Monday, April 21, 2008

TINGKATKAN SIMPANAN PELABURAN

Kejayaan Permodalan Nasional Berhad (PNB) mengumpul dana unit saham amanah sehingga mencecah 76.7 bilion pada tahun ini cukup membanggakan berbanding 540 juta unit pada awal penubuhannya iaitu sekitar tahun 1981. Manakala saiz dana yang diuruskan oleh PNB setakat ini ialah berjumlah RM120 bilion iaitu suatu jumlah yang begitu menakjubkan.

Ini menunjukkan tahap dan minat yang tinggi rakyat Malaysia terhadap saham amanah sejak ianya mula diperkenalkan di negara kita.

Sunday, April 20, 2008

CONTOHI KEBIJAKSANAAN NABI YUSUF

Dunia kini sedang berhadapan dengan krisis makanan global yang begitu hebat dan menakutkan. Fenomena senyap yang telah lama memberikan isyarat ini di pandang sepi dan dianggap tidak penting ekoran sektor pengeluaran makanan dianggap sebagai bidang yang primitif dan tidak popular.

Pertanian bagi sesetengah negara telah diabaikan sejak sekian lama dan akibatnya kini dunia berdepan dengan kekurangan sumber makanan asasi. Pertubuhan Makanan dan Pertanian Amerika Syarikat menjangkakan 37 buah negara dunia akan berdepan dengan krisis bekalan makanan terburuk pada millinium ini.

Unesco dalam satu laporannya menyatakan harga beras dunia sejak lima tahun lalu meningkat sehingga tiga kali ganda. Manakala Jabatan Pertanian Amerika Syarikat pula dalam kenyataannya memberitahu kenaikan tersebut adalah tertinggi sejak dua dekad lalu, sedangkan produktivitinya semakin menurun sejak tahun 1980-an.

Sementara itu, menurut Setiausaha Agung PBB, Ban Ki-moon bahawa krisis makanan dunia berada pada tahap serius dan boleh mengancam kempen membasmi kemiskinan sejagat. Beliau menyeru agar masyarakat dunia bertindak secara bersepadu bagi mengelak berlakunya implikasi politik dan keselamatan yang lebih besar daripada krisis ini.

Situasi ini jika tidak dikawal akan mewujudkan ketegangan yang boleh membawa kepada masalah kebuluran kronik, demonstasi, protes dan keganasan di serata dunia. Tindakan Thailand, Indonesia dan Vietnam yang merupakan periuk nasi utama dunia menghentikan eksport beras ke luar negara akan memburukkan lagi krisis yang sedang dihadapi ini.

Lebih menakutkan apabila Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) memberi amaran harga makanan yang melambung tinggi boleh membawa kepada kejatuhan kerajaan dan mencetus peperangan di mana setakat ini telah berlaku rusuhan besar-besaran di Haiti, Mesir dan beberapa negara lain akibat krisis ini. Demokrasi juga bakal terancam dengan fenomena terbaru ini jika krisis ini gagal ditangani.



Rujukan

Krisis berbahaya - IMF. Utusan Malaysia. 19 April 2008
Krisis makanan dunia cemas. Utusan Malaysia. 16 April 2008
2008 tahun bahaya. Kosmo. 17 April 2008

Tuesday, April 01, 2008

BILA KECERDIKAN DISALAH GUNA

Ketika umat Islam digemparkan dengan filem Fitna yang cuba memburuk-burukkan imej Islam di mata dunia, dalam tempoh yang sama pula dunia dikejutkan dengan perlakuan tidak bermoral seorang remaja genius Islam yang telah meletakkan Islam dan umat Islam kini berada di dalam dilemma fitnah masyarakat dunia.

Beliau yang pernah mengemparkan dunia suatu ketika dahulu apabila seorang kanak-kanak Islam berjaya memasuki sebuah universiti ternama di Britain iaitu Oxford ketika berumur 13 tahun sahaja. Hari ini beliau sekali lagi menggegar pentas dunia apabila dengan bangganya menawarkan khidmat seks kepada orang ramai melalui laman web khasnya.

Walaupun perbuatan tidak berakhlak itu bukan sesuatu yang luar biasa di sana, namun dengan statusnya sebagai seorang genius muslim, maka perlakuan sumbangnya kini dibicara dan diperdebatkan di seluruh dunia. Apatah lagi beliau turut mempunyai pertalian yang cukup rapat dengan negara Malaysia memandangkan ibu beliau berasal dari negara ini.

Perubahan sikap dan sifat beliau yang sangat mengejutkan ini menjadikan ramai yang tersentak hati apabila membaca kisah hidup terbaru beliau yang menjadi pelacur genius dan hidup dalam keadaan yang sangat menyayatkan hati di lembah kehinaan. Ramai binggung dan bimbang dengan perkembangan yang sedang terjadi kepada remaja yang mempunyai IQ dan tahap kecerdikan yang sangat menakjubkan ini.

Beliau mungkin menjadi mangsa ibu bapa yang terlalu menekan dan mengejar kecemerlangan anak-anak di dalam akademik tanpa memikirkan aspek kerohanian dan didikan agama yang mantap. Beliau juga mungkin menjadi mangsa keadaan apabila terpaksa jadi manusia cemerlang dan berjaya di universiti seawal usia 13 tahun berbanding rakan-rakan beliau yang masih bergembira di sekolah menengah.

Beliau yang tidak pernah memasuki mana-mana sekolah dan hanya menerima pendidikan di rumah sahaja daripada kedua ibu bapanya sehinggalah beliau menjejakkan kaki ke menara gading. Jadi untuk menyalahkan sistem dan keberkesanan pendidikan di sana adalah salah sama sekali serta atas alasan apakah beliau bertindak sedemikian rupa sangat menimbulkan tanda tanya kepada orang ramai.

Jika dikatakan beliau masih mentah dan tidak matang, beliau pernah berkahwin dan sempat merasai nikmat kehidupan berkeluarga selama hampir setahun sebelum bercerai. Pada usia beliau kini kita tidak boleh menyalahkan sesiapa pun atas tindakan dan perlakuannya, melainkan diri beliau sendiri dan bukannya kegagalan keluarga beliau.

Sepatutnya dengan kecerdikan dan kegeniusan yang hebat, beliau sepatutnya menjadi kaya, popular dan ternama serta dapat menyumbangkan kepakaran beliau kepada dunia Islam agar masyarakat luar melihat kehebatan umat Islam. Namun sebaliknya kini mereka berpeluang pula untuk melanggani tubuh beliau sesuka hati dan beban serta masalah tersebut terpaksa ditanggung oleh seluruh umat Islam.

Inilah jadinya apabila kecerdikan yang dimiliki tidak dihargai dan disalah gunakan sewenang-wenangnya. Inilah juga jadinya apabila nafsu bertakhta di hati dan terlalu menurut perasaan yang buruk. Jika dahulu guru-guru mengimpikan pelajar-pelajar mereka setanding Sufiah dan ibu bapa juga sanggup bekerja keras untuk memberikan pendidikan sempurna agar anak-anak dapat menjejaki remaja genius ini.

Beliau umpama model dan ikon remaja cerdik suatu ketika dahulu. Beliau mencetuskan fenomena hebat sehingga kerajaan Malaysia turut menawarkan cadangan untuk menaja segala kos pembelajaran beliau sehingga ke peringkat paling tinggi. Kini mungkin ramai akan berfikir dua kali dan terpaksa pertimbangkan sama ada berbaloikah memiliki anak-anak seperti genius bermasalah ini.

Tindakan Jabatan Perdana Menteri dan YADIM untuk melakukan misi khas menyelamat remaja genius ini sangat dialu-alukan sebagai tanda prihatin dan sensitiviti negara terhadap umat Islam lain biarpun masih ramai lagi remaja dan wanita Islam tempatan yang sudah rosak yang perlu diselamatkan.

Ini adalah kerana beliau masih boleh diselamatkan sekiranya semua pihak berusaha memulih, mendoakan dan menasihatinya memandangkan jika kita gagal, dunia akan melihat betapa hodohnya umat Islam hari ini walaupun memiliki otak yang geliga.