BILA KECERDIKAN DISALAH GUNA

Ketika umat Islam digemparkan dengan filem Fitna yang cuba memburuk-burukkan imej Islam di mata dunia, dalam tempoh yang sama pula dunia dikejutkan dengan perlakuan tidak bermoral seorang remaja genius Islam yang telah meletakkan Islam dan umat Islam kini berada di dalam dilemma fitnah masyarakat dunia.

Beliau yang pernah mengemparkan dunia suatu ketika dahulu apabila seorang kanak-kanak Islam berjaya memasuki sebuah universiti ternama di Britain iaitu Oxford ketika berumur 13 tahun sahaja. Hari ini beliau sekali lagi menggegar pentas dunia apabila dengan bangganya menawarkan khidmat seks kepada orang ramai melalui laman web khasnya.

Walaupun perbuatan tidak berakhlak itu bukan sesuatu yang luar biasa di sana, namun dengan statusnya sebagai seorang genius muslim, maka perlakuan sumbangnya kini dibicara dan diperdebatkan di seluruh dunia. Apatah lagi beliau turut mempunyai pertalian yang cukup rapat dengan negara Malaysia memandangkan ibu beliau berasal dari negara ini.

Perubahan sikap dan sifat beliau yang sangat mengejutkan ini menjadikan ramai yang tersentak hati apabila membaca kisah hidup terbaru beliau yang menjadi pelacur genius dan hidup dalam keadaan yang sangat menyayatkan hati di lembah kehinaan. Ramai binggung dan bimbang dengan perkembangan yang sedang terjadi kepada remaja yang mempunyai IQ dan tahap kecerdikan yang sangat menakjubkan ini.

Beliau mungkin menjadi mangsa ibu bapa yang terlalu menekan dan mengejar kecemerlangan anak-anak di dalam akademik tanpa memikirkan aspek kerohanian dan didikan agama yang mantap. Beliau juga mungkin menjadi mangsa keadaan apabila terpaksa jadi manusia cemerlang dan berjaya di universiti seawal usia 13 tahun berbanding rakan-rakan beliau yang masih bergembira di sekolah menengah.

Beliau yang tidak pernah memasuki mana-mana sekolah dan hanya menerima pendidikan di rumah sahaja daripada kedua ibu bapanya sehinggalah beliau menjejakkan kaki ke menara gading. Jadi untuk menyalahkan sistem dan keberkesanan pendidikan di sana adalah salah sama sekali serta atas alasan apakah beliau bertindak sedemikian rupa sangat menimbulkan tanda tanya kepada orang ramai.

Jika dikatakan beliau masih mentah dan tidak matang, beliau pernah berkahwin dan sempat merasai nikmat kehidupan berkeluarga selama hampir setahun sebelum bercerai. Pada usia beliau kini kita tidak boleh menyalahkan sesiapa pun atas tindakan dan perlakuannya, melainkan diri beliau sendiri dan bukannya kegagalan keluarga beliau.

Sepatutnya dengan kecerdikan dan kegeniusan yang hebat, beliau sepatutnya menjadi kaya, popular dan ternama serta dapat menyumbangkan kepakaran beliau kepada dunia Islam agar masyarakat luar melihat kehebatan umat Islam. Namun sebaliknya kini mereka berpeluang pula untuk melanggani tubuh beliau sesuka hati dan beban serta masalah tersebut terpaksa ditanggung oleh seluruh umat Islam.

Inilah jadinya apabila kecerdikan yang dimiliki tidak dihargai dan disalah gunakan sewenang-wenangnya. Inilah juga jadinya apabila nafsu bertakhta di hati dan terlalu menurut perasaan yang buruk. Jika dahulu guru-guru mengimpikan pelajar-pelajar mereka setanding Sufiah dan ibu bapa juga sanggup bekerja keras untuk memberikan pendidikan sempurna agar anak-anak dapat menjejaki remaja genius ini.

Beliau umpama model dan ikon remaja cerdik suatu ketika dahulu. Beliau mencetuskan fenomena hebat sehingga kerajaan Malaysia turut menawarkan cadangan untuk menaja segala kos pembelajaran beliau sehingga ke peringkat paling tinggi. Kini mungkin ramai akan berfikir dua kali dan terpaksa pertimbangkan sama ada berbaloikah memiliki anak-anak seperti genius bermasalah ini.

Tindakan Jabatan Perdana Menteri dan YADIM untuk melakukan misi khas menyelamat remaja genius ini sangat dialu-alukan sebagai tanda prihatin dan sensitiviti negara terhadap umat Islam lain biarpun masih ramai lagi remaja dan wanita Islam tempatan yang sudah rosak yang perlu diselamatkan.

Ini adalah kerana beliau masih boleh diselamatkan sekiranya semua pihak berusaha memulih, mendoakan dan menasihatinya memandangkan jika kita gagal, dunia akan melihat betapa hodohnya umat Islam hari ini walaupun memiliki otak yang geliga.

Comments

Popular Posts