Friday, January 25, 2008

POLITIK ALA PLATO

Dalam buku Falsafah Politik Plato (1993), J.H Rapar menyatakan politik pada akhirnya merupakan perjuangan yang tidak pernah berakhir. Pada zaman dahulu, politik selalu menekankan kebajikan, kebaikan dan keadilan (etika) dalam berbagai-bagai segi hubungan antara warga dengan negara.

Kerana dari tiga unsur itulah, individu atau masyarakat termasuk kerajaan dibezakan dari makhluk lain. Tegasnya, baik atau buruk sesebuah negara bergantung kepada kesedaran etika politik warganya.

Politik pada zaman moden, tentu lain dengan politik pada era dahulu. Politik moden lebih tertumpu pada masalah individu dan hak-haknya yang berfokus ehwal kebebasan, kewibawaan, kekuasaan, hak asasi, kewajipan, konsensus, demokrasi dan keadilan. Semua penekanan tersebut tentu selaras dengan perkembangan situasi yang dihadapi.

Yang menjadi masalah kini bahawa dalam kecamuk kepentingan warga dan kepentingan negara selalu terbuka kepentingan lain, yang jelas ia meninggalkan prinsip dasar pembenaran (falsafah) politik.

Suasana dan keadaan yang demikian telah merangsang keinginan dan kerinduan warga untuk memiliki pemimpin yang sanggup mengatasi berbagai-bagai kerusuhan dan kekacauan yang semakin hebat. Oleh itu, mereka amat memerlukan seseorang tokoh yang bijak, tegas dan berwibawa.

Politik dalam Kamus Dewan ditafsirkan sebagai ilmu pengetahuan berkenaan cara pemerintahan, dasar-dasar pemerintahan, ilmu siasah, ilmu kenegaraan; segala sesuatu berkenaan pemerintahan sesebuah negara atau hubungannya dengan negara lain; kelicikan, muslihat dan tipu muslihat.

Manakala istilah politiking pula ialah kegiatan yang dilakukan untuk kepentingan politik seperti berkempen untuk memancing undi, menonjolkan diri seseorang untuk mencapai sesuatu tujuan. Politikus pula dalam terma politik moden ialah seorang ahli politik atau ahli kenegaraan.

Politik juga merupakan seni pembelajaran berkenaan organisasi dan tabiat sesebuah kerajaan. Aktiviti politik pada hari ini pada dasarnya berlandaskan kepada konsep politik yang dipelopori oleh sarjana dan patriot Italy abad ke-15 iaitu Machievelli.

Secara dasarnya dalam falsafah politik Barat, kedaulatan sesebuah negara diserahkan kepada manusia dan kuasa perlembagaan atau negara.

Dalam dunia sains politik, kedaulatan menunjukkan autoriti atau kekuasaan sesebuah negara di mana sesebuah negara, menurut ketetapan undang-undang antarabangsa mempunyai autonomi penuh dan tidak tertakluk kepada kuasa negara-negara lain ataupun kepada undang-undang antarabangsa itu sendiri.

Ini adalah kerana menurut doktrin politik Plato bahawa asal usul itu terletak dalam keinginan dan keperluan manusia, maka ini bermakna bahawa negara dibentuk oleh dan untuk manusia.

Plato menganggap bahawa tujuan negara selari dengan tujuan hidup manusia, iaitu untuk kesenangan dan kebahgiaan hidup manusia, maka ini bererti bahawa tugas negara ialah mengusahakan kesenangan dan kebahgiaan itu, dan dengan hal yang demikian, maka fungsi negara yang paling menonjol ialah fungsi kesejahteraan.

Pemikiran politik yang dikembangkan oleh Plato dalam usahanya membina sebuah negara ideal yang bebas dari segala keburukan, kekacauan dan kerosakan pada umumnya telah merombak struktur dan landskap politik moden dunia.

Biarpun begitu amanah kepimpinan bukan suatu yang boleh diambil mudah dan sambil lewa kerana menurut al-Mawardi dalam kitab beliau al-Ahkam as-Sultaniyyah ada menyatakan bahawa " Pemerintahan adalah untuk mengganti kenabian bagi mengawasi agama dan mengawasi siasah dunia yang berkaitan dengannya. "

Rujukan:

Abu Urwah, 1989. Sistem-Sistem Islam. Kuala Lumpur: Pustaka Salam
Drs. H. Sd. Bustami R. Lintang, 1990. Doktrin Politik Dalam Islam. Kuala Lumpur: Penerbitan Pustaka Antara
J.H Rapar, 1993. Falsafah Politik Plato. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka

Thursday, January 24, 2008

BLOG MEDIUM INTERAKTIF PENDIDIKAN

Aplikasi blog semakin popular dan menjadi trend terkini komunikasi serta interaktif di alam siber masa kini. Jika sebelum ini emel menjadi penghubung paling efisien, interaktif dan kini kewujudan blog telah menjadikan dunia komunikasi maya semakin kompleks, moden dan menarik.

Setakat ini terdapat lebih 120 juta blog di seluruh dunia dan jumlah tersebut semakin meningkat dari masa ke semasa dalam pelbagai bahasa termasuk bahasa Inggeris, Jepun, Arab, Melayu, German, Tamil dan sebagainya. Kewujudan blog juga telah merancakkan lagi dimensi dan aplikasi bahasa utama dunia dalam pelbagai aspek terutamanya sistem pendidikan sesebuah negara.

Blog berkembang seiring dengan kedinamikan, keterbukaan serta keglobalan bahasa dunia dan wahana bahasa juga menjadi landasan paling penting kepada asas dan teras kewujudan blog sejak dahulu lagi. Tanpa fungsi bahasa, blog tidak membawa sebarang makna kepada kita kerana melalui bahasalah kita dapat memahami dan mengerti apa itu blog dan kandungannya.

Blog adalah berasal daripada perkataan bahasa Inggeris iaitu web log dan telah dipendekkan kepada blog sahaja oleh pengamal dan pengendali terawal laman blog Amerika Syarikat. Setakat ini perkataan tersebut belum lagi didaftarkan di dalam Kamus Dewan, namun begitu aplikasinya semakin rancak dan giat digunakan secara meluas di negara kita merangkumi pelbagai konteks dan variasi.

Blog seolah-olah sebuah buku catatan harian peribadi atau jurnal dalam talian dan sangat unik, yang membolehkan pembaca maya meninggalkan ulasan dalam bentuk format interaktif. Ini mewujudkan komunikasi dua hala dan segala catatan, idea atau apa sahaja dapat dikongsi dengan jutaan pelayar maya lain melalui ledakan teknologi terbaru ini. Blog juga umpama laman web peribadi yang boleh dibina secara percuma, mudah dan praktikal.

Kelebihan ini menjadi tarikan dan mampu menjadi medium interaktif terbaik di dalam sektor pendidikan terutamanya komunikasi di antara pelajar dan guru di dalam kaedah pembelajaran dan pendidikan. Melalui inovasi blog, pelajar dan guru dapat berinteraksi secara lebih menarik dan uniknya melalui medium ini, para guru boleh memberi tugasan kepada para pelajar agar mempunyai blog sendiri sebagai projek tugasan persekolahan atau aktiviti di luar kelas.

Keistimewaan blog ialah boleh menggabungkan apa jua teks, imej, suara dan pautan laman web, blog dan media lain yang ingin dipautkan dalam masa yang sama menjadikan laman blog bersifat terbuka kepada masyarakat luar dan merupakan elemen media global. Situasi ini membolehkan pemilik blog boleh memuat turunkan gambar, video, muzik atau audio yang diminati dan merupakan saluran rangkaian media sosial yang dinamik. Realiti ini akan mewujudkan suasana pemebelajaran yang santai, menarik dan menyeronokkan.

Jika sebelum ini guru kebiasaannya mengarahkan pelajar menyediakan kerja kursus, laporan, kerja rumah dan buku skrap sejak sekian lama, maka sudah tiba masanya model berkenaan ditukar kepada penyediaan dan pembinaan blog interaktif dan guru boleh menilai, memantau dan memberi komen kepada blog yang dihasilkan oleh pelajar sebagai nilai tambah kepada struktur pendidikan di sekolah.

Setakat ini terdapat guru di sekolah yang mengarah dan membenarkan pelajar menghantar kerja rumah, tugasan dan aktiviti pembelajaran lain melalui perantaraan emel bagi membiasakan mereka dengan teknologi maya ini dan inovasi ini boleh dikembangkan lagi kepada aktiviti pembinaan, pengemaskinian dan penyelenggaraan blog pula. Blog boleh dijadikan alat bantuan mengajar memandangkan medium ini umpama aktiviti pembelajaran atas talian atau e-pendidikan.

Sebagai guru bahasa umpamanya boleh menyemak dan memperbetulkan susunan ayat, tatabahasa dan sebagainya ke atas isi kandungan blog pelajar, manakala bagi guru seni pula boleh memberi cadangan untuk penambahbaikan blog sedia ada agar lebih tampak kreatif, segar dan mampu menarik pelawat maya melawatnya. Guru mata pelajaran lain pula boleh membantu pelajar dalam pembelajaran seharian, latih tubi atau tusyen melalui blog yang boleh dilayari pada bila-bila masa sahaja.

Begitu juga bagi guru agama dan kaunseling pula boleh memantau etika dan akhlak pelajar membina dan melayari blog agar tidak memasukkan unsur-unsur negatif ke dalam blog atau melayari blog yang tidak berfaedah kerana melalui teknologi ini pelajar terdedah dengan pelbagai blog porno, ajaran sesat, politik atau hiburan melampau dan sebagainya yang boleh meracuni pemikiran dan tindakan pelajar jika tidak diawasi sewajarnya. Di samping itu para pelajar juga perlu diingatkan agar tidak melanggar undang-undang harta iintelek seperti perlanggaran hak cipta, memuat turun tanpa kebenaran dan sebagainya.

Di samping pelajar memiliki blog masing-masing, guru juga perlu memiliki blog yang menjadikan interaksi di antara pelajar dan guru bersifat fleksibel serta tanpa batasan waktu dan tempat di mana masing-masing boleh melihat blog yang dihasilkan pada bila-bila masa dan di mana sahaja asalkan mempunyai capaian internet di rumah, kafe siber dan sebagainya. Keadaan ini juga memboleh guru dan pelajar dapat merujuk jutaan blog yang ada dengan melayari blog pelajar dan guru lain sama ada di dalam negara ataupun blog pendidikan yang wujud di seluruh dunia.

Melalui blog juga guru boleh menyediakan rancangan mengajar, tips belajar, ringkasan mata pelajaran yang akan diajar dan sebagainya yang boleh dilihat, dibaca dan memudahkan para pelajar membuat persiapan awal sebelum ke sekolah. Melalui medium blog juga, guru boleh memuat turun cerita-cerita menarik atau motivasi yang boleh menyedarkan para pelajar; topik-topik berkaitan dengan pembelajaran di sekolah; silibus dan sukatan mata pelajaran; maklumat-maklumat terkini di dalam dunia pendidikan negara dan antarabangsa; perubahan jadual waktu dan sebagainya.

Untuk memiliki sebuah laman blog peribadi adalah semudah a,b dan c di mana pelayar internet hanya perlu mendaftar dengan pengendali perisian blog seperti Blogger, WordPress, LiveJournal, DreamHost dan banyak lagi di mana selepas mengikut arahan yang ditetapkan maka sebuah blog peribadi yang boleh dihias, dikemaskini, dipertingkat dan diubahsuai mengikut selera dan kreativiti masing-masing dihasilkan. Ini akan menjadikan pelajar sekolah dan guru lebih kreatif, dinamik dan mesra internet.

Terdapat pelbagai bentuk dan kecenderungan lain aplikasi blog yang antaranya merekodkan catatan kehidupan peribadi yang ingin dikongsikan dengan masyarakat siber lain seperti hobi; pandangan dan kritikan terhadap sesuatu isu seperti ekonomi, politik, agama dan sebagainya; perkongsian minat dan kecenderungan seperti pengembaraan, pelayaran dan amcam-macam lagi; tips, rahsia dan resepi kejayaan individu dan organisasi dalam pelbagai perkara; dan sebagainya yang turut boleh diulas dan dikritik oleh pembaca lain berkenaan blog tersebut.

Memandangkan terdapat pelbagai bentuk blog, portal, laman web dan hub pendidikan, maka generasi muda yang celik ICT dan kelompok pendidik moden wajar mengambil peluang keemasan ini agar sistem pendidikan negara lebih segar, kompetitif dan komprehensif setanding dengan sistem pendidikan global lain.

