Thursday, February 28, 2008

KEPERLUAN BANDUAN MENGUASAI BAHASA ASING

Bahasa adalah medium perantaraan yang terpenting dan mempunyai nilai komersial yang tinggi. Bahasa menjadi alat perhubungan dan spektrum komunikasi paling efektif kepada organisasi serta individu dalam segala hal.

Kemahiran bahasa pula adalah suatu kelebihan dan nilai tambah kepada setiap individu yang ingin berjaya lebih-lebih lagi dalam realiti dunia hari ini yang semakin mencabar. Kebolehan berbahasa selain bahasa ibunda pada hari ini bukan lagi satu alternatif tetapi keperluan yang tidak boleh dinafikan begitu sahaja.

Kemampuan menguasai banyak bahasa mampu menjamin masa hadapan yang cerah dan berpeluang untuk maju ke hadapan di samping mengilap potensi diri yang sebenar. Ini menjadikan seseorang itu tidak berasa cukup dengan sekadar berkebolehan satu atau dua bahasa sahaja malahan ada yang cuba menguasai sehingga tujuh bahasa utama dunia dalam masa yang sama.

Bagi yang berkemampuan, bebas dan mempunyai keinginan yang tinggi, isu dan kerenah mempelajari bahasa asing bukanlah masalah utama. Namun begitu, lain pula nasib mereka yang bergelar banduan di dalam penjara yang terpaksa meringkuk di dalamnya untuk tempoh yang cukup lama. Golongan yang tidak bernasib baik ini sudah tentu tidak mempunyai peluang seperti mana masyarakat di luar sana biarpun pada hakikatnya tidak ramai pun di kalangan mereka yang bebas yang cuba menguasai bahasa asing.

Melihat kepada keperluan ini, banduan di penjara di seluruh negara perlu diberikan peluang dan kesempatan untuk menguasai bahasa asing selain bahasa ibunda seperti bahasa Inggeris, Mandarin, Arab, Tamil, Perancis dan sebagainya. Kemahiran bahasa asing penting demi survival banduan apabila mereka keluar dari penjara kelak.

Bahasa Inggeris dan Mandarin umpamanya mustahak kepada keperluan pasaran kerja dan komunikasi korporat. Seperti mana masyarakat bebas di luar penjara, banduan juga perlu menguasai kedua-dua bahasa ini dengan baik agar mereka lebih bersedia, berkeyakinan tinggi dan mudah menceburi bidang pekerjaan yang memerlukan kemahiran kedua-dua bahasa terpenting tersebut seperti di dalam sektor perkhidmatan, perkilangan, pelancongan dan sebagainya.

Bahasa Arab pula bagi banduan yang beragama Islam amat wajar dipelajari memandangkan amalan ibadah seperti solat, bacaan al-Quran, zikir, doa dan sebagainya adalah di dalam bahasa Arab. Kebolehan berbahasa Arab menjadikan seseorang itu lebih dekat dengan agama dan dapat memahami ajaran agama dengan lebih baik dan sempurna.

Kebolehan berbahasa Tamil umpamanya memudahkan urusan perhubungan di antara pengguna bahasa berkenaan di dalam dan di luar penjara. Walaupun bahasa kebangsaan menjadi bahasa utama komunikasi di dalam penjara, namun kemahiran bahasa asing adalah kelebihan kepada seseorang banduan.

Di samping boleh bertutur dengan baik, mereka juga perlu mempunyai kemahiran menulis dalam bahasa asing tersebut agar mereka boleh bersaing dengan masyarakat di luar sana. Banduan mestilah menguasai dan berkebolehan menulis terutamanya bahasa Inggeris memandangkan bahasa itu digunakan secara meluas di dalam semua aspek kehidupan masa kini, hatta borang permohonan kerja pun hampir keseluruhannya menggunakan bahasa Inggeris secara terang-terangan.

Jika mereka tidak mampu menulis dengan baik di dalam bahasa Inggeris, sudah tentu agak sukar untuk mereka mendapat pekerjaan yang dipohon. Kebiasaannya seseorang itu tidak perlu mahir menulis dalam bahasa Mandari namun cukup sekadar boleh bertutur sahaja dengan baik dalam bahasa tersebut akan memudahkan mereka mendapat tempat di dalam pelbagai sektor pekerjaan pada hari ini.

Oleh yang demikian pihak Jabatan Penjara Malaysia (JPM) hendaklah melakukan anjakan paradigma banduan melalui kursus-kursus bahasa asing yang boleh dianjurkan setiap minggu dan banduan diberi pilihan untuk memilihnya. Seperti kursus-kursus kemahiran sedia ada seperti pertukangan, pertanian, kraftangan dan sebagainya, kelas bahasa asing juga dilihat sangat perlu dipertingkatkan dari masa ke semasa.

Ini adalah bertujuan sebagai persiapan kepada para banduan menjelang hari pembebasan mereka dan dengan kemahiran asas hidup yang disediakan oleh pihak penjara, adalah amat perlu kemahiran bahasa ditekankan kepada mereka agar mereka lebih bersedia dan mudah diterima masyarakat di luar sana nanti. Mereka juga akan lebih bersedia mendepani realiti dan tuntutan semasa.

Kepada banduan yang mempunyai tahap penguasaan bahasa yang baik, mereka wajar dibenarkan mengambil ujian atau peperiksaan bahasa yang dianjurkan oleh agensi bertauliah seperti British Council, MUET, TOEFL dan sebagainya. Mungkin pihak penjara sendiri boleh menganjurkan ujian penilaian tersebut dan menyediakan sijil penghargaan/pengesahan kemahiran bahasa seseorang banduan yang telah menduduki peperiksaan itu.

Untuk itu bahan bacaan dalam bahasa asing termasuk bahasa kebangsaan perlulah diperbanyakkan di dalam penjara. Pihak penjara mestilah berusaha mendapatkan penajaan dari agensi kerajaan seperti DBP, ITNM dan sebagainya untuk menambah bahan bacaan yang bermutu. Di samping itu pihak swasta seperti PTS Publications, Utusan Publications dan banyak lagi serta syarikat penerbitan antarabangsa lain perlu bekerjasama dalam menjayakan program ini.

Sokongan padu syarikat GLC terutamanya dalam sumbangan dana untuk tujuan pembelian bahan bacaan seperti buku, majalah, jurnal dan lain-lain di dalam penjara sangatlah diharapkan. Mereka perlu melaksanakan tanggungjawab sosial mereka biarpun kepada banduan di dalam penjara kerana mereka juga insan yang mempunyai hajat, keperluan dan keinginan seperti orang lain juga.

Tenaga pengajar universiti, guru dan pelajar bidang bahasa asing juga boleh menawarkan diri sebagai sukarelawan mengajar subjek bahasa di dalam penjara di samping guru bahasa bertauliah yang telah disediakan oleh pihak penjara sendiri. Mereka boleh menyumbang tenaga, idea, bahan bacaan dan pembelajaran atau apa sahaja untuk memastikan banduan di dalam penjara mendapat pendedahan secukupnya berkenaan kepentingan menguasai bahasa asing di dalam penjara dan di luar penjara kelak.

Bagi yang terpaksa meringkuk di dalam penjara untuk tempoh yang agak lama, misalnya sehingga belasan dan puluhan tahun, sekiranya mereka bersungguh-sungguh menguasai bahasa asing, sudah tentu mereka akan mahir dan pakar dalam bahasa berkenaan sama ada pertuturan atau tulisan. Keadaan ini sudah tentu memudahkan komunikasi di antara banduan di dalam penjara dan masyarakat luar nanti.

Apabila mereka keluar kelak, mereka boleh melaksanakan kerja-kerja amal, khidmat masyarakat dan sukarela seperti mengajar atau membuka kelas bahasa asing kepada masyarakat setempat. Aktiviti ini juga boleh dilakukan sekiranya mereka diberi hak parol atau pelepasan sementara jika berkelakuan baik. Ini sudah tentu akan menaikkan imej banduan pada pandangan masyarakat dan boleh mengubah persepsi negatif masyarakat terhadap banduan.

Mereka juga boleh menulis buku, rencana, memoir dan sebagainya mencerita segala suka duka di dalam penjara, ataupun menulis buku motivasi mengajak masyarakat agar tidak melakukan kesalahan dan kesilapan yang sama. Melalui pengalaman dan pendedahan berharga ini akan dapat menginsafkan pembaca dan menyedarkan semua pihak betapa peritnya berada di dalam penjara.

Bagi yang mempunyai kemahiran bahasa yang tinggi pula mereka boleh menjadi penterjemah buku sepanjang berada di dalam penjara memandangkan banduan sebenarnya mempunyai masa yang banyak untuk melakukan aktiviti-aktiviti berfaedah ketika waktu lapang mereka. Aktiviti penterjemahan ini juga boleh diteruskan apabila mereka dilepaskan kelak dan kebolehan ini sudah tentu menjadi karier dan sumber pendapatan kepada mereka untuk meneruskan kehidupan seperti mana biasa.

Tuesday, February 26, 2008

E-Bisnes dan IKS

Industri Kecil dan Sederhana (IKS) semakin berkembang dan merupakan tulang belakang kepada pembangunan ekonomi negara. IKS dijangka mampu menjana pendapatan negara secara konsisten dan bertindak menjadi pengimbang kepada struktur ekonomi dan fiskal negara jika perjalanannya berada di landasan yang betul. Melihat kepada potensi dan pertumbuhan IKS di negara kita yang semakin kukuh dan berdaya maju, maka industri ini perlulah bersedia dan seiring dengan kepesatan teknologi semasa terutamanya medium e-bisnes.

E-Bisnes atau perniagaan secara elektronik kini semakin luas diaplikasikan di dalam urusniaga yang melibatkan IKS di seluruh negara terutamanya di negara-negara pesaing dan Malaysia juga tidak tertinggal di dalam aplikasi dan inovasi perniagaan ini. Jika sebelum ini peserta IKS tempatan yang menjalankan peniagaan secara kecil-kecilan menerusi kaedah jualan dan pemasaran tradisional seperti menjual dan memasarkan produk di kedai-kedai, pasar malam, pasaraya dan sebagainya, maka melalui kaedah e-bisnes, urusan penjualan dan pemasaran menjadi lebih mudah, efektif dan menjimatkan.

Kaedah e-Bisnes memerlukan seseorang itu mahir menggunakan komputer dan cekap melayari internet di mana segala produk yang ingin dipasarkan boleh dilakukan secara atas talian dan segala maklumat berkenaan produk tersebut dapat dimuat turunkan ke laman internet seperti laman web, blog, portal dan hub perniagaan yang kebanyakannya boleh didapati secara percuma tanpa sebarang kos dikenakan. Kemudahan internet ini memudahkan urusan pemasaran, jualan peserta IKS, dan melalui medium e-Bisnes juga peluang untuk memasarkan barangan secara global dapat dilaksanakan sepenuhnya.

Melalui prasarana e-Bisnes, dari proses awal pemasaran, pengiklanan, penawaran sehingga kepada pembelian sesuatu produk atau perkhidmatan boleh dilakukan di atas talian di mana pembeli tidak perlu datang sendiri ke tempat atau lokasi produk dihasilkan malahan semuanya boleh dilakukan di hadapan komputer yang mempunyai capaian internet sahaja. Fenomena ini membuktikan bahawa dengan berbekalkan sebuah bilik kecil dan komputer yang mempunyai capaian internet, usahawan IKS kini boleh menjual produk hasil keluarannya kepada masyarakat dunia secara percuma, cepat dan menguntungkan.

Tambahan pula, dengan kemudahan bayaran secara atas talian yang terjamin dengan tahap keselamatan yang tinggi sama ada melalui aplikasi kad kredit, pindahan wang, arahan bank, e-wang dan sebagainya menjadikan e-Bisnes semakin menjadi trend urusniaga masa kini serta menjadi pilihan utama masyarakat moden hari ini sama ada di dalam dan lua negara. Realiti ini telah membuka peluang dan ruang yang luas dan tanpa sempadan kepada usahawan IKS bersaing di peringkat antarabangsa walaupun aplikasi e-Bisnes masih kurang sambutan di negara kita biarpun kita telah mempunyai prasarana berkelas dunia seperti Koridor Raya Multimedia (MSC) sejak sekian lama yang seiring dengan Wawasan 2020.

Pada tahun 1999, kerajaan melalui Perbadanan Pembangunan Industri Kecil dan Sederhana Malaysia (Smidec) telah membangunkan talian elektronik yang dikenali sebagai MyBiz. MyBiz adalah saluran perdagangan elektronik (e-dagang) pertama yang disediakan khusus untuk membantu IKS tempatan bersaing dalam era digital. Syarikat IKS berpeluang menyertai perdagangan elektronik bagi memasarkan barangan serta menjalankan perniagaan menerusi internet menerusi penubuhan talian MyBiz.

Kelebihan dan keistimewaan e-Bisnes membolehkan pemain IKS di negara kita mendapat sasaran pelanggan dan pembeli dari seluruh dunia dan tidak terhad kepada pasaran tempatan sahaja. Oleh yang demikian, tidak mustahil melalui e-Bisnes peniaga dan pengusaha kecil-kecilan seperti produk keropok lekor, kerepek, belacan, kuih muih tempatan, kraftangan dan apa sahaja boleh dilakukan di atas talian dan seluruh dunia boleh mendapatkan produk tersebut tanpa perlu datang ke Malaysia. Kaedah ini secara tidak langsung mampu merancakkan lagi sektor IKS di negara kita dan dapat menyediakan peluang yang lebih luas kepada pasaran barangan tempatan dan tradisional di negara kita.

Dalam keadaan suasana kenaikan harga bahan mentah seperti minyak, tepung, gula dan sebagainya menyebabkan pengusaha IKS perlu mencari jalan dan alternatif untuk menjimatkan kos operasi sebaik mungkin dan dalam masa yang sama berusaha mencari peluang untuk meluaskan pasaran produk IKS yang diusahakan, maka jawapannya ialah kaedah e-Bisnes yang dapat membantu mereka jika mereka serius, komited dan berani menceburi e-Bisnes secara langsung walaupun inovasi ini masih terlalu baharu dan janggal di dalam dunia IKS negara.

Namun begitu, terdapat beberapa pemain IKS berskala besar sudahpun memulakan langkah mereka dalam e-Bisnes sebagai strategi meluaskan pasaran dan memperkukuhkan kedudukan mereka di pasaran tempatan dan dunia terutamanya usahawan dan syarikat IKS di kalangan bukan Bumiputera yang sudah melihat potensi aplikasi e-Bisnes. Setakat ini syarikat IKS berskala besar masih didominasi oleh bukan Bumiputera memandangkan usahawan kecil-kecilan IKS tempatan masih lagi belum bersedia terjun ke arena e-Bisnes secara serius.

Menurut Persatuan Pengilang dan Industri Perkhidmatan Bumiputera Malaysia (PPIPBM), pertumbuhan IKS pada tahun 2007 adalah sekitar lima peratus sahaja dan optimis IKS akan bangkit kembali melonjak pasarannya pada tahun ini untuk menghasilkan satu keputusan yang lebih positif ekoran persaingan yang hebat seperti dari negara China, India danVietnam yang merupakan pemain IKS global dunia utama selain kekangan dan kerenah keterikatan dengan Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) yang dilihat boleh menjejas potensi IKS tempatan khususnya dan dunia amnya.

PPIPBM pada tahun ini mengunjurkan pertumbuhan IKS sehingga sepuluh peratus pada tahun ini memandangkan situasi terbaru perjalanan ekonomi negara yang begitu memberangsangkan. Oleh yang demikian, usahawan dan pengusaha IKS dianjurkan berani keluar dari kepompong dan cuba memasuki pasaran global serta meneroka peluang di luar negara, walaupun pasaran produk dan perkhidmatan IKS masih terhad sekitar lima peratus sahaja dan perlu dipertingkatkan lagi. Di sini menunjukkan medium e-Bisnes boleh memainkan peranan utama memandang prasarana ini boleh dibangunkan oleh usahawan dan pengusaha IKS secara yang lebih komprehensif serta mampu membawa produk mereka terus kepada pengguna dan pembeli.

Perubahan sikap dan anjakan paradigma ini perlu memandangkan pasaran global semakin berkembang luas dan permintaan terhadap produk dan perkhidmatan IKS semakin meningkat dari semasa ke semasa terutamanya industri produk halal seperti ubatan, produk asas tani dan makanan di samping pelbagai insentif yang ditawarkan oleh kerajaan tidak seharusnya dilepaskan begitu sahaja. Pembangunan koridor ekonomi seperti ECER, NCER, WPI, SCOPE dan SDR mampu melonjak perkembangan IKS di negara kita di mana menjadikan pasarannya semakin luas dan meningkat melalui penyediaan sumber bahan mentah dan perkhidmatan.

