PATUHI UNDANG-UNDANG PILIHAN RAYA

Malaysia sebagai sebuah negara berdaulat dan mengamalkan demokrasi sejak sekian lama, bakal mengadakan pilihan raya umum ke-12 tidak lama lagi. Sejak tahun 1957, Malaysia mengamalkan sistem politik pelbagai parti di mana parti politik yang memperolehi majoriti kerusi di Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN) boleh menubuhkan Kerajaan Persekutuan atau negeri. Berasaskan sistem 'First-Past-The-Post-System' membolehkan calon pilihan raya yang memperolehi undi majoriti akan diisytiharkan sebagai pemenang. Setakat ini terdapat 222 kerusi Parlimen dan 576 kerusi DUN di seluruh negara.

Dalam usaha memastikan perjalanan proses pilihan raya berjalan lancar, sistematik dan selamat, beberapa undang-undang dan peraturan digubal seperti Perlembagaan Persekutuan itu sendiri, Perlembagaan Negeri, Akta Suruhanjaya Pilihan Raya 1957, Akta Pilihan Raya 1954, Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954, Peraturan-Peraturan (Perjalanan Pilihan Raya) Pilihan Raya 1981, Peraturan-Peraturan (Pendaftaran Pemilih) Pilihan Raya 2002 dan Peraturan-Peraturan (Mengundi Melalui Pos) Pilihan Raya 2003 bagi memastikan segala prosedur dan proses pilihan raya diikuti dan dipatuhi sepenuhnya tanpa sebarang kompromi.

Di samping itu juga terdapat beberapa undang-undang lain yang berkaitan dalam pilihan raya seperti Akta Rahsia Rasmi 1972, Akta Polis 1962, Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 dan Akta Hasutan 1970 bagi memastikan perjalanan dan proses pilihan raya tidak dicemari oleh perbuatan dan aktiviti yang menyalahi undang-undang sepanjang pilihan raya dijalankan terutamanya ketika berkempen dan merayu undi. Perkara ini jika tidak dikawal boleh menimbulkan huru hara, demonstrasi, pergaduhan, perselisihan dan sebagainya apabila calon, ejen dan penyokong terlalu taksub dan mabuk berkempen. Peruntukan sedia ada membuktikan ketelusan kerajaan bagi memastikan perjalanan pilihan raya bersih dari aktiviti negatif dan jika berlaku sebarang bentuk perlanggaran undang-undang maka perkara ini boleh di bawa ke muka pengadilan.

Malaysia sebenarnya merupakan antara negara di dunia yang memiliki peruntukan undang-undang pilihan raya yang lengkap, efisien dan akomodatif serta dihormati masyarakat antarabangsa. Melalui peruntukan yang ada menjadikan parti politik dan calon yang akan bertanding tidak perlu bimbang dan risau kerana proses pemilihan yang dilalui adalah dalam keadaan yang terkawal dan segala aktiviti tidak sihat, ekstrem dan melampau dapat dipantau memandangkan kerajaan amat menitik beratkan keluhuran undang-undang seperti yang terdapat di dalam Rukun Negara.

Undang-undang menetapkan bahawa seseorang itu boleh mengundi sekiranya mempunyai status warganegara Malaysia, berumur tidak kurang daripada 21 tahun pada tarikh kelayakan, seorang penduduk di mana-mana bahagian pilihan raya di Malaysia dan tidak hilang kelayakan. Seseorang pengundi atau pemilih dianggap akan hilang kelayakan jika pada tarikh kelayakan, ditahan kerana tidak siuman atau sedang menjalani hukuman penjara; atau sebelum tarikh kelayakan, telah didapati bersalah dan dihukum mati atau penjara untuk tempoh lebih 12 bulan dan masih menjalani hukuman pada tarikh kelayakan; atau telah didapati bersalah di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954; dan telah memperolehi kerakyatan asing.

Dalam kes Ustaz Khalid Bin Rasid lwn. Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi Dan Lain-Lain Dan Satu Permohonan Lagi [2005] 2 MLJ 456, mahkamah memutuskan bahawa isu pemilihan calon pilihan raya dikawal selia dan tertakluk kepada undang-undang khusus Akta Suruhanjaya Pilihan Raya 1957, Akta Pilihan Raya 1954 dan Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954. Oleh demikian, bagi kelayakan calon pilihan raya, seseorang calon boleh bertanding sama ada mewakili parti tertentu atau sebagai calon bebas dengan syarat merupakan warganegara Malaysia dan bermastautin di negara ini; berumur tidak kurang daripada 21 tahun pada hari penamaan calon; dan tinggal di negeri di mana dia akan bertanding.

Manakala seseorang calon itu dikira sebagai hilang kelayakan jika telah didapati atau diisytiharkan tidak siuman; atau didapati seorang bankrap; atau memegang jawatan berkepentinagn 'office of profit'; atau gagal mengemukakan laporan perbelanjaan pilihan raya; atau telah didapati bersalah oleh mahkamah di Malaysia dan dijatuhi hukuman penjara untuk tempoh tidak kurang dari 1 tahun atau didenda tidak kurang dari RM2,000 dan belum mendapat pengampunan; dan telah memperolehi kewarganegaraan asing.

Sesuatu keputusan pilihan raya boleh dibawa dan dicabar di mahkamah dalam masa 21 hari selepas tarikh keputusan pilihan raya disiarkan di dalam warta jika terdapat elemen-elemen seperti sogokan, peras ugut atau sebarang salah laku yang mungkin telah menjejaskan proses dan integriti pilihan raya; atau berlakunya ketidak patuhan undang-undang dan peraturan pilihan raya yang telah ditetapkan. Di samping pihak yang mempertikai perlulah mengemukakan bukti wujudnya perbuatan rasuah atau aktiviti-aktiviti yang menyalahi undang-undang yang dilakukan oleh calon dan ejen-ejen dalam pilihan raya; dan sekiranya dapat dibuktikan calon atau ejennya didapati tidak layak menyertai pilihan raya maka perkara ini boleh di bawa ke muka pengadilan.

Namun begitu dalam kes Dr. Shafie Bin Abu Bakar lwn. Pegawai Pengurus Pilihan Raya [2005] 2 MLJ 149, mahkamah menegaskan bahawa amalan korup atau menyalahi undang-undang dalam sesuatu pilihan raya perlulah dinyatakan secara spesifik dan mempunyai fakta material yang relevan agar tidak memalukan dan memprejudiskan pihak lain. Ini menunjukkan bahawa sebarang bentuk tohmahan dan tuduhan terhadap kemenangan calon pilihan raya tidak boleh sewenang-sewenangnya dilemparkan begitu sahaja sebaliknya perlukan bukti dan keterangan yang kukuh dan relevan.

Sehubungan itu, dalam pertikaian keabsahan keputusan sesuatu pilihan raya dan jika Hakim Pilihan Raya di Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa sesuatu pilihan raya itu terbatal, cela dan tidak sah, maka Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengarahkan agar satu pilihan raya yang baru diadakan segera. Oleh yang demikian, untuk mengelak perkara ini daripada berlaku yang hanya akan merugikan banyak pihak terutamanya melibatkan masa, kos yang tinggi dan membantut usaha pembangunan, maka semua pihak adalah bertanggungjawab dan berperanan memastikan pilihan raya umum ke-12 kali ini akan berjalan lancar dan mencipta sejarah kegemilangan baru negara dengan mandat lebih besar daripada rakyat Malaysia.



Rujukan

Laman web Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (http://www/. spr.gov.my/index/proses.htm)

Comments

Popular Posts