Friday, December 28, 2007

POTENSI, PROSPEK KERJAYA BAHASA

Ada yang terpaksa berfikir dua kali untuk memilih bidang bahasa dan linguistik di peringkat pengajian tinggi. Walaupun bidang bahasa bukanlah satu bidang yang baharu diperkenalkan, bahkan bidang ini ditawarkan di kebanyakan universiti ternama tempatan serta mempunyai pusat dan akademinya yang tersendiri di institusi pengajian tinggi masing-masing.

Ini adalah kerana bidang bahasa dan linguistik amat penting dan diberikan penekanan utama oleh pihak pentadbiran universiti dan peruntukan yang besar juga disediakan oleh pihak kementerian yang bertanggungjawab bagi memastikan bidang ini terus menjadi pilihan pelajar, kompetitif, dinamik dan berdaya saing di pasaran global seiring dengan bidang-bidang lain yang ditawarkan di universiti.

Walaupun ramai pelajar tidak berminat dengan bidang bahasa, namun permohonan bidang tersebut setiap tahun masih tinggi. Namun begitu, tempat yang terhad disediakan oleh instiusi pengajian tinggi (IPT) dalam bidang ini telah membantut bilangan pelajar di dalam bidang ini. Biarpun begitu, bidang bahasa masih menjadi igauan dan mimpi ngeri kepada pelajar lepasan sekolah untuk memilihnya. Ini adalah kerana persepsi negatif, kurang pendedahan dan tiada sokongan moral kepada pemilihan bidang tersebut diberikan sepenuhnya.

Ada juga yang beranggapan bidang bahasa adalah bidang yang tidak ekonomik, paling mudah dan senang lulus berbanding bidang kejuruteraan, kedoktoran, undang-undang dan sebagainya, sedangkan pada hakikatnya adalah sebaliknya. Ini adalah kerana bidang ini menuntut komitmen, minat dan dedikasi yang tinggi untuk berjaya.

Bagi pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), bidang bahasa dan linguistik mungkin menjadi pilihan terakhir ketika membuat permohonan ke universiti. Jarang sekali kedengaran pelajar lepasan program matrikulasi atau pusat persediaan pelajar yang memilih bidang bahasa terutamanya bahasa Melayu sebagai bidang pengajian berbanding bahasa Inggeris, Jepun dan sebagainya.

Persepsi bidang bahasa sukar untuk mendapat peluang pekerjaan, tidak produktif, kurang praktikal dan ketinggalan zaman adalah tidak tepat dan tanggapan seperti ini perlu diperbetulkan segera. Ini adalah kerana bidang bahasa seperti lulusan bahasa Melayu, Inggeris, Mandarin, Tamil, Arab, Jepun dan sebagainya mempunyai potensi dan prospek yang luas di dalam pasaran kerja di Malaysia dan bukannya sekadar menjadi guru atau pensyarah bahasa sahaja seperti mana yang disangka selama ini.

Bagi lulusan bahasa dan linguistik, peluang pekerjaan di pasaran semasa masih terbuka luas dan tidak pernah tertutup sama sekali kerana bidang ini begitu unik, konstruktif dan relevan dengan realiti pekerjaan dan perkhidmatan semasa.

Antara bidang profesyen yang boleh diceburi oleh oleh graduan bahasa ialah di dalam bidang penulisan yang menjanjikan pulangan yang menarik dan lumayan seperti penulis buku, rencana, novel, biografi, makalah, skrip dan sebagainya. Hasil karya penulisan boleh dihantar ke Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sendiri, penerbitan swasta atau pengamal media massa lain yang banyak mengeluarkan akhbar harian, majalah, tabloid dan banyak lagi. Di sini juga peluang graduan bahasa untuk berkecimpung sebagai pengarang, editor, wartawan dan sebagainya adalah terbuka luas.

Di samping itu, graduan bahasa juga boleh menyertai perkhidmatan di sektor kerajaan terutamanya di lapangan profesional seperti Pegawai Tadbir Dan Diplomatik (PTD), Pegawai Tadbir Awam (PTA), Pegawai Tadbir Negeri (PTN), Pegawai Perancang Bahasa, Pagawai Penerbitan, Pegawai Penyiaran dan sebagainya yang pemilihannya dibuka dan dibuat sepanjang tahun.

Dalam bidang penyiaran, seni dan dunia perfileman pula, lulusan bahasa boleh mencuba bidang yang lebih mencabar sebagai pengarah drama dan filem, penulis skrip, penulis lirik dan sebagainya, bahkan boleh mencuba nasib sebagai pelakon atau penyanyi jika berbakat besar. Lulusan bahasa juga boleh dipertimbangkan sebagai penyampai berita, pengacara atau hos rancangan, pemberita dan wartawan media massa di kebanyakan stesen radio, televisyen dan televisyen satelit tempatan.

Dalam sektor pelancongan pula, lulusan bahasa boleh memainkan peranan sebagai pemandu pelancong dan juru bahasa atau penterjemah kepada pelancong luar negara yang datang bertandang ke negara kita seperti dari Eropah, Timur Tengah, China dan sebagainya. Kerjaya di dalam bidang ini amat menarik dan memberi pulangan gaji yang cukup lumayan terutamanya bagi sesiapa yang bekerja di hotel-hotel ternama dan pusat peranginan atau percutian besar di seluruh negara.

Lulusan bahasa juga perlu lebih kreatif, dinamik dan inovatif serta berani menyertai dunia perniagaan dan korporat negara. Suasana ekonomi yang begitu memberansangkan telah membuka peluang perniagaan yang banyak dan graduan bahasa perlu mengambil peluang dan ruang yang terbuka ini dengan memulakan perniagaan atau menyertai industri kecil dan sederhana (IKS) yang semakin berkembang di negara kita. Mereka juga boleh berkecimpung di dalam perniagaan pasaran pelbagai peringkat atau MLM yang begitu rancak dalam melahirkan ramai usahawan dan jutawan segera di seluruh negara.

Bagi yang berminat menyertai perkhidmatan yang melibatkan keselamatan dan ketenteraman awam serta penguatkuasaan, graduan bahasa boleh menyertai perkhidmatan ini sebagai pegawai tentera, polis, bomba, penguatkuasa dan sebagainya. Bidang ini menyediakan prospek perkerjaan yang sangat menarik dan graduan dapat berbakti kepada negara secara langsung. Dalam bidang penerbangan pula, bagi mereka yang mahir dengan pelbagai bahasa, mereka boleh memohon jawatan sebagai pramugara atau pramugari di agensi penerbangan dalam dan luar negara.

Mereka juga boleh menceburi bidang penyampaian dan pengucapan awam atau PR seperti penceramah, pakar motivasi, perunding, moderator, fasilitator, instruktor dan sebagainya dalam pelbagai bidang terutamanya pembangunan modal insan, pendidikan, keluarga dan lain-lain. Di samping itu, mereka juga boleh menyertai badan bukan kerajaan (NGO) dan bertindak sebagai sukarelawan, aktivis bahasa, masyarakat, alam sekitar dan sebagainya di dalam dan luar negara.

Lebih menarik lagi ialah graduan bahasa juga boleh menyertai sektor pertanian yang amat ekonomik, berpotensi dan berdaya maju. Kerajaan juga amat menggalakkan penyertaan di dalam bidang ini dengan pelbagai bantuan dan sokongan yang diberikan kepada yang berminat. Pertanian adalah perniagaan yang sangat menguntungkan dan lulusan bahasa boleh menjadi petani moden di dalam bidang penternakan, perladangan, perikanan, agro pelancongan dan lain-lain lagi. Mereka sepatutnya tidak perlu mengharapkan pekerjaan di sektor kerajaan dan swasta sahaja, malahan perlu bertekad untuk bekerja sendiri dan menjadi bos kepada perusahaan sendiri.

Untuk itu sebagai nilai tambah kepada graduan bahasa mempersiapkan diri di dalam dunia yang serba mencabar ini, adalah disarankan agar mereka menyertai kursus-kursus berkaitan ataupun mengambil sijil, diploma, ijazah lanjutan dalam bidang yang ingin diceburi sebagai langkah awal membuat anjakan paradigma dan melonjak nilai bidang bahasa di tahap yang sewajarnya. Kita tidak lagi mahu mendengar kata-kata yang boleh melemahkan semangat dan minat pelajar dan graduan IPT bahawa bidang ini hanya sesuai jadi guru sahaja, sedangkan peluang dan prospek bidang ini amat luas dan tiada sempadan.

Melihat kepada potensi dan prospek yang dinamik dalam bidang kerjaya bahasa ini, maka ibu bapa dan guru perlulah memberi sokongan moral kepada anak-anak yang berminat mengambil bidang ini dan tidak membantahnya. Pihak universiti dan mahasiswa juga disarankan agar turun padang memberi penerangan kepada masyarakat awam bahawa bidang bahasa bukan sekadar sesuai dengan skop perguruan dan pendidikan sahaja agar lepasan sekolah dan pelajar IPT yakin, minat dan bangga memilih bidang bahasa sebagai pilihan utama mereka.

14 comments:

az8583 said...

Terima kasih kerana dengan pandangan daripada saudara, sedikit sebanyak telah menguatkan kembali semangat pelajar bahasa. Sebenarnya ramai pelajar bahasa sendiri, yang kini menuntu di semester akhir sedang mengintai peluang kerja di mana-mana sahaja. Saya turut mengakui, kami semua tidak mendapat pendedahan yang jelas dan nyata sehinggakan semuanya masih was-was dengan jawatan2 seperti yang saudara nyatakan. Kadang-kadang timbul persoalan sama ada jawatan-jawatan tersebut sesuai dipohon dan layakkah kami semua? Jadi kalau saudara berkesempatan, bolehlah kiranya memberikan lagi pendapat2 saudara sebagai bantuan kepada kami yang masih daif dalam dunia pekerjaan. Sekian terima kasih.

NORA YUSOF A119206 said...

BOLEH KE KAMI SEMUA PELAJAR BAHASA INI MEMOHON KERJAYA SEPERTI YANG SAUDARA SEBUTKAN ITU.. APAKAH KELAYAKAN KAMI MAMPU UNTUK MEMOHON JAWATAN-JAWATAN ITU.

mohamadsofee said...

insya alLah, boleh jika berbakat dan berusaha / berani mencuba sesuatu yang baru serta berfikiran di luar kotak. selamat maju jaya

honey_sah said...
This comment has been removed by the author.
♥ Aisyah Hafiza ♥ said...

sy bakal siswa yg akn mndftr pd 1 sept 2012 ini...sy ditawarkan kos bahasa dan linguistik melayu di upm serdang..sy sungguh seronok dan teruja dgn tawaran ini tetapi smpai 1 saat,sy dilemahkan dgn soalan2 berkaitan prospek kerjaya..sy mnt utk mnjadi pendidik dlm bidang bahasa tetapi mnjadi seorang pendidik pd zaman kini bkn lg suatu yg mudah..mula terfikir..apa kerjaya lain bidang ini..mujur saudara menerbitkan entry ini..terima kasih atas perskongsian =)

mohamad sofee razak said...

tahniah dan syabas kepada cik Aisyah Hafiza, selamat maju jaya!

kyungmi said...
This comment has been removed by the author.
kyungmi said...
This comment has been removed by the author.
ct sara said...

saya ingin mengambil salah satu bahasa dunia sebagai bidang saya kelak sebagai major dalam melanjutkan pelajaran ke peringkat diploma.sebagai contoh saya mengambil bahasa perancis,saya mempunyai harapan dan impian yang tinggi untuk bekerja di jabatan yang berpangkalan di luar negara seperti jabatan kedutaan.adakah lulusan bidang bahasa layak mendapat kerja di pejabat kedutaan di luar negara dan apakah jawatannya?segala jawapan tuan amat saya hargai dek kerana kadang kadang terdetik rasa ragu ragu untuk mengambil bidang bahasa.Sekian.

ct sara said...
This comment has been removed by the author.
kyungmi said...
This comment has been removed by the author.
Umy Hartini said...

Assalamualaikum . Bagaimana untuk memohon kursus ini ? Kebanyakan syarat yang dikenakan ipt untuk memohon kursus ini adalah lepasan stpm sedangkan saya lepasan spm . Boleh saudara terangkan ?

adyani iman al-aydrus said...

Salam saudara...sya memang minat bahasa jepun.tp malangnya tk dpat bidang bahasa di ipta..skrg sdah tahun 3 major matematik dan sedang ambil sijil bahasa jepun.saya tringin smbung master bahasa jepun.pda pndang saudra.berpluangkah sya utk truskn niat tu?

EyzA LoVe said...

Salam..sya lpsn stpm..sy teringin sgt nk amij course nie..tp syrat kemasukn nk 5 kredit sdgkn sy 4 kredit aja..mcm mna 2? Huhu..