pembayaran dividen sekurang-kurangnya 2.5 peratus setahun seperti yang diperuntukkan dalam Akta. Seksyen 26 Akta tersebut, menuntut badan berkanun tersebut memastikan semua pelaburan hendaklah dilakukan secara berhemat dan berdisiplin serta dikawal selia oleh Panel Pelaburan KWSP.

Setiausaha Parlimen Kementerian Kewangan, Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya, berkata strategi pelaburan KWSP berteraskan elemen keselamatan, kecairan dan pulangan iaitu melindungi nilai simpanan, memastikan kecairan dana mencukupi dan kadar pulangan paling optimum. Sehubungan itu, KWSP melaburkan hampir 80 peratus asetnya dalam instrumen berpendapatan tetap yang berisiko rendah manakala selebihnya dalam ekuiti.

KWSP juga dibenarkan membuat pelaburan di negara lain dan setakat ini, RM1.2 bilion sudah dilaburkan terutama di negara rantau Asean dan Asia Pasifik oleh pengurus dana yang diiktiraf oleh kerajaan dan setakat ini memberi keuntungan sekitar 12 peratus. Pelaburan KWSP juga pelbagai seperti Sekuriti Kerajaan Malaysia sebanyak 37.32 peratus, pinjaman dan bon (36 peratus), ekuiti (19 peratus), instrumen pasaran wang (6.3 peratus) dan 0.6 peratus dalam sektor hartanah.

Dengan moto 'simpanan hari tua anda' menunjukkan betapa pentingnya peranan, fungsi dan tanggungjawab KWSP ke atas semua pencarumnya.

Menurut kenyataan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) yang dikeluarkan baru-baru ini mendakwa terdapat sebahagaian kecil pelaburan KWSP yang berasaskan faedah riba dan tidak mematuhi prinsip syariah seperti yang digaris serta dikawal selia oleh Majlis Penasihat Syariah Suruhanjaya Sekuriti.

Jika benar dakwaan bahawa status pelaburan dana KWSP adalah tidak halal, was-was atau meragukan maka adalah dibimbangi situasi ini boleh menyumbang impak negatif dari sudut spiritual. Ini adalah kerana kebanyakan pencarum Islam menggunakan wang simpanan KWSP untuk tujuan rawatan perubatan, kesihatan, kebajikan keluarga, pendidikan dan sebagainya.

Lebih-lebih lagi, bagi yang menanti alam pencen maka sudah tentu wang simpanan hasil titik peluh selama puluhan tahun tersebut bakal digunakan untuk tujuan menunaikan fardhu haji di Mekah. Oleh yang demikian, status halal pelaburan KWSP perlu dipandang serius oleh pihak pentadbiran dan pengurusan KWSP.

Kesediaan dan kesungguhan institusi perbankan dan insuran konvensional mewujudkan liberalisasi pasaran halal di negara kita dengan kewujudan begitu banyak produk kewangan Islam dan takaful, menjadi petunjuk dan cabaran kepada KWSP membuat satu anjakan paradigma merealisasikan skim pelaburan halal mereka.

Bagi menyahut seruan kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai pusat dan hab halal pelaburan dan kewangan dunia, maka KWSP perlu melakukan sesuatu ke arah itu. Jika institusi kewangan dan insuran mampu melakukan perubahan drastik ini, mengapa tidak KWSP?

Jika alasan bahawa pencarum KWSP bukanlah tertumpu kepada orang Islam sahaja kerana institusi ini turut mengurus caruman bukan Islam, maka sebagai inisiatif dan tanggungjawab sosial KWSP hendaklah mewujudkan satu mekanisme khas bagi melaburkan simpanan ahli beragama Islam dalam instrumen pelaburan yang 100 peratus mematuhi syariah melalui skim dan kaunter khas untuk pencarum Islam dan mengekalkan kaedah sedia ada kepada pencarum bukan Islam.

KWSP perlu memisahkan dana pencarum Islam dan bukan Islam serta berusaha mengelakkan pelaburan yang berteraskan kewangan riba, perjudian dan pertaruhan, pengeluaran atau penjualan produk yang tidak halal seperti syarikat arak dan rokok, aktiviti dan pusat hiburan, pengoperasian hotel dan pusat peranginan yang tidak selaras dengan syariah, insuran konvensional, pelaburan saham, pembrokeran dan banyak lagi.

Walaupun status pelaburan tidak halal KWSP sedia ada hanyalah melibatkan peratusan yang sangat kecil dan tidak memberi kesan besar kepada keseluruhan proses pelaburannya, namun sebagai pelanggan dan pencarum Islam, hak untuk mendapat pulangan yang halal melalui dividen dan kaedah serta instrumen pelaburan yang halal tidak boleh diketepikan dan seharusnya diberikan perhatian sepenuhnya.

Mungkin perubahan ini tidak dapat dilaksanakan dalam masa yang singkat dan terdekat ini kerana melibatkan kos dan proses teknikal yang rumit serta boleh menganggu jentera pelaburan KWSP, namun sebagai perancangan jangka panjang korporat, isu penting ini perlu dijadikan agenda utama mereka melalui inisiatif penubuhan unit pelaburan dan pematuhan Syariah KWSP serta pindaan ke atas akta sedia ada.

Anjakan ini adalah selaras dengan prinsip Islam Hadhari yang menekankan persekitaran ekonomi yang seimbang dan komprehensif.

Rujukan:

Pelaburan KWSP Dijamin, Berita Harian, 23 Mei 2007

Laman web rasmi Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP):
(http://www.kwsp.gov.my/)

Laman web rasmi Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM):
(http://www.muslimconsumer.org.my/ppim/)

Wednesday, April 25, 2007

PILIH PEMIMPIN BERKARISMA

Amanah kepemimpinan adalah tugas dan tanggungjawab yang sangat berat serta perlu dilaksanakan sebaik mungkin.

Asas kepemimpinan yang baik adalah berteraskan kepada prinsip adil, kompeten, bersih, cekap, sihat dan sedia berkhidmat kepada orang yang dipimpin dalam apa jua keadaan.

Atas alasan tersebut pemimpin yang khianat, lemah, tidak produktif, suka mengambil kesempatan dan mempunyai kepentingan peribadi tidak sepatutnya diberi tempat serta peluang memimpin.

Tuesday, April 24, 2007

MENILAI KEJAYAAN KORIDOR RAYA MULTIMEDIA (MSC)

Projek mega Koridor Raya Multimedia (MSC) mula menampakkan kejayaan cemerlang dan menyumbang perolehan melebihi RM10 bilion dengan nilai eksport bagi syarikat tempatan dan luar mencecah RM3.2 bilion baru-baru ini.

Jumlah tersebut terus meningkat berbanding perolehan 2005 sebanyak RM9.84 bilion dan jumlah eksport pula bernilai RM2.65 bilion sahaja.

Menurut Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Seri Dr. Jamaluddin Jarjis, sehingga Februari 2007 bilangan syarikat berstatus MSC juga bertambah kepada 1,742 termasuk 85 syarikat Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) global.

Kemajuan pesat MSC telah mewujudkan kira-kira 48,000 peluang pekerjaan di dalam industri ini. Perangkaan ini lebih tinggi berbanding 33,851 pada tahun 2005.

MSC Malaysia mula beroperasi sejak 10 tahun yang lalu yang dilancarkan secara rasmi pada 1996 oleh bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad. Koridor khas ini meliputi kawasan seluas 750 kilometer persegi mencakupi Pusat Bandaraya Kuala Lumpur (KLCC) dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bagi memacu pembangunan negara menerusi teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).

Fasa kedua pembangunan MSC bermula pada 2004 hingga 2010 yang melibatkan pembangunan bandar dan pusat siber di seluruh negara. Natikahnya menyaksikan kewujudan bandaraya siber seperti Cyberjaya, Kulim Hi-Tech Park dan Bandar Siber Pulau Pinang serta pusat siber seperti KL Sentral, Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) dan Menara MSC Cyberport, Johor.

Model MSC Malaysia dilihat mampu menarik lebih banyak gergasi ICT global melabur dan menanam modal di negara kita serta mengadakan kerjasama bijak melalui perpindahan teknologi, inovasi, kepakaran dan tenaga kerja mahir dalam sektor ini. Promosi secara besar-besar perlu diadakan dan mendedahkan prestasi MSC negara ke luar negara.

Setakat ini negara telah berjaya mengadakan kerjasama dengan Microsoft, Oracle, Motorola, Intel dan sebagainya dengan insentif pengecualian cukai syarikat sementara serta pelbagai pakej yang menarik disediakan.

Melalui prasarana fizikal MSC di negara kita, cita-cita kerajaan melahirkan modal insan ICT seperti yang ditekankan Rancangan Malaysia Ke-9 (RMK-9) akan tercapai. Kerajaan juga perlu memajukan syarikat tempatan sedia ada dan melatih syarikat yang berpotensi sehingga mampu menjadi antara pengeksport produk ICT terkemuka dunia suatu hari nanti.

Aplikasi utama MSC seperti kerajaan elektronik, teleperubatan, kelompok pembangunan dan penyelidikan, pusat pembuatan sedunia, pusat pemasaran tanpa sempadan, kad bestari serbaguna serta pusat kewangan bercirikan multimedia yang kompetetif dan akomodatif perlu diberi perhatian serius oleh syarikat ICT tempatan untuk berkembang dan berdaya saing di peringkat global.

Penubuhan Universiti Multimedia yang fokus dan beberapa universiti sedia ada memberikan impak yang cukup besar kepada industri ICT negara. Pusat Animasi Malaysia (MSC-MAC) yang akan ditubuh tidak lama lagi seperti yang diumumkan oleh kerajaan bakal memberi peluang dan ruang kepada generasi muda yang kreatif dan berbakat menghasilkan produk animasi ICT ke pasaran global.

Generasi muda juga perlu didedahkan kejayaan dan kecemerlangan aplikasi MSC seluas-luasnya sejak di bangku sekolah lagi. Kewujudan sekolah bestari dan sekolah kluster mampu merealisasikan impian ini. Kelompok modal insan ini perlu dijana minda dan kreativiti mereka.

Kerajaan juga hendaklah memperluaskan lagi zon dan kawasan MSC ke seluruh negara serta tidak hanya tertumpu di kawasan bandar dan strategik sahaja dalam usaha merancakkan lagi pertumbuhan industri MSC negara.

Rujukan:

48,000 Peluang Kerja Wujud Sejak MSC Beroperasi, Utusan Malaysia, 25.4.2007
Koridor Raya Multimedia Sumbang Perolehan RM10B, Berita Harian, 25.4.2007

Laman web rasmi MSC:
( http://www.msc.com/)

Monday, April 23, 2007

ISLAM TERAS PERPADUAN

Sikap prihatin kerajaan ini adalah petanda positif bahawa aspirasi Islam Hadhari mulai difahami dan diterima oleh semua pihak di seluruh negara. Model Islam yang ingin diterjemahkan bukanlah agenda tersembunyi yang dikhaskan kepada sesuatu kaum tertentu sahaja malahan ianya melangkaui batasan blok agama dan bangsa.

Natijah dan keistimewaan ini bakal diaplikasikan bagi menjayakan agenda Islam Hadhari dengan misi besar melaksanakan pembangunan negara sehingga ke peringkat akar umbi melalui pendekatan yang universal, maju, bertamadun dan berimbang.

Antara prinsip tonggak Islam yang boleh dijadikan asas kepada cita-cita ini ialah konsep kerajaan adil dan beramanah serta pembelaan hak kumpulan minoriti, menunjukkan bahawa Islam adalah agama yang progresif, komprehensif dan punya toleransi yang tinggi.

Ini menunjukkan bahawa kebajikan rakyat bukan Islam juga diambil kira dan diberi tempat yang selayaknya.

Ini bertujuan menyahut arahan agar program penerangan Islam terus dipertingkatkan. Tugas dan tanggungjawab menerangkan aplikasi Islam sebagai modus operandi pembangunan negara dan teras perpaduan adalah tugas semua pemimpin.

Dengan penuh komitmen, konsep dan prinsip Islam yang begitu menekankan soal kesederhanaan, tidak ekstremis dan boleh diterima semua kaum tanpa batasan agama serta tanpa sebarang masalah.

Adalah diharapkan aplikasi Islam berjaya mencapai objektif melahirkan individu dan masyarakat yang mempunyai kekuatan spiritual, akhlak dan moral yang tinggi, intelektual dan material yang mantap, mampu berdikari dan berdaya saing, sentiasa melihat ke hadapan, inovatif serta cekap menangani cabaran-cabaran semasa secara bijaksana, rasional, praktikal dan penuh kedamaian.

Wednesday, April 18, 2007

EVOLUSI DAN POTENSI INDUSTRI ANIMASI NEGARA

Saranan Timbalan Perdana Menteri (TPM), Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini agar golongan muda menjadikan bidang animasi sebagai alternatif kerjaya baru, perlu diberi perhatian serius oleh semua pihak. Kerjaya ini dilihat mampu menawarkan pendapatan dan pulangan yang lumayan.

Ketika ramai yang bercita-cita menjadi peguam, doktor, akauntan, jurutera dan sebagainya, tanpa kita sedari kerjaya dalam industri animasi mampu berkembang, berdaya saing, popular dan mempunyai nilai yang besar menembusi pasaran global.

Menurut TPM, golongan muda perlu melihat peluang dan ruang dalam sektor animasi kerana ia menjanjikan limpahan serta kekayaan luar biasa.

Industri animasi tidak seharusnya dilihat pada karektor kartun semata-mata malah ia merangkumi dimensi yang lebih luas termasuklah animasi dalam pendidikan multimedia, permainan dan teknologi komunikasi dan maklumat (ICT).

Dilaporkan Korea Selatan berjaya mengeksport kandungan animasi bernilai AS$700 juta pada tahun 2005 berbanding hanya AS$70 juta pada 1997.

Negara itu kini menguasai lebih 30 peratus pasaran animasi global dan bakat-bakat animasi mereka sentiasa diburu oleh industri animasi Amerika Syarikat (AS) dan negara-negara Eropah. Sebahagian besar daripada mereka dibayar gaji ratusan ribu dolar.

Dijangkakan industri kreatif multimedia global mencapai nilai RM2.3 trilion menjelang 2010, manakala industri animasi dianggarkan bernilai kira-kira RM280 bilion.

Menurut Hassan Muthalib (2004), industri animasi negara bermula dengan penubuhan Malaya Film Unit (MFU) pada tahun1946 dan kamera animasi pertama yang dibawa masuk dari Sri Lanka telah menandakan permulaan dan penapakan industri ini di negara kita. (Animasi Tempatan Gagal Pikat Remaja, Berita Harian, 17/12/2004)

Animasi pertama yang diterbitkan di negara kita ialah Hikayat Sang Kancil pada tahun 1978, diikuti dengan Monyet dan Buaya pada 1983. Sejak itu, industri ini berkembang dengan adanya peralatan, teknologi dan inovasi dari negara Barat terutamanya Perancis yang membawa era baru animasi negara dalam animasi empat dimensi, khusus pada pertengahan tahun 1990an. (Hassan Muthalib, 2004. From Mousedeer to Mouse: The Malaysian Animation Scene. Kuala Lumpur: Balai Seni Lukis Negara)

Industri animasi AS bermula pada awal 1900 di mana J. Stuart Blackton sebagai pereka pertamanya. Pada tahun 1908, Emile Cohl telah berjaya menerbitkan filem pertamanya bertajuk Fastasmagorie. Industri ini berkembang maju dan terus mendominasi pasaran global sehingga ke hari ini. (http://en.wikipedia.org/wiki/Animation)

Industri animasi Perancis pula berkembang sejak tahun 1918 lagi, dengan penerbitan filem animasi pendek pertama negaranya. Sejak itu, industri animasi Perancis melangkah jauh ke hadapan dan melahirkan pengarah serta pereka bentuk yang mampu menawarkan khidmat dan kemudahan kepada studio besar seperti Walt Disney. (Seminar Kupas Senario Dunia Animasi, Berita Harian, 8/12/2004)

Filem animasi tempatan pertama ialah Silat Lagenda dengan kos produksi sebanyak RM3.5 juta. Filem ini memakan masa selam dua tahun untuk disiapkan dan ditayang kepada umum pada 27.8.1998. Seterusnya dengan menggunakan teknologi animasi terkini dan canggih, filem Putih diterbitkan pada 2001.

Kedua-dua filem animasi ini membuktikan rakyat Malaysia juga kreatif, inovatif dan setanding dengan negara maju lain dalam industri ini.

Di samping itu terdapat juga kartun animasi tempatan seperti Usop Sontorian (1996-1998), Anak-Anak Sidek (1997-2004), Kluang Man dan sebagainya yang berjaya mendapat tempat di saluran utama televisyen tempatan walaupun terpaksa bersaing dengan kartun animasi Transformer, Ultraman, Doraemon dan sebagainya.

Walaupun hampir 90 peratus rancangan animasi di saluran utama televisyen negara didominasi animasi dari AS, Jepun dan Korea, namun begitu pasaran dan masa hadapan animasi terbitan tempatan mampu berkembang pesat.

Sokongan pihak kerajaan melalui Kementerian Kesenian, Kebudayaan dan Warisan (KKKW), Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) dan Persatuan Animasi Malaysia (Animas) amatlah diperlukan bagi menjayakan dan meningkatkan potensi industri ini. Di samping itu, kualiti animasi tempatan juga hendaklah setanding dengan standard pengeluar negara asing.

Geran atau pembiayaan dana produksi oleh pihak kerajaan dan badan kewangan serta promosi yang betul mampu merangsang pertumbuhan industri lumayan ini pada masa hadapan. Di samping itu juga, sokongan berterusan stesen televisyen kerajaan seperti RTM1 dan RTM2; serta swasta seperti Astro, TV3, TV9, TV8 dan NTV7 amat diperlukan agar industri animasi negara tidak dianaktiri dan diabaikan.

Setakat ini, terdapat beberapa Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Swasta (IPTS) yang menyediakan kursus pengajian dan penyelidikan dan pembangunan (R&D) dalam bidang animasi seperti Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Kolej Universiti Lim Kok Wing (KULKW), Universiti Tun Abdul Razak (UNITAR), Universiti Multimedia dan banyak lagi.

Bagi golongan muda dan lepasan sekolah, peluang keemasan mempelajari dan mendalami industri ini, tidak boleh dilepaskan begitu sahaja. Mentaliti bahawa kursus animasi hanya untuk pelajar yang lemah dan berkelulusan rendah dalam peperiksaan serta tiada masa hadapan dan peluang kerja perlu diubah segera.

