Sunday, June 08, 2008

JANGAN TERLALU CEPAT TUNJUK KEJAYAAN

Kereta melambangkan imej, prestij, kekayaan dan kejayaan seseorang. Ramai yang teruja, beriya-iya dan cuba menunjukkan kejayaan mereka melalui penampilan dan pemanduan kereta mewah walaupun kadang kala tidak mampu dan di luar keupayaan. Dengan kemudahan pinjaman dan pembiayaan yang ada, segalanya menjadi mudah biarpun terpaksa mengikat perut demi sebuah kereta. Benarlah kata pepatah Melayu, biar papa asal bergaya.

Dari ahli politik, usahawan, profesional dan sebagainya, jenis dan buatan kereta menjadi keutamaan memandangkan sesetengah pihak melihat dan menilai seseorang yang lain melalui kenderaan yang dimiliki. Lagi besar dan mahal kenderaan yang dipandu atau diimport maka lagi tinggilah persepsi dan hormat orang ramai terhadapnya. Kadang-kadang memiliki kereta mewah memudah dan membuka peluang yang lebih besar kepada perniagaan, pengaruh dan sebagainya.

Perkara ini turut berjangkit kepada lepasan universiti yang baru bekerja dan tanpa berfikir panjang membeli kereta yang tidak sepadan dengan pendapatan mereka yang akhirnya menjadikan gaji bulanan dihabiskan untuk ansuran bulanan, minyak dan penyelenggaraan kereta. Ini menyebabkan mereka tidak mempunyai simpanan peribadi sebagai persediaan masa hadapan dan terpaksa berfikir dua kali untuk menghantar belanja bulanan kepada keluarga di kampung.

Ini adalah kerana mereka terlalu cepat ingin menunjukkan kejayaan mereka kepada orang ramai setelah keluar universiti dengan memandu kereta walaupun pendapat bulanan 'cukup-cukup makan' sahaja. Bagi mereka adalah amat memalukan sekiranya balik ke kampung dengan hanya menaiki motosikal atau kenderaan awam, sedangkan kawan-kawan lain yang tidak berpelajaran tinggi atau sekadar berkelulusan sekolah menengah sahaja mampu berkereta ke sana ke mari.

Persepsi ini adalah salah dan sangat merugikan memandangkan mereka perlu bijak mengurus kewangan dan pendapatan mereka untuk perkara yang lebih bermanfaat dan perlu sahaja. Pentadbiran gaji dan sumber pendapatan sampingan lain secara ekonomik membolehkan mereka melabur di dalam skim pelaburan yang berpotensi; mempunyai polisi insuran peribadi dan keluarga; memiliki simpanan untuk menyambung pelajaran; berjimat untuk bajet perkahwinan; membeli rumah atau sebagainya dan yang paling penting ibu bapa di rumah dapat merasa sebahagian gaji yang diperolehi.

Memandangkan ketika ini sejumlah ribuan graduan universiti telah tamat pengajian dan mula mencari pekerjaan, malah sudah ada yang ditawarkan pekerjaan walaupun belum lagi tamat, maka mereka dinasihatkan pandai dan waras mengurus gaji bulanan agar tidak tergolong di dalam kelompok yang terlalu cepat ingin menunjukkan kejayaan masing-masing. Berbelanjalah mengikut kemampuan dan ukur baju di badan sendiri agar tidak menyesal di kemudian hari.

Baru-baru ini kita digemparkan dengan peraduan sensasi yang juga mempunyai kaitan dengan kereta. Masyarakat menjadi seakan-akan hilang akal dan pertimbangan dengan peraduan 100 hari 100 kereta anjuran sebuah syarikat telekomunikasi utama negara ini. Peraduan tersebut nampak begitu mudah sekali untuk memiliki sebuah kereta mewah. Namun begitu peserta dikehendaki membayar kepada setiap soalan dijawab di mana mereka diumpan dengan soalan mudah demi soalan mudah yang akhirnya menyebabkan banyak wang dihabiskan begitu sahaja.

Walaupun kita sudah pun berada di alaf baru dan hidup di dalam dunia moden, namun masih ramai yang terperangkap, terpesona dan tertipu dengan peraduan sedemikian rupa. Bagi mereka tidak salah berhabis ratusan ringgit demi mengejar sebuah kereta mewah yang ditawarkan setiap hari. Alangkah mudahnya kita diajar memiliki sebuah kereta mewah, sedangkan orang lain terpaksa berhempas pulas bertahun-tahun untuk mendapat kereta mewah tersebut.

Walaupun pihak penganjur mempunyai niat yang baik dan mempunyai agenda serta taktik perniagaan mereka sendiri, namun modus operandi peraduan tersebut amat tidak Islamik dan menyalahi norma perniagaan di negara kita. Ini membawa kepada beberapa kenyataan tokoh agama, NGO dan orang ramai bahawa peraduan tersebut mempunyai unsur-unsur perjudian dan pembaziran yang sangat dilarang dan tidak beretika.

Oleh yang demikian, kesudian dan kesungguhan Panel Syariah Jakim untuk melihat perkara ini secara lebih serius sangatlah dialu-alukan memandangkan polemik ini sudah menjadi isu negara dan rakyat tidak boleh dibiarkan berada di dalam keadaan keliru dan bersalah. Dalam keadaan isu kenaikan minyak dan barangan yang masih belum reda, rakyat tidak sepatutnya diajak dan diajar mengejar kemewahan dengan angan-angan dan impian, tetapi mereka perlu digesa bekerja lebih kuat dan bersedia mengubah cara hidup.

Pihak berwajib juga perlu mendapat gambaran sebenar dan mendapat penjelasan daripada pihak penganjur berkenaan peraduan tersebut sebelum apa-apa keputusan dan fatwa yang akan dikeluarkan agar memberikan keadilan kepada semua pihak. Jika harus, maka boleh diteruskan dan kita tumpang berbangga apabila ramai rakyat kita mampu memandu kereta mewah, namun jika haram, maka perlu dihentikan segera dan pemikiran rakyat juga perlu diperbetulkan serta dikikis daripada sifat terlalu cepat ingin kaya dan hidup mewah.

Kita juga bimbang jika perkara sebegini tidak dikekang dan dipantau, maka akan muncul lebih banyak peraduan serupa yang akan tampil menawarkan hadiah yang lebih lumayan serta lebih mudah dan dalam masa yang sama melalai dan merugikan rakyat yang semakin dihimpit dengan segala macam kesusahan dan kesulitan. Pihak penganjur tidak sepatutnya cuba mengambil kesempatan di atas situasi rakyat sebegini memandangkan ada di kalangan yang ingin mencuba nasib dan beranggapan jika menang, mereka akan menjual kenderaan mewah tersebut untuk dibuat belanja dan pelaburan.

Diharapkan agar apa yang sedang berlaku ketika ini memberikan pengajaran dan pendidikan kepada semua pihak yang terbabit di dalam industri ini atau lain-lain sektor pada masa hadapan agar merujuk kepada pihak yang lebih arif sebelum mengadakan sesuatu peraduan, sentiasa berhati-hati dan menjaga sensitiviti umat Islam di negara ini walaupun mungkin peraduan tersebut bukanlah dianjurkan kepada orang Islam sahaja malahan kepada penganut agama lain yang tidak menjadi masalah dalam hal ini.

2 comments:

Muhammad Azli Shukri said...

buah fikiran yang sangat matang, mungkin saudara boleh menghantar artikel ini dalam dewan masyarakat.

mohamadsofee said...

terima kasih, encik azli, terus menulis...