MEMPERKASA SEKTOR KOPERASI

Pertumbuhan pesat institusi koperasi di Malaysia sejak sebelum merdeka sehingga ke hari ini begitu memberangsangkan serta mampu menjana ekonomi yang lebih mapan dan progresif. Oleh yang demikian, pengumuman kerajaan bahawa Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) yang akan memulakan operasi sulongnya pada 1 Januari tahun hadapan adalah satu langkah dan strategi yang amat tepat dalam usaha kerajaan memperkukuhkan gerakan koperasi di seluruh negara.

Antara tugas utama SKM ialah menetapkan garis panduan khusus bagi memastikan operasi sesebuah koperasi tidak menyimpang daripada objektif asal penubuhannya. SKM juga akan mengambil alih tugas Jabatan Pembangunan Koperasi (JPK) dengan memperkenalkan dua dana bagi memperkasakan gerakan koperasi, selain membantu institusi ini menghadapi masalah kecairan modal serta turut menganjurkan program keusahawanan.

Menurut Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MECD), Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, penubuhan SKM antara lain adalah sebagai langkah menggalakkan lebih ramai masyarakat menyertai koperasi sekaligus merealisasikan hasrat kerajaan untuk melahirkan lebih ramai masyarakat usahawan perdagangan dan industri bumiputera. Melalui pendekatan ini juga, kerajaan dapat menaik taraf koperasi sedia ada dan menyediakan pelan pembangunan yang lebih komprehensif termasuk pembiayaan pinjaman kecil kepada usahawan tempatan.

Koperasi-koperasi di seluruh negara juga digesa membuat anjakan paradigma dengan mewujudkan jaringan perniagaan yang baru dan boleh bersaing di peringkat global antaranya dengan menyertai kaedah perniagaan pemasaran pelbagai peringkat (MLM) yang berkesan dan sistematik, selain mengeluarkan produk sendiri yang berkualiti dan berdaya saing.

Sehingga 31 Disember 2006, terdapat hampir 4,918 buah koperasi dan bagi tahun 2007 pula menunjukkan penambahan kepada 5004 buah; yang dianggotai oleh 5.86 juta orang pada 2006 dan 6.05 juta bagi tahun 2007 di seluruh negara; dengan memiliki dana terkumpul sebanyak RM7.36 bilion modal syer serta yuran pada tahun 2006 dan RM7.79 pada 2007, di samping RM38.38 bilion jumlah aset pada tahun 2006, manakala RM42.5 bilion pada 2007 di dalam dan luar negara. Dengan kekuatan ini membukti institusi koperasi mampu bergerak lebih jauh dan bersaing di peringkat global.

Inisiatif penubuhan suruhanjaya ini diharapkan dapat mengatasi masalah birokrasi dan kerenah institusi kewangan tempatan yang membabitkan pembiayaan terutamanya dalam sektor pertanian dan perladangan yang dianggap tidak berpotensi serta tidak memenuhi kriteria dan syarat asas pinjaman yang ketat. Oleh demikian, dengan adanya SKM, masalah ini akan dapat diatasi di mana suruhanjaya ini boleh bertindak sebagai penyalur alternatif pembiayaan pinjaman kepada koperasi dan usahawan yang berpotensi.

Melalui pemantauan berterusan suruhanjaya yang bakal diwujudkan ini juga, dijangkakan dapat mengatasi kerenah anggota koperasi yang tidak membayar balik pinjaman yang dibuat oleh mereka. Di samping itu, koperasi juga boleh membuat pelaburan ke dalam syarikat perniagaan yang diusahakan oleh anggotanya memandangkan penubuhan koperasi baru di kalangan usahawan telah membawa suatu anjakan paradigma ke arah membawa gerakan koperasi yang lebih berdaya maju dan kompetitif.

Oleh yang demikian, anggota koperasi digalakkan menambah modal syer mereka agar koperasi dapat mempertingkatkan sumber modal dalaman selaras dengan strategi kelima Dasar Koperasi Negara (DKN) bagi membolehkan koperasi di seluruh negara bersaing dan tidak terlalu bergantung kepada pembiayaan dari institusi perbankan. Dengan pengumpulan dana dan modal syer yang banyak secara langsung dapat memperluas dan mempelbagaikan lagi kelangsungan aktiviti koperasi yang mana manfaatnya adalah untuk ahli-ahlinya secara tidak langsung.

Baru-baru ini Perikatan Koperasi Antarabangsa (ICA) dalam laporan terbaru Global 300, yang terdiri daripada koperasi-koperasi terbesar dunia dan syarikat kerjasama, mengumumkan sebagai sebuah kuasa ekonomi global, pergerakan koperasi telah menyediakan kira-kira 100 juta pekerjaan di seluruh dunia iaitu kira-kira 20 peratus yang disediakan oleh syarikat-syarikat multinasional.

Dalam laporan tersebut, dua koperasi dari Jepun iaitu Persekutuan Koperasi Pertanian Kebangsaan (Zen-Noh) berada di tempat pertama dengan jumlah dagangan bernilai AS$63.44 bilion, diikuti oleh Persekutuan Kebangsaan Insuran Kerjasama (Zenkyoren) dengan jumlah dagangan bernilai AS$46.8 bilion. Tempat ketiga pula ialah bank terbesar di Perancis iaitu Credit Agricole Group, dengan jumlah dagangan sebanyak AS$30.7 bilion.

Menurut ICA juga, 300 koperasi terbesar di seluruh dunia telah menyumbang hampir AS$1 trilion perolehan kepada ekonomi global setiap tahun. Potensi besar koperasi ini membuktikan bahawa institusi koperasi telah memainkan peranan penting dalam ekonomi dunia. Namun begitu tiada satu pun koperasi Malaysia berjaya menduduki senarai 300 koperasi terbaik ICA.

Biarpun begitu, terdapat beberapa koperasi tempatan yang tersenarai dalam 150 koperasi ICA di kalangan negara membangun yang antara yang boleh dibanggakan ialah Bank Kerjasama Rakyat Malaysia (Bank Rakyat), Felcra Co-operative Society Ltd., Persatuan Koperasi Pelaburan Felda, Koperasi Tentera, Koperasi Kebangsaan Permodalan Tanah, Koperasi Kakitangan Petronas, Koperasi Serba Usaha Makmur, Koperasi Sejati, Koperasi Polis Diraja Malaysia, Angkasa, Koperasi Kedai Buku Universiti, Koperasi Pegawai Kerajaan Kedah dan Koperasi Shamelin.

Berdasarkan laporan tersebut menunjukkan daripada 150 koperasi terbaik bagi negara membangun, 15 buah koperasi cemerlang adalah dari Malaysia yang mana Bank Rakyat berada di tangga keempat daripada senarai tersebut. Oleh demikian, cadangan pihak kementerian MCED untuk mewujudkan senarai 100 buah pertubuhan koperasi tempatan terbaik dan berjaya berdasarkan indeks atau kriteria amatlah dialu-alukan. Ini adalah sejajar dengan indeks yang dilaksana dan diguna pakai diperingkat antarabangsa berdasarkan kepada kemajuan, sumbangan dan pertumbuhan koperasi seperti mana yang sedang dilaksanakan oleh ICA selama ini.

Untuk itu, selaras dengan DKN, kerajaan telah melancarkan empat produk baru untuk memperkasakan sektor koperasi negara termasuk memberi peluang kepada institusi ini membangunkan tanah milik mereka dalam projek perumahan dan bangunan. Di bawah Skim Usahasama UDA-Koperasi (UDACOP), kedua-dua institusi ini boleh bekerjasama membangunkan tanah-tanah milik koperasi yang berpotensi dan terletak di tempat-tempat yang strategik di kawasan bandar untuk tujuan pembangunan.

Bagi produk kedua pula membolehkan pelaburan berstruktur dilaksanakan di bawah ASM-Koperasi (ASMKOP), di mana bagi koperasi yang mempunyai dana yang berlebihan digalakkan melabur di dalam ASM untuk jaminan pelaburan yang lebih selamat dan mampu memberikan pulangan yang baik pada masa hadapan. Sehingga kini jumlah pelaburan koperasi menerusi produk ini mencecah nilaian RM2.9 juta dan bagi membolehkan produk ini berjaya, maka 4,918 buah koperasi di seluruh negara perlulah mengambil bahagian sewajarnya.

Manakala produk ketiga dalam memperkasakan lagi institusi ini ialah kewujudan Wakil Khidmat Bank Rakyat yang menawarkan kepada koperasi-koperasi tertentu menjadi wakilnya yang berperanan mempromosi dan menjual produk serta perkhidmatan bank koperasi tersebut. Peluang ini secara tidak langsung dapat menjana pendapatan koperasi terutamanya bagi koperasi yang berskala besar dan mempunyai reputasi yang baik serta kedudukan kewangan yang kukuh.

Seterusnya bagi produk pemantapan keempat pula ialah mewujudkan Buku Panduan Tadbir Urus Koperasi yang merangkumi prinsip umum dan piawaian kepada anggota koperasi serta ahli lembaga koperasi ke arah pembentukan sistem pengurusan dan pentadbiran koperasi yang efisien, konstruktif dan berwibawa. Oleh yang demikian, Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi juga turut menggesa agar institusi koperasi di seluruh negara mengambil peluang keemasan di dalam usaha pembangunan di seluruh negara terutamanya di Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI), koridor-koridor pembangunan di Utara (NCER), Timur (ECER), Sabah dan Sarawak.

Perdana Menteri juga menyarankan agar golongan petani di seluruh negara menubuhkan koperasi agro atau koperasi yang berasaskan pertanian atau agro bagi menjamin masa depan mereka. Melalui koperasi itu juga dapat merintis usaha ke arah pembinaan kilang yang dapat mempertingkatkan lagi nilai hasil pertanian. Dengan adanya koperasi agro membolehkan para petani mempelbagaikan hasil pengeluaran dan menggunakan lebihan pengeluaran bagi memberikan pulangan lebih lumayan sebagai nilai tambah kepada pendapatan bulanan mereka. Agensi di bawah kementerian terbabit akan memberikan bantuan kepada para petani untuk membangunkan kilang secara koperasi ini dalam usaha membantu mereka menambah nilai hasil pengeluaran.

Tambahan pula penubuhan koperasi oleh Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) di seluruh negara dapat meningkatkan pengeluaran produk pertanian dan makanan berskala besar untuk menampung keperluan tempatan. Menurut Menteri Pertanian, Tan Sri Muhyiddin Yassin, penubuhan koperasi PPK akan membantu menyelaras aktiviti pertanian negara yang kebanyakkannya kini diusahakan secara bersendirian dan mempunyai kapasiti pengeluaran yang kecil dan terhad.

Dengan adanya koperasi sendiri, petani dan penternak PPK boleh menumpukan perhatian kepada urusan pengeluaran produk pertanian dan ternakan, manakala koperasi pula boleh menumpukan urusan kajian pasaran, pengangkutan, mencari pasaran dan kaedah promosi yang lebih berkesan. Koperasi-koperasi agro di Korea Selatan, Australia dan Kanada umpamanya mampu menubuhkan gedung dan pasar raya mereka sendiri bagi tujuan membekal dan memasarkan produk yang dikeluarkan.

Di samping itu, lebih signifikan lagi ialah institusi ini juga merupakan alternatif kepada usaha kerajaan memperkasa dan memperkukuh kedudukan pembangunan ekonomi umat Melayu memandangkan rata-rata ahli anggota koperasi di Malaysia adalah Melayu. Dan secara tidak langsung institusi ini mampu memperkasa fundamental dan struktur ekonomi umat Islam serta mampu merealisasikan wawasan kerajaan membebaskan orang Melayu daripada kepompong kemiskinan yang masih melanda mereka. Oleh yang demikian, tidak dapat dinafikan lagi koperasi merupakan landasan terbaik untuk merealisasikan hasrat kerajaan tersebut.


RUJUKAN:

Tubuh segera koperasi pertanian-Muhyiddin, Utusan Malaysia, 13 November 2007
100 koperasi disenarai terbaik, Utusan Malaysia, 13 November 2007
Indeks seratus koperasi terbaik tempatan diwujud, Berita Harian, 13 November 2007
Suruhanjaya koperasi mula operasi 1 Jan 2008, Utusan Malaysia, 12 November 2007
Garis Panduan SKM perkemas koperasi: Khaled, Berita Harian, 12 November 2007
Empat produk baru perkasa sektor koperasi dilancar, Utusan Malaysia, 23 Julai 2007
300 koperasi, syarikat kerjasama dunia catat perolehan AS$1 trilion, Utusan Malaysia, 17 Oktober 2007
Tubuh koperasi agro, rintis para petani bina kilang tingkatkan nilai hasil pengeluaran-PM, Utusan Malaysia, 28 Oktober 2007

Comments

Popular Posts