Monday, March 24, 2008

MENYUBURKAN KEGIATAN BAHASA DI PENJARA

Seperti mana yang kita sedia maklum, penjara bukanlah sekadar tempat untuk menahan, menghukum dan mendera, tetapi sebagai institusi koreksional dan pemulihan pesalah atau banduan, tahanan dan juvana ke atas kesalahan yang telah dilakukan melanggar undang-undang negara.

Secara umumnya, penjara merupakan tempat di mana banduan akan ditahan, dikawal dan terpaksa menjalani pelbagai aktiviti pemulihan sehinggalah tarikh mereka dibebaskan. Setakat ini sahaja terdapat hampir 35,000 banduan di 30 buah penjara dan pusat tahanan di seluruh negara.

Melihat kepada peluang yang terdapat di penjara, institusi koreksional ini wajar dimanfaatkan sebagai medan penyuburan kegiatan bahasa memandangkan banduan juga berhak memperjuangkan bahasa dan mempunyai potensi yang tinggi memperkasakan bahasa jika diberikan peluang dan ruang secukupnya.

Mungkin ada yang terasa pelik, janggal dan lucu apabila penjara ingin dijadikan tempat penyuburan bahasa di samping institusi sedia ada. Namun begitu, sejarah telah membuktikan bagaimana beberapa tokoh besar dunia yang telah dipenjarakan oleh pemerintah berjaya melahirkan karya-karya besar mereka ketika berada di dalam penjara.

Antaranya ialah Nelson Mandela, Syed Qutb, Said Zahari, Pramoedya dan ramai lagi yang mana hasil penulisan mereka kekal sehingga ke hari ini menjadi tatapan generasi akan datang. Syed Qutb umpamanya telah menulis buku Petunjuk Sepanjang Jalan dan kitab tafsir Fi Zilal al-Quran yang begitu popular dan komprehensif sekali. Secara tidak langsung membuktikan mereka telah berjaya menyemarakkan lagi kegiatan bahasa sepanjang mereka meringkuk di dalam penjara.

Bagi banduan biasa, di samping mereka terpaksa menjalani aktiviti pemulihan dan hukuman yang telah ditetapkan, mereka sebenarnya masih mempunyai banyak masa untuk diluangkan kepada aktiviti-aktiviti senggang lain dan di sini kegiatan bahasa di penjara boleh dijadikan alternatif ke arah menyemarakkan lagi bahasa.

Kegiatan bahasa di penjara jika dirancang dan diatur dengan baik mampu mencapai sasaran yang diinginkan memandangkan ketika ini banduan turut dibekalkan buku, majalah dan akhbar untuk dibaca di sel masing-masing di samping kemudahan perpustakaan pusat mampu menjadi pemangkin kepada kegiatan bahasa di penjara.

Melihat kepada keadaan ini, adalah berkemungkinan besar banduan yang minat membaca lebih banyak mempunyai masa untuk membaca berbanding masyarakat biasa di luar penjara. Melalui pembacaan mereka dapat mengikuti perkembangan semasa di luar, mengemaskini maklumat dan segala yang berlaku di sekeliling serta sentiasa peka dengan peredaran zaman.

Sehubungan itu bagi mencapai hasrat menyuburkan kegiatan bahasa di penjara, para banduan perlu digalakkan banyak membaca dan mengambil bahagian di dalam setiap aktiviti dan kegiatan bahasa yang dianjurkan oleh pihak Jabatan Penjara sendiri atau dari badan luar. Sekurang-kurang aktiviti bahasa yang dianjurkan dapat mengurangkan tekanan jiwa dan minda para banduan, meningkat keyakinan dan menambah minat mereka kepada bahasa itu sendiri.

Bahasa sebenarnya mampu mententeramkan jiwa, mendidik hati, menambah kekuatan dalaman serta memandu landasan pemikiran seolah-olah bahasa adalah penawar dan terapi paling berkesan untuk mengubati segala penyakit, membaiki keadaan dan merangsang semangat positif dalam diri seseorang. Oleh itu, kegiatan bahasa boleh dijadikan sebagai aktiviti sampingan di penjara ke arah melahirkan banduan yang cintakan bahasa.

Masyarakat luar juga perlu memberi sokongan dan bantuan dalam usaha pihak-pihak yang komited mempertingkatkan kegiatan bahasa di penjara biarpun persepsi dan stigma bahawa penjara sebagai tempat sial, tempat orang jahat, tempat orang yang gelap masa hadapan, sampah masyarakat dan sebagainya masih lagi menebal serta tertanam di dalam pemikiran kebanyakan orang.

Untuk itu aktiviti bahasa melalui penganjuran program kesenian seperti nyanyian dan drama umpamanya, teater, pidato, ceramah, debat dan sebagainya wajar diadakan di penjara di mana penglibatan para banduan perlu diambil kira agar mencapai hasrat yang diinginkan. Ini akan melahir dan menjadikan banduan lebih kreatif, bersemangat dan peka dengan isu serta perkembangan bahasa.

Di samping itu usaha untuk menggalak dan menarik minat banduan menulis seperti cerpen, cerita pendek, esei, pendapat, sajak, puisi, gurindam dan sebagainya juga dilihat mampu menambahkan lagi keinginan dan kesungguhan mereka terhadap bahasa di samping dapat meningkatkan tahap penguasaan dan kemahiran bahasa mereka.

Program dan kegiatan bahasa ini boleh dilakukan sama ada secara mingguan atau bulanan di mana kekerapan penganjurannya mampu memberi hasil dan impak maksima kepada survival bahasa terutamanya bahasa Melayu itu sendiri. Minggu atau bulan bahasa wajar diwujudkan dan pertandingan bahasa juga boleh diadakan di peringkat penjara ataupun di peringkat cawangan penjara di seluruh negara.

Di sini melalui pertandingan yang dianjurkan, pihak jabatan boleh memilih umpamanya pendebat terbaik, penulis terbaik, pemuisi terbaik dan sebagai di antara penjara-penjara yang ada di Malaysia dan seterusnya boleh memilih wakil banduan terbaik untuk setiap pertandingan yang diadakan dari keseluruhan banduan di seluruh negara. Dengan ini banduan akan terasa mereka begitu dihargai dan sedar bahawa mereka juga berperanan menyemarakkan bahasa yang tercinta ini.

Sekiranya ianya dapat dilaksanakan, sudah tentu kegiatan bahasa di penjara menjadi lebih mengasyikan, tersendiri dan mampu menarik lebih ramai banduan untuk turut serta. Diharapkan agar kegiatan dan program bahasa yang dianjurkan secara tidak langsung dapat menginsafkan mereka atas kesalahan dan kesilapan yang telah dilakukan serta membuahkan hasrat murni mereka untuk turut sama memperjuangkan bahasa apabila mereka dibebaskan kelak.

Memandangkan yang menghuni penjara itu terdiri daripada pelbagai etnik dan keturunan, maka penyuburan kegiatan bahasa di penjara mampu memberi momentum positif kepada bahasa Melayu diperkenalkan kepada bukan Melayu. Bukan Melayu akan lebih memahami, menghormati dan menjiwai bahasa Melayu apabila kegiatan bahasa dipertingkat serta dipelbagaikan.

Untuk mencapai hasrat murni ini pihak pentadbiran penjara perlu mempunyai perancangan rapi ke arah membudayakan kegiatan dan kecintaan bahasa di penjara melalui peruntukan khas menyediakan penasihat dan guru bahasa bertauliah serta pembimbing di setiap penjara ataupun menjemput ahli dan pakar bahasa bagi merancang program yang sesuai kepada banduan. Di sini mungkin boleh dimulakan dengan mengutamakan pengambilan pegawai dan warden penjara yang mempunyai kelulusan bahasa di peringkat universiti.

Karya-karya besar karangan sasterawan negara, penulis-penulis mapan dari dalam dan luar negara perlulah diperbanyak dan disebarluaskan di penjara agar banduan-banduan tidak ketinggalan dengan arus perkembangan bahasa di Malaysia dan luar negara. Banduan perlu diajak mendekati dan mengenali tokoh-tokoh bahasa, sejarah perkembangan bahasa dan menginsafi mengapa bahasa Melayu perlu dipertahankan biarpun di mana mereka berada.

Untuk itu juga para sasterawan negara, tokoh bahasa, pejuang bahasa, penulis dan pelajar bahasa perlu bersedia untuk mendekati dan meyelami minat, hasrat dan kesungguhan banduan terhadap bahasa dan kelangsungannya agar usaha ini tidak bertepuk sebelah tangan sahaja dan mereka harus berusaha untuk menyemarak dan menyuburkan kegiatan bahasa di penjara dengan penuh tekad di samping mengetuai usaha pemakmuran bahasa di penjara di seluruh negara.

Sekiranya ini dapat dilaksanakan dengan sempurna, teliti dan bersungguh-sungguh, maka masa hadapan bahasa akan terus gemilang kerana di mana saja berada, bahasa tetap dijulang, dipuja dan didaulatkan biarpun berada di dalam penjara sekalipun. Malaysia mungkin menjadi negara pertama di dunia yang memberi fokus dan komitmen bahasa secara serius di penjara sekiranya cita-cita besar ini direalisasikan.

No comments: