SAINS ANGKASA: MISI NEGARA BERJAYA

Pada 10 Oktober 2007 yang lalu adalah detik paling bersejarah bagi negara dan bakal ditulis dengan tinta emas apabila Malaysia berjaya menghantar angkasawan pertama negara ke Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) dengan Soyuz TMA-11. Program penghantaran angkasawan negara ke ISS adalah hasil daripada persetujuan timbal balik pembelian 18 jet pejuang Sukhoi SU-30 MKM bernilai RM3.4 bilion dari Rusia yang ditandatangani pada 5 Ogos 2003.

Di ISS, angkasawan negara bukanlah melancong di angkasa lepas tetapi akan menjalankan beberapa kajian melibatkan tiga komponen penting iaitu sel di angkasa, mikrob di angkasa dan penghabluran protein. Terdapat beberapa eksperimen yang membabitkan kesan mikrograviti dan radiasi terhadap sel barah dan bakteria serta uji kaji pengkristalan protein bagi kemungkinan mencari penawar HIV/AIDS berjaya dilaksanakan dengan sempurna.

Menelusuri sejarah awal sains angkasa di mana pada 1957 ketika Tanah Melayu baru mencapai kemerdekaan, Kesatuan Soviet telah menjadi pelopor utama sains angkasa bagi membuktikan keunggulan mereka dalam industri sains dan teknologi, telah berjaya melancarkan Sputnik dan seterusnya berjaya melancarkan makhluk bernyawa pertama ke angkasa iaitu anjing bernama Laika, diikuti dengan angkasawan pertama dunia iaitu Yuri Gagarin dan seterusnya angkasawan wanita pertama, Valentino Tereshkova.

Namun begitu menurut Zin Mahmud (2007), Jerman merupakan negara pertama yang secara serius menbangun teknologi roket melalui penubuhan Persatuan Roket Jerman (VIR) pada tahun 1923 dengan melancarkannya pada tahun 1931. Tetapi Jerman bukanlah pihak pertama yang melancarkan roket moden. Pencipta pertama ialah Robert Goddard dari AS yang melancarkannya pada tahun 1926. Tetapi dari segi teori roket moden, yang mengasaskannya ialah warga Jerman iaitu Herman Oberth pada tahun 1923. Biarpun begitu, orang yang mula-mula menulis mengenai kemungkinan perjalanan antara planet di angkasa ialah seorang Rusia bernama Konstantin Tsiolkorsky pada tahun 1903.

Sejarah turut mencatatkan seorang tentera Uthmaniah, Lagari Hasan Celebi pada tahun 1633 menaiki kenderaan berbentuk kon dan dilancarkan ke udara seperti roket dan selamat mendarat. Menurut Hassan Ahmad (2007) pula, dari segi sejarah, orang pertama yang mencetuskan idea, mencipta dan melakukan teknologi penerbangan bukanlah di kalangan bangsa Eropah atau Amerika. Abbas Ibn Firnas (888M), ahli fizik dan astronomi Islam, merupakan manusia pertama membuat penerbangan percubaan secara saintifik dalam sejarah sebagaimana disebut oleh sejarawan Barat K. Phillip Hitti. Ia berlaku pada tahun 875M di Cordoba, Sepanyol.

Lebih awal dari itu, mauduk naik ke langit atau angkasa lepas di kalangan umat Islam sebenarnya telah pun bermula sejak zaman Rasululah s.a.w lagi. Nabi Muhammad s.a.w sendiri adalah angkasawan pertama yang menerobos angkasa ketika baginda melakukan Mikraj dari stesen pelancarannya di Masjid al-Aqsa, Baitulmaqdis. Peristiwa ini direkodkan di dalam al-Quran dalam Surah al-Israk dengan penuh simbolik dan signifikan sekali.

Selanjutnya pada tahun 1960, Presiden Amerika Syarikat (AS), John F. Kennedy melancarkan gerakan penerokaan angkasa lepas dan hanya selepas sepuluh tahun kemudian iaitu pada 1967, AS telah berjaya menghantar beberapa kapal angkasa untuk melakukan ujian pendaratan manusia ke bulan. Hasilnya pada tahun 1969, AS telah berjaya menobatkan angkasawannya iaitu Neil Armstrong di permukaan bulan yang pernah dianggap mustahil dan tidak masuk akal oleh sebahagian besar penduduk dunia ketika itu.

Kejayaan penuh gemilang ini telah membuka dimensi baru kepada korpus sains dan teknologi angkasa global di mana negara-negara besar dan kecil turut serta dan berusaha untuk menjejaki angkasa lepas dan menakluki bulan serta planet-planet lain termasuk Marikh bagi mencari penempatan baru manusia di galaksi ini. Hakikat ini juga turut mempengaruhi corak pemikiran dan dimensi sains dan teknologi angkasa rakyat Malaysia.

Impaknya, bekas Perdana Menteri Tun Abdul Razak begitu bersungguh-sungguh mengajak rakyat berusaha semampu mungkin mencapai kemajuan kerana bagi beliau rakyat perlu bekerja keras kerana dengannya kesemua akan mampu mencapai kemajuan, malah sampai "ke angkasa lepas" sekalipun. Petikan ucapan keramat ini telah disiarkan berulang kali oleh Radio Televisyen Malaysia (RTM) menjelang detik-detik pelancaran angkasawan pertama negara ke ISS.

Istilah angkasa dan angkasa lepas seperti mana yang menjadi polemik hebat sebelum ini sebenarnya membawa makna yang sama kalau penggunaan kedua-dua perkataan itu dilihat dari aspek saintifik. Menurut Ketua Pengarah Agensi Angkasa Negara (Angkasa), Profesor Datuk Dr. Mazlan Othman, kedua-dua perkataan itu saling bertukaran dan boleh digunakan untuk konteks harian. Perkataan angkasa dan angkasa lepas diwujudkan untuk menunjukkan jarak angkasa dengan muka bumi.

Isu perbezaan istilah ini timbul kerana kedua-dua perkataan itu diterjemahkan terus daripada bahasa Inggeris iaitu space dan outer space. Perkataan space mempunyai banyak makna dalam konteks bahasa Inggeris, oleh itu penggunaan outer space diwujudkan untuk menggambarkan ruang udara di luar muka bumi. Jarak angkasa lepas dengan bumi tidak semestinya lebih jauh berbanding angkasa dari muka bumi. Penggunaan angkasa dalam bacaan sering berkait dengan alam semesta dan galaksi. Kedua-dua makna tersebut adalah sama maknanya.

Manakala menurut Kamus Dewan Edisi Ketiga terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) mendefinisikan angkasa sebagai ruang, udara, lapisan yang mengelilingi bumi, awang-awang dan langit. Sementara itu, angkasa lepas pula membawa erti ruang di luar lapisan udara yang mengelilingi bumi. Kamus Pelajar pula mendefinisikan angkasa sebagai awang-awangan, langit, lapisan udara yang melingkungi bumi dan ruang di sebelah luar lapisan udara yang melingkungi bumi.

Dalam hal ini juga agensi Rusia menggunakan istilah cosmonaut yang bermaksud pelayar alam semesta untuk merujuk kepada angkasawan mereka, manakala AS pula menggunakan istilah astronaut yang bermaksud pelayar bintang. Namun begitu Malaysia memilih untuk menggunakan perkataan Melayu yang lebih bersifat patriotik iaitu Angkasawan bagi membukti bahawa bahasa Malaysia tidak akan diketepikan serta dijulang tinggi seiring dengan kepesatan teknologi industri angkasa lepas.

Sepanjang misi besar Program Angkasawan Negara, Sheikh Muszaphar juga menjalankan penyelidikan saintifik Twisting Orbital Platform (TOP) atau Platform Orbit Berpusing di ISS untuk dijadikan bahan kajian penting pengajaran subjek Fizik kepada pelajar sekolah menengah. Kaedah penyelidikan ini dilakukan hasil kerjasama Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) bagi mengkaji sifat putaran gasing aluminium dalam keadaan mikrograviti.

Manakala dengan kerjasama Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi dan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) pula menjalankan kajian mengenai makanan tempatan yang sesuai untuk dinikmati di angkasa lepas seperti sate ayam, rendang daging, nasi himpit beriani, gegulung pisang, hirisan mangga kering, jeli halia, granola bar dari roselle, kuih bangkit dan cip tempe. Semua angkasawan lain di ISS juga turut dihidangkan makanan Malaysia seperti gegulung pisang dan hirisan mangsa kering.

Lebih menarik lagi, angkasawan pertama Malaysia ini berjaya melakukan beberapa aktiviti bersifat simbolik patriotik dengan membaca Rukun Negara dan mengibarkan Jalur Gemilang di ISS. Di samping itu, beliau juga mendapat cop khas di ISS untuk ditandakan pada Jalur Gemilang, Jata Negara dan logo Program Angkasawan Negara sebagai bukti kehadiran beliau di sana dan bakal disimpan di Planetarium Negara di Kuala Lumpur.

Di samping itu juga, beliau juga berkesempatan bergaya dengan memakai baju batik yang menjadi pakaian tradisi serta kebanggaan negara di ISS dan lebih manis lagi apabila angkasawan lain turut memuji baju batik yang dipakainya yang disifatkan mereka sebagai sangat cantik. Batik adalah simbolik dan identiti umat Melayu dan Malaysia yang telah berjaya dinobatkan di angkasa lepas yang bakal menjadi momentum positif kepada industri batik Malaysia dan dunia.

Sementara itu, angkasawan pertama negara juga berkesempatan berbual dengan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr. Jamaluddin Jargis melalui sesi telepersidangan selama 10 minit dari ISS ke Pusat Penyiaran Asia (Astro) di Bukit Jalil. Manakala hampir 20 orang pelajar Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Tamil (SRJKT) Vivekanandan, Brickfield turut berpeluang berkomunikasi dengan Sheikh Muszaphar menerusi radio amatur.

Menurut Dr. Mohd. Roshdi Hassan (2007), Malaysia sebagai sebuah negara Islam yang memimpin Pertubuhan Persidangan Islam (OIC), sepatutnya mengetuai negara Islam lain untuk mengembalikan tamadun ilmu yang berkaitan dengan angkasa lepas ini kepada umat Islam. Kerjasama antara negara OIC harus dibentuk untuk menubuhkan sebuah agensi angkasa lepas seperti mana European Space Agency (ESA).

Tiada kesatuan untuk menguasai teknologi ini menyebabkan negara Islam terpaksa bergantung kepada kuasa Barat bagi mendapatkan teknologi ini. Kita bukan sahaja membayar harga yang tinggi untuk mendapatkan teknologi ini, bahkan ada kalanya ia tidak dapat berfungsi seperti mana yang diharapkan. Yang lebih malang lagi apabila satelit yang disediakan menjadikan alat sebagai pengintip bagi kuasa Barat ke atas negara Islam itu sendiri. Kelemahan kita menguasai teknologi ini juga menyebabkan umat Islam dianggap semakin lemah.

Adalah tidak mustahil suatu hari nanti kita akan memiliki OIC Space Agency setanding Rusia, AS, Kanada dan ESA memandangkan dunia Islam sudahpun memiliki beberapa angkasawan mereka seperti Putera Sultan Salman Saud dari Arab Saudi yang merupakan angkasawan Islam pertama di dunia pada tahun 1985; Muhammad Faris dari Syria pada tahun 1987; Abdul Ahad Mohammad dari Afghanistan pada tahun 1988; Talgat Amangeldyuly Mugabayev dari Kazakhstan pada tahun 1994; dan seterusnya angkasawan wanita Islam pertama iaitu Anousheh Ansari yang berasal dari Iran tetapi menetap di AS pada 2006.

Kemunculan Sheikh Muszaphar sebagai kesinambungan angkasawan Islam menakluki ISS dan kepada dunia bahawa umat Islam mampu melakukan apa sahaja yang dilakukan oleh umat maju lain serta setanding dengan mereka. Sebagai sebuah negara membangun, Malaysia bukanlah sekadar menghantar angkasawan malahan serius membina industri angkasa lepas negara pada masa hadapan serta komited menjadikannya sebagai agenda utama kemajuan negara.

Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menegaskan bahawa peruntukan besar yang disediakan kerajaan untuk program angkasawan bukan satu pembaziran kerana banyak faedah diperoleh rakyat dan negara. Pembabitan serius negara dalam industri angkasa lepas adalah pendekatan kerajaan untuk mencapai matlamat Wawasan 2020 bagi menjadikan Malaysia sebuah negara maju dan dihormati dunia. Pembabitan Sheikh Muszaphar telah mencetuskan minat rakyat terhadap program angkasa lepas yang sebelum ini tidak begitu banyak diketahui.

Lebih penting lagi kajian yang dijalankan di ISS seperti sel kanser turut mendapat perhatian negara maju termasuk Jepun dan Eropah. Walaupun Malaysia bukanlah dalam kelompok negara maju yang terlebih dahulu menerokai angkasa lepas seperti Rusia dan AS, namun negara berjaya menyaingi dan mendahului negara lain di rantau ini.



Rujukan

Kamus Dewan Edisi Ketiga
Kamus Pelajar Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP)

Dr. Mohd. Roshdi Hassan, 2007. "Manfaat Program Angkasawan Negara". Utusan Malaysia, 9 Oktober 2007
Zin Mahmud, 2007. "Impian Malaysia jadi kenyataan". Mingguan Malaysia, 14 Oktober 2007
Dr. Hassan Ahmad, 2007. "Islam pelopor sains angkasa". Utusan Malaysia, 25 Oktober 2007

"Pakai batik di angkasa", Utusan Malaysia, 9 Oktober 2007
"Angkasa, angkasa lepas sama makna" Utusan Malaysia, 9 Oktober 2007
"Kajian Platfom Orbit Berpusing", Utusan Malaysia, 16 Oktober 2007
"Dr. Sheikh Muszaphar baca Rukun Negara, kibar Jalur Gemilang di ISS", Utusan Malaysia, 16 Oktober 2007
"Separuh eksperimen berjaya diselesai", Utusan Malaysia, 16 Oktober 2007
"Program angkasa lepas bukan pembaziran:PM", Berita Harian, 23 Oktober 2007

Comments

Popular Posts