MENILAI SEMULA COMMON LAW

Polemik keperluan dan kerelevanan adaptasi undang-undang Common Law (undang-undang lazim) yang berasal dari England di negara kita serta saranan menukar kiblat baru sistem perundangan Malaysia kepada undang-undang syariah yang lebih komprehensif dan holistik semakin hangat diperkatakan.

Isu ini telah lama diperdebatkan dan kembali segar apabila Ketua Hakim Negara mencadangkan agar rujukan kepada undang-undang common law dimansuhkan dan diberi nafas baru yang mampu memberikan impak maksimum kepada sistem perundangan negara.

Cadangan ini telah mendapat respon yang pelbagai termasuk Peguam Negara, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Perdana Menteri sendiri. Bagi Peguam Negara, prinsip keadilan undang-undang Syariah adalah yang terbaik dan kompeten bagi melengkapkan sistem dan prasarana perundangan sedia ada di samping mengambil kira prinsip-prinsip kebudayaan, cara hidup dan adat seperti yang diamalkan di Sabah dan Sarawak.

Langkah dan momentum positif ini juga boleh dilaksanakan secara tadrij atau berperingkat-peringkat menerusi kajian teliti melibatkan pelbagai aspek perundangan di negara kita. Ini lebih menepati saranan Perdana Menteri agar reformasi ini dilaksanakan secara teliti, berhati-hati dan tidak tergesa-gesa merealisasikannya bagi memastikan keadilan terlaksana.

Namun begitu, di dalam keghairahan kita menilai semula sumbangan undang-undang common law dalam sistem perundangan di negara kita, sudah terdengar suara-suara sumbang dan gendang dipalu membangkang dan mengecam cadangan berkenaan termasuklah Majlis Peguam, parti-parti politik dan sebahagian besar NGO perdana.

Cadangan ke arah reformasi undang-undang ini dianggap sebagai kolot, langkah terkebelakang, melakukan pusingan U, tidak sensitif, bias serta tidak berlandaskan keadilan dan menghormati keluhuran undang negara dan sebagainya. Situasi ini berlaku kerana mereka terkeliru dalam membezakan antara aplikasi Syariah secara holistik dengan segmen undang-undang Hudud.

Lebih malang lagi sudah terdapat nada-nada kecewa, marah dan tidak patriotik untuk berhijrah ke negara lain ( yang didakwa lebih demokratik dan adil ), sekiranya cadangan ini direalisasikankan di dalam sistem perundangan negara. Persoalan yang timbul ialah di mana status kesetiaan mereka kepada negara ini sehingga mereka tergamak migrasi ke negara luar.

Benarkah sistem perundangan Malaysia menjadi tidak demokratik dan adil sekiranya common law dinilai semula?

Kita tidak menafikan di era globalisasi, kewajaran undang-undang common law membolehkan sistem perundangan negara membuat penilaian dan keserasian undang-undang yang ditadbir di England dan negara-negara Komanwel lain untuk dijadikan asas ikutan dan teladan undang-undang domestik seperti undang-undang siber, komersial, perbankan, harta intelek, perkapalan, perdagangan dan sebagainya.

Ianya juga mewujudkan keharmonian undang-undang selagi wujudnya lakuna atau kekosongan di dalam undang-undang tempatan, di mana undang-undang common law boleh membantu dan prinsipnya dijadikan asas penambahbaikan undang-undang yang ditadbir di dalam negara dan memacu inovasi sistem kehakiman negara apabila keadaan memerlukan.

Seksyen 3 dan 5 Akta Undang-Undang Sivil 1956 membenarkan norma-norma atau amalan-amalan biasa serta prinsip-prinsip lain selaras dengan Perlembagaan Persekutuan 1957 diaplikasikan di dalam perundangan negara.

Menurut almarhum Profesor Ahmad Ibrahim dan Ahilemah Joned dalam magnum opus mereka The Malaysian Legal System (1987), prinsip undang-undang common law dan ekuiti ini dirujuk seperti yang ditadbir di England pada 7 April 1956 bagi Malaysia Barat dan di Sabah pula seperti yang ditadbirkan pada 1 Disember 1951, manakala di Sarawak seperti yang dikuatkuasa dan dilaksanakan di England pada 12 Disember 1956.

Pemakaian prinsip ini hanyalah sekiranya ketiadaan statut tempatan dan kesesuaian dengan kegunaan tempatan dengan merujuk kepada kes Mokhtar lwn. Arumugam [1957] MLJ 232 dan Ong Gan Hua lwn. Chong [1963] MLJ 6.

Sebaliknya dalam kes Lee Kee Choong lwn. Empat No. Ekor (N.S) [1976] 2 MLJ 93 telah diputuskan bahawa Seksyen 3 Akta Undang-Undang Sivil 1956 menunjukkan bahawa undang-undang Inggeris terpakai setakat pada tarikh penguatkuasaan Ordinan sahaja. Apa-apa perkembangan terkemudian selepas itu tidak terpakai.

Walau bagaimanapun, dalam kes Commonwealth of Australia lwn. Midford (M) Sdn. Bhd. [1990] 1 MLJ 475, mahkamah memutuskan bahawa Common Law selepas tarikh 7 April 1956 adalah terpakai di Malaysia sekiranya undang-undang itu merupakan perkembangan dari undang-undang yang sedia ada berkuatkuasa pada 7 April 1956.

Oleh yang demikian, para hakim, peguam dan pakar undang-undang boleh menjejaki serta mengikuti perkembangan dan kemajuan undang-undang common law di negara lain untuk dijadikan hujah dan sandaran undang-undang di mahkamah sekiranya kes tersebut masih baru di dalam negara dan telahpun dibicarakan di luar negara, maka prinsip dan semangat itu boleh dikemukakan sebagai elemen pembinaan, pemantapan serta penstrukturan undang-undang negara.

Sebagai contoh kes-kes yang diputuskan di negara-negara Komanwel berkenaan undang-undang siber seperti fitnah dan hasutan di arena internet, email, blog, portal dan sebagainya; transaksi digital kewangan di dalam sistem perbankan elektronik; jenayah siber; pertikaian undang-undang antarabangsa; undang-undang hak asasi manusia dan lain-lain boleh dijadikan asas undang-undang di negara kita.

Ini adalah kerana perkara ini telah diputuskan lebih awal di negara-negara seperti Australia, England dan sebagainya, memandu undang-undang domestik secara persuasive dan bukannya bersifat mengikat.

Persefahaman ini menjadikan undang-undang negara lebih terbuka, toleran dan bersikap menghormati keluhuran undang-undang negara lain dibentuk serta wujudnya kerjasama dan perkongsian pintar perundangan antara negara-negara serantau. Ini dapat meningkatkan lagi prestasi dan potensi sistem perundangan dan keadilan serta melahirkan penyeragaman undang-undang yang lebih fleksibel dan autoritatif.

Namun begitu setelah 50 tahun negara merdeka, maka sudah tiba masanya sistem perundangan dan keadilan negara dirombak di mana undang-undang common law dan ekuiti yang sejak kian lama dipatuhi, mengikat, mentadbir dan mengatur sistem perundangan kita dimansuhkan.

Namun begitu seperti mana pesanan Perdana Menteri agar sebarang cadangan pemansuhan common law dan ekuiti memerlukan penelitian yang menyeluruh.

Evolusi undang-undang negara perlulah mempunyai identiti dan personaliti tersendiri dengan tidak terlalu berkiblatkan undang-undang common law yang telah sekian lama dipatuhi. Sistem perundangan negara hendaklah ditadbir mengikut norma-norma dan prinsip-prinsip keadilan di negara kita, yang memungkinkan undang-undang Islam yang progresif, komprehensif, sistematik dan adil dijadikan teras dan asas perundangan negara.

Ini bagi mengelakkan agar kita terus berada di bawah telunjuk Barat dan sekutunya serta mengagungkan warisan peninggalan mereka. Kita perlu keluar dari kepompong perundangan ini dan sedia menilai semula prinsip dan amalan common law, diganti dengan olahan, garapan, prinsip, pengalaman, kebijaksanaan dan anjakan paradigma perundangan kita yang tersendiri.

Golongan minoriti tidak perlu bimbang, risau dan takut dengan langkah pemantapan, penyeragaman dan penambahbaikan ini. Untuk itu usaha penerangan, kefahaman, bimbingan dan kerjasama semua pihak hendaklah dipertingkatkan.

Penerusan mengaplikasi perundangan common law dan ekuiti oleh pengamal undang-undang di negara kita menggambarkan ketandusan minda, rendahnya nilai kreativiti dan inovasi, seolah-olah kredibiliti dan justifikasi mereka masih lagi dijajah walaupun kita sudah 50 tahun merdeka.

Ini adalah cabaran yang wajar ditangani dengan penuh komitmen, integriti dan menuntut keseriusan semua pihak.

Oleh yang demikian, bagi mengelak situasi umpama 'katak di bawah tempurung penjajah' maka saranan dan cadangan agar pengamal undang-undang dan pakar-pakar perundangan negara perlu bekerjasama mewujudkan integrasi sistem perundangan yang lebih adil, relevan, berkualiti dan sesuai dengan keadaan semasa, tanpa mengenepikan hak-hak dan kepentingan kaum minoriti lain.


RUJUKAN


Ahmad Ibrahim dan Ahilemah Joned, 1987. The Malaysian Legal System. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Harlina Mohamed On, et. al, 2000. Prinsip Undang-Undang Perniagaan di Malaysia. Selangor: Kumpulan Usahawan Muslim Sdn. Bhd.

"Mansuh Common Law - Ketua Hakim Negara Mahu Perundangan Lapuk Inggeris Diganti", Utusan Malaysia, 22 Ogos 2007
"Penerapan Syariah Ganti Common Law", Utusan Malaysia, 24 Ogos 2007
"Undang-Undang Syariah Terbaik - Gani", Utusan Malaysia, 23 Ogos 2007
"Pemansuhan Common Law Perlu Dihalusi", Mingguan Malaysia, 26 Ogos 2007

Laman web Majlis Peguam : (www.malaysianbar.org.my/)

Comments

Popular Posts