AHLI PARLIMEN MEMBELAKANGKAN BAHASA MALAYSIA?

Baru-baru kita digemparkan dengan berita Ahli Parlimen yang gagal menguasai kemahiran Bahasa Malaysia dengan baik. Perkara ini didedahkan sendiri oleh Menteri Kebudayaan (KKKWA), Kesenian dan Warisan, Datuk Dr. Rais Yatim yang turut melahirkan rasa kecewa dan kekesalan beliau terhadap segelintir Ahli Parlimen yang jelas membelakangkan bahasa kebangsaan ketika berdebat di dalam Parlimen.

Tragisnya, situasi yang memalukan ini berlaku di kala negara telah 50 tahun merdeka yang tidak sewajarnya terjadi kepada ahli Parlimen yang merupakan penggubal undang-undang negara dan sudah tentu nasib serta masa hadapan bahasa Malaysia tersandar di bahu mereka. Jika mereka sendiri gagal menguasai kemahiran dan mendalami ilmu, membongkar rahsia serta khazanah bahasa Malaysia, maka kepada siapa lagi yang boleh rakyat harapkan.

Menurut Hassan Ahmad (1988), selepas tahun 1957 bahasa Melayu (Malaysia) menghadapi keadaan dan cabaran baru yang luar biasa dan mendesak. Soal yang timbul ialah, bagaimanakah bahasa Malaysia dapat dibina dan dikembangkan 'secara revolusi', yakni, tidak lagi dibiarkan berkembang secara evolusi, secara natural, sebagaimana yang telah berlaku pada bahasa itu dalam sejarahnya yang lepas, supaya bahasa Malaysia dalam zaman moden ini dapat berkembang dengan cepat, sejajar dengan perkembangan yang berlaku dengan cepat dalam lapangan pembangunan manusia dan negara yang lebih kompleks selepas kemerdekaan.

Maka timbullah soal konsep, soal kaedah, yang perlu digunakan untuk mempercepatkan perkembangan bahasa ini tanpa menimbulkan kesan buruk pada struktur dan sistem dalaman yang ada pada bahasa Malaysia, sehingga boleh menyebabkan bahasa Malaysia menjadi bahasa yang artificial, bahasa yang kacau.

Ketika ini terdapat 219 ahli Parlimen dengan 199 kerusi Parlimen yang diwakili oleh wakil rakyat Barisan Nasional (BN). Kepada mereka sandaran dan harapan rakyat untuk melihat bahasa Kebangsaan yang berdaulat ini dipuja, disayangi dan diangkat setingginya. Kepada mereka jugalah identiti, kredibiliti dan integriti bahasa Malaysia dijulang serta ditulis dengan tinta emas sewajarnya.

Malangnya, keadaan ini menjadi bertambah parah apabila kemahiran 'seni' berdebat juga dilihat masih kurang memuaskan di mana masih ada segelintir ahli yang selesa menggunakan kata-kata kesat dan tidak berhemah ketika di dalam Parlimen, tempat yang dianggap mulia dan suci. Keadaan ini membayangkan betapa adab dan tatatusila bahasa Malaysia diabaikan serta tidak diletakkan pada tempat yang sewajarnya, walaupun sebenarnya ahli bebas dan kebal bercakap apa sahaja tanpa sekatan di dalam rumah Parlimen.

Pada pandangan Dr. Rais Yatim, perkara ini perlu disedari dan diperbaiki secepat mungkin memandangkan rakyat berhak dan berkuasa 'menghukum' mereka di dalam pilihanraya umum yang bakal diadakan tidak lama lagi. Walaupun sudah dua penggal menjadi wakil rakyat, mereka masih gagal menguasai bahasa kebangsaan dengan baik. Wakil rakyat dan negara ini lebih selesa berinteraksi dengan bahasa ibunda serta terasa bangga pula berkomunikasi di dalam bahasa Inggeris walaupun hakikatnya rakyat di kawasan yang diwakilinya majoriti bertutur dan berfikir di dalam bahasa kebangsaan.

Realiti ini acapkali boleh ditatapi rakyat kebanyakan di kaca televisyen dan di corong radio, terutamanya ketika siaran warta atau berita perdana di saluran utama komunikasi massa. Ada juga yang cuba menggunakan bahasa pasar, bahasa rojak dan bahasa 'sampah' ketika berbicara dengan audien, termasuk di majlis-majlis rasmi negara.

Menurut Tun Syed Nasir dalam buku Koleksi Ucapan Tun Syed Nasir (1996), kerajaan mengetahui dan menginsafi bahawa sehingga hari ini masih banyak di kalangan kita, termasuk orang Melayu sendiri yang belum benar-benar menerima bahasa Kebangsaan. Dalam hal ini mungkin banyak sebabnya. Barangkali kerana bahasa kebangsaan itu tidak mempunyai nilai ekonomi yang memuaskan; barangkali orang-orang yang tidak menghargai bahasa kebangsaan itu terpengaruh oleh keagungan bahasa Inggeris yang sampai sekarang dianggap sebagai bahasa yang paling berharga dan berguna di dunia ini. Barangkali juga ada rakyat negara ini berasa khuatir bahawa dengan perkembangan bahasa kebangsaan ini maka bahasa lain, yang menjadi bahasa ibunda mereka seperti bahasa Cina dan Tamil akan tenggelam dan lenyap. Semua ini menjadi penghalang kepada tujuan perkembangan bahasa kebangsaan seperti yang disebutkan tadi.

Namun begitu, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Ramli Ngah Talib yang bertindak mempertahankan penguasaan bahasa ahli Parlimen dengan menegaskan bahawa mereka mempunyai gaya yang tersendiri ketika menyampaikan hujah masing-masing sepanjang sesi Parlimen sedang berlangsung. Menurut beliau lagi, cara serta bentuk hujahan dan kreativiti penyampaian mereka tidak sewajarnya disalah tafsirkan sebagai kegagalan menguasai bahasa kebangsaan di mana situasi ini langsung tidak menggangu atau mencacatkan persidangan ahli Parlimen.

Mereka bebas berinteraksi dan berhujah bagi mengenengahkan masalah dan keperluan rakyat di bawah pimpinan mereka. Adalah tidak wajar untuk mereka menggunakan saluran bahasa sastera yang berbunga-bunga untuk meluahkan apa yang terbuku di hati rakyat. Pada hemat Tan Sri Ramli Ngah Talib, penguasaan bahasa Malaysia yang baik bukan prasyarat atau kayu ukur untuk menghukum kelayakan dan kredibiliti seseorang ahli Parlimen. Sekiranya penguasaan bahasa Kebangsaan diambil kira, maka mereka sewajarnya diberi peluang untuk menginsafi, menyedari dan menperbaiki kelemahan, kelalaian, kesilapan serta kecuaian mereka selama ini.

Bagi mengimbangi krisis bahasa ini, maka Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) tampil dengan satu alternatif dan medan yang bersifat menang-menang di mana badan 'dakwah' bahasa ini bersedia menetapkan garis panduan dan penanda aras bagi menentukan kemahiran bahasa Malaysia terhadap mereka yang berhasrat untuk bertanding sebagai wakil rakyat. Ketua Pengarah DBP, Datuk Dr. Firdaus Abdullah mencadangkan agar satu sesi ujian bertulis dan lisan diadakan serta bersedia melatih bakal-bakal ahli Parlimen bagi membolehkan mereka mahir dalam penguasaan bahasa kebangsaan.

Mekanisme ini perlukan sokongan padu semua pihak dan bakal-bakal ahli parlimen wajib menghadiri kursus ini bagi tujuan penilaian dan prasyarat untuk bertanding di dalam pilihanraya. Di samping itu juga, ahli Parlimen sedia ada dan senior juga wajar menghadiri kursus bahasa ini tanpa kompromi. Sebuah badan bebas dan berwibawa boleh diwujudkan bagi merealisasikan impian dan penanda aras ini. Mungkin juga tindakan Sultan Selangor yang mengenakan syarat fasih berbahasa kebangsaan sebagai syarat utama untuk penganugerahan pingat dan pengiktirafan tertinggi kerajaan negeri wajar diimplemenkan dan dicontohi oleh kerajaan negeri lain.

RUJUKAN

Tun Syed Nasir, 1996. Koleksi Ucapan Tun Syed Nasir. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka
Hassan Ahmad, 1988. Bahasa, Sastera, Buku: Cetusan Fikiran Hassan Ahmad. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka

"Ahli Parlimen Gagal Kuasai BM - Rais", Utusan Malaysia, 15 Ogos 2007
"DBP Tetap Tanda Aras Uji Wakil Rakyat", Utusan Malaysia, 16 Ogos 2007
"Ramli Pertahan Ahli Parlimen", Utusan Malaysia, 17 Ogos 2007

Comments

Popular Posts