Tuesday, October 30, 2007

SAINS ANGKASA: MISI NEGARA BERJAYA

Pada 10 Oktober 2007 yang lalu adalah detik paling bersejarah bagi negara dan bakal ditulis dengan tinta emas apabila Malaysia berjaya menghantar angkasawan pertama negara ke Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) dengan Soyuz TMA-11. Program penghantaran angkasawan negara ke ISS adalah hasil daripada persetujuan timbal balik pembelian 18 jet pejuang Sukhoi SU-30 MKM bernilai RM3.4 bilion dari Rusia yang ditandatangani pada 5 Ogos 2003.

Di ISS, angkasawan negara bukanlah melancong di angkasa lepas tetapi akan menjalankan beberapa kajian melibatkan tiga komponen penting iaitu sel di angkasa, mikrob di angkasa dan penghabluran protein. Terdapat beberapa eksperimen yang membabitkan kesan mikrograviti dan radiasi terhadap sel barah dan bakteria serta uji kaji pengkristalan protein bagi kemungkinan mencari penawar HIV/AIDS berjaya dilaksanakan dengan sempurna.

Menelusuri sejarah awal sains angkasa di mana pada 1957 ketika Tanah Melayu baru mencapai kemerdekaan, Kesatuan Soviet telah menjadi pelopor utama sains angkasa bagi membuktikan keunggulan mereka dalam industri sains dan teknologi, telah berjaya melancarkan Sputnik dan seterusnya berjaya melancarkan makhluk bernyawa pertama ke angkasa iaitu anjing bernama Laika, diikuti dengan angkasawan pertama dunia iaitu Yuri Gagarin dan seterusnya angkasawan wanita pertama, Valentino Tereshkova.

Namun begitu menurut Zin Mahmud (2007), Jerman merupakan negara pertama yang secara serius menbangun teknologi roket melalui penubuhan Persatuan Roket Jerman (VIR) pada tahun 1923 dengan melancarkannya pada tahun 1931. Tetapi Jerman bukanlah pihak pertama yang melancarkan roket moden. Pencipta pertama ialah Robert Goddard dari AS yang melancarkannya pada tahun 1926. Tetapi dari segi teori roket moden, yang mengasaskannya ialah warga Jerman iaitu Herman Oberth pada tahun 1923. Biarpun begitu, orang yang mula-mula menulis mengenai kemungkinan perjalanan antara planet di angkasa ialah seorang Rusia bernama Konstantin Tsiolkorsky pada tahun 1903.

Sejarah turut mencatatkan seorang tentera Uthmaniah, Lagari Hasan Celebi pada tahun 1633 menaiki kenderaan berbentuk kon dan dilancarkan ke udara seperti roket dan selamat mendarat. Menurut Hassan Ahmad (2007) pula, dari segi sejarah, orang pertama yang mencetuskan idea, mencipta dan melakukan teknologi penerbangan bukanlah di kalangan bangsa Eropah atau Amerika. Abbas Ibn Firnas (888M), ahli fizik dan astronomi Islam, merupakan manusia pertama membuat penerbangan percubaan secara saintifik dalam sejarah sebagaimana disebut oleh sejarawan Barat K. Phillip Hitti. Ia berlaku pada tahun 875M di Cordoba, Sepanyol.

Lebih awal dari itu, mauduk naik ke langit atau angkasa lepas di kalangan umat Islam sebenarnya telah pun bermula sejak zaman Rasululah s.a.w lagi. Nabi Muhammad s.a.w sendiri adalah angkasawan pertama yang menerobos angkasa ketika baginda melakukan Mikraj dari stesen pelancarannya di Masjid al-Aqsa, Baitulmaqdis. Peristiwa ini direkodkan di dalam al-Quran dalam Surah al-Israk dengan penuh simbolik dan signifikan sekali.

Selanjutnya pada tahun 1960, Presiden Amerika Syarikat (AS), John F. Kennedy melancarkan gerakan penerokaan angkasa lepas dan hanya selepas sepuluh tahun kemudian iaitu pada 1967, AS telah berjaya menghantar beberapa kapal angkasa untuk melakukan ujian pendaratan manusia ke bulan. Hasilnya pada tahun 1969, AS telah berjaya menobatkan angkasawannya iaitu Neil Armstrong di permukaan bulan yang pernah dianggap mustahil dan tidak masuk akal oleh sebahagian besar penduduk dunia ketika itu.

Kejayaan penuh gemilang ini telah membuka dimensi baru kepada korpus sains dan teknologi angkasa global di mana negara-negara besar dan kecil turut serta dan berusaha untuk menjejaki angkasa lepas dan menakluki bulan serta planet-planet lain termasuk Marikh bagi mencari penempatan baru manusia di galaksi ini. Hakikat ini juga turut mempengaruhi corak pemikiran dan dimensi sains dan teknologi angkasa rakyat Malaysia.

Impaknya, bekas Perdana Menteri Tun Abdul Razak begitu bersungguh-sungguh mengajak rakyat berusaha semampu mungkin mencapai kemajuan kerana bagi beliau rakyat perlu bekerja keras kerana dengannya kesemua akan mampu mencapai kemajuan, malah sampai "ke angkasa lepas" sekalipun. Petikan ucapan keramat ini telah disiarkan berulang kali oleh Radio Televisyen Malaysia (RTM) menjelang detik-detik pelancaran angkasawan pertama negara ke ISS.

Istilah angkasa dan angkasa lepas seperti mana yang menjadi polemik hebat sebelum ini sebenarnya membawa makna yang sama kalau penggunaan kedua-dua perkataan itu dilihat dari aspek saintifik. Menurut Ketua Pengarah Agensi Angkasa Negara (Angkasa), Profesor Datuk Dr. Mazlan Othman, kedua-dua perkataan itu saling bertukaran dan boleh digunakan untuk konteks harian. Perkataan angkasa dan angkasa lepas diwujudkan untuk menunjukkan jarak angkasa dengan muka bumi.

Isu perbezaan istilah ini timbul kerana kedua-dua perkataan itu diterjemahkan terus daripada bahasa Inggeris iaitu space dan outer space. Perkataan space mempunyai banyak makna dalam konteks bahasa Inggeris, oleh itu penggunaan outer space diwujudkan untuk menggambarkan ruang udara di luar muka bumi. Jarak angkasa lepas dengan bumi tidak semestinya lebih jauh berbanding angkasa dari muka bumi. Penggunaan angkasa dalam bacaan sering berkait dengan alam semesta dan galaksi. Kedua-dua makna tersebut adalah sama maknanya.

Manakala menurut Kamus Dewan Edisi Ketiga terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) mendefinisikan angkasa sebagai ruang, udara, lapisan yang mengelilingi bumi, awang-awang dan langit. Sementara itu, angkasa lepas pula membawa erti ruang di luar lapisan udara yang mengelilingi bumi. Kamus Pelajar pula mendefinisikan angkasa sebagai awang-awangan, langit, lapisan udara yang melingkungi bumi dan ruang di sebelah luar lapisan udara yang melingkungi bumi.

Dalam hal ini juga agensi Rusia menggunakan istilah cosmonaut yang bermaksud pelayar alam semesta untuk merujuk kepada angkasawan mereka, manakala AS pula menggunakan istilah astronaut yang bermaksud pelayar bintang. Namun begitu Malaysia memilih untuk menggunakan perkataan Melayu yang lebih bersifat patriotik iaitu Angkasawan bagi membukti bahawa bahasa Malaysia tidak akan diketepikan serta dijulang tinggi seiring dengan kepesatan teknologi industri angkasa lepas.

Sepanjang misi besar Program Angkasawan Negara, Sheikh Muszaphar juga menjalankan penyelidikan saintifik Twisting Orbital Platform (TOP) atau Platform Orbit Berpusing di ISS untuk dijadikan bahan kajian penting pengajaran subjek Fizik kepada pelajar sekolah menengah. Kaedah penyelidikan ini dilakukan hasil kerjasama Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) bagi mengkaji sifat putaran gasing aluminium dalam keadaan mikrograviti.

Manakala dengan kerjasama Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi dan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) pula menjalankan kajian mengenai makanan tempatan yang sesuai untuk dinikmati di angkasa lepas seperti sate ayam, rendang daging, nasi himpit beriani, gegulung pisang, hirisan mangga kering, jeli halia, granola bar dari roselle, kuih bangkit dan cip tempe. Semua angkasawan lain di ISS juga turut dihidangkan makanan Malaysia seperti gegulung pisang dan hirisan mangsa kering.

Lebih menarik lagi, angkasawan pertama Malaysia ini berjaya melakukan beberapa aktiviti bersifat simbolik patriotik dengan membaca Rukun Negara dan mengibarkan Jalur Gemilang di ISS. Di samping itu, beliau juga mendapat cop khas di ISS untuk ditandakan pada Jalur Gemilang, Jata Negara dan logo Program Angkasawan Negara sebagai bukti kehadiran beliau di sana dan bakal disimpan di Planetarium Negara di Kuala Lumpur.

Di samping itu juga, beliau juga berkesempatan bergaya dengan memakai baju batik yang menjadi pakaian tradisi serta kebanggaan negara di ISS dan lebih manis lagi apabila angkasawan lain turut memuji baju batik yang dipakainya yang disifatkan mereka sebagai sangat cantik. Batik adalah simbolik dan identiti umat Melayu dan Malaysia yang telah berjaya dinobatkan di angkasa lepas yang bakal menjadi momentum positif kepada industri batik Malaysia dan dunia.

Sementara itu, angkasawan pertama negara juga berkesempatan berbual dengan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr. Jamaluddin Jargis melalui sesi telepersidangan selama 10 minit dari ISS ke Pusat Penyiaran Asia (Astro) di Bukit Jalil. Manakala hampir 20 orang pelajar Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Tamil (SRJKT) Vivekanandan, Brickfield turut berpeluang berkomunikasi dengan Sheikh Muszaphar menerusi radio amatur.

Menurut Dr. Mohd. Roshdi Hassan (2007), Malaysia sebagai sebuah negara Islam yang memimpin Pertubuhan Persidangan Islam (OIC), sepatutnya mengetuai negara Islam lain untuk mengembalikan tamadun ilmu yang berkaitan dengan angkasa lepas ini kepada umat Islam. Kerjasama antara negara OIC harus dibentuk untuk menubuhkan sebuah agensi angkasa lepas seperti mana European Space Agency (ESA).

Tiada kesatuan untuk menguasai teknologi ini menyebabkan negara Islam terpaksa bergantung kepada kuasa Barat bagi mendapatkan teknologi ini. Kita bukan sahaja membayar harga yang tinggi untuk mendapatkan teknologi ini, bahkan ada kalanya ia tidak dapat berfungsi seperti mana yang diharapkan. Yang lebih malang lagi apabila satelit yang disediakan menjadikan alat sebagai pengintip bagi kuasa Barat ke atas negara Islam itu sendiri. Kelemahan kita menguasai teknologi ini juga menyebabkan umat Islam dianggap semakin lemah.

Adalah tidak mustahil suatu hari nanti kita akan memiliki OIC Space Agency setanding Rusia, AS, Kanada dan ESA memandangkan dunia Islam sudahpun memiliki beberapa angkasawan mereka seperti Putera Sultan Salman Saud dari Arab Saudi yang merupakan angkasawan Islam pertama di dunia pada tahun 1985; Muhammad Faris dari Syria pada tahun 1987; Abdul Ahad Mohammad dari Afghanistan pada tahun 1988; Talgat Amangeldyuly Mugabayev dari Kazakhstan pada tahun 1994; dan seterusnya angkasawan wanita Islam pertama iaitu Anousheh Ansari yang berasal dari Iran tetapi menetap di AS pada 2006.

Kemunculan Sheikh Muszaphar sebagai kesinambungan angkasawan Islam menakluki ISS dan kepada dunia bahawa umat Islam mampu melakukan apa sahaja yang dilakukan oleh umat maju lain serta setanding dengan mereka. Sebagai sebuah negara membangun, Malaysia bukanlah sekadar menghantar angkasawan malahan serius membina industri angkasa lepas negara pada masa hadapan serta komited menjadikannya sebagai agenda utama kemajuan negara.

Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menegaskan bahawa peruntukan besar yang disediakan kerajaan untuk program angkasawan bukan satu pembaziran kerana banyak faedah diperoleh rakyat dan negara. Pembabitan serius negara dalam industri angkasa lepas adalah pendekatan kerajaan untuk mencapai matlamat Wawasan 2020 bagi menjadikan Malaysia sebuah negara maju dan dihormati dunia. Pembabitan Sheikh Muszaphar telah mencetuskan minat rakyat terhadap program angkasa lepas yang sebelum ini tidak begitu banyak diketahui.

Lebih penting lagi kajian yang dijalankan di ISS seperti sel kanser turut mendapat perhatian negara maju termasuk Jepun dan Eropah. Walaupun Malaysia bukanlah dalam kelompok negara maju yang terlebih dahulu menerokai angkasa lepas seperti Rusia dan AS, namun negara berjaya menyaingi dan mendahului negara lain di rantau ini.



Rujukan

Kamus Dewan Edisi Ketiga
Kamus Pelajar Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP)

Dr. Mohd. Roshdi Hassan, 2007. "Manfaat Program Angkasawan Negara". Utusan Malaysia, 9 Oktober 2007
Zin Mahmud, 2007. "Impian Malaysia jadi kenyataan". Mingguan Malaysia, 14 Oktober 2007
Dr. Hassan Ahmad, 2007. "Islam pelopor sains angkasa". Utusan Malaysia, 25 Oktober 2007

"Pakai batik di angkasa", Utusan Malaysia, 9 Oktober 2007
"Angkasa, angkasa lepas sama makna" Utusan Malaysia, 9 Oktober 2007
"Kajian Platfom Orbit Berpusing", Utusan Malaysia, 16 Oktober 2007
"Dr. Sheikh Muszaphar baca Rukun Negara, kibar Jalur Gemilang di ISS", Utusan Malaysia, 16 Oktober 2007
"Separuh eksperimen berjaya diselesai", Utusan Malaysia, 16 Oktober 2007
"Program angkasa lepas bukan pembaziran:PM", Berita Harian, 23 Oktober 2007

Tuesday, October 16, 2007

MAJLIS RUMAH TERBUKA PENGIKAT PERPADUAN

Kemeriahan bulan Syawal begitu terasa dengan adanya majlis rumah terbuka sempena hari raya Aidilfitri yang diadakan hampir setiap hari sepanjang bulan ini.

Tradisi penganjuran rumah terbuka membolehkan semua golongan sama ada miskin atau kaya serta hina atau mulia merayakan Aidilfitri dalam suasana yang meriah dan penuh kesyukuran.

Jurang pemisah yang mungkin wujud selama ini dapat dikendur melalui penganjuran majlis rumah terbuka dalam suasana masyarakat plural Malaysia yang berbilang kaum dan agama.

Semua pihak bebas menikmati kemeriahan, keriangan dan kebesaran Aidilfitri di negara kita sebagai tanda manifestasi kesyukuran kita kepada Ilahi setelah sebulan berjuang melawan hawa nafsu.

Trend mengadakan rumah terbuka bukanlah perkara baru dalam masyarkat kita, cumanya sejak kebelakangan ini ianya diadakan secara yang lebih rasmi, teratur dan dibuat secara besar-besaran di premis kediaman atau perniagaan masing-masing.

Majlis rumah terbuka secara tidak langsung dapat merapatkan tali persaudaraan dan kasih sayang sesama manusia ke arah melahirkan masyarakat yang harmoni, progresif, bersatu, hormat menghormati dan tidak mementingkan diri sendiri.

Majlis ini memudahkan saudara mara, sahabat handai, masyarakat sekitar berkunjung dan berkumpul serta bertemu sama sendiri setelah sekian lama sibuk membawa haluan dan tujuan masing-masing.

Di majlis inilah semangat kejiranan dapat dierat dan diperkukuhkan lagi di mana jiran di sekeliling rumah boleh bertemu dan beramah mesra dalam suasana hari raya.

Dalam keadaan dan kesibukan kehidupan harian, menyebabkan ramai yang tidak sempat mengenali jiran masing-masing hatta jiran di sebelah rumah sekalipun.

Oleh yang demikan, dengan mengadakan majlis rumah terbuka sekurang-kurangnya semangat persaudaraan dan kekitaan dapat disuburkan semula.

Di samping itu juga bagi syarikat dan firma perniagaan yang mengadakan majlis rumah terbuka membolehkan orang bawahan berpeluang bertemu orang atasan yang mungkin sebelum ini jarang-jarang dapat berjumpa dan bertegur sapa.

Majikan yang prihatin dan peka dengan kebajikan pekerjanya sudah tentu akan menjadikan majlis rumah terbuka sebagai agenda tahunan wajib organisasi kerana majlis ini amat bermanfaat serta mampu memulihkan prestasi kerjasama, setiakawan dan semangat kerja berkumpulan para pekerja di samping mengekalkan hubungan baik dengan pelanggan dan rakan perniagaan.

Di majlis rumah terbuka yang penuh bermakna ini juga membolehkan rakyat bertemu pemimpin yang dihormati kerana bagi rakyat bawahan dan golongan marhaen, mereka begitu teruja untuk bertemu dan berjabat salam dengan pemimpin yang disayangi lagi dihormati mereka.

Jika sebelum ini mereka tidak berpeluang menatap wajah dan personaliti pemimpin mereka dari dekat maka di majlis rumah terbukalah peluang terbaik mereka mendekati pemimpin bagi menyatakan hasrat, hajat dan pandangan mereka.

Oleh yang demikian, pemimpin hendaklah meluangkan masa sepenuhnya melayan tetamu yang datang dan tidak membiarkan hanya wakil-wakil sahaja yang menjalankan tugas tersebut.

Berilah peluang rakyat bawahan bertemu, bertanya khabar dan bertegur sapa dalam suasana yang penuh kemeriahan tanpa mengira ras, agama dan fahaman politik.

Majlis yang diadakan saban tahun ini melihatkan masyarakat Malaysia yang berlainan agama, bangsa, politik dan kebudayaan sama-sama hadir meraikan majlis rumah terbuka tanpa sebarang rasa prejudis, takut dan bimbang.

Mereka begitu ghairah dan seronok menikmati juadah makanan serta pelbagai hidangan hari raya lain terutamanya kanak-kanak.

Di samping itu juga, para pelancong yang datang ke negara kita juga berpeluang untuk menikmati kemeriahan dan melihat sendiri perpaduan serta keunikan sambutan majlis rumah terbuka di negara kita sepanjang bulan Syawal yang mungkin situasi tersebut tidak terdapat di negara mereka.

Bagi yang berkemampuan dan ingin berkongsi kekayaan serta kemewahan seperti para hartawan, jutawan dan golongan artis popular, maka inilah peluang untuk beramal dan bertemu peminat masing-masing dengan mengadakan majlis rumah terbuka masing-masing.

Di kesempatan ini orang miskin dan susah, anak yatim, ibu tunggal, warga emas dan lain-lain bolehlah juga dijemput untuk sama-sama merai serta memeriahkan lagi majlis rumah terbuka yang diadakan.

Dan tidaklah menjadikan majlis itu eksklusif untuk kelompok, fahaman atau kumpulan tertentu sahaja.

Golongan ini tidak sepatutnya diketepi dan ditinggalkan begitu sahaja tanpa pembelaan serta tidak berkesempatan merasai kemeriahan dan kenikmatan Aidilfitri.

Cumanya apa yang perlu diambil perhatian ialah jangan sekali-kali bersikap membazir, boros dan berlebih-lebihan dalam berbelanja bagi merealisasikan majlis rumah terbuka yang kadang kala terpaksa berhutang menggunakan kad kredit pulak semata-mata untuk mengadakan majlis tersebut.

Janganlah kerana ingin menunjuk-nunjuk kepada jiran, saudara mara serta kawan-kawan dan riak mengadakan majlis rumah terbuka memaksa kita berhutang dan berhabis wang simpanan yang masih ada yang sepatutnya digunakan untuk perbelanjaan yang lebih penting.

Jika tidak dikawal perbelanjaan selepas raya dengan betul, kesannya mungkin terpaksa menanggung risiko 'sindrom poket kosong' di tengah atau hujung bulan.

Biarlah majlis rumah terbuka yang ingin diadakan tidaklah bersifat 'biar papa asal beraya' dan seiring dengan kemampuan yang ada.

Bersederhana dalam apa jua keadaan adalah langkah yang bijak, terbaik dan mendapat rahmat dari Allah s.w.t.

Sunday, October 07, 2007

RAMADHAN ADAT DAN RAMADHAN IBADAT

Hukama pernah berkata "orang yang beribadat kerana Ramadhan, maka Ramadhan akan pergi dan meninggalkan kita tetapi orang yang beribadat ikhlas kerana Allah s.w.t semata-mata, maka Allah kekal dan hidup selamanya".

Masa bergerak begitu pantas dan Ramadhan yang begitu dinanti-nantikan sudahpun berada di penghujungnya.

Jika diizinkan tuhan, Ramadhan yang penuh dengan keberkatan, keistimewaan dan kemuliaan ini akan kembali lagi pada tahun hadapan.

Terlalu banyak pengajaran, hikmah dan keajaiban berlaku sepanjang berlangsungnya Ramadhan yang boleh dijadikan panduan dan petunjuk kehidupan seharian kita.

Ramadhan umpama gerbang atau portal ibadah yang menjadi bulan bonus kepada seluruh umat Islam untuk mempertingkatkan amalan.

Institusi Ramadhan menjadi hab ibadah yang tiada bandingannya di mana ganjaran dan pahala yang disediakan adalah berlipat kali ganda berbanding bulan-bulan lain.

Jika sebelum Ramadhan, perokok tegar umpama tiada lagi penawar untuk berhenti merokok. Namun ketika Ramadhan, ramai yang mampu mengurangkan tabiat merokok bahkan ada yang berjaya berhenti merokok.

Bagi yang bertudung atau menutup aurat serta berpakaian sopan kerana menghormati bulan yang mulia ini, maka jangan jadikannya sekadar trend bermusim sahaja malahan peribadi mulia itu perlu diteruskan dan dijadikan gaya hidup wanita Muslim.

Sekiranya di bulan Ramadhan seseorang berasal janggal, takut dan bersalah terlibat dengan maksiat, menipu, memfitnah, menerima atau memberi rasuah dan sebagainya, maka perasaan murni itu hendaklah diteruskan di luar bulan Ramadhan.

Jika sepanjang bulan Ramadhan para peniaga dan usahawan berlaku amanah, adil, jujur dan bertimbanga rasa, maka sifat mulia itu perlu dijadikan falsafah perniagaan mereka pada bulan-bulan lain.

Ramadhan umpama magnet yang telah berjaya memotivasikan umat Islam mempertingkatkan amal ibadah seperti membaca al-Quran, bersolat sunat, beriktikaf dan berzikir, banyak bersedekah dan infak, menunaikan umrah, membantu orang miskin serta anak yatim dan sebagainya.

Amat wajarlah amalan-amalan mulia tersebut menjadi rutin, darah daging dan teras di dalam kehidupan di samping amalan wajib lain walaupun bukan di bulan Ramadhan.

Oleh yang demikian, penanda aras atau petunjuk prestasi utama (KPI) kejayaan misi Ramadhan adalah impak selepas berakhirnya bulan tersebut.

Kedatangan Syawal menjadi bukti awal dan faktor penentu kepada draf konsistensi, konsentrasi dan kontinuiti kita dalam beribadah kepada Allah s.w.t.

Sekiranya kualiti dan piawaian ibadah yang tinggi dilaksanakan pada bulan Ramadhan, maka perkara sama juga perlu dilakukan di bulan-bulan yang lain sebagai tanda manifestasi kita menghayati kehendak dan wawasan Ramadhan.

Jika prestasi dan indeks ibadah masih tidak berubah, statik atau berada di takuk lama maka post-mortem ibadah perlu dilakukan segera.

Ini adalah bagi memastikan sama ada kita berada di kolompok yang menjadikan Ramadhan sebagai medan ibadat berimpak tinggi dan bukannya sekadar melakukan upacara adat atau ritual yang bermusim semata-mata.

Mengambil semangat Ramadhan, maka dinamo ibadah perlu digerak dan diperkemaskan lagi agar kualiti dan prestasi ibadah yang dihasilkan berada di tahap yang paling optimum.

Gerbang Ramadhan akan ditutup tidak lama lagi maka ramailah yang akan berasa sedih, pilu, rindu dan kesal kerana tidak mengambil kesempatan memaksimakan carta ibadah.