HIJRAH PERBAIKI DIRI

Hijrah adalah momentum positif kepada keperibadian seseorang untuk berubah dan mempertingkatkan prestasi, kualiti serta kredibiliti diri.

Peristiwa agung hijrah baginda Rasullulah s.a.w dari kota Mekah ke Madinah al-Munawwarah adalah simbol penting umat Islam ke arah mewujudkan sebuah negara Islam konstruktif dan komprehensif di muka bumi ini.

Falsafah hijrah mengajar bagaimana kita perlu bertindak menggurus dan mentadbir kehidupan seiring dengan landasan agama serta berjiwa inovatif, dinamik dan tidak statik.

Bagi seorang pelajar umpamanya, demi mengejar kejayaan dan kecemerlangan, maka perlulah berhijrah memperbaiki diri, meningkatkan pembelajaran, tidak ketinggalan kelas dan belajar secara bersistem.

Ibu bapa di rumah pula bagi memastikan anak-anak mendapat pendidikan terbaik, maka hendaklah berhijrah memastikan anak-anak belajar tanpa paksaan, segala kelengkapan belajar disediakan dan memberi kesedaran, semangat serta dorongan untuk mencipta kejayaan di dalam hidup.

Di sekolah pula, guru-guru bertungkus lumus dan berhijrah mendidik pelajar, ikhlas dan komited mengajar, melatih tubi anak murid sehingga mereka benar-benar memahami apa yang diajar dan bukan sekadar melaksanakan tugas sebagai seorang guru sahaja.

Semangat dan roh hijrah juga penting kepada pekerja untuk direalisasikan ke arah mewujudkan sistem penyampaian yang berkesan, efektif dan cekap. Biar rezeki yang diperolehi berkat dan berbaloi dengan apa yang diusahakan.

Majikan pula perlu memastikan perusahaan berjalan lancar, berdaya maju dan berpotensi pada masa hadapan serta mampu memberi pulangan yang diharapkan.

Dalam kehidupan bermasyarakat, pemimpin yang dipilih perlu memastikan kebajikan rakyat terbela dan segala tuntutan dipenuhi seadilnya.

Kerajaan pula berkewajipan memastikan pentadbiran negara dilaksanakan sebaik mungkin agar wawasan dan misi negara tercapai seperti yang dirancang.

Di sini membuktikan bahawa setiap daripada kita perlu berhijrah demi mencapai cita-cita dan impian yang ditetapkan.

Comments

Popular Posts