PENGURUSAN PERBELANJAAN BERHEMAH PERLU DIUTAMAKAN

Menjelang bulan Julai ini hampir 1.2 juta kakitangan awam bakal menikmati kenaikan gaji bulanan antara 7.5 sehingga 35 peratus. Kenaikan istimewa yang mengejutkan ini dianggap antara yang terbaik di abad dan dekat ini semenjak 1992. Peningkatan gaji secara mendadak dan drastik ini perlulah diurus dan dikawal selia secara berhemah dan penuh bijaksana. Kesilapan mentadbir kenaikan ini boleh memberi impak negatif kepada percaturan kehidupan jangka panjang seseorang.

Peningkatan gaji yang dianggap lumayan dan mewah ini hendaklah dijuruskan terutamanya kepada pembiayaan pendidikan peribadi dan keluarga. Inilah peluang terbaik untuk seseorang itu menyahut cabaran dan cita-cita menyambung pelajaran ke peringkat yang lebih bagi meningkatkan lagi status, kelayakan dan kualiti hidup sama ada secara pengajian jarak jauh (PJJ) atau pengajian luar kampus (PLK) di pusat pengajian tinggi awam dan swasta tempatan.

Bagi yang sudah berkeluarga pula sudah tentu kenaikan gaji bulanan ini bolehlah digunakan untuk memantap dan menampung perbelanjaan pendidikan anak-anak di peringkat sekolah dan pengajian tinggi. Walaupun sebelum ini ibu bapa agak perit dan terpaksa mengikat perut demi memastikan pendidikan anak-anak tidak terabai dan tertinggal, maka peluang menerima kenaikan gaji ini hendaklah diurus dengan efisien dan penuh bijaksana bagi memenuhi hasrat tersebut.

Di samping penekanan kepada pendidikan anak-anak dan peribadi, keutamaan juga perlu diberikan kepada peruntukan untuk pembiayaan perlindungan takaful atau insuran individu dan keluarga. Jika sebelum ini kita mungkin seringkali memberi alasan tidak mampu memiliki polisi insuran atau takaful kerana gaji tidak mencukupi dan sering terputus dipertengahan bulan, maka dengan kenaikan gaji yang dianggap antara yang tertinggi ini perlulah diarahkan kepada pembelian perlindungan takaful atau insuran ke atas diri sendiri, isteri dan anak-anak.

Perlindungan insuran amat penting dewasa ini sebagai persediaan awal sekiranya berlaku sebarang kemungkinan pada masa akan datang. Ini adalah kerana perbelanjaan dan pembiayaan perubatan semakin meningkat dan amat mahal. Sekiranya seseorang itu memiliki takaful atau insuran, maka masalah tersebut boleh dianggap selesai dan tidak perlu bimbang sekiranya berlaku sebarang perkara yang tidak baik kepada diri dan keluarga.

Tidak rugi berhabis duit gaji bulanan membeli perlindungan takaful atau insuran kerana kebanyakan syarikatnya turut menyediakan skim pelaburan dan simpanan jangka panjang yang amat menguntungkan. Keadaan ini sudah tentu mewujudkan situasi menang-menang dan ketenangan hati.

Kalau sebelum ini ramai yang mengeluh tidak dapat menghantar duit perbelanjaan dan membantu keluarga di kampung kerana gaji yang diperolehi setiap bulan kecil dan tidak mencukupi, tetapi kini dilemma tersebut mungkin sudah dapat di atasi kerana dengan kenaikan gaji seperti yang diumumkan oleh kerajaan baru-baru ini, membolehkan ramai orang meneruskan hasrat menyumbang sebahagian daripada kenaikan gaji tersebut untuk kebajikan kedua ibu bapa di kampung dan membantu adik-adik dan saudara mara yang masih belajar di sekolah ataupun di institusi pengajian tinggi (IPT). Kenaikan gaji seperti yang diumumkan ini menjadi rahmat kepada semua orang sama ada kita sedari ataupun tidak.

