Monday, June 25, 2007

PERLINDUNGAN HARTA INTELEK DI MALAYSIA

Mulai bulan Julai ini dua puluh satu buah Mahkamah Harta Intelek akan beroperasi di seluruh negara merangkumi 15 Mahkamah Sesyen dan enam Mahkamah Tinggi. Kelulusan penubuhan Mahkamah Harta Intelek ini telah diluluskan Kabinet pada 6 Jun lalu dilihat bakal menjadikan Malaysia sebagai negara kedua di ASEAN selepas Thailand yang mempunyai kaedah dan sistem mahkamah khas bagi melindungi aset harta intelek.

Penubuhan Mahkamah ini bertepatan dengan perakuan Malaysia di peringkat antarabangsa melalui Perjanjian Perdagangan Berkaitan Harta Intelek (TRIPS). Negara telah mengorak langkah yang bijak dan terkehadapan berbanding negara lain di dalam melindungi harta intelek, dan ini adalah satu lagi bentuk kejayaan dan inovasi sistem perundangan dan kehakiman di negara kita. Di samping itu gandingan bijak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDN&HEP), Perbadanan Harta Intelek Negara dan pertubuhan antarabangsa World Intellectual Property Organisation (WIPO) akan memperkasakan lagi sistem perlindungan harta intelek di negara kita.

Menurut Yusri Mohamad Ramli (2007), harta intelek menurut pandangan undang-undang Malaysia merangkumi harta industri dan hak cipta. Harta industri melibatkan cap dagangan, paten, reka bentuk perindustrian, reka bentuk litar bersepadu dan sebagainya. Hak cipta pula merujuk kepada hak penguasaan yang dilindungi oleh undang-undang ke atas seluruh atau sebahagian daripada hasil ciptaan merangkumi karya sastera, karya muzik, karya seni, filem, rakaman bunyi dan siaran.

Perbincangan mengenai harta intelek masih dianggap baharu walaupun harta berbentuk intelek sebenarnya sudahpun lama wujud di seluruh dunia. Namun masalahnya ialah undang-undang mengenainya masih belum mantap dan berkesan. Pengkajian mengenai harta intelek dikenal pasti bermula dengan berlangsungnya Paris Convention pada 20 Mac 1883 di Paris, Perancis. Sejak itu, para sarjana undang-undang telah memberi tumpuan yang mendalam terhadap isu-isu berkaitan harta intelek. Usaha ini semakin rancak ekoran perkembangan drastik teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) di samping globalisasi yang semakin melebar dalam ekonomi dunia pada akhir abad ke-20.

Ahli media terkenal Jeniri Amir (2005) menyatakan undang-undang pertama yang memberikan hak cipta pengarang ialah Stature of Anne yang diluluskan oleh Parlimen British pada 1710. Para peringkat awal perundangan, pihak Inggeris memperakukan bahawa pengarang memiliki hak terhadap karyanya berdasarkan prinsip natural justice. Manakala hak moral pula diperuntukkan di bawah Berne Copyright Convention yang menetapkan bahawa "The author shall have the right to claim authorship of his work and to object any distortation, mutilation or other modification of, or other deragotory action in relation to the said work, which would be prejudicial to his honour or reputation".

Manakala menurut Azizah Hamzah (2005) pula undang-undang hak cipta Malaysia bermula dengan adanya Copyright Act 1911 yang berkuatkuasa di Pulau Pinang dan Melaka. Selain itu terdapat juga kewujudan Enakmen 73 yang berkuatkuasa di Selangor, Perak, Pahang dan Negeri Sembilan. Perundangan hak cipta yang pertama sekali berkuat kuasa termaktub dalam Copyright Act 1967. Undang-undang tentang hak cipta masa kini merujuk kepada Akta Hakcipta 1987. Akta tersebut menjalani pindaan pada tahun 1990, 1996, 1997 dan 1999. Pindaan tahun 1990 menandakan kemasukan Malaysia dalam Berne Convention. Pindaan pada 1997 digubal bagi memenuhi keperluan dan tuntutan baharu era teknologi maklumat, industri multimedia dan Koridor Raya Multimedia (MSC).

Malaysia tidak terlepas daripada arus harta intelek ini dan dengan kewujudan peningkatan kes berkaitan harta intelek di negara kita, operasi dan inisiatif Mahkamah khas ini dijangka dapat menyelesaikan lebih 1,600 kes harta intelek tertunggak mengikut rekod Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah sehingga tahun 2006. Statistik menunjukkan terdapat 515 kes tertunggak di Mahkamah Majistret sehingga Jun 2006 manakala sebanyak 1,030 kes lagi di Mahkamah Sesyen dan 67 kes di Mahkamah Tinggi sehingga 31 Disember 2006.

Bagi Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Mohd Shafie Apdal, dengan adanya sistem baru mahkamah ini, ia bukan sahaja akan mempercepatkan lagi proses penggendalian kes-kes yang melibatkan pelanggaran harta intelek di negara ini malah kita akan memperoleh kepakaran dari perundangan seperti hakim dan peguam, sekali gus akan meletakkan negara kita di landasan yang setanding dengan negara luar dari segi kelengkapan bagi memutuskan kes-kes berkaitan.

Kerajaan juga yakin dengan kewujudan operasi mahkamah ini akan menyakinkan para pelabur dan masyarakat antarabangsa bahawa kerajaan Malaysia amat serius memerangi perompak, pencuri dan pelanggar harta intelek yang tidak bertanggungjawab serta tidak berperikemanusiaan ini, yang giat menceroboh hak kepunyaan orang lain seperti memuat turun tanpa kebenaran, mengubahsuai dari karya asal, menciplak, mencuplik, mencetak rompak, memplagiat, meniru, mencedok, menyebar karya secara bebas dan banyak lagi pencabulan harta intelek. Inisiatif ini adalah bukti keprihatinan dan usaha terbesar kerajaan melindungi entiti dan identiti harta intelek di negara kita secara yang lebih konsisten dan holistik.

Semua 15 Mahkamah Harta Intelek akan membicarakan kes di setiap ibu negeri dan pusat pentadbiran negara Putrajaya. Enam Mahkamah Tinggi Bahagian Harta Intelek dengan bidang kuasa sivil dan rayuan akan bersidang secara mahkamah khusus di negeri yang mempunyai banyak kes harta intelek seperti Kuala Lumpur, Selangor, Johor, Perak, Sabah dan Sarawak. Setakat ini projek mahkamah harta intelek ini tidak membabitkan sebarang kos membina kemudahan atau bangunan baru, sebaliknya menggunakan kemudahan dan prasarana sedia ada di kompleks mahkamah di negeri terbabit.

Pada masa ini, projek perintis ini telahpun dilaksanakan di Mahkamah Sesyen Jenayah (4) di Kuala Lumpur untuk mendengar secara khusus kes-kes jenayah harta intelek mulai 1 Januari 2006 lalu dan hasilnya banyak kes-kes berkaitan telah berjaya dilupuskan dengan lebih efektif dan cepat di mana sehingga tahun 2006 hampir 99 kes berkaitan harta intelek telah dilupuskan dan pihak yang kerugian serta teraniaya mendapat keadilan melalui perintah penghakiman dan pampasan yang sewajarnya daripada mahkamah.

Penubuhan Mahkamah Harta Intelek ini juga disifatkan tepat pada masanya memandangkan peningkatan kes-kes baharu melibatkan jenayah harta intelek secara mendadak setiap tahun. Di samping itu, pindaan Akta Hakcipta 1987 pada 15 Ogos 2003 juga telah memberikan kuasa penuh kepada pegawai kementerian menangkap pesalah yang terlibat dalam jenayah ini tanpa melibatkan agensi kerajaan lain. Keadaan ini membantu melicinkan lagi usaha penguatkuasaan dan perlaksanaan undang-undang pihak kementerian ke atas penjenayah harta intelek dan bagi mengekang jenayah moden ini daripada terus berleluasa di negara kita.

Secara amnya penguatkuasaan undang-undang harta intelek di negara kita adalah merangkumi bidang kuasa yang diperuntukkan di dalam Akta Hakcipta 1987, Akta Perihal Dagangan 1972, Akta Cap Dagangan 1976, Akta Paten 1983, Akta Reka Bentuk Perindustrian 1996, Akta Reka Bentuk Susun Atur Litar Bersepadu 2000, Akta Petunjuk Geografi 2000, Akta Cakera Optik 2000 dan lain-lain. Kebanyakan kes harta intelek di negara kita banyak tertumpu kepada jenayah cetak rompak mengikut Akta Hakcipta 1987 dan Akta Perihal Dagangan 1972.

Sehingga ke hari ini Malaysia masih lagi tidak mampu mengatasi dan menghalang sepenuhnya jenayah pelanggaran hak cipta yang tinggi terutamanya kes cetak rompak yang kian hari semakin bertambah di seluruh negara. Ini adalah kerana jenayah perdagangan ini membabitkan mereka yang bukan hanya mempunyai keupayaan kewangan yang mantap, sistem perhubungan yang cekap, penglibatan 'orang dalam' dan petugas yang terlatih malah kebolehan luar biasa serta strategik melepaskan diri dengan pelbagai helah dan teknik yang mampu mengkaburi mata pihak penguatkuasaan.

Di samping itu gejala rasuah di kalangan pegawai penguatkuasaan; kelemahan sistem pengurusan dan pentadbiran pihak kementerian dan agensi berkaitan; pegawai yang korup, lemah, tidak cekap dan kurang pengalaman; dan lebih parah lagi kerap kali berlakunya kebocoran maklumat turut menjadikan masalah ini semakin membarah dan tidak terkawal, di mana setiap kali serbuan dibuat ianya mampu dihidu lebih awal oleh penjenayah harta intelek ini. Mereka yang terlibat membocorkan rahsia serta mengamalkan budaya rasuah ibarat musuh dalam selimut dan penderhaka negara, di mana perlu dihadapkan ke muka pengadilan bersama-sama penjenayah harta intelek kronik lain.

Pembeli atau pengguna yang turut sama bersubahat dengan penjenayah ini melalui pembelian barangan cetak rompak atau memuat turun sesuatu aplikasi tanpa kebenaran juga tidak terlepas daripada tindakan undang-undang jika sabit kesalahan. Ini adalah kerana tanpa sokongan dan kerjasama daripada pengguna, penjenayah ini tidak mungkin dapat melebarkan sayap kegiatan perniagaan haram mereka. Hukum penawaran dan permintaan dalam perniagaan menjadi asas kepada masalah ini. Oleh yang demikian, pengguna yang bijak perlu bertindak sewajarnya membantu kerajaan membanteras jenayah harta intelek dan bukannya terus menerus berganding bahu dan membantu penjenayah dalam hal ini.

Selanjutnya, bagi meningkatkan lagi prestasi dan inovasi Mahkamah Harta Intelek di negara kita, pentadbiran dan pengurusan mahkamah perlu diperbaiki terutamanya sistem, kemudahan, tahap kecepatan dan kecekapan badan perundangan serta kehakiman sedia ada. Majistret, Hakim Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Tinggi perlu diberi latihan dan pendidikan lanjutan, kemahiran, teknologi dan pendedahan terkini undang-undang berkaitan harta intelek tempatan dan antarabangsa.

