HIJRAH PEMANGKINAN KEMAJUAN UMAT

Peristiwa agung hijrah sudahpun berlalu 1,429 tahun yang lalu dan impaknya telah membuka dimensi yang sangat luas kepada landskap keunggulan Islam dan melonjak paradigma ummah pada tahap yang paling maksimum dalam sejarah dunia.

Islam dan umat Islam telah menempa serta mencipta pelbagai bentuk kejayaan dan kegemilangan yang diiktiraf masyarakat dunia dengan beraspirasikan semangat dan roh hijrah Rasulullah s.a.w sehinggakan umat Islam pernah menguasai tiga per empat keluasan dunia suatu ketika dahulu di era kemuncak dinasti Khalifah Islam.

Orientasi hijrah telah mengajar umat Islam erti sebenar kehidupan dan kepentingan untuk berubah, berfikiran terkehadapan serta sentiasa melakukan islah mencakupi aspek ekonomi, sosial, politik, teknologi, pendidikan dan lain-lain.

Inspirasi hijrah membawa kepada kejayaan umat Islam menerajui korpus kedoktoran, kejuruteraan, seni bina, perundangan, ekonomi, astronomi, aeroangkasa dan lain-lain sehingga melahirkan tokoh kepimpinan dan khalifah unggul seperti Abu Bakar, Umar, Uthman, Ali; serta sarjana dan ulama agung seperti Hanafi, Maliki, Syafie, Hambali; dan saintis serta pemikir hebat seperti Ibnu Khaldun, Ibnu Rush, Ibnu Sina, Al-Farabi, Al-Khawarizmi, Al-Biruni, Jabir Hayyan dan ramai lagi.

Hijrah bukan sekadar peristiwa biasa yang perlu disambut dengan kegembiraan dan penuh kemewahan tetapi menuntut umat Islam mengambil iktibar, pengorbanan, strategi serta menjadikannya landasan dan teras kehidupan ke arah memandu perjalanan hidup demi sebuah kelangsungan umat di dunia yang serba mencabar ini.

Hijrah juga bukanlah sekadar membuka kamus atau diari kehidupan baru untuk melompak ke tahun baru tanpa memahami dan menghayati realiti sebenar proses penghijrahan Rasulullah dari kota Mekah ke Madinah yang berpaksikan kebijaksanaan baginda, kreativiti, inovasi dan inisiatif al-Quran.

Umat Islam akan tewas dan terkandas di tengah jalan sekiranya masih leka, lalai dan tidak berubah dari sekarang. Motivasi hijrah mencabar umat Islam untuk keluar dan bebas dari kancah kemiskinan, kejahilan dan kelemahan dalam segala sudut yang masih membalut peribadi serta pemikiran kebanyakkan di kalangan umat Islam di seluruh dunia.

Dalam peta dan sejarah baru umat Islam, sarat dengan konflik sesama umat di kebanyakan negara Islam; indeks literasi yang masih rendah; kepincangan dan ketidakstabilan politik, ekonomi dan pembangunan sosial; belenggu kebuluran dan buta huruf yang serius; asas kepimpinan dan kepemimpinan yang dangkal; struktur pendidikan dan teknologi yang terabai, kebergantungan kepada Barat dan sebagainya.

Biarpun negara-negara Islam dikurniakan kekayaan sumber alam yang banyak dan melimpah ruah seperti minyak, gas, emas, permata, balak dan sebagainya, namun hakikatnya masih lagi berada di takuk lama dan tiada perubahan drastik di mana tiada satupun negara Islam yang boleh dikategorikan sebagai negara maju berbanding negara maju lain seperti Eropah, Jepun, Singapura dan sebagainya.

Melihat kepada realiti ini, umat Islam perlu segera bertindak, bangun dan merencana masa hadapan Islam serta mengembalikan semula kegemilangan Islam di puncak dunia seperti yang pernah dilakukan oleh umat terdahulu.

Umat Islam sudah tiada masa untuk berlengah-lengah atau sekadar menjadi penonton kemajuan masyarakat dunia, atau selesa menjadi penumpang negara maju, ataupun sekadar menjadi pengguna alat kemajuan sahaja. Dengan kapasiti yang ada, umat Islam mampu kembali gemilang dan merubah serta mencorak wajah dunia.

Dalam hal ini Malaysia dilihat mampu menjadi pencetus dan peneraju kepada pembaharuan, penambahbaikan serta kemajuan dunia baru Islam, melihat kepada rekod cemerlang negara dalam segala aspek. Di sini menampakkan tugas dan peranan yang besar menanti rakyat Malaysia memimpin umat Islam lain merombak struktur dunia.

Comments

Popular Posts