Friday, May 25, 2007

PENGURUSAN PERBELANJAAN BERHEMAH PERLU DIUTAMAKAN

Menjelang bulan Julai ini hampir 1.2 juta kakitangan awam bakal menikmati kenaikan gaji bulanan antara 7.5 sehingga 35 peratus. Kenaikan istimewa yang mengejutkan ini dianggap antara yang terbaik di abad dan dekat ini semenjak 1992. Peningkatan gaji secara mendadak dan drastik ini perlulah diurus dan dikawal selia secara berhemah dan penuh bijaksana. Kesilapan mentadbir kenaikan ini boleh memberi impak negatif kepada percaturan kehidupan jangka panjang seseorang.

Peningkatan gaji yang dianggap lumayan dan mewah ini hendaklah dijuruskan terutamanya kepada pembiayaan pendidikan peribadi dan keluarga. Inilah peluang terbaik untuk seseorang itu menyahut cabaran dan cita-cita menyambung pelajaran ke peringkat yang lebih bagi meningkatkan lagi status, kelayakan dan kualiti hidup sama ada secara pengajian jarak jauh (PJJ) atau pengajian luar kampus (PLK) di pusat pengajian tinggi awam dan swasta tempatan.

Bagi yang sudah berkeluarga pula sudah tentu kenaikan gaji bulanan ini bolehlah digunakan untuk memantap dan menampung perbelanjaan pendidikan anak-anak di peringkat sekolah dan pengajian tinggi. Walaupun sebelum ini ibu bapa agak perit dan terpaksa mengikat perut demi memastikan pendidikan anak-anak tidak terabai dan tertinggal, maka peluang menerima kenaikan gaji ini hendaklah diurus dengan efisien dan penuh bijaksana bagi memenuhi hasrat tersebut.

Di samping penekanan kepada pendidikan anak-anak dan peribadi, keutamaan juga perlu diberikan kepada peruntukan untuk pembiayaan perlindungan takaful atau insuran individu dan keluarga. Jika sebelum ini kita mungkin seringkali memberi alasan tidak mampu memiliki polisi insuran atau takaful kerana gaji tidak mencukupi dan sering terputus dipertengahan bulan, maka dengan kenaikan gaji yang dianggap antara yang tertinggi ini perlulah diarahkan kepada pembelian perlindungan takaful atau insuran ke atas diri sendiri, isteri dan anak-anak.

Perlindungan insuran amat penting dewasa ini sebagai persediaan awal sekiranya berlaku sebarang kemungkinan pada masa akan datang. Ini adalah kerana perbelanjaan dan pembiayaan perubatan semakin meningkat dan amat mahal. Sekiranya seseorang itu memiliki takaful atau insuran, maka masalah tersebut boleh dianggap selesai dan tidak perlu bimbang sekiranya berlaku sebarang perkara yang tidak baik kepada diri dan keluarga.

Tidak rugi berhabis duit gaji bulanan membeli perlindungan takaful atau insuran kerana kebanyakan syarikatnya turut menyediakan skim pelaburan dan simpanan jangka panjang yang amat menguntungkan. Keadaan ini sudah tentu mewujudkan situasi menang-menang dan ketenangan hati.

Kalau sebelum ini ramai yang mengeluh tidak dapat menghantar duit perbelanjaan dan membantu keluarga di kampung kerana gaji yang diperolehi setiap bulan kecil dan tidak mencukupi, tetapi kini dilemma tersebut mungkin sudah dapat di atasi kerana dengan kenaikan gaji seperti yang diumumkan oleh kerajaan baru-baru ini, membolehkan ramai orang meneruskan hasrat menyumbang sebahagian daripada kenaikan gaji tersebut untuk kebajikan kedua ibu bapa di kampung dan membantu adik-adik dan saudara mara yang masih belajar di sekolah ataupun di institusi pengajian tinggi (IPT). Kenaikan gaji seperti yang diumumkan ini menjadi rahmat kepada semua orang sama ada kita sedari ataupun tidak.

Bagi sesiapa yang mempunyai hutang tertunggak pula sama ada dengan bank, kawan-kawan atau saudara mara, maka peluang untuk melunaskan hutang tertunggak tersebut seperti hutang kad kredit, pinjaman peribadi, kereta dan lain-lain lagi hendaklah digunakan sebaik mungkin dengan sedikit laba yang diperolehi dari peningkatan gaji semasa. Hutang yang tidak dibayar dengan segera dan sempurna akan terus meningkat kerana kadar faedah yang dikenakan amat tinggi dan tidak munasabah.

Oleh yang demikian, rancangan dan pengurusan pembayaran hutang semasa yang masih tertunggak hendaklah disegerakan dengan situasi dan peluang kenaikan gaji ini agar tidak terus terperangkap dengan bebanan hutang yang berpanjangan. Jangan sekali-kali mencipta hutang dan liabiliti baru seperti membeli kereta baru, menukar telefon tangan, peralatan rumah dan sebagainya. Sekiranya keadaan ini berlaku dan tidak dikawal, maka masalah ini akan menjadi bertambah parah kepada sosio-ekonomi seseorang.

Kepada peminat dan penggemar buku pula, inilah masanya untuk menggunakan sebahagian daripada kenaikan gaji tersebut untuk membeli buku yang dihajatkan, yang mana sebelum ini harganya mungkin agak mahal dan tidak mampu membelinya. Mungkin juga kita boleh memperuntukan sedikit daripada kenaikan itu untuk membeli buku-buku ilmiah setiap bulan sama ada untuk diri sendiri ataupun keluarga. Semangat dan minat membaca dapat disemarakkan dan sudah tentu industri buku negara juga mampu berkembang pesat dengan pasaran dan kuasa pembelian yang tinggi.

Impian untuk mengerjakan fardhu haji dan menunaikan ibadah sunat umrah di Mekah juga mungkin tercapai sekiranya seseorang itu bijak menggunakan kenaikan gajinnya dengan betul. Seseorang itu boleh memperuntukkan sekurang-kurang RM100 sebulan untuk simpanan di dalam akaun Tabung Haji dan dalam masa lapan tahun sudah mampu menunaikan fardhu haji di tanah suci. Manakala bagi yang mempunyai lebihan daripada kenaikan gaji tersebut bolehlah digunakan untuk mengerjakan ibadah umrah yang sangat dituntut bagi yang mampu.

Seperkara yang amat penting dan tidak boleh dipandang remeh ialah berkenaan kewajipan berzakat ke atas pendapatan bulanan kerana ramai yang tidak mempedulikan kewajipan ini serta memandang ringan berzakat dengan alasan gaji tidak mencukupi dan tidak mampu. Kewajipan berzakat hanyalah 2.5 peratus daripada jumlah keseluruhan pendapatan sahaja dan tidak lebih dari itu.

Jika sebelum ini kita abai, cuai dan sengaja tidak membayar zakat pendapatan, maka dengan kemudahan dan nikmat kenaikan gaji bulanan ini hendaklah diarahkan sebahagian kepada pembayaran zakat di samping memperbanyakkan amalan sedekah, infak, wakaf dan lain-lain lagi yang sangat digalakkan oleh Islam agar pendapatan bulanan yang diperolehi berkembang subur, berkat dan dirahmati Allah s.w.t.

Simpanan untuk masa hadapan dan kecemasan juga penting serta perlu diberikan penekanan oleh semua pihak. Dengan bersiap sedia dan konsisten menabung untuk simpanan bagi kegunaan pada masa hadapan dan ketika menghadapi kecemasan adalah langkah paling bijak dan berpandangan jauh meramal masa hadapan. Sikap dan inisiatif ini perlu dijadikan agenda utama seseorang atau pemimpin sesebuah keluarga agar tidak menyesal di kemudian hari.

Oleh itu, kenaikan gaji bulanan menjelang Julai ini hendaklah dijadikan penanda aras dan target jangka panjang sekiranya ingin tergolong di kalangan orang yang berjaya mengurus dan mentadbir polisi dan status ekonominya.

WUJUDKAN SEGERA HARI SENIMAN

Cadangan kerajaan untuk mewujudkan Hari Seniman amatlah dialu-alukan dan merupakan satu pengiktirafan terbesar kepada golongan seniman dan karyawan di negara kita.

Kelompok unik yang telah bertungkus lumus dan giat berusaha meningkatkan martabat industri kesenian dan kebudayaan di negara kita sewajarnya diberikan penghargaan dan penghormatan oleh negara. Maka pengisytiharan Hari Seniman bakal membakar semangat dan perjuangan penggiat serta penggerak seni budaya tanahair.

Baru-baru ini kerajaan melalui Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan (KeKKWa) telah mengumumkan cadangan menjadikan 22 Mac setiap tahun sebagai Hari Seniman bagi menghargai dan mengiktiraf sumbangan penggiat seni negara. Hari yang dicadangkan itu bersempena tarikh lahir seniman agung, Tan Sri P. Ramlee. Lantaran itu, KeKKWa telah mengemukakan usul memilih satu hari dalam setahun untuk disambut sebagai Hari Seniman.

Sebelum itu, April lalu, Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), Datuk Mustafa Maarof telah mencadangkan agar kerajaan mnengiktiraf secara rasmi satu hari untuk sambutan Hari Seniman yang bertujuan meraikan dan mengiktiraf semua penggiat kesenian dan kebudayaan negara.

Menurut Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim, cadangan berkenaan dikemukakan kerana seniman yang terbabit dalam pelbagai cabang kesenian seperti pengarah, pelakon, penyanyi, penulis, penari, pengukir, pelukis, penggiat wayang kulit, makyong, menora serta ramai lagi karyawan yang berkaitan dengan industri besar dan dinamik ini harus mendapat penghargaan sewajarnya.

Hari Seniman bukanlah semata-mata khas untuk golongan yang terlibat secara langsung dalam arena muzik dan perfileman sahaja seperti mana yang difahami malahan sambutannya merangkumi seluruh aspek kesenian dan kebudayaan negara serta tanpa wujudnya batasan agama dan bangsa penggiatnya. Penulis buku, cerpen dan lain-lain; penyair, penyajak, pemuisi dan lain-lain juga merupakan seniman dan karyawan sastera yang yang tidak boleh diketepikan dalam hal ini.

Menurut Kamus Dewan Edisi Ketiga, seniman ditakrifkan sebagai orang yang mempunyai bakat seni dan dapat mencipta hasil seni serta dapat memperagakan hasil seninya itu seperti pelukis, penyair, penyanyi dan lain-lain; bintang filem (lelaki) yang telah lama melibatkan diri dalam perfileman dan telah mencapai tahap yang tertentu. Manakala karyawan pula ialah penghasil karya atau pencipta. Oleh yang demikian Hari Seniman adalah hari istimewa dan khas kepada semua individu yang terlibat di dalam bidang ini.

Kewujudan Hari Seniman diharapkan dapat merapatkan lagi jurang pemisah antara golongan ini serta menjadi pengikat tali persaudaraan dan kerjasama sesama mereka yang kini diwakili pelbagai persatuan yang berbeza seperti Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan), Gabungan Persatuan Penulis Negara Malaysia (Gapena) dan lain-lain lagi di samping rakyat secara keseluruhannya dapat bersama-sama meraikannya.

Agenda, aktiviti dan program yang melibatkan seniman dan karyawan di negara kita dapat diselaras, dikoordinasi dan dinaiktarafkan lagi agar industri ini mampu bersaing di peringkat global. Pentadbiran dan pengurusan menjadi lebih efisien dan teratur; manakala dana dan sumber kewangan dapat diperkukuhkan serta dipelbagaikan. Di samping itu juga, kebajikan, pembelaan dan nasib golongan ini akan lebih mendapat perhatian pihak kerajaan dan rakyat bagi mewujudkan iklim persekitaran dan persaingan yang sihat serta masa hadapan mereka yang lebih terjamin.

RUJUKAN

Kamus Dewan Edisi Ketiga. 2002. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka
Syor 22 Mac Hari Seniman, Berita Harian, 21 Mei 2007

Monday, May 21, 2007

HENTIKAN SEGERA TABIAT MEROKOK

Tabiat merokok adalah aktiviti negatif yang membawa impak buruk kepada kesihatan dan tubuh badan seseorang. Aktiviti ketagihan ini turut memberikan implikasi besar ke atas tahap ekonomi seseorang kerana penggunaannya melibatkan kos yang tinggi. Tabiat buruk ini juga sedikit sebanyak menggangu orang lain yang berdekatan dan boleh memberi kesan jangka panjang kepada alam sekitar.

