Wednesday, August 29, 2007

UNIVERSITI APEX LAMBANG KECEMERLANGAN

Pengumuman penubuhan Universiti Apex sebagai mercu tanda dunia intelektual, agen transformasi institusi pendidikan tinggi (IPT) dan medan penjanaan modal insan berkualiti, berpendidikan, kreatif, inovatif, progresif dan kritis di negara kita, amatlah dialu-alukan.

Perdana Menteri ketika mengumumkan Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara Melangkaui Tahun 2020 (PSPTNMT 2020), menggariskan tiga langkah khas iaitu meningkatkan tadbir urus sendiri di kalangan IPT awam yang akan dilaksanakan serta merta; melaksanakan audit prestasi akademik ke atas semua IPT awam dan swasta; dan memperkenalkan status Universiti Apex di kalangan universiti tempatan.

Bagi menjayakan misi akademik strategik ini maka tadbir urus IPT, lembaga pengarah kolej dan universiti awam akan diberikan kuasa autonomi melakukan perubahan dalam bidang akademik, ekonomi dan sosial universiti selaras dengan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971. Kuasa autonomi ini turut meliputi segi kewangan, penyelidikan dan pembangunan (R&D), skim perkhidmatan, pengurusan, pengambilan pelajar, kepimpinan tertinggi dan penetapan yuran pengajian.

Kementerian Pengajian Tinggi akan membahagikan universiti awam dan swasta kepada tiga kluster iaitu Universiti Apex, Universiti Elit dan Universiti Kompetitif sepanjang tempoh Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) yang akan berakhir pada 2011. Sistem kluster ini membolehkan perluasan akses dan meningkatkan ekuiti, menambah baik kualiti pengajaran dan pembelajaran, memperteguhkan penyelidikan dan inovasi, memperkasa IPT, mempergiat pengantarabangsaan, membudayakan pembelajaran sepanjang hayat dan mengukuhkan sistem penyampaian kementerian.

Menurut Zaini Ujang (1993), universiti terawal di Eropah atau dunia Barat keseluruhannya dibina di Bologna, Itali sekitar tahun 1088. Namun begitu, universiti moden dalam pengertian sebuah institusi pengajian tinggi dari segi fungsi, institusi dan asosiasi, bermula di Jerman iaitu Universiti Halle pada 1694. Ketika itu Universiti Harvard yang mula dibina pada 1636 dan Universiti Yale pada tahun 1701, masih pada status kolej.

Dari perspektif tradisi intelektual Islam pula, gagasan universiti bermula dengan penubuhan institusi al-Azhar di Kaherah, Mesir oleh Dinasti Fatimiyyah dan Madrasah Nizamiyyah di Baghdad oleh Nizamul Mulk pada tahun 1067. Universiti al-Azhar diiktiraf sebagai universiti pertama dan tertua di dunia yang telah melahirkan ribuan tokoh intelektual ulung dunia serta memberikan impak positif dan maksimum kepada dunia intelektual global.

Sesuatu yang menarik telah digambarkan oleh Profesor Muhammad Kamal Hasan dalam buku Universiti: Mendukung Tradisi Intelektual (1993), tentang universiti yang boleh dijadikan panduan dan teladan. Menurut beliau universiti tidak sepatutnya berfungsi seperti sebuah kilang yang mencetak diploma atau ijazah en masse atau secara massa.

Universiti kadang-kadang kelihatan seperti 'kafetaria ilmu' tanpa hierarki nilai yang meletakkan ilmu-ilmu tertentu sebagai lebih tinggi daripada ilmu lain. Dalam suatu kafetaria, makanan itu diletakkan sama rata. Ikan kering dan ayam golek diletakkan di tempat sama, cuma harganya saja lain-lain.

Universiti seolah-olah tidak menganjurkan kita mengambil makanan berzat, semuanya terpulang kepada selera masing-masing. Universiti kelihatan sebagai sebuah pusat penyelidikan dan kadang-kadang sebagai arena pertentangan ideologi dan pertentangan kepentingan peribadi dan ras.

Oleh kerana universiti berperanan sebagai 'kafetaria ilmu' atau 'kilang mencetak ijazah' dan komponen-komponen di dalam universiti itu tidak diikat oleh visi yang tinggi, maka hasil daripada produk universiti ialah teknokrat, profesional, guru, pengurus, pemimpin politik, peguam, sasterawan, oportunis yang memiliki kemahiran tetapi belum mempunyai akhlak yang mulia atau adab yang tinggi.

Manakala pada hemat Profesor Syed Muhammad Naguib al-Attas pula "universiti bukan hanya bangunannya, bukan hanya kenyataan zahirnya. Sesungguhnya, dalam sejarah universiti mana pun, pengajar-pengajar atau guru-gurunya dan yang belajar daripada mereka adalah unsur utama kewujudan universiti. Jadi cemerlang atau tidak universiti itu bergantung pada ilmu pengetahuan dan pengenalan yang ada pada diri guru-gurunya masing-masing. Sekiranya ilmu yang ada pada guru itu tidak betul-betul matang serta mendalam, maka tentu sahaja taraf universiti itu tidak akan cemerlang".

Bagi mengatasi situasi genting ini maka pemilihan pihak pengurusan tertinggi Universiti Apex akan dibuat berdasarkan kepada merit sama ada calon dalam atau luar negara. Persoalannya ialah adakah kita bersedia untuk menerima orang luar sebagai pemimpin tertinggi universiti? Tidak mustahil juga tokoh pendidik bertaraf dunia dari universiti ternama seperti Universiti Cambridge, Oxford, Yale atau Harvard akan menerajui Universiti Apex sebagai Naib Canselor, atau adakah kita akan menetapkan hanya calon Bumiputra atau warganegara Malaysia sahaja seperti yang dilaksanakan sekarang?

Hakikatnya juga yang akan berlaku ialah penghijrahan dan kebanjiran secara besar-besaran para sarjana dan ilmuan dunia ke negara kita, jika Universiti Apex berjaya direalisasikan. Keadaan ini berlaku kerana sudah tentu Universiti Apex akan menawarkan pakej yang menarik dan kompetitif untuk menarik lebih ramai tokoh intelektual dunia ke situ. Masalah lain yang akan timbul pula ialah di mana pula tempat dan nasib sarjana dan ilmuan tempatan, jika kerusi intelektual ini diisi oleh orang luar.

Jika sebelum ini universiti-universiti di negara kita berlumba-lumba mengejar status MSC dan ISO yang begitu dibanggakan, maka selepas ini kita akan melihat bagaimana universiti ini akan berusaha pula menggenggam status Universiti Apex, Elit ataupun Kompetitif. Kewujudan universiti kluster ini memberi keuntungan dan akan memudahkan para pelajar dalam dan luar negara memilih universiti yang mereka berminat menyambung pelajaran mereka.

Sudah tentu Universiti Apex akan menjadi pilihan utama para pelajar agar mereka mendapat pendidikan yang berkualiti, holistik, komprehensif dan berbaloi dengan kos yang dikeluarkan. Persoalannya apa terjadi kepada universiti yang tercorot dan kurang daya saing serta simpanan dana dan pentadbiran yang lemah?

Kemungkinan juga AUKU 1971 perlu dipinda isi kandungannya agar ianya lebih relevan, segar, moden dan bersifat global memandangkan status Universiti Apex adalah berautonomi dan bebas mengurus, merencana serta mentadbir struktur pengurusan dan akademiknya sendiri. Di samping itu, mahasiswa yang merupakan produk dan entiti utama universiti perlu diberikan peluang dan ruang yang lebih adil, proaktif dan dinamis agar mereka tidak seperti "katak di bawah tempurung intelektual" atau terperangkap di dalam "sangkar kesarjanaan" ciptaan universiti.


RUJUKAN


Zaini Ujang, 1993. Universiti: Mendukung Tradisi Intelektual. Kuala Lumpur: IKD

"Transformasi Universiti", Utusan Malaysia, 28 Ogos 2007
"Universiti Apex Bebas Tambah Pensyarah Asing", Utusan Malaysia, 29 Ogos 2007

Sunday, August 26, 2007

MENILAI SEMULA COMMON LAW

Polemik keperluan dan kerelevanan adaptasi undang-undang Common Law (undang-undang lazim) yang berasal dari England di negara kita serta saranan menukar kiblat baru sistem perundangan Malaysia kepada undang-undang syariah yang lebih komprehensif dan holistik semakin hangat diperkatakan.

Isu ini telah lama diperdebatkan dan kembali segar apabila Ketua Hakim Negara mencadangkan agar rujukan kepada undang-undang common law dimansuhkan dan diberi nafas baru yang mampu memberikan impak maksimum kepada sistem perundangan negara.

Cadangan ini telah mendapat respon yang pelbagai termasuk Peguam Negara, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Perdana Menteri sendiri. Bagi Peguam Negara, prinsip keadilan undang-undang Syariah adalah yang terbaik dan kompeten bagi melengkapkan sistem dan prasarana perundangan sedia ada di samping mengambil kira prinsip-prinsip kebudayaan, cara hidup dan adat seperti yang diamalkan di Sabah dan Sarawak.

Langkah dan momentum positif ini juga boleh dilaksanakan secara tadrij atau berperingkat-peringkat menerusi kajian teliti melibatkan pelbagai aspek perundangan di negara kita. Ini lebih menepati saranan Perdana Menteri agar reformasi ini dilaksanakan secara teliti, berhati-hati dan tidak tergesa-gesa merealisasikannya bagi memastikan keadilan terlaksana.

Namun begitu, di dalam keghairahan kita menilai semula sumbangan undang-undang common law dalam sistem perundangan di negara kita, sudah terdengar suara-suara sumbang dan gendang dipalu membangkang dan mengecam cadangan berkenaan termasuklah Majlis Peguam, parti-parti politik dan sebahagian besar NGO perdana.

Cadangan ke arah reformasi undang-undang ini dianggap sebagai kolot, langkah terkebelakang, melakukan pusingan U, tidak sensitif, bias serta tidak berlandaskan keadilan dan menghormati keluhuran undang negara dan sebagainya. Situasi ini berlaku kerana mereka terkeliru dalam membezakan antara aplikasi Syariah secara holistik dengan segmen undang-undang Hudud.

Lebih malang lagi sudah terdapat nada-nada kecewa, marah dan tidak patriotik untuk berhijrah ke negara lain ( yang didakwa lebih demokratik dan adil ), sekiranya cadangan ini direalisasikankan di dalam sistem perundangan negara. Persoalan yang timbul ialah di mana status kesetiaan mereka kepada negara ini sehingga mereka tergamak migrasi ke negara luar.

Benarkah sistem perundangan Malaysia menjadi tidak demokratik dan adil sekiranya common law dinilai semula?

Kita tidak menafikan di era globalisasi, kewajaran undang-undang common law membolehkan sistem perundangan negara membuat penilaian dan keserasian undang-undang yang ditadbir di England dan negara-negara Komanwel lain untuk dijadikan asas ikutan dan teladan undang-undang domestik seperti undang-undang siber, komersial, perbankan, harta intelek, perkapalan, perdagangan dan sebagainya.

Ianya juga mewujudkan keharmonian undang-undang selagi wujudnya lakuna atau kekosongan di dalam undang-undang tempatan, di mana undang-undang common law boleh membantu dan prinsipnya dijadikan asas penambahbaikan undang-undang yang ditadbir di dalam negara dan memacu inovasi sistem kehakiman negara apabila keadaan memerlukan.

Seksyen 3 dan 5 Akta Undang-Undang Sivil 1956 membenarkan norma-norma atau amalan-amalan biasa serta prinsip-prinsip lain selaras dengan Perlembagaan Persekutuan 1957 diaplikasikan di dalam perundangan negara.

Menurut almarhum Profesor Ahmad Ibrahim dan Ahilemah Joned dalam magnum opus mereka The Malaysian Legal System (1987), prinsip undang-undang common law dan ekuiti ini dirujuk seperti yang ditadbir di England pada 7 April 1956 bagi Malaysia Barat dan di Sabah pula seperti yang ditadbirkan pada 1 Disember 1951, manakala di Sarawak seperti yang dikuatkuasa dan dilaksanakan di England pada 12 Disember 1956.

Pemakaian prinsip ini hanyalah sekiranya ketiadaan statut tempatan dan kesesuaian dengan kegunaan tempatan dengan merujuk kepada kes Mokhtar lwn. Arumugam [1957] MLJ 232 dan Ong Gan Hua lwn. Chong [1963] MLJ 6.

Sebaliknya dalam kes Lee Kee Choong lwn. Empat No. Ekor (N.S) [1976] 2 MLJ 93 telah diputuskan bahawa Seksyen 3 Akta Undang-Undang Sivil 1956 menunjukkan bahawa undang-undang Inggeris terpakai setakat pada tarikh penguatkuasaan Ordinan sahaja. Apa-apa perkembangan terkemudian selepas itu tidak terpakai.

Walau bagaimanapun, dalam kes Commonwealth of Australia lwn. Midford (M) Sdn. Bhd. [1990] 1 MLJ 475, mahkamah memutuskan bahawa Common Law selepas tarikh 7 April 1956 adalah terpakai di Malaysia sekiranya undang-undang itu merupakan perkembangan dari undang-undang yang sedia ada berkuatkuasa pada 7 April 1956.

Oleh yang demikian, para hakim, peguam dan pakar undang-undang boleh menjejaki serta mengikuti perkembangan dan kemajuan undang-undang common law di negara lain untuk dijadikan hujah dan sandaran undang-undang di mahkamah sekiranya kes tersebut masih baru di dalam negara dan telahpun dibicarakan di luar negara, maka prinsip dan semangat itu boleh dikemukakan sebagai elemen pembinaan, pemantapan serta penstrukturan undang-undang negara.

Sebagai contoh kes-kes yang diputuskan di negara-negara Komanwel berkenaan undang-undang siber seperti fitnah dan hasutan di arena internet, email, blog, portal dan sebagainya; transaksi digital kewangan di dalam sistem perbankan elektronik; jenayah siber; pertikaian undang-undang antarabangsa; undang-undang hak asasi manusia dan lain-lain boleh dijadikan asas undang-undang di negara kita.

Ini adalah kerana perkara ini telah diputuskan lebih awal di negara-negara seperti Australia, England dan sebagainya, memandu undang-undang domestik secara persuasive dan bukannya bersifat mengikat.

Persefahaman ini menjadikan undang-undang negara lebih terbuka, toleran dan bersikap menghormati keluhuran undang-undang negara lain dibentuk serta wujudnya kerjasama dan perkongsian pintar perundangan antara negara-negara serantau. Ini dapat meningkatkan lagi prestasi dan potensi sistem perundangan dan keadilan serta melahirkan penyeragaman undang-undang yang lebih fleksibel dan autoritatif.

Namun begitu setelah 50 tahun negara merdeka, maka sudah tiba masanya sistem perundangan dan keadilan negara dirombak di mana undang-undang common law dan ekuiti yang sejak kian lama dipatuhi, mengikat, mentadbir dan mengatur sistem perundangan kita dimansuhkan.

Namun begitu seperti mana pesanan Perdana Menteri agar sebarang cadangan pemansuhan common law dan ekuiti memerlukan penelitian yang menyeluruh.

Evolusi undang-undang negara perlulah mempunyai identiti dan personaliti tersendiri dengan tidak terlalu berkiblatkan undang-undang common law yang telah sekian lama dipatuhi. Sistem perundangan negara hendaklah ditadbir mengikut norma-norma dan prinsip-prinsip keadilan di negara kita, yang memungkinkan undang-undang Islam yang progresif, komprehensif, sistematik dan adil dijadikan teras dan asas perundangan negara.

Ini bagi mengelakkan agar kita terus berada di bawah telunjuk Barat dan sekutunya serta mengagungkan warisan peninggalan mereka. Kita perlu keluar dari kepompong perundangan ini dan sedia menilai semula prinsip dan amalan common law, diganti dengan olahan, garapan, prinsip, pengalaman, kebijaksanaan dan anjakan paradigma perundangan kita yang tersendiri.

Golongan minoriti tidak perlu bimbang, risau dan takut dengan langkah pemantapan, penyeragaman dan penambahbaikan ini. Untuk itu usaha penerangan, kefahaman, bimbingan dan kerjasama semua pihak hendaklah dipertingkatkan.

Penerusan mengaplikasi perundangan common law dan ekuiti oleh pengamal undang-undang di negara kita menggambarkan ketandusan minda, rendahnya nilai kreativiti dan inovasi, seolah-olah kredibiliti dan justifikasi mereka masih lagi dijajah walaupun kita sudah 50 tahun merdeka.

Ini adalah cabaran yang wajar ditangani dengan penuh komitmen, integriti dan menuntut keseriusan semua pihak.

Oleh yang demikian, bagi mengelak situasi umpama 'katak di bawah tempurung penjajah' maka saranan dan cadangan agar pengamal undang-undang dan pakar-pakar perundangan negara perlu bekerjasama mewujudkan integrasi sistem perundangan yang lebih adil, relevan, berkualiti dan sesuai dengan keadaan semasa, tanpa mengenepikan hak-hak dan kepentingan kaum minoriti lain.


RUJUKAN


Ahmad Ibrahim dan Ahilemah Joned, 1987. The Malaysian Legal System. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Harlina Mohamed On, et. al, 2000. Prinsip Undang-Undang Perniagaan di Malaysia. Selangor: Kumpulan Usahawan Muslim Sdn. Bhd.

"Mansuh Common Law - Ketua Hakim Negara Mahu Perundangan Lapuk Inggeris Diganti", Utusan Malaysia, 22 Ogos 2007
"Penerapan Syariah Ganti Common Law", Utusan Malaysia, 24 Ogos 2007
"Undang-Undang Syariah Terbaik - Gani", Utusan Malaysia, 23 Ogos 2007
"Pemansuhan Common Law Perlu Dihalusi", Mingguan Malaysia, 26 Ogos 2007

Laman web Majlis Peguam : (www.malaysianbar.org.my/)

Friday, August 24, 2007

NIKMAT KEMERDEKAAN

Hanya tinggal beberapa hari sahaja lagi negara kita akan menyambut upacara hari kemerdekaan kali yang ke-50. Upacara tahunan yang berusia lebih setengah abad ini adalah tanda dan menifestasi kesyukuran serta kegembiraan rakyat dan negara setelah mencapai kemerdekaan dari penjajah.

Upacara yang telah dimulakan sejak tahun 1957 oleh Perdana Menteri Malaysia yang pertama Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj, diikuti oleh pengganti-penganti selepas beliau dan tahun ini negara akan meyambut jubli perak sambutan kemerdekaan dalam suasana aman damai, meriah dan makmur. Tepat jam 9.30 pagi di Stadium Merdeka, laungan 'Merdeka' sebanyak tujuh kali disaksikan wakil Queen Elizabeth II oleh Tunku, menandakan lenyapnya era jejak penjajahan di negara kita.

Semangat serta komitmen rakyat dan negara menyambut ulangtahun kemerdekaan ini diterjemahkan dengan pelbagai penganjuran majlis sambutan mega sepanjang bulan kemerdekaan tahun ini, dimeriahkan lagi dengan keghairahan rakyat jelata memasang dan mengibar bendera di kenderaan, premis perniagaan, sekolah, pejabat, kediaman dan sebagainya sebagai tanda sokongan.

Setelah hampir 50 tahun negara merdeka, Malaysia telah menempah pelbagai episod kejayaan dan kecemerlangan yang amat membanggakan serta menakjubkan. Siri kegemilangan ini meliputi pelbagai aspek seperti sosio-budaya, ekonomi, politik, teknologi dan sebagainya. Setelah hampir 446 tahun negara dijajah spiritual, pemikiran dan fizikal, kini rakyat Malaysia kembali bangun dan bersedia berada di arena global dengan penuh keyakinan dan energetik.

Setelah minda kreativiti, inovasi, semangat juang dan transformasi rakyat dijajah dan dimanupulasikan demi kepentingan empat kuasa penjajah serta diperbudakkan sewenang-wenangnya, Malaysia bangkit dari tidur yang panjang berbekalkan semangat waja dan kental melawan penjajah, berjaya membina semula sebuah negara yang membangun, stabil, berdaya maju, dihormati dan mempunyai modal insan yang berkualiti tinggi.

Walaupun pernah dijajah selama ratusan tahun oleh pelbagai bentuk rejim penjajah bukan Islam, namun perkembangan Islam tetap kukuh dan perkasa di dalam struktur kehidupan masyarakat Islam di negara ini. Perkara seperti ini tidak berlaku di Indonesia dan India umpamanya, di mana rakyat pribuminya ramai yang terpengaruh dan memasuki agama baru yang dibawa oleh penjajah.

Ini adalah keajaiban dan amat menakjubkan kepada semua pihak serta berkat kesungguhan alim ulama terdahulu dan pemerintah mempertahankan kesucian dan ketinggian Islam sewajarnya. Kesinambungan ini diteruskan sehingga ke hari ini di mana umat Islam dan kerajaan konsisten dan komited menjadikan Islam sebagai wasilah sistem cara hidup negara serta masyarakat.

Islam dulu, kini dan selamaya menjadi agenda utama pentadiran negara di samping penganut agama lain bebas mengamalkan ajaran masing-masing tanpa apa halangan dan sekatan. Mungkin setelah 50 tahun merdeka, cadangan Ketua Hakim Negara agar rujukan kepada Common Law Inggeris dimansuhkan daripada undang-undang sivil dan memartabatkan undang-undang Islam yang komprehensif dan holistik dalam perundangan negara dapat direalisasikan. Cadangan ini telah mendapat respon yang baik daripada pelbagai pihak termasuk Peguam Negara dan Perdana Menteri sendiri yang meminta agar kajian teliti yang menyeluruh dilaksanakan untuk tujuan tersebut.

Dasar Ekonomi Baru (DEB) 1970 dibentuk sebagai jentera pemulihan sosial dan ekonomi negara, diakui sebagai mekanisme terbaik yang telah berjaya melakukan reformasi dan akomodasi orang Melayu dan bukan Melayu di negara kita. Hasilnya Malaysia mampu meningkatkan rezab negara sejak merdeka, dengan asas ekonomi yang kukuh dan struktur ekonomi dalaman bertambah baik serta berkembang.

Sejak tahun 1985 lagi, Malaysia telah menjadi negara membangun dan negara Islam yang pertama memiliki serta menerajui industri automotif sendiri dengan penubuhan Proton. Kini negara muncul sebagai antara pemain utama industri automotif dunia dan menempah pelbagai kejayaan dan anugerah berprestij dunia. Diharapkan pelancaran model terbaru Persona baru-baru ini akan mengembalikan kegemilangan industri automotif negara di samping pesaing domestik lain seperti Perodua dan Naza.

Bagi memacu Malaysia ke arah sebuah negara maju maka kerajaan telah meletakkan Wawasan 2020 sebagai penanda aras negara. Wawasan 2020 adalah model dan asas perspektif untuk negara merealisasikan impian mega ini dengan menjana pertumbuhan dan kestabilan politik, ekonomi, sosial, teknologi, inovasi dan sebagainya agar negara tidak tertinggal di belakang. Antara anjakan wawasan ini ialah kelahiran projek Koridor Raya Multimedia (MSC) 1996 yang perolehannya mencecah RM10 bilion pada 2007, sebagai prasarana ICT utama negara melalui usaha menarik minat pelabur global dan penjanaan modal insan.

Daripada sebuah negara miskin, Malaysia kini muncul sebagai industri pelaburan FDI yang kukuh dengan kadar inflasi terkawal. Unjuran pertumbuhan Kadar Dalam Negara Kasar (KDNK) dianggarkan pada kadar enam peratus pada tahun ini walaupun ekonomi global masih tidak begitu stabil. Nilai dagangan negara mencatat rekod pada paras tertinggi melepasi RM1 trilion, apabila melonjak kepada RM1.069 trilion pada 2006 berbanding RM967.8 bilion pada tahun 2005.

Dalam dunia perbankan Islam pula, negara telah muncul sebagai peneraju dan pemain utama dengan pelbagai inovasi produk kewangan Islam. Kejayaan terbesar industri ini ialah turut diiktiraf oleh dunia Barat sebagai pemain utama perbankan global serta mendapat sokongan dari pelabur dan pengguna bukan Islam. Pada 2002, Malaysia menjadi negara pertama di dunia yang menerbitkan sukuk global, iaitu sukuk kedaulatan kerajaan (sovereign sukuk) berjumlah AS$600 juta.

Namun begitu dalam keghairahan dan kejayaan negara menempah pelbagai kegemilangan, struktur dan fundamental sosial negara terutamanya yang melibatkan generasi muda masih lagi lemah dan perlu diberikan penekanan serius oleh pihak berwajib. Generasi penyambung warisan dan kepimpinan ini masih masih dijajah minda dan fizikal mereka dengan budaya hidonisme, penyalahgunaan alkohol dan dadah, perhubungan seks bebas, masalah pelacuran, mat rempit dan pelbagai lagi tribulasi akhlak yang tidak terkawal dan kronik, menjadikan masyarakat berada dalam keadaan panik.

Ini diakibatkan oleh rantaian dan jurang masalah ekonomi dan sosial seperti kemiskinan, kurang pendidikan agama dan moral serta terlalu mengikut nafsu dan pengaruh persekitaran yang tidak sihat yang membawa kepada masalah keruntuhan akhlak yang amat serius. Ketidakstabilan ekonomi dan sosial di kalangan rakyat Malaysia sejak beberapa tahun kebelakangan ini dikesan antara pendorong utama kepada peningkatan indeks jenayah di negara kita.

Penghijrahan masyarakat luar bandar ke kota metropolitan untuk mencari peluang pekerjaan juga dilihat sebagai salah satu punca mendorong kepada peningkatan kadar jenayah domestik negara. Di samping itu, kebanjiran pendatang asing yang tidak terkawal ke negara kita dan sistem pencegahan serta pemantauan yang lemah juga dilihat antara punca kadar jenayah meningkat terutamanya aktiviti rompakan, penipuan, pecah rumah, kegiatan duit palsu, rogol, gaduh dan sebagainya yang memberikan impak negatif kepada masyarakat.

Kadar jenayah di negara bagi tempoh Januari hingga September 2006 meningkat 12.57 peratus iaitu 170,481 kes berbanding 151,444 kes dalam tempoh yang sama pada tahun 2005. Statistik ini amat menakutkan kerana orang ramai terutamanya pendatang haram begitu berani melakukan apa sahaja jenayah dan mengenepikan keluhuran undang-undang negara. Statistik ini juga boleh mencacatkan kelancaran program Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2007 yang bakal diteruskan sehingga tahun hadapan, turut memberi persepsi negatif kepada pelancong luar negara dan mewujudkan perasaan bimbang dan takut sekiranya tidak dikawal dan dibanteras sewajarnya.

Setelah hampir 50 tahun menikmati anugerah kebebasan dan kemerdekaan negara, rakyat Malaysia perlu bersatu padu meningkatkan pertumbuhan agama, bangsa dan negara serta tidak boleh terleka walaupun sedetik menyumbang bakti membina negara ke arah yang lebih baik dan dihormati. Nikmat kemerdekaan ini tidak boleh dipersia-siakan kerana impaknya amat besar biarpun hanya dengan bantuan dana kewangan dunia sahaja, sudah membolehkan kita kembali dijajah dalam bidang ekonomi oleh kuasa-kuasa besar walaupun bukan dalam bentuk penjajahan fizikal.

Dalam kerenah birokrasi globalisasi masa kini, tidak mustahil kita akan kembali dijajah pemikiran dan cara hidup kita iaitu penjajahan moden budaya barat dalam bentuk maklumat, teknologi, hiburan, komunikasi dan sebagainya. Hanya individu berjiwa merdeka dalam erti kata yang sebenar dan menghayati momentum kemerdekaan sahaja mampu menangani penjajahan era baru ini.


Rujukan


Khairy Jamaluddin, 2007. Ekonomi: Mengakulah Kita di Landasan Betul. Mingguan Malaysia. 25 Februari
"Kerajaan Terus Komited Jayakan MSC Malaysia", Berita Harian, 18 Mei 2007
"Mansuh Common Law - Ketua Hakim Negara Mahu Perundangan Lapuk Inggeris Diganti", Utusan Malaysia, 22 Ogos 2007
Laman web Polis Di Raja Malaysia (PDRM): ( www.rmp.gov.my )

Saturday, August 18, 2007

AKTA LAGU KEBANGSAAN 1968 PERLU DIPINDA

Akta Lagu Kebangsaan 1968 (Akta 390) telah diluluskan sejak tahun 1968 oleh Parlimen Malaysia dan melalui proses semakan pada tahun 1989. Akta ini diwujudkan bagi menjaga kredibiliti, prestij, kewibawaan dan maruah lagu Negaraku yang merupakan satu-satunya lagu kebangsaan negara.

Lagu Negaraku yang dikatakan berasal dari lagu Terang Bulan iaitu lagu rasmi negeri Perak, mula dinyanyikan sejak tahun 1901 lagi ketika pertabalan Raja Edward VII di England, adalah manifestasi inspirasi lambang atau simbol perpaduan dan penyatuan masyarakat plural di negara kita.

Tindakan menghina, mempersenda, mengeji, mencemar, mencampur aduk, mengubah rentak atau lirik dan sebagainya secara sedar ataupun tidak dalam apa jua keadaan adalah dilarang dan pelaku kesalahan tersebut boleh ditangkap serta didakwa di mahkamah untuk diadili sewajarnya.

Sejak kewujudan akta berkenaan, kita jarang mendengar insiden-insiden menghina dan mempersenda lagu kebangsaan sehinggalah pendedahan kes seorang warganegara Malaysia sendiri, Wee Meng Chee, yang merupakan pelajar di sebuah universiti luar negara tanpa segan silu dan rasa bersalah bertindak melakukan perkara terkutuk sedemikian.

Beliau yang turut dikenali sebagai Namewee telah mencipta satu klip video yang memperlekehkan lagu kebangsaan dengan memberi nafas baru Negarakuku di laman web YouTube. Lagu berkenaan telah secara jelas menghina kerajaan Malaysia, orang Melayu, pasukan polis, agama Islam dan sebagainya. Impaknya lagu tersebut telah ditonton oleh hampir 500,000 pengunjung laman internet di seluruh dunia.

Terbaru lagu tersebut telahpun dipasarkan kepada orang ramai oleh sebuah syarikat yang tidak bertanggungjawab dalam bentuk cakera padat (CD) dengan harga RM7.00 sahaja beserta sebuah lagi lagu bonus ciptaan Namewee bertajuk Kawanku/My Friends yang turut menghina dan memperlekehkan kerajaan dan masyarakat Melayu.

Walaupun beliau dikatakan telah insaf dan mengakui kesalahan beliau serta telah memohon maaf secara terbuka kepada negara, namun kesalahan tetap kesalahan dan undang-undang yang ada perlu dilaksanakan sebagai pengajaran kepada semua rakyat Malaysia. Kesalahan beliau adalah serius dan tidak boleh dimaafkan di sisi undang-undang negara.

Perdana Menteri sendiri menyatakan bahawa kes beliau akan dibawa kemuka pengadilan tanpa sebarang prejudis. Beliau perlu melalui proses undang-undang sedia ada. Polis dan Pejabat Peguam Negara sedang meneliti kes ini. Sekiranya beliau didapati bersalah, biar mahkamah sahaja yang menentukan bentuk hukuman yang wajar lagi adil kepada beliau.

Menurut Seksyen 8 (1) Akta Lagu Kebangsaan 1968, rakyat Malaysia hendaklah menunjukkan rasa hormat, sayang dan mencintai lagu kebangsaan dan dikehendaki berdiri apabila lagu Negaraku dinyanyikan pada bila-bila masa dan di mana jua.

Seksyen 8 (2) pula menegaskan bentuk hukuman kepada sesiapa yang ingkar dan tidak menunjukkan rasa hormat kepada lagu Negaraku, di mana seseorang itu boleh didenda tidak melebihi RM100.00 atau penjara tidak melebihi satu (1) bulan sekiranya di dapati bersalah oleh mahkamah.

Manakala Seksyen 8 (3) pula dengan jelas menerangkan apa sahaja perlakuan yang boleh membawa dan menjurus kepada merendahkan prestij lagu kebangsaan pada pandangan masyarakat awam adalah dianggap sebagai tindakan tidak menghormati lagu berkenaan.

Lebih menarik lagi Seksyen 9 Akta berkenaan memberi kuasa penuh kepada pihak Polis untuk menangkap sesiapa sahaja yang didapati melakukan kesalahan di bawah Seksyen 8 Akta berkenaan tanpa sebarang waran melainkan sekiranya beliau memberi akujanji bahawa beliau akan menjawab segala saman dan proseding yang akan dilaksanakan ke atas beliau kelak.

Walaupun bentuk hukuman dan denda di bawah akta tersebut amat ringan dan tidak menjadi masalah kepada pelaku kesalahan untuk melunaskannya, namun ini bukan lesen besar untuk seseorang itu bertindak menghina dan mempersendakan lagu kebangsaan negara kita. Mungkin akta tersebut perlu dipinda sewajarnya agar bentuk hukuman dan denda yang lebih berat dan menakutkan dikenakan sebagai alternatif menghalang tindakan menghina lagu Negaraku berleluasa dan dipandang mudah oleh sesetengah orang.

Tambahan pula negara sedang berdepan dengan kecanggihan global ICT dan serangan internet yang membolehkan sesiapa sahaja tanpa halangan merosak, mencemar, menjejaskan imej dan integriti lagu kebangsaan negara kita di mana-mana saja dan pada bila-bila masa.

Oleh itu, semangat cinta, sayang dan hormat kepada lagu kebangsaan adalah penting umpama kasih dan mempertahankan negara. Ini perlu dipupuk sejak kecil agar kita tidak melahirkan seorang lagi seorang Meng Chee di negara kita. Kerajaan, ibu bapa, guru-guru, media dan semua pihak hendaklah berperanan menanam serta membajai semangat patriotisme dan kecintaan tersebut agar ianya terus tersemat di hati dan sanubari generasi muda di negara kita.


RUJUKAN


Akta Lagu Kebangsaan 1968 (Akta 390)

"Negaraku: Meng Chee Mohon Maaf", Utusan Malaysia, 10 Ogos 2007
"Meng Chee Boleh Didakwa", Utusan Malaysia, 17 Ogos 2007
"Meng Chee Perlu Hadapi Proses Perundangan", Utusan Malaysia, 17 Ogos 2007
"Penjualan CD Lagu Meng Chee ke Kabinet", Berita Minggu, 19 Ogos 2007

Friday, August 10, 2007

PANTAU TEKNOLOGI KOMUNIKASI

Evolusi teknologi alat komunikasi masa kini bergerak begitu pantas dan inovasi ini menjadi trend serta kegilaan anak muda di negara kita. Sejak dipasarkan secara komersial di dalam negara kira-kira 10 tahun lalu, teknologi ini berkembang pesat dengan jumlah penggunanya melebihi 15 juta pada tahun 2004 dan terus meningkat dari masa ke semasa. Dari jumlah itu 61.1 peratus pengguna lelaki dan 38.9 peratus pula perempuan.

Kini terdapat hampir 16 juta pengguna talian prabayar dan 3.4 juta talian pascabayar, dengan jumlah keseluruhan telefon bimbit di Malaysia dianggarkan mencecah 20 juta buah. Kewujudan variasi teknologi telefon bimbit seperti Sistem Global Komunikasi Mudah Alih (GSM) dan WAP/GPRS membolehkan gajet berkenaan memindah, merakam dan memuat turun informasi, gambar, video dan muzik dari internet pada bila-bila masa dan di mana sahaja.

Statistik menunjukkan sebanyak 9.5 bilion sistem pesanan ringkas (SMS) dengan purata RM5 bilion dihantar pengguna telefon bimbit di negara kita pada 2004. 3.4 bilion pula direkodkan sehingga suku pertama tahun 2005 dan secara keseluruhannya rakyat Malaysia membelanjakan kira-kira RM4.7 bilion setahun untuk menghantar SMS dan MMS. 50 peratus SMS dikategorikan bertujuan kominikasi sosial dan 20 peratus untuk tujuan bisnes. Pasaran global melihatkan sejumlah 1.3 trilion transaksi SMS sehari.

Berdasarkan rekod, golongan muda merupakan kategori aktif dengan saiz pasaran global berjumlah RM105 bilion pada tahun 2005. Menjelang tahun 2008, inovasi SMS dan khidmat pesanan multimedia (MMS) dijangka menyumbang 60 peratus kepada perolehan syarikat telekomunikasi (Telco) di dunia.

Sepanjang Januari hingga Mac 2007, hampir 11.7 bilion khidmat SMS dan MMS, meningkat 4.3 bilion berbanding 7.4 bilion yang dicatatkan pada tempoh sama tahun 2006. Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) dalam Laporan Fakta dan Angka Terpilih bagi suku pertama 2007 melaporkan angka itu hampir separuh daripada keseluruhan 33.2 bilion SMS yang dihantar pemilik telefon bimbit pada 2006.

Berdasarkan perangkaan 2005, Malaysia adalah negara yang mempunyai jumlah pengguna telefon mudah alih kedua tertinggi di Asean iaitu 74.1 bagi setiap 100 penduduk, mengatasi Brunei (56.3), Filipina (39.5), Thailand (26.1), Indonesia (21.1), Laos (10.8), Vietnam (10.7), Kemboja (7.6) dan Myanmar (0.3). Singapura mempunyai jumlah pengguna telefon bimbit tertinggi bagi setiap 100 penduduk iaitu 101.4. Ini bermakna hampir semua rakyatnya mempunyai alat telekomunikasi lebih daripada satu.

Kadar pemilikan telefon bimbit di Malaysia adalah lebih tinggi berbanding negara maju seperti Jepun dan Amerika Syarikat yang masing-masing mencatatkan 74 dan 67.6 peratus sahaja bagi setiap 100 penduduknya. Hong Kong mencatatkan jumlah pemilikan telefon bimbit tertinggi di dunia iaitu 122.6, diikuti United Kingdom (102.2), Taiwan (97), Australia (91.4), Korea Selatan (71.4), manakala China (29.9).

Melihat kepada fenomena drastik yang sedang berlaku ini, maka gesaan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Azalina Othman Said baru-baru ini agar Telco di negara ini membantu kerajaan memantau kegiatan remaja dan belia yang menyalahgunakan teknologi komunikasi bagi tujuan tidak bermoral adalah wajar dan perlu diberikan komitmen serius oleh semua pihak yang terlibat.

Sejak kebelakangan ini perbuatan seperti penyebaran gambar dan video lucah menggunakan teknologi terkini MMS semakin menjadi-jadi di kalangan remaja dan belia. Sehubungan itu, Telco perlu mempunyai tanggungjawab sosial korporat (CSR) serta inisiatif menganjurkan program dan aktiviti pengisian moral dan kesedaran kepada golongan ini agar tidak terjebak di dalam kancah penyalahgunaan teknologi komunikasi yang semakin berleluasa di kalangan remaja dan belia masa kini.

Program dan aktiviti ini bolehlah dilakukan secara berkala sama ada secara mingguan, bulanan atau tahunan di sekolah-sekolah dan institusi pengajian tinggi awam dan swasta di seluruh negara (IPTA/IPTS). Aktiviti pemantauan dan sesi penerangan juga boleh didedahkan di internet, akhbar, television, portal atau blog interaksi Telco masing-masing bagi membimbing, mendidik dan menaruh kesedaran serta tunjuk ajar akan bahaya salah guna teknologi alat komunikasi masa kini.

Teknologi maklumat menyediakan alternatif dan impak yang positif dan negatif kepada golongan muda, maka pemantauan dan tanggungjawab sosial Telco amat penting tanpa memikir soal mencari dan mengaut keuntungan semata-mata ke atas golongan ini. Penyebaran dan muat turun informasi, gambar, muzik dan video lucah di kalangan remaja dan belia terutamanya pelajar sekolah perlu disekat dan diberi amaran tegas. Telco boleh memantau gejala ini di samping mengetahui dari mana sumber itu diperolehi dan pengirimnya agar boleh dibawa ke muka pengadilan dan dikena hukaman yang setimpal. Untuk itu peruntukan undang-undang yang lebih keras amat diperlukan.

Namun begitu, meletakkan tanggungjawab pemantauan kepada kerajaan dan Telco sahaja tidak cukup malahan perlukan penglibatan dan kerjasama dari pihak yang lebih dekat dengan golongan ini iaitu ibu bapa di rumah dan guru-guru di sekolah. Ibu bapa dan guru perlu memantau, mengawasi dan memeriksa isi kandungan telefon bimbit anak dan murid mereka. Anak-anak dan pelajar hendaklah memberi kerjasama sepenuhnya tanpa menyembunyikan sesuatu yang mencurigakan. Ini adalah kerana gejala penyebaran dan muat turun gambar, muzik dan video lucah turut melibatkan pelajar sekolah dan institusi pengajian tinggi.

Walaupun Garis Panduan Penggunaan Telefon Bimbit Oleh Murid Sekolah (GPPTBMS) telah dikeluarkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia baru-baru ini yang membenarkan penggunaan telefon bimbit secara terhad di sekolah bagi tujuan kecemasan dan keperluan, namun usaha pemantauan perlulah dipertingkatkan lagi agar masa depan pelajar ini tidak digelapkan dek kerana kemewahan dan kemudahan yang dimiliki. Pelajar sekolah wajar dibenarkan menggunakan telefon yang mempunyai fungsi telefon atau sms sahaja dan yang mempunyai kapasiti MMS dan rakaman video perlu dilarang sama sekali di kawasan sekolah.

Sekiranya kita tidak dibenarkan membawa masuk telefon bimbit yang mempunyai fungsi integrasi kamera dan rakaman video ke tempat-tempat eksklusif, perpustakaan atau muzium ternama dunia atas alasan keselamatan, penipuan dan pelanggaran hakcipta, maka adalah amat wajar sekiranya perkara yang sama diimplementasikan kepada pelajar di semua institusi pendidikan di negara kita sama ada peringkat rendah dan tinggi.

Ibu bapa tidak seharusnya memanjakan anak-anak dengan telefon bimbit canggih yang bernilai ribuan ringgit cukup sekadar lingkungan seratus lebih ke dua ratus sahaja. Adalah dibimbangi sekiranya pelajar mempunyai telefon bimbit berkapasiti tinggi, aktiviti merakam dan menyebar gambar bogel guru dan pelajar di tandas dan di mana sahaja bebas dan mudah dilakukan oleh pelajar yang tidak bertanggungjawab.

Baru-baru ini kita digemparkan dengan perlakuan jijik sembilan orang pelajar perempuan di sebuah sekolah menengah telah merakam dan menyebarkan gambar bogel mangsa buli mereka kepada orang ramai. Tindakan kurang adab dan didikan agama ini amat memalukan semua pihak termasuk sekolah dan ibu bapa pelajar berkenaan. Ini adalah kerana pelajar biadab ini telah dibekalkan telefon bimbit yang berteknologi tinggi integrasi kamera dan video oleh ibu bapa mereka dan telah disalahgunakan oleh pelajar sewenang-wenangnya. Keadaan ini sudah tentu meningkatkan lagi indeks akhlak dan disiplin pelajar sekolah yang kian parah serta tidak terkawal.

Pemantauan, pengawasan dan didikan penting agar kemudahan telefon bimbit tidak disalah gunakan kerana jika tidak dibendung dengan bijak, boleh membawa kepada berlakunya masalah pencemaran bahasa SMS dan bahasa rojak secara berleluasa; penyebaran dan muat turun bahan lucah menjadi tidak terkawal dan kronik; pelajar menjadi terlalu asyik dengan dunia SMS, MMS, permainan grafik dan internet; wujudnya jurang pemisah antara pelajar kaya dan miskin; bertambahnya kes kecurian dan salah faham di kalangan pelajar dan guru; dan lebih parah lagi ialah mudah merebaknya perhubungan bebas melalui telefon pelajar dengan orang yang tidak dikenali yang seterusnya boleh menjurus kepada keruntuhan akhlak dan moral.



RUJUKAN


"Rakyat Malaysia SMS RM1.7 bilion", Utusan Malaysia, 12 Disember 2006
"Jangan cetus masalah- Pelbagai pihak bantah pelajar guna telefon bimbit di sekolah", Utusan Malaysia, 14 Januari 2006
"Daftar telefon bimbit bagi mengelak kecurian libatkan 20 juta pengguna", Utusan Malaysia, 6 Jun 2007
"11.7 bilion SMS dihantar sepanjang Jun-Mac", Berita Harian, 6 Ogos 2007
"Telco diminta pantau remaja seleweng teknologi", Utusan Malaysia, 10 Ogos 2007

Laman web Wikipedia : (http://ms.wikipedia.org/wiki/Telefon_bimbit)

Wednesday, August 08, 2007

50 TAHUN ISLAM DI MALAYSIA

Islam dilihat berkembang pesat pada era kegemilangan Kerajaan Negeri Melaka pada kurun ke-14 walaupun sejarah awal kedatangannya dikatakan bermula seawal penemuan Batu Bersurat pada 1326 atau 1386 di Terengganu.