Sunday, March 30, 2008

SEJARAH AWAL TRANSFORMASI PERTANIAN DI MALAYSIA

Pertanian adalah antara sektor penjanaan ekonomi tertua dunia dan terpenting sehingga ke hari ini. Negara-negara maju di Barat tetap meletakkan bidang pertanian sebagai antara keutamaan di dalam urusan pentadbiran ekonomi negara mereka. Malaysia turut tidak ketinggalan dalam transformasi sektor berdaya maju ini dan negara adalah antara negara pertanian utama di rantau ini suatu ketika dahulu.

Menurut Dr. Amarjit Kaur dalam makalah beliau Semenanjung Tanah Melayu Pada Abad Ke-19: Suatu Tinjauan Ekonomi (1991) menyatakan abad ke-19 merupakan titik perubahan dalam sejarah Semenanjung Tanah Melayu. Ia menandakan kemasukan negeri-negeri Melayu ke dalam sistem kapitalis dan kemudiannya menjadi pembekal kepada pemodal antarabangsa dan British.

Sekitar tahun 1820an, Semenanjung Tanah Melayu terbahagi kepada dua bahagian iaitu pertanian dan kelautan. Dalam bahagian pertanian, yang terdiri daripada negeri Kedah, Perak, Patani dan Terengganu, terdapat penduduk yang bergantung tetap pada pertanian. Di samping pertanian, mereka turut terlibat di dalam bidang perikanan dan perdagangan. Kedatangan Inggeris telah mewujudkan ekonomi penjajahan di Tanah Melayu.

Pada abad ke-19, kegiatan utama masyarakat Melayu ialah pertanian yang diusahakan dalam dua bentuk tanaman iaitu huma dan sawah. Tanaman huma melibatkan pembersihan hutan untuk satu atau dua musim tanaman; kemudiannya ditinggalkan menjadi hutan semula. Tanaman sawah atau bendang pula melibatkan tanaman padi dan sayur-sayuran serta pokok buah-buahan di kawasan tanah yang berhampiran.

Delta besar dan subur di Kedah mempunyai sejarah awal petempatan petani yang berasaskan tanaman sawah. Keperluan petani adalah sederhana dan mereka menitikberatkan keperluan asas. Ekonomi masyarakat ketika itu adalah berasaskan sara diri. Kegiatan asas pertanian adalah tanaman padi. Tidak semua negeri menghasilkan lebihan. Hanya kawasan lembah yang subur berupaya mengeksport beras ke negara jiran.

Kedah umpamanya membekalkan beras ke Pulau Pinangdan negeri-negeri jiran. Pada suatu ketika, Kedah mengeksport 2,000 koyan beras ke Pulau Pinang, tetapi selepas tahun 1820 eksportnya jatuh kira-kira 100 koyan padi dan 50 koyan beras. Ketika lawatan Frank Swettenham ke Kedah pada tahun 1889, beliau menyatakan bahawa sawah padi di negeri itu adalah lebih luas berbanding negeri lain di Semenanjung.

Tentang kepentingan beras dalam ekonomi Kedah bukan sahaja boleh dilihat dari segi keaktifan perdagangan eksportnya ke negeri-negeri jiran, tetapi turut termaktub di dalam Undang-Undang Kedah sendiri. Daripada empat kanun, dua secara langsung mencerminkan tumpuan kepada pertanian negeri. Kanun kedua iaitu Undang-Undang Datuk Seri Paduka Tuan 1667 menyentuh tentang pelbagai aspek pertanian, khususnya mengenai tanaman padi sawah di samping pembinaan terusan untuk tujuan pengairan.

Pada tahun 1837, Abdullah bin Abdul Kadir Munsyi dalam bukunya Kisah Pelayaran Abdullah menyebut bahawa tanaman padi di Kelantan bukan sahaja untuk keperluan dalam negeri tetapi juga dieksport ke Singapura. Petani juga menternak binatang dan dieksport terus ke Singapura dan Thailand. Negeri-negeri lain yang turut menjadi negeri pengeksport pada abad ke-19 ialah Perak dan Terengganu.

Sehingga pertengahan adab ke-19, Selangor mempunyai bekalan beras yang banyak dan tidak perlu mengimportnya. Pencapaian ini adalah usaha pemerintah Sultan Muhammad (1826-1857) yang mewajibkan rakyatnya menanam padi. Namun begitu, perang saudara yang meletus pada tahun 1866 sehingga 1873 mengakibatkan kerosakan sawah padi dan kehilangan besar nyawa yang membawa kepada kemerosotan pengeluaran padi di negeri tersebut ketika itu.

Untuk menambah sumber makanan, masyarakat ketika itu menternak ayam itik, menanam pokok buah-buahan dan tanaman lain di dusun mereka seperti pisang, ubi kayu, tebu, kelapa dan pinang. Selain kebun buah-buahan dan tanaman sayur-sayuran, tanaman dagangan juga diusahakan tetapi lebih dimonopoli oleh bukan Melayu di mana di Kedah, tanaman ubi kayu diusahakan oleh orang Cina yang diusahakan di sekitar kawasan perlombongan.

Di Terengganu pula, tanaman lada hitam diusaha dan dimonopoli oleh orang Cina. Keadaan yang sama berlaku di Johor apabila Maharaja Abu Bakar (1862-1895) menjemput petani Cina dari Singapura untuk mengusahakan tanaman lada hitam dan gambir di bawah Sistem Kangcu. Pada umumnya, bentuk asas sistem tanah orang Melayu pada abad ke-19 adalah sebagai faktor pengeluaran ekonomi sara diri dan bukan sebagai barangan untuk dijual atau ditukarkan.

Ini adalah ekoran beberapa masalah seperti kurangnya tenaga kerja buruh ketika itu di samping ketiadaan ternakan dalam negeri yang membolehkan kerja-kerja pembajakan dapat dilaksanakan dengan cekap. Lembu hanya mula menjadi penting apabila adanya pengenalan kereta lembu ekoran kepesatan perlombongan bijih timah pada suku akhir abad ke-19. Di samping itu beban kerja kerah yang dituntut oleh pemerintah di dalam sektor perlombongan menyebabkan masa mereka untuk mengusahakan bidang pertanian semakin terhad.

Malahan penguatkuasaan sistem tradisional pungutan cukai tanaman yang tinggi iaitu sehingga sepersepuluh daripada hasil mereka kepada pembesar tempatan membantut minat rakyat untuk menceburi sektor pertanian pada abad itu. Di samping itu juga, rakyat bimbang bahawa hasil tanaman yang lebih hanya mendorong pembesar menjadi tamak dan membuat tuntutan yang berlebihan pula.

Melihat kepada sejarah awal transformasi pertanian di negara kita maka dapatlah difahami bahawa sektor ini bukanlah baru malahan merupakan sumber ekonomi utama masyarakat dahulu dan sekarang. Pertanian akan kekal menjadi nadi penggerak kepada negara dan usaha kerajaan untuk menjadikan sektor ini sebagai perniagaan yang amat menguntungkan perlu mendapat kerjasama dan penglibatan daripada semua pihak.

RUJUKAN

Dr. Amarjit Kaur, 1991. Semenanjung Tanah Melayu Pada Abad Ke-19: Suatu Tinjauan Ekonomi. dlm. Masyarakat Melayu Abad Ke-19. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Friday, March 28, 2008

PADAHNYA MENFITNAH

Akibat maklumat yang salah, cuai dan tidak tepat, seorang pengamal blog dan akhbar alternatif baru-baru ini diarah oleh Mahkamah Tinggi Alor Star membayar gantirugi saman fitnah sebanyak RM7 juta kepada Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM), Tan Sri Dr. Nordin Kardi dan universiti berkenaan.

Jumlah gantirugi yang agak tinggi itu diharapkan dapat menyedarkan semua pihak agar sentiasa memastikan sebarang kenyataan yang ingin disebar dan dikongsikan dengan orang ramai hendaklah betul, bersesuaian dan diperolehi dari sumber-sumber yang sahih dan boleh dipercayai sahaja.

Dan bukannya diambil dari cakap-dengar atau hearsay yang tidak diketahui akan hujung pangkalnya ataupun dicedok terus dari sembang dan gosip di kedai kopi sahaja. Semua pihak perlu membuat self-sensorship dan penapisan kepada setiap maklumat yang diterima agar tidak secara langsung mencipta dan menyebar fitnah kepada orang ramai.

Penghakiman dan perintah yang telah dibuat oleh mahkamah itu adalah ekoran penerbitan artikel yang didapati sarat dengan unsur fitnah bertajuk Dato Dr. Nordin Kardi Ciplak Karya Saya? Mohon Penjelasan sekitar tahun 2006 dalam laman web defendan. Manakala artikel bertajuk NC UUM Penciplak pula disiarkan di dalam sebuah akhbar tabloid sebuah parti politik.

Dalam kes ini mahkamah memutuskan agar defendan pertama membayar ganturugi sebanyak RM2 juta kepada plaintif pertama dan RM2 juta lagi kepada plaintif kedua. Di samping itu, Ketua Pengarang dan editor akhbar berkenaan juga diarahkan membayar sebanyak RM3 juta kepada plaintif pertama dan kedua.

Mahkamah mengambil kira jumlah pengunjung yang ramai terhadap laman web kelolaan defendan dan juga bilangan pembaca terhadap akhbar berkenaan menyebabkan plaintif-plaintif berada di dalam kandang skandal dan kontroversi umum. Ini jika tidak dikawal boleh membawa kepada persepsi negatif kepada kesucian dan standad dunia intelektual di negara kita.

Keadaan ini sudah tentu memberi impak yang serius kepada imej dan integriti intelektual plaintif pertama yang merupakan seorang sarjana dan plaintif kedua sebagai sebuah institusi pendidikan tinggi utama negara. Fitnah yang dilemparkan meletakkan plaintif-plaintif boleh terjejas teruk dan merosakkan status mereka dalam bidang profesional masing-masing.

Sebarang usaha untuk memperkecil dan mempermainkan kredibiliti institusi pengajian tinggi di negara kita perlu disekat dan penulis serta pengamal blog perlu bertanggungjawab ke atas segala isu yang dilontarkan kepada umum. Akhbar juga perlu adil, telus dan seimbang dalam proses penyampaian maklumat kepada rakyat agar apa yang ingin disampaikan berkesan menemui sasaran.

Walaupun Perlembagaan Persekutuan di bawah Perkara 10 (1) (a) memberi ruang yang luas kepada hak dan kebebasan bersuara di negara kita sebagai salah satu kebebasan asasi rakyat Malaysia, namun pengiktirafan tersebut tetap ada batasan menurut fasal (2), (3) dan (4) agar ianya tidak memberi kesan negatif kepada masyarakat secara keseluruhan.

Kebebasan yang hakiki dalam memperkata dan mengekspresikan sesuatu sememangnya tidak pernah wujud biarpun di negara maju sekalipun demi memastikan keharmonian dan kerukunan rakyat. Kebebasan yang tidak terkawal hanya akan membuka pintu fitnah, hasutan, propaganda dan sebagainya berleluasa dan boleh menjejaskan kestabilan ekonomi, sosial dan politik di dalam negara.

Di samping itu, kita juga mempunyai akta khusus dalam menangani masalah ini iaitu Akta Fitnah 1957 di mana seseorang itu boleh dihadap ke muka pengadilan sekiranya didapati melakukan perbuatan yang boleh merendahkan diri seseorang di mata masyarakat; tindakan yang boleh menyebabkan seseorang dicemuh, dihina, dibenci dan dikeji; perlakuan yang boleh merosakkan reputasi dalam jawatan, profesion dan perniagaan seseorang; dan bertujuan merosakkan kredibiliti seseorang.

Secara umumnya fitnah dibahagikan kepada dua iaitu libel atau fitnah dalam bentuk bahan bercetak dan slander iaitu secara pertuturan atau lisan. Di sini membuktikan bahawa fitnah boleh dizahirkan dalam pelbagai medium sama ada secara tradisional ataupun melalui perantaraan teknologi moden seperti internet melalui blog, portal, hub, laman web dan juga melalui sistem pesanan ringkas(sms) yang semakin popular sekarang.

Perdana Menteri sendiri mengakui akan hakikat serta fungsi internet dan sms yang telah sedikit sebanyak menyumbangkan kepada kekalahan Barisan Nasional dalam mempengaruhi pemikiran dan sensitiviti rakyat dalam Pilihan Raya Umum ke-12 yang lepas. Internet dan sms kini menjadi saluran paling berkesan serta pantas untuk menyampai dan menyebar segala-galanya kepada rakyat yang mungkin dipandang rendah oleh banyak pihak sebelum ini.

Apa yang penting di sini ialah semua orang perlu berhati-hati, cermat dan bertanggungjawab ke atas segala informasi yang ingin disebarkan agar ianya tidak menjadi fitnah ataupun berunsur fitnah yang boleh membawa padah kepada diri sendiri dan orang lain. Tanggungjawab ini perlu dipikul oleh semua pihak agar kita dapat mewujudkan sebuah masyarakat yang bebas fitnah dan tidak sewenang-wenangnya memusnahkan masa hadapan, kebolehan dan kelebihan orang lain.



RUJUKAN

Raja Petra, akhbar PKR diperintah bayar RM7 juta kepada Naib Canselor UUM

Monday, March 24, 2008

MELAWAT SEMULA AUKU 1971

Kesediaan pihak kerajaan meminda Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 bagi memberi pelajar dan universiti lebih kebebasan memang tepat pada masanya.

MENYUBURKAN KEGIATAN BAHASA DI PENJARA

Seperti mana yang kita sedia maklum, penjara bukanlah sekadar tempat untuk menahan, menghukum dan mendera, tetapi sebagai institusi koreksional dan pemulihan pesalah atau banduan, tahanan dan juvana ke atas kesalahan yang telah dilakukan melanggar undang-undang negara.

Secara umumnya, penjara merupakan tempat di mana banduan akan ditahan, dikawal dan terpaksa menjalani pelbagai aktiviti pemulihan sehinggalah tarikh mereka dibebaskan. Setakat ini sahaja terdapat hampir 35,000 banduan di 30 buah penjara dan pusat tahanan di seluruh negara.

Melihat kepada peluang yang terdapat di penjara, institusi koreksional ini wajar dimanfaatkan sebagai medan penyuburan kegiatan bahasa memandangkan banduan juga berhak memperjuangkan bahasa dan mempunyai potensi yang tinggi memperkasakan bahasa jika diberikan peluang dan ruang secukupnya.

Mungkin ada yang terasa pelik, janggal dan lucu apabila penjara ingin dijadikan tempat penyuburan bahasa di samping institusi sedia ada. Namun begitu, sejarah telah membuktikan bagaimana beberapa tokoh besar dunia yang telah dipenjarakan oleh pemerintah berjaya melahirkan karya-karya besar mereka ketika berada di dalam penjara.

Antaranya ialah Nelson Mandela, Syed Qutb, Said Zahari, Pramoedya dan ramai lagi yang mana hasil penulisan mereka kekal sehingga ke hari ini menjadi tatapan generasi akan datang. Syed Qutb umpamanya telah menulis buku Petunjuk Sepanjang Jalan dan kitab tafsir Fi Zilal al-Quran yang begitu popular dan komprehensif sekali. Secara tidak langsung membuktikan mereka telah berjaya menyemarakkan lagi kegiatan bahasa sepanjang mereka meringkuk di dalam penjara.

Bagi banduan biasa, di samping mereka terpaksa menjalani aktiviti pemulihan dan hukuman yang telah ditetapkan, mereka sebenarnya masih mempunyai banyak masa untuk diluangkan kepada aktiviti-aktiviti senggang lain dan di sini kegiatan bahasa di penjara boleh dijadikan alternatif ke arah menyemarakkan lagi bahasa.

Kegiatan bahasa di penjara jika dirancang dan diatur dengan baik mampu mencapai sasaran yang diinginkan memandangkan ketika ini banduan turut dibekalkan buku, majalah dan akhbar untuk dibaca di sel masing-masing di samping kemudahan perpustakaan pusat mampu menjadi pemangkin kepada kegiatan bahasa di penjara.

Melihat kepada keadaan ini, adalah berkemungkinan besar banduan yang minat membaca lebih banyak mempunyai masa untuk membaca berbanding masyarakat biasa di luar penjara. Melalui pembacaan mereka dapat mengikuti perkembangan semasa di luar, mengemaskini maklumat dan segala yang berlaku di sekeliling serta sentiasa peka dengan peredaran zaman.

Sehubungan itu bagi mencapai hasrat menyuburkan kegiatan bahasa di penjara, para banduan perlu digalakkan banyak membaca dan mengambil bahagian di dalam setiap aktiviti dan kegiatan bahasa yang dianjurkan oleh pihak Jabatan Penjara sendiri atau dari badan luar. Sekurang-kurang aktiviti bahasa yang dianjurkan dapat mengurangkan tekanan jiwa dan minda para banduan, meningkat keyakinan dan menambah minat mereka kepada bahasa itu sendiri.

Bahasa sebenarnya mampu mententeramkan jiwa, mendidik hati, menambah kekuatan dalaman serta memandu landasan pemikiran seolah-olah bahasa adalah penawar dan terapi paling berkesan untuk mengubati segala penyakit, membaiki keadaan dan merangsang semangat positif dalam diri seseorang. Oleh itu, kegiatan bahasa boleh dijadikan sebagai aktiviti sampingan di penjara ke arah melahirkan banduan yang cintakan bahasa.

Masyarakat luar juga perlu memberi sokongan dan bantuan dalam usaha pihak-pihak yang komited mempertingkatkan kegiatan bahasa di penjara biarpun persepsi dan stigma bahawa penjara sebagai tempat sial, tempat orang jahat, tempat orang yang gelap masa hadapan, sampah masyarakat dan sebagainya masih lagi menebal serta tertanam di dalam pemikiran kebanyakan orang.

Untuk itu aktiviti bahasa melalui penganjuran program kesenian seperti nyanyian dan drama umpamanya, teater, pidato, ceramah, debat dan sebagainya wajar diadakan di penjara di mana penglibatan para banduan perlu diambil kira agar mencapai hasrat yang diinginkan. Ini akan melahir dan menjadikan banduan lebih kreatif, bersemangat dan peka dengan isu serta perkembangan bahasa.

Di samping itu usaha untuk menggalak dan menarik minat banduan menulis seperti cerpen, cerita pendek, esei, pendapat, sajak, puisi, gurindam dan sebagainya juga dilihat mampu menambahkan lagi keinginan dan kesungguhan mereka terhadap bahasa di samping dapat meningkatkan tahap penguasaan dan kemahiran bahasa mereka.

Program dan kegiatan bahasa ini boleh dilakukan sama ada secara mingguan atau bulanan di mana kekerapan penganjurannya mampu memberi hasil dan impak maksima kepada survival bahasa terutamanya bahasa Melayu itu sendiri. Minggu atau bulan bahasa wajar diwujudkan dan pertandingan bahasa juga boleh diadakan di peringkat penjara ataupun di peringkat cawangan penjara di seluruh negara.

Di sini melalui pertandingan yang dianjurkan, pihak jabatan boleh memilih umpamanya pendebat terbaik, penulis terbaik, pemuisi terbaik dan sebagai di antara penjara-penjara yang ada di Malaysia dan seterusnya boleh memilih wakil banduan terbaik untuk setiap pertandingan yang diadakan dari keseluruhan banduan di seluruh negara. Dengan ini banduan akan terasa mereka begitu dihargai dan sedar bahawa mereka juga berperanan menyemarakkan bahasa yang tercinta ini.

Sekiranya ianya dapat dilaksanakan, sudah tentu kegiatan bahasa di penjara menjadi lebih mengasyikan, tersendiri dan mampu menarik lebih ramai banduan untuk turut serta. Diharapkan agar kegiatan dan program bahasa yang dianjurkan secara tidak langsung dapat menginsafkan mereka atas kesalahan dan kesilapan yang telah dilakukan serta membuahkan hasrat murni mereka untuk turut sama memperjuangkan bahasa apabila mereka dibebaskan kelak.

Memandangkan yang menghuni penjara itu terdiri daripada pelbagai etnik dan keturunan, maka penyuburan kegiatan bahasa di penjara mampu memberi momentum positif kepada bahasa Melayu diperkenalkan kepada bukan Melayu. Bukan Melayu akan lebih memahami, menghormati dan menjiwai bahasa Melayu apabila kegiatan bahasa dipertingkat serta dipelbagaikan.

Untuk mencapai hasrat murni ini pihak pentadbiran penjara perlu mempunyai perancangan rapi ke arah membudayakan kegiatan dan kecintaan bahasa di penjara melalui peruntukan khas menyediakan penasihat dan guru bahasa bertauliah serta pembimbing di setiap penjara ataupun menjemput ahli dan pakar bahasa bagi merancang program yang sesuai kepada banduan. Di sini mungkin boleh dimulakan dengan mengutamakan pengambilan pegawai dan warden penjara yang mempunyai kelulusan bahasa di peringkat universiti.

Karya-karya besar karangan sasterawan negara, penulis-penulis mapan dari dalam dan luar negara perlulah diperbanyak dan disebarluaskan di penjara agar banduan-banduan tidak ketinggalan dengan arus perkembangan bahasa di Malaysia dan luar negara. Banduan perlu diajak mendekati dan mengenali tokoh-tokoh bahasa, sejarah perkembangan bahasa dan menginsafi mengapa bahasa Melayu perlu dipertahankan biarpun di mana mereka berada.

Untuk itu juga para sasterawan negara, tokoh bahasa, pejuang bahasa, penulis dan pelajar bahasa perlu bersedia untuk mendekati dan meyelami minat, hasrat dan kesungguhan banduan terhadap bahasa dan kelangsungannya agar usaha ini tidak bertepuk sebelah tangan sahaja dan mereka harus berusaha untuk menyemarak dan menyuburkan kegiatan bahasa di penjara dengan penuh tekad di samping mengetuai usaha pemakmuran bahasa di penjara di seluruh negara.

Sekiranya ini dapat dilaksanakan dengan sempurna, teliti dan bersungguh-sungguh, maka masa hadapan bahasa akan terus gemilang kerana di mana saja berada, bahasa tetap dijulang, dipuja dan didaulatkan biarpun berada di dalam penjara sekalipun. Malaysia mungkin menjadi negara pertama di dunia yang memberi fokus dan komitmen bahasa secara serius di penjara sekiranya cita-cita besar ini direalisasikan.

Saturday, March 22, 2008

KEWAJARAN UNDANG-UNDANG MENYEKAT LOMPAT PARTI

Cadangan untuk mewujudkan satu undang-undang yang bertujuan bagi menyekat seseorang calon yang telah memenangi pilihan raya melompak ke parti lain perlu dilihat dari sudut yang pelbagai sama ada dari segi aspek perundangan, kepentingan awam, integriti, keselamatan dan moraliti atau akhlak.

Secara dasarnya undang-undang sedemikian amat baik dan bermanfaat kepada survival sesebuah parti pemerintah apabila berlaku sesuatu yang boleh membawa kepada keadaan yang lebih kronik ekoran kehilangan kerusi, calon lompat parti, berlaku khianat, masalah dalaman parti, campurtangan pihak luar dan sebagainya.

Dengan mewujudkan sebuah peruntukan khas, maka keadaan yang dibimbangkan ini dapat dielakkan dan boleh disekat serta merta sebelum terlambat yang implikasinya boleh membawa kepada keruntuhan kerajaan yang baru dibentuk ekoran peralihan pucuk pimpinan dan parti.

Keadaan ini jika tidak dikawal dan dipantau maka mangsanya adalah rakyat yang telah membuat pilihan ketika pengundian. Negara juga boleh menjadi huru hara serta di luar kawalan apabila aktiviti lompat melompat parti dibiarkan begitu sahaja dan fenomena ini amat tidak sihat kepada perkembangan dan pertumbuhan ekonomi, struktur sosial dan politik negara.

Sehubungan itu, inisiatif mewujudkan rang undang-undang untuk menyekat wakil rakyat melompat parti perlu diberikan pertimbangan sewajarnya dan direalisasikan segera. Jika tidak rakyat akan terus keliru, hilang keyakinan dan kepercayaan serta terasa seolah-olah amanah dan tanggungjawab yang diberikan mereka melalui pemilihan dalam pilihan raya dikhianati serta tidak lagi dihormati.

Tambahan pula, jentera parti dan ahli yang telah bertungkus lumus siang dan malam, bersusah payah ke hulu ke hilir dan setelah sekian banyak kos serta perbelanjaan kempen pilihan raya yang telah dihabis akan hancur berkecai apabila wakil rakyat yang dipilih berlaku khianat melompat parti lawan lain.

Oleh demikian, segala peraturan, peruntukan dan undang-undang yang boleh membantu usaha menyekat aktiviti lompat parti yang negatif ini amat wajar diwartakan demi menjaga kepentingan awam dan tidak menyusahkan komponen parti serta pentadbiran kerajaan negeri yang telah dibentuk dan negara pada masa hadapan.

Kewujudan undang-undang sedemikian bukanlah perkara baru bahkan telah lama diamalkan di beberapa negara seperti India bagi mengelak kejadian yang tidak diingini berlaku di saat-saat genting terutamanya apabila kerajaan yang dipilih kehilangan majoriti dua per tiga dan terpaksa memerintah dengan mandat majoriti mudah sahaja.

Walaupun Perlembagaan Persekutuan di bawah Perkara 10 secara jelas membenar serta memberikan kebebasan untuk sesiapa sahaja menyertai mana-mana pertubuhan atau parti yang merupakan hak asasi yang tidak boleh disekat oleh sesiapa pun.

Di samping itu juga terdapat satu kes undang-undang iaitu Dewan Undangan Negeri Kelantan lawan Nordin Salleh [1992] 1 MLJ 697 membenarkan wakil rakyat lompat parti dengan merujuk kepada kes yang berlaku di India ekoran kejadian darurat palsu 1970 di bawah pimpinan Indira Gandhi serta berlakunya sekatan ke atas hak asasi.

Dalam kes Nordin Salleh, Mahkamah Agung memutuskan bahawa tindakan Kerajaan Negeri Kelantan yang telah meluluskan pindaan Perkara XXX1A Perlembagaan Kelantan untuk menyekat wakil rakyat dari melompat parti adalah tidak sah dan melanggar Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan yang menjamin hak asasi berpersatuan.

Biarpun kes ini seolah-olah menyekat dan menghalang usaha murni kerajaan untuk mencadangkan undang-undang menyekat wakil rakyat melompat parti, namun begitu dalam kes yang sama Yang Arif Hakim Gunn Chit Tuan memberikan formula berikut di mana di Malaysia, kebebasan berpersatuan adalah hak asasi yang dijamin oleh Perkara 10 (1) (c) Perlembagaan Persekutuan dan hanya boleh disekat atas alasan yang ditentukan dalam Perkara 10 (2) (c) dan (3), iaitu untuk tujuan kepentingan keselamatan negara, ketenteraman awam dan akhlak.

Oleh itu, melihat kepada formula yang dinyatakan, maka jika tindakan wakil rakyat yang cuba melompat parti ini boleh menimbulkan masalah kepada negara dan rakyat, maka usaha dan mekanisme mewujudkan perundangan sedemikian bagi menyekat dan membanteras perlakuan tidak bermoral ini perlu disokong oleh semua pihak agar gejala ini dapat dipantau daripada terus berleluasa di negara kita.

Rujukan

Dewan Undangan Negeri Kelantan v. Nordin Salleh [1992] 1 MLJ 697

Undang-Undang Sekat Lompat Parti Dicadang, Mingguan Malaysia, 23 Mac 2008

Thursday, March 13, 2008

MODEL MELAYU TERBILANG

Kejayaan Azali Azlan dari Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Yan, Kedah yang berjaya memperolehi 20A1 dan 1 2A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2007 baru-baru ini adalah menakjubkan dan memang luar biasa. Pencapaian beliau juga telah mengatasi rekod 17 1A yang dipegang oleh Nur Amalina Che Bakri pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ulu Tiram, Johor pada tahun 2004. Setakat ini Azali Azlan turut menjadi pemegang rekod sebagai calon tunggal yang mengambil jumlah subjek terbanyak dan memperolehi semua A dalam subjek yang diambil.

Anak kepada pasangan guru yang sebelum ini telah dianugerahkan Tokoh Nilam Kebangsaan 2007 melihat kejayaannya adalah hadiah paling bermakna kepada kedua ibu bapa dan guru-guru. Mengenai resipi kejayaannya, beliau berpegang kepada prinsip sabar dalam segala hal dan yakin bahawa setiap kesusahan pasti berakhir dengan kesenangan. Beliau yang boleh dikategorikan genius Melayu ini terpaksa belajar sendiri sembilan subjek yang diambil di samping banyak berbincang dengan guru-guru berkata beliau tidak mempunyai jadual waktu yang khusus sebaliknya belajar ketika bersemangat dan berkeinginan sahaja kerana bagi beliau jadual waktu memberi tekanan.

Dengan pencapaian yang cukup cemerlang ini, beliau yang juga aktif dalam aktiviti kokurikulum serta sukan masih lagi merendah diri dan menyatakan bahawa tujuan beliau bukanlah untuk mengatasi mana-mana rekod tetapi lebih bersifat kepuasan peribadi serta hadiah kepada ibu bapa dan guru-guru bertungkus lumus selama ini. Beliau yang bercita-cita ingin menjadi seorang Profesor dalam bidang Bioteknologi ini ingin mengikuti jejaki langkah kakak beliau yang kini belajar di luar negara dalam bidang perubatan.

Kejayaan beliau juga turut dikongsikan bersama Quek Khai Ren, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Hwa Lin, Mentakab apabila muncul satu-satunya calon sekolah Kementerian Pelajaran yang berjaya memperolehi keputusan cemerlang 1A dalam semua 16 subjek yang diambil dalam SPM 2007. Bagi Norlaila Najwa Hasbullah, pelajar SMK Gelang Patahpula menjadikan kejayaan Amalina Che Bakri sebagai sumber inspirasi untuk beliau memperolehi 16 1A dan tiga 2A menjadikan beliau memperolehi 19 A dalam semua subjek yang diambil.

Tahun ini juga mencatatkan kejayaan yang cukup baik apabila 6,247 atau 1.42 peratus daripada 439,255 calon SPM 2007 memperolehi gred bagi semua mata pelajaran yang diambil, berbanding 5,685 tahun sebelumnya. Daripada jumlah itu, 5060 atau 81.0 peratus adalah calon sekolah Kementerian Pelajaran, meningkat 5.2 peratus berbanding 4,311 pada 2006.

Sehari sebelum itu bagi keputusan peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) pula mencatatkan seramai 386 calon memperolehi prinsipal A dalam semua subjek yang diambil di mana bilangan itu merosot berbanding tahun 2006 yang mencatatkan seramai 448 calon. Namun begitu seramai 56,896 atau 91.62 peratus daripada 66,047 calon lulus penuh atau peringkat prinsipal bagi sekurang-kurangnya satu subjek yang diambil, meningkat 0.75 peratus berbanding 90.87 peratus pada tahun sebelumnya.

Seperti mana sedia maklum, SPM dan STPM adalah tiket untuk memasuki puncak menara gading dan bagi yang mendapat keputusan cemerlang maka harapan untuk merealisasikan impian semakin dekat sama cita untuk menyambung pelajaran di dalam dan luar negara. Namun begitu perlu diingatkan bahawa pihak Polis telah mendedahkan kegiatan beberapa agensi yang memperdayakan pelajar lepasan SPM dan STPM dengan menawarkan pelbagai peluang menuntut di universiti luar negara. Tawaran itu kebiasaannya diiklankan sama ada di akhbar, menerusi panggilan telefon ataupun internet di mana bagi mereka yang berminat dikehendaki membayar tidak kurang RM70,000 seorang.

Kebanyakan mangsa adalah mereka yang mahu melanjutkan pelajaran dalam bidang perubatan dan mereka hanya menyedari taktik dan penipuan tersebut apabila menerima surat tawaran palsu dan tidak sah. Oleh demikian, kepada ibu bapa yang teringin dan beria-ia untuk menghantar anak-anak ke luar negara perlulah berhati-hati dan jangan terlalu ghairah kecuali melalui saluran yang betul di mana latar belakang agensi yang yang membuat tawaran itu perlu disiasat terlebih dahulu termasuk universiti di luar negara yang terlibat. Ini boleh dirujuk terus dan berurusan dengan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) bagi kepastian dan status sesebuah universiti di luar negara agar masa hadapan anak-anak tidak dipersiakan begitu sahaja.

Biarpun ramai yang bercita-cita untuk ke luar negara, namun perlu dinyatakan bahawa negara juga mempunyai institusi pengajian tinggi (IPT) yang berkelas dunia, berkualiti dan berwibawa di samping tenaga pengajar yang berminda kelas pertama dan pasarana pendidikan setanding universiti terkenal dunia. Untuk itu, bagi calon yang tidak berpeluang ke luar negara, maka IPT tempatan menyediakan sistem pendidikan tinggi yang terbaik ke arah melahirkan modal insan unggul di negara kita.



RUJUKAN

56,896 calon STPM lulus penuh, Berita Harian, 12 Mac 2008
Azali tiada niat atasi rekod, Berita Harian, 13 Mac 2008
Quek calon tunggal peroleh 16A, Berita Harian, 13 Mac 2008
Amalina jadi inspirasi kepada Norlaila Najwa, Berita Harian, 13 Mac 2008
Awasi agensi tipu pelajar lepasan SPM, STPM, Utusan Malaysia, 15 Mac 2008

Wednesday, March 12, 2008

MUHASABAH ASAS KEJAYAAN

Setiap yang berlaku pasti ada hikmahnya dan kita hendaklah akur serta redha dengan segala ketetapan Allah s.w.t di dalam diari kehidupan sehinggalah ke akhir hayat. Semakin kuat ujian, fitnah dan mehnah yang diterima, menjadikan kita semakin hebat, tabah dan komited dalam meneruskan perjuangan pada masa hadapan sekiranya dilihat dari sudut yang positif dan membina. Asas utama kepada kejayaan ini ialah melalui konsep muhasabah terhadap yang telah dilakukan dan ke atas apa yang berlaku.

Muhasabah atau nilai, kritik dan periksa diri sendiri adalah anjuran agama yang perlu dilakukan bukan hanya ketika ditimpa musibah atau perkara negatif sahaja malahan ianya perlu dilakukan berulangkali dan pada setiap hari sebagai aktiviti yang bertujuan untuk mengubah dan merubah prestasi dan potensi diri masing-masing. Amalan muhasabah ini adalah ibadah yang dilakukan oleh Rasulullah dan para sahabat hampir setiap hari untuk menilai, memperbaiki dan meningkat amalan kepada Allah s.w.t dan aktiviti kehidupan seharian mereka meliputi hal-hal berkaitan peribadi, keluarga, masyarakat dan negara.

Prinsip muhasabah perlu menjadi darah daging dan kewajipan kepada seluruh umat Islam untuk melonjak dan menganjak kualiti hidup dan ibadah kepada Allah s.w.t. Saidina Ali pernah berpesan dengan menegaskan bahawa amat rugi sekiranya kehidupan pada hari ini lebih buruk dari semalam dan kehidupan keesokan hari lebih buruk pada hari ini yang menandakan umat Islam digesa perlu berusaha meningkatkan keadaan hidup pada tahap maksima setiap masa.

Di sini menunjukkan bahawa muhasabah adalah asas motivasi paling utama kepada seluruh umat Islam memeriksa dan mengkritik diri sendiri demi kebaikan dan mencari setiap kelemahan serta kesilapan yang perlu diperbaiki dan berazam untuk tidak mengulanginya semula. Muhasabah juga mampu menenangkan fikiran dengan segala kekusutan yang berlaku dan menyesal atas kesilapan yang dilakukan di mana melaluinya dapat dijadikan alasan untuk tidak mengulanginya.

Menurut Imam al-Mawardi, muhasabah ialah dengan membuat penilaian diri sendiri pada waktu malam terhadap yang telah dilakukan pada waktu siang. Jika seseorang telah melakukan perkara yang terbaik maka perlu berazam meneruskannya dan meningkatkan lagi. Namun jika yang dilakukan adalah yang dicela dan dilarang agama maka hendaklah ditinggalkan dan tidak boleh diulangi lagi. Bagi Imam Ibnu Qayyim pula, muhasabah ialah membezakan sama ada sesuatu yang dilakukan itu beroleh pahala atau dosa. Jika pahala maka perlu diterus dan jika dosa hendaklah dihentikan umpama musafir yang tidak akan kembali lagi.

Biarpun tiada sebarang kelemahan, kesilapan dan kesalahan yang berlaku, namun kita dianjurkan bermuhasabah untuk meningkatkan lagi keadaan semasa yang selesa, mutu kehidupan, pekerjaan dan kegiatan seharian. Sebagai seorang pemimpin umpamanya perlu bermuhasabah ke atas apa yang telah dilakukan, begitulah juga ibubapa, anak-anak dan sebagainya. Melalui medium muhasabah kita seolah-olah diajar membuat persiapan awal, memperlengkapkan diri dengan segala kekuatan di samping mampu membaca dan mengurus masa hadapan kita secara terancang.

Muhasabah mampu menjadi penanda aras kepada seseorang untuk merancang, mengurus dan mentadbir kehidupan dan apa jua bidang yang diceburi dengan lebih sempurna, sistematik dan efektif melihat kepada faedah dan manfaat amalan ini. Muhasabah adalah penawar dan formula paling berkesan untuk mengelak segala kecacatan, kecuaian, kelalaian serta kesilapan berulang dalam setiap tindak-tanduk dan benteng kepada sikap atau perlakuan 'pisang berbuah dua kali'.

Secara tidak langsung sikap gemar bermuhasabah dapat mengelak diri dari sikap dan aktiviti negatif dan tidak menguntungkan apatah lagi bagi seorang pemimpin dan peneraju syarikat besar boleh melakukan transformasi dan meningkatkan prestasi negara dan syarikat pada tahap yang terbaik. Konsep muhasabah juga mampu melahirkan generasi modal insan yang berfikiran luas, kreatif, berminda kelas pertama dan sentiasa inginkan kecemerlangan dalam hidup.

Sehubungan tu, dalam keadaan bahang Pilihan Raya Umum ke-12 baru-baru ini masih lagi terasa, adat kalah dan menang adalah perkara biasa dan hakikat yang perlu diterima dengan hati yang terbuka. Bagi yang menang perlu menerus dan menggandakan segala yang dijanjikan manakala bagi yang kalah pula perlulah melakukan muhasabah ke atas musibah kekalahan yang berlaku, mungkin ada sesuatu yang perlu diperbaiki dan dipertingkatkan lagi agar pada pilihan raya umum pada masa hadapan, kesilapan, kelemahan dan kesalahan yang sama tidak berulang lagi.

Monday, March 03, 2008

TUNAIKAN KEWAJIPAN MENGUNDI

Mengundi adalah kewajipan yang tidak boleh diabaikan begitu sahaja atau dipandang remeh. Mengundi juga merupakan amanah dan tanggungjawab setiap warga negara yang berkelayakan demi memastikan kesinambungan dan survival agama, bangsa dan negara. Kewajipan membuang undi pada 8 Mac nanti bakal diterjemahkan oleh mereka yang benar-benar tekad mengimplementasikan aspirasi sebenar semangat cintakan negara dan kerajaan seperti yang dianjurkan agama.

Setiap undi warga Malaysia amat berharga dan menjadi penentu kepada masa hadapan serta nasib rakyat dalam menjalani kehidupan seharian. Hari mengundi juga bukanlah medan untuk bermain-main, membalas dendam atau sekadar suka-suka dan berpesta, tetapi misi ini perlulah dilaksanakan dengan penuh bijaksana, rasional dan ketepikan emosi atau sentimen yang boleh membawa kepada pemilihan yang sia-sia dan menyesal di kemudian hari. Hak mengundi adalah eksklusif, bebas dan tidak boleh dipengaruhi oleh sesiapa pun, malahan setiap undi adalah rahsia.

Pemikir Islam terkemuka Dr. Yusof al-Qaradawi melihat peranan pengundi dan proses pengundian cukup penting dalam sistem demokrasi seperti yang diamalkan di Malaysia. Beliau berpandangan sehingga kita menemui satu sistem politik yang lebih baik daripada demokrasi, maka hendaklah kita memanfaatkan demokrasi sedia ada sebagai alternatif dan wahana untuk kebaikan umat dan negara Islam. Di sini membuktikan bahawa walaupun amalan demokrasi adalah ciptaan Barat, namun prinsipnya tidak pula bertentangan dengan Islam memandangkan wujudnya titik persamaan yang begitu erat dan saling berkait.

Sebelum itu, Malik Bennabi dalam banyak karyanya telah membicarakan secara tuntas berkenaan amalan demokrasi dan perspektif Islam di mana sarjana besar Islam ini melihat demokrasi dalam konteks yang diamalkan di Algeria mampu mewujudkan sebuah negara bangsa dan memberi kemaslahatan dalam usaha menegakkan Islam dalam segala aspek ekoran terdapat banyak proses dan prosedur amalan demokrasi yang tidak bertentangan dengan prinsip politik Islam. Hakikat ini telah memberi inspirasi kepada Rachid Ghannouchi di Tunisia dan Dr. Hassan Turabi di Sudan dalam usaha mereka menjadikan demokrasi sebagai medium dan teras kerajaan Islam di sana.

Terkini ialah scenario yang berlaku di Turki apabila Erdogan dan Abdullah Gul telah berjaya memecah tembok sekular tinggalan Mustafa Kamal Atatuk melalui amalan demokrasi yang sihat dan terpimpin sehingga Turki kini bukan lagi seperti Turki dahulu yang dianggap sudah lumpuh dan lemah. Melalui demokrasi kini rakyat Turki boleh mengamalkan Islam secara lebih terbuka dan tanpa sebarang halangan.

Malaysia melalui pendekatan Islam Hadhari kini megah di persada dunia sebagai sebuah negara Islam yang paling progresif dan dinamik telah membuktikan bahawa sistem demokrasi yang sedang diamalkan selama ini telah banyak membantu serta memandu umat Islam pada landasan yang sepatutnya. Dalam masa yang sama telah berjaya memperkukuhkan Islam itu sendiri sebagai agama rasmi negara biarpun agama lain bebas mengamalkan ajaran mereka masing-masing di negara ini tanpa sebarang halangan.

Realiti demokrasi ini cukup unik, menarik dan perlu dipertahankan walaupun ada usaha yang cuba merosakkannya melalui pelbagai cara. Biarpun begitu, berbekalkan pengalaman dan usia demokrasi di Malaysia yang sudahpun mencecah lebih 50 tahun di samping sebelas kali kejayaan gilang gemilang pilihan raya umum dilaksanakan, sudah cukup untuk mematangkan sistem demokrasi negara serta memimpin rakyat untuk membuat pilihan terbaik mengekalkan kepimpinan dan kerajaan sedia ada. Ini penting bagi memastikan segala perancangan dan plan strategik seperti RMK-9, NCER, WPI, SDI, ECER dan lain-lain lagi dilaksanakan sebaik mungkin pada masa hadapan.

Lebih penting lagi ialah survival Islam dan umat Islam juga bergantung kepada pilihan raya umum kali ini. Di samping itu bagi memastikan kebajikan rakyat akan lebih terbela, martabat dan maruah bahasa Melayu yang lebih dominan dan dihormati serta kedudukan bangsa Melayu akan lebih terjamin, maka pilihan raya umum kali ini cukup penting dan amat signifikan kepada kita semua. Kejayaan negara memacu koridor ekonomi, memantapkan struktur sosial dan kekukuhan sistem politik negara perlu dikekalkan dan tidak boleh sama sekali diperjudikan oleh pengundi di dalam pilihan raya kali ini.

Semua ini amat bergantung kepada kebijaksanaan serta keseriusan para pengundi pada 8 Mac nanti dan jika tersalah memangkah, akibatnya kita sendiri yang menanggung liabilitinya. Sehubungan itu para pengundi perlu ikhlas, komited dan nekad memilih calon yang terbaik, berwibawa dan bukannya termakan dengan janji-janji dan manifesto yang tidak rasional serta tidak masuk akal sama sekali. Di sini seluruh jentera parti, ahli komuniti, sanak saudara, ahli keluarga, rakan taulan, mahasiswa dan semua pihak perlu memainkan peranan penting dalam usaha memastikan kejayaan besar dalam PRU-11 yang lepas dapat diulangi semula. Slogan 'Selamat, Aman dan Makmur' mampu menjadi azimat kejayaan cemerlang PRU-12 kali ini jika kita bekerja keras ke arahnya. Selamat Mengundi!