Wednesday, September 26, 2007

10 WANITA TERKAYA DI DUNIA

Kita seringkali didedahkan dengan senarai manusia terkaya di dunia yang majoritinya terdiri daripada kaum lelaki sahaja. Namun begitu kita jarangkali dihebahkan dengan kewujudan kelompok wanita terkaya di dunia.

Walaupun mereka tidak tersenarai di kalangan 10 manusia terkaya di dunia, namun kemunculan kumpulan 10 wanita terkaya di dunia mampu memberikan saingan hebat kepada dominasi kaum lelaki sebagai kelompok manusia paling kaya di dunia selama ini.

Menurut majalah Forbes, antara yang tersenarai di dalam kedudukan 10 wanita dan antara manusia terkaya di dunia ialah:


1. LILIANE BETTENCOURT


Pada usia emas 83 tahun, Puan Bettencourt adalah wanita terkaya di dunia dan di negara asalnya Perancis. Menurut majalah Forbes, beliau berada di kedudukan ke-15 di dalam senarai manusia terkaya di dunia secara keseluruhannya. Beliau mewarisi harta bernilai AS$20.7 bilion melalui firma konglomerat keluarganya, L'Oreal. Beliau adalah satu-satunya anak perempuan kepada pengasas L'Oreal iaitu Eugene Schueller dan memegang saham terbesar di dalam industri kosmetik dan kecantikan terbesar di dunia ini.

2. CHRISTY WALTON

Beliau merupakan wanita terkaya di dunia dan manusia yang ke-17 terkaya di dunia. Christy yang kini berusia 51 tahun adalah janda kepada John Walton iaitu pewaris tunggal pasaraya Wal-Mart yang meninggal dunia pada 2005 dalam satu nahas kapal terbang. Beliau dan anak lelaki beliau, Luke telah mewarisi harta bernilai $16.7 bilion dari gergasi peruncitan Amerika Syarikat (AS) yang diasaskan oleh Sam Walton pada 1962 dan menjadi konglomerat utama pada 1970. Wal-Mart adalah syarikat peruncitan terbesar di dunia dengan jumlah rangkaian mencecah 5,100 stor yang menyediakan perkhidmatan runcit kepada 138 juta pelanggan seminggu dan jumlah jualan meningkat kepada $285 bilion.

3. ALICE WALTON

Alice yang berusia 56 tahun merupakan kakak kepada John Walton dan mewarisi kekayaan sebanyak $16.6 bilion yang menjadikan beliau sebagai wanita ketiga terkaya di dunia. Senarai manusia terkaya pula, beliau berada di kedudukan yang ke-20. Graduan dari Universiti Trinity dan menetap di Mineral Wells, Texas. Kini beliau menghabis masa dan hayat beliau melaksanakan kerja-kerja kebajikan melalui yayasan yang dikenali sebagai Walton Family Foundation.

4. HELEN WALTON

Wanita keempat terkaya di dunia ini kini berusia 86 tahun adalah ibu kepada John Walton dan janda kepada Sam Walton iaitu pengasas Wal-Mart. Kekayan beliau mencecah $16.4 bilion dan meletakkan beliau sebagai manusia yang ke-29 terkaya di dunia. Anak-anak beliau yang lain ialah S. Robson Walton (Rob), John T. Walton (meninggal pada tahun 2005) dan Jim Walton. Walaupun mempunyai kepentingan di dalam syarikat tetapi beliau tidak lagi bergerak aktif di dalamnya.

5. ABIGAIL JOHNSON

Beliau adalah pewaris dan pemilik syarikat pengurusan dana pelaburan terbesar di AS iaitu Fidelity Investments yang diasaskan pada tahun 1946 dengan nilai kekayaan beliau mencecah $13 bilion. Beliau yang berusia 46 tahun adalah lulusan MBA dari Universiti Harvard. Wanita waja yang merupakan manusia ke-28 terkaya di dunia ini adalah contoh ahli korporat paling komited dan dedikasi dengan kerjaya beliau serta menjadi model kepada ahli perniagaan dunia.

6. BARBARA COX ANTHONY

Berusia 82 tahun dan kini mewarisi harta kekayaan bernilai $12.6 bilion dari peneraju industri media terkenal dunia iaitu Cox Enterprises. Empayar media yang dibina bapa beliau, James Cox termasuklah 17 syarikat surat khabar, 15 stesen TV, 79 stesen radio dan juga sitem kabel. Beliau juga mengemudi syarikat kereta seperti Manheim Auctions dan AutoTrader.com yang menjadi syarikat kereta terpakai utama di AS. Pada tahun 2006, beliau bersama kakaknya Anne Cox Chambers telah mengambil alih Cox Communications dengan nilaian jualan mencecah $8 bilion. Beliau juga adalah manusia yang ke-45 terkaya di dunia.

7. ANNE COX CHAMBERS

Jutawan media ini adalah kakak kepada Barbara Cox Anthony yang kini berusia 86 tahun. Kekayaan yang diwarisi dan dimilikinya yang bernilai $12.6 bilion menjadikan beliau manusia yang ke-45 terkaya di dunia serta wanita keenam terkaya di AS. Pernah menjadi duta AS ke Belgium dari tahun 1977 hingga 1981 ketika di bawah pemerintahan Presiden Jimmy Carter. Beliau banyak menghabiskan masa dan kekayaan beliau dengan kerja-kerja kebajikan serta aktif menyumbang dana kepada Parti Demokratik AS.

8. BIRGIT RAUSING

Nilai kekayaan beliau mencecah $11 bilion dan mewarisi serta pemilik Tetra Laval yang diasaskan oleh bapa mertua beliau pada 1944. Beliau yang kini tinggal di Switzerland adalah wanita ke-8 terkaya di dunia dan manusia ke-55 terkaya di dunia. Tetra Laval mempunyai aset yang bernilai $12.5 bilion yang kini diuruskan oleh tiga anaknya iaitu Jorn, Kirsten dan Finn. Syarikat ini turut terlibat di dalam kerja-kerja kebajikan dan penyelidikan terutamanya di dalam Swedish R.R Institute of Applied Economics.

9. JACQUELINE MARS

Cucu kepada jutawan coklat Frank dan Ethel Mars ini memiliki nilaian kekayaan berjumlah $10.5 bilion. Syarikat beliau cukup terkenal dan sinonim dengan jenama coklat seperti Snickers, Milky Way, 3 Musketeers, Twix, M&Ms, Skittles dan banyak lagi. Syarikat ini juga turut terlibat di dalam dunia pengeluaran makanan segera seperti Uncle Ben's Rice serta industri makanan segera binatang seperti Whiskas dan Pedigree. Di samping itu juga syarikat juga terlibat di dalam industri berat dan elektronik. Kini beliau ialah wanita ke-9 terkaya dan menjadi manusia ke-58 terkaya di dunia.

10. SUSANNE KLATTEN

Kekayaan beliau mencecah $9.6 bilion diwarisi dari pembuat kereta dunia iaitu BMW dan juga 50% kepentingan di dalam industri farmasitikal dan kimia di Altana. Antara produk yang cukup terkenal ialah penawar ulser Pantoprazol yang nilai jualannya mencecah $6 bilion di seluruh dunia. Beliau berkelulusan MBA dan merupakan ahli ekonomi bertauliah. Beliau yang merupakan wanita ke-10 terkaya dan manusia ke-68 terkaya di dunia.

Di samping mereka terdapat beberapa lagi wanita kental yang boleh dikategorikan sebagai antara wanita dan manusia terkaya di dunia seperti Sussanne Klatten, Chritina Green, Oprah Winfrey, Athina Onassis, Ratu Elizabeth, JK Rowling dan ramai lagi. Rata-ratanya dimonopoli oleh wanita Barat.

Kejayaan dan kegemilangan membina karier dan empayar perniagaan mereka perlu dijadikan inspirasi dan aspirasi kepada wanita Asia dan terutamanya seluruh wanita di Malaysia untuk turut serta menjejaki langkah gemilang kelompok wanita cemerlang ini.

RUJUKAN

Sarah Modlock (2007) The 10 Richest Women in the World (http://money.uk.msn.com)
A. Lewis (2007) 10 Richest Women in the World (http://ephosting.com)

JADIKAN AL-QURAN TEMAN SETIA RAMADHAN

Sebahagian besar dari kalangan kita kebiasaannya memperuntukkan masa sekurang-kurangnya selama 20 sehingga 30 minit membaca akhbar utama tempatan atau bahan bacaan lain sehari.

Namun begitu berapa ramai yang memperuntukkan masa yang sama untuk membaca al-Quran atau sekurang-kurang menyentuh dan menatapnya?

Kadang-kadang timbul rasa rugi, terlepas berita penting atau menyesal kerana tidak sempat membaca akhbar atau bahan bacaan yang diminati.

Namun begitu berapa ramaikah yang turut merasai perasaan sedemikian jika tidak membaca al-Quran walaupun sehalaman sehari?

Untuk itu setiap individu Muslim sewajarnya mempunyai senaskhah al-Quran peribadi atau sekurang-kurangnya untuk ditempatkan di bilik tidur, ruang pejabat, kenderaan, premis perniagaan dan sebagainya bagi memudahkan urusan membacanya.

Bagi yang memiliki capaian internet menjadi lebih mudah kerana terdapat banyak laman yang menyedia rujukan Al-Quran dan terjemahan secara online yang boleh diakses pada bila-bila masa dan di mana jua.

Kemudahan ini merupakan alat bantu paling berkesan bagi mempelajari dan mendalami Al-Quran, memperkukuh teknik bacaan yang betul, berguru kaedah ilmu tajwid dan tarannum dan sebagainya di samping kaedah sedia ada iaitu berguru dengan para ustaz dan ustazah.

Kini sudah tiada lagi alasan untuk tidak membaca Al-Quran.

Ini adalah kerana ramai yang mampu membeli pakaian berjenama, alat mekap dan minyak wangi yang mahal atau sekeping DVD yang nilainya mencecah puluhan ringgit.

Tetapi masih ada yang tidak mampu membeli senaskhah al-Quran beserta terjemahan yang berharganya antara RM20-RM30 sahaja.

Seperti yang diakui, Al-Quran adalah kitab mukjizat yang komprehensif, informatif dan futuris, penuh dengan segala rahmat, berkat serta penawar kepada seluruh umat Islam melalui perantaraan Nabi Muhammad s.a.w sejak lebih 1400 tahun yang lalu.

Mungkin ada yang terkejut dan tidak menyangka terdapat banyak ayat al-Quran yang menyebut secara detail berkenaan korpus sains, fizik, kimia, biologi, teknologi, geologi, ICT dan sebagainya.

Pepatah Melayu ada menyebut "tak kenal maka tak cinta" amat tepat sekiranya ada di kalangan kita yang masih meragui kenyataan berkenaan atau tertanya-tanya benarkah Al-Quran mempunyai keterangan-keterangan sedemikian.

Biarpun begitu, membaca al-Quran sahaja tanpa memahami pengertian dan maksud tersirat serta tersurat di dalamnya tidak memberi impak maksimum kepada kehidupan selain sekadar beroleh pahala sahaja.

Memandangkan Al-Quran begitu sinonim dengan penghayatan ihya Ramadhan iaitu bulan yang diturunkan Al-Quran maka wajarlah Al-Quran dijadikan teman setia sepanjang menjalani ibadah puasa.

Al-Quran boleh dibaca ketika waktu rehat pejabat, ketika menunggu dan di dalam kapal terbang, bas, keretapi, LRT, komuter dan sebagainya.

Jika sebelum ini ramai yang selesa membaca akhbar, novel, komik, majalah dan sebagainya, mungkin dapat diubah kepada membaca Al-Quran dan memahami maknanya.

Kini terdapat banyak hotel dan pusat peranginan yang turut menyediakan kemudahan Al-Quran kepada pelanggan mereka.

Di samping itu, banyak NGO yang bergiat aktif mempromosikan wakaf Al-Quran yang sewajarnya mendapat sokongan semua pihak.

Oleh yang demikian, sempena sambutan Nuzul Quran yang mulia ini, marilah kita semua kembali semula kepada induk al-Quran dengan membaca sebanyak-banyaknya; menelaah dan membuat kajian ilmiah kandungannya; mencari jawapan dan pedoman yang terbenam di dadanya; dan mempraktikkan dan menyampaikan segala isi kandungan dan petunjuk di dalamnya.

Semoga dengan keberkatan dan karamah Ramadhan menjadikan umat Islam terus 'melekat' dengan ajaran Al-Quran sepanjang hidup mereka.

Friday, September 21, 2007

PERJUANGAN BAHASA TUN SYED NASIR

Tokoh pejuang bahasa negara almarhum Tun Syed Nasir pernah melafazkan "Beratus-ratus tahun lamanya bahasa Melayu (Malaysia) menjadi senjata kebangsaan (yang dahulunya tajam dan sakti) tetapi telah dibiarkan tergantung sahaja di dinding, menjadi hiasan. Di dinding itulah senjata ini berkarat dan berlapuk, tidak seindah dahulu dan tidak pula diperdulikan.

Bagaimanapun, kesaktiannya masih ada dan kesaktiannya itulah yang kita banggakan sebagai azimat yang tidak digunakan. Kita sendiri, pahlawan-pahlawan bangsa telah lama menjadi lemah dan lesu, tidak tahu menggunakan senjata yang sakti itu.

Seluruh rakyat memandang bahasa Malaysia itu hanya sebagai barang simpanan yang dipuja-puja. Orang yang mendapat senjata baru iaitu bahasa Inggeris, memandang bahasa Malaysia, senjata sakti bangsanya itu, sebagai barang mainan yang tidak berharga". (Koleksi Ucapan Tun Syed Nasir, 1996. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, halaman 178)

Merujuk kepada kalimah dan wasiat agung Tun Syed Nasir tersebut dapatlah difahami bahawa semenjak kita mencapai kemerdekaan dan menjadi tuan di negara kita sendiri, kita sebenarnya memerlukan senjata itu semula tetapi bukan sebagai barang perhiasan dan barang permainan lagi.

Kita memerlukannya sebagai senjata yang boleh menjamin kehidupan kita sebagai satu bangsa yang bersatu padu, kuat dan dihormati oleh masyarakat dunia.

Dalam buku Koleksi Ucapan Tun Syed Nasir (1996) merekodkan almarhum Tun dilahirkan di Batu Pahat, Johor pada 7 Mac 1921. Beliau menerima pendidikan awal di sekolah Inggeris kerajaan di Batu Pahat dan kemudian mengikuti latihan penolong nazir di Maktab Perguruan Sultan Idris (MPSI) Tanjung Malim dan di Kuala Kangsar.

Beliau mula berkhidmat dengan Pejabat Pelajaran Johor sebagai penolong nazir sekolah-sekolah Melayu di Batu Pahat, dari tahun 1942 hingga tahun 1949. Antara tahun 1949 hingga 1955, beliau telah berkhidmat sebagai nazir sekolah Melayu negeri Johor dan mulai bulan Februauri 1956, beliau menyandang jawatan Pegawai Pelajaran Melayu Persekutuan.

Beliau kemudian telah dilantik menjadi Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada tahun 1957, menggantikan tempat Profesor Diraja Ungku Aziz.

Sewaktu menerajui DBP, beliau telah mengetuai rombongan Malaysia ke Indonesia untuk menghadiri pertemuan penyamaan ejaan Malaya-Indonesia. Beliau juga pengasas gerakan Bulan Bahasa Kebangsaan (BBK).

Dalam memperluaskan penggunaan bahasa Melayu dalam bidang ekonomi, sosial dan kebudayaan, beliau mewakili DBP ke mesyuarat penerbitan buku anjuran UNESCO di New Delhi, Rangoon, Jepun dan Amerika Syarikat.

Sebagai tokoh pejuang bahasa kebangsaan, beliau telah dianugerahi Ijazah Kehormat Doktor Persuratan oleh Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada bulan Jun 1978. Beliau telah kembali ke rahmatullah pada 16 Mac 1982.

