Wednesday, April 18, 2007

EVOLUSI DAN POTENSI INDUSTRI ANIMASI NEGARA

Saranan Timbalan Perdana Menteri (TPM), Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini agar golongan muda menjadikan bidang animasi sebagai alternatif kerjaya baru, perlu diberi perhatian serius oleh semua pihak. Kerjaya ini dilihat mampu menawarkan pendapatan dan pulangan yang lumayan.

Ketika ramai yang bercita-cita menjadi peguam, doktor, akauntan, jurutera dan sebagainya, tanpa kita sedari kerjaya dalam industri animasi mampu berkembang, berdaya saing, popular dan mempunyai nilai yang besar menembusi pasaran global.

Menurut TPM, golongan muda perlu melihat peluang dan ruang dalam sektor animasi kerana ia menjanjikan limpahan serta kekayaan luar biasa.

Industri animasi tidak seharusnya dilihat pada karektor kartun semata-mata malah ia merangkumi dimensi yang lebih luas termasuklah animasi dalam pendidikan multimedia, permainan dan teknologi komunikasi dan maklumat (ICT).

Dilaporkan Korea Selatan berjaya mengeksport kandungan animasi bernilai AS$700 juta pada tahun 2005 berbanding hanya AS$70 juta pada 1997.

Negara itu kini menguasai lebih 30 peratus pasaran animasi global dan bakat-bakat animasi mereka sentiasa diburu oleh industri animasi Amerika Syarikat (AS) dan negara-negara Eropah. Sebahagian besar daripada mereka dibayar gaji ratusan ribu dolar.

Dijangkakan industri kreatif multimedia global mencapai nilai RM2.3 trilion menjelang 2010, manakala industri animasi dianggarkan bernilai kira-kira RM280 bilion.

Menurut Hassan Muthalib (2004), industri animasi negara bermula dengan penubuhan Malaya Film Unit (MFU) pada tahun1946 dan kamera animasi pertama yang dibawa masuk dari Sri Lanka telah menandakan permulaan dan penapakan industri ini di negara kita. (Animasi Tempatan Gagal Pikat Remaja, Berita Harian, 17/12/2004)

Animasi pertama yang diterbitkan di negara kita ialah Hikayat Sang Kancil pada tahun 1978, diikuti dengan Monyet dan Buaya pada 1983. Sejak itu, industri ini berkembang dengan adanya peralatan, teknologi dan inovasi dari negara Barat terutamanya Perancis yang membawa era baru animasi negara dalam animasi empat dimensi, khusus pada pertengahan tahun 1990an. (Hassan Muthalib, 2004. From Mousedeer to Mouse: The Malaysian Animation Scene. Kuala Lumpur: Balai Seni Lukis Negara)

Industri animasi AS bermula pada awal 1900 di mana J. Stuart Blackton sebagai pereka pertamanya. Pada tahun 1908, Emile Cohl telah berjaya menerbitkan filem pertamanya bertajuk Fastasmagorie. Industri ini berkembang maju dan terus mendominasi pasaran global sehingga ke hari ini. (http://en.wikipedia.org/wiki/Animation)

Industri animasi Perancis pula berkembang sejak tahun 1918 lagi, dengan penerbitan filem animasi pendek pertama negaranya. Sejak itu, industri animasi Perancis melangkah jauh ke hadapan dan melahirkan pengarah serta pereka bentuk yang mampu menawarkan khidmat dan kemudahan kepada studio besar seperti Walt Disney. (Seminar Kupas Senario Dunia Animasi, Berita Harian, 8/12/2004)

Filem animasi tempatan pertama ialah Silat Lagenda dengan kos produksi sebanyak RM3.5 juta. Filem ini memakan masa selam dua tahun untuk disiapkan dan ditayang kepada umum pada 27.8.1998. Seterusnya dengan menggunakan teknologi animasi terkini dan canggih, filem Putih diterbitkan pada 2001.

Kedua-dua filem animasi ini membuktikan rakyat Malaysia juga kreatif, inovatif dan setanding dengan negara maju lain dalam industri ini.

Di samping itu terdapat juga kartun animasi tempatan seperti Usop Sontorian (1996-1998), Anak-Anak Sidek (1997-2004), Kluang Man dan sebagainya yang berjaya mendapat tempat di saluran utama televisyen tempatan walaupun terpaksa bersaing dengan kartun animasi Transformer, Ultraman, Doraemon dan sebagainya.

Walaupun hampir 90 peratus rancangan animasi di saluran utama televisyen negara didominasi animasi dari AS, Jepun dan Korea, namun begitu pasaran dan masa hadapan animasi terbitan tempatan mampu berkembang pesat.

Sokongan pihak kerajaan melalui Kementerian Kesenian, Kebudayaan dan Warisan (KKKW), Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) dan Persatuan Animasi Malaysia (Animas) amatlah diperlukan bagi menjayakan dan meningkatkan potensi industri ini. Di samping itu, kualiti animasi tempatan juga hendaklah setanding dengan standard pengeluar negara asing.

Geran atau pembiayaan dana produksi oleh pihak kerajaan dan badan kewangan serta promosi yang betul mampu merangsang pertumbuhan industri lumayan ini pada masa hadapan. Di samping itu juga, sokongan berterusan stesen televisyen kerajaan seperti RTM1 dan RTM2; serta swasta seperti Astro, TV3, TV9, TV8 dan NTV7 amat diperlukan agar industri animasi negara tidak dianaktiri dan diabaikan.

Setakat ini, terdapat beberapa Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Swasta (IPTS) yang menyediakan kursus pengajian dan penyelidikan dan pembangunan (R&D) dalam bidang animasi seperti Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Kolej Universiti Lim Kok Wing (KULKW), Universiti Tun Abdul Razak (UNITAR), Universiti Multimedia dan banyak lagi.

Bagi golongan muda dan lepasan sekolah, peluang keemasan mempelajari dan mendalami industri ini, tidak boleh dilepaskan begitu sahaja. Mentaliti bahawa kursus animasi hanya untuk pelajar yang lemah dan berkelulusan rendah dalam peperiksaan serta tiada masa hadapan dan peluang kerja perlu diubah segera.

Mungkin suatu hari nanti kita bakal melihat dunia animasi kita menandingi Shrek, Robot, Lion King, Finding Nemo dan sebagainya. Penubuhan Pusat Animasi Malaysia Koridor Raya Multimedia (MSC) baru-baru ini diharapkan mampu menjana dan memimpin industri animasi negara di landasan yang betul.

No comments: