AKTA LAGU KEBANGSAAN 1968 PERLU DIPINDA

Akta Lagu Kebangsaan 1968 (Akta 390) telah diluluskan sejak tahun 1968 oleh Parlimen Malaysia dan melalui proses semakan pada tahun 1989. Akta ini diwujudkan bagi menjaga kredibiliti, prestij, kewibawaan dan maruah lagu Negaraku yang merupakan satu-satunya lagu kebangsaan negara.

Lagu Negaraku yang dikatakan berasal dari lagu Terang Bulan iaitu lagu rasmi negeri Perak, mula dinyanyikan sejak tahun 1901 lagi ketika pertabalan Raja Edward VII di England, adalah manifestasi inspirasi lambang atau simbol perpaduan dan penyatuan masyarakat plural di negara kita.

Tindakan menghina, mempersenda, mengeji, mencemar, mencampur aduk, mengubah rentak atau lirik dan sebagainya secara sedar ataupun tidak dalam apa jua keadaan adalah dilarang dan pelaku kesalahan tersebut boleh ditangkap serta didakwa di mahkamah untuk diadili sewajarnya.

Sejak kewujudan akta berkenaan, kita jarang mendengar insiden-insiden menghina dan mempersenda lagu kebangsaan sehinggalah pendedahan kes seorang warganegara Malaysia sendiri, Wee Meng Chee, yang merupakan pelajar di sebuah universiti luar negara tanpa segan silu dan rasa bersalah bertindak melakukan perkara terkutuk sedemikian.

Beliau yang turut dikenali sebagai Namewee telah mencipta satu klip video yang memperlekehkan lagu kebangsaan dengan memberi nafas baru Negarakuku di laman web YouTube. Lagu berkenaan telah secara jelas menghina kerajaan Malaysia, orang Melayu, pasukan polis, agama Islam dan sebagainya. Impaknya lagu tersebut telah ditonton oleh hampir 500,000 pengunjung laman internet di seluruh dunia.

Terbaru lagu tersebut telahpun dipasarkan kepada orang ramai oleh sebuah syarikat yang tidak bertanggungjawab dalam bentuk cakera padat (CD) dengan harga RM7.00 sahaja beserta sebuah lagi lagu bonus ciptaan Namewee bertajuk Kawanku/My Friends yang turut menghina dan memperlekehkan kerajaan dan masyarakat Melayu.

Walaupun beliau dikatakan telah insaf dan mengakui kesalahan beliau serta telah memohon maaf secara terbuka kepada negara, namun kesalahan tetap kesalahan dan undang-undang yang ada perlu dilaksanakan sebagai pengajaran kepada semua rakyat Malaysia. Kesalahan beliau adalah serius dan tidak boleh dimaafkan di sisi undang-undang negara.

Perdana Menteri sendiri menyatakan bahawa kes beliau akan dibawa kemuka pengadilan tanpa sebarang prejudis. Beliau perlu melalui proses undang-undang sedia ada. Polis dan Pejabat Peguam Negara sedang meneliti kes ini. Sekiranya beliau didapati bersalah, biar mahkamah sahaja yang menentukan bentuk hukuman yang wajar lagi adil kepada beliau.

Menurut Seksyen 8 (1) Akta Lagu Kebangsaan 1968, rakyat Malaysia hendaklah menunjukkan rasa hormat, sayang dan mencintai lagu kebangsaan dan dikehendaki berdiri apabila lagu Negaraku dinyanyikan pada bila-bila masa dan di mana jua.

Seksyen 8 (2) pula menegaskan bentuk hukuman kepada sesiapa yang ingkar dan tidak menunjukkan rasa hormat kepada lagu Negaraku, di mana seseorang itu boleh didenda tidak melebihi RM100.00 atau penjara tidak melebihi satu (1) bulan sekiranya di dapati bersalah oleh mahkamah.

Manakala Seksyen 8 (3) pula dengan jelas menerangkan apa sahaja perlakuan yang boleh membawa dan menjurus kepada merendahkan prestij lagu kebangsaan pada pandangan masyarakat awam adalah dianggap sebagai tindakan tidak menghormati lagu berkenaan.

Lebih menarik lagi Seksyen 9 Akta berkenaan memberi kuasa penuh kepada pihak Polis untuk menangkap sesiapa sahaja yang didapati melakukan kesalahan di bawah Seksyen 8 Akta berkenaan tanpa sebarang waran melainkan sekiranya beliau memberi akujanji bahawa beliau akan menjawab segala saman dan proseding yang akan dilaksanakan ke atas beliau kelak.

Walaupun bentuk hukuman dan denda di bawah akta tersebut amat ringan dan tidak menjadi masalah kepada pelaku kesalahan untuk melunaskannya, namun ini bukan lesen besar untuk seseorang itu bertindak menghina dan mempersendakan lagu kebangsaan negara kita. Mungkin akta tersebut perlu dipinda sewajarnya agar bentuk hukuman dan denda yang lebih berat dan menakutkan dikenakan sebagai alternatif menghalang tindakan menghina lagu Negaraku berleluasa dan dipandang mudah oleh sesetengah orang.

Tambahan pula negara sedang berdepan dengan kecanggihan global ICT dan serangan internet yang membolehkan sesiapa sahaja tanpa halangan merosak, mencemar, menjejaskan imej dan integriti lagu kebangsaan negara kita di mana-mana saja dan pada bila-bila masa.

Oleh itu, semangat cinta, sayang dan hormat kepada lagu kebangsaan adalah penting umpama kasih dan mempertahankan negara. Ini perlu dipupuk sejak kecil agar kita tidak melahirkan seorang lagi seorang Meng Chee di negara kita. Kerajaan, ibu bapa, guru-guru, media dan semua pihak hendaklah berperanan menanam serta membajai semangat patriotisme dan kecintaan tersebut agar ianya terus tersemat di hati dan sanubari generasi muda di negara kita.


RUJUKAN


Akta Lagu Kebangsaan 1968 (Akta 390)

"Negaraku: Meng Chee Mohon Maaf", Utusan Malaysia, 10 Ogos 2007
"Meng Chee Boleh Didakwa", Utusan Malaysia, 17 Ogos 2007
"Meng Chee Perlu Hadapi Proses Perundangan", Utusan Malaysia, 17 Ogos 2007
"Penjualan CD Lagu Meng Chee ke Kabinet", Berita Minggu, 19 Ogos 2007

Comments

Popular Posts