Menurut Tun pada 31 Ogos 1957, Persekutuan Tanah Melayu telah mencapai kemerdekaan dan orang-orang yang menggubal Perlembagaan Persekutuan ini berpendapat bahasa Malaysia hendaklah dijadikan bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara. Sejak itu bahasa Malaysia dipelajari dan dikaji oleh beberapa buah universiti tersohor di seluruh dunia.

Bagi Tun bahasa Malaysia ialah satu daripada bahasa yang paling mudah dipelajari di dunia ini.

Antara yang berminat mendalami bahasa ini ialah Profesor Mitake Torii dari Universiti Tokyo; Universiti New South Wales Australia, pensyarah bahasa Universiti of Western Australia; McPherson College, Kansas, Amerika Syarikat; Pegawai Perpustakaan Malaya House, London; Pesuruhjaya Tinggi di Canberra, Australia; persatuan penuntut di Victoria dan Melbourne.

Ada juga permintaan dari Persekutuan Penuntut-Penuntut Melayu, Bristol; dari Republik Arab Bersatu dan lain-lain lagi agar diadakan pelajaran bahasa Malaysia melalui gaya pos.

Pada pandangan Tun perkara utama yang harus kita sedari ialah bahasa Malaysia telah dijadikan bahasa kebangsaan bukan kerana hendak memberi keutamaan kepada orang Melayu. Bukan pula tujuannya hendak menghapuskan kebudayaan orang bukan Melayu, warganegara negara ini, yang menumpahkan taat setia mereka kepada negara ini.

Marilah kita tilik sepintas lalu mengapa bahasa Malaysia dijadikan bahasa kebangsaan seperti mana yang selalu ditegaskan oleh Tun.

Bahasa Malaysia ialah bahasa bumiputra yang tumbuh dan berkembang pesat di negara ini, berbeza halnya daripada bahasa-bahasalain yang ada di negara ini. Bahasa Malaysia telah sedia menjadi lingua franca segala bangsa yang datang mencari kehidupan atau tinggal menetap di negara ini.

Sebagai suatu bangsa yang merdeka, kewajipan tiap-tiap orang untuk mengisi kemerdekaan negara kita amat jelas. Satu daripada tanggungjawab kita yang besar ialah dalam lapangan bahasa dan persuratan. Kewajipan ini tidak dapat dibuat oleh dua tiga orang atau oleh satu badan atau satu pihak tertentu sahaja.

Kewajipan ini mestilah disambut oleh seluruh rakyat dengan jiwa yang besar dan penuh insaf.

Bekerja untuk bahasa tiada had masa, tetapi mengambil masa yang lama, puluhan tahun, ratusan tahun atau ribuan tahun, bahkan selama ada hayat bangsa itu sendiri. Oleh sebab itulah kita tidak boleh berasa penat, jemu dan patah hati. Sebaliknya kita mestilah mara dan terus mara.

Menurut Tan Sri Abdul Samad Idris, Tun Syed Nasir seorang yang tegas, berterus terang, tabah dan berani memberi pandangan dengan lantang. Di mana-mana sahaja beliau berhujah, Tun Syed Nasir tidak akan berundur daripada pegangannya "Genggam bara api, biar sampai jadi arang".

Manakala bagi Datuk Hassan Ahmad pula, Tun Syed Nasir bukan hanya seorang birokrat, pegawai kerajaan yang lebih banyak menjalankan kerjanya "menurut perintah", tetapi beliau merupakan pemimpin dan pejuang bahasa. Beliau bekerja tanpa mengira waktu dan penat. Dan beliau berani dan tegas.

Beliau tidak ragu-ragu menegur dan mengkritik sesiapa sahaja, termasuk para menteri, yang dianggapnya tidak memberikan sokongan yang serius terhadap perjuangan bahasa.

Bagi Tun kesejahteraan hidup sesuatu bangsa di dunia ini bergantung kepada kerukunan hidup dalam sesebuah keluarga. Manakala kerukunan hidup dalam sesebuah keluarga itu bergantung kepada kebijaksaan ibu dan bapa mengurus dan mengendalikan hal-hal yang bersangkutan dengan rumah tangga.

Oleh yang demikian, generasi akan datang merupakan suatu bangsa yang tinggi peradabannya, halus budi bahasanya, dalam ilmu pengetahuannya, gagah perkasa orangnya dan sudah tentu berbahasa kebangsaan umatnya.


RUJUKAN


Koleksi Ucapan Tun Syed Nasir, 1996. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

PUASA MENGEKANG TABIAT MEROKOK

Kedatangan bulan Ramadhan adalah berita gembira kepada seluruh umat Islam di dunia tetapi mungkin menjadi berita buruk kepada sebahagian besar perokok tegar.

Ini adalah kerana golongan ini terpaksa menahan rasa ketagihan mereka selepas tamatnya waktu sahur sehinggalah saat waktu berbuka puasa.

Selama hampir 14 jam terpaksa menahan ketagihan rokok adalah suatu yang amat perit dan menyiksakan.

Bagi kategori perokok tegar, sepanjang bulan Ramadhan mereka sanggup berbuka puasa dengan mengisap rokok selepas sahaja meneguk segelas air dan ini sudah cukup puas bagi mereka.

Manakala bagi individu yang mempunyai impian dan cita-cita besar untuk berhenti merokok pula, maka bulan Ramadhan adalah medan yang sesuai dan terbaik untuk mereka merealisasikannya.

Melihat kepada bahaya dan impak negatif rokok kepada kesihatan diri seseorang, maka amat wajarlah bagi perokok untuk tidak lagi meneruskan tabiat buruk tersebut.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) baru-baru ini menggesa dunia bertindak tegas terhadap syarikat pengeluar rokok atas dakwaan menyebabkan kematian akibat merokok yang kini telah menjadi skandal antarabangsa.

Menurut WHO, di Rantau Pasifik Barat sahaja hampir 3,000 jumlah kematian akibat penyakit berkaitan rokok setiap hari dianggarkan berlaku.

Rokok adalah penyebab utama barah paru-paru. Asap tembakau mengandungi lebih 3,500 ke 4,000 bahan kimia. Daripada jumlah itu 40 peratus mengandungi sejenis bahan yang dikenali sebagai carcinogens.

Di samping itu juga, rokok juga mengandungi lebih daripada 30 toksin termasuk kompaun radioaktif.

Malah menurut Persatuan Barah Amerika, barah paru-paru masih menjadi pembunuh utama lelaki dan wanita pada tahun 2006, manakala 87 peratus punca penyakit berkenaan dikaitkan dengan merokok.

Dalam sebuah kajian, jumlah kematian akibat barah paru-paru di Amerika Syarikat sahaja melebihi kombinasi jumlah kematian disebabkan barah kolon, prostat, limfa dan payu dara.

Jika ditanya akan bahaya dan kemudaratan merokok, rata-rata perokok mengakuinya dan bersedia untuk berhenti.

Namun begitu masalah sikap, kelemahan dalaman diri, ketagihan, pengaruh kawan-kawan, ego dan sebagainya menjadi penghalang kepada usaha murni tersebut.

Bagi mereka yang tekad untuk terus berhenti merokok maka Ramadhan kali menjadi platform terbaik untuk komited meninggalkan terus tabiat buruk dan membazir ini serta berusaha memastikan agar ketagihan itu tidak lagi berulang.

Dengan kaedah perubatan moden dan tradisional yang semakin maju, masalah teras penagihan rokok sudah tidak lagi menjadi masalah besar.

Namun, apa yang penting ialah keinginan dan kesungguhan perokok itu sendiri untuk berubah dan berhenti merokok di samping sokongan padu moral dari pihak keluarga, rakan sebaya dan media.

Di bulan Ramadhan yang mulia ini, bagi yang betul-betul ingin berhenti merokok, jika terasa ketagih, hendaklah cepat-cepat mengambil wuduk dan segera bersolat sunat, berzikir, iktikaf di masjid atau baca al-Quran sebanyak mungkin agar tekanan ketagihan dapat dikurangkan.

Ini adalah kerana ketika kita beribadat atau berada di dalam masjid, kita tidak boleh merokok.

Sempena Ramadhan yang mulia yang setiap doa dan permintaan akan dimakbulkan oleh Allah s.w.t, perokok hendaklah merebut peluang dan ruang keemasan ini berdoa dan bermunajat agar masalah ketagihan rokok dapat dikurangkan, menanam rasa benci dan jelek kepada rokok serta sentiasa diberikan kekuatan untuk serta merta berhenti merokok.


Rujukan

"Maut Akibat Rokok Kini Skandal Antarabangsa-WHO", Utusan Malaysia, 11 September, 2007

"Rokok Punca Utama Hidap Barah Paru-Paru", Berita Harian, 10 Jun 2007

Tuesday, September 18, 2007

IKTIKAF PEMANGKIN KEKUATAN UMAT

Iktikaf adalah amalan sunat yang cukup sinonim dengan bulan Ramadhan. Walaupun amalan ini bukanlah tertumpu semata-mata di bulan Ramadhan sahaja, namun iktikaf adalah ibadah yang amat mudah dan fleksibel untuk dilaksanakan walaupun hanya sekadar tidur sebentar di dalam masjid.

Iktikaf ialah amalan berdiam diri atau tinggal di masjid dengan adab-adab tertentu, pada masa yang tertentu dengan niat beribadat dan mendekatkan diri kepada Allah s.w.t. Jumhur ulama sepakat bahawa iktikaf adalah sunat dan boleh dilakukan pada bila-bila masa terutamanya pada 10 malam terakhir di bulan Ramadhan. (rujuk Imam Taqiyuddin Abu Bakar Muhammad Al-Husaini, 1993. Kifayatul Akhyar (Jilid 1). Singapura: Pustaka Nasional Pte Ltd)

Al-Quran juga turut menganjurkan agar amalan iktikaf ini disemarakkan dan praktikkan oleh umat Islam[al-Baqarah: 125 dan 187]. Manakala dalam sebuah hadis riwayat Bukhari dan Muslim bahawa Ibnu Umar dan Anas r.a berkata: "Adalah Rasulullah s.a.w beriktikaf pada 10 hari terakhir di bulan Ramadhan".

Jika sebelum ini amalan iktikaf kurang popular di kalangan masyarakat kita, tetapi kini kesedaran beriktikaf di bulan Ramadhan kian meningkat di mana banyak masjid rancak menganjurkan program khas iktikaf dengan kerjasama kementerian, badan-badan NGO Islam, institusi pengajian tinggi, sekolah, Jawatankuasa Kemajuan Kampung (JKKK), persatuan penduduk dan banyak lagi agensi yang prihatin.

Ini adalah perkembangan yang menarik dan memudahkan orang ramai untuk mengambil bahagian. Terdapat beberapa masjid yang turut menyediakan kemudahan serta kelengkapan untuk beriktikaf dan juga makanan untuk bersahur bagi individu yang menunggu sehingga masuknya waktu subuh.

Trend terbaru iktikaf ini melihatkan ramai yang membawa isteri dan anak-anak ke masjid untuk beriktikaf dan ada juga yang melakukan ibadah ini secara berkelompok atau secara individu. Sehinggakan ada yang membawa bantal, selimut, sleeping bag dan sebagainya untuk bermalam serta beribadah di masjid.

Situasi di masjid juga begitu meriah, khusyuk dan tenteram sekali dengan gemersikan bacaan al-Quran, zikir, bersolat malam, berdoa atau sekadar tidur dan sebagainya bagi menghidupkan lagi suasana malam Ramadhan. Lebih-lebih lagi menjelang 10 malam terakhir Ramadhan, kehadiran orang ramai bertambah dan penglibatan ahli khariah begitu memberansangkan terutamanya pada hari cuti.

Kelebihan, kepentingan dan falsafah beriktikaf amat besar dan banyak di mana melalui ibadah ini dapat mendidik hati kita mendekati, merai dan menyayangi rumah Allah s.w.t sewajarnya, dapat bangun awal untuk beribadah, dapat mencari dan mengejar Lailatul Qadar, dapat bersahur dan mengerjakan solat subuh secara berjamaah.

Di samping itu juga amalan beriktikaf mampu mengeratkan lagi tali persaudaraan sesama Islam, berada di waktu yang paling mustajab untuk bermunajat dan berdoa, dapat mendidik anak-anak untuk mencintai masjid sejak dari kecil lagi, dapat mengimarahkan masjid semaksima mungkin, dapat menghidupkan Ramadhan siang dan malam dan sebagainya.

Iktikaf juga memberi kesan yang amat positif kepada individu dan masyarakat seperti bersungguh-sungguh melakukan sesuatu kerja, memberi semangat dan daya juang untuk beribadah, melahirkan modal insan yang bermotivasi, progresif, energetik dan komited dalam apa jua bidang yang diceburi.

Impak maksima iktikaf juga mampu menghindari masyarakat daripada budaya dan elemen yang tidak sihat serta negatif seperti melepak, merempit dan sebagainya yang kian menular di negara kita di samping itu juga membolehkan para remaja mempraktik aktiviti keagamaan secara yang lebih berkesan, sistematik dan praktikal.

Melihat kepada fungsi dan fadilat beriktikaf, maka sewajarnya seluruh umat Islam terutamanya generasi muda untuk bersegera mengambil peluang keemasan ini dan langkahnya perlulah bermula pada hari ini.

Monday, September 17, 2007

KELEBIHAN RAMADHAN BUKAN UNTUK LELAKI SAHAJA

Kemuliaan dan keberkatan Ramadhan adalah untuk semua sama ada lelaki atau wanita, tua dan muda atau kecil dan besar. Semua berhak menikmati, menghayati dan mengejar kehebatannya.

Namun begitu jika diteliti, ganjaran besar sepanjang bulan Ramadhan hanya dinikmati oleh kaum lelaki sahaja. Ini adalah kerana ketika kaum lelaki khusyuk bertahajjud dan beriktikaf di masjid, kaum wanita sibuk menyediakan persiapan keluarga untuk bersahur.

Juga ketika para suami dan anak lelaki tekun membaca al-Quran sementara menunggu waktu berbuka puasa, dalam masa yang sama para isteri dan anak perempuan sibuk menyediakan persiapan untuk berbuka puasa.

Manakala ketika para suami berpeluang bersolat sunat tarawih, kaum wanita pula seperti mana biasa terpaksa menjaga anak, membersih, mengemas dan sebagainya. Ini tidak termasuk lagi kerja-kerja lain seperti mengurus rumah, memastikan anak tidur, membasuh pakaian, menggosok dan menyediakan pakaian suami dan anak-anak dan sebagainya.

Dalam keadaan ini kaum wanita seolah-olah terlepas banyak peluang untuk beramal dan merebut ganjaran besar sepanjang bulan Ramadhan yang dijanjikan pelbagai pahala.

Sebenarnya tanggapan salah dan persepsi negatif ini sepatutnya tidak berlaku kerana setiap aktiviti yang dilakukan oleh kaum wanita jika dikerjakan dengan ikhlas dan diniatkan semata-mata kerana Allah s.w.t, maka ianya juga akan dikira sebagai amal kebajikan dan mendapat pahala.

Oleh yang demikian, kaum wanita tidak perlu merasa terlepas peluang dan ganjaran kerana apa yang mereka lakukan selama ini sebenarnya turut dianggap sebagai ibadah yang amat dituntut di sisi Islam.

Di samping itu, adalah lebih baik sekiranya ketika melaksanakan komitmen mengurus rumah dan anak-anak, kaum wanita bolehlah menyulamnya dengan berzikir kepada Allah s.w.t, membaca ayat suci al-Quran dan banyak berdoa semoga segala yang dilakukan diterima dan diberikan ganjaran pahala.

Namun begitu, perlu ditegaskan bahawa tugas mengurus rumah dan anak serta memasak bukanlah semata-mata tugas para isteri sahaja tetapi para suami juga perlu berganding bahu dan turun padang membantu isteri bagi melicinkan lagi pengurusan rumah tangga dan keluarga.

Dengan meletakkan sepenuhnya tanggungjawab dan tugas besar ini kepada para isteri sahaja, hanya akan membebankan mereka serta menyekat hak privasi mereka sahaja. Keadaan ini menjadi bertambah rumit jika melibatkan isteri yang bekerja dan mempunyai komitmen tugasan lain yang banyak.

