PERJUANGAN BAHASA TUN SYED NASIR

Tokoh pejuang bahasa negara almarhum Tun Syed Nasir pernah melafazkan "Beratus-ratus tahun lamanya bahasa Melayu (Malaysia) menjadi senjata kebangsaan (yang dahulunya tajam dan sakti) tetapi telah dibiarkan tergantung sahaja di dinding, menjadi hiasan. Di dinding itulah senjata ini berkarat dan berlapuk, tidak seindah dahulu dan tidak pula diperdulikan.

Bagaimanapun, kesaktiannya masih ada dan kesaktiannya itulah yang kita banggakan sebagai azimat yang tidak digunakan. Kita sendiri, pahlawan-pahlawan bangsa telah lama menjadi lemah dan lesu, tidak tahu menggunakan senjata yang sakti itu.

Seluruh rakyat memandang bahasa Malaysia itu hanya sebagai barang simpanan yang dipuja-puja. Orang yang mendapat senjata baru iaitu bahasa Inggeris, memandang bahasa Malaysia, senjata sakti bangsanya itu, sebagai barang mainan yang tidak berharga". (Koleksi Ucapan Tun Syed Nasir, 1996. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, halaman 178)

Merujuk kepada kalimah dan wasiat agung Tun Syed Nasir tersebut dapatlah difahami bahawa semenjak kita mencapai kemerdekaan dan menjadi tuan di negara kita sendiri, kita sebenarnya memerlukan senjata itu semula tetapi bukan sebagai barang perhiasan dan barang permainan lagi.

Kita memerlukannya sebagai senjata yang boleh menjamin kehidupan kita sebagai satu bangsa yang bersatu padu, kuat dan dihormati oleh masyarakat dunia.

Dalam buku Koleksi Ucapan Tun Syed Nasir (1996) merekodkan almarhum Tun dilahirkan di Batu Pahat, Johor pada 7 Mac 1921. Beliau menerima pendidikan awal di sekolah Inggeris kerajaan di Batu Pahat dan kemudian mengikuti latihan penolong nazir di Maktab Perguruan Sultan Idris (MPSI) Tanjung Malim dan di Kuala Kangsar.

Beliau mula berkhidmat dengan Pejabat Pelajaran Johor sebagai penolong nazir sekolah-sekolah Melayu di Batu Pahat, dari tahun 1942 hingga tahun 1949. Antara tahun 1949 hingga 1955, beliau telah berkhidmat sebagai nazir sekolah Melayu negeri Johor dan mulai bulan Februauri 1956, beliau menyandang jawatan Pegawai Pelajaran Melayu Persekutuan.

Beliau kemudian telah dilantik menjadi Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada tahun 1957, menggantikan tempat Profesor Diraja Ungku Aziz.

Sewaktu menerajui DBP, beliau telah mengetuai rombongan Malaysia ke Indonesia untuk menghadiri pertemuan penyamaan ejaan Malaya-Indonesia. Beliau juga pengasas gerakan Bulan Bahasa Kebangsaan (BBK).

Dalam memperluaskan penggunaan bahasa Melayu dalam bidang ekonomi, sosial dan kebudayaan, beliau mewakili DBP ke mesyuarat penerbitan buku anjuran UNESCO di New Delhi, Rangoon, Jepun dan Amerika Syarikat.

Sebagai tokoh pejuang bahasa kebangsaan, beliau telah dianugerahi Ijazah Kehormat Doktor Persuratan oleh Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada bulan Jun 1978. Beliau telah kembali ke rahmatullah pada 16 Mac 1982.

Menurut Tun pada 31 Ogos 1957, Persekutuan Tanah Melayu telah mencapai kemerdekaan dan orang-orang yang menggubal Perlembagaan Persekutuan ini berpendapat bahasa Malaysia hendaklah dijadikan bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara. Sejak itu bahasa Malaysia dipelajari dan dikaji oleh beberapa buah universiti tersohor di seluruh dunia.

Bagi Tun bahasa Malaysia ialah satu daripada bahasa yang paling mudah dipelajari di dunia ini.

Antara yang berminat mendalami bahasa ini ialah Profesor Mitake Torii dari Universiti Tokyo; Universiti New South Wales Australia, pensyarah bahasa Universiti of Western Australia; McPherson College, Kansas, Amerika Syarikat; Pegawai Perpustakaan Malaya House, London; Pesuruhjaya Tinggi di Canberra, Australia; persatuan penuntut di Victoria dan Melbourne.

Ada juga permintaan dari Persekutuan Penuntut-Penuntut Melayu, Bristol; dari Republik Arab Bersatu dan lain-lain lagi agar diadakan pelajaran bahasa Malaysia melalui gaya pos.

Pada pandangan Tun perkara utama yang harus kita sedari ialah bahasa Malaysia telah dijadikan bahasa kebangsaan bukan kerana hendak memberi keutamaan kepada orang Melayu. Bukan pula tujuannya hendak menghapuskan kebudayaan orang bukan Melayu, warganegara negara ini, yang menumpahkan taat setia mereka kepada negara ini.

Marilah kita tilik sepintas lalu mengapa bahasa Malaysia dijadikan bahasa kebangsaan seperti mana yang selalu ditegaskan oleh Tun.

Bahasa Malaysia ialah bahasa bumiputra yang tumbuh dan berkembang pesat di negara ini, berbeza halnya daripada bahasa-bahasalain yang ada di negara ini. Bahasa Malaysia telah sedia menjadi lingua franca segala bangsa yang datang mencari kehidupan atau tinggal menetap di negara ini.

Sebagai suatu bangsa yang merdeka, kewajipan tiap-tiap orang untuk mengisi kemerdekaan negara kita amat jelas. Satu daripada tanggungjawab kita yang besar ialah dalam lapangan bahasa dan persuratan. Kewajipan ini tidak dapat dibuat oleh dua tiga orang atau oleh satu badan atau satu pihak tertentu sahaja.

Kewajipan ini mestilah disambut oleh seluruh rakyat dengan jiwa yang besar dan penuh insaf.

Bekerja untuk bahasa tiada had masa, tetapi mengambil masa yang lama, puluhan tahun, ratusan tahun atau ribuan tahun, bahkan selama ada hayat bangsa itu sendiri. Oleh sebab itulah kita tidak boleh berasa penat, jemu dan patah hati. Sebaliknya kita mestilah mara dan terus mara.

Menurut Tan Sri Abdul Samad Idris, Tun Syed Nasir seorang yang tegas, berterus terang, tabah dan berani memberi pandangan dengan lantang. Di mana-mana sahaja beliau berhujah, Tun Syed Nasir tidak akan berundur daripada pegangannya "Genggam bara api, biar sampai jadi arang".

Manakala bagi Datuk Hassan Ahmad pula, Tun Syed Nasir bukan hanya seorang birokrat, pegawai kerajaan yang lebih banyak menjalankan kerjanya "menurut perintah", tetapi beliau merupakan pemimpin dan pejuang bahasa. Beliau bekerja tanpa mengira waktu dan penat. Dan beliau berani dan tegas.

Beliau tidak ragu-ragu menegur dan mengkritik sesiapa sahaja, termasuk para menteri, yang dianggapnya tidak memberikan sokongan yang serius terhadap perjuangan bahasa.

Bagi Tun kesejahteraan hidup sesuatu bangsa di dunia ini bergantung kepada kerukunan hidup dalam sesebuah keluarga. Manakala kerukunan hidup dalam sesebuah keluarga itu bergantung kepada kebijaksaan ibu dan bapa mengurus dan mengendalikan hal-hal yang bersangkutan dengan rumah tangga.

Oleh yang demikian, generasi akan datang merupakan suatu bangsa yang tinggi peradabannya, halus budi bahasanya, dalam ilmu pengetahuannya, gagah perkasa orangnya dan sudah tentu berbahasa kebangsaan umatnya.


RUJUKAN


Koleksi Ucapan Tun Syed Nasir, 1996. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Comments

Popular Posts