Terdapat beberapa halangan IKS yang masih membelenggu usahawan IKS seperti mereka masih tidak bersedia menyediakan bekalan bagi permintaan luar negara yang semakin besar; kemudahan infrastruktur seperti kemudahan ICT seperti kemahiran komputer dan internet yang masih lemah, kurang pendedahan kepada pembangunan ICT; kualiti dan standard produk serta perkhidmatan yang masih di bawah piawaian pasaran luar; masalah modal dan pinjaman yang masih membelenggu usahawan IKS serta persedian mental dan sikap berani mengambil risiko dalam urus tadbir perniagaan secara e-Bisnes.

Walaupun bukan mudah untuk menembusi pasaran luar negara yang sudah matang, namun ruang masih terbuka sekiranya usahawan IKS bersedia mengambil inisiatif mengadakan pakatan strategik dengan pelabur-pelabur dari negara membangun bagi membuka peluang perniagaan baru melalui e-Bisnes yang semakin berkembang sekarang dan pada masa akan datang. Usahawan IKS juga perlu memperluas, meneroka dan berkongsi pengalaman serta kepakaran di antara usahawan Bumiputera dan bukan Bumiputera dalam bidang perniagaan dan perindustrian berasaskan kepada kekuatan dan kelebihan masing-masing untuk faedah dan kepentingan bersama.



Rujukan:


Moha Asri Abdullah. 1997. IKS di Malaysia - Tinjauan Terhadap Perkembangan Program Bantuan. Printmate Sdn.Bhd
Sektor IKS jangka kembali pulih, Utusan Malaysia, 18 Januari 2008

Monday, February 25, 2008

BERDAKWAH MELALUI BAHASA ISYARAT

Dakwah atau menyampaikan ajaran Islam kepada orang Islam dan bukan Islam adalah kewajipan kepada semua umat Islam walaupun hanya dengan satu ayat. Terdapat banyak ayat al-Quran dan hadis yang menyuruh umat Islam berdakwah agar ajaran dan kesempurnaan Islam terus berkembang, relevan dan segar sepanjang zaman. Usaha dan aktiviti dakwah amat berkait rapat dengan bahasa dan tanpa medium bahasa, mesej dakwah tidak akan sampai dan matlamat dakwah tidak berjaya.

Namun begitu dalam keghairahan kita melaksanakan misi dakwah kepada orang Islam dan bukan Islam, mungkin kita agak terlepas pandang dan terlupa kepada golongan orang pekak yang tidak memahami kaedah dakwah sedia ada memandangkan mereka memerlukan bahasa isyarat untuk menerima segala mesej dan maklumat yang ingin di sampaikan oleh pendakwah. Di sini menunjukkan betapa peri pentingnya bahasa isyarat dikuasai oleh para pendakwah di negara kita agar golongan ini tidak terlepas dan tertinggal dengan arus semasa serta perkembangan Islam di dalam negara dan luar negara.

Apatah lagi tanpa penguasaan bahasa isyarat yang baik oleh pendakwah menjadikan golongan orang pekak di negara kita tidak dapat mempelajari ajaran Islam secara yang berkesan dan sempurna. Situasi ini menuntut ahli agama, ulama, pemikir dan pendakwah di Malaysia mendalami dan menguasai kaedah dan sistem bahasa isyarat agar mereka dapat menyampaikan ajaran Islam secara efektif dan segala maklumat berkenaan Islam kepada golongan orang pekak atau tuli ini.

Mereka juga perlu mencari alternatif dan mencipta sistem yang paling cekap untuk membantu golongan orang pekak di negara kita memahami dan mengenali Islam secara lebih teratur dalam pengamalan mereka seharian. Tugas ini bukan suatu yang boleh dipandang mudah memandangkan golongan orang pekak juga berhak kepada maklumat Islam seperti mana orang lain, dan sekiranya perkara ini diabaikan maka sudah tentu golongan ini akan jauh tertinggal dan keliru dengan Islam. Dalam surah al-Nahli, ayat 125, Allah s.w.t berfirman: "Serulah manusia ke jalan TuhanMu dengan hikmah dan pelajaran yang baik dan bantahlah mereka dengan cara yang baik".

Menurut Fathi Yakan dalam buku beliau Bagaimana Kita Menyeru Kepada Islam (1987) menukilkan bahawa mengajak masyarakat untuk melaksanakan ajaran-ajaran Islam, menyuruh mereka berbuat baik dan melarang mereka berbuat yang tidak baik adalah kewajipan dalam agama Islam. Maka kita sebagai warga, yang berada dalam lingkungan medan Islam, seharusnya tegak membawa tugas itu memikulnya dengan segala kesungguhan, mengarahkan tenaga, serta waktu dan pemikiran kita. Dan inilah tugas utama bagi setiap pendakwah.

Di sini menunjukkan bahawa pendakwah perlulah melakukan tindakan drastik menguasai bahasa isyarat agar dakwah mereka lebih berkesan dan diterima oleh masyarakat pekak yang dikatakan mencecah 26,000 orang di negara kita. Golongan yang tidak berupaya ini mungkin hanya mampu melihat tetapi mereka tidak mampu mendengar yang menyebabkan mereka tidak dapat bertutur dengan sempurna, apatah lagi untuk membaca al-Quran yang mulia. Di samping itu dengan ketidakupayaan mereka juga tidak dapat membaca doa dan melakukan bacaan solat dengan baik.

Pengenalan Bahasa Isyarat Malaysia (BIM) yang merupakan bahasa standard golongan pekak di Malaysia dilihat dapat membantu dalam usaha dan misi dakwah ini. Namun begitu kita masih kurang dengan penerbitan buku-buku atau alat bantuan lain seperti DVD, VCD atau CD yang fokus dengan bahasa isyarat untuk tujuan dakwah di negara kita. Di samping itu, dengan ledakan ICT dan teknologi maklumat seperti internet juga masih kurang yang memfokuskan kepada bahasa isyarat berkenaan ajaran serta maklumat Islam sama ada di dalam atau di luar negara.

Realiti ini menuntut kepada kerjasama semua pihak untuk memperhebatkan lagi institusi komuniti orang pekak di Malaysia memandangkan ada di kalangan mereka yang beragama Islam dan jika kita mempunyai kemudahan yang lengkap di dalam pembangunan bahasa isyarat maka sudah tentu kita dapat menggunakan kelebihan tersebut untuk berdakwah kepada orang pekak yang bukan beragama Islam. Dinamika ini juga dapat diperluaskan kepada program dan kuliah di masjid, surau atau rancangan televisyen dan sebagainya.

Keadaan ini juga menjadikan misi dakwah di negara kita berjalan lebih lancar dan tidak mustahil juga kita dapat meningkat bilangan pendakwah di kalangan orang pekak sekiranya usaha dan inisiatif ini dapat direalisasikan segera. Bahan-bahan dakwah seperti buku, VCD, DVD dan lain-lain yang berkaitan bahasa isyarat Islam dapat membantu pendakwah di kalangan orang pekak melaksana usaha dakwah mereka sesama mereka dengan lebih baik lagi.

Oleh demikian, institusi agama seperti JAKIM, IKIM, YADIM dan lain-lain perlulah memainkan peranan penting dalam usaha murni ini dengan kerjasama NGO Islam seperti Jamaah Islah Malaysia (JIM), Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) serta badan siasah lain merealisasikan penerbitan dan pengeluaran bahasa isyarat Islam sama ada bahan cetak atau elekronik yang pertama di negara kita dan mungkin juga yang pertama di kalangan negara Islam negara Islam lain.

Memandangkan Malaysia sebagai pengerusi OIC, maka amat wajar untuk menjuarai dan mendahului usaha dan inisiatif yang cukup bermanfaat ini kepada dunia Islam di mana sekiranya visi ini berjaya maka ianya adalah suatu khazanah umat Islam yang cukup menarik dan berharga. Di samping itu juga umat Islam dan semua negara Islam perlulah bersepakat dan mencari alternatif terbaik untuk mewujudkan satu sistem dan kaedah bahasa isyarat yang standard serta boleh diimplementasi oleh seluruh masyarakat Islam di dunia ini.

Jika ini berjaya maka sudah tentu umat dan negara Islam lebih dihormati oleh dunia luar serta ianya juga merupakan kaedah paling berkesan untuk menyampaikan Islam kepada komuniti orang pekak secara global. Kini dengan kecanggihan teknologi dan kemajuan internet, membolehkan kita secara optimum mengaplikasikannya bagi tujuan dakwah setanding dengan bahasa isyarat lain terutamanya Bahasa Isyarat British (BSL) dan Bahasa Isyarat Amerika (ASL) serta tidak mustahil bahasa isyarat Islam mampu menyaingi bahasa isyarat global ini pada masa hadapan.

Sebagai permulaan dalam usaha besar ini, maka semua sekolah agama, kolej agama dan universiti yang menyediakan program pengajian Islam perlulah mewajibkan semua pelajarnya mempelajari dan menguasai Bahasa Isyarat Malaysia (BIM) dan seterusnya mendalami bahasa isyarat global lain serta berusaha mewujudkan sistem dan kaedah bahasa isyarat Islam pada masa hadapan. Oleh itu satu silibus khas berkenaan bahasa isyarat perlu dimasukkan di dalam sistem pengajian mereka dan mereka juga perlu melalui ujian praktikal berdakwah kepada golongan orang pekak sebagai satu kerja kursus di institusi pengajian tinggi (IPT).

Golongan ulama, pakar bahasa isyarat, pemikir Islam dan ahli akademik juga hendaklah turut berusaha mencari formula untuk mempertingkatkan lagi bahasa isyarat dan berusaha mewujudkan bahasa isyarat Islam di negara kita agar ajaran Islam yang sebenar tidaklah hanya eksklusif kepada masyarakat normal sahaja tetapi orang pekak juga berhak sama ada Islam atau bukan Islam untuk mengenali Islam secara lebih dekat lagi.

INOVASI DAN TRANSFORMASI BAHASA ISYARAT DI MALAYSIA

Bahasa adalah teras perhubungan terpenting dan merupakan medium efektif dalam proses komunikasi serta penyampaian maklumat di antara pihak yang berhubungan sejak dahulu lagi. Bahasa menjadikan sistem komunikasi menjadi lengkap dan sempurna serta mewujudkan tindak balas ke atas maklumat yang diterima. Keadaan ini membuktikan bahawa peranan bahasa sangat penting di dalam aktiviti komunikasi seharian, di mana di samping bahasa lisan yang banyak digunakan, bahasa isyarat juga merupakan kaedah utama dalam urusan komunikasi yang melibatkan golongan pekak atau tuli di negara kita.

Komuniti pekak di negara kita digolong di dalam kategori orang kurang upaya (OKU) dan mendapat perhatian serta pembelaan sewajarnya daripada kerajaan di mana menurut statistik Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) setakat tahun 2005 sahaja terdapat hampir 26,294 orang pekak yang berdaftar dengan institusi berkenaan. Ini menunjukkan bahawa golongan ini bukannya sedikit dan hak mereka dalam urusan komunikasi seharian perlulah diberikan keutamaan sepenuhnya agar golongan ini tidak tertinggal di dalam arus perdana memandangkan mereka juga modal insan yang boleh menyumbang kepada negara.

Melihat kepada keperluan dan proses tranformasi komuniti pekak di Malaysia, Bahasa Isyarat Malaysia (BIM) telah diperkenalkan. Secara umumnya bahasa isyarat ialah bahasa yang digunakan oleh orang pekak untuk berkomunikasi secara visual antara satu sama lain. Dalam sistem bahasa isyarat, orang pekak menggunakan pergerakan tangan, badan dan muka untuk menyampaikan sesuatu maksud, pandangan, idea dan sebagainya di mana orang pekak pun menggunakan deria penglihatan untuk menerima dan memahami maksud isyarat tersebut.

Uniknya bahasa isyarat mempunyai ciri-ciri yang tersendiri dari segi bahasa, bangsa, budaya, agama, lokasi dan geografi di mana di seluruh dunia komuniti orang pekak mempunyai bahasa isyarat mereka yang berbeza dengan negara lain seperti Bahasa Isyarat British (MSL), Bahasa Isyarat New Zealand (NZSL), Bahasa Isyarat Australia (Auslan), Bahasa Isyarat Amerika (ASL), Bahasa Isyarat Jepun (JSL) dan lain-lain lagi di samping Bahasa Isyarat Malaysia. Di negara kita Bahasa Isyarat Malaysia digunakan sebagai bahasa rasmi dan bahasa ibunda masyarakat orang pekak sejak sekian lama yang merupakan bahasa isyarat yang dibentuk sendiri orang orang pekak atas faktor-faktor komunikasi harian, pendidikan, pendedahan dan budaya orang pekak.

Setelah melalui pelbagai inovasi dan transformasi, bahasa isyarat kini telah diiktiraf sebagai satu bahasa seperti Bahasa Isyarat British (BSL) pada 18 Mac 2003 dan bahasa rasmi negara seperti Bahasa Isyarat New Zealand (NZSL) pada April 2006 di samping bahasa Inggeris dan Maori. Ini adalah kejayaan terbesar pejuang bahasa isyarat di sana dalam usaha memperkasa dan mendaulatkan bahasa isyarat setanding dengan bahasa dunia lain. Usaha ini wajar dimulakan dan digerakkan oleh pejuang dan pengamal bahasa isyarat di negara-negara lain terutamanya Malaysia agar Bahasa Isyarat Malaysia (BIM) diiktiraf sebagai satu bahasa di negara kita.

Bahasa Isyarat British (BSL) umpamanya merupakan bahasa isyarat yang digunakan di United Kingdom dan merupakan bahasa ibunda kepada 70,000 sehingga 250,000 komuniti pekak di sana termasuk saudara mara orang pekak, jurubahasa orang pekak dan golongan yang sentiasa berkomunikasi dengan orang pekak melalui pergerakan tangan, kepala, badan dan muka. Keadaan ini menyebabkan masyarakat orang pekak tidaklah menghadapi masalah yang banyak memandangkan kesedaran yang tinggi masyarak terhadap bahasa isyarat dan kemahiran berkomunikasi dalam bahasa isyarat di sana.

Walaupun bahasa Inggeris merupakan bahasa ibunda masyarakat Barat, namun Bahasa Isyarat British (BSL) berbeza dengan Bahasa Isyarat Amerika (ASL) di mana abjad tangan Bahasa Isyarat British tidak sama dengan abjad tangan Bahasa Isyarat Amerika (ASL). Ini adalah kerana Bahasa Isyarat British menggunakan kedua-dua tangan manakala Bahasa Isyarat Amerika menggunakan satu tangan sahaja. Bahasa Isyarat British lebih menyamai Bahasa Isyarat Australia (Auslan) dan Bahasa Isyarat New Zealand (NZSL) memandangkan mereka menggunakan abjad tangan, tatabahasa dan leksikon yang sama yang di mana hasil gabungan ketiga-tiga bahasa isyarat tersebut mewujudkan sistem bahasa isyarat yang dipanggil BANZSL. Terdapat 62.5 peratus persamaan antara Bahasa Isyarat British (BSL) dan Bahasa Isyarat New Zealand (NZSL), berbanding 33 peratus persamaan dengan Bahasa Isyarat Amerika (ASL).

Dalam usaha menjadikan Bahasa Isyarat Malaysia setanding dengan bahasa isyarat dunia lain, Persekutuan Orang Pekak Malaysia (MFD) telah menerbitkan beberapa buah buku dan bahan bantuan lain bagi keperluan komuniti orang pekak di Malaysia di samping sebagai rujukan kepada saudara mara orang pekak, jurulatih, guru, pemimpin masyarakat dan sesiapa sahaja yang berminat serta peka dengan perkembangan bahasa isyarat.

Buku Bahasa Isyarat Malaysia terbitan tahun 2000 yang merupakan magnum opus komuniti orang pekak di Malaysia umpamanya merupakan buka bahasa isyarat yang pertama dicipta oleh orang pekak dan mengandungi isyarat-isyarat yang digunakan oleh komuniti orang pekak di Malaysia. Buku ini kaya dengan identiti yang melambangkan bangsa, budaya dan agama di negara kita serta mengandungi hampir 1000 isyarat dan 30 bab dalam bahasa Malaysia dan Inggeris dengan susunan grafik yang jelas dan mudah dibaca.

Buku Bahasa Isyarat Malaysia Jilid 2 terbitan tahun 2003 pula merupakan koleksi isyarat yang digunakan oleh komuniti orang pekak dalam persekitaan budaya bangsa Malaysia. Buku ini sesuai sebagai rujukan yang lengkap kepada orang pekak dan bukan pekak yang ingin mendalami kemahiran Bahasa Isyarat Malaysia (BIM) yang mengandungi 1,000 isyarat dan 42 bab meliputi komunikasi, pendidikan, ekonomi dan lain-lain dalam bahasa Inggeris serta bahasa kebangsaan. Panduan isyarat yang disediakan adalah ringkas dan mudah difahami beserta ayat contoh bagi setiap isyarat di samping ilustrasi yang menarik dan kemas.

Buku Bahasa Isyarat Malaysia: Tempat Dalam dan Luar Negara terbitan tahun 2002 mengandungi isyarat -isyarat yang digunakan untuk merujuk kepada bandar, negeri, negara dan tempat menarik di dalam dan luar negara. Buku ini menyediakan lebih 200 isyarat menarik yang meliputi 8 bab utama mengenai Malaysia dan luar negara beserta ilustrasi model dan tempat. Buku ini amat sesuai kepada sesiapa sahaja memandangkan saiznya yang kecil dan mudah di bawa ke mana sahaja termasuk para pelancong dan pemandu pelancong di negara kita. Kehadiran buku ini memudahkan urusan komunikasi orang pekak dalam dan luar negara serta mesra pembaca.

Lebih menarik dan mengujakan lagi apabila Persekutuan Orang Pekak Malaysia (MFD) telah berjaya menerbitkan sebuah buku berkenaan ICT kepada komuniti orang pekak di Malaysia. Buku Bahasa Isyarat Malaysia: Isyarat-Isyarat ICT terbitan tahun 2003 adalah hadiah cukup bermakna kepada orang pekak bagi mendekatkan golongan ini dengan ledakan teknologi dan mesra IT. Kehadiran buku ini menjadikan masyarakat orang pekak di Malaysia tidak ketinggalan dalam dunia IT dan membuka dimensi serta anjakan paradigma orang pekak terhadap teknologi terkini ini. Buku yang diusahakan oleh E-Pekak iaitu projek kebangsaan kesedaran ICT untuk orang pekak di Malaysia. Buku ini amat berguna kepada pelajar pekak, dewasa pekak, ibu bapa dan guru-guru untuk mengenali asas-asas ICT dan belajar bahasa isyarat dengan hampir 200 isyarat ICT dalam dwibahasa.

Di samping buku, terdapat juga usaha menerbitan bahan bantuan bahasa isyarat dalam bentuk CD-ROM iaitu Panduan Bahasa Isyarat Malaysia oleh Asia Pasific Institute of Information Technology (APIIT) sebagai nilai tambah kepada prasarana bahasa isyarat di negara kita. CD-ROM ini menyediakan paparan rekabentuk grafik yang menarik, persembahan video yang interaktif dan amat sesuai untuk pelajar, pendidik, ahli keluarga dan orang awam yang berminat untuk mendalami bahasa isyarat secara yang lebih efektif dan mudah.

Di samping CD-ROM, tindakan sebuah produksi, Ras Production mengeluarkan VCD Panduan Bahasa Isyarat Malaysia yang turut memuatkan persembahan aksi-aksi lucu pelakon pekak perlu diberi pujian memandangkan usaha dan inisiatif ini menjadikan bahan bantu bahasa isyarat menjadi semakin lengkap dan memudahkan masyarakat orang pekak dan orang awam mengenali bahasa isyarat secara lebih meluas di negara kita.

Melihat kepada perkembangan pesat dan transformasi bahasa isyarat di Malaysia yang begitu berkesan, menunjukkan komuniti orang pekak di negara ini bukanlah warga kelas kedua dan mereka adalah setanding dengan kemajuan bahasa isyarat di negara maju lain serta membuktikan mereka juga mampu bersaing dengan masyarakat lain di Malaysia. Oleh yang demikian, semua pihak perlu bekerjasama memperkasakan bahasa isyarat di Malaysia dengan memulakan langkah awal mempelajari dan mendalami bahasa isyarat agar kita tidak lagi membina jurang komunikasi di antara orang pekak dalam segala urusan.

Wednesday, February 13, 2008

SEJARAH PERKEMBANGAN KARTUN DAN BAHASA KARIKATUR

Sejak sebelum merdeka lagi kartun dan bahasa karikatur memainkan peranan yang sangat penting di dalam masyarakat Melayu dan Malaysia amnya. Kartun mempunyai peranan yang sangat besar di dalam industri akhbar ketika zaman pemerintahan British, era penaklukan Jepun dan cukup signifikan ketika awal kemerdekaan. Kartun menjadi medium untuk meniupkan semangat menuntut kemerdekaan, mempengaruhi rakyat membenci penjajah dan mengajak masyarakat bersama-sama membina negara baru yang bebas, maju dan makmur.

Di samping sebagai bahan hiburan ringkas ketika itu, kartun dan bahasa karikatur turut menjadi motivasi kepada orang Melayu untuk bersatu padu, bekerjasama dalam segala bidang yang dilakukan dan menjadi pengantar kepada rakyat untuk mengetahui perkembangan yang berlaku di dalam dan di luar negara. Kartun dan bahasa karikatur juga melambangkan jati diri, watak, kecenderungan, semangat, realiti hidup, tabiat dan kegigihan orang Melayu ketika itu melalui lakaran dan gambaran yang ditunjukkan. Masyarakat luar juga boleh menilai sesuatu bangsa melalui realiti kartun dan bahasa karikatur yang dihasilkan.

Menurut penulis buku The History of Malay Editorial Cartoons, Profesor Dr. Muliyadi Mahamood yang merupakan pensyarah di Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan pakar bidang kartun di negara kita menyatakan bahawa sejarah kartun Malaysia bermula sejak tahun 1920-1930-an melalui penerbitan surat khabar seperti Warta Jenaka, Utusan Zaman dan Majlis. Selanjutnya kartun Malaysia yang muncul pada akhir tahun 1920-an yang dihasilkan oleh beberapa pelukis terkenal ketika itu telah mempengaruhi pembaca di samping terdapat beberapa hasil kartun dikirimkan oleh pembaca sendiri untuk diterbitkan oleh akhbar.

Kartun memainkan peranan yang sangat penting ketika itu dan selain menghibur pembaca, kartun juga berfungsi sebagai instrumen kritik dan satira, dan berisi kritik politik, sosial dan ekonomi negara dengan unsur humor yang cukup berkesan dan menghiburkan. Selain dalam surat kabar, kartun juga diterbitkan dalam bentuk komik dalam tahun 1950-1960-an yang menceritakan cerita rakyat tradisional Malaysia dengan penekanan pada aspek moral dan pendidikan. Komik dan kartun juga dimanfaatkan sebagai alat pendidikan, selain bentuk alat hiburan, dan berfungsi sebagai dokumentasi visual dan historis.

Kartun juga diterbitkan dalam bentuk majalah pada tahun 1960-1970-an. Pada tahun 1978, Majalah kartun Malaysia pertama, Gila-Gila diterbitkan oleh Creative Enterprise Sdn. Bhd. Kejayaan yang ditunjukkan oleh penerbitan majalah Gila-Gila mendorong munculnya penerbitan lain seperti Gelihati, Mat Jenin, Humor, Batu Api, Telatah dan Relek. Sebagian besar pada awalnya terpengaruh gaya majalah humor Barat seperti Mad dan Crazy, sebelum akhirnya menemukan gaya mereka sendiri yang merefleksikan budaya dan citarasa serta realiti kehidupan masyarakat tempatan. Masa keemasan kartun Malaysia dikatakan adalah sekitar tahun 1980-an.

Tahun 1990-an menunjukkan penerbitan majalah kartun semakin meningkat dan pada tahun 2003 sahaja, terdapat lebih dari 12 majalah, yaitu: Gila-Gila, Ujang, Apo, Gempak, X-Ray, Mangga, Solehin, Bip, Kawan, Anak-anak Sidek, Batu Api, Pior, Politik Kedai Kopi, Utopia, 1001 Gila, Lanun, Keluang Man dan Hebat. Kartun juga muncul dalam bentuk animasi melalui produksi filem animasi pertama, Hikayat Sang Kancil (1978) dengan sokongan dana dan bantuan RTM. Tahun 1990-an pula menyaksikan munculnya lebih banyak produksi animasi, sebagai tanda animasi sebagai media baru untuk ekspresi kartun.

Pengalaman dalam seni kartun dan bahasa karikatur bukan saja mematangkan daya pengkaryaan, malah membentuk pandangan yang utuh terhadap seni yang diceburi. Lantaran itu seni kartun tidak dianggap sebagai suatu yang perlu dipandang ringan kerana ia merupakan rakaman kepada persekitaran manusia. Atas landasan itu juga seni kartun perlu memiliki citra setempat daripada aspek gaya pengkaryaan dan juga lontaran pemikirannya. Menurut kartunis terkemuka, Datuk Mohd. Nor Khalid atau Lat, seni kartun di negara ini perlu menampilkan imej Malaysia yang sesuai dengan latar ekonomi, sosial, politik, agama dan budaya masyarakatnya.

Malah ia merupakan tanggungjawab kartunis untuk mengetengahkan sesuatu yang bersifat setempat dan tidak terlalu terikut-ikut seni kartun luar negara. Seorang kartunis juga seperti seniman lain perlu sensitif dan bersifat kritis terhadap persekitaran, isu dan pergolakan dalam masyarakatnya. Terdapat kecenderungan sesetengah kartunis atau majalah kartun yang terikut-ikut cara bercerita komik dari Jepun atau Taiwan. Kartun-kartun yang disiarkan di akhbar kebiasaannya mengambil isu-isu semasa. Bagaimana banyak kartun di majalah yang dipengaruhi oleh gaya bercerita dari Jepun dan Taiwan. Ini tidak mencerminkan suasana sebenar dalam negara. Kebanyakan kartunis angkatan lama menampilkan citra Melayu hasil daripada pengaruh filem-filem Melayu lama.

Secara keseluruhan perkembangan seni kartun di negara ini seiring dengan perubahan masa. Kemasukan teknologi teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) turut mempengaruhi seni kartun seperti dalam animasi. Pengaruh yang paling besar kepada dunia seni kartunnya disebabkan minat yang mendalam terhadap wayang, muzik, komik dan buku cerita. Ini adalah merupakan cabaran yang perlu dihadapi oleh pemain utama arena kartun dan bahasa karikatur di negara kita. Anjakan paradigma kartun dan bahasa karikatur perlu agar lebih segar, infomatik, relevan dan mampu menjadi medium utama sebagai agen perubahan dan kesedaran dalam masyarakat di negara kita dan bukannya sekadar bahan lawak jenaka semata-mata.

Kartun dan bahasa karikatur kini telah menjadi industri yang sangat menguntungkan seperti yang berlaku di Jepun, Taiwan, Amerika Syarikat dan sebagainya di mana buku, majalah dan komik banyak diterbitkan dan dieksport ke luar negara termasuklah ke negara kita seperti watak-watak fiksyen, tahyul, super hero Barat, animasi, peperangan alam siber, kisah pahlawan silam, layak jenaka dan sebaginya. Terdapat juga kartun dan bahasa karikatur yang bersifat pendidikan dan pembelajaran seperti ilmu sains dan teknologi, pendedahan alam semesta, kecintaan dan keprihatinan terhadap alam sekitar, pemuliharaan flora dan fauna dan lain-lain lagi. Industri ini semakin berkembang dan bernilai jutaan ringgit serta ramai pelukis, artis atau pemain dalam bidang ini memperolehi pendapatan sehingga puluhan ribu ringgit sebulan.

Kartun dan bahasa karikatur telah berjaya dikomersial dengan begitu berjaya sekali dan mendapat perhatian dan minat yang hebat daripada golongan muda seperti pelajar dan lepasan sekolah, malahan orang dewasa juga tidak ketinggalan menjadi peminat dan pembaca setia bahan kartun dan bahasa karikatur ini. Kebiasaannya buku, majalah dan komik sebegini diterbitkan berdasarkan skala mingguan, bulanan atau dwi-bulanan secara bersiri dan boleh didapati toko buku besar dan terkenal sehinggalah di kedai-kedai malajah kecil. Walaupun harga bahan bacaan kartun ini sangat mahal, namun bagi peminat setia mereka sanggup membeli dan melanggan setiap minggu atau bulan. Pembaca seolah-olah ketagih dan sentiasa menantikan episod demi episode setiap minggu dan bulan.

Melihat kepada pengaruh dan potensi yang besar bahan bacaan buku, komik dan majalah kartun ini, lebih-lebih lagi yang diimport dari luar negara, maka semua pihak perlu berhati-hati serta bijak membeli bahan bacaan yang sesuai dan tidak memilih bahan bacaan yang melalai dan merugikan atau bertentangan dengan norma dan tatasusila masyarakat Timur agar wang yang dikeluarkan tidak dipersiakan begitu sahaja. Semua pihak yang terlibat di dalam industri ini hendaklah memastikan bahawa bahan bacaaan kartun dan bahasa karikaturnya yang dikeluarkan berkualiti tinggi dari segi korpus intelektualnya, budaya dan sarat dengan unsur pendidikan serta nasihat keagamaan agar masyarakat yang membeli dan membacanya beroleh manfaat yang banyak.

Usaha dan perancangan untuk menerbitkan lebih banyak bahan kartun dan bahasa karikatur yang bermutu serta berwibawa perlu dipertingkatkan lagi agar medium ini dapat digunakan sebagai alat bantuan pendidikan di sekolah serta di rumah dan memudahkan pelajar memahami sesuatu yang ingin disampaikan seperti amalan keagamaan, sosiobudaya dan sebagainya melalui bantuan dana serta sokongan syarikat korporat dan NGO. Dewan Bahasa dan Pustaka sendiri perlu memperbanyakkan lagi bahan bahan bacaan berunsurkan kartun dan bahasa karikatur serta bertindak sebagai pemantau bahasa dan ini menjadi dorongan kepada pihak lain untuk terlibat sama di dalam industri ini di negara kita.


RUJUKAN

Muliyadi Mahamood, 1993. Mendekati Seni Lukis Dan Seni Reka. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa Dan Pustaka, Kementerian Pendidikan Malaysia, 1993.
Seni kartun perlu berwajah Malaysia, Utusan Malaysia, 19 Februari 2008

Monday, February 11, 2008

PATUHI UNDANG-UNDANG PILIHAN RAYA

Malaysia sebagai sebuah negara berdaulat dan mengamalkan demokrasi sejak sekian lama, bakal mengadakan pilihan raya umum ke-12 tidak lama lagi. Sejak tahun 1957, Malaysia mengamalkan sistem politik pelbagai parti di mana parti politik yang memperolehi majoriti kerusi di Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN) boleh menubuhkan Kerajaan Persekutuan atau negeri. Berasaskan sistem 'First-Past-The-Post-System' membolehkan calon pilihan raya yang memperolehi undi majoriti akan diisytiharkan sebagai pemenang. Setakat ini terdapat 222 kerusi Parlimen dan 576 kerusi DUN di seluruh negara.

Dalam usaha memastikan perjalanan proses pilihan raya berjalan lancar, sistematik dan selamat, beberapa undang-undang dan peraturan digubal seperti Perlembagaan Persekutuan itu sendiri, Perlembagaan Negeri, Akta Suruhanjaya Pilihan Raya 1957, Akta Pilihan Raya 1954, Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954, Peraturan-Peraturan (Perjalanan Pilihan Raya) Pilihan Raya 1981, Peraturan-Peraturan (Pendaftaran Pemilih) Pilihan Raya 2002 dan Peraturan-Peraturan (Mengundi Melalui Pos) Pilihan Raya 2003 bagi memastikan segala prosedur dan proses pilihan raya diikuti dan dipatuhi sepenuhnya tanpa sebarang kompromi.

Di samping itu juga terdapat beberapa undang-undang lain yang berkaitan dalam pilihan raya seperti Akta Rahsia Rasmi 1972, Akta Polis 1962, Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 dan Akta Hasutan 1970 bagi memastikan perjalanan dan proses pilihan raya tidak dicemari oleh perbuatan dan aktiviti yang menyalahi undang-undang sepanjang pilihan raya dijalankan terutamanya ketika berkempen dan merayu undi. Perkara ini jika tidak dikawal boleh menimbulkan huru hara, demonstrasi, pergaduhan, perselisihan dan sebagainya apabila calon, ejen dan penyokong terlalu taksub dan mabuk berkempen. Peruntukan sedia ada membuktikan ketelusan kerajaan bagi memastikan perjalanan pilihan raya bersih dari aktiviti negatif dan jika berlaku sebarang bentuk perlanggaran undang-undang maka perkara ini boleh di bawa ke muka pengadilan.

Malaysia sebenarnya merupakan antara negara di dunia yang memiliki peruntukan undang-undang pilihan raya yang lengkap, efisien dan akomodatif serta dihormati masyarakat antarabangsa. Melalui peruntukan yang ada menjadikan parti politik dan calon yang akan bertanding tidak perlu bimbang dan risau kerana proses pemilihan yang dilalui adalah dalam keadaan yang terkawal dan segala aktiviti tidak sihat, ekstrem dan melampau dapat dipantau memandangkan kerajaan amat menitik beratkan keluhuran undang-undang seperti yang terdapat di dalam Rukun Negara.

Undang-undang menetapkan bahawa seseorang itu boleh mengundi sekiranya mempunyai status warganegara Malaysia, berumur tidak kurang daripada 21 tahun pada tarikh kelayakan, seorang penduduk di mana-mana bahagian pilihan raya di Malaysia dan tidak hilang kelayakan. Seseorang pengundi atau pemilih dianggap akan hilang kelayakan jika pada tarikh kelayakan, ditahan kerana tidak siuman atau sedang menjalani hukuman penjara; atau sebelum tarikh kelayakan, telah didapati bersalah dan dihukum mati atau penjara untuk tempoh lebih 12 bulan dan masih menjalani hukuman pada tarikh kelayakan; atau telah didapati bersalah di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954; dan telah memperolehi kerakyatan asing.

Dalam kes Ustaz Khalid Bin Rasid lwn. Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi Dan Lain-Lain Dan Satu Permohonan Lagi [2005] 2 MLJ 456, mahkamah memutuskan bahawa isu pemilihan calon pilihan raya dikawal selia dan tertakluk kepada undang-undang khusus Akta Suruhanjaya Pilihan Raya 1957, Akta Pilihan Raya 1954 dan Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954. Oleh demikian, bagi kelayakan calon pilihan raya, seseorang calon boleh bertanding sama ada mewakili parti tertentu atau sebagai calon bebas dengan syarat merupakan warganegara Malaysia dan bermastautin di negara ini; berumur tidak kurang daripada 21 tahun pada hari penamaan calon; dan tinggal di negeri di mana dia akan bertanding.

Manakala seseorang calon itu dikira sebagai hilang kelayakan jika telah didapati atau diisytiharkan tidak siuman; atau didapati seorang bankrap; atau memegang jawatan berkepentinagn 'office of profit'; atau gagal mengemukakan laporan perbelanjaan pilihan raya; atau telah didapati bersalah oleh mahkamah di Malaysia dan dijatuhi hukuman penjara untuk tempoh tidak kurang dari 1 tahun atau didenda tidak kurang dari RM2,000 dan belum mendapat pengampunan; dan telah memperolehi kewarganegaraan asing.

Sesuatu keputusan pilihan raya boleh dibawa dan dicabar di mahkamah dalam masa 21 hari selepas tarikh keputusan pilihan raya disiarkan di dalam warta jika terdapat elemen-elemen seperti sogokan, peras ugut atau sebarang salah laku yang mungkin telah menjejaskan proses dan integriti pilihan raya; atau berlakunya ketidak patuhan undang-undang dan peraturan pilihan raya yang telah ditetapkan. Di samping pihak yang mempertikai perlulah mengemukakan bukti wujudnya perbuatan rasuah atau aktiviti-aktiviti yang menyalahi undang-undang yang dilakukan oleh calon dan ejen-ejen dalam pilihan raya; dan sekiranya dapat dibuktikan calon atau ejennya didapati tidak layak menyertai pilihan raya maka perkara ini boleh di bawa ke muka pengadilan.

Namun begitu dalam kes Dr. Shafie Bin Abu Bakar lwn. Pegawai Pengurus Pilihan Raya [2005] 2 MLJ 149, mahkamah menegaskan bahawa amalan korup atau menyalahi undang-undang dalam sesuatu pilihan raya perlulah dinyatakan secara spesifik dan mempunyai fakta material yang relevan agar tidak memalukan dan memprejudiskan pihak lain. Ini menunjukkan bahawa sebarang bentuk tohmahan dan tuduhan terhadap kemenangan calon pilihan raya tidak boleh sewenang-sewenangnya dilemparkan begitu sahaja sebaliknya perlukan bukti dan keterangan yang kukuh dan relevan.

Sehubungan itu, dalam pertikaian keabsahan keputusan sesuatu pilihan raya dan jika Hakim Pilihan Raya di Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa sesuatu pilihan raya itu terbatal, cela dan tidak sah, maka Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengarahkan agar satu pilihan raya yang baru diadakan segera. Oleh yang demikian, untuk mengelak perkara ini daripada berlaku yang hanya akan merugikan banyak pihak terutamanya melibatkan masa, kos yang tinggi dan membantut usaha pembangunan, maka semua pihak adalah bertanggungjawab dan berperanan memastikan pilihan raya umum ke-12 kali ini akan berjalan lancar dan mencipta sejarah kegemilangan baru negara dengan mandat lebih besar daripada rakyat Malaysia.



Rujukan

Laman web Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (http://www/. spr.gov.my/index/proses.htm)

Monday, February 04, 2008

ISLAM TERAS NEGARA KEBAJIKAN

Polemik negara kebajikan bukanlah suatu perkara baru yang sedang diperdebatkan atau bukan lagi teori, dokumen dan wawasan politik, bahkan agenda tersebut telah lama dipraktifkan oleh Malaysia sejak merdeka lagi. Malaysia adalah sebuah negara kebajikan dalam segala aspek pembangunan rakyat yang berterusan dan perkara ini bukan lagi impian atau angan-angan kosong serta telah mendapat pengiktirafan banyak pihak berkenaan perkara ini.

Pendekatan Islam sendiri telah menggambarkan secara jelas dan tuntas realiti Malaysia sebagai sebuah negara kebajikan dan hakikat ini tidak perlu dipertikaikan lagi. Prinsip Islam antaranya memperjuangkan asas utama negara kebajikan iaitu kerajaan yang adil dan beramanah; pembangunan ekonomi yang seimbang dan komprehensif; kehidupan yang berkualiti; dan pembelaan hak kaum wanita dan minoriti di Malaysia. Ini membuktikan bahawa negara telah berjaya memenuhi kehendak dan elemen penting negara kebajikan.

Sebagai sebuah negara kebajikan yang moden dan berjaya, Malaysia sejak sekian lama telah berjaya menyediakan pendidikan rendah dan menengah secara percuma serta pelbagai insentif, bantuan kewangan dan biasiswa bagi membiayai pelajar di peringkat universiti. Ini tidak termasuk sokongan kewangan dalam bentuk elaun latihan kepada pelatih guru, polis, askar, jururawat dan sebagainya bagi merealisasikan kehendak negara kebajikan dalam usaha kerajaan melahirkan modal insan yang berkualiti.

Sejak dahulu lagi golongan miskin, fakir dan kurang upaya (OKU) tidak kira jantina dan bangsa mendapat pembelaan sewajarnya dari kerajaan dalam bantuan kewangan sara hidup, peluang pekerjaan, bantuan pendidikan, perumahan dan perniagaan dan lain-lain dengan pelbagai bentuk skim diwujudkan bagi memastikan golongan ini tidak ditelan arus perdana dan sama-sama berkongsi kemakmuran negara. Kejayaan negara menurunkan indeks kemiskinan di negara kita sudah cukup membuktikan bahawa Malaysia adalah sebuah negara kebajikan yang cukup berjaya dan terkehadapan dalam usaha membasmi kemiskinan biarpun masalah ini amat subjektif dan relatif di dalam kehidupan seharian.

Golongan wanita dan minoriti di Malaysia tidak pernah diabaikan atau dianggap sebagai warga kelas kedua memandangkan polisi negara yang membuka seluas-luasnya pintu persaingan kepada golongan ini merebut segala peluang yang ada sama ada dalam sektor kerajaan, pendidikan, pekerjaan, peluang perniagaan dan sebagainya. Bagi membuktikan Malaysia sebagai sebuah negara kebajikan yang komited dan bertanggungjawab, golongan ini tidak pernah diabaikan atau dianaktirikan melihat kepada realiti golongan ini telah mendominasi sektor-sektor utama dalam negara sejak dahulu lagi.

Dalam pembahagian kekayaan dan kek ekonomi pula, semua warga Malaysia berpeluang merebutnya dan kemakmuran ini diterjemahkan dengan bentuk perlaksanaan projek serta rancangan pembangunan di mana hasilnya akan dinikmati oleh semua pihak. Kekuatan struktur sosial dan politik menjadi paksi kepada asas kewujudan negara kebajikan dan sekiranya kedua-dua teras ini lemah maka status negara kebajikan boleh tergugat. Oleh demikian, rakyat perlu bijak memilih kepimpinan yang boleh membawa negara ke landasan yang betul di samping terus memperkasakan dasar serta konkrit sosial bagi mengelak berlakunya perselisihan, perbalahan dan sengketa kaum yang boleh menggugat kestabilan sosial dalam negara.

Perlu ditegaskan di sini bahawa dalam konteks dan perspektif negara kebajikan bukanlah bermaksud semuanya perlu disediakan secara percuma oleh pihak kerajaan dan rakyat hanya 'perlu makan ikan sahaja tanpa perlu pergi menangkapnya atau sekurang-kurangnya pergi belajar bagaimana untuk menangkap ikan'. Jika konsep negara kebajikan difahami secara salah dan rakyat hanya perlu berpeluk tubuh atau melukut di tepi gantang sahaja, maka hasilnya kita akan melahirkan satu generasi yang lemah, kurang daya saing, tidak kreatif, bermindakan subsidi dan sebagainya.

Dalam konteks negara kebajikan yang sebenar ialah kerajaan yang dipilih perlu berusaha memastikan keselamatan, kepentingan, kemakmuran dan keamanan rakyat terbela serta diberikan keutamaan di mana usaha ini memerlukan sokongan padu dari rakyat untuk menjayakannya. Jika rakyat hanya menjadi pemerhati dan menyerahkan tugas tersebut kepada kerajaan bulat-bulat sahaja tanpa melakukan apa-apa tindakan serta mahu semuanya secara murah dan percuma, sudah tentu negara akan terus mundur, muflis dan tertinggal di belakang. Kata-kata motivasi bekas Presiden Amerika Syarikat Abraham Lincoln bahawa "jangan tanya apa yang dibuat oleh negara untukmu, tetapi tanyalah apa yang boleh kamu buat untuk negara" wajar dihayati oleh semua pihak dalam perkara ini.

Saturday, February 02, 2008

KELAHIRAN SEMULA MASYARAKAT HERBA

Kecenderungan masyarakat masa kini kepada aplikasi herba di dalam kehidupan seharian dilihat mampu merancakkan lagi transformasi industri herba ekoran meningkatnya jumlah pengeluar produk yang berasaskan herba di negara kita. Pertumbuhan industri ini yang bagaikan cendawan selepas hujan telah memberi kesan yang besar kepada gaya pemakanan dan pengambilan makanan tambahan berasaskan herba oleh masyarakat kita dewasa ini.

Ini adalah berikutan jumlah permintaan terhadap produk berasaskan herba begitu tinggi dan semakin bertambah jumlah jualannya di pasaran tempatan di samping ada pengeluar yang sudah berjaya menembusi pasaran antarabangsa. Jika sebelum ini pengambilan herba hanya melibatkan masyarakat kampung dan luar bandar terutamanya di dalam perubatan tradisional dan amalan serta petua kesihatan warisan turun-temurun, namun dengan ledakan teknologi pemakanan bioteknologi telah menjadikan herba telah berjaya dikomersialkan dan dipertingkatkan lagi dengan ujian klinikal bagi menguji keberkesanannya.

Malaysia sebenarnya kaya dengan pelbagai jenis herba dan dianggarkan hampir 2,000 spesies tumbuhan perubatan dan herba yang berpotensi untuk dibangunkan serta mempunyai nilai komersial dan kualiti perubatan yang tinggi. Namun begitu dilaporkan hanya 300 spesies sahaja setakat ini yang baru diterokai dan dipertingkatkan dalam industri herba di negara kita dan masih banyak lagi potensi herba yang boleh diketengahkan dalam proses pembuatan atau penghasilan makanan dan minuman kesihatan dalam bentuk kopi, teh dan sebagainya; produk farmaseutikal dan perubatan moden; produk kosmetik; ubatan tradisional; bahan perantara dan lain-lain.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menganggarkan lebih kurang 80 peratus penduduk dunia bergantung kepada perubatan tradisonal dan herba sejak sekian lama untuk tujuan pemulihan, rawatan dan penjagaan kesihatan. China, India dan Afrika terkenal sebagai negara herba dan pengamal perubatan alternatif di mana kumpulan negara ini adalah antara pengeluar dan pengguna terbesar rawatan dan produk herba di dunia. Dengan jumlah rakyatnya yang ramai dan miskin, menjadikan produk herba dan rawatan tradisional berkembang pesat dan menjadi pilihan utama kerana kos serta harganya yang murah dan mudah didapati berbanding perubatan moden.

Trend pengambilan perubatan tradisional dan herba juga turut mempengaruhi sebahagian besar masyarakat negara maju seperti di Amerika Syarikat, Kanada dan Eropah melihat kepada khasiat, keberkesanan dan kualiti produk herba ini dianggap hebat dan setanding perubatan moden dalam usaha rawatan dan pemulihan pelbagai penyakit. Masyarakat moden hari ini lebih gemar memilih perubatan alternatif dan bebas bahan kimia sebagai gaya hidup baru dalam penjagaan diri dan kesihatan ekoran tahap kesedaran yang semakin tinggi terhadap bahaya bahan kimia dan kesan jangka panjang yang bakal ditanggung oleh seseorang.

Potensi dan prospek yang besar di dalam industri herba telah memberi peluang dan ruang yang besar kepada rakyat Malaysia terutamanya golongan petani, peladang, usahawan, siswazah dan siapa yang yang berminat untuk menceburinya secara serius, di mana industri ini mampu menjanjikan pulangan yang besar dan berdaya saing di peringkat global. Setakat ini pengusaha industri herba kebanyakannya dari industri kecil dan sederhana (IKS) dan usaha untuk memperluaskan pemasaran produk herba sedang giat dilakukan.

Pada tahun 2006, nilai pasaran herba meningkat 15 hingga 20 peratus kepada lebih RM4bilion, di mana sebahagian besarnya masih dimonopoli oleh produk herba yang diimport. Manakala eksport produk herba tempatan pada tahun 2007 meningkat kepada RM5b iaitu meningkat 25 peratus melibatkan lebih 140 syarikat bioteknologi tempatan. Oleh itu, dalam usaha kerajaan memperkasakan sektor pertanian negara sebagai platform perniagaan yang menguntungkan, maka pemain industri herba bolehlah berperanan secara aktif dalam meningkatkan jumlah tanaman, pengeluaran serta penyelidikan dan pembangunan (R&D) herba dengan bantuan institusi pengajian tingga awam (IPTA) dan dana bantuan kerajaan bagi memastikan industri mampu berkembang seiring dengan negara herba lain.

Dalam keadaan industri ini semakin berkembang maju, ada juga yang cuba mengambil kesempatan dengan menipu dan memperdaya pengguna untuk menarik perhatian mereka membeli produk yang dikeluarkan dengan pelbagai dakwaan palsu dan tidak munasabah seperti boleh menyembuh penyakit HIV/AIDS, barah dan sebagainya di mana dilihat agak keterlaluan dan tidak beretika.

Ketika ini juga munculnya pelbagai jenis produk kopi herba yang boleh merangsang tenaga seks di serata tempat dan pengeluarnya pula berlumba-lumba untuk mempertingkatkan kepelbagaian kandungan herba sehingga mencecah berbelas-belas jenis herba dalam satu peket kopi yang menimbulkan pelbagai pertanyaan berkenaan kebenaran dan keberhasilannya. Oleh demikian, pemantauan dan pengawasan yang ketat oleh pihak berkuasa perlu dipertingkatkan agar pengguna tidak mudah ditipu melalui iklan atau promosi yang hebat dilakukan.

Dalam perkembangan semasa di mana hutan dan taman herba yang sedang diusahakan oleh kerajaan Negeri Selangor dalam skala besar, diikuti inisiatif beberapa negeri seperti Perlis, Perak dan lain-lain lagi telah menunjukkan keberkesanannya dalam menyumbang kepada peningkatan pendapatan dan pembangunan sosio ekonomi rakyat di negara kita. Di samping itu juga industri ini dalam masa yang sama dapat memulihara kualiti alam sekitar, kepelbagaian biologi, mengurangkan kerosakan akibat banjir dan hakisan sungai serta aktiviti pertanian lain sekiranya industri ini dilaksanakan secara sistematik dan terancang.


Rujukan:

Mampu Berikan Pendapatan Lumayan, Utusan Malaysia, 19 Mei 2006
Pasaran Herba RM4b Dimonopoli Produk Asing, Utusan Malaysia, 17 Julai 2006
Eksport Produk Bioteknologi RM5 Bilion, Utusan Malaysia, 7 Ogos 2006
Selangor Bakal Pengeluar Herba, Berita Harian, 6 September 2006
Khasiat Perubatan Daripada Tumbuhan Tempatan, Utusan Malaysia, 11 Disember 2004
Bantu Eksport Herba Tempatan, Utusan Malaysia, 11 April 2003