Prasarana kompleks mahkamah haruslah ditambah dan diberi peruntukan khas memandangkan kes-kes sivil dan jenayah sedia ada pun masih lagi terlalu banyak yang perlu diadili dan bilangan kes tertangguh yang semakin meningkat. Bilangan majistret dan hakim juga wajar diperluas bagi melancarkan lagi perjalanan perbicaraan kes serta mereka layak menerima insentif tertentu dan elaun khas kerana beban kerja hakiki mereka akan bertambah dengan adanya mahkamah harta intelek ini.

Di samping itu, undang-undang dan peraturan berkaitan harta intelek yang masih longgar dan banyak kelemahan; hukuman dan denda yang rendah serta tidak menggerunkan penjenayah tegar; masalah penafsiran dan perlaksanaan undang-undang serta penguatkuasaannya; dan peruntukan undang-undang sedia ada yang masih kurang mantap serta ketinggalan zaman hendaklah sentiasa dipertingkatkan lagi dan dikemas kini agar penjenayah harta intelek tiada lagi jalan keluar dan terlepas dari tindakan undang-undang negara.

Berdasarkan kepada senario semasa, jenayah harta intelek kini semakin berkembang dan bermaharajalela melalui medium maya terutamanya internet di samping kaedah tradisional, menuntut kerajaan bersedia melaksanakan inovasi mahkamah siber sepenuhnya berteraskan keupayaan ICT terkini bagi memberikan impak dan momentum positif kepada sistem perundangan dan kehakiman di negara kita setanding negara maju lain dalam mengadili jenayah harta intelek.

RUJUKAN

Yusri Mohamad Ramli. Harta Intelek Menurut Syariat Islam. Sinar Rohani JAKIM, Januari/Februari 2007

Jeniri Amir. Membina Integriti Penulis. Dewan Sastera, Mac 2005

Azizah Hamzah. Pelanggaran Hak Cipta Dari Zaman Cetak Gutenberg Hingga Zaman Siber. Dewan Sastera, Mac 2005

Mahkamah Harta Intelek Beroperasi Bulan Depan, Utusan Malaysia, 21 Jun 2007

21 Mahkamah Harta Intelek Beroperasi Julai, Berita Harian, 21 Julai 2007

Friday, June 15, 2007

MASYARAKAT MADANI TERAS BANDAR MAPAN

Kadar urbanisasi di Malaysia sebagai sebuah negara membangun adalah antara yang tertinggi di dunia ekoran dari impak positif proses migrasi, realiti semasa dan kerenah globalisasi. Momentum ini meliputi migrasi dari negara luar dan penduduk luar bandar ke bandaraya besar seperti Kuala Lumpur yang menyediakan peluang dan kemudahan sosial serta ekonomi kelas pertama.

Menurut laman web Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), statistik kadar urbanisasi negara meningkat dari 55.1 peratus pada tahun 1995 kepada 61.8 peratus pada 2000 dan terus meningkat kepada 66.9 pada 2005, impak daripada kemajuan, kemakmuran dan kestabilan negara secara sistematik serta holistik. Faktor pentadbiran dan pengurusan kerajaan yang efisen serta berwawasan; sistem penyampaian yang berkesan; perancangan dan susun atur politik, ekonomi dan sosial yang konsisten dan komprehensif. Melalui transformasi masyarakat madani yang berlandaskan Wawasan 2020, seiring prinsip Islam Hadhari adalah mekanisme terbaik yang mampu memacu sebuah bandar mapan yang diidamkan.

Masyarakat madani adalah teras terpenting kelangsungan sebuah bandar mapan. Modal insan madani ini menurut Profesor Dr. Muhammad Naguib Al-Attas dalam tulisan beliau Masyarakat Madani Malaysia: Satu Gagasan menyatakan bahawa akar kata kepada perkataan madani ialah 'Din' atau agama (Islam) itu sendiri. Walaupun ada pelbagai makna serta pengertian bagi kalimah 'din' itu dan kesimpulannya semua menyumbang ke arah kebenaran dan kehalusan makna madani tadi. Daripada 'Din' kita mendapat perkataan madinah. Madinah bermaksud tempat di mana 'din' dijelmakan dan diamalkan dengan sempurna. Perkataan madinah juga menunjukkan tempat di mana telah wujud kefahaman yang tinggi. Oleh kerana itulah daripada perkataan madinah juga lahir perkataan tamadun iaitu tempat di mana masyarakatnya telah mencapai taraf insaniah yang luhur, di mana ada tatasusila, hukum dan undang-undang, di mana ada penguasa atau pentadbirannya yang juga mempunyai hikmah yang mampu melaksanakan keadilan.

Kamus Dewan Edisi Ketiga mendefinisikan 'masyarakat' sebagai kumpulan manusia yang hidup bersama di suatu tempat dengan aturan dan cara tertentu, manakala 'bandar' pula sebagai tempat atau pusat yang ramai penduduknya dan terdapat banyak urusan dan perniagaan yang dijalankan. Mapan ditakrifkan sebagai tidak berubah-ubah (sudah diterima umum), mantap, sudah kukuh kedudukannya, tidak goyah, sudah stabil, teguh, dikenali dan sebagainya. Definisi ini secara tidak langsung telah menterjemahkan maksud dan kehendak sebenar konsep madani yang menjadi mekanisme terpenting untuk meletakkan prinsip bandar mapan berada di landasan yang betul; keadilan dan kemakmuran terlaksana; serta mendapat pengampunan dan perlindungan Ilahi. Ini selaras dengan firman Allah s.w.t yang bermaksud: " Sungguh, bagi kaum Saba' ada tanda (kebesaran Tuhan) di tempat kediaman mereka iaitu dua buah kebun di sebelah kanan dan di sebelah kiri, (kepada mereka dikatakan), " Makanlah olehmu rezeki yang (dianugerahkan) Tuhanmu dan bersyukurlah kepadaNya. (Negerimu) adalah negeri yang baik (nyaman) sedang (Tuhanmu) adalah Tuhan yang maha Pengampun. " (Surah Saba': 15)