Mungkin suatu hari nanti kita bakal melihat dunia animasi kita menandingi Shrek, Robot, Lion King, Finding Nemo dan sebagainya. Penubuhan Pusat Animasi Malaysia Koridor Raya Multimedia (MSC) baru-baru ini diharapkan mampu menjana dan memimpin industri animasi negara di landasan yang betul.

Monday, April 16, 2007

PELUANG BUMIPUTRA DALAM SEKTOR PERUNCITAN

Sektor peruncitan dan pasaran halal kini dilihat kian berkembang dan mempunyai masa hadapan yang cerah seiring dengan pertumbuhan serta kemantapan ekonomi negara. Menurut Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Mohamaed Khaled Nordin, sektor peruncitan melibatkan sekitar RM40 bilion daripada jumlah jualan sebanyak RM206 bilion pada 2005.

Dilaporkan seramai 30,000 usahawan bumiputra bakal dilahirkan melalui Program Peruncitan Bumiputra di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9). Progran ini diwujudkan ekoran penyertaan bumiputra yang masih kecil dan jauh terkebelakang berbanding kaum lain di negara kita di pasaran halal tempatan dan antarabangsa. (Program Peruncitan Bumiputra Akan Melahirkan 30,000 Usahawan, Utusan Malaysia, 6 April 2007)

Terdapat beberapa bidang perniagaan dan produk halal teras yang bakal dikembang dan dipertingkatkan, termasuklah teknologi komunikasi dan maklumat (ICT), telekomunikasi, makanan dan minuman, elektrik dan elektronik, pakaian, automotif, perabot, penjagaan kesihatan dan kecantikan, serta pelbagai sektor peruncitan lain. Sektor-sektor penting ini perlu diberi perhatian utama oleh bumiputra. Mereka perlu menguasai dan mendalaminya secara lebih agresif, komprehesif dan fokus kepada keupayaan pasaran runcitnya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi ketika merasmikan Program Peruncitan Bumiputra di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) baru-baru ini, menegaskan golongan bumiputra yang ingin berjaya sebagai peruncit perlu memiliki sikap gigih dan mesra pelanggan. Mereka mestilah bersedia mengorbankan masa untuk menjayakan perniagaan, yakin dan tidak mudah mengalah dalam menghadapi segala cabaran dan dugaan yang mendatang. (Peruncit Bumiputra Mesti Gigih, Mesra Pelanggan, Utusan Malaysia, 6 April, 2007)

Kejayaan dan kecemerlangan bukan bumiputra dalam sektor peruncitan bolehlah dijadikan model dan inspirasi. Bumiputra perlu belajar dan berlatih taktik dan teknik dunia perniagaan dan peruncitan daripada mereka. Jatuh dan bangun dalam dunia serba mencabar ini adalah adat perniagaan yang perlu diredahi. Oleh yang demikian, mereka tidak boleh mudah patah semangat dan rendah daya juang.

Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KPUK) dan Majlis Amanah Rakyat (Mara) melalui pendekatan yang sistematik dan pragmatik, akan membangunkan golongan sasaran peruncit melalui pembangunan syarikat tunggak dengan kewujudan rangkaian perniagaan tempatan dan global. Mara sebagai badan induk, akan mengenal pasti perniagaan yang berpotensi untuk dibangunkan melalui skim dan bantuan berpakej.

Di samping Mara, Bank Kerjasama Rakyat Malaysia (Bank Rakyat) juga menyediakan bantuan dana melalui skim pinjaman mikro sehingga RM50,000 kepada anggota koperasi yang berminat dan Yayasan Tekun Nasional (YTN) juga akan meningkatkan pinjaman maksimum dari RM30,000 kepada RM50,000 kepada pemohon. Di samping itu, bagi mereka serius, komited dan berdaya saing, Export-Import Bank of Malaysia Bhd (Exim Bank) turut menyediakan dana.
Insentif ini adalah impak kepada kesungguhan kerajaan menggangkat nilai tambah dan potensi bumiputra. Peluang dan ruang keemasan ini tidak seharusnya diabaikan oleh remaja, siswazah dan bumiputra yang masih menggangur atau siapa saja yang berminat menceburi sektor ini. Mereka perlu proaktif dan agresif merebut peluang sebagai peruncit terutamanya industri halal yang sedang berkembang pesat di negara kita.

Melalui inisiatif MPUK dan Mara, rangkaian pasar raya, kedai dan restoran di peringkat tempatan dan antarabangsa diwujudkan. Produk halal akan dipasarkan melalui Halmart (Halal Market) atau Pasar raya Halal, manakala produk kecantikan dan herba akan menggunakan jenama baru 'Forest Secret' dan seterusnya produk penyediaan makanan melalui penjenamaan 'Malaysia Kitchen'.

Industri Kecil dan Sederhana (IKS) tempatan yang begitu diberi perhatian khas dalam RMK-9, turut menerima impak dan momentum positif ini. Produk IKS yang 100 peratus halal, sudah tentu boleh dipasarkan secara langsung di peringkat global melalui medium Halmart. Keadaan ini mampu menjadi pemangkin kepada perkembangan pasaran halal IKS negara dan taraf ekonomi pengusaha IKS yang rata-ratanya adalah Bumiputra dapat ditingkatkan sewajarnya.

Usahawan Malaysia digalakkan menceburi bidang perniagaan berasaskan herba menerusi program Forest Secret kerana Malaysia kaya dengan hasil flora yang berpotensi untuk dijadikan herba untuk dieksport. Usahawan juga boleh mengusahakan perniagaan berkonsepkan kedai halal menerusi program Halmart memandangkan industri barang halal mempunyai pasaran yang amat luas di peringkat global. Di samping itu, perniagaan francais restoran Malaysian Kitchen amat berpotensi besar kerana industri makanan halal tempatan dan global sangat mengalakkan.

Pakej hebat ini bakal menjadikan Malaysia sebagai hab halal utama dunia dan usahawan bumiputra perlu memainkan peranan penting dalam industri ini. Halmart misalnya dilihat bakal bersaing dengan Pasaraya Tesco, Econsave dan Giant suatu hari nanti dan tidak mustahil ianya berpotensi serta mampu menandingi ketiga-tiga gergasi dunia peruncitan itu.

Kelebihan dan keunikan Halmart terletak kepada status pasaraya yang hanya berurusniagakan produk halal tempatan dan global sahaja. Inisiatif merupakan tarikan utama kepada pengguna Islam dan bukan Islam. Pengguna Islam misalnya akan lebih selesa dan senang berurusan dengan Halmart yang terjamin identiti halalnya berbanding pasar raya lain.

Sebuah firma global pasaran halal, Glomex Consulting Group Sdn. Bhd. (Glomex) menyifatkan Halmart sebagai pasar raya atau supermarket halal pertama di dunia. Pasaraya ini hanya akan berurusnigakan produk halal dan mendapat spesifikasi halal sahaja, tidak seperti pasaraya lain yang turut menjual produk tidak halal seperti arak, daging babi dan sebagainya.

Menurut Halal Guide (http://www.halalguide.info), institusi ini juga merupakan supermarket halal terbesar dan terlengkap di dunia. Ianya dilengkapi segala kemudahan dan perkhidmatan setanding pasar raya besar lain. Hal ini dilakukan bagi membuka dan melebar luaskan pasaran halal tempatan dan global yang amat berpotensi dan berdaya saing. Pertumbuhan dagangan produk halal dunia berdasarkan standard Islam meningkat 10 sehingga 20 peratus dengan anggaran USD2.1 trilion.

Di samping Malaysia, Indonesia dan Brunei merupakan antara negara Islam pertama yang bakal mengaplikasikan konsep ini dan ianya akan diperluaskan lagi ke seluruh dunia. Kejayaan ini jelas menunjukkan Malaysia sebagai peneraju Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) telah berjaya membuktikan keupayaan, kehebatan dan kebolehannya dalam bidang ekonomi kepada seluruh negara Islam dan dunia amnya.

Menurut HighBeam Research (HBR), anggaran semasa pasaran halal ialah sekitar USD150 bilion, namun begitu nilaian ini berpotensi meningkat kepada USD500 bilion pada 2010 hasil daripada peningkatan nilaian dan kepelbagaian pasaran konsumer serta gandingan kekuatan trend demografik dunia.

Secara komersialnya, perkembangan pasaran kepenggunaan dan peruncitan Islam adalah yang terpantas di dunia. Menurut The Halal Journal (http://www.halaljournal.com/), populasi Muslim di Eropah berkembang sehingga 140 peratus sepanjang dekad ini dan ianya mencecah jumlah 25 juta, di samping itu dalam masa yang sama Muslim Australia meningkat sehingga 250 peratus.

Pasaran halal global berkembang sehingga RM9 trilion setahun. Manakala industri kosher yang dipelopori konglomerat Yahudi di Amerika Syarikat (AS) bernilai USD100 bilion (RM349 bilion) setahun, di mana pengguna Muslim merangkumi 16 peratus. Ini menjadikan kira-kira USD16 bilion bagi menjadikan produk halal sebagai alternatif dan menggantikan pasaran kosher di pasaran global. Potensi ini dikuatkan lagi dengan kepantasan populasi Muslim di seluruh dunia dan sudah tentu pasaran halal juga meningkat seiring dengan itu.

Dilaporkan pasaran halal Australia juga meningkat sehingga 250 peratus dalam sedekad ini seiring dengan populasi penduduk Muslimnya. Pasaran halal semasa United Kingdom (UK) juga semakin memuncak sehingga mencecah USD4 bilion dalam masa yang amat singkat dengan permintaan yang tinggi terhadap produk makanan kesihatan halal.

Dengan jumlah populasi Muslim Asia melebihi satu bilion, termasuk populasi terpantas India, China dan Pakistan menjadi indikator terbaik kepada pamasaran dan peruncitan industri halal berkembang. Menurut World Trade Organisation (WTO), pengguna Islam telah berbelanja sehingga USD580 bilion setahun dan dijangkakan perangkaan tersebut meningkat kepada USD2 trilion menjelang 2015.

Ledakan pasaran halal global menarik inisiatif KPUK melancarkan prototaip pasaraya Halmart yang bakal beroperasi di Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI), Johor, UK, Australia dan India tidak lama lagi. KPUK telah mengenal pasti 28 syarikat yang mampu mengeluarkan hampir 60 jenis produk untuk dijual di Halmart sebagai projek perintis. Usahawan terbabit akan dipandu bersaing di pasaran tempatan dan global.

Konsep Halmart adalah medium pemasaran terbaik produk halal di pasaran dunia. Modus operandinya akan diterjemahkan sama ada melalui sistem francais, penyertaan ekspo perdangangan antaranbangsa atau jualan terus. KPUK juga akan melaksanakan kerjasama pintar dengan agensi kerajaan lain seperti MARDI dan FAMA; institusi pengajian tinggi awam dan swasta (IPTA/S); pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan sektor swasta lain bagi membangunkan jenama, kualiti dan imej produk halal yang mantap dan diyakini pengguna global.

Bagi menjayakan konsep dan hala tuju Halmart, usahawan terlibat diharapkan dapat meningkatkan mutu pengeluaran, memantapkan penjenamaan produk, mewujudkan jenama serta imej tersendiri produk bagi menguasai pasaran tempatan dan sedia bersaing di peringkat global. Kira-kira 100 rangkaian pasaraya Halmart akan dibuka di seluruh dunia menjelang 2009. Kerajaan akan memastikan produk dan kreativiti usahawan Bumiputra menepati piawaian dan citarasa antarabangsa agar Malaysia berjaya menjadi sebuah hab halal utama global.

Diharapkan idea dan prasarana Halmart mampu menarik lebih ramai pelabur dan pelancong dari negara-negara Islam dan bukan Islam datang bertandang dan menanam modal di negara kita. Inovasi ini perlu dicontohi oleh negara Islam lain agar ekonomi umat Islam sejagat mampu tumbuh pada tahap maksima dan mampu bersaing di pasaran global, setelah sekian lama umat Islam hanya menjadi penonton dan pengguna sahaja.

Cita-cita dan impian untuk melihat sebuah pasar raya Islam yang halal dan suci tercapai dengan tertubuhnya rangkaian Halmart di negara kita. Umat Islam di Malaysia dan seluruh dunia amnya hendaklah bersatu menyokong usaha murni dan bijak ini.

Saturday, April 14, 2007

FENOMENA YIN, RAKYAT BERSATU MENCARI

Misteri kehilangan kanak-kanak berusia 5 tahun sudahpun berakhir. Muhammad Nazrin Shamsul Ghazali atau Yin, yang dilaporkan hilang sejak 31 Mac yang lalu, ditemui selamat di Sentul pada petang Sabtu lepas.

Kehilangan beliau telah mendapat liputan meluas di dalam media massa arus perdana dan saban hari usaha serta operasi pencarian dijalankan di seluruh negara hatta sampai di sempadan negara jiran. Tragedi kehilangan ini telah mengembarkan rakyat di seluruh tanah air dan berita kehilangannya dilaporkan secara langsung hampir setiap hari di negara kita.

Kini usaha dan operasi pencarian tersebut berakhir, dan apa yang menariknya ialah fenomena kehilangan Yin berjaya mewujudkan suasana kerjasama, persefahaman dan usaha gigih rakyat di negara kita menjejaki Yin. Semua bangsa sama ada Melayu, Cina, India dan lain-lain berusaha mencari dan cuba mendapatkan Yin.

Segala jentera dan kaedah pencarian digunakan semata-mata untuk menjayakan operasi dan tanggungjawab sosial ini. Fenomena Yin benar-benar menguji serta mengukur tahap keikhlasan dan kerjasama semua pihak yang terlibat.

Badan-badan bukan kerajaan (NGO) utama dengan kerjasama pihak Polis dan badan lain telah menjalankan operasi besar-besaran mencari Yin melalui pelbagai cara dan mekanisme. Usaha dan tindakan yang konsisten dan komprehensif ini akhirnya berhasil dalam tempoh tidak sampai sebulan.

Parti-parti politik sama ada daripada pihak kerajaan dan pembangkang turut mengambil peluang serta ruang menjayakan usaha pencarian Yin, di mana poster, kain rentang, iklan dan risalah tentang kehilangan Yin diedarkan kepada rakyat di sekitar Kuala Lumpur dan bandar-bandar utama di seluruh negara.

Usaha murni ini melihatkan betapa prihatin dan harmoninya masyarakat yang berbilang kaum dan agama di negara kita. Walaupun ganjaran berupa wang telah disediakan oleh keluarga Yin atas bantuan dan usaha beberapa dermawan bagi sesiapa yang berjaya menjejaki Yin, namun itu bukanlah menjadi agenda utama kepada usaha pencarian Yin.

Tidak kurang juga ada pihak yang prihatin mengadakan doa dan solat hajat di surau-surau dan masjid-masjid agar Yin segera ditemui. Semua ini dilakukan tanpa dipaksa dan disuruh, tetapi inisiatif ini hadir sendiri sebagai tanda sensitiviti rakyat yang bertanggungjawab.

Dalam keadaan kegelisahan dan kesedihan kehilangan Yin, masih ada pihak-pihak tertentu yang cuma mengambil kesempatan menyebarkan maklumat dan berita palsu berkenaan kehilangan Yin. Ramai bomoh dan pawang membuat ramalan serta kenyataan yang bukan-bukan dan amat tidak bertanggungjawab. Ada juga pihak yang cuba menipu untuk mendapatkan habuan wang yang dijanjikan keluarga Yin.

Kini misteri dan tragedi kehilangan Yin sudah di penghujungnya dan diharapkan Yin bahagia di samping keluarganya. Ucapan terima kasih dan penghargaan yang setingginya perlu dihadiahkan kepada semua pihak yang bersungguh-sungguh menjejaki Yin. Negara amat bertuah dan berbangga memiliki rakyat yang begitu prihatin dan peka dengan apa jua isu dan masalah yang berlaku.

Apa yang diharapkan ialah semoga peristiwa ini tidak berlaku pada masa hadapan dan ianya bolehlah dijadikan sebagai panduan dan pengajaran kepada semua ibu bapa dan penjaga. Mereka perlu lebih berhati-hati dan bertanggungjawab ke atas anak-anak di bawah jagaan mereka. Ibu bapa hendaklah memastikan anak-anak berada di dalam keadaan selamat dan sentiasa di dalam perhatian mereka agar peristiwa Yin tidak berulang lagi.

Thursday, April 12, 2007

BERBAKTILAH KEPADA IBU BAPA

Trend menghantar ibu dan bapa yang telah tua, uzur dan tidak berkemampuan ke rumah orang tua atau pusat jagaan, dilihat semakin ketara sejak kebelakangan ini. Situasi ini dapat dilihat dan dikesan berdasarkan kepada jumlah bilangan penghuni sedia ada di Pusat Jagaan Warga Emas atau juga dikenali sebagai Rumah Seri Kenangan di bawah kelolaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), pusat perlindungan yang disediakan oleh beberapa badan NGO dan agensi swasta lain.

Budaya Barat ini semakin menular di dalam masyarakat moden di negara kita. Menurut perangkaan JKM, terdapat seramai 1,714 warga tua yang mendiami sembilan Rumah Seri Kenangan di seluruh negara pada tahun 2001, manakala 1,686 (2002), 1,829 (2003), 1,673 (2004) dan 1,827 (2005). Setakat statistik tahun 2005, daripada jumlah 1,827 warga emas, 751 adalah dari kaum Melayu, 558 (Cina), 507 (India) dan 11 (lain-lain). Dari segi jantina pula, 1,171 adalah warga lelaki dan 656 wanita.

Pada hakikatnya, sepasang suami isteri mampu dan sanggup berkorban jiwa dan raga mereka menjaga, mendidik, dan berhabis wang ringgit memelihara berbelas-belas anak, namun amat malang sekali apabila jumlah anak yang ramai bukanlah jaminan kepada ibu bapa mendapat pembelaan dan kesenangan apabila mereka telah tua dan tidak bermaya kelak.

Anak-anak yang tidak bertanggungjawab, kurang prihatin dan tidak berfikiran secara waras akan mengambil tindakan kejam serta tidak berperikemanusiaan menghantar ibu dan bapa mereka ke rumah-rumah orang tua tanpa ada rasa segan silu, malu dan bersalah. Bahkan ada anak-anak yang bangga menceritakan kepada rakan-rakan sepejabat yang mereka telah berjaya akhirnya, menghantar ibu bapa mereka ke pusat jagaan orang tua ekoran tidak tahan dengan kerenah ibu bapa mereka.

Sebahagian daripada anak-anak yang boleh dikategorikan sebagai anak derhaka ini, berpendapat adalah lebih wajar dan bijak menghantar ibu bapa mereka yang telah tua ke pusat jagaan atau rumah orang tua agar ada orang lain yang boleh menjaga dan memastikan keselesaan pakaian, makan minum dan tidur ibu bapa mereka. Ini adalah lantaran mereka terlalu sibuk dan tidak mempunyai masa dan ruang yang cukup bersama-sama ibu bapa mereka.

Keadaan akan menjadi lebih parah apabila ibu bapa yang terlalu tua, nyanyuk, keanak-anakan dan sudah tidak boleh menjaga kebersihan serta persiapan diri. Jalan terakhir yang diambil oleh anak-anak yang tidak prihatin ini ialah menghantar ibu bapa mereka ke pusat jagaan, ke rumah waris yang terdekat ataupun dibiarkan hidup dan tinggal sebatang kara di kampung.

Faktor tinggal di bandar, gaji yang rendah, kos hidup yang tinggi, anak yang ramai dan rumah yang kecil menjadi alasan terbaik untuk mengelak daripada melaksanakan tanggungjawab sebagai seorang anak. Kadang-kala terdapat anak-anak yang mengambil kesempatan ke atas ibu bapa mereka yang tinggal bersama-sama mereka. Mereka dengan senang hati menyuruh dan mengarah ibu bapa mereka menjadi seperti orang gaji dan pembantu rumah mengurus hal ehwal rumahtangga mereka seperti menjaga anak, memasak, mencuci, berkebun dan sebagainya. Ada yang dibayar dan ada yang secara sukarela.

Sebagai seorang anak yang bertanggungjawab dan berfikiran waras, biarpun susah, sengsara, kesempitan hidup dan sebagainya, kita perlu melaksanakan peranan dan fungsi kita sebagai anak. Seorang anak yang baik tidak akan terlintas dibenak hatinya menghantar ibu dan bapa mereka ke rumah orang tua atau pusat jagaan dalam apa jua keadaan sekali pun, biarpun terpaksa bergolok dan bergadai.

Oleh yang demikian, kerjasama di kalangan anak-anak perlu ada bagi mengelak berlaku perbuatan tidak bertamadun ini. Mereka perlu berbincang dan merancang tanggungjawab masing-masing serta memastikan kedua ibu bapa mereka tidak diabaikan dan mendapat pembelaan sewajarnya. Anak-anak juga perlu menyediakan tabungan khas dan skim perlindungan insuran untuk kebajikan serta kemudahan ibu bapa pada masa hadapan, dan memastikan segala keperluan serta kepentingan ibu bapa terpelihara.

Ada anak yang tidak pernah menghantar duit perbelanjaan kepada ibu dan bapa serta jarang sekali datang menjengok hal keadaan mereka. Apa yang peliknya, anak-anak yang sudah berjaya dalam hidup ini, bebas bergaya dengan rumah dan kereta yang mewah, mampu memiliki kad kredit yang banyak serta pelbagai keperluan eksklusif lain, namun mereka terlalu berkira dan berat untuk menghantar sedikit wang dan penghargaan kepada ibu bapa mereka.

Faktor utama yang menyumbang kepada tindakan tidak beradab ini ialah kurangnya didikan agama dan rasa hormat serta sayang terhadap ibu bapa. Mereka lebih utamakan kerjaya, keluarga dan kawan-kawan berbanding ibu bapa sendiri. Oleh yang demikian, ibu bapa perlu menekankan pendidikan agama kepada anak-anak mereka agar anak-anak faham dan melaksanakan tuntutan agama dengan sempurna.

Kesilapan dan kelalaian mendidik anak-anak juga boleh menjadi penyebab kepada masalah ini. Ibu bapa perlu bijak, kreatif dan ikhlas mendidik dan memberi pelajaran kepada anak-anak. Ini adalah pelaburan jangka panjang yang tidak boleh dipandang ringan kerana kesilapan kita pada hari ini, risikonya bakal kita hadapi pada hari tua kelak.

Bagi mengelak sesuatu yang tidak baik berlaku pada masa hadapan, maka ibu bapa perlu mempunyai tabungan mereka sendiri agar ianya membantu apabila mereka sudah tidak bekerja dan tiada sumber pendapatan. Ini sekurang-kurangnya dapat mengurangkan kebergantungan kepada anak-anak dan dapat meringankan beban mereka. Bagi yang bekerja tetap mungkin tidak menjadi masalah kerana dana Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), perlindungan insuran dan sebagainya dapat membantu. Bagi mereka yang bekerja sendiri pula hendaklah membuat persiapan dan mempunyai tabungan sendiri untuk kegunaan hari tua nanti. Namun ini bukanlah jaminan yang anak-anak tidak menghantar ibu bapa ke rumah orang tua.

Islam mewajibkan anak-anak mentaati dan menjaga kebajikan kedua ibu bapa seperti yang diterangkan di dalam beberapa ayat Al-Quran seperti Al-Ankabut: 8; Luqman: 14-15; Al-Ahqaf: 15; dan Al-Israk: 23-24. Terdapat banyak hadis sahih yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim sebagai petunjuk dan penanda aras yang mewajibkan kita mentaati, menyayangi dan mengasihi kedua-dua ibu bapa.

Walaupun trend negatif ini masih di tahap terkawal di negara kita, namun pada masa hadapan mungkin negara terpaksa menggunakan saluran undang-undang bagi mengekang masalah ini. Sebagai contoh, banyak negara telahpun menggubal undang-undang dan peraturan bagi menjamin kebajikan dan keselamatan ibu bapa terjaga, di mana anak-anak boleh dipaksa oleh Mahkamah agar bertanggungjawab terhadap maslahah ibu bapa mereka.

Sebagai contoh, Singapura telahpun lebih awal menggubal Akta Penanggungan Ibu Bapa (APIB) 1995, diikuti Filipina dengan Akta Pembiayaan Ibu Bapa 1998 dan India merangka Rang Undang-Undang Penanggungan dan Kebajikan Ibu Bapa dan Warga Emas (RUPKIBWE) 2006. Melalui peruntukan undang-undang ini, ibu bapa yang teraniaya dan tidak mendapat pembelaan sewajarnya daripada anak-anak, boleh mendapatkan keadilan di Mahkamah. (C Ramasamy, 2007. Menangani Masalah Anak Abaikan Ibu Bapa; Hukum Si Penderhaka?. Harian Metro, 17 Mac)

Oleh yang demikian, cadangan beberapa ahli Parlimen yang prihatin agar tindakan tegas dikenakan ke atas anak-anak derhaka ini perlu diberi perhatian. Saranan agar kerajaan memotong gaji anak-anak yang menghantar ibu bapa mereka ke pusat jagaan warga emas dan pada masa yang sama, memberi insentif tertentu seperti potongan cukai kepada mereka yang sanggup menjaga orang tua sendiri perlu dipertimbangkan.

Manakala cadangan pindaan Akta Pusat Jagaan 1993 (Akta 506) dan kesediaan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) melihat dan berusaha menangani masalah ini hendaklah dipandang serius oleh pihak berwajib agar masalah ini tidak menjadi barah dalam masyarakat kita. Adalah diharapkan pindaan akta berkenaan bakal memberi nafas baru kepada lanskap dan suasana persekitaran pusat jagaan rumah warga emas di negara kita.

Bagi yang telahpun menghantar ibu bapa mereka ke rumah orang tua atau yang sedang bercita-cita untuk menghantar ibu bapa mereka ke sana, maka sudah tentu mereka juga perlulah bersedia bahawa pada suatu hari nanti, mereka juga bakal dihantar ke tempat yang sama sekiranya perkara tidak diselesaikan segera.

Sebagai anak yang berterima kasih dan sayang kepada kedua ibu bapa mereka, peluang berbakti kepada orang tua bukanlah suatu pilihan tetapi kewajipan yang perlu ditunaikan.

Monday, April 09, 2007

KERJASAMA ERAT SEKTOR AWAM DAN SWASTA PERLU

Saranan Perdana Menteri baru-baru ini, agar sektor awam dan swasta menjalinkan persahabatan dan kerjasama erat dalam semua bidang, idea dan falsafah bakal memberikan impak positif serta manfaat yang berguna kepada negara dan rakyat. Inisiatif ini perlu bagi memenuhi tuntutan dan gagasan Dasar Persyarikatan Malaysia (DPM) yang diasaskan sejak tahun 1983 lagi.

Konsep DPM mampu meningkatkan pembangunan dan imej negara pada tahap yang tertinggi. DPM memberikan peluang kepada entiti terpenting negara ini bersatu tenaga dan bekerjasama secara erat, bermakna dan berkesan ke arah pembangunan agama, bangsa dan negara.

Falsafah DPM ialah menghapuskan sikap permusuhan dan persaingan di antara kedua-dua pihak, mengurangkan kerenah birokrasi dan sebaliknya mereka bersama-sama berkongsi maklumat, tanggungjawab, cabaran serta memahami polisi, objektif dan prosedur masing-masing dalam usaha mempertingkatkan pembangunan sosial, pentadbiran, pengurusan dan ekonomi negara.

Ketika ini kita melihat seolah-olah wujud jurang yang luas di antara kedua-dua sektor ini. Sektor awam dilihat sebagai peneraju dasar-dasar awam yang berkaitan dengan rakyat jelata dan sektor swasta pula dilihat sebagai organisasi yang ditubuhkan berteraskan keuntungan dan prestij semata-mata.