Bagi sesiapa yang mempunyai hutang tertunggak pula sama ada dengan bank, kawan-kawan atau saudara mara, maka peluang untuk melunaskan hutang tertunggak tersebut seperti hutang kad kredit, pinjaman peribadi, kereta dan lain-lain lagi hendaklah digunakan sebaik mungkin dengan sedikit laba yang diperolehi dari peningkatan gaji semasa. Hutang yang tidak dibayar dengan segera dan sempurna akan terus meningkat kerana kadar faedah yang dikenakan amat tinggi dan tidak munasabah.

Oleh yang demikian, rancangan dan pengurusan pembayaran hutang semasa yang masih tertunggak hendaklah disegerakan dengan situasi dan peluang kenaikan gaji ini agar tidak terus terperangkap dengan bebanan hutang yang berpanjangan. Jangan sekali-kali mencipta hutang dan liabiliti baru seperti membeli kereta baru, menukar telefon tangan, peralatan rumah dan sebagainya. Sekiranya keadaan ini berlaku dan tidak dikawal, maka masalah ini akan menjadi bertambah parah kepada sosio-ekonomi seseorang.

Kepada peminat dan penggemar buku pula, inilah masanya untuk menggunakan sebahagian daripada kenaikan gaji tersebut untuk membeli buku yang dihajatkan, yang mana sebelum ini harganya mungkin agak mahal dan tidak mampu membelinya. Mungkin juga kita boleh memperuntukan sedikit daripada kenaikan itu untuk membeli buku-buku ilmiah setiap bulan sama ada untuk diri sendiri ataupun keluarga. Semangat dan minat membaca dapat disemarakkan dan sudah tentu industri buku negara juga mampu berkembang pesat dengan pasaran dan kuasa pembelian yang tinggi.

Impian untuk mengerjakan fardhu haji dan menunaikan ibadah sunat umrah di Mekah juga mungkin tercapai sekiranya seseorang itu bijak menggunakan kenaikan gajinnya dengan betul. Seseorang itu boleh memperuntukkan sekurang-kurang RM100 sebulan untuk simpanan di dalam akaun Tabung Haji dan dalam masa lapan tahun sudah mampu menunaikan fardhu haji di tanah suci. Manakala bagi yang mempunyai lebihan daripada kenaikan gaji tersebut bolehlah digunakan untuk mengerjakan ibadah umrah yang sangat dituntut bagi yang mampu.

Seperkara yang amat penting dan tidak boleh dipandang remeh ialah berkenaan kewajipan berzakat ke atas pendapatan bulanan kerana ramai yang tidak mempedulikan kewajipan ini serta memandang ringan berzakat dengan alasan gaji tidak mencukupi dan tidak mampu. Kewajipan berzakat hanyalah 2.5 peratus daripada jumlah keseluruhan pendapatan sahaja dan tidak lebih dari itu.

Jika sebelum ini kita abai, cuai dan sengaja tidak membayar zakat pendapatan, maka dengan kemudahan dan nikmat kenaikan gaji bulanan ini hendaklah diarahkan sebahagian kepada pembayaran zakat di samping memperbanyakkan amalan sedekah, infak, wakaf dan lain-lain lagi yang sangat digalakkan oleh Islam agar pendapatan bulanan yang diperolehi berkembang subur, berkat dan dirahmati Allah s.w.t.

Simpanan untuk masa hadapan dan kecemasan juga penting serta perlu diberikan penekanan oleh semua pihak. Dengan bersiap sedia dan konsisten menabung untuk simpanan bagi kegunaan pada masa hadapan dan ketika menghadapi kecemasan adalah langkah paling bijak dan berpandangan jauh meramal masa hadapan. Sikap dan inisiatif ini perlu dijadikan agenda utama seseorang atau pemimpin sesebuah keluarga agar tidak menyesal di kemudian hari.

Oleh itu, kenaikan gaji bulanan menjelang Julai ini hendaklah dijadikan penanda aras dan target jangka panjang sekiranya ingin tergolong di kalangan orang yang berjaya mengurus dan mentadbir polisi dan status ekonominya.

Comments

Popular Posts