Menurut Ibnu Khaldun, pembandaran adalah suatu proses kemakmuran kehidupan manusia. Yang pertama sekali bahawa hidup bermasyarakat itu adalah satu keperluan yang tidak mungkin dielakkan oleh manusia. Manusia mesti hidup bermasyarakat. Apabila manusia hidup berkumpul di suatu tempat maka perkembangan berikutnya lahirlah 'Madinah' atau bandar. Dan bila ini berlaku maka lahirlah kemajuan yang membawa kemakmuran atau al-Umran. Dan perkembangan berikutnya lahirlah perusahaan dan perkilangan. Istilah yang digunakan ialah al-Sinniah dan al-Ilaj. Demikian pandangan Ibnu Khaldun dalam magnum opusnya Muqaddimah. Selain menekan kepercayaan kepada Allah s.w.t dan akhlak mulia serta budi luhur, masyarakat bertamadun menurut Ibnu Khaldun ialah masyarakat bandar yang maju, makmur dan mewah. (Faisal Hj. Othman, 1998. Masyarakat Madani Malaysia: Asas Dan Strategi dalam Masyarakat Madani Satu Tinjauan Awal. Selangor Darul Ehsan: Institut Strategi Pembangunan Malaysia)

Azizan Baharuddin (1998) dengan merujuk kepada Antropologi Perkotaan tulisan S. Menno dan Mustamin Alwi bahawa maksud bandar atau kota yang pertama ialah yang terdapat dalam sistem hieroglipphics iaitu tulisan lambang yang terdapat pada piramid tamadun Mesir kuno. Dalam sistem ini bandar digambarkan sebagai lingkaran dengan mempunyai palang bergaris di dalamnya. Simbol ini disebut sebagai 'niut' dan palang bergaris difahamkan sebagai persimpangan jalan atau pertemuan pendapat. Lingkarannya difahamkan sebagai tembok atau pagar benteng dan ini beerti sesuatu yang padat dan berkumpul di satu tempat. Selain itu ada banyak definisi yang dikemukakan oleh berbagai-bagai pendapat secucuk dengan latar belakang serta pandangan alam masing-masing seperti Gino Gemani, J. H De Goode, Gerald Brease dan lain-lain. Louis Wirth di dalam bukunya Urbanisation As A Way Of Life misalnya telah menyatakan bandar sebagai " a relatively large, dense, and permanent settlement of socially heterogeneous individuals". (Habitat Masyarakat Madani dalam Masyarakat Madani Satu Tinjauan Awal. Selangor Darul Ehsan: Institut Strategi Pembangunan Malaysia)

Manakala menurut Zaini Ujang dalam bukunya Islam Dan Alam Sekitar (1993) menyatakan " Dalam tradisi agama samawi, bandar seringkali dikaitkan dengan proses pembangunan yang menyeluruh dan merangkumi pelbagai bidang kehidupan untuk merealisasikan tuntutan beragama. Dalam Islam, bandar merupakan pusat kehidupan bermasyarakat bagi sesebuah kawasan, bukan sahaja dalam bidang ekonomi, politik dan sosial, malah intelektual serta spiritual. Sepanjang sejarah kegemilangan peradaban Islam, peranan bandar begitu menyerlah dan diabadikan sebagai pusat kegiatan kehidupan yang didokongi oleh ketinggian tahap intelektual serta spiritual. Bandar sebagai institusi penting dalam peradaban Islam, kemudian berkembang menjadi pusat penyerahan dan pengabdian diri (melalui sifat-sifat kemadanian) menerusi ibadah." Bagi Seyyed Hossien Nasr pula berpandangan " senibina dan perancangan bandar (Islam) berkait langsung dan dipengaruhi oleh undang-undang atau Syariah yang membentuk kehidupan (manusia), senibina dan perancangan bandar Islam (juga) dipengaruhi oleh agama dalam prinsip-prinsip dalaman, bahasa simbolik dan asas intelektualnya serta pembentukan masyarakatnya". (Zaini Ujang, 1993. Islam dan Alam Sekitar. Kuala Lumpur: IKD)

Menurut Mohd Kamal Hassan (1998) ciri-ciri umum masyarakat madani yang menjadi teras kepada kewujudan bandar mapan ialah pemerintah yang mendaulatkan keadilan dan melaksanakan dasar-dasar egalitarianisme; masayrakat yang berakhlak mulia, beradab, bersopan, dan berbudi bahasa, nilai-nilai etika mat disanjungi; melambangkan pencapaian ilmu dan teknologi berasas dan tradisi ilmu bersepadu antar naqli dan akli dan penghormatan kepada para ilmuan; menghormati undang-undang sebagai satu cara hidup; menghayati disiplin diri secara kolektif bukan kerana takut kepada kuasa undang-undang, tetapi kerana ia memberi rasa kepuasan dalaman; kepekaan tentang tanggungjawab sosial dirasai secara meluas oleh golongan profesional, korporat, perniagaan, pentadbiran, cendekiawan dan badan-badan bukan kerajaan; serta kekuasaan tidak dimonopoli oleh satu golongan atasan tetapi dibahagi-bahagi secara saksama dan decentralised.

Di samping itu, sebagai rangsangan akomodasi dan mobiliti bandar mapan, hak kebebasan bersuara dan perbezaan pendapat dihormati dan dilindungi serta termasuklah hak mengkritik pemerintah dengan cara yang adil; memberi layanan yang abaik kepada golongan tua, miskin, cacat anggota dan kurang upaya (OKU); nilai-nilai agama samawi menjadi asas kehidupan bermasyarakat dan diintegrasikan dalam semua kegiatan duniawi; mengenali sejarah bangsa dan negara serta tahu berhutang budi kepada orang yang berjasa dalam sejarah; kepimpinan yang bertauladan dan cemerlang dalam pengurusan dan pentadbiran; kebersihan dan amalan kesihatan sudah menjadi cara hidup keluarga, komuniti dan negara; penjagaan dan pemuliharaan alam sekitar diberi perhatian yang serius; kehidupan seni dan budaya, termasuk sukan yang serasi dengan nilai-nilai agama dan kemanusiaan yang luhur; wujudnya budaya parti politik yang bersih, bermoral, bertanggungjawab kepada rakyat, bekerjasama dalam perkara-perkara yang dipersetujui bersama dan berlapang dada terhadap perbezaan pendapat dan pendekatan; dan wujudnya teknologi maklumat dan media massa (cetak dan elektronik) yang mendukung nilai-nilai kebenaran, keindahan, ketinggian budi, pendidikan dan ilmu pengetahuan. ( Pendidikan Dan Etika Asas Kemantapan Masyarakat Madani dalam Masyarakat Madani Satu Tinjauan Awal. Selangor Darul Ehsan: Institut Strategi Pembangunan Malaysia)

Konsep bandar mapan bukanlah sekadar kosmetik atau alternatif tetapi adalah keperluan utama kepada sesebuah negara membangun dan maju merealisasikannya selaras dengan standard Kualiti Kehidupan Yang Menyeluruh ( Total Quality Living Environment ). Oleh yang demikian, masyarakat madani yang fantastik, realistik, kompeten dan dinamis mampu menjadi model terbaik penjanaan tamadun sebuah negara yang hebat lagi berkat. Mungkin perlu direnungi firman Allah s.w.t sebagai wawasan pembinaan bandar mapan sebagaimana ayat yang bermaksud: " Tidakkah engkau (Muhammad) memperhatikan bagaimana Tuhanmu berbuat terhadap (kaum) 'Ad?. (iaitu) penduduk Iram (ibu kota kaum 'Ad) yang mempunyai bangunan-bangunan yang tinggi. Yang belum pernah dibangun ( suatu kota) seperti itu, di negeri-negeri lain. Dan (terhadap) kaum Samud yang memotong batu-batu besar di lembah. Dan (terhadap) Firaun yang mempunyai pasak-pasak (bangunan yang besar). Yang berbuat sewenang-wenang dalam negeri. Lalu mereka banyak berbuat kerosakan dalam negeri itu. Kerana itu Tuhanmu menimpakan cemeti azab kepada mereka". (Surah Al-Fajr: 6-13)

Monday, June 11, 2007

LINA JOY: KEPUTUSAN BERSEJARAH DAN MUKTAMAD

Setelah sekian lama menunggu keputusan Lina Joy oleh Mahkamah Persekutuan yang memakan masa hampir setahun iaitu sejak 4 Julai 2006, maka pada 30 Mei 2007 adalah detik bersejarah kepada sistem perundangan negara dan lanskap pentadbiran Islam di Malaysia.

Keputusan muktamad ini telah diputuskan oleh Yang Amat Arif Ketua Hakim Negara, Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim dan hakim Mahkamah Persekutuan, Yang Arif Datuk Alauddin Mohd Sheriff dalam Lina Joy lwn. Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan & Yang Lain [2007] CLJ JT (1) bahawa keputusan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) tidak membenarkan perkataan Islam dipadam di dalam kad pengenalan diri Lina Joy adalah tepat dan wajar. Namun begitu seorang lagi hakim Mahkamah Persekutuan yang juga Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Yang Amat Arif Tan Sri Richard Malanjun, memutuskan keputusan yang bertentangan dengan pendapat majoriti tersebut.

Mahkamah secara majoriti memutuskan bahawa isu pertukaran agama adalah secara langsungnya berkait dengan hak-hak dan kewajipan Lina Joy sebagai seorang Muslim sebelum pertukaran itu berlaku; Perkara 11(1) Perlembagaan Persekutuan tidak wajar dihujahkan sebagai peruntukan yang memberi hak kebebasan yang tiada terbatas; dan hak untuk menganut san mengamalkan sesuatu agama hendaklah selalunya tertakluk kepada prinsip-prinsip dan amalan yang ditentukan oleh agama itu.

Keputusan ini telah mewujudkan dimensi dan paradigma baru kepada perkembangan, masa hadapan dan pertumbuhan Islam di negara ini dan ianya amat selari dengan tuntutan prinsip Islam Hadhari yang menekankan kepada persefahaman serta hormat menghormati antara kaum dan agama. Keputusan ini juga dilihat mampu memberi momentum positif kepada potensi pembangunan Islam dan dijangka akan diterima sebagai satu tragedi serta tamparan hebat kepada bukan Islam. Keadaan ini juga akan memberi impak negatif kepada persepsi bukan Islam terhadap Islam.

Keputusan ini adalah siri kejayaan terbesar umat Islam di Malaysia dalam mempertahan dan mendaulatkan Islam menurut lunas undang-undang yang berpaksikan kepada Perlembagaan Persekutuan 1957 iaitu undang-undang tertinggi di negara kita. Ini adalah kerana kedudukan Islam itu sendiri dalam Perlembagaan Persekutuan adalah berlainan daripada kedudukan agama-agama lain. Pertama, hanya Islam, sebagai satu agama, yang disebut dengan namanya dalam Perlembagaan , iaitu sebagai 'agama bagi Persekutuan' (the religion of the Federation) seperti yang diperuntukkan dalam Perkara 3(1).

Kedua, Perlembagaan itu sendiri memberi kuasa kepada Badan Perundangan Negeri ( bagi negeri-negeri) untuk mengkanunkan Hukum Syarak dalam perkara-perkara yang disebut dalam Senarai II, Senarai Negeri, Jadual Kesembilan, Perlembagaan Persekutuan ('Senarai II'). Selaras dengan kehendak Senarai II itu, maka Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 dan berbagai-bagai lagi enakmen telah dikanunkan di negara kita.

Keputusan ini juga bukanlah satu kekalahan kepada masyarakat bukan Islam, jauh sekali bahawa Islam tidak menghormati prinsip dan kebebasan bukan Islam kerana Islam adalah agama rasmi negara ini dan persoalan serta kekeliruan yang berlaku dalam kes Lina Joy tidak sepatutnya dipersoalkan atau dijadikan polemik yang berpanjangan oleh mana-mana pihak.

Menurut Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPPMM) yang bertindak sebagai pemerhati diarah (watching brief) dalam kes bersejarah ini bahawa jika seseorang Muslim ingin keluar dari agama Islam, dia sebenarnya boleh menggunakan haknya di dalam konteks undang-undang Syariah yang mempunyai jurisprudennya sendiri mengenai isu murtad. Jika seseorang menganuti dan mengamalkan ajaran Islam, sudah tentulah beerti seseorang itu hendaklah mengikuti undang-undang Islam dan juga cara keluar (murtad) dari agama Islam. Itulah ertinya menganuti dan mengamalkan Islam. Dan apa yang telah dilakukan oleh Jabatan Pendaftaran Negara adalah hanya semata-mata untuk menentukan Lina Joy bukan lagi beragama Islam secara yang ditetapkan oleh Islam.

Justeru itu, Mahkamah yang bijaksana memutuskan bahawa tidak terdapat sebarang pertentangan berkenaan keperluan mengemukakan sijil atau perakuan dari mahkamah Syariah atau pihak berkuasa dengan Perkara 11(1) yang sendirinya memperuntukkan keperluan mematuhi kehendak-kehendak agama itu sebelum ia keluar dari agama Islam. Menganuti dan mengamalkan agama Islam sudah tentulah bermakna mengamalkan bukan sahaja aspek teologi dalam agama itu sahaja kerana Islam bukanlah semata-mata satu himpunan dogma-dogma atau ritual sahaja, tetapi juga undang-undang agama itu.

Seterusnya, meminjam kata-kata Yang Arif Datuk Abdul Hamid Mohamad dalam kes Kamariah Ali lwn Kerajaan Negeri Kelantan, " jika maksud per. 11 PP adalah bahawa seseorang bebas masuk atau keluar dari sesuatu agama sesuka hatinya dan tiada undang-undang boleh memerlukan dia mengikut sesuatu peraturan sama ada untuk memeluk atau keluar dari sesuatu agama, maka secara natijahnya, bukan sahaja undang-undang yang menetapkan cara untuk seseorang itu memeluk Islam dan keluar dari agama Islam tidak sah, malah undang-undang yang menjadikan suatu kesalahan jika seorang Islam itu berzina, berkhalwat, tidak membayar zakat dan lain-lain itu semuanya adalah tidak sah juga. (perenggan 17) "

Keputusan ini juga bakal menguji tahap kesabaran dan sensitiviti masyarakat bukan Islam menerima hakikat yang tidak lagi boleh dipertikaikan. Di sini akan terlihat sejauh bukan Islam akan akur dan patuh serta menghormati keputusan tertinggi tersebut, walaupun terdadap beberapa siri dialog, seminar, kolokium dan perbagai lagi yang telah diadakan dan akan diadakan bagi mencari jawapan dan jalan keluar kepada altimatum kes Lina Joy.

Keadaan ini berlaku apabila keputusan menentang majoriti yang diputuskan oleh Yang Amat Arif Tan Sri Richard Malanjum begitu ketara mempertikaikan peranan Jabatan Pendaftaran Negara; berbau prejudis; tuduhan yang amat tidak bertanggungjawab; tidak harmoni dengan ruh Perlembagaan Persekutuan; mencabar kedaulatan Mahkamah Syariah di Malaysia; dan bersifat anti Islam apabila beliau memutuskan " The insistence by NRD for an apostasy certificate is also unlawful, illegal and unreasonable because: (i) it is tantamount to delegation of authority by NRD to some other third body not sanctioned by law; (ii) the insistence was almost impossible of performance as under the applicable law the Syariah Court in the Federal Territory has no statutory power to adjudicate on the issue of apostasy; and (iii) to ask the appelant to apply for such certificate is to ask her to self incriminate.

" This part, NRD had not observed the rules of natural justice when it mechanically rejected the appellant's repeated applications and failed to give her a fair hearing. It was also guilty of unfairness towards the appellant in not informing the appellant that reg. 4 would be amended. Indeed, there is a reasonable suspicious that reg. 4, although formulated in 2000, was deliberately amended retrospectively to 1 October 1999 in order to target and to prejudice the third application of the appellant. This being the case, my answers to the first two questions are in the negative. (para 85-92) "

Bagi menjawab persoalan dan kekeliruan ini, keputusan majoriti memutuskan " Hujah bahawa Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan tidak mempunyai bidangkuasa penentuan murtad disebabkan Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1993 (Akta 505) tidak mempunyai peruntukan mengenai murtad, dan oleh sebab itu tindakan JPN mengenakan syarat supaya diperolehi perintah mahkamah tersebut adalah satu tindakan yang tidak munasabah yang mencapai tahap "Wednesbury unreasonableness" disebabkan perintah yang diminta itu mustahil untuk diberi - adalah tidak bermerit. Perlu ditekankan bahawa item 1 dan 2 dalam Jadual Kesembilan PP memperuntukkan antara lain bahawa Mahkamah-Mahkamah Syariah hendaklah mempunyai bidangkuasa hanya atas orang-orang yang menganuti agama Islam dan hanya mengenai mana-mana perkara yang termasuk dalam perenggan itu (item 1) dan salah satu daripada perkara-perkara dalam perenggan tersebut adalah "undang-undang Islam". Sehubungan itu, per. 74(4) PP menegaskan bahawa keluasan ungkapan-ungkapan am dalam Jadual Kesembilan tidak boleh dikira sebagai dihadkan oleh ungkapan-ungkapan khusus yang terdapat dalam Jadual Kesembilan itu.

" Oleh yang demikian, adalah munasabah bagi JPN mengenakan syarat-syarat tersebut kerana perkara murtad ini adalah satu persoalan yang berkaitan dengan undang-undang Islam dan seperti yang dikatakan oleh Mahkamah Agong dalam kes Dalip Kumar lwn Pegawai Polis Daerah, Balai Polis Daerah, Bukit Mertajam & Anor bahawa jawapan kepada persoalan sama ada seseorang itu adalah Muslim atau telah keluar dari agama Islam sebelum dia meninggal dunia adalah termasuk dalam dunia undang-undang Syariah yang memerlukan pertimbangan-pertimbangan serius dan tafsiran wajar atas undang-undang itu. Maka keputusan JPN bukanlah suatu keputusan yang sebegitu melampau tidak munasabahnya dalam keingkaran terhadap logik atau standard moral hingga tiada seorang pun yang waras yang menumpukan pemikiran kepada persoalan yang perlu diputuskan itu boleh mencapai keputusan sedemikian. (perenggan 10) "

Lebih malang lagi dan amat memalukan, atas dasar dan prinsip kebebasan beragama, kini terdapat sekelompok profesional Melayu Muslim yang begitu aktif berlari ke sana ke mari memperjuangkan nasib dan ketidakadilan ke atas Lina Joy yang dilihat sedang dianiaya serta diketepikan haknya. Golongan liberal dan keliru ini umpama gunting dalam lipatan serta musuh dalam selimut yang amat merbahaya kepada seluruh umat Islam. Bagi mereka Lina Joy tidak diadili secara wajar dan keputusan tersebut adalah usaha menutup peluang Lina Joy untuk murtad dan memilih agama yang disukainya melalui saluran undang-undang. Mereka juga berpandangan Mahkamah Persekutuan sengaja mematikan ruh dan prinsip kebebasan beragama di Malaysia yang telah sekian lama diperuntukkan oleh Perlembagaan Persekutuan serta piagam hak asasi manusia dalam Perkara 18 Perisytiharan Sejagat Hak-Hak Manusia (UDHR).

Kisah Lina Joy tidak terhenti setakat itu sahaja malahan usaha untuk mendapatkan perhatian dan campur tangan kuasa besar dunia sedang giat dilaksanakan oleh pihak yang amat tidak bertanggungjawab dan pengkhianat ini. Negara-negara Barat begitu berminat, ghairah dan teruja mengikuti perkembangan kes ini, di mana kes ini telah mendapat publisiti secara meluas di hampir semua media massa utama dan alternatif mereka. Oleh yang demikian, umat Islam tidak boleh selesa dan berpuas hati dengan keputusan tersebut. Ini hanyalah permulaan dan percubaan awal mereka untuk mencipta short cut atau jalan pintas untuk melaksanakan gerakan murtad di Malaysia. Untuk itu perlu dipertingkatkan lagi program dan aktiviti mempertahankan kedaulatan Islam di negara kita serta komited berusaha menyekat kemunculan Lina Joy kedua, ketiga dan seterusnya.

Thursday, June 07, 2007

MOMOFUKU ANDO DAN FENOMENA MI SEGERA

Walaupun nampak remeh, namun mi segera sejak sekian lama telah menjadi sebahagian daripada rutin pemakanan masyarakat moden di seluruh dunia. Impak dan fenomena mi segera telah melanda negara kita seawal tahun 80an lagi melalui iklan yang berterusan di media massa. Dari kanak-kanak sehinggalah orang dewasa menggemari produk segera dan popular ini.

Inovasi mi segera bermula di Jepun dan Momofuku Ando adalah penciptanya. Beliau juga dikenali di seluruh dunia sebagai 'Mr. Noodle'. Graduan Universiti Ritsumeikan ini menubuhkan syarikat Nissin Food Product Co. pada 1948 selepas Perang Dunia Kedua bagi merealisasikan impian dan inovasi pemakanan ini. Inovasi ini telah membawa rahmat kepada seluruh dunia, di mana satu teknologi serta penemuan baru makanan telah dicipta dan amat bermanfaat kepada manusia.

Momofuko mendapat ilham dan inspirasi penciptaan mi segera yang pertama di dunia ketika beliau melihat orang ramai beratur panjang untuk membeli mi ramen segar dari sebuah gerai pasaran gelap ketika berlakunya kekurangan makanan selepas tamatnya Perang Dunia Kedua di negara matahari terbit itu. Pada ketika itu juga, rakyat Jepun telah digalakkan oleh kerajaan ketika itu memakan roti putih yang diimport dari Amerika Syarikat, yang jelas tidak begitu digemari oleh rakyat Jepun. Maka atas selera, kehendak dan permintaan semasa, inovasi mi segera dimulakan oleh Momofuku Ando.

Selepas produk Chicken Ramen yang diperkenalkan kepada umum pada 25 Ogos 1958 selepas melalui beberapa eksperimen 'trial and error', produk ciptaannya menjadi terkenal walaupun dijual pada harga RM1.04 (35 yen). Momofuku telah melebarkan sayap perniagaan globalnya dengan memperkenalkan Cup Noodle pada tahun 18 September 1971. Produk mi segera dalam bekas stirofom kalis air yang hanya perlu disediakan dengan menuang sedikit air panas menjadi semakin popular dan membuktikan satu kaedah pemasaran terbaik ketika penduduk dunia semakin dihimpit kesibukan dengan kerja seharian.

Industri mi segera kian berkembang di seluruh dunia di mana pada tahun 2004 hampir 70 bilion bungkusan telah berjaya dipasarkan. Momofuku semakin menjadi perhatian ramai apabila muncul di kaca televisyen pada 2005 untuk mempromosikan versi Cup Noodle yang membolehkan ianya dinikmati oleh angkasawan dalam kapal angkasa Discovery. Ini adalah kejayaan terbesar Momofuku kepada dunia produk makanan segera.

Dan apa yang lebih istimewa lagi ialah pada tahun 1999, beliau juga turut membangunkan sebuah muzium khas mengabadikan sejarah peninggalan produk mi segera yang penuh sejarah ini untuk tatapan generasi akan datang. Muzium ini dibina di Osaka, Jepun yang juga dikenali sebagai Muzium Momofuku Ando Instant Ramen.

Menyorot sejarah awal penglibatan di dalam dunia perniagaan, beliau yang dilahirkan di Taiwan pada 1910 semasa pendudukan Jepun. Sebagai permulaan beliau mengendalikan syarikat pakaian dan beberapa syarikat lain di Taipei dan Osaka pada awal kariernya sebelum komited dan serius terjun ke dalam industri mi segera. Hasilnya media Jepun dan di seluruh dunia memuji kejayaan, kehebatan dan kreativiti beliau membawa produk mi segera ke persada dunia perdagangan global hatta ke angkasa lepas sekalipun.

Sebuah akhbar tempatan baru-baru ini melaporkan pasaran mi segera serta barangan makanan berasaskan mi semakin popular di Malaysia dan berdasarkan sumber industri, pasaran di negara berkembang 1.6 peratus setahun bagi pelbagai produk berkenaan. Dengan kekukuhan ekonomi serta kestabilan politik, Malaysia terus menjadi tarikan utama pelaburan pelbagai barangan berasaskan makanan, di mana sepanjang 2006 sahaja sejumlah 76 projek dengan nilai pelaburan RM1.6 bilion diluluskan dan antara Januari hingga Mei 2007 pula hampir 30 projek dengan nilai RM658.1 juta diluluskan.

Menurut Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Ng Lip Yong, pada masa sekarang produk berasaskan makanan menyumbang kira-kira 10 peratus daripada keseluruhan jumlah pengeluaran oleh industri kecil dan sederhana (IKS), yang mana sebahagian besarnya dimiliki syarikat tempatan. Rata-ratanya produk IKS ketika ini termasuklah produk mi segera diiktiraf sebagai pengeluar barangan berasaskan makanan halal oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Sektor berasaskan barangan makanan segera dilihat amat berdaya maju dan mampu memberikan pulangan yang tinggi sehinggakan banyak syarikat multinasional dunia tidak melepaskan kesempatan ini. Syarikat Nestle telah mengambil peluang dan ruang untuk melabur dalam sektor ini sejak 95 tahun yang lalu. Baru-baru ini inovasi 'Air Dried Noodle Line' diperkenalkan, di mana adalah satu-satunya teknologi di dunia untuk pembuatan mi segera, di mana ia mengeringkan makanan berkenaan menggunakan udara berbanding menggorengnya sebelum ini.

Dengan pelaburan Nestle bernilai RM50 juta, melalui penggunaan teknologi berkenaan kandungan lemak mampu dikurangkan antara 60 peratus hingga 80 peratus bergantung kepada resipi mi segera dihasilkan. Ini membantu memenuhi permintaan pasaran makanan segera tempatan, malah meningkatkan agihan pasarannya di Malaysia selain seluruh dunia.

Kejayaan Momofuku Ando melakukan inovasi baru dalam teknologi makanan segera global ini telah memberi manfaat kepada sebahagian besar penduduk dunia ketika ini dan akan datang. Pada 6 Januari 2007 ketika berusia 96 tahun, beliau telah meninggal dunia akibat di serang sakit jantung dan telah meninggalkan kepada kita sebuah inovasi makanan yang cukup bermakna dan unik. Ketika hayatnya, beliau telah dianugerahkan 'The Order of the Rising Sun' oleh kerajaan Jepun mengenangkan jasa dan bakti beliau pada 2002.

Beliau adalah modal insan yang sangat kreatif, komited dan wajar dicontohi oleh semua. Negara dan kerajaan begitu menekankan aspek modal insan dan memberikan keutamaan di dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9). Oleh yang demikian, siri dan rangka kejayaan Momofuku Ando diharapkan dapat memotivasi dan memberi aspirasi kepada lebih ramai lagi modal insan yang akan terus mencipta serta melahirkan lebih banyak inovasi baru produk makanan di dunia.


Rujukan:


Pencipta Mi Segera Meninggal Dunia, Mingguan Malaysia, 7 Januari 2007
Mi Segera Popular, Harian Metro, 8 Julai 2007
http://en.wikipedia.org/wiki/Momofuku_Ando