Persepsi salah ini perlu dianjakkan kerana kedua-dua sektor ini saling memerlukan dan mempunyai tanggungjawab besar membina serta memacu pembangunan negara. Ini adalah kerana badan awam mampu menyediakan dasar-dasar utama dan menentukan arah serta menyediakan perkhidmatan sokongan yang diperlukan oleh swasta. Manakala badan swasta pula, menjadi pendokong kepada perkembangan dan kemajuan aktiviti perdagangan serta ekonomi negara. Gandingan bijak kedua-dua entiti penting ini akan memberi keuntungan kepada negara dan rakyat dalam bentuk pemerolehan cukai dan penglibatan sosial.

Oleh yang demikian, dalam mengejar keuntungan dan indeks prestasi syarikat, tanggungjawab sosial korporat (CSR) tidak boleh diabaikan oleh pihak swasta di negara ini. Mereka perlu melaksanakan tanggungjawab sosial ini dengan penuh dedikasi, penuh komitmen dan bersungguh-sungguh. Di samping itu, sektor awam pula hendaklah memberikan kerjasama dan bantuan sepenuhnya ke arah menjayakan hasrat ini.

Dalam keadaan kita dihebohkan dengan perang harga di antara syarikat rokok multinasional ketika ini, mereka sepatutnya tidak mementingkan kepentingan dan keuntungan syarikat sahaja, tetapi perlu bersama-sama kerajaan berganding bahu memperhebatkan aktiviti dan program bersepadu berkenaan bahaya, kemudaratan dan kempen anti merokok di seluruh negara sebagai salah satu inisiatif sosial mereka kepada rakyat dan negara ini. Indeks dan statistik penagihan dan penjualan rokok hendaklah dikurangkan. Syarikat multinasional seperti JT International (JTI), British American Tobacco (BAT) dan Philip Morris perlu memainkan peranan mereka sewajarnya dalam hal ini.

Manakala dalam bidang automotif pula, dengan pengalaman lebih 20 puluh tahun, Proton sepatutnya sudah lama mempunyai universiti sendiri sebagai institusi teras membangunkan teknologi terkini serta sebagai badan penyelidikan dan pembangunan (R&D) permotoran di negara kita. Kewujudan universiti Proton mampu meningkatkan imej, standard dan kualiti industri automotif negara di mata dunia.

Industri automotif negara akan menjadi lebih fokus dan modal insan dalam sektor automotif dapat dilahirkan. Ini adalah tanggungjawab sosial yang perlu diterjemahkan oleh Proton. Pengalaman konglomerat seperti Petronas dan Tenaga Nasional yang memiliki dan membangunkan universiti mereka sendiri, bolehlah dijadikan panduan. Hasilnya kini industri tenaga, minyak dan gas negara diiktiraf dan dikagumi dunia.

Bagi membangunkan institusi pendidikan dan ICT negara, sektor korporat perlu turun padang memberi sumbangan material dalam bentuk dana dan pembiayaan. Setakat ini kita memiliki beberapa yayasan seperti Yayasan Albukhary, Yayasan Emkay dan lain-lain yang begitu komited menjayakan aspirasi pembangunan pendidikan dan ICT negara.

Kerjasama di antara universiti awam dan swasta adalah amat perlu bagi memastikan kualiti dan standard pendidikan tinggi di negara kita seiring dan bertaraf dunia. Kerjasama dalam bentuk perpindahan teknologi, tenaga mahir, R&D, kepakaran, fasiliti, modal insan dan sebagainya perlu ditingkat dan diintegrasikan semaksima mungkin.

Sektor swasta lain juga perlu turut serta menjayakan projek kerjasama dan tanggungjawab besar ini, dengan memperhebatkan lagi pusat-pusat pendidikan dan latihan di negara kita; penyediaan tuisyen percuma di seluruh negara dengan memberi fokus kepada subjek matematik dan sains serta subjek teras lain; kemudahan makmal komputer yang lengkap dan kafe siber di kawasan pedalaman dan desa-desa; serta pelbagai lagi inisiatif yang boleh dikembangkan oleh pihak swasta dengan kerjasama badan awam lain.

Infra struktur dan prasarana ini penting bagi menjayakan hasrat kerajaan membina, memaju dan membangunkan Malaysia, melalui kerjasama dan persahabatan pihak swasta dan kerajaan.

Wednesday, April 04, 2007

PERKASAKAN KAD KREDIT ISLAM DI MALAYSIA

Laporan, pendedahan dan perdebatan oleh pihak media massa berkenaan isu tunggakan pinjaman kad kredit baru-baru ini amat informatif serta konstruktif kepada seluruh rakyat Malaysia. Ketika ini isu ditimbulkan, tunggakan telah mencecah RM20 bilion iaitu satu jumlah yang terbesar dalam sejarah perkembangan kad kredit di negara kita dan isu ini perlu diberi perhatian serius oleh semua pihak.

Laporan tahun 2005 merekodkan hampir 16 ribu kes kebankrapan yang difailkan di Mahkamah Tinggi di seluruh negara dengan 8 peratus daripadanya melibatkan penghutang penghakiman atau peminjam berusia bawah 30 tahun. Isu ini telah menjadi isu dan polemik utama negara ketika ini. Fenomena yang semakin tidak terkawal ini turut mendapat reaksi dan respon positif daripada pemimpin kanan negara.

Gerbang atau floodgate kad kredit hari ini dibuka seluas-luasnya kepada rakyat negara ini untuk memilikinya. Kad kredit yang begitu eksklusif dan mewah suatu ketika dahulu, kini sudah tidak bernilai lagi. Apatah lagi modus operandi permohonannya begitu mudah, hatta kita boleh memohonnya melalui medium SMS, telefon, internet dan transaksinya juga boleh dilakukan secara faksimili sahaja. Keputusan dan status permohonan juga boleh diketahui dalam masa tidak sampai 24 jam sahaja. Begitu mudah dan murahan sekali!

Akibatnya ramai di kalangan kita yang terpaksa naik turun mahkamah, harta disita dan dilelong dan lebih malang lagi dijatuhkan hukuman bankrap apabila gagal membayar hutang tunggakan kredit kad. Implikasi negatif daripada penyalahgunaan dan kurang disiplin aplikasi kad kredit menyebabkan pengguna terpaksa berhutang dan terus berhutang; hati tidak tenteram; hidup dalam keadaan keluh kesah, ketakutan dan bimbang; terpaksa menanggung hutang di sana sini; amalan 'korek lubang, tutup lubang' menjadi kebiasaan; kehidupan dan keluarga tidak terurus; rasuah dan salah guna kuasa berleluasa; prestasi kerja menurun, tidak bermotivasi serta kurang produktif dan sebagainya.

Namun begitu, dalam keadaan kita ghairah memperkatakan tentang isu tunggakan, akibat, dan hebatnya kempen dan promosi kad kredit ini, kita mungkin terlepas pandang berkenaan masalah riba yang sekian lama membelenggu pengguna aplikasi kad kredit di negara kita. Persoalan riba telah menjadi api dalam sekam yang amat merbahaya dalam perbankan negara kita, terutamanya produk kad kredit. Hutang kita akan menjadi bertambah banyak dan tidak terkawal disebabkan faedah dan bahana riba yang diamalkan oleh kebanyakan bank utama di negara kita.

Oleh yang demikian, untuk menghindarkan diri daripada masalah riba ini maka bank-bank utama di negara kita hendaklah memperkasa dan memperluaskan aplikasi kad kredit Islam. Kad kredit Islam dilihat sebagai alternatif kepada masalah tunggakan pinjaman yang semakin meningkat dari hari ke hari jika tidak dibendung segera. Pengharaman riba adalah jelas seperti yang termaktub di dalam surah Al-Baqarah: 275 dan 278-279, Al-Nisa': 29 dan dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Muslim. Di samping Islam, agama lain seperti Yahudi dan Kristian juga turut mengharamkan riba dalam urusan jual beli dan pinjaman.

Setakat ini terdapat beberapa bank yang telah memperkenalkan kad kredit Islam dan antaranya ialah Bank Islam (M) Berhad dengan produk kad kredit mastercard dan visa Islam, manakala AmIslamic Bank Berhad pula dengan produk kad kredit mastercard dan visa Al-Taslif. Dengan kewujudan semakin banyak bank-bank yang menjadi peneraju perbankan Islam di negara kita, maka adalah menjadi cabaran kepada institusi ini memperluas dan memperhebatkan kempen dan promosi kad kredit Islam di negara kita. Institusi kewangan tempatan seperti RHB Islamic Bank, Maybank, Hong Leong Islamic Bank, CIMB Islamic Bank dan lain-lain perlu melaksanakan tanggungjawab dan keperluan sosial ini. Kemunculan bank Islam antarabangsa seperti Bank Al-Rajhi dan Kuwait Finance diharapkan dapat memenuhi aspirasi dan inspirasi ini.

Dalam kita menghadapi kerenah globalisasi dan liberalisasi ekonomi dunia, negara kita telah dengan jayanya menerajui perbankan Islam dalam usaha memastikan pengagihan dan pemasaran dana Islam secara adil dan konstruktif dilaksanakan. Perjanjian derivatif Islam global dilaksanakan bagi mendokumenkan transaksi derivatif Islam yang lebih berkesan, efektif dan berdaya saing. Hasilnya lahirlah produk seperti instrumen dan nota kewangan Islam, kertas-kertas pembiayaan Islam, murabahah komoditi, bon Islam, prinsip Al-Bai Bithaman Ajil (rumah, bangunan dan lain-lain), Al-Rahnu (pajak gadai), Al-Ijarah (kenderaan, peralatan dan lain-lain), skim Takaful dan sebagainya. Atas landasan ini, maka adalah tidak mustahil kad kredit Islam bakal menjadi inisiatif dan alternatif terbaik kepada umat Islam di Malaysia.

Kelebihan dan perkembangan pesat ekonomi dan dana Islam menjadikan aplikasi kad kredit Islam perlu diperluaskan penggunaannya di samping kad kredit sedia ada Bank Islam dan Al-Taslif. Aplikasi kad kredit Islam amat diperlukan dan sebagai pengguna Islam, kita berhak memilih produk yang Islamik dan terjamin status halal serta bebas riba. Kad kredit Islam sedia ada adalah berdasarkan kepada prinsip Bai Al-Inah yang bebas daripada unsur-unsur perjudian, gharar (ragu-ragu) dan tiada penindasan seperti kadar faedah kad kredit konvensional yang mencecah 18 peratus setahun.

Kad kredit Islam juga dijamin 100 peratus halal dan transaksinya hanya boleh dilakukan di kaunter-kaunter halal sahaja. Ini sekurang-kurangnya dapat memelihara kita daripada terjebak dengan jual beli yang syubhat dan haram. Kelebihan produk ini juga membolehkan transaksi penggunaannya diterima pakai di seluruh dunia dan sepanjang tempoh kontrak, tiada elemen kompaun dikenakan, berbanding yang diamalkan oleh kad kredit konvensional lain. Tambahan pula, Bank Islam umpamanya menyediakan pelan perlindungan takaful peribadi dan keluarga berjumlah RM50 ribu kepada semua pelanggan kad kreditnya.

Keistimewaan lain yang tidak terdapat pada kad kredit konvensional ialah kad kredit Islam membolehkan penggunanya membayar zakat tanpa ragu-ragu di kaunter-kaunter bayaran zakat. Ini adalah keunikan dan kemudahan yang amat menguntungkan pengguna Muslim. Kadar keuntungan sebanyak 1.5 peratus sebulan dikenakan ke atas baki tertunggak adalah rendah berbanding kad kredit konvensional semasa. Keistimewaan lain seperti pindahan baki, tiada yuran penyertaan, pemberian bonus, pelan bayaran mudah 0% dan lain-lain mungkin terdapat dalam kebanyakan kad kredit konvensional. Namun apa yang lebih penting ialah kad kredit Islam adalah ditanggung halal dan bebas riba.

Adalah diharapkan kad kredit Islam mampu bersaing dengan kad kredit konvensional pada masa hadapan dan menjadi pilihan utama umat Islam. Sekiranya kita memilih untuk membeli rumah dan kereta melalui sistem perbankan Islam, mengapa tidak penggunaan kad kredit. Disiplin yang tinggi, menggunanya pada tempat dan waktu yang sesuai, bijak membeli dan berbelanja serta penggunaan kad kredit secara berhemah menjadi faktor penentu kepada penyelesaian baki tunggakan kad kredit yang kian meningkat sepanjang tahun di negara kita. Mungkin kad kredit Islam adalah jawapannya.

Monday, April 02, 2007

MASA HADAPAN INDUSTRI PELANCONGAN NEGARA

Pelancongan atau tourism, yang dalam bahasa Latin iaitu tornare dan Greek iaitu tornos membawa maksud pergerakan dalam satu bulatan. Oka A. Yoeti dalam buku beliau Pemasaran Pelancongan (1988), menukilkan definisi pelancongan oleh Krippendorf iaitu " semua bentuk perniagaan yang menyediakan barangan dan berbagai-bagai jenis perkhidmatan yang memenuhi keperluan pelancong dan dengan demikian mengadakan hubungan dengan pelancong-pelancong di dalam urusan mereka sehari-hari. Adalah tidak penting sama ada perusahaan-perusahaan ini menyediakan perkhidmatan yang eksklusif, banyak atau sedikit sahaja bagi pelancong ". (Oka A. Yoeti, 1988. Pemasaran Pelancongan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka)

Bagi World Tourism Organisation (WTO) pula, pelancongan didefinisikan sebagai aktiviti pengembaraan seseorang individu ke suatu tempat keluar daripada persekitaran asalnya dan menetap di situ tidak lebih daripada setahun bagi tujuan rehat, perniagaan dan sebagainya. Leiper (1981) menakrifkan pelancongan sebagai " suatu sistem terbuka yang mempunyai hubungan dengan persekitaran yang luas, elemen manusia sebagai pelancong; elemen kawasan iaitu kawasan asal, kawasan persinggahan dan kawasan destinasi yang terpilih; elemen ekonomi iaitu industri pelancongan; dan elemen dinamik iaitu terdiri daripada individu yang mengembara bagi tujuan berehat jauh dari tempat asal mereka selama lebih kurang satu hari ".

Menurut Menteri Pelancongan Malaysia, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, industri pelancongan melibatkan perkhidmatan dan banyak melibatkan hubungan manusia dan kenalan. Para pelancong sering mengingati pengalaman melancong sepanjang hayat mereka. Pengalaman yang mereka alami dan lalui ketika melancong sama ada pahit atau manis, akan kekal dalam ingatan mereka selama-lamnya.

Mungkin benar seperti kata Profesor Tom Quinn dari Michigan State University bahawa pelancongan adalah satu "people pleasing business". Oleh yang demikian, adalah penting bagi mereka yang terbabit dalam industri ini memastikan suasana yang menyenangkan pelancong yang bertandang ke negara kita. Untuk itu, Kementerian Pelancongan telah memperkenalkan program 'Malaysia Welcomes The World'. Program ini bertujuan memberikan kesedaran kepada rakyat dan menerapkan konsep 'Think Tourism'.

Di samping Malaysia yang telah menganjurkan Tahun Melawat Malaysia (TMM) pada tahun 1990 dengan tema 'You'll be fascinated' dan 1994 dengan tema 'Fascinating Malaysia - Naturally More', terdapat beberapa negara dan National Tourism Organisations (NTOs) yang turut menganjurkan kempen Tahun Melawat atau 'Visit Years' di negara-negara seperti Thailand (1987), Filipina (1988), India (1991), Indonesia (1991), Korea (1994), Myanmar (1994), China (1997), ASEAN (2003), Taiwan (2004) dan banyak lagi negara yang melihat industri ini mampu memberikan impak lumayan kepada struktur, pendapatan dan perkembangan negara dengan membuka ruang pekerjaan dalam sektor hospitaliti, perkhidmatan dan sebagainya.

Pada tahun 1990, TMM pertama kali dianjurkan dan industri ini telah menunjukkan peningkatan jumlah bilangan pelancong dari 4.8 juta pada tahun 1989 kepada 7.4 juta orang. Statistik ini jelas menampakkan kenaikan hampir 56 peratus dengan hasil pertukaran matawang asing (forex) sebanyak RM4.5 bilion. Manakala TMM 1994 pula dengan jumlah pelancong seramai 7.13 juta, membuktikan industri ini menyumbangkan hasil pertukaran matawang asing sebanyak RM8.29 bilion dalam masa hanya empat tahun sahaja. Situasi jelas menunjukkan industri ini amat menguntungkan rakyat dan negara.

Selepas 13 belas tahun, seiring dengan sambutan 50 tahun kemerdekaan Malaysia, TMM 2007 kembali dengan anggaran 20.1 juta pelancong akan membanjiri negara kita dan diramalkan industri ini sekali lagi memberi rangsangan dan momentum positif kepada ekonomi negara dengan menyumbangkan hasil pertukaran wang sebanyak RM44.5 bilion. Peruntukan sebanyak RM149 juta telah disediakan oleh kerajaan dalam Bajet 2007 bagi menjayakan misi pelaburan besar ini.

Kali ini Malaysia menghidangkan pelbagai bentuk dan pilihan pelancongan kepada pengunjung yang antaranya pakej pelancongan kesihatan, pelancongan sukan, pelancongan rehat dan rawat, pelancongan pendidikan, perlancongan perniagaan, ekopelancongan, program rumah kedua 'Malaysia My Second Home' dan sebagainya. Sebagai contoh, ekopelancongan adalah sektor yang berdaya maju di negara kita. Ekopelancongan adalah sub-sektor industri pelancongan yang kadar perkembangannya tercepat di dunia.

Menurut WTO (1997), konsep ekopelancongan memberikan penekanan kepada memaksimumkan tempat tarikan yang berasaskan ekologi termasuklah kawasan pertanian, hutan simpan dan hutan rekreasi, dan habitat asal untuk kemajuan dan pulangan ekonomi negara. Lebih daripada 10 peratus daripada 10 juta pelancong yang melawat Malaysia setiap tahun adalah pencinta alam semulajadi atau pelancong-eko (eco-tourists).

Menurut Mohamad Daud (2003), Pelan Ekopelancongan Negara Malaysia (PEPNM) yang dikeluarkan oleh Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan pada tahun 1999 dihasilkan dengan berpandukan 426 buah lokasi ekopelancongan sedia ada dan yang berpotensi untuk dimajukan; 11 faktor diagnostik; 14 jenis tarikan; dan 20 jenis aktiviti. Ini adalah peluang keemasan yang tidak seharusnya diabaikan memandangkan negara kita begitu kaya dengan alam semulajadi yang sudah tentu menjadi tarikan utama pelancong ke Malaysia. (Mohamad Daud, 2003. Penyertaan Pengusaha Kecil dan Sederhana (PKS) Dalam Perniagaan Berteraskan Perkhidmatan Ekopelancongan. Universiti Putra Malaysia: Rangkaian Ekopelancongan Malaysia )

Ketibaan pelancong meningkat sebanyak 61 peratus daripada 10.2 juta orang pada tahun 2000 kepada 16.4 juta pada 2005. Pendapatan negara juga meningkat daripada RM17.3 bilion pada 2000 kepada RM 31.9 bilion pada 2005. Kejayaan industri ini menunjukkan peningkatan sebanyak 7.8 peratus berbanding sebanyak RM29.6 bilion pada 2004. Unjuran hasil yang dijangkakan berdasarkan kepada RMK-9 (2006-2010) bahawa untuk tahun 2006, unjuran hasil adalah RM37.4 bilion; tahun 2007 (RM44.5 bilion); 2008 (RM49 bilion); 2009 (RM53.9 bilion); dan 2010 (59.4 bilion).

Sektor ini juga telah mewujudkan peluang pekerjaan kepada hampir 500 ribu rakyat Malaysia sepanjang tahun dalam semua sektor. Perkembangan industri Pengusaha Kecil dan Sederhana (PKS) turut menerima limpahan dan impak positif industri pelancongan negara. Mengikut Murphy (1985), pembangunan pelancongan harus menemui keseimbangan keperluan antara residen (individu atau peniaga) dan pelancong. Perkembangan ini dapat dilihat daripada pertambahan jumlah bilangan hotel dan bilik di mana pada tahun 1993, direkodkan sebanyak 1,090 buah hotel terbina dengan 61,005 bilik dan pada 2005 pula sebanyak 2,269 buah hotel dengan bilangan bilik berjumlah 155,356 buah.

Nurwati Badarulzaman (1994), menegaskan dasar dan strategi pembangunan industri pelancongan perlu lebih agresif, terselaras dan bersepadu seiring dengan peningkatan pesat bilangan pelancong antarabangsa yang tiba di Malaysia. Menurut beliau kejayaan Rancangan Malaysia Keenam (RMK-6) bagi tahun 1991-1995 menunjukkan peningkatan jumlah kehadiran pelancong iaitu sebanyak 3.1 juta pada tahun 1985 kepada lebih 7 juta pada 1990. Di samping itu juga, kerajaan hendaklah mengaplikasi sepenuhnya peranan dan fungsi Kompleks Maklumat Pelancongan Malaysia (MATIC). ( Nurwati Badarulzaman, 1994. Penglibatan Bumiputra Dalam Pemandu Pelancongan. Pulau Pinang: Universiti Sains Malaysia (7-9 November, 1994) )

Bagi mengawal selia dan memastikan perjalanan TMM lancar, licin dan berjaya, maka kerajaan telah memperuntukkan Akta Industri Pelancongan 1992 (Akta 482) yang menggariskan peraturan-peraturan industri pelancongan; perniagaan pengendalian pelancongan; serta perniagaan agensi pengembaraan. Di samping itu terdapat juga Akta Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia 1992 (Akta 481) dan Akta Perlesenan Kenderaan Pelancongan 1999 (Akta 594) yang menunjukkan kerajaan begitu komited dengan TMM serta bertujuan meletakkan industri ini berada di landasan yang betul.

Kewujudan Agensi-Agensi Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA), Persatuan Pemilik-Pemilik Hotel Malaysia (MAHO), Persatuan Hotel Malaysia (MAH), Persatuan Pengembara dan Pelancongan Bumiputra (BUMITRA) dan Majlis Pemandu Pelancong Malaysia (MTGC) membuktikan komitmen mereka membantu kerajaan memacu industri pelancongan negara.

Sunday, April 01, 2007

GENERASI MUDA KURANG MINAT MENGUNDI

Pendedahan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bahawa 4.9 juta rakyat yang belum mendaftar sebagai pengundi sehingga Disember 2006 baru-baru ini amatlah menyedihkan dan menduga citakan semua pihak terutamanya parti-parti politik utama negara dan lebih-lebih lagi parti pemerintah.

Ini adalah kerana sebagai sebuah negara yang berdaulat dan mengamalkan sistem demokrasi berperlembagaan, nilai dan status sesuatu undi yang diberikan rakyat amat berharga dan diperlukan sebagai mandat untuk kerajaan terus memerintah dan melaksanakan pembangunan serta kemajuan rakyat dan negara.

Menurut laporan SPR, hampir 70 peratus daripada mereka yang tidak mendaftar adalah golongan muda yang berumur antara 21 hingga 35 tahun. Sehingga Disember tahun lepas, 15.2 juta rakyat layak mengundi selepas mereka mencapai umur 21 tahun, tetapi hanya 10.3 juta sahaja yang mendaftar sebagai pengundi.

Selangor mencatatkan jumlah paling ramai penduduk yang masih lagi belum mendaftar sebagai pemilih iaitu seramai 600,000 orang, diikuti dengan Sarawak (450 ribu), Johor (400 ribu), Perak (375 ribu) dan Kuala Lumpur (300 ribu). Rata-rata negari yang terlibat adalah negara yang berstatus negeri maju dan moden di negara kita. Perkara ini tidak sepatutnya berlaku dan terus berlarutan tanpa sebarang tindakan.

Inisiatif dan usaha menarik rakyat keluar mendaftar sebagai pengundi perlulah ditingkatkan dan diperluaskan segera. Antara sasaran yang boleh dilakukan oleh SPR ialah pelajar-pelajar Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan IPTS. Ini adalah kerana ramai pelajar universiti; maktab atau institut perguruan; kolej dan institut pengajian swasta; pusat-pusat perintis kerajaan dan swasta; pusat latihan dan kemahiran; kolej kejururawatan; kolej ketenteraan dan kepolisan; dan pelajar atau pelatih pusat-pusat pengajian tinggi lain yang masih lagi tidak mendaftar sebagai pengundi. SPR perlu giat dan tingkatkan usaha promosi menarik lebih ramai kelompok ini keluar mendaftar.

Usaha pendaftaran pemilih dan kaunter-kaunter SPR boleh diperhebatkan lagi ke surau dan masjid terutamanya hari Jumaat iaitu sebelum atau selepas solat Jumaat; di balai raya orang ramai di kampung-kampung; pejabat JKKK; pejabat ADUN; pejabat pos; kawasan perindustrian seperti kilang-kilang; kompleks perniagaan utama; pusat perhentian R&R di lebuhraya; dan sebagainya.

Mungkin juga SPR boleh menjalankan promosi pendaftaran pemilihan di penjara-penjara, pusat tahanan, pusat serenti, rumah-rumah perlindungan, dan lain-lain lagi. Inisiatif ini adalah bagi meningkatkan lagi semangat dan minat rakyat mendaftar sebagai pemilih menjelang pilihanraya umum akan datang.

Aplikasi dan kemudahan sistem pesanan ringkas (SMS) dan medium internet hendaklah diperluaskan agar rakyat lebih mudah, cepat dan efektif berurusan dengan SPR. Dan hal ini bakal memberi impak dan alternatif baru kepada rakyat yang belajar atau bekerja di luar negara. Mereka tidak perlu pulang ke tanah air semata-mata untuk mendaftar sebagai pengundi.

Statistik pengurangan jumlah pendaftaran pemilihan di atas amatlah menyedihkan serta boleh merugikan politik negara dan kerajaan. Fenomena ini jika tidak dikekang, bakal memberi kesan yang negatif kepada jumlah peratusan yang bakal keluar mengundi pada pilihanraya akan datang. Jika tiada aral melintang, kemungkinan besar pilihanraya umum akan diadakan pada hujung tahun ini ataupun awal tahun hadapan. Oleh yang demikian, tindakan serta usaha drastik, konsisten dan holistik perlu diimplimenkan segera.

Kempen dan usaha murni ini bukanlah tugas dan tanggungjawab SPR sahaja tetapi kerjasama semua pihak diperlukan bagi menjayakan misi dan visi besar ini. Ibu bapa, guru, pensyarah, ahli politik, NGO, dan media massa sama ada bercetak ataupun elektronik perlu berganding bahu memberi motivasi dan kesedaran kepada rakyat keluar mendaftar sebagai pemilih. Mereka juga perlu berusaha menaikkan semangat nasionalisme dan patriotisme kepada yang masih belum mendaftar. Bagi yang masih belum mendaftar, ingatlah bahawa mengundi adalah amanah dan tanggungjawab yang wajib ditunaikan sebagai rakyat Malaysia.

Masa hadapan, kemajuan, usaha pembinaan dan pemerkasaan agama, bangsa dan negara adalah terletak dan bergantung sepenuhnya kepada kebijaksanaan dan kewarasan kita sebagai pemilih pada pilihan raya akan datang. Jangan tunggu hingga ke saat akhir untuk mendaftar kerana SPR memerlukan sekurang-kurang tiga bulan untuk memproses permohonan dan pendaftaran.

Oleh yang demikian, gunalah kuasa, peluang dan kesempatan yang ada ini sebaiknya agar kita tidak menyesal di kemudian hari. Bagi mereka yang masih belum mendaftar, hendaklah segera mendaftar sebagai pengundi di kaunter yang disediakan SPR. Undi kita adalah rahsia dan sebagai rakyat di negara yang merdeka, undi kita amat bernilai dan tidak boleh ditukar serta dijual beli dengan wang ringgit biarpun kita seorang yang kaya raya. Negara dan kerajaan menghargai usaha dan tindakan murni kita sebagai pengundi melalui limpahan kemerdekaan, kekayaan, kemakmuran dan keamanan.