Merokok kadangkala dilihat sebagai trend semasa dan lambang kemewahan bagi golongan tertentu. Namun apa yang pasti perokok sebenarnya dikekang masalah penagihan yang berterusan dan terdedah dengan pelbagai jenis penyakit berbahaya akibat daripada penggunaannya. Dilaporkan kira-kira 10,000 penduduk Malaysia mati setiap tahun akibat penyakit berkaitan rokok seperti kanser, strok dan kardiovaskular.

Berdasarkan kajian, dalam sebatang rokok ada kira-kira 4,000 jenis bahan beracun yang disedut ke dalam tubuh ketika seseorang itu merokok. Antara kandungan asap rokok yang memudaratkan ialah tar, nikotin dan karbon monoksida. Statistik juga menunjukkan rakyat Malaysia menghisap kira-kira 23.7 bilion batang rokok setahun dan jumlah ini meningkat daripada 18 bilion pada 1998.

Kerajaan telah membelanjakan peruntukan yang besar bagi mengatasi masalah sosial ini. Kempen antimerokok secara besar-besaran telah dilancarkan pada September 2004 dengan perbelanjaan sebanyak RM100 juta bagi tempoh lima tahun. Namun begitu menurut Kementerian Kesiahatan Malaysia (KKM), walaupun pelbagai kempen dan peraturan antimerokok dilaksanakan oleh kerajaan, jumlah perokok di negara ini dijangkakan akan terus meningkat daripada 3.1 juta pada akhir tahun 2006 kepada 3.8 juta pada tahun 2015 dan lebih empat juta perokok menjelang 2020. Peningkatan ini amat membimbangkan semua pihak dan tindakan segera perlu dilakukan bagi mengatasi fenomena ini.

Baru-baru ini Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah mensyorkan kepada seluruh dunia agar cukai rokok ditingkatkan sebanyak 65 peratus daripada harga runcit rokok dalam usaha mengurangkan tabiat merokok di kalangan masyarakat dunia yang dilihat semakin meningkat dan menakutkan. Menurut laporan terbaru WHO, di samping peningkatan cukai rokok, peningkatan harga rokok sehingga 10 peratus juga diharapkan dapat mengurangkan peratusan penggunaan rokok di antara empat dan lapan peratus setahun. Usaha ini hendaklah dilaksanakan tanpa sebarang kompromi agar statistik penggunaan rokok dapat dikurangkan segera.

Menurut kenyataan Kementerian Kesihatan lagi, ketika ini nilai cukai yang ditetapkan oleh kerajaan ke atas sekotak rokok 20 batang di negara kita adalah sekitar RM3 atau 40 peratus dari harga runcit rokok. Penetapan harga minimum seperti yang telah dilakukan oleh kerajaan ini adalah langkah bijak pengawalan dan pemantauan harga rokok di pasaran negara kita. Melalui kaedah ini, penjualan rokok tidak boleh dilakukan di bawah paras harga minimum yang ditetapkan dan inisiatif ini juga dapat menyekat lambakan dan aktiviti penyeludupan rokok murah dan berbahaya dari negara-negara jiran.

Artikel 6 Rangka Kerja Konvensyen Mengenai Kawalan Tembakau (FCTC) yang merupakan perjanjian perundangan antarabangsa berdasarkan kepada bukti saintifik berkaitan kawalan hasil tembakau telah menunjukkan keberkesanan langkah dan usaha kerajaan mengurangkan penggunaan rokok di negara kita melalui strategi serta aplikasi langkah tegas percukaian dan kawalan harga rokok. Peningkatan percukaian dan penetapan harga minimum rokok diyakini dapat mengurangkan serta mengekang permintaan terhadap bahan beracun dan berbahaya itu terutamanya di kalangan remaja dan pelajar sekolah yang dilihat semakin ramai terjebak ke dalam kancah penagihan rokok dewasa ini.

Manakala kajian terbaru Kementerian Kesihatan seperti yang dilaporkan oleh sebuah akhbar tempatan baru-baru ini, mendapati sehingga akhir tahun 2006, seorang daripada setiap dua lelaki dewasa di negara kita yang berusia antara 25 hingga 64 tahun adalah perokok. Kumpulan ini mewakili kira-kira 2.9 juta daripada 3.1 juta perokok di seluruh negara. Lebih membimbangkan jumlah perokok wanita meningkat kepada 174,000 orang dengan 68,000 berumur antara 35 hingga 44 tahun, 45,000 (25 hingga 34 tahun), 24,000 (45 hingga 54 tahun) dan 37,000 (55 hingga 64 tahun). Statistik dan peningkatan ini amat mengejutkan serta menuntut langkah pencegahan segera diadakan.

Dari segi pecahan etnik pula , orang Melayu adalah kategori perokok paling ramai di Malaysia dengan jumlahnya mencecah 1.77 juta atau hampir 50 peratus daripada mereka yang berumur antara 25 hingga 64 tahun. Masyarakat Cina pula mencatatkan jumlah seramai 435,000 atau 21.2 peratus dan seramai 183,000 terdiri daripada kaum India di negara kita. Jumlah yang direkodkan di negara kita ini amat tinggi berbanding dengan negara maju seperti Amerika Syarikat (AS), Singapura, negara-negara Kesatuan Eropah dan lain-lain lagi.

Majalah Dewan Masyarakat keluaran Mei 2007 mendedahkan di Amerika Syarikat, hanya 35 peratus sahaja penduduknya merokok, manakala di United Kingdom (UK), hanya 38 peratus rakyatnya di dapati merokok. Di samping itu, di AS, jumlah kematian akibat barah paru-paru yang merupakan penyakit utama kesan daripada merokok, telah meningkat hampir lima kali ganda dari tahun 1945 hingga 1975. Menurut statistik WHO pula, jumlah kematian akibat merokok di seluruh dunia dijangkakan mencapai 10 juta orang pada tahun 2020. Perangkaan ini begitu menggerunkan dan perokok sedia ada perlu menghentikan aktiviti buruk mereka dengan kadar segera agar mereka tidak mati sia-sia.

Menjelang Hari Tanpa Tembakau Sedunia pada 31 Mei 2007 ini, maka kerajaan melalui agensi-agensi bertanggungjawab, badan NGO, pihak media dan masyarakat secara keseluruhannya perlu berganding bahu menyokong usaha, kempen dan gerakan antimerokok di seluruh negara. Tindakan tegas ke atas syarikat pengeluar dan pemodal rokok dan golongan perokok itu sendiri melalui pemantauan dan penguatkuasaan undang-undang adalah perlu bagi mengelak gejala ini berpanjangan.

Seksyen 11(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004 melarang tegas aktiviti merokok di dalam pusat hiburan atau teater; hospital atau klinik; lif atau tandas awam; tempat makan atau kedai berhawa dingin; dalam kenderaan awam atau hentian pengangkutan awam; dalam mana-mana bangunan yang dinyatakan oleh Menteri melalui pemberitahuan dalam Warta; lapangan terbang; premis kerajaan; dewan orang ramai; institusi pendidikan; taman asuhan kanak-kanak; dan dalam bas sekolah.

Di samping itu larangan merokok juga berjalan di kaunter perkhidmatan dalam bank dan institusi kewangan, Telekom Malaysia Berhad, Tenaga Nasional Berhad dan Pos Malaysia Berhad; di kompleks membeli belah; kawasan stesyen minyak; dalam stadium, kompleks sukan, pusat kecergasan atau gymnasium; dalam bangunan awam yang digunakan untuk tujuan keagamaan; dalam perpustakaan; dan kafe internet. Jika didapati bersalah dan disabitkan maka denda tidak melebihi sepuluh ribu ringgit boleh dikenakan atau hukuman penjara selama tidak melebihi tempoh dua tahun boleh dijatuhkan oleh Mahkamah.

Denda dan hukuman yang lebih tinggi hendaklah dikenakan sekiranya berlaku penyelewengan, manipulasi harga dan penyalahgunaan rokok di samping penerapan kaedah kaunseling dan kempen kesedaran nilai murni kepada perokok tegar bagi mengekang tabiat ketagihan ini di negara kita. Kaedah perubatan dan pemulihan moden serta tradisional bagi mengurangkan ketagihan dan menyekat aktiviti negatif ini perlu dipertingkatkan lagi melalui kajian dan R&D di bawah seliaan dan bantuan dana penyelidikan kerajaan dan pihak swasta.

Inovasi dan penciptaan ubat penawar kepada masalah ini amat perlu dilaksanakan segera. Pengalaman dan method komprehensif negara-negara maju seperti AS dan Eropah yang telah berjaya membasmi serta mengurangkan aktiviti penagihan ini hendaklah dipelajari dan diberi perhatian oleh semua pihak.

Kerajaan telah mengambil beberapa langkah untuk membendung tabiat merokok di kalangan rakyat Malaysia, seperti menaikkan tarif produk tembakau dan larangan penjualan paket kecil 14 batang rokok dan kurang. Turut diharamkan ialah iklan dan poster rokok di tempat awam termasuk kedai kopi dan pasar mini, di samping tidak membenarkan syarikat tembakau menaja kejohanan bola sepak sejak 2004 dan perlumbaan Formula One sejak 2005. PPKHT 2004 juga memberi kuasa kepada Kementerian Kesihatan menambah kawasan dalam senarai tempat larangan merokok apabila perlu berbuat demikian.

Islam sendiri melarang keras umatnya bertindak boros seperti pembelian rokok yang tidak bermanfaat dan sengaja mendedahkan diri kepada ketagihan, kemudaratan serta mara bahaya rokok yang telah sedia maklum keburukannya.




RUJUKAN

Chairil Ehsan. Kenapakah Gagal Memerangi Rokok?. Dewan Masyarakat, Mei, 2007

WHO Syor Cukai Rokok Ditingkat 65 Peratus, Utusan Malaysia, 22 Mei 2007

Laporan Khas: Remaja Ketagih Rokok Kian Membimbangkan, Berita Harian, 20 Mei 2007

Setiap Hari 50 Remaja Mulakan Tabiat Merokok, Berita Harian, 16 Oktober 2004

Wednesday, May 16, 2007

MENGGILAP POTENSI PAJAK GADAI ISLAM

Skim Pajak Gadai Islam adalah mekanisme kewangan terbaik kepada semua rakyat Malaysia tanpa menggira bangsa dan agama. Aplikasi ini merupakan alternatif kepada skim pajak gadai konvensional sedia ada. Instrumen kewangan ini mampu menjadi pemangkin dan penjana sampingan ekonomi negara sekiranya dikendalikan secara efisien, efektif dan holistik.

Skim ini mampu memecah monopoli pajak gadai konvensional yang begitu jelas bersikap menekan, menjarah dan membebankan para penggadai yang berada dalam situasi terdesak serta amat memerlukan wang segera. Skim ini secara tidak langsung dapat membanteras elemen riba, diskriminasi, penindasan, dan manipulasi dalam sistem kewangan negara. Transaksi skim yang halal, mudah dan berkat ini juga mampu mengurangkan risiko hutang tidak tidak berbayar (NPL) kerana semua hutang yang diberikan adalah terjamin melalui barangan yang disandar atau digadaikan.

Modus Operandi skim ini ialah tidak mengenakan faedah atau riba daripada wang pinjaman tetapi mengenakan sewa barang pajakan yang disimpan mengikut nilai barangan tersebut dan jumlah masa mengikut kadar yang tertentu. Ini berbeza dengan skim pajak gadai konvensional yang mengenakan faedah atau riba kepada jumlah pinjaman mengikut jumlah masa pajakan barang itu akan ditebus.

Secara umumnya perlaksanaan dan pentadbiran sistem pajak gadai konvensional di negara kita adalah tertakluk kepada Akta Pemegang Pajak Gadai 1972, namun begitu inisiatif skim pajak gadai Islam adalah kesinambungan dari perlaksanaan prinsip syariah dalam sistem perbankan negara sejak tahun 1983 lagi.

Seawal tahun 1985, kerajaan telah memulakan pembangunan prasarana pajak gadai Islam dan hasilnya pada 1992 dengan kerjasama Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YPEIM) dan Bank Negara sebagai badan penyelia, satu plan tindakan pajak gadai Islam diwujudkan. Pada 1993, skim pajak gadai Islam yang lebih dikenali dengan nama Ar Rahnu telah diperkenalkan kepada umum.

Menurut laman sesawang Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) Muassasah Gadaian Islam Terengganu (MGIT) dan Perbadanan Kemajuan Iktisad Kelantan (PKIK) merupakan institusi pertama melaksanakan skim ini. Kejayaan ini menjadi perangsang dan ikutan kepada institusi kewangan lain untuk turut serta memulakan skim pajak gadai Islam masing-masing seperti Bank Kerjasama Rakyat Malaysia (BKRM), Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB), dan Bank Pertanian Malaysia (BPM).

Melihat kepada kejayaan dan sambutan yang menggalakkan kepada skim ini, beberapa badan pergerakan koperasi dan kerajaan negeri mula menceburi sektor berdaya saing ini. Usaha dan tindakan bijak badan-badan koperasi seperti Koperasi Pengguna Pahang Berhad, Koperasi Gabungan Pekebun Kecil Perak Berhad, Koperasi Kakitangan Kerajaan dan Badan-Badan Berkanun Terengganu dan lain-lain telah membuahkan hasil dan pulangan yang besar serta lumayan.

Pada tahun 1997 pula, kerajaan Perlis menubuhkan institusi pajak gadai Islam mereka sendiri dan telah diikuti oleh beberapa kerajaan negeri lain. Manakala Universiti Kebangsaan Malaysia menjadi institusi pengajian tinggi pertama di negara ini yang telah melancarkan pakej Skim Gadaian Islam Ar Rahnu yang bertujuan memberi perkhidmatan dan faedah kepada anggota koperasi dan masyarakat setempat pada tahun 2003.

Menurut perangkaan Bank Negara, nilai pajak gadai Islam hanya merangkumi 15 peratus dari pasaran pajak gadai sedia ada, manakala nilai pinjaman yang telah ditawarkan hanyalah RM275 juta berbanding dengan jumlah nilai pinjaman sedia ada iaitu RM1.5 bilion. Statistik tahun 2004 menunjukkan hampir 1.22 juta kumpulan sasar secara terkumpul terlibat dan membabitkan pengeluaran pinjaman secara terkumpul mencecah RM2 bilion dalam sektor ini. Jumlah premis atau kaunter operasi pajak gadai Islam kini mencecah 148 buah sahaja berbanding konvensional yang berjumlah kira-kira 307 buah di seluruh negara.

Sehingga tahun 2006, YPEIM sebagai agensi amal jariah negara, telah berjaya menubuhkan 160 cawangan pajak gadai Islamnya, dan bercadang mewujudkan 400 cawangan lagi menjelang tahun 2010. Skop cawangan pajak gadai Islam akan diperluaskan lagi kepada sistem kredit makro bagi membolehkan umat Islam dan bukan Islam daripada sekadar meminjam secara kecil-kecilan tetapi dapat membantu keluarga termasuk pembiayaan pelajaran anak-anak, permulaan perniagaan dan sebagainya ke arah masa hadapan yang lebih terjamin.

Melihat kepada perkembangan ini, skim pajak gadai Islam mempunyai potensi dan masa hadapan yang cerah sebagai instrumen kewangan dan mekanisme utama pembangunan sosio-ekonomi negara jika operasinya dijalankan secara realistik, strategik dan profesional. Kejayaan penubuhan Sekretariat Ar Rahnu Serantau pada tahun 2004 yang mendapat kerjasama baik negara-negara jiran seperti Indonesia, Filipina, Brunei, Singapura, Thailand, Kemboja, Timor Leste dan Myammar mampu meletakkan negara kita sebagai hub kewangan halal dan peneraju utama industri ini di peringkat global.

Walaupun pelbagai usaha dan inisiatif telah dilakukan oleh kerajaan dan institusi terbabit dalam usaha mengenengahkan skim pajak gadai Islam di negara kita, namun masih ramai lagi di luar sana yang lebih selesa dan bebas berurusan dengan pajak gadai konvensional yang berteraskan riba dan menyalahi syarak. Oleh yang demikian, promosi yang menyeluruh dan kempen kesedaran berkenaan keperluan dan kelebihan skim ini perlulah dipertingkatkan agar orang ramai tidak terjerumus di dalam sistem yang menggenakan kadar faedah yang tinggi, terbabit dengan urusniaga yang gharar atau keraguan serta dapat mengelak dari elemen penindasan.

Melihat kepada kepentingan dan potensi skim pajak gadai Islam di negara kita, mungkin suatu hari nanti diharapkan sebuah Akta Pajak Gadai Islam dapat digubal bagi melicinkan kompetensi pengurusan dan pentadbiran skim ini. Adalah diharapkan juga agar institusi kewangan utama negara seperti Maybank, AmIslamic Bank, RHB Islamic Bank, CIMB Islamic Bank dan lain-lain lagi turut serta mengambil bahagian dan peluang di dalam sektor berprestasi ini dengan pengenalan pakej yang lebih aktraktif, akomodatif dan kompetetif.

Friday, May 11, 2007

BIASAN TANGGUNGJAWAB SOSIAL KORPORAT

Konsep tanggungjawab sosial korporat (CSR) adalah inovasi dan dinamika terkini syarikat-syarikat besar di seluruh dunia dan trend ini turut mempengaruhi badan korporat di Malaysia.

Menurut laman sesawang Wikipedia, Badan Pembuat Dasar dan Penyelidikan, Lembaga Pembangunan Ekonomi Amerika Syarikat pada tahun 1971 telah mendefinisikan prinsip CSR sebagai "mempunyai ramai wakil kumpulan yang berkepentingan yang menganggotai struktur pentadbiran korporat yang turut terlibat sama dalam proses pemutusan ( membuat keputusan), melibatkan keseluruhan perusahaan dengan perubahan keperluan masyarakat, mengimbangkan kepentingan pemegang saham dengan kepentingan masyarkat (pengguna); mengolah polisi dan amalan korporat supaya lebih positif; dan menekankan firma-firma yang menyumbang dalam usaha-usaha menyelesaikan masalah dan penyakit sosial di samping menjalankan aktiviti perniagaan seperti biasa".

Merujuk kepada definisi tersebut melihatkan betapa pentingnya syarikat korporat melalui inisiatif bijak mereka melaksanakan sesuatu yang mampu memberikan impak dan momentum positif kepada rakyat secara keseluruhan, yang merupakan pendokong dan pendorong utama kewujudan sesebuah institusi tersebut.

Baru-baru ini dilaporkan dua buah institusi perbankan terbesar negara yang cuba mengaplikasikan prinsip CSR mereka dengan menetapkan beberapa syarat dan piawaian baharu kepada semua panel guaman mereka yang dianggap begitu kontroversi. Institusi tonggak perbankan negara ini telah menggariskan bahawa semua panel peguam perlu memiliki sekurang-kurangnya tiga rakan kongsi yang salah seorangnya mestilah terdiri dari kaum Bumiputra dengan pegangan ekuiti melebihi lima puluh peratus.

Isu sensasi ini telah menjadi polemik hebat di media cetak dan elektronik serta turut menjadi umpan serta perangkap paling berkesan pihak pembangkang menjuarainya. Natijahnya, Maybank terpaksa menarik balik hasrat korporat tersebut.

Angin perkauman bertiup kencang; prinsip keadilan, pemilihan bermerit, kecekapan dan pelbagai lagi isu panas begitu berjaya dimanupulasikan oleh pihak-pihak yang tidak berpuas hati, tebal semangat perkauman dan nipisnya ruh serta semangat model kejuruteraan sosial yang telah sekian lama diamalkan oleh rakyat dan pemimpin berbilang kaum di negara kita melalui mekanisme Dasar Ekonomi Baru (DEB).

Walaupun jentara DEB telah lama berakhir, namun misinya untuk menggenggam ekuiti tiga puluh peratus umat bumiputra dalam lanskap ekonomi negara tetap berjalan dan terus diberi nafas baru di dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9).

Inisiatif dan komitmen Maybank mengenakan syarat baru kepada semua panel guaman mereka, sebenarnya secara sedar atau tidak telah mematuhi ruh DEB dalam usaha memaju dan membangunkan umat Melayu dan lebih spesifik, peguam Melayu yang merupakan golongan minoriti di dalam korpus guaman di negara kita.

Dengan jumlah hampir 12,000 orang peguam dan hampir 500 buah firma guaman di Malaysia, jumlah peguam dan firma bumiputra tidak sampai satu pertiga pun daripada keseluruhan jumlah tersebut. Institusi bertanggungjawab seperti Maybank telah lama menginsafi dan menyedari hakikat ini.

Dilemma dan realiti ini menunjukkan perjalanan peguam dan firma guaman bumiputra di negara kita masih jauh dan amat memerlukan tongkat ekonomi untuk mereka meneruskan survival guaman yang serba komplikated dan rencam ini.

Sekurang-kurangnya dengan syarat terbaharu ini, membolehkan peguam-peguam Melayu dan bumiputra lain yang telah lama setia berkhidmat dengan firma guaman bukan bumiputra, diberi peluang menjadi rakan kongsi dan bersama-sama berkongsi pengurusan, pentadbiran dan keuntungan firma. Mungkin itulah tujuan utama Maybank mengenakan syarat tersebut di samping memberi peluang peguam Melayu membuktikan kebolehan, kesungguhan, kelayakan dan kemahiran mereka kepada bukan Melayu serta memandu arena guaman negara pada landasan yang betul.

Keadaan ini sudah tentu mewujudkan persekitaran dan persaingan yang sihat di dalam dunia guaman di negara kita, yang sejak sekian lama dikuasai dan dimonopoli oleh peguam dan firma bukan bumiputra. Kaum bukan bumiputra lain tidak seharusnya bimbang, takut dan mudah hilang timbang rasa dengan timbulnya isu ini, sebaliknya mereka mestilah sedia berkongsi dan bertolak ansur dengan orang Melayu bagi menjayakan visi kejuruteraan sosial ini.

Oleh yang demikian, hasrat murni Maybank mengangkat martabat umat Melayu dan Bumiputra di negara kita mesti dihormati semua pihak tanpa perlu ada sebarang rasa prejudis. Sepatutnya institusi perbankan dan GLC lain mencontohi Maybank dan mengaplikasikan formula ini demi survival dan masa hadapan dunia guaman di negara kita.

Tuesday, May 08, 2007

KEMUNCULAN SYARIKAT GERGASI PERUNCITAN - APA YANG HILANG DAN APA YANG MUNCUL

Kemunculan dan perkembangan pesat syarikat gergasi peruncitan global adalah trend masa kini dan fenomena yang tidak dapat dielakkan. Senario ini turut mempengaruhi iklim peruncitan di negara kita. Sama ada kita sedar atau tidak, kita sebenarnya telah berada di tahap monopoli institusi peruncitan global ini dan natijahnya memberikan impak yang negatif kepada sektor peruncitan kecil dan sederhana tempatan.

Kajian oleh sebuah agensi bertauliah, AC Neilson, yang mendapati kewujudan pasar raya besar memberi kesan negatif kepada para peniaga kecil dan peruncit di negara kita. Hal keadaan ini perlu diberi perhatian serius oleh semua pihak dan tindakan bijak menangani masalah ini hendaklah dilakukan segera.

Dengan kehadiran begitu banyak pasar raya besar atau hypermarket antarabangsa dan tempatan di arena peruncitan negara mewujudkan dimensi baru yang dilihat lebih memihak kepada pengguna dan membelakangkan nasib dan masa hadapan para peniaga dan peruncit sedia ada. Ini adalah kerana nilai produk, fasiliti dan prasarana yang disediakan oleh gergasi peruncitan ini dilihat lebih murah, berkualiti dan memenuhi kriteria serta citarasa pengguna.

Dengan dana dan modal yang besar, institusi ini mampu mengadakan promosi secara besar-besaran di media cetak dan elektronik hatta sampai ke pejabat dan rumah-rumah melalui pengedaran buletin mingguan serta bulanan jualan mereka. Taktik dan teknik ini mampu menarik perhatian serta minat pengguna mengunjungi lokasi jualan murah mereka, sedangkan peniaga dan peruncit kecil hanyalah mengharapkan kesetiaan pelanggan mereka sahaja. Harga bagi pelbagai jenis barangan yang ditawarkan juga kadangkala di bawah harga syiling yang ditetapkan dan sudah tentu tidak mampu ditawarkan oleh peruncit biasa.

Dendan lokasi yang dan strategik, struktur yang besar serta kemudahan yang banyak disediakan memberi kelebihan kepada hypermarket. Bagi menarik lebih ramai pengunjung datang, pelbagai kemudahan seperti kiosk-kiosk barangan keperluan pengguna, taman permainan, pusat rekreasi, kemudahan ATM, pusat makanan segera, dan lain-lain lagi disediakan yang semestinya memberi kemudahan kepada pengguna terutamanya ketika di hujung minggu dan musim cuti persekolahan. Trend membeli belah di hypermarket semakin menjadi gaya hidup masyarakat kota dan desa kerana medium ini dilihat lebih berprestij, kontemporari dan moden.

Kehadiran syarikat gergasi peruncitan seperti Carrefour, Tesco, Giant, Econsave dan lain-lain lagi memberi kesan yang mendalam kepada peniaga dan peruncit kecil dan sederhana tempatan. Carrefour misalnya adalah hypermarket pertama di Malaysia dan mempunyai 8 cawangan di seluruh negara setakat ini.

Konsep hypermarket yang diperkenalkan Carrefour menawarkan keperluan produk yang lengkap, layan diri, kemudahan asas untuk kesenangan dan keselesaan pelangan, tempat letak kereta percuma dalam jumlah yang mencukupi dan polisi harga terendah bagi lapisan produk yang luas.

Carrefour yang juga merupakan peruncit terbesar di Eropah dan peruncit kedua terbesar di dunia, dengan kehadiran kukuh di lebih 32 buah negara. Daripada peralatan audio visual hingga produk keperluan rumah, hampir kesemuanya boleh di dapati di sini. Institusi ini ditubuhkan pada tahun 1963 di Perancis dan Carrefour Malaysia yang pertama memulakan operasi pada tahun 1994 dan berkembang maju sehingga kini.

Syarikat gergasi peruncit ini adalah satu-satunya hypermarket yang menggunakan polisi pulangan wang 100% untuk mempertahankan hak pengguna daripada barangan rosak. Memberi " Jaminan Harga Terendah " yang membenarkan pelanggan membuat tuntutan dua kali ganda perbezaan harga antara Carrefour dan gedung lain menawarkan harga yang lebih murah. Itulah komitmen terpenting institusi ini pada tahap kepuasan pelanggan. Nilai Asas Carrefour memimpin dan membentuk identiti di mata pelanggan.

Manakala Tesco Stores (Malaysia) Sdn. Bhd. telah ditubuhkan pada 29 November 2001. Malaysia telah menjadi pilihan untuk meluaskan pasaran ekoran dari pertumbuhan ekonomi pesat beserta kestabilan politik, saiz pasaran dan KDNK. Di samping itu terdapat pelbagai peluang untuk berkembang di sini.

Pasar raya besar Tesco yang pertama dibuka secara rasmi pada bulan Mei 2002 di Puchong, Selangor. Dengan pembukaan tersebut, Tesco telah dapat memenuhi citarasa pelanggan seterusnya membawa perubahan kepada dunia peruncitan di Malaysia. Ia juga telah merangsang syarikat peruncitan kecil dan besar untuk menjadi lebih efisien dan berdaya saing di mana ini telah membawa manfaat kepada pengguna-pengguna di negara ini.

Tesco telah mengembangkan sayapnya dengan membuka pasar raya kedua di Melaka pada Oktober 2002, diikuti dengan Bukit Tinggi, Klang pada Disember 2002, Mutiara Damansara pada Mac 2003, Sungai Petani pada Disember 2003, Pulau Pinang pada November 2004 dan yang terkini adalah di Ipoh pada Januari 2005 dan Shah Alam pada Julai 2005. Pada tahun yang sama, Tesco juga telah membuka Tesco Banting, Tesco Express Selayang, Ipoh dan Kuantan.

Tesco menawarkan kemudahan membeli belah di bawah satu bumbung kepada pengguna dari produk makanan segar dan sayur-sayuran kepada peralatan kelengkapan rumah dan pakaian. Pada ketika ini Tesco menawarkan sejumlah 86,000 jenis produk termasuk lebih 1,300 jenis produk di bawah jenama Tesco sendiri.

Melihat kepada senario ini, satu jawatankuasa perlu diwujudkan bagi mengawal kebenaran pembinaan pasar raya besar melalui garis panduan yang ketat yang akan turut mengandungi syarat-syarat dan kriteria termasuk menjelaskan definisi sebenar hypermarket, luas lantai serta jenis perniagaan yang dijalankan.

Menurut Khairil Faizi Ahmad Kamil (2005) dalam tulisan beliau yang bertajuk Cadangan Kajian Semula Pembekuan Pasar Raya Besar Perlu Dilihat Secara Menyeluruh, berpendapat kerajaan seharusnya melihat kepada kesan jangka panjang yang akan menimpa peniaga dan peruncit kecil.

Jika dilihat dari sudut peruncitan antarabangsa, kerajaan Perancis misalnya telah mengenakan sekatan melalui Royer Law pada 1973 demi menjaga kepentingan peniaga-peniaga kecil daripada ditindas oleh pasar raya besar. Sejak tahun 60-an lagi pasar raya besar telah mengalami pertumbuhan yang amat ketara di Perancis. Sejak dari itu, banyak peniaga-peniaga kecil telah menutup perniagaan disebabkan para pembeli lebih gemar membeli di pasar raya besar.

Kerajaan tempatan Jepun juga telah memperkenalkan undang-undang untuk mengurangkan pertumbuhan pasar raya besar. Ini jelas membuktikan bahawa negara-negara maju yang lain telah pun melaksanakan sekatan-sekatan terhadap pasar raya besar yang tumbuh bagaikan cendawan selepas hujan.

