Wednesday, May 16, 2007

MENGGILAP POTENSI PAJAK GADAI ISLAM

Skim Pajak Gadai Islam adalah mekanisme kewangan terbaik kepada semua rakyat Malaysia tanpa menggira bangsa dan agama. Aplikasi ini merupakan alternatif kepada skim pajak gadai konvensional sedia ada. Instrumen kewangan ini mampu menjadi pemangkin dan penjana sampingan ekonomi negara sekiranya dikendalikan secara efisien, efektif dan holistik.

Skim ini mampu memecah monopoli pajak gadai konvensional yang begitu jelas bersikap menekan, menjarah dan membebankan para penggadai yang berada dalam situasi terdesak serta amat memerlukan wang segera. Skim ini secara tidak langsung dapat membanteras elemen riba, diskriminasi, penindasan, dan manipulasi dalam sistem kewangan negara. Transaksi skim yang halal, mudah dan berkat ini juga mampu mengurangkan risiko hutang tidak tidak berbayar (NPL) kerana semua hutang yang diberikan adalah terjamin melalui barangan yang disandar atau digadaikan.

Modus Operandi skim ini ialah tidak mengenakan faedah atau riba daripada wang pinjaman tetapi mengenakan sewa barang pajakan yang disimpan mengikut nilai barangan tersebut dan jumlah masa mengikut kadar yang tertentu. Ini berbeza dengan skim pajak gadai konvensional yang mengenakan faedah atau riba kepada jumlah pinjaman mengikut jumlah masa pajakan barang itu akan ditebus.

Secara umumnya perlaksanaan dan pentadbiran sistem pajak gadai konvensional di negara kita adalah tertakluk kepada Akta Pemegang Pajak Gadai 1972, namun begitu inisiatif skim pajak gadai Islam adalah kesinambungan dari perlaksanaan prinsip syariah dalam sistem perbankan negara sejak tahun 1983 lagi.

Seawal tahun 1985, kerajaan telah memulakan pembangunan prasarana pajak gadai Islam dan hasilnya pada 1992 dengan kerjasama Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YPEIM) dan Bank Negara sebagai badan penyelia, satu plan tindakan pajak gadai Islam diwujudkan. Pada 1993, skim pajak gadai Islam yang lebih dikenali dengan nama Ar Rahnu telah diperkenalkan kepada umum.

Menurut laman sesawang Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) Muassasah Gadaian Islam Terengganu (MGIT) dan Perbadanan Kemajuan Iktisad Kelantan (PKIK) merupakan institusi pertama melaksanakan skim ini. Kejayaan ini menjadi perangsang dan ikutan kepada institusi kewangan lain untuk turut serta memulakan skim pajak gadai Islam masing-masing seperti Bank Kerjasama Rakyat Malaysia (BKRM), Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB), dan Bank Pertanian Malaysia (BPM).

Melihat kepada kejayaan dan sambutan yang menggalakkan kepada skim ini, beberapa badan pergerakan koperasi dan kerajaan negeri mula menceburi sektor berdaya saing ini. Usaha dan tindakan bijak badan-badan koperasi seperti Koperasi Pengguna Pahang Berhad, Koperasi Gabungan Pekebun Kecil Perak Berhad, Koperasi Kakitangan Kerajaan dan Badan-Badan Berkanun Terengganu dan lain-lain telah membuahkan hasil dan pulangan yang besar serta lumayan.

Pada tahun 1997 pula, kerajaan Perlis menubuhkan institusi pajak gadai Islam mereka sendiri dan telah diikuti oleh beberapa kerajaan negeri lain. Manakala Universiti Kebangsaan Malaysia menjadi institusi pengajian tinggi pertama di negara ini yang telah melancarkan pakej Skim Gadaian Islam Ar Rahnu yang bertujuan memberi perkhidmatan dan faedah kepada anggota koperasi dan masyarakat setempat pada tahun 2003.

Menurut perangkaan Bank Negara, nilai pajak gadai Islam hanya merangkumi 15 peratus dari pasaran pajak gadai sedia ada, manakala nilai pinjaman yang telah ditawarkan hanyalah RM275 juta berbanding dengan jumlah nilai pinjaman sedia ada iaitu RM1.5 bilion. Statistik tahun 2004 menunjukkan hampir 1.22 juta kumpulan sasar secara terkumpul terlibat dan membabitkan pengeluaran pinjaman secara terkumpul mencecah RM2 bilion dalam sektor ini. Jumlah premis atau kaunter operasi pajak gadai Islam kini mencecah 148 buah sahaja berbanding konvensional yang berjumlah kira-kira 307 buah di seluruh negara.

Sehingga tahun 2006, YPEIM sebagai agensi amal jariah negara, telah berjaya menubuhkan 160 cawangan pajak gadai Islamnya, dan bercadang mewujudkan 400 cawangan lagi menjelang tahun 2010. Skop cawangan pajak gadai Islam akan diperluaskan lagi kepada sistem kredit makro bagi membolehkan umat Islam dan bukan Islam daripada sekadar meminjam secara kecil-kecilan tetapi dapat membantu keluarga termasuk pembiayaan pelajaran anak-anak, permulaan perniagaan dan sebagainya ke arah masa hadapan yang lebih terjamin.

Melihat kepada perkembangan ini, skim pajak gadai Islam mempunyai potensi dan masa hadapan yang cerah sebagai instrumen kewangan dan mekanisme utama pembangunan sosio-ekonomi negara jika operasinya dijalankan secara realistik, strategik dan profesional. Kejayaan penubuhan Sekretariat Ar Rahnu Serantau pada tahun 2004 yang mendapat kerjasama baik negara-negara jiran seperti Indonesia, Filipina, Brunei, Singapura, Thailand, Kemboja, Timor Leste dan Myammar mampu meletakkan negara kita sebagai hub kewangan halal dan peneraju utama industri ini di peringkat global.

Walaupun pelbagai usaha dan inisiatif telah dilakukan oleh kerajaan dan institusi terbabit dalam usaha mengenengahkan skim pajak gadai Islam di negara kita, namun masih ramai lagi di luar sana yang lebih selesa dan bebas berurusan dengan pajak gadai konvensional yang berteraskan riba dan menyalahi syarak. Oleh yang demikian, promosi yang menyeluruh dan kempen kesedaran berkenaan keperluan dan kelebihan skim ini perlulah dipertingkatkan agar orang ramai tidak terjerumus di dalam sistem yang menggenakan kadar faedah yang tinggi, terbabit dengan urusniaga yang gharar atau keraguan serta dapat mengelak dari elemen penindasan.

Melihat kepada kepentingan dan potensi skim pajak gadai Islam di negara kita, mungkin suatu hari nanti diharapkan sebuah Akta Pajak Gadai Islam dapat digubal bagi melicinkan kompetensi pengurusan dan pentadbiran skim ini. Adalah diharapkan juga agar institusi kewangan utama negara seperti Maybank, AmIslamic Bank, RHB Islamic Bank, CIMB Islamic Bank dan lain-lain lagi turut serta mengambil bahagian dan peluang di dalam sektor berprestasi ini dengan pengenalan pakej yang lebih aktraktif, akomodatif dan kompetetif.

No comments: