Saturday, November 24, 2007

KEPENTINGAN MEMPELAJARI BAHASA ARAB DAN KEUNIKANNYA

Bahasa Arab begitu dekat di hati umat Melayu dan hampir 1,700 patah perkataan Arab telah diterimapakai di dalam bahasa Melayu sejak awal kedatangan Islam di dunia nusantara. Bahasa Arab sudah sebati dan menjadi darah daging umat Islam dulu, kini dan selamanya di mana hampir setiap hari mereka akan mendengar dan bertutur di dalam bahasa Arab tanpa disedari. Buktinya ialah setiap hari kita diwajibkan bersembahyang yang mana bacaan dan doa di dalamnya adalah di dalam bahasa Arab manakala kita juga akan mendengar laungan azan dan iqamat setiap kali tibanya waktu sembahyang yang juga di dalam bahasa Arab.

Lebih unik lagi bagi umat Islam, perkataan pertama yang didengar sejurus selepas dilahirkan ke dunia ialah azan dan iqamat yang menandakan kecintaan kita terhadap bahasa Arab telah diterap sejak masih bayi lagi. Kajian Syed Muhammad Naquib Al-Attas pada tahun 1984 mendapati bahawa selain perkataan Arab yang diserap ke dalam bahasa Melayu, tulisan Arab juga diambil secara keseluruhan dan dijadikan tulisan bahasa Melayu. Ketinggian dan keistimewaan bahasa ini telah diakui dan dibuktikan oleh pakar-pakar ilmu bahasa (linguisticans), pengkaji bahasa (philogist) dan perkamusan (lexicographer) Barat. Bahasa Arab dianggap sebagai bahasa yang telah lama mempengaruhi iklim bahasa dunia dan membantu kepada perkembangan tamadun manusia serta menjadi dinamo yang telah berjaya merubah dan membentuk keperibadian struktur sesebuah negara bangsa.

Kitab al-Quran yang diturunkan kepada Nabi Muhammad s.a.w untuk disampaikan kepada seluruh umat manusia juga adalah di dalam bahasa Arab dan seluruh umat Islam digalakkan membaca, memahami, menghafal, mengikuti segala ajaran dan melaksana serta menterjemahkan segala panduan di dalam kehidupan seharian. Membaca al-Quran seolah-olah kita sedang berdailog dan berkomunikasi dengan Allah s.w.t secara live, satu pengalaman yang amat unik dan perlu dijadikan amalan harian umat Islam. Realiti ini menjadikan bahasa Arab mampu melonjak corak dan tahap pemikiran manusia yang lebih holistik, komprehensif dan membentuk satu anjakan paradigma ke arah menjadi individu yang versatil dalam menangani suvival semasa umat Islam.

Dengan menguasai bahasa Arab juga akan memudahkan kita mendalami intipati dan pengertian al-Quran, hadis Rasulullah dan kitab-kitab muktabar para ulama silam yang kebanyakannya ditulis di dalam bahasa Arab. Kemahiran bahasa Arab juga membolehkan kita memahami maksud setiap bacaan di dalam sembahyang, doa-doa, wirid, zikir dan sebagainya di mana sebahagian besar umat Islam tidak tahu pengertiannya walaupun sudah berpuluh tahun mengamalnya hatta ada yang tidak tahu pengertian doa iftitah dan qunud yang dibaca setiap hari dalam sembahyang. Kejahilan dan kelemahan umat Islam mendalami bahasa Arab akan hanya mewujudkan sebuah masyarakat tidak kreatif, kurang dinamik dan pak turut yang hanya menuturkan sesuatu yang tidak difahami seumpama burung kakak tua yang bijak berbicara. Oleh yang demikian, umat Islam perlu mencari jalan memahami dan mendalami bahasa al-quran ini sebaik mungkin.

Bahasa Arab adalah bahasa umat Islam dan bahasa syurga. Dengan jumlah umat Islam yang kini mencecah 1.6 bilion orang di seluruh dunia, membuktikan bahasa ini diucapkan setiap hari di dalam amalan ritual dan muamalah umat Islam secara global. Kebolehan berbahasa Arab membolehkan kita berkomunikasi dengan saudara seislam di seluruh dunia terutamanya di negara-negara Arab dan dapat mengenali mereka secara lebih dekat serta mengikat silatulrahim sesama umat Islam. Dalam konteks dunia Melayu pula, bahasa Arab digunakan secara meluas sejak awal kedatangan Islam dan kemuncaknya ialah pada era kegemilangan Kerajaan Melaka sehinggalah ke hari ini di mana bahasa ini digunakan di dalam pelbagai aspek dari sudut ekonomi, sosial, politik, diplomatik hatta di dalam amalan mistik dan jampi serapah pun bahasa Arab banyak digunakan terutamanya di dalam perubatan tradisional dan alternatif.

Bahasa Arab juga mempunyai nilai komersial yang tinggi dan berdaya saing serta mampu menandingi bahasa dunia lain seperti bahasa Inggeris, Perancis, Rusia dan sebagainya. Nilai ekonomi yang terdapat pada bahasa Arab membolehkannya diiktiraf sebagai salah satu bahasa utama dan terpenting di dunia serta telah menarik ramai orang mempelajarinya. Bagi umat Islam, bahasa Arab adalah bahasa perpaduan dan penyatuan. Walaupun tidak semua negara Islam menjadikan bahasa Arab sebagai bahasa rasmi, namun begitu bahasa Arab tetap memainkan peranan penting di dalam sistem pemerintahan negara dan struktur masyarakat terutamanya di kalangan negara anggota OIC. Melalui medium bahasa Arab juga negara Islam diseluruh dunia dapat mewujudkan kerjasama dan perkongsian ekonomi, teknologi, ketenteraan, pendidikan dan sebagainya secara yang lebih akomodatif dan progresif bagi mendepani segala anasir-anasir negatif yang boleh mengganggu-gugat kestabilan Islam.

Inisiatif kerajaan Malaysia melalui Kementerian Pelajaran memperkenalkan program J-QAF iaitu sistem pendidikan jawi, al-Quran, bahasa Arab dan tulisan Jawi secara yang lebih efektif di sekolah-sekolah rendah mampu memperkasakan penguasaan dan kemahiran bahasa Arab di kalangan rakyat Malaysia, di samping program bahasa Arab yang turut disediakan di peringkat sekolah menengah dan yang lebih tinggi hampir semua institusi pengajian tinggi di seluruh negara adalah momentum positif kepada bahasa syurga ini. Pemikir Islam terkenal, Hassan al-Banna pernah berpesan di dalam wasiat sepuluhnya yang berbunyi " Berusahalah sedaya upaya untuk bertutur dalam bahasa Arab yang betul kerana bahasa Arab yang betul itu adalah satu-satunya syiar Islam".

RUJUKAN:

Zamri Mohamad, 2003. Bahasa Arab, Bahasa Syurga Yang Mempengaruhi Dunia. Utusan Malaysia, 10 Jun

"Menghayati Sejarah Tulisan Bahasa Arab dan Tulisan Jawi", Utusan Malaysia, 2 Mac 2006


Saturday, November 17, 2007

SEJARAH AWAL IBADAH HAJI UMAT MELAYU

Amat sukar untuk dipastikan siapakah orang Melayu pertama yang telah berjaya menjejakkan kaki di bumi Mekah dan menunaikan fardu haji. Namun begitu, adalah dipercayai bahawa orang Melayu telah mula belayar ke Mekah untuk menunaikan ibadah haji sejak zaman awal Islam dikembangkan di semenanjung Tanah Melayu dan di Nusantara.

Dalam buku Haji Di Semenanjung Malaysia: Sejarah dan Perkembangannya Sejak Tahun 1300-1405H (1896-1985) oleh Mohd Saleh Haji Awang (1986) dengan merujuk kepada catatan yang dibuat oleh Tom Pires menyatakan bahawa Sultan Melaka, Sultan Alauddin Riayat Shah (1477-1488) merupakan orang Melayu pertama dalam sejarah yang mengerjakan ibadah haji di Mekah. Manakala di dalam Hikayat Hang Tuah yang cukup terkenal pula ada menceritakan bahawa laksamana kerajaan Melaka itu pernah menunaikan haji semasa singgah di Mekah ketika beliau dalam perjalanan ke Rom dan sempat menziarahi makam Rasulullah di Madinah dan makam para sahabat di Baqi' serta Uhud.

Menurut Mohammad Redzuan Othman (2003) catatan yang tepat berkenaan sejarah pemergian haji orang Melayu hanya terdapat pada abad ke-16 seperti pemergian ulama nusantara Hamzah Fansuri pada akhir abad ke-16 dan Abdul Rauf Singkel pada sekitar tahun 1643 ke Tanah Suci untuk menuntut ilmu dan sempat mengerjakan ibadah haji di sana. Pada pertengahan abad ke-19 pula lebih banyak penulisan yang melaporkan pemergian orang Melayu ke Mekah seperti karya Tuhfat al-Nafis yang ditulis sekitar tahun 1860an dan Hikayat Pelayaran Abdullah yang menceritakan pengalaman Munsyi Abdullah menunaikan haji pada tahun 1854.

Pegawai Haji yang pertama dilantik oleh kerajaan Inggeris pada tahun 1923 untuk menjaga kebajikan dan keselamatan jemaah haji Melayu ialah Tuan Haji Abdul Majid Zainuddin yang bertanggungjawab ke atas segala hal jemaah haji termasuk masalah kesihatan, keselamatan, perjalanan, dan kebajikan para jemaah haji yang ketika itu menggunakan kapal laut untuk ke Tanah Suci. Dalam tulisan beliau yang bertajuk 'A Malay Pilgrimage to Mecca' (1926) menceritakan secara detil pengalaman menarik beliau mengurus jemaah haji Tanah Melayu.

Antara tulisan klasik lain yang menceritakan kisah haji orang Melayu ialah oleh Tuan Haji Jaafar Jusoh al-Hajj dalam buku beliau Perihal Pemergian Ke Mekah dan Madinah, iaitu Pelayaran dan Perjalanan Ke Mekah al-Mushrifah Bagi Mengerjakan Haji dan Ke Madinah al-Munawwarah Bagi Ziarah Makam Rasul Allah s.a.w dan Sahabat-Sahabatnya (1937) dan buku The Conduct of the Hajj From Malaya, and the First Malay Pilgrimage Officer (1975) oleh William R. Roff. Manakala dalam buku Sejarah Hidup Tok Kenali (1967) turut menceritakan perihal pemergian haji ulama tersohor itu ke Mekah pada tahun 1886 dengan meggunakan kapal layar.

Statistik juga menunjukkan jumlah jemaah haji ke Mekah pada 1927 meningkat pada 12,184 orang ekoran peningkatan harga getah di pasaran dunia melambung tinggi dan penguasaan ekonomi orang Melayu yang lebih baik, pengenalan kapal wap yang lebih cepat serta mengambil masa yang singkat dan jaminan keselamatan pemerintahan Ibn Sa'ud di sana. Pengangkutan jemaah haji ke Mekah setiap tahun di anggap oleh kerajaan Inggeris sebagai perniagaan yang amat menguntungkan mereka.

Namun begitu pada tahun 1932, jumlah jemaah yang mengerjakan haji merosot teruk kepada hanya lapan puluh orang sahaja akibat kemelesetan ekonomi dunia dan pasaran harga getah yang jatuh merudum. Pada tahun 1939/40 sebelum meletusnya Perang Dunia Kedua pula merekodkan kemerosotan paling teruk di mana hanya empat puluh enam orang sahaja yang berjaya sampai ke Mekah untuk mengerjakan haji.

Jemaah haji juga turut berhadapan dengan pelbagai bentuk eksploitasi dan penipuan ketika mengerjakan haji. Menurut Mohammad Ridzuan Othman (2003), akhbar Chahaya Pulau Pinang pada tahun 1906 melaporkan ramai bakal jemaah haji ditipu oleh broker haji ketika berada di pelabuhan Pulau Pinang dan Singapura. Lebih malang lagi menurut N. Rajendran (1982) dalam tulisan beliau bertajuk Notes On Haji Labour in Early Singapore menukilkan pada akhir abad ke-19, pernah berlaku ekspoitasi kepada bakal jemaah haji dari Jawa yang ditipu dan menyebabkan mereka menjadi papa kedana dan terpaksa meminjam wang daripada broker haji. Untuk melunaskan kembali pinjaman yang dibuat, mereka terpaksa menjadi buruh paksa di ladang-ladang di Johor apabila selesai mengerjakan ibadah haji.

Belanja untuk mengerjakan haji juga amat mahal ketika itu dan ianya menjadi simpanan seumur hidup untuk sampai ke Tanah Suci. Pada akhir abad ke-19 umpamanya belanja haji mencecah hampir $200 dan pada tahun 1926 pula, kos keseluruhan untuk mengerjakan haji meningkat sehingga $600 seorang. Pada tahun 1947, kos terus meningkat kepada $1,500 seorang untuk membiayai keseluruhan kos dan perbelanjaan sepanjang berada di Mekah dan pulang ke tanahair.

Oleh demikian, melihat kepada paparan sejarah awal orang Melayu bersungguh-sungguh ke Mekah untuk mengerjakan haji membuktikan mereka begitu komited berusaha untuk sampai ke sana dalam apa jua keadaan dan sanggup berkorban apa sahaja biarpun nyawa sendiri. Oleh yang demikan, sebagai masyarakat moden, berpendidikan dan berkemampuan, perlulah bertekad untuk segera menunaikan ibadah haji di usia muda dan bagi yang tidak berkemampuan, maka simpanan dan tabungan untuk tujuan murni itu perlulah dilakukan bermula pada hari ini.


RUJUKAN


Mohammad Ridzuan Othman, 2003. Menyahut Panggilan Kaabah: Sejarah Pemergian Orang Melayu ke Tanah Suci dan Kepentingannya Kepada Orang Melayu Sebelum Perang Dunia Ke-II. Jurnal Usuluddin. Kuala Lumpur: Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya.

Mohd. Saleh Haji Awang, 1986. Haji Di Semenanjung Malaysia: Sejarah dan Perkembangannya Sejak Tahun 1300-1405H (1896-19850. Kuala Terenganu: Syarikat Percetakan Yayasan Islam Terengganu Sdn. Bhd.

Monday, November 12, 2007

MEMPERKASA SEKTOR KOPERASI

Pertumbuhan pesat institusi koperasi di Malaysia sejak sebelum merdeka sehingga ke hari ini begitu memberangsangkan serta mampu menjana ekonomi yang lebih mapan dan progresif. Oleh yang demikian, pengumuman kerajaan bahawa Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) yang akan memulakan operasi sulongnya pada 1 Januari tahun hadapan adalah satu langkah dan strategi yang amat tepat dalam usaha kerajaan memperkukuhkan gerakan koperasi di seluruh negara.

Antara tugas utama SKM ialah menetapkan garis panduan khusus bagi memastikan operasi sesebuah koperasi tidak menyimpang daripada objektif asal penubuhannya. SKM juga akan mengambil alih tugas Jabatan Pembangunan Koperasi (JPK) dengan memperkenalkan dua dana bagi memperkasakan gerakan koperasi, selain membantu institusi ini menghadapi masalah kecairan modal serta turut menganjurkan program keusahawanan.

Menurut Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MECD), Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, penubuhan SKM antara lain adalah sebagai langkah menggalakkan lebih ramai masyarakat menyertai koperasi sekaligus merealisasikan hasrat kerajaan untuk melahirkan lebih ramai masyarakat usahawan perdagangan dan industri bumiputera. Melalui pendekatan ini juga, kerajaan dapat menaik taraf koperasi sedia ada dan menyediakan pelan pembangunan yang lebih komprehensif termasuk pembiayaan pinjaman kecil kepada usahawan tempatan.

Koperasi-koperasi di seluruh negara juga digesa membuat anjakan paradigma dengan mewujudkan jaringan perniagaan yang baru dan boleh bersaing di peringkat global antaranya dengan menyertai kaedah perniagaan pemasaran pelbagai peringkat (MLM) yang berkesan dan sistematik, selain mengeluarkan produk sendiri yang berkualiti dan berdaya saing.

Sehingga 31 Disember 2006, terdapat hampir 4,918 buah koperasi dan bagi tahun 2007 pula menunjukkan penambahan kepada 5004 buah; yang dianggotai oleh 5.86 juta orang pada 2006 dan 6.05 juta bagi tahun 2007 di seluruh negara; dengan memiliki dana terkumpul sebanyak RM7.36 bilion modal syer serta yuran pada tahun 2006 dan RM7.79 pada 2007, di samping RM38.38 bilion jumlah aset pada tahun 2006, manakala RM42.5 bilion pada 2007 di dalam dan luar negara. Dengan kekuatan ini membukti institusi koperasi mampu bergerak lebih jauh dan bersaing di peringkat global.

Inisiatif penubuhan suruhanjaya ini diharapkan dapat mengatasi masalah birokrasi dan kerenah institusi kewangan tempatan yang membabitkan pembiayaan terutamanya dalam sektor pertanian dan perladangan yang dianggap tidak berpotensi serta tidak memenuhi kriteria dan syarat asas pinjaman yang ketat. Oleh demikian, dengan adanya SKM, masalah ini akan dapat diatasi di mana suruhanjaya ini boleh bertindak sebagai penyalur alternatif pembiayaan pinjaman kepada koperasi dan usahawan yang berpotensi.

Melalui pemantauan berterusan suruhanjaya yang bakal diwujudkan ini juga, dijangkakan dapat mengatasi kerenah anggota koperasi yang tidak membayar balik pinjaman yang dibuat oleh mereka. Di samping itu, koperasi juga boleh membuat pelaburan ke dalam syarikat perniagaan yang diusahakan oleh anggotanya memandangkan penubuhan koperasi baru di kalangan usahawan telah membawa suatu anjakan paradigma ke arah membawa gerakan koperasi yang lebih berdaya maju dan kompetitif.

Oleh yang demikian, anggota koperasi digalakkan menambah modal syer mereka agar koperasi dapat mempertingkatkan sumber modal dalaman selaras dengan strategi kelima Dasar Koperasi Negara (DKN) bagi membolehkan koperasi di seluruh negara bersaing dan tidak terlalu bergantung kepada pembiayaan dari institusi perbankan. Dengan pengumpulan dana dan modal syer yang banyak secara langsung dapat memperluas dan mempelbagaikan lagi kelangsungan aktiviti koperasi yang mana manfaatnya adalah untuk ahli-ahlinya secara tidak langsung.

Baru-baru ini Perikatan Koperasi Antarabangsa (ICA) dalam laporan terbaru Global 300, yang terdiri daripada koperasi-koperasi terbesar dunia dan syarikat kerjasama, mengumumkan sebagai sebuah kuasa ekonomi global, pergerakan koperasi telah menyediakan kira-kira 100 juta pekerjaan di seluruh dunia iaitu kira-kira 20 peratus yang disediakan oleh syarikat-syarikat multinasional.

Dalam laporan tersebut, dua koperasi dari Jepun iaitu Persekutuan Koperasi Pertanian Kebangsaan (Zen-Noh) berada di tempat pertama dengan jumlah dagangan bernilai AS$63.44 bilion, diikuti oleh Persekutuan Kebangsaan Insuran Kerjasama (Zenkyoren) dengan jumlah dagangan bernilai AS$46.8 bilion. Tempat ketiga pula ialah bank terbesar di Perancis iaitu Credit Agricole Group, dengan jumlah dagangan sebanyak AS$30.7 bilion.

Menurut ICA juga, 300 koperasi terbesar di seluruh dunia telah menyumbang hampir AS$1 trilion perolehan kepada ekonomi global setiap tahun. Potensi besar koperasi ini membuktikan bahawa institusi koperasi telah memainkan peranan penting dalam ekonomi dunia. Namun begitu tiada satu pun koperasi Malaysia berjaya menduduki senarai 300 koperasi terbaik ICA.

Biarpun begitu, terdapat beberapa koperasi tempatan yang tersenarai dalam 150 koperasi ICA di kalangan negara membangun yang antara yang boleh dibanggakan ialah Bank Kerjasama Rakyat Malaysia (Bank Rakyat), Felcra Co-operative Society Ltd., Persatuan Koperasi Pelaburan Felda, Koperasi Tentera, Koperasi Kebangsaan Permodalan Tanah, Koperasi Kakitangan Petronas, Koperasi Serba Usaha Makmur, Koperasi Sejati, Koperasi Polis Diraja Malaysia, Angkasa, Koperasi Kedai Buku Universiti, Koperasi Pegawai Kerajaan Kedah dan Koperasi Shamelin.

Berdasarkan laporan tersebut menunjukkan daripada 150 koperasi terbaik bagi negara membangun, 15 buah koperasi cemerlang adalah dari Malaysia yang mana Bank Rakyat berada di tangga keempat daripada senarai tersebut. Oleh demikian, cadangan pihak kementerian MCED untuk mewujudkan senarai 100 buah pertubuhan koperasi tempatan terbaik dan berjaya berdasarkan indeks atau kriteria amatlah dialu-alukan. Ini adalah sejajar dengan indeks yang dilaksana dan diguna pakai diperingkat antarabangsa berdasarkan kepada kemajuan, sumbangan dan pertumbuhan koperasi seperti mana yang sedang dilaksanakan oleh ICA selama ini.

Untuk itu, selaras dengan DKN, kerajaan telah melancarkan empat produk baru untuk memperkasakan sektor koperasi negara termasuk memberi peluang kepada institusi ini membangunkan tanah milik mereka dalam projek perumahan dan bangunan. Di bawah Skim Usahasama UDA-Koperasi (UDACOP), kedua-dua institusi ini boleh bekerjasama membangunkan tanah-tanah milik koperasi yang berpotensi dan terletak di tempat-tempat yang strategik di kawasan bandar untuk tujuan pembangunan.

Bagi produk kedua pula membolehkan pelaburan berstruktur dilaksanakan di bawah ASM-Koperasi (ASMKOP), di mana bagi koperasi yang mempunyai dana yang berlebihan digalakkan melabur di dalam ASM untuk jaminan pelaburan yang lebih selamat dan mampu memberikan pulangan yang baik pada masa hadapan. Sehingga kini jumlah pelaburan koperasi menerusi produk ini mencecah nilaian RM2.9 juta dan bagi membolehkan produk ini berjaya, maka 4,918 buah koperasi di seluruh negara perlulah mengambil bahagian sewajarnya.

Manakala produk ketiga dalam memperkasakan lagi institusi ini ialah kewujudan Wakil Khidmat Bank Rakyat yang menawarkan kepada koperasi-koperasi tertentu menjadi wakilnya yang berperanan mempromosi dan menjual produk serta perkhidmatan bank koperasi tersebut. Peluang ini secara tidak langsung dapat menjana pendapatan koperasi terutamanya bagi koperasi yang berskala besar dan mempunyai reputasi yang baik serta kedudukan kewangan yang kukuh.

Seterusnya bagi produk pemantapan keempat pula ialah mewujudkan Buku Panduan Tadbir Urus Koperasi yang merangkumi prinsip umum dan piawaian kepada anggota koperasi serta ahli lembaga koperasi ke arah pembentukan sistem pengurusan dan pentadbiran koperasi yang efisien, konstruktif dan berwibawa. Oleh yang demikian, Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi juga turut menggesa agar institusi koperasi di seluruh negara mengambil peluang keemasan di dalam usaha pembangunan di seluruh negara terutamanya di Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI), koridor-koridor pembangunan di Utara (NCER), Timur (ECER), Sabah dan Sarawak.

Perdana Menteri juga menyarankan agar golongan petani di seluruh negara menubuhkan koperasi agro atau koperasi yang berasaskan pertanian atau agro bagi menjamin masa depan mereka. Melalui koperasi itu juga dapat merintis usaha ke arah pembinaan kilang yang dapat mempertingkatkan lagi nilai hasil pertanian. Dengan adanya koperasi agro membolehkan para petani mempelbagaikan hasil pengeluaran dan menggunakan lebihan pengeluaran bagi memberikan pulangan lebih lumayan sebagai nilai tambah kepada pendapatan bulanan mereka. Agensi di bawah kementerian terbabit akan memberikan bantuan kepada para petani untuk membangunkan kilang secara koperasi ini dalam usaha membantu mereka menambah nilai hasil pengeluaran.

Tambahan pula penubuhan koperasi oleh Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) di seluruh negara dapat meningkatkan pengeluaran produk pertanian dan makanan berskala besar untuk menampung keperluan tempatan. Menurut Menteri Pertanian, Tan Sri Muhyiddin Yassin, penubuhan koperasi PPK akan membantu menyelaras aktiviti pertanian negara yang kebanyakkannya kini diusahakan secara bersendirian dan mempunyai kapasiti pengeluaran yang kecil dan terhad.

Dengan adanya koperasi sendiri, petani dan penternak PPK boleh menumpukan perhatian kepada urusan pengeluaran produk pertanian dan ternakan, manakala koperasi pula boleh menumpukan urusan kajian pasaran, pengangkutan, mencari pasaran dan kaedah promosi yang lebih berkesan. Koperasi-koperasi agro di Korea Selatan, Australia dan Kanada umpamanya mampu menubuhkan gedung dan pasar raya mereka sendiri bagi tujuan membekal dan memasarkan produk yang dikeluarkan.

Di samping itu, lebih signifikan lagi ialah institusi ini juga merupakan alternatif kepada usaha kerajaan memperkasa dan memperkukuh kedudukan pembangunan ekonomi umat Melayu memandangkan rata-rata ahli anggota koperasi di Malaysia adalah Melayu. Dan secara tidak langsung institusi ini mampu memperkasa fundamental dan struktur ekonomi umat Islam serta mampu merealisasikan wawasan kerajaan membebaskan orang Melayu daripada kepompong kemiskinan yang masih melanda mereka. Oleh yang demikian, tidak dapat dinafikan lagi koperasi merupakan landasan terbaik untuk merealisasikan hasrat kerajaan tersebut.


RUJUKAN:

Tubuh segera koperasi pertanian-Muhyiddin, Utusan Malaysia, 13 November 2007
100 koperasi disenarai terbaik, Utusan Malaysia, 13 November 2007
Indeks seratus koperasi terbaik tempatan diwujud, Berita Harian, 13 November 2007
Suruhanjaya koperasi mula operasi 1 Jan 2008, Utusan Malaysia, 12 November 2007
Garis Panduan SKM perkemas koperasi: Khaled, Berita Harian, 12 November 2007
Empat produk baru perkasa sektor koperasi dilancar, Utusan Malaysia, 23 Julai 2007
300 koperasi, syarikat kerjasama dunia catat perolehan AS$1 trilion, Utusan Malaysia, 17 Oktober 2007
Tubuh koperasi agro, rintis para petani bina kilang tingkatkan nilai hasil pengeluaran-PM, Utusan Malaysia, 28 Oktober 2007