PERLINDUNGAN HARTA INTELEK DI MALAYSIA

Mulai bulan Julai ini dua puluh satu buah Mahkamah Harta Intelek akan beroperasi di seluruh negara merangkumi 15 Mahkamah Sesyen dan enam Mahkamah Tinggi. Kelulusan penubuhan Mahkamah Harta Intelek ini telah diluluskan Kabinet pada 6 Jun lalu dilihat bakal menjadikan Malaysia sebagai negara kedua di ASEAN selepas Thailand yang mempunyai kaedah dan sistem mahkamah khas bagi melindungi aset harta intelek.

Penubuhan Mahkamah ini bertepatan dengan perakuan Malaysia di peringkat antarabangsa melalui Perjanjian Perdagangan Berkaitan Harta Intelek (TRIPS). Negara telah mengorak langkah yang bijak dan terkehadapan berbanding negara lain di dalam melindungi harta intelek, dan ini adalah satu lagi bentuk kejayaan dan inovasi sistem perundangan dan kehakiman di negara kita. Di samping itu gandingan bijak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDN&HEP), Perbadanan Harta Intelek Negara dan pertubuhan antarabangsa World Intellectual Property Organisation (WIPO) akan memperkasakan lagi sistem perlindungan harta intelek di negara kita.

Menurut Yusri Mohamad Ramli (2007), harta intelek menurut pandangan undang-undang Malaysia merangkumi harta industri dan hak cipta. Harta industri melibatkan cap dagangan, paten, reka bentuk perindustrian, reka bentuk litar bersepadu dan sebagainya. Hak cipta pula merujuk kepada hak penguasaan yang dilindungi oleh undang-undang ke atas seluruh atau sebahagian daripada hasil ciptaan merangkumi karya sastera, karya muzik, karya seni, filem, rakaman bunyi dan siaran.

Perbincangan mengenai harta intelek masih dianggap baharu walaupun harta berbentuk intelek sebenarnya sudahpun lama wujud di seluruh dunia. Namun masalahnya ialah undang-undang mengenainya masih belum mantap dan berkesan. Pengkajian mengenai harta intelek dikenal pasti bermula dengan berlangsungnya Paris Convention pada 20 Mac 1883 di Paris, Perancis. Sejak itu, para sarjana undang-undang telah memberi tumpuan yang mendalam terhadap isu-isu berkaitan harta intelek. Usaha ini semakin rancak ekoran perkembangan drastik teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) di samping globalisasi yang semakin melebar dalam ekonomi dunia pada akhir abad ke-20.

Ahli media terkenal Jeniri Amir (2005) menyatakan undang-undang pertama yang memberikan hak cipta pengarang ialah Stature of Anne yang diluluskan oleh Parlimen British pada 1710. Para peringkat awal perundangan, pihak Inggeris memperakukan bahawa pengarang memiliki hak terhadap karyanya berdasarkan prinsip natural justice. Manakala hak moral pula diperuntukkan di bawah Berne Copyright Convention yang menetapkan bahawa "The author shall have the right to claim authorship of his work and to object any distortation, mutilation or other modification of, or other deragotory action in relation to the said work, which would be prejudicial to his honour or reputation".

Manakala menurut Azizah Hamzah (2005) pula undang-undang hak cipta Malaysia bermula dengan adanya Copyright Act 1911 yang berkuatkuasa di Pulau Pinang dan Melaka. Selain itu terdapat juga kewujudan Enakmen 73 yang berkuatkuasa di Selangor, Perak, Pahang dan Negeri Sembilan. Perundangan hak cipta yang pertama sekali berkuat kuasa termaktub dalam Copyright Act 1967. Undang-undang tentang hak cipta masa kini merujuk kepada Akta Hakcipta 1987. Akta tersebut menjalani pindaan pada tahun 1990, 1996, 1997 dan 1999. Pindaan tahun 1990 menandakan kemasukan Malaysia dalam Berne Convention. Pindaan pada 1997 digubal bagi memenuhi keperluan dan tuntutan baharu era teknologi maklumat, industri multimedia dan Koridor Raya Multimedia (MSC).

Malaysia tidak terlepas daripada arus harta intelek ini dan dengan kewujudan peningkatan kes berkaitan harta intelek di negara kita, operasi dan inisiatif Mahkamah khas ini dijangka dapat menyelesaikan lebih 1,600 kes harta intelek tertunggak mengikut rekod Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah sehingga tahun 2006. Statistik menunjukkan terdapat 515 kes tertunggak di Mahkamah Majistret sehingga Jun 2006 manakala sebanyak 1,030 kes lagi di Mahkamah Sesyen dan 67 kes di Mahkamah Tinggi sehingga 31 Disember 2006.

Bagi Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Mohd Shafie Apdal, dengan adanya sistem baru mahkamah ini, ia bukan sahaja akan mempercepatkan lagi proses penggendalian kes-kes yang melibatkan pelanggaran harta intelek di negara ini malah kita akan memperoleh kepakaran dari perundangan seperti hakim dan peguam, sekali gus akan meletakkan negara kita di landasan yang setanding dengan negara luar dari segi kelengkapan bagi memutuskan kes-kes berkaitan.

Kerajaan juga yakin dengan kewujudan operasi mahkamah ini akan menyakinkan para pelabur dan masyarakat antarabangsa bahawa kerajaan Malaysia amat serius memerangi perompak, pencuri dan pelanggar harta intelek yang tidak bertanggungjawab serta tidak berperikemanusiaan ini, yang giat menceroboh hak kepunyaan orang lain seperti memuat turun tanpa kebenaran, mengubahsuai dari karya asal, menciplak, mencuplik, mencetak rompak, memplagiat, meniru, mencedok, menyebar karya secara bebas dan banyak lagi pencabulan harta intelek. Inisiatif ini adalah bukti keprihatinan dan usaha terbesar kerajaan melindungi entiti dan identiti harta intelek di negara kita secara yang lebih konsisten dan holistik.

Semua 15 Mahkamah Harta Intelek akan membicarakan kes di setiap ibu negeri dan pusat pentadbiran negara Putrajaya. Enam Mahkamah Tinggi Bahagian Harta Intelek dengan bidang kuasa sivil dan rayuan akan bersidang secara mahkamah khusus di negeri yang mempunyai banyak kes harta intelek seperti Kuala Lumpur, Selangor, Johor, Perak, Sabah dan Sarawak. Setakat ini projek mahkamah harta intelek ini tidak membabitkan sebarang kos membina kemudahan atau bangunan baru, sebaliknya menggunakan kemudahan dan prasarana sedia ada di kompleks mahkamah di negeri terbabit.

Pada masa ini, projek perintis ini telahpun dilaksanakan di Mahkamah Sesyen Jenayah (4) di Kuala Lumpur untuk mendengar secara khusus kes-kes jenayah harta intelek mulai 1 Januari 2006 lalu dan hasilnya banyak kes-kes berkaitan telah berjaya dilupuskan dengan lebih efektif dan cepat di mana sehingga tahun 2006 hampir 99 kes berkaitan harta intelek telah dilupuskan dan pihak yang kerugian serta teraniaya mendapat keadilan melalui perintah penghakiman dan pampasan yang sewajarnya daripada mahkamah.

Penubuhan Mahkamah Harta Intelek ini juga disifatkan tepat pada masanya memandangkan peningkatan kes-kes baharu melibatkan jenayah harta intelek secara mendadak setiap tahun. Di samping itu, pindaan Akta Hakcipta 1987 pada 15 Ogos 2003 juga telah memberikan kuasa penuh kepada pegawai kementerian menangkap pesalah yang terlibat dalam jenayah ini tanpa melibatkan agensi kerajaan lain. Keadaan ini membantu melicinkan lagi usaha penguatkuasaan dan perlaksanaan undang-undang pihak kementerian ke atas penjenayah harta intelek dan bagi mengekang jenayah moden ini daripada terus berleluasa di negara kita.

Secara amnya penguatkuasaan undang-undang harta intelek di negara kita adalah merangkumi bidang kuasa yang diperuntukkan di dalam Akta Hakcipta 1987, Akta Perihal Dagangan 1972, Akta Cap Dagangan 1976, Akta Paten 1983, Akta Reka Bentuk Perindustrian 1996, Akta Reka Bentuk Susun Atur Litar Bersepadu 2000, Akta Petunjuk Geografi 2000, Akta Cakera Optik 2000 dan lain-lain. Kebanyakan kes harta intelek di negara kita banyak tertumpu kepada jenayah cetak rompak mengikut Akta Hakcipta 1987 dan Akta Perihal Dagangan 1972.

Sehingga ke hari ini Malaysia masih lagi tidak mampu mengatasi dan menghalang sepenuhnya jenayah pelanggaran hak cipta yang tinggi terutamanya kes cetak rompak yang kian hari semakin bertambah di seluruh negara. Ini adalah kerana jenayah perdagangan ini membabitkan mereka yang bukan hanya mempunyai keupayaan kewangan yang mantap, sistem perhubungan yang cekap, penglibatan 'orang dalam' dan petugas yang terlatih malah kebolehan luar biasa serta strategik melepaskan diri dengan pelbagai helah dan teknik yang mampu mengkaburi mata pihak penguatkuasaan.

Di samping itu gejala rasuah di kalangan pegawai penguatkuasaan; kelemahan sistem pengurusan dan pentadbiran pihak kementerian dan agensi berkaitan; pegawai yang korup, lemah, tidak cekap dan kurang pengalaman; dan lebih parah lagi kerap kali berlakunya kebocoran maklumat turut menjadikan masalah ini semakin membarah dan tidak terkawal, di mana setiap kali serbuan dibuat ianya mampu dihidu lebih awal oleh penjenayah harta intelek ini. Mereka yang terlibat membocorkan rahsia serta mengamalkan budaya rasuah ibarat musuh dalam selimut dan penderhaka negara, di mana perlu dihadapkan ke muka pengadilan bersama-sama penjenayah harta intelek kronik lain.

Pembeli atau pengguna yang turut sama bersubahat dengan penjenayah ini melalui pembelian barangan cetak rompak atau memuat turun sesuatu aplikasi tanpa kebenaran juga tidak terlepas daripada tindakan undang-undang jika sabit kesalahan. Ini adalah kerana tanpa sokongan dan kerjasama daripada pengguna, penjenayah ini tidak mungkin dapat melebarkan sayap kegiatan perniagaan haram mereka. Hukum penawaran dan permintaan dalam perniagaan menjadi asas kepada masalah ini. Oleh yang demikian, pengguna yang bijak perlu bertindak sewajarnya membantu kerajaan membanteras jenayah harta intelek dan bukannya terus menerus berganding bahu dan membantu penjenayah dalam hal ini.

Selanjutnya, bagi meningkatkan lagi prestasi dan inovasi Mahkamah Harta Intelek di negara kita, pentadbiran dan pengurusan mahkamah perlu diperbaiki terutamanya sistem, kemudahan, tahap kecepatan dan kecekapan badan perundangan serta kehakiman sedia ada. Majistret, Hakim Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Tinggi perlu diberi latihan dan pendidikan lanjutan, kemahiran, teknologi dan pendedahan terkini undang-undang berkaitan harta intelek tempatan dan antarabangsa.

Prasarana kompleks mahkamah haruslah ditambah dan diberi peruntukan khas memandangkan kes-kes sivil dan jenayah sedia ada pun masih lagi terlalu banyak yang perlu diadili dan bilangan kes tertangguh yang semakin meningkat. Bilangan majistret dan hakim juga wajar diperluas bagi melancarkan lagi perjalanan perbicaraan kes serta mereka layak menerima insentif tertentu dan elaun khas kerana beban kerja hakiki mereka akan bertambah dengan adanya mahkamah harta intelek ini.

Di samping itu, undang-undang dan peraturan berkaitan harta intelek yang masih longgar dan banyak kelemahan; hukuman dan denda yang rendah serta tidak menggerunkan penjenayah tegar; masalah penafsiran dan perlaksanaan undang-undang serta penguatkuasaannya; dan peruntukan undang-undang sedia ada yang masih kurang mantap serta ketinggalan zaman hendaklah sentiasa dipertingkatkan lagi dan dikemas kini agar penjenayah harta intelek tiada lagi jalan keluar dan terlepas dari tindakan undang-undang negara.

Berdasarkan kepada senario semasa, jenayah harta intelek kini semakin berkembang dan bermaharajalela melalui medium maya terutamanya internet di samping kaedah tradisional, menuntut kerajaan bersedia melaksanakan inovasi mahkamah siber sepenuhnya berteraskan keupayaan ICT terkini bagi memberikan impak dan momentum positif kepada sistem perundangan dan kehakiman di negara kita setanding negara maju lain dalam mengadili jenayah harta intelek.

RUJUKAN

Yusri Mohamad Ramli. Harta Intelek Menurut Syariat Islam. Sinar Rohani JAKIM, Januari/Februari 2007

Jeniri Amir. Membina Integriti Penulis. Dewan Sastera, Mac 2005

Azizah Hamzah. Pelanggaran Hak Cipta Dari Zaman Cetak Gutenberg Hingga Zaman Siber. Dewan Sastera, Mac 2005

Mahkamah Harta Intelek Beroperasi Bulan Depan, Utusan Malaysia, 21 Jun 2007

21 Mahkamah Harta Intelek Beroperasi Julai, Berita Harian, 21 Julai 2007

Comments

Popular Posts