Di negara-negara Eropah dan Amerika Syarikat misalnya telah wujud suasana oligopoli dalam industri peruncitan, di mana hanya syarikat-syarikat gergasi tertentu seperti Carrefour, Wal-Mart, Delhaize, Le Lion, Royal Ahold yang menguasai pasaran peruncitan. Ini kerana bilangan pasar raya kecil seperti supermarket telah diambilalih oleh syarikat-syarikat besar.

Jika dilihat dari sudut pertumbuhan ekonomi negara kita, hal seperti ini akan mewujudkan kurangnya daya saing antara pengusaha runcit tempatan. Kesan daripada monopoli oleh pasar raya besar akan membantut usaha kerajaan melahirkan peniaga-peniaga tempatan di kalangan bumiputra.

Konsep monopoli ini menyebabkan peniaga kecil sukar bersaing dengan syarikat gergasi dunia yang mempunyai rangkaian logistik yang luas dalam mendapatkan barangan runcit secara pukal pada harga yang lebih murah.

Namun begitu sebagai melaksanakan tanggungjawab sosial dan dalam usaha membantu kerajaan membina jaringan peruncitan peniaga kecil tempatan, para pengusaha kecil dan sederhana (IKS) telah diberikan tempat yang istimewa mempromosikan barangan dan produk mereka di Tesco dan Giant.

Giant sebagai contoh telah memperuntukkan sebanyak RM60 juta setahun bagi membantu industri IKS negara melalui usahasama dan kerjasama pintar yang diwujudkan. Inisiatif ini adalah melalui perkongsian pintar pembekalan barangan kepada pasar raya besar Giant di seluruh negara sejak beberapa tahun lalu.

Utusan Malaysia baru-baru ini melaporkan pencapaian tersebut dianggap memberangsangkan kerana Giant bukan sahaja berkembang pesat tetapi turut membantu melonjakkan pertumbuhan sektor IKS di negara kita. Secara purata, penawaran produk IKS khususnya bumiputra sentiasa meningkat dari tahun ke tahun dengan jangkaan pertumbuhan 20 hingga 25 peratus setahun dalam tempoh lima tahun akan datang.

Selain menjana pertumbuhan ekonomi sektor IKS, Giant juga memainkan peranan penting memasarkan produk yang dibekalkan mereka untuk menembusi pasaran antarabangsa. Bukan sahaja membantu pemasaran di 90 pasar raya Giant di Malaysia, tetapi membawa produk IKS ke rangkaian Giant di luar negara seperti Singapura, Hong Kong, Taiwan dan Eropah.

Di Giant kini terdapat lebih 100,000 barangan dan kira-kira 1,000 produk yang menggunakan jenama Giant, dan ruang masih terbuka bagi IKS Bumiputra untuk menambah produk mereka.

Memandangkan peruncit dan peniaga kecil tempatan kurang pendedahan dan pengalaman, tidak terlatih, bersifat perniagaan tradisi dan keluarga, tidak kreatif serta inovatif dan sebagainya, maka program latihan dan bimbingan kepada mereka adalah amat perlu. Ini adalah bagi meningkatkan kualiti kerja dan mutu produk dalam usaha memperkukuhkan daya saing dalam pasaran tempatan .

Di samping membimbing dan mempertingkatkan keupayaan mereka dari segi pengurusan bagi mencapai tahap piawaian tertentu. Pendedahan mengenai peraturan dan kaedah bagi menembusi pasaran tempatan dan antarabangsa adalah perlu diterapkan. Di samping meningkat kemahiran dan pengetahuan mereka dalam bidang perniagaan untuk bersaing dlam pasaran global.

Aspek-aspek peruncitan dalam aktiviti pemasaran dengan menekankan proses pengurusannya perlu didedahkan kepada mereka. Ini termasuklah faktor pemilihan tapak dan kedai, pengurusan barang niaga, perletakkan harga runcit serta aspek promosi jualan peruncitan. Pendedahan juga perlu diberikan kepada pelbagai institusi serta bentuk peruncitan yang wujud pada masa kini. Trend terkini dalam peruncitan seperti pengaplikasian e-dagang dalam peruncitan serta peruncitan global juga hendaklah diberikan penekanan sewajarnya.

Mereka juga perlu didedahkan dengan aspek memahami keperluan asas melaksanakan perniagaan dan perusahaan yang berjaya; memahami proses keseluruhan aktiviti pembelian dan peruncitan; memahami konsep dan teknik peruncitan dan pemasaran yang berkesan; memahami cara pengendalian stok dan pengawalan inventori; memahami pengendalian kewangan dalam perniagaan; memahami teknik penyimpanan rekod perniagaan yang sistematik agar masa hadapan dan nasib peruncit dan peniaga lebih terbela.

Dalam keadaan wujudnya terlalu ramai peniaga dan peruncit kecil serta sederhana di negara kita, mungkin suatu hari nanti kita akan melihat berlakunya penggabungan, pengambilan dan kerjasama pintar di anatara mereka melalui penubuhan sebuah konsortium yang mampu menandingi syarikat gergasi peruncitan sedia ada. Bantuan kerajaan dan institusi kewangan dalam bentuk penyediaan dana pinjaman serta pelbagai insentif lain dapat merealisasikan impian besar ini.

Potensi dan masa hadapan peniaga dan peruncit kecil masih kukuh terutamanya di desa-desa dan kawasan pedalaman serta kesetiaan pelanggan mereka. Namun begitu, mereka perlu berusaha meningkatkan prestasi, kualiti dan fasiliti agar sektor ini lebih kompetetif, akomodatif dan mampu bersaing dengan dominasi syarikat gergasi peruncit di negar kita.


Rujukan:

Berman, B. & Evans, J.R. 2001. Retail Management: A Strategic Approach. 8th Edition. New Jersey: Prentice-Hall

Laman sesawang Tesco:
( http://www.tesco.com.my/ )

Laman sesawang Carrefour:
( http://www.carrefour.com.my/ )

"Giant Bantu Jana Pendapatan IKS Lebih RM60 Juta". Utusan Malaysia, 5 Mei 2007