Oleh yang demikian, di bulan Ramadhan yang mulia ini para suami perlu melakukan anjakan paradigma dan turut serta membantu isteri melakukan kerja-kerja rumah seperti menyediakan persiapan berbuka puasa dan bersahur bagi meringankan lagi beban tugas para isteri serta memberi peluang kepada isteri memperbanyakkan amalan-amalan sunat lain di bulan Ramadhan yang mulia ini.

Bagi suami yang berkemampuan, mungkin wajar menyediakan pembantu rumah untuk memudahkan kerja-kerja berkenaan atau boleh membeli sahaja makanan di luar untuk tujuan berbuka dan bersahur bagi menjimatkan masa isteri untuk melaksanakan komitmen lain.

Jika terdapat masa terluang, suami dan isteri bolehlah solat berjamaah, membaca al-Quran bersama-sama, beriktikaf di masjid, membanyakkan amalan bersedekah, membantu anak yatim dan orang miskin dan sebagainya.

Sekali-sekala para suami juga perlulah membawa isteri dan keluarga berbuka puasa dan bersahur di luar seperti di hotel dan restoran yang menyediakan pelbagai juadah sebagai menghargai dan melembutkan hati si isteri yang sekian lama penat berkhidmat.

Persepsi bahawa dapur dan kerja mengurus aktiviti harian keluarga hanya tugas kaum wanita sahaja sudah tidak lagi relevan di dalam kehidupan moden zaman ini. Mungkin Ramadhan kali menjadi titik perubahan kepada kaum lelaki untuk merealisasikan impiam ini.

Thursday, September 13, 2007

BULAN RAMADHAN BUKAN PESTA MAKAN

Ramadhan kali ini disambut begitu meriah, ghairah dan penuh keinsafan. Seperti yang dijangkakan, Malaysia dan sebahagian besar negara Islam telah bermula puasa pada Khamis lepas walaupun ada beberapa negara seperti India dan Pakistan yang mula berpuasa pada hari Jumaat.

Ramadhan yang begitu ditunggu-tunggu ini, penuh dengan barakah, hikmah dan karamah yang begitu besar kepada seluruh umat Islam di dunia. Pada bulan ini juga disediakan pelbagai pakej keampunan, keberkatan dan kemuliaan kepada umat yang dedikasi dan komited berpuasa dan melaksanakan segala tuntutan dan amalan semata-mata kerana Allah s.w.t.

Namun begitu, di kala kita meraikan kemuliaan dan kehebatan Ramadhan, timbul kebimbingan dan keprihatinan di kalangan beberapa tokoh agama di Malaysia berkenaan trend terkini amalan berbuka puasa atau iftar dan juga bersahur gaya mewah di hotel, kelab golf dan restoran mewah di kota.

Pada bulan ini juga kelihatan banyak bazar dan pasar Ramadhan yang tumbuh bagaikan cendawan selepas hujan, menjual pelbagai juadah makanan dan minuman pembuka selera. Bulan Ramadhan umpama pesta makanan apabila kita melihat begitu ramai umat Islam tertumpu dan berpusu-pusu di bazar dan pasar untuk membeli apa yang dihajati yang kadang-kadang berlakunya pembaziran.

Tokoh agamawan seperti Mufti Perlis, Mufti Perak dan bekas Pegawai Istana Negara menyatakan kebimbangan mereka apabila trend ini dilihat tidak berapa praktikal dan tidak Islamik sekiranya tujuan berbuka di tempat-tempat mewah tersebut boleh menimbulkan rasa bangga, riak, membazir dan ingin menunjuk-nunjuk kepada orang lain.

Ini adalah kerana trend ini dilihat semakin berkembang dan mendapat sambutan yang begitu menggalakkan apabila pihak hotel, kelab golf dan restoran giat mengadakan pelbagai promosi hebat untuk menarik orang ramai bertandang ke sana dengan kadar yang tertentu yang kadang-kadang mencecah RM100 sekepala.

Sambil berbuka, pelanggan juga turut dihidangkan dengan halwa telinga daripada kumpulan-kumpulan nasyid terkenal negara dan aktiviti santai lain seperti cabutan bertuah, interaksi secara live dengan artis dan pelbagai lagi aktiviti disediakan.

Sebenarnya tidak salah untuk kita berbuka puasa dan bersahur sekali-sekala bersama-sama keluarga atau rakan-rakan sepejabat asalkan perbuatan tersebut tidaklah keterlaluan sehingga berlakunya pergaulan bebas ketika berbuka puasa, tertinggal solat maghrib dan solat sunat tarawih, bersembang perkara-perkara yang tidak berfaedah, mengumpat serta membazir makanan dan wang.

Oleh yang demikian, di kala kita seronok berbuka puasa di tempat-tempat mewah tersebut, janganlah kita lupa kepada nasib anak-anak yatim, orang susah, musafir, warga emas yang miskin dan melarat. Dalam keadaan yang serba kekurangan dan kemiskinan, mereka mungkin tidak dapat berbuka dan bersahur dengan sempurna.

Bagi yang berkemampuan dan ingin berkongsi kekayaan, maka boleh menyalurkan sumbangan makanan dan wang kepada yang memerlukan seperti menyediakan makanan untuk tujuan berbuka puasa dan bersahur di masjid dan surau; menyumbang makanan, pakaian, keperluan asas dan wang kepada rumah anak yatim, rumah warga emas; pusat perlindungan kanak-kanak dan wanita dan institusi-institusi yang bertanggungjawab lain di samping melalui badan-badan NGO sebagai tanda manifestasi keinsafan dan kesyukuran kita.

Begitu juga nasib saudara-saudara kita di Iraq, Palestin, Afghanistan, Kemboja, Sudan, Selatan Thai dan banyak lagi yang hidup dalam peperangan, kemiskinan dan penuh kesempitan. Bulan Ramadhan yang seolah-olah menjadi pesta makanan di negara kita dan bagi mereka yang dilanda musibah adalah sebaliknya. Maka adalah menjadi amanah dan tanggungjawab kita sebagai saudara seislam untuk membantu dan memberi sumbangan kepada mereka semampu yang boleh.


Rujukan


Amalan Melampaui Batas, Harian Metro, 14 September 2007

Tuesday, September 11, 2007

MELAWAT KEMBALI AKTA BAHASA KEBANGSAAN

Malaysia adalah di antara beberapa buah negara di dunia yang memperuntukkan akta khas berkenaan bahasa kebangsaan. Walaupun Perlembagaan Persekutuan 1957 di bawah Perkara 152 telah menjamin kedaulatan dan autoritatik bahasa kebangsaan, namun kewujudan Akta Bahasa Kebangsaan 1963/1967 (Akta 32) adalah bertujuan memastikan bahasa kebangsaan diaplikasi dan diimplementasikan secara holistik di dalam struktur kehidupan rakyat dan pemerintahan negara.

Akta 32 pertama kali diperbuat pada 1963 dan seterusnya pada 1967 yang mana telah disatu dan disemak pada 1971. Seksyen 1 akta berkenaan menyatakan bahawa bahasa kebangsaan terpakai di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak. Manakala Seksyen 2 pula menegaskan bahawa bahasa kebangsaan hendaklah digunakan bagi maksud rasmi dalam segala hal selaras dengan Perkara 152 (1) Perlembagaan.

Bagi tujuan terjemahan pula, Seksyen 3 Akta ini membenarkan terjemahan selain bahasa kebangsaan dibuat demi kepentingan awam dan Yang Dipertuan Agong boleh membenarkan penggunaan bahasa Inggeris untuk tujuan rasmi setakat yang difikirkan patut mengikut peruntukan di bawah Seksyen 4 akta berkaitan.

Di sini menampakkan bahasa kebangsaan bersifat fleksibel, anjal, dinamik serta tidak bersifat jumud dengan menerima pakai aplikasi bahasa lain demi kepentingan awam dan bagi memastikan kelancaran proses pentadbiran negara. Tambahan pula kita sedang berada di dalam arena globalisasi, maka Malaysia telah bersedia sejak dulu lagi untuk bersaing dan mengiktiraf bahasa selain bahasa kebangsaan.

Kelonggaran dan kelebihan diberikan kepada Ahli Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) di mana mereka boleh menggunakan bahasa Bahasa Inggeris jika perlu selaras dengan Seksyen 5 akta ini dan perlu mendapat kebenaran Yang Dipertua Dewan Negara, Dewan Rakyat dan DUN masing-masing.

Baru-baru ini Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan (KEKWA), Datuk Seri Dr. Rais Yatim telah menegur segelintir ahli Parlimen yang gagal menguasai dan tidak memberi perhatian serius kepada bahasa kebangsaan ketika berbahas di dalam Parlimen, dan tahap penguasaan bahasa mereka masih lemah serta memalukan. Perkara ini wajar diberikan penekanan sewajarnya, walaupun ahli Parlimen di negara kita mempunyai imuniti untuk bercakap apa sahaja di dalam Parlimen.

Berkenaan teks sahih undang-undang pula, Seksyen 6 akta ini memperuntukkan agar segala rang undang-undang yang dicadangkan di Parlimen atau DUN sama ada akta bagi kerajaan pusat, enakmen bagi kerajaan negeri dan ordinan yang diisytiharkan oleh Yang Dipertuan Agong, hendaklah dibuat di dalam bahasa kebangsaan dan bahasa Inggeris; dan teks dalam bahasa kebangsaan adalah dianggap sahih atau Yang Dipertuan Agong menentukan sebaliknya.

Bahasa kebangsaan juga turut berperanan di dalam institusi perundangan negara di mana Seksyen 8 memastikan segala prosiding, tidak termasuk pemberian keterangan oleh saksi; dilaksanakan di dalam bahasa kebangsaan sama ada di Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Rayuan, Mahkamah Tinggi, Mahkamah Sesyen atau Mahkamah Majistret. Walaupun Perkara 152 (4) Perlembagaan membenarkan bahasa Inggeris digunakan, namun bahasa kebangsaan wajar diberikan keutamaan.

Seksyen 9 Akta 32 pula menyentuh berkenaan tulisan bahasa kebangsaan adalah Rumi, namun begitu akta ini turut memberi kedudukan yang istimewa kepada tulisan Jawi yang menjadi tulisan asal dan kebanggaan umat Melayu di rantau ini serta menjamin kewibawaannya. Namun begitu hakikatnya, tulisan jawi semakin dipinggir dan dilupakan dalam arus kehidupan seharian. Pengenalan program J-Qaf (Jawi, Quran, Arab dan Fardhu Ain) di sekolah-sekolah rendah seluruh negara mampu memberi impak positif kepada perkembangan tulisan jawi di negara kita dalam jangka masa panjang.

Selanjutnya, Seksyen 10 akta ini memperuntukkan bahawa bentuk angka dalam bahasa kebangsaan ialah bentuk angka Arab dan Seksyen 11 pula menerangkan bahawa penyediaan sesuatu borang boleh dilakukan di dalam bahasa kebangsan atau bahasa Inggeris, namun begitu bahasa kebangsaan perlu diberi keutamaan yang sepatutnya.

Malangnya selepas 50 tahun negara menyambut kemerdekaan, masih terdapat hampir 90 peratus borang, dokumen, perjanjian, surat ikatan dan lain-lain lagi yang melibatkan penjualan serta pembelian rumah, kereta, jentera, hartanah dan sebagainya dalam bahasa Inggeris. Situasi ini menimbulkan implikasi besar kepada rakyat Malaysia yang berbilang kaum Melayu, Cina, India dan lain-lain apabila bahasa perjanjian yang digunakan agak sukar untuk dihafami.

Oleh yang demikian, penyediaan sesuatu perjanjian hendaklah di dalam bahasa kebangsaan agar pihak-pihak yang berkontrak memahami apa yang ditandatangani serta bentuk kontrak yang dimasuki.

Jika diteliti, Akta Bahasa Kebangsaan ini hanya menyebut berkenaan bahasa kebangsaan tanpa spesifik menyebut bahasa Malaysia atau bahasa Melayu. Walaupun akta ini secara keseluruhannya tidak memberi definisi bahasa kebangsaan, namun begitu dengan berpandukan Perlembagaan Persekutuan, maka dapatlah difahami bahawa bahasa Malaysia adalah bahasa kebangsaan seperti yang dimaksudkan, tanpa sebarang pertikaian.

Dalam buku Koleksi Ucapan Tun Syed Nasir (1996) dinukilkan bahawa " kerajaan telah mengetahui dan menginsafi betapa besar tanggungjawab negara terhadap perkembangan bahasa kebangsaan untuk menjadikan bahasa perantaraan umum yang digunakan oleh masyarakat kita. Bahasa ini juga akan menjadi bahasa rasmi yang digunakan sebagai alat perhubungan antara kerajaan dengan rakyat dalam segala urusan. Pada satu tahap yang lain bahasa ini akan menjadi bahasa ilmu pengetahuan yang meliputi semua peringkat sekolah, maktab perguruan dan universiti. Semua tujuan ini mestilah tercapai dengan baik supaya kedaulatan bahasa kebangsaan itu menepati erti kata yang sebenar.

Kemajuan sesuatu bahasa dapat dicapai melalui perjuangan bangsa. Kemajuan bahasa Melayu kita bergantung kepada setakat mana usaha kita memperjuangkannya. Berbagai-bagai liku jalan yang ditempuhi datuk nenek kita dala perjuangan mereka menegakkan kedaulatan bahasa kita sehingga bahasa kita terus hidup hingga hari ini. Sekarang sampai pula zaman kita, keturunan yang hidup segar kerana mendapat nafas baru setelah bergolak merebut kemerdekaan untuk meneruskan perjuangan ini. Kita sedang menempuh suatu cabaran yang meminta tiap-tiap orang yang cintakan bahasa kebangsaan membuat pengorbanan, baik berupa masa mahupun tenaga".

Banyak pihak yang boleh memainkan peranan penting terutamanya para sasterawan, penulis, wartawan dan sebagainya perlu memperbanyak dan tingkatkan penulisan mereka; para hakim dan ahli perundangan pula wajar berusaha menulis sebanyak mungkin penghakiman kes mahkamah di dalam bahasa kebangsaan; atau ahli profesional seperti doktor, peguam, jurutera, arkitek, ahli akademik dan lain-lain hendaklah giat menulis buku dan penerbitan berkaitan bidang masing-masing dalam bahasa kebangsaan.

Orang ramai juga perlu memainkan peranan masing-masing dan tidak wajar sekadar menjadi penumpang dan penonton atau Pak Kadok sahaja. Bagi jutawan dan hartawan pula, sebagai melaksanakan tanggungjawab sosial korporat (CSR), mereka perlu bersedia menyumbang dan membiayai kelancaran aktiviti penerbitan dalam bahasa kebangsaan dan kegiatan bahasa di negara kita.

Persoalan yang masih menjadi tanda tanya sehingga ke hari ini ialah apakah perkembangan dan berita terkini kepada pindaan Akta seperti yang dihebohkan pada tahun lepas yang akan membolehkan pencemar bahasa dikenakan denda sehingga RM1,000?

Setelah hampir 50 tahun negara merdeka, maka usaha dan inisiatif semua pihak untuk meletakkan kembali status keagungan bahasa kebangsaan di persada yang selayaknya perlu digembleng kerana bahasa yang sudah berusia lebih 2500 tahun ini merupakan bahasa utama dunia yang ditutur oleh lebih 200 juta orang di seluruh dunia. Sempena bulan bahasa dan sastera yang sedang disambut sepanjang bulan September ini, semangat cintakan bahasa dan menjadikan bahasa jiwa bangsa perlu disemai dan dijadikan cara hidup masyarakat Malaysia.


RUJUKAN:

Asmah Haji Omar, 1985. Susur Galur Bahasa Melayu. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka

Wednesday, September 05, 2007

AHLI PARLIMEN MEMBELAKANGKAN BAHASA MALAYSIA?

Baru-baru kita digemparkan dengan berita Ahli Parlimen yang gagal menguasai kemahiran Bahasa Malaysia dengan baik. Perkara ini didedahkan sendiri oleh Menteri Kebudayaan (KKKWA), Kesenian dan Warisan, Datuk Dr. Rais Yatim yang turut melahirkan rasa kecewa dan kekesalan beliau terhadap segelintir Ahli Parlimen yang jelas membelakangkan bahasa kebangsaan ketika berdebat di dalam Parlimen.

Tragisnya, situasi yang memalukan ini berlaku di kala negara telah 50 tahun merdeka yang tidak sewajarnya terjadi kepada ahli Parlimen yang merupakan penggubal undang-undang negara dan sudah tentu nasib serta masa hadapan bahasa Malaysia tersandar di bahu mereka. Jika mereka sendiri gagal menguasai kemahiran dan mendalami ilmu, membongkar rahsia serta khazanah bahasa Malaysia, maka kepada siapa lagi yang boleh rakyat harapkan.

Menurut Hassan Ahmad (1988), selepas tahun 1957 bahasa Melayu (Malaysia) menghadapi keadaan dan cabaran baru yang luar biasa dan mendesak. Soal yang timbul ialah, bagaimanakah bahasa Malaysia dapat dibina dan dikembangkan 'secara revolusi', yakni, tidak lagi dibiarkan berkembang secara evolusi, secara natural, sebagaimana yang telah berlaku pada bahasa itu dalam sejarahnya yang lepas, supaya bahasa Malaysia dalam zaman moden ini dapat berkembang dengan cepat, sejajar dengan perkembangan yang berlaku dengan cepat dalam lapangan pembangunan manusia dan negara yang lebih kompleks selepas kemerdekaan.

Maka timbullah soal konsep, soal kaedah, yang perlu digunakan untuk mempercepatkan perkembangan bahasa ini tanpa menimbulkan kesan buruk pada struktur dan sistem dalaman yang ada pada bahasa Malaysia, sehingga boleh menyebabkan bahasa Malaysia menjadi bahasa yang artificial, bahasa yang kacau.

Ketika ini terdapat 219 ahli Parlimen dengan 199 kerusi Parlimen yang diwakili oleh wakil rakyat Barisan Nasional (BN). Kepada mereka sandaran dan harapan rakyat untuk melihat bahasa Kebangsaan yang berdaulat ini dipuja, disayangi dan diangkat setingginya. Kepada mereka jugalah identiti, kredibiliti dan integriti bahasa Malaysia dijulang serta ditulis dengan tinta emas sewajarnya.

Malangnya, keadaan ini menjadi bertambah parah apabila kemahiran 'seni' berdebat juga dilihat masih kurang memuaskan di mana masih ada segelintir ahli yang selesa menggunakan kata-kata kesat dan tidak berhemah ketika di dalam Parlimen, tempat yang dianggap mulia dan suci. Keadaan ini membayangkan betapa adab dan tatatusila bahasa Malaysia diabaikan serta tidak diletakkan pada tempat yang sewajarnya, walaupun sebenarnya ahli bebas dan kebal bercakap apa sahaja tanpa sekatan di dalam rumah Parlimen.

Pada pandangan Dr. Rais Yatim, perkara ini perlu disedari dan diperbaiki secepat mungkin memandangkan rakyat berhak dan berkuasa 'menghukum' mereka di dalam pilihanraya umum yang bakal diadakan tidak lama lagi. Walaupun sudah dua penggal menjadi wakil rakyat, mereka masih gagal menguasai bahasa kebangsaan dengan baik. Wakil rakyat dan negara ini lebih selesa berinteraksi dengan bahasa ibunda serta terasa bangga pula berkomunikasi di dalam bahasa Inggeris walaupun hakikatnya rakyat di kawasan yang diwakilinya majoriti bertutur dan berfikir di dalam bahasa kebangsaan.

Realiti ini acapkali boleh ditatapi rakyat kebanyakan di kaca televisyen dan di corong radio, terutamanya ketika siaran warta atau berita perdana di saluran utama komunikasi massa. Ada juga yang cuba menggunakan bahasa pasar, bahasa rojak dan bahasa 'sampah' ketika berbicara dengan audien, termasuk di majlis-majlis rasmi negara.

Menurut Tun Syed Nasir dalam buku Koleksi Ucapan Tun Syed Nasir (1996), kerajaan mengetahui dan menginsafi bahawa sehingga hari ini masih banyak di kalangan kita, termasuk orang Melayu sendiri yang belum benar-benar menerima bahasa Kebangsaan. Dalam hal ini mungkin banyak sebabnya. Barangkali kerana bahasa kebangsaan itu tidak mempunyai nilai ekonomi yang memuaskan; barangkali orang-orang yang tidak menghargai bahasa kebangsaan itu terpengaruh oleh keagungan bahasa Inggeris yang sampai sekarang dianggap sebagai bahasa yang paling berharga dan berguna di dunia ini. Barangkali juga ada rakyat negara ini berasa khuatir bahawa dengan perkembangan bahasa kebangsaan ini maka bahasa lain, yang menjadi bahasa ibunda mereka seperti bahasa Cina dan Tamil akan tenggelam dan lenyap. Semua ini menjadi penghalang kepada tujuan perkembangan bahasa kebangsaan seperti yang disebutkan tadi.

Namun begitu, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Ramli Ngah Talib yang bertindak mempertahankan penguasaan bahasa ahli Parlimen dengan menegaskan bahawa mereka mempunyai gaya yang tersendiri ketika menyampaikan hujah masing-masing sepanjang sesi Parlimen sedang berlangsung. Menurut beliau lagi, cara serta bentuk hujahan dan kreativiti penyampaian mereka tidak sewajarnya disalah tafsirkan sebagai kegagalan menguasai bahasa kebangsaan di mana situasi ini langsung tidak menggangu atau mencacatkan persidangan ahli Parlimen.

Mereka bebas berinteraksi dan berhujah bagi mengenengahkan masalah dan keperluan rakyat di bawah pimpinan mereka. Adalah tidak wajar untuk mereka menggunakan saluran bahasa sastera yang berbunga-bunga untuk meluahkan apa yang terbuku di hati rakyat. Pada hemat Tan Sri Ramli Ngah Talib, penguasaan bahasa Malaysia yang baik bukan prasyarat atau kayu ukur untuk menghukum kelayakan dan kredibiliti seseorang ahli Parlimen. Sekiranya penguasaan bahasa Kebangsaan diambil kira, maka mereka sewajarnya diberi peluang untuk menginsafi, menyedari dan menperbaiki kelemahan, kelalaian, kesilapan serta kecuaian mereka selama ini.

Bagi mengimbangi krisis bahasa ini, maka Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) tampil dengan satu alternatif dan medan yang bersifat menang-menang di mana badan 'dakwah' bahasa ini bersedia menetapkan garis panduan dan penanda aras bagi menentukan kemahiran bahasa Malaysia terhadap mereka yang berhasrat untuk bertanding sebagai wakil rakyat. Ketua Pengarah DBP, Datuk Dr. Firdaus Abdullah mencadangkan agar satu sesi ujian bertulis dan lisan diadakan serta bersedia melatih bakal-bakal ahli Parlimen bagi membolehkan mereka mahir dalam penguasaan bahasa kebangsaan.

Mekanisme ini perlukan sokongan padu semua pihak dan bakal-bakal ahli parlimen wajib menghadiri kursus ini bagi tujuan penilaian dan prasyarat untuk bertanding di dalam pilihanraya. Di samping itu juga, ahli Parlimen sedia ada dan senior juga wajar menghadiri kursus bahasa ini tanpa kompromi. Sebuah badan bebas dan berwibawa boleh diwujudkan bagi merealisasikan impian dan penanda aras ini. Mungkin juga tindakan Sultan Selangor yang mengenakan syarat fasih berbahasa kebangsaan sebagai syarat utama untuk penganugerahan pingat dan pengiktirafan tertinggi kerajaan negeri wajar diimplemenkan dan dicontohi oleh kerajaan negeri lain.

RUJUKAN

Tun Syed Nasir, 1996. Koleksi Ucapan Tun Syed Nasir. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka
Hassan Ahmad, 1988. Bahasa, Sastera, Buku: Cetusan Fikiran Hassan Ahmad. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka

"Ahli Parlimen Gagal Kuasai BM - Rais", Utusan Malaysia, 15 Ogos 2007
"DBP Tetap Tanda Aras Uji Wakil Rakyat", Utusan Malaysia, 16 Ogos 2007
"Ramli Pertahan Ahli Parlimen", Utusan Malaysia, 17 Ogos 2007

TABIAT TAK PA, BUMI BINASA!

Ketika melancarkan Kempen Kesedaran Alam Sekitar 2007 yang bertemakan "Tabiat Tak Pa, Bumi Binasa. Alam Sekitar Tanggungjawab Kita" anjuran Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar (KSAAS) baru-baru ini, Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menyaran agar rakyat Malaysia meninggalkan sikap dan tabiat buruk yang memandang ringan serta tidak mementingkan kebersihan dengan menjadikan penjagaan dan pemuliharaan alam sekitar sebagai keutamaan dalam kehidupan mereka.

Sepertimana yang kita maklum, penjagaan alam sekitar tidak boleh diserahkan bulat-bulat kepada pihak tertentu sahaja, malahan semua pihak perlu melibatkan diri dan mengambil bahagian bagi memastikan wujudnya persekitaran yang bersih, indah dan selamat. Tugas dan amanah besar ini menuntut semua pihak memberikan perhatian serius di samping kerajaan juga akan melakukan pelbagai langkah terbaik bagi memastikan alam sekitar berada di dalam keadaan terpelihara.

Menurut Perdana Menteri lagi, tabiat buruk rakyat membuang sampah di merata-rata tempat, termasuklah ke dalam sungai, pantai dan longkang tidak mendatangkan sebarang faedah kepada negara (Utusan Malaysia, 9 Julai 2007). Kecuaian, kelekaan dan kelalaian ini boleh menimbulkan masalah seperti penyebaran wabak penyakit, banjir dan sebagainya. Situasi ini juga boleh menjejaskan imej negara di mata pelancong asing di kala negara giat mempromosikan Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2007.

Situasi ini juga sudah tentu mencacatkan pemandangan dan menimbulkan persepsi negatif masyarakat luar negara apabila bertandang ke negara kita. Negara juga terpaksa mengeluarkan kos dan peruntukan yang besar semata-mata untuk melaksanakan proses pengindahan semula alam sekitar serta memperbaiki tabiat buruk rakyat Malaysia melalui pelbagai kempen kesedaran termasuklah iklan di media massa.

Terdapat beberapa insiden seperti cadangan pengusaha hotel dan pusat peranginan yang berminat membangunkan kemudahan tersebut di kawasan pantai Pasir Gemuruh, Gertak Sanggul, Teluk Kumbar di Pulau Pinang terpaksa dibatalkan kerana keadaan lokasi yang kotor, tercemar dan tidak sesuai sebagai pusat peranginan walaupun pulau mutiara tersebut terkenal memiliki antara pantai tercantik di dunia.

Tabiat pengotor rakyat Malaysia, tidak sensitif dengan kebersihan, cuai, lalai dan bersikap 'Tak Pa' kepada alam semualajadi boleh menjejaskan potensi dan imej negara sebagai destinasi pelancongan global. Impaknya negara terpaksa menanggung kerugian dan penurunan jumlah kedatangan pelancong luar negara.

Lebih parah lagi apabila pencemaran serius dan sikap tidak kisah penduduk menyebabkan keadaan aliran sungai mati dan tidak berfungsi dengan sempurna. Ini adalah kerana ia telah dipenuhi dengan limpahan sampah sarap, cecair, gas, barangan terpakai, bahan plastik, tumpahan minyak serta gris, sisa pepejal, toksik serta bahan buangan dari kawasan perkilangan dan perladangan, bangkai haiwan serta pelbagai lagi yang menimbulkan fenomena yang amat menjijik dan memedihkan mata.

Dalam hal ini, sebagai pengajaran, Perdana Menteri meminta rakyat Malaysia memboikot mana-mana peniaga, pemaju perumahan dan kompleks perniagaan yang mengabaikan aspek kebersihan. Di samping itu menerusi pindaan Akta Kualiti Alam Sekitar 1974 (Akta 127) yang sedang diperhalusi oleh kerajaan, hukuman penjara mandatori terhadap mereka yang terlibat mencemarkan alam sekitar (Utusan Malaysia, 15 Julai 2007). Terutamanya pemaju dan perunding projek pembangunan yang tidak mematuhi laporan penilaian kesan alam sekitar (EIA) selaras dengan Persidangan Stockholm 1972 dan Pelan Induk Perindustrian (IMP) Ketiga bagi memastikan alam sekitar kita terkawal dan dilindungi.

Terdahulu sebuah syarikat pengeluar makanan telah didenda RM30,000.00 oleh Mahkamah Sesyen Petaling Jaya atas kesalahan melakukan pencemaran alam dengan melepaskan efluen melebihi had yang ditetapkan Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling ( Kumbahan dan Efluen-Efluen Perindustrian ) 1979. Syarikat ini didapati melepaskan efluen seperti BOD5, oksigen kimia, pepejal terampai, minyak dan gas melebihi had pelepasan yang ditetapkan di bawah Peraturan 8(1)(6) Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling 1979.

Syarikat tersebut didakwa di bawah Seksyen 25(1) Akta Kualiti Alam Sekitar 1974 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 25(3) di bawah akta yang sama di mana denda maksimum adalah RM100,000.00 atau penjara tidak kurang daripada lima tahun atau pun kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan (Utusan Malaysia, 17 Mac 2007).

Di bawah akta ini juga, semua pihak yang terlibat termasuklah pemilik syarikat, tuan tanah sehingga ke pemandu lori yang didapati bersalah membawa dan membuang sisa toksik boleh dipenjarakan. Adalah diharapkan agar akta ini dikuatkuasakan sebaik mungkin supaya pencemaran ekosistem dan habitatnya dapat dibendung secara yang efektif dan holistik di negara kita. Bagi premis yang tidak mempunyai lesen yang dikeluarkan oleh Pengarah Kualiti Alam Sekeliling untuk melepaskan sisa buangan cecair di daratan di mana kandungannya melebihi had yang ditetapkan, boleh didakwa di bawah Seksyen 21 yang dibaca bersama Seksyen 8(1)(b) akta yang sama.

Alam sekitar yang selamat, sihat dan berekologi adalah hak dan kepentingan semua pihak untuk dinikmati. Perkara 5(1) Perlembagaan Persekutuan 1957 secara tersirat memperuntukkan hak warganegara Malaysia untuk memiliki alam sekitar yang selamat, sihat dan berekologi. (Utusan Pengguna, Disember 1997). Di India, dalam kes seperti Dehra Doon Valley pada tahun 1983 dan Olga lwn. Bombay Municipal Corporation (1986), Mahkamah Agung India secara imaginatif membincangkan hak masyarakat ke atas alam sekitar yang menjadi asas ikutan kepada penghakiman di mahkamah-mahkamah di negara kita sehingga kini.

Walaupun undang-undang berkenaan alam sekitar negara terus konsisten dan kompeten memantau serta mengawal alam sekitar di negara kita, namun sikap dan tabiat rakyat amat penting untuk berubah daripada sikap 'Tak Pa' terhadap alam sekitar kepada inisiatif dan tekad menjadikan alam sekitar sebagai sebahagian daripada cara hidup (way of life). Alam sekitar juga turut menjadi teras utama kepada aplikasi Islam Hadhari yang cuba diimplimenkan oleh kerajaan negara kita, menunjukkan betapa agama Islam amat prihatin dan sensitif kepada permasalahan alam sekitar . Oleh yang demikian, marilah kita bersama-sama berganding bahu dan berusaha memasti lestari alam sekitar kita hidup, selamat, sihat, menarik, energetik dan berekologi.


Rujukan

Akta Kualiti Alam Sekitar 1974 (Akta 127)

Utusan Pengguna, Disember 1997, Jil. 21, Bil. 12.

"PM Minta Rakyat Utama Kebersihan Alam Sekitar", Utusan Malaysia, 9 Julai 2007.

"Hukuman Penjara Menanti Pencemar", Utusan Malaysia, 15 Julai 2007.

"Syarikat Pengeluar Makanan Didenda RM30,000.00", Utusan Malaysia, 17 Mac 2007.