Thursday, January 17, 2008

PERLUAS DINAR EMAS

Kenaikan harga emas di pasaran dunia yang boleh mencecah AS1,000 satu auns adalah petanda baik kepada industri emas dunia dan mengingatkan kita kepada gagasan aplikasi dinar emas di pasaran global oleh bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad tidak lama dahulu.

Harga tertinggi komoditi tersebut kali terakhir dicatat pada tahun 1980 berikutan kegawatan ekonomi Amerika Syarikat (AS).

Penggunaan dinar emas bagi menggantikan wang kertas telah lama diperjuangkan di peringkat persidangan negara-negara Islam dan OIC serta Bank Pembangunan Islam (IDB) dilihat sebagai pentas utama untuk mempromosikan dinar emas kepada masyarakat dunia. Instrument ini mampu menjadi pelengkap kepada sistem kewangan Islam yang kini semakin diterima oleh masyarakat dunia.

Aplikasi dinar emas boleh digunakan sebagai mekanisme tambahan kepada pembayaran bagi pedagangan antarabangsa menerusi sistem Peraturan Pembayaran Dua Hala (BPA) di samping penggunaan dolar AS dan Malaysia boleh menjadi peneraju kepada perlaksanaan mekanisme ini yang boleh membawa kepada mewujudkan Peraturan Pembayaran Pelbagai Hala melalui penggunaan dinar emas secara meluas.

Penggunaan dinar emas di kalangan negara-negara Islam secara meluas akan mewujudkan kuasa ekonomi yang lebih kukuh, stabil dan komprehensif. Realiti sekarang memerlukan umat dan negara Islam perlu menguasai ekonomi dan mampu mengatur struktur operasinya. Di sini konsep dinar emas dilihat mampu menjadi kuasa pengimbang kepada kekuatan dolar AS yang masih menjadi pemain utama kewangan global.

Kekuatan dinar emas telahpun diakui dan amat berdaya saing di pasaran global. Ini adalah kerana emas dilihat sebagai instrumen pelaburan untuk melindungi nilai daripada kenaikan inflasi. Emas juga dilihat sebagai pelindung nilai terbaik berikutan ketidaktentuan global dan geo-politik dunia, kenaikan harga minyak mentah serta kelemahan dolar AS yang sedang membelenggu AS dan negara-negara utama dunia.

Melihat kepada situasi ini, umat dan negara Islam wajar mengambil peluang mempelbagaikan aplikasi instrumen kewangan dan menjadikan dinar emas sebagai mekanisme utama urusniaga perniagaan dan perdagangan di samping instrumen sedia ada.

Sunday, January 13, 2008

PENDIDIKAN AWAL KANAK-KANAK HADHARI

Kanak-kanak umpama kain putih, bersih dan ibu bapalah yang bertanggungjawab mencorak serta merencana kehidupan mereka agar generasi modal insan ini terus berada di landasan yang betul.

Ibu bapa juga berkewajipan mendidik, membimbing dan memastikan anak-anak mendapat pendidikan yang sempurna dan berterusan.

Proses pendidikan bermula seawal bayi dilahirkan ke dunia dan sehubungan itu sistem pendidikan awal kanak-kanak yang komprehensif amat penting dan tidak boleh di pandang ringan oleh ibu bapa.

Namun begitu, dalam dunia moden dan serba global ini menjadikan ibu bapa semakin kekurangan masa kerana sibuk dengan dengan pelbagai komitmen lain, yang menjadikan amanah pendidikan anak-anak terpaksa dikongsi bersama para guru di sekolah atau pusat jagaan.

Oleh demikian, pendidikan kanak-kanak masa kini lebih bersifat dua hala iaitu di rumah dan di sekolah. Manakala bagi kanak-kanak kecil seperti bayi dan yang berumur bawah enam tahun, maka pusat jagaan, taska, taski, pusat transit dan sebagainya menjadi rumah kedua mereka.

Keadaan ini mewujudkan integrasi rumah dan institusi pendidikan sebagai teras dalam pembinaan watak, personaliti, mentaliti dan fizikal anak-anak sejak kecil sehinggalah mereka menjejakkan kaki ke menara gading.

Ibu bapa juga tidak boleh terlalu berkira untuk tujuan pembiayaan pendidikan awal kanak-kanak yang berkualiti walaupun kosnya terlalu tinggi dan bagi yang kurang berkemampuan, institusi pendidikan awal kanak-kanak yang berpotensi turut disediakan oleh pihak kerajaan.

Hakikatnya pengukuhan serta pemantapan pendidikan awal kanak-kanak perlu diberikan keutamaan dan langkah kerajaan Negeri Terengganu menganjurkan Tadika Hadhari yang seluruh negeri tersebut adalah langkah bijak ke arah memperkasa usaha melahirkan generasi baru yang berilmu dan hebat sejak di usia kecil lagi.

Kecemerlangan terbesar model Tadika Hadhari berkenaan ialah berjaya melahirkan generasi baru modal insan cilik yang mampu menghafaz Muqaddam iaitu 23 surah lazim seawal usia tiga hingga lima tahun. Keistimewaan ini adalah sesuatu yang agak mustahil suatu ketika dahulu dan kini kita telah berjaya merealisasikannya.

Asas dan pendidikan al-Quran sewajarnya didedah, diterap dan ditanam seawal mungkin di dalam sistem pendidikan awal kanak-kanak memandangkan melalui medium al-Quran, mereka dapat berkomunikasi dan berinteraksi secara langsung dengan korpus sains, sosial, ekonomi dan teknologi melihat kepada ayat dan petunjuk yang terkandung di dalamnya.

Program seperti ini adalah merupakan inisiatif terancang untuk melahirkan generasi ulul albab yang bersifat Quranik, Eksiklopedik dan Ijtihadik yang membawa kepada pembinaan sebuah masyarakat yang berilmu, inovatif dan kreatif yang merupakan komponen utama barisan warga berfikiran kritis, terbuka dan minda kelas pertama.

Melihat kepada kejayaan dan penghijrahan minda ini, maka adalah amat wajar sekiranya progran Taska Hadhari ini diperluaskan ke negeri-negeri lain agar manfaat, keunikan dan keistimewaan program ini turut dinikmati oleh kanak-kanak lain serta dapat dikembangkan lagi kepada masyarakat dengan inisiatif, pembaharuan dan kehendak negeri masing-masing.

Untuk itu sistem pendidikan yang sistematik, berkualiti dan holistik perlu ke arah memantapkan lagi pembangunan modal insan yang mampu menguasai trend pengetahuan, ilmu, maklumat dan kemahiran sebagai persiapan menuju misi negara maju pada tahun 2020 kelak.

Tidak mustahil suatu hari nanti negara berjaya melahirkan saintis, teknologis, usahawan, agamawan, pemimpin dan teknokrat yang quranik, yang akan memimpin dan memacu perkembangan serta pertumbuhan negara serta masyarakat Malaysia setanding negara maju lain di dunia.

Thursday, January 10, 2008

SYED MOKHTAR JUTAWAN PEMURAH

Pemilihan Tan Sri Syed Mokhtar, personaliti korporat negara sebagai Tokoh Maal Hijrah 1429 tahun ini adalah pemilihan yang bijak dan kena pada masanya. Walaupun ada persepsi bahawa anugerah berprestij tersebut layak diberikan hanya kepada tokoh agama sahaja, namun tanggapan seperti ini adalah tidak tepat kerana Islam itu bukan hanya bersifat ritual semata-mata, malahan merupakan satu cara serta gaya hidup yang lengkap, syumul dan holistik.

Sepertimana sedia maklum, Tan Sri Syed Mokhtar adalah antara manusia terkaya di Asia dan merupakan orang Melayu terkaya di Malaysia. Kekayaan beliau tidak dijadikan milik peribadi bahkan dikongsikan dan diwakafkan kepada seluruh umat Islam di Malaysia dan seluruh dunia.

Nama beliau begitu dekat di hati orang miskin, fakir, anak yatim dan OKU di negara kita oleh kerana sifat pemurah dan penyayang beliau kepada golongan tersebut. Beliau sanggup melakukan apa sahaja untuk mengeluarkan golongan tidak bernasib baik ini dari belenggu kemiskinan, kebuluran, buta huruf dan kesengsaraan di mana sahaja mereka berada sehinggalah beliau telah menubuhkan sebuah yayasan khas untuk tujuan murni tersebut.

Ini adalah kerana sejarah awal beliau bukanlah datang dari keluarga yang senang namun beliau mampu bangkit dan berjaya memecah tembok kemiskinan keluarganya untuk muncul sebagai manusia paling berpengaruh di dalam dunia korporat di negara kita.

Bermula dengan perniagaan lembu dan beras, kini tidak satupun sektor penting yang menjadi injap ekonomi negara yang tidak diceburi oleh gergasi korporat ini yang meliputi sektor pembinaan, ICT, import-eksport, carigali minyak, perbankan, perhotelan, automotif dan sebagainya sama ada di dalam dan luar negara.

Aspirasi dan manifestasi hijrah telah meletakkan beliau berada di kedudukan sekarang dan beliau tidak lagi menoleh ke belakang ditelan sejarah lama, bahkan terus memecut kerjaya korporatnya dan tidak mustahil beliau bakal menjadi manusia terkaya di Malaysia suatu hari nanti. Menelusuri sejarah kejayaan dan sumbangan beliau mengingatkan kita kepada sirah sahabat jutawan seperti Uthman Ibnu Affan dan Abdul Rahman Bin Auf yang telah memperhambakan diri dan kekayaan mereka seluruhnya kepada Islam dan umat Islam.

Kekayaan dan kemewahan mereka tidak menjadikan mereka lupa diri, bongkak dan hilang rasa hormat kepada orang miskin, bahkan seluruh kekayaan mereka diwakafkan kepada pembangunan dan kebajikan Islam. Realiti inilah yang berlaku kepada tokoh yang bernama Syed Mokhtar Albukary ini di mana beliau telah menggunakan segala kekayaan beliau untuk membina rumah anak yatim dan fakir, rumah perlindungan kepada orang tidak bernasib baik, institusi khas untuk golongan OKU, membina institusi pendidikan khas kepada anak-anak miskin melalui pembiayaan biasiswa, tusyen percuma dan pelbagai lagi yang benar-benar memberi manfaat kepada pembangunan Islam di negara kita.

Pemilihan beliau sebagai Tokoh Maal Hijrah 1429 dan siri kejayaan serta kecemerlangan beliau sewajarnya menjadi motivasi dan inspirasi kepada rakyat Malaysia. Beliau telah membuktikan bahawa apa sahaja yang dihajati boleh diperolehi sekiranya kita kuat bekerja, tawakkal dan berdoa kepada Allah di samping mengaplikasikan segala keistimewaan dan kebijaksaan yang dikurniakan Allah serta bukannya bergantung kepada nasib dan takdir semata-mata.

Jika kita mengkaji dan menghayati sirah peristiwa agung hijrah Rasulullah, dapatlah kita fahami bahawa hijrah berlaku bersabitkan kebijaksaaan baginda yang merupakan salah satu sifat para nabi dan bukannya bergantung kepada mukjizat dan doa sahaja. Walaupun Allah berkuasa untuk memudahkan perjalanan hijrah Rasulullah sepertimana yang diberikan kepada para nabi dan para rasul terdahulu, namun dalam episod peristiwa hijrah ini, baginda terpaksa melalui pelbagai liku-liku, cabaran dan ranjau sebelum baginda berjaya menjejaki Madinah. Baginda telah berjaya mencipta teknik, taktik, helah dan perancangan yang sangat rapi serta sistematik sehinggalah dalam sejarah dunia moden, baginda diiktiraf oleh sarjana dan orientalis Barat sebagai pakar strategi, pakar motivasi, pakar perang saraf, pakar peperangan, pakar motivasi dan pelbagai pengiktirafan global lain melihat kepada keunikan peristiwa hijrah ini.

Di sini menunjukkan bahawa Rasulullah telah mengajar kita erti kehidupan yang sebenar, di mana kita terpaksa menghadapi realiti dan resam kehidupan sebagai hamba Allah dengan menggunakan kebijaksaan dan kepandaian yang dikurniakan secara total di samping tidak lupa bertawakal, sabar dan berdoa kepadaNya.

Umat hari ini tidak boleh berpuas hati setakat apa yang ada dan kejayaan yang dikecapi malahan perlu berusaha untuk mencapai kejayan yang lebih hebat berbanding tahun-tahun sebelumnya. Perdana Menteri sendiri menasihatkan agar kita tidak mudah dan cepat berpuas hati dengan pencapaian yang ada sekarang walaupun kita telah berjaya menakluk angkasa lepas, kutub utara, gunung everest dan sebagainya, bahkan perlu konsisten mencipta kejayaan dan kecemerlangan yang lebih besar.

Misi dan visi agung hijrah tidak pernah berhenti dan menuntut seluruh umat Islam menghayatinya serta menjadikannya sebagai landasan kecemerlangan hidup dan seterusnya bagi memastikan agar kesinambungan Islam terus relevan, segar dan dinamik sepanjang zaman.

Tuesday, January 08, 2008

HIJRAH PERBAIKI DIRI

Hijrah adalah momentum positif kepada keperibadian seseorang untuk berubah dan mempertingkatkan prestasi, kualiti serta kredibiliti diri.

Peristiwa agung hijrah baginda Rasullulah s.a.w dari kota Mekah ke Madinah al-Munawwarah adalah simbol penting umat Islam ke arah mewujudkan sebuah negara Islam konstruktif dan komprehensif di muka bumi ini.

Falsafah hijrah mengajar bagaimana kita perlu bertindak menggurus dan mentadbir kehidupan seiring dengan landasan agama serta berjiwa inovatif, dinamik dan tidak statik.

Bagi seorang pelajar umpamanya, demi mengejar kejayaan dan kecemerlangan, maka perlulah berhijrah memperbaiki diri, meningkatkan pembelajaran, tidak ketinggalan kelas dan belajar secara bersistem.

Ibu bapa di rumah pula bagi memastikan anak-anak mendapat pendidikan terbaik, maka hendaklah berhijrah memastikan anak-anak belajar tanpa paksaan, segala kelengkapan belajar disediakan dan memberi kesedaran, semangat serta dorongan untuk mencipta kejayaan di dalam hidup.

Di sekolah pula, guru-guru bertungkus lumus dan berhijrah mendidik pelajar, ikhlas dan komited mengajar, melatih tubi anak murid sehingga mereka benar-benar memahami apa yang diajar dan bukan sekadar melaksanakan tugas sebagai seorang guru sahaja.

Semangat dan roh hijrah juga penting kepada pekerja untuk direalisasikan ke arah mewujudkan sistem penyampaian yang berkesan, efektif dan cekap. Biar rezeki yang diperolehi berkat dan berbaloi dengan apa yang diusahakan.

Majikan pula perlu memastikan perusahaan berjalan lancar, berdaya maju dan berpotensi pada masa hadapan serta mampu memberi pulangan yang diharapkan.

Dalam kehidupan bermasyarakat, pemimpin yang dipilih perlu memastikan kebajikan rakyat terbela dan segala tuntutan dipenuhi seadilnya.

Kerajaan pula berkewajipan memastikan pentadbiran negara dilaksanakan sebaik mungkin agar wawasan dan misi negara tercapai seperti yang dirancang.

Di sini membuktikan bahawa setiap daripada kita perlu berhijrah demi mencapai cita-cita dan impian yang ditetapkan.

Monday, January 07, 2008

HIJRAH PEMANGKINAN KEMAJUAN UMAT

Peristiwa agung hijrah sudahpun berlalu 1,429 tahun yang lalu dan impaknya telah membuka dimensi yang sangat luas kepada landskap keunggulan Islam dan melonjak paradigma ummah pada tahap yang paling maksimum dalam sejarah dunia.

Islam dan umat Islam telah menempa serta mencipta pelbagai bentuk kejayaan dan kegemilangan yang diiktiraf masyarakat dunia dengan beraspirasikan semangat dan roh hijrah Rasulullah s.a.w sehinggakan umat Islam pernah menguasai tiga per empat keluasan dunia suatu ketika dahulu di era kemuncak dinasti Khalifah Islam.

Orientasi hijrah telah mengajar umat Islam erti sebenar kehidupan dan kepentingan untuk berubah, berfikiran terkehadapan serta sentiasa melakukan islah mencakupi aspek ekonomi, sosial, politik, teknologi, pendidikan dan lain-lain.

Inspirasi hijrah membawa kepada kejayaan umat Islam menerajui korpus kedoktoran, kejuruteraan, seni bina, perundangan, ekonomi, astronomi, aeroangkasa dan lain-lain sehingga melahirkan tokoh kepimpinan dan khalifah unggul seperti Abu Bakar, Umar, Uthman, Ali; serta sarjana dan ulama agung seperti Hanafi, Maliki, Syafie, Hambali; dan saintis serta pemikir hebat seperti Ibnu Khaldun, Ibnu Rush, Ibnu Sina, Al-Farabi, Al-Khawarizmi, Al-Biruni, Jabir Hayyan dan ramai lagi.

Hijrah bukan sekadar peristiwa biasa yang perlu disambut dengan kegembiraan dan penuh kemewahan tetapi menuntut umat Islam mengambil iktibar, pengorbanan, strategi serta menjadikannya landasan dan teras kehidupan ke arah memandu perjalanan hidup demi sebuah kelangsungan umat di dunia yang serba mencabar ini.

Hijrah juga bukanlah sekadar membuka kamus atau diari kehidupan baru untuk melompak ke tahun baru tanpa memahami dan menghayati realiti sebenar proses penghijrahan Rasulullah dari kota Mekah ke Madinah yang berpaksikan kebijaksanaan baginda, kreativiti, inovasi dan inisiatif al-Quran.

Umat Islam akan tewas dan terkandas di tengah jalan sekiranya masih leka, lalai dan tidak berubah dari sekarang. Motivasi hijrah mencabar umat Islam untuk keluar dan bebas dari kancah kemiskinan, kejahilan dan kelemahan dalam segala sudut yang masih membalut peribadi serta pemikiran kebanyakkan di kalangan umat Islam di seluruh dunia.

Dalam peta dan sejarah baru umat Islam, sarat dengan konflik sesama umat di kebanyakan negara Islam; indeks literasi yang masih rendah; kepincangan dan ketidakstabilan politik, ekonomi dan pembangunan sosial; belenggu kebuluran dan buta huruf yang serius; asas kepimpinan dan kepemimpinan yang dangkal; struktur pendidikan dan teknologi yang terabai, kebergantungan kepada Barat dan sebagainya.

Biarpun negara-negara Islam dikurniakan kekayaan sumber alam yang banyak dan melimpah ruah seperti minyak, gas, emas, permata, balak dan sebagainya, namun hakikatnya masih lagi berada di takuk lama dan tiada perubahan drastik di mana tiada satupun negara Islam yang boleh dikategorikan sebagai negara maju berbanding negara maju lain seperti Eropah, Jepun, Singapura dan sebagainya.

Melihat kepada realiti ini, umat Islam perlu segera bertindak, bangun dan merencana masa hadapan Islam serta mengembalikan semula kegemilangan Islam di puncak dunia seperti yang pernah dilakukan oleh umat terdahulu.

Umat Islam sudah tiada masa untuk berlengah-lengah atau sekadar menjadi penonton kemajuan masyarakat dunia, atau selesa menjadi penumpang negara maju, ataupun sekadar menjadi pengguna alat kemajuan sahaja. Dengan kapasiti yang ada, umat Islam mampu kembali gemilang dan merubah serta mencorak wajah dunia.

Dalam hal ini Malaysia dilihat mampu menjadi pencetus dan peneraju kepada pembaharuan, penambahbaikan serta kemajuan dunia baru Islam, melihat kepada rekod cemerlang negara dalam segala aspek. Di sini menampakkan tugas dan peranan yang besar menanti rakyat Malaysia memimpin umat Islam lain merombak struktur dunia.

Wednesday, January 02, 2008

PEMIMPIN DAN AMANAH KEPEMIMPINAN

Pemimpin adalah teras sesebuah negara. Jika pemimpin baik maka cemelanglah negara dan jika pemimpin buruk maka rosaklah negara. Pemimpin dan kepemimpinan adalah institusi terpenting di dalam masyarakat dan merupakan amanah yang perlu dipikul selayaknya.

Memandangkan institusi ini begitu penting, maka tugas dan tanggungjawab yang dipikul amat besar dan bakal dipersoalkan di akhirat kelak. Pemimpin adalah cermin masyarakat dan menjadi contoh serta tauladan kepada rakyat di mana setiap gerak geri, tingkah laku dan tutur kata akan sentiasa di dalam pemerhatian masyarakat di bawah kepemimpinannya.

Pemimpin perlu bercakap benar, hormat menghormati, menjaga dan mempertahankan akhlak mulia agar menjadi ikutan dan dihomati. Pemimpin yang khianat, lalai, alpa dan tidak bermoral hanya menyusahkan negara dan bakal berdepan dengan tohmahan dan kejian masyarakat sahaja di samping pembalasan yang setimpal di akhirat kelak.