Wednesday, August 29, 2007

UNIVERSITI APEX LAMBANG KECEMERLANGAN

Pengumuman penubuhan Universiti Apex sebagai mercu tanda dunia intelektual, agen transformasi institusi pendidikan tinggi (IPT) dan medan penjanaan modal insan berkualiti, berpendidikan, kreatif, inovatif, progresif dan kritis di negara kita, amatlah dialu-alukan.

Perdana Menteri ketika mengumumkan Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara Melangkaui Tahun 2020 (PSPTNMT 2020), menggariskan tiga langkah khas iaitu meningkatkan tadbir urus sendiri di kalangan IPT awam yang akan dilaksanakan serta merta; melaksanakan audit prestasi akademik ke atas semua IPT awam dan swasta; dan memperkenalkan status Universiti Apex di kalangan universiti tempatan.

Bagi menjayakan misi akademik strategik ini maka tadbir urus IPT, lembaga pengarah kolej dan universiti awam akan diberikan kuasa autonomi melakukan perubahan dalam bidang akademik, ekonomi dan sosial universiti selaras dengan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971. Kuasa autonomi ini turut meliputi segi kewangan, penyelidikan dan pembangunan (R&D), skim perkhidmatan, pengurusan, pengambilan pelajar, kepimpinan tertinggi dan penetapan yuran pengajian.

Kementerian Pengajian Tinggi akan membahagikan universiti awam dan swasta kepada tiga kluster iaitu Universiti Apex, Universiti Elit dan Universiti Kompetitif sepanjang tempoh Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) yang akan berakhir pada 2011. Sistem kluster ini membolehkan perluasan akses dan meningkatkan ekuiti, menambah baik kualiti pengajaran dan pembelajaran, memperteguhkan penyelidikan dan inovasi, memperkasa IPT, mempergiat pengantarabangsaan, membudayakan pembelajaran sepanjang hayat dan mengukuhkan sistem penyampaian kementerian.

Menurut Zaini Ujang (1993), universiti terawal di Eropah atau dunia Barat keseluruhannya dibina di Bologna, Itali sekitar tahun 1088. Namun begitu, universiti moden dalam pengertian sebuah institusi pengajian tinggi dari segi fungsi, institusi dan asosiasi, bermula di Jerman iaitu Universiti Halle pada 1694. Ketika itu Universiti Harvard yang mula dibina pada 1636 dan Universiti Yale pada tahun 1701, masih pada status kolej.

Dari perspektif tradisi intelektual Islam pula, gagasan universiti bermula dengan penubuhan institusi al-Azhar di Kaherah, Mesir oleh Dinasti Fatimiyyah dan Madrasah Nizamiyyah di Baghdad oleh Nizamul Mulk pada tahun 1067. Universiti al-Azhar diiktiraf sebagai universiti pertama dan tertua di dunia yang telah melahirkan ribuan tokoh intelektual ulung dunia serta memberikan impak positif dan maksimum kepada dunia intelektual global.

Sesuatu yang menarik telah digambarkan oleh Profesor Muhammad Kamal Hasan dalam buku Universiti: Mendukung Tradisi Intelektual (1993), tentang universiti yang boleh dijadikan panduan dan teladan. Menurut beliau universiti tidak sepatutnya berfungsi seperti sebuah kilang yang mencetak diploma atau ijazah en masse atau secara massa.

Universiti kadang-kadang kelihatan seperti 'kafetaria ilmu' tanpa hierarki nilai yang meletakkan ilmu-ilmu tertentu sebagai lebih tinggi daripada ilmu lain. Dalam suatu kafetaria, makanan itu diletakkan sama rata. Ikan kering dan ayam golek diletakkan di tempat sama, cuma harganya saja lain-lain.

Universiti seolah-olah tidak menganjurkan kita mengambil makanan berzat, semuanya terpulang kepada selera masing-masing. Universiti kelihatan sebagai sebuah pusat penyelidikan dan kadang-kadang sebagai arena pertentangan ideologi dan pertentangan kepentingan peribadi dan ras.

Oleh kerana universiti berperanan sebagai 'kafetaria ilmu' atau 'kilang mencetak ijazah' dan komponen-komponen di dalam universiti itu tidak diikat oleh visi yang tinggi, maka hasil daripada produk universiti ialah teknokrat, profesional, guru, pengurus, pemimpin politik, peguam, sasterawan, oportunis yang memiliki kemahiran tetapi belum mempunyai akhlak yang mulia atau adab yang tinggi.

Manakala pada hemat Profesor Syed Muhammad Naguib al-Attas pula "universiti bukan hanya bangunannya, bukan hanya kenyataan zahirnya. Sesungguhnya, dalam sejarah universiti mana pun, pengajar-pengajar atau guru-gurunya dan yang belajar daripada mereka adalah unsur utama kewujudan universiti. Jadi cemerlang atau tidak universiti itu bergantung pada ilmu pengetahuan dan pengenalan yang ada pada diri guru-gurunya masing-masing. Sekiranya ilmu yang ada pada guru itu tidak betul-betul matang serta mendalam, maka tentu sahaja taraf universiti itu tidak akan cemerlang".

Bagi mengatasi situasi genting ini maka pemilihan pihak pengurusan tertinggi Universiti Apex akan dibuat berdasarkan kepada merit sama ada calon dalam atau luar negara. Persoalannya ialah adakah kita bersedia untuk menerima orang luar sebagai pemimpin tertinggi universiti? Tidak mustahil juga tokoh pendidik bertaraf dunia dari universiti ternama seperti Universiti Cambridge, Oxford, Yale atau Harvard akan menerajui Universiti Apex sebagai Naib Canselor, atau adakah kita akan menetapkan hanya calon Bumiputra atau warganegara Malaysia sahaja seperti yang dilaksanakan sekarang?

Hakikatnya juga yang akan berlaku ialah penghijrahan dan kebanjiran secara besar-besaran para sarjana dan ilmuan dunia ke negara kita, jika Universiti Apex berjaya direalisasikan. Keadaan ini berlaku kerana sudah tentu Universiti Apex akan menawarkan pakej yang menarik dan kompetitif untuk menarik lebih ramai tokoh intelektual dunia ke situ. Masalah lain yang akan timbul pula ialah di mana pula tempat dan nasib sarjana dan ilmuan tempatan, jika kerusi intelektual ini diisi oleh orang luar.

Jika sebelum ini universiti-universiti di negara kita berlumba-lumba mengejar status MSC dan ISO yang begitu dibanggakan, maka selepas ini kita akan melihat bagaimana universiti ini akan berusaha pula menggenggam status Universiti Apex, Elit ataupun Kompetitif. Kewujudan universiti kluster ini memberi keuntungan dan akan memudahkan para pelajar dalam dan luar negara memilih universiti yang mereka berminat menyambung pelajaran mereka.

Sudah tentu Universiti Apex akan menjadi pilihan utama para pelajar agar mereka mendapat pendidikan yang berkualiti, holistik, komprehensif dan berbaloi dengan kos yang dikeluarkan. Persoalannya apa terjadi kepada universiti yang tercorot dan kurang daya saing serta simpanan dana dan pentadbiran yang lemah?

Kemungkinan juga AUKU 1971 perlu dipinda isi kandungannya agar ianya lebih relevan, segar, moden dan bersifat global memandangkan status Universiti Apex adalah berautonomi dan bebas mengurus, merencana serta mentadbir struktur pengurusan dan akademiknya sendiri. Di samping itu, mahasiswa yang merupakan produk dan entiti utama universiti perlu diberikan peluang dan ruang yang lebih adil, proaktif dan dinamis agar mereka tidak seperti "katak di bawah tempurung intelektual" atau terperangkap di dalam "sangkar kesarjanaan" ciptaan universiti.


RUJUKAN


Zaini Ujang, 1993. Universiti: Mendukung Tradisi Intelektual. Kuala Lumpur: IKD

"Transformasi Universiti", Utusan Malaysia, 28 Ogos 2007
"Universiti Apex Bebas Tambah Pensyarah Asing", Utusan Malaysia, 29 Ogos 2007

No comments: