MUHASABAH ASAS KEJAYAAN

Setiap yang berlaku pasti ada hikmahnya dan kita hendaklah akur serta redha dengan segala ketetapan Allah s.w.t di dalam diari kehidupan sehinggalah ke akhir hayat. Semakin kuat ujian, fitnah dan mehnah yang diterima, menjadikan kita semakin hebat, tabah dan komited dalam meneruskan perjuangan pada masa hadapan sekiranya dilihat dari sudut yang positif dan membina. Asas utama kepada kejayaan ini ialah melalui konsep muhasabah terhadap yang telah dilakukan dan ke atas apa yang berlaku.

Muhasabah atau nilai, kritik dan periksa diri sendiri adalah anjuran agama yang perlu dilakukan bukan hanya ketika ditimpa musibah atau perkara negatif sahaja malahan ianya perlu dilakukan berulangkali dan pada setiap hari sebagai aktiviti yang bertujuan untuk mengubah dan merubah prestasi dan potensi diri masing-masing. Amalan muhasabah ini adalah ibadah yang dilakukan oleh Rasulullah dan para sahabat hampir setiap hari untuk menilai, memperbaiki dan meningkat amalan kepada Allah s.w.t dan aktiviti kehidupan seharian mereka meliputi hal-hal berkaitan peribadi, keluarga, masyarakat dan negara.

Prinsip muhasabah perlu menjadi darah daging dan kewajipan kepada seluruh umat Islam untuk melonjak dan menganjak kualiti hidup dan ibadah kepada Allah s.w.t. Saidina Ali pernah berpesan dengan menegaskan bahawa amat rugi sekiranya kehidupan pada hari ini lebih buruk dari semalam dan kehidupan keesokan hari lebih buruk pada hari ini yang menandakan umat Islam digesa perlu berusaha meningkatkan keadaan hidup pada tahap maksima setiap masa.

Di sini menunjukkan bahawa muhasabah adalah asas motivasi paling utama kepada seluruh umat Islam memeriksa dan mengkritik diri sendiri demi kebaikan dan mencari setiap kelemahan serta kesilapan yang perlu diperbaiki dan berazam untuk tidak mengulanginya semula. Muhasabah juga mampu menenangkan fikiran dengan segala kekusutan yang berlaku dan menyesal atas kesilapan yang dilakukan di mana melaluinya dapat dijadikan alasan untuk tidak mengulanginya.

Menurut Imam al-Mawardi, muhasabah ialah dengan membuat penilaian diri sendiri pada waktu malam terhadap yang telah dilakukan pada waktu siang. Jika seseorang telah melakukan perkara yang terbaik maka perlu berazam meneruskannya dan meningkatkan lagi. Namun jika yang dilakukan adalah yang dicela dan dilarang agama maka hendaklah ditinggalkan dan tidak boleh diulangi lagi. Bagi Imam Ibnu Qayyim pula, muhasabah ialah membezakan sama ada sesuatu yang dilakukan itu beroleh pahala atau dosa. Jika pahala maka perlu diterus dan jika dosa hendaklah dihentikan umpama musafir yang tidak akan kembali lagi.

Biarpun tiada sebarang kelemahan, kesilapan dan kesalahan yang berlaku, namun kita dianjurkan bermuhasabah untuk meningkatkan lagi keadaan semasa yang selesa, mutu kehidupan, pekerjaan dan kegiatan seharian. Sebagai seorang pemimpin umpamanya perlu bermuhasabah ke atas apa yang telah dilakukan, begitulah juga ibubapa, anak-anak dan sebagainya. Melalui medium muhasabah kita seolah-olah diajar membuat persiapan awal, memperlengkapkan diri dengan segala kekuatan di samping mampu membaca dan mengurus masa hadapan kita secara terancang.

Muhasabah mampu menjadi penanda aras kepada seseorang untuk merancang, mengurus dan mentadbir kehidupan dan apa jua bidang yang diceburi dengan lebih sempurna, sistematik dan efektif melihat kepada faedah dan manfaat amalan ini. Muhasabah adalah penawar dan formula paling berkesan untuk mengelak segala kecacatan, kecuaian, kelalaian serta kesilapan berulang dalam setiap tindak-tanduk dan benteng kepada sikap atau perlakuan 'pisang berbuah dua kali'.

Secara tidak langsung sikap gemar bermuhasabah dapat mengelak diri dari sikap dan aktiviti negatif dan tidak menguntungkan apatah lagi bagi seorang pemimpin dan peneraju syarikat besar boleh melakukan transformasi dan meningkatkan prestasi negara dan syarikat pada tahap yang terbaik. Konsep muhasabah juga mampu melahirkan generasi modal insan yang berfikiran luas, kreatif, berminda kelas pertama dan sentiasa inginkan kecemerlangan dalam hidup.

Sehubungan tu, dalam keadaan bahang Pilihan Raya Umum ke-12 baru-baru ini masih lagi terasa, adat kalah dan menang adalah perkara biasa dan hakikat yang perlu diterima dengan hati yang terbuka. Bagi yang menang perlu menerus dan menggandakan segala yang dijanjikan manakala bagi yang kalah pula perlulah melakukan muhasabah ke atas musibah kekalahan yang berlaku, mungkin ada sesuatu yang perlu diperbaiki dan dipertingkatkan lagi agar pada pilihan raya umum pada masa hadapan, kesilapan, kelemahan dan kesalahan yang sama tidak berulang lagi.

Comments

Popular Posts