Thursday, July 31, 2008

MASJID LAMBANG KETAMADUNAN

Masjid juga merupakan mercu tanda ketamadunan dan kegemilangan umat Islam di seluruh dunia. Pembinaan Masjid diharapkan mampu meningkatkan mutu kehidupan masyarakat Islam di samping sebagai pusat ibadat dan penggerak aktiviti sosial serta ekonomi masyarakat. Ini adalah seiring dengan usaha kerajaan menyatupadukan ummah di semua peringkat menerusi pelbagai aktiviti yang dijalankan secara bersepadu.

Antara ciri dan elemen masjid bistari adalah pengisian program masjid dan aktiviti yang dilaksanakan di samping masjid boleh berdikari sendiri di mana pihak pengurusan masjid mampu mendapatkan sumber pendapatan menerusi aktiviti yang dijalankan untuk membiayai pengurusan masjid dengan menjalankan perniagaan atau sumbangan daripada umum tanpa memerlukan peruntukan kerajaan. Segala aktiviti yang dilaksanakan mestilah melibatkan segenap lapisan masyarakat serta memberi manfaat kepada pelbagai pihak seperti mewujudkan pusat dialisis, dana kebajikan, bantuan pelajar, yayasan dan beberapa aktiviti lain.

Persepsi dan perspektif bahawa masjid hanyalah sebagai tempat melaksanakan ibadah ritual semata-mata adalah salah dan menyeleweng daripada pengertian, fungsi serta status sebenar institusi berkenaan. Masjid juga bukanlah medan atau tempat untuk memecahbelah atau memporakperandakan masyarakat seperti yang berlaku di sesetengah tempat di negara kita sehinggakan Sultan Selangor dan Perak serta pemimpin di beberapa buah negeri terpaksa campurtangan memberi peringatan dalam hal ini.

Ini adalah kerana masjid merupakan pusat aktiviti umat Islam secara menyeluruh dan medan untuk menggembleng kreativiti, kemahiran, keupayaan umat Islam dan bukan hanya untuk kegiatan ibadah ritual sahaja. Pembangunan modal insan juga wajar bermula di sini dalam menjana dan mencanai pemikiran generasi muda di negara kita agar mereka tidak menyeleweng daripada landasan agama serta menjadi aset dan teras terpenting kepada pembentukan negara maju.

Atas kefahaman dan pandangan yang salah juga menyebabkan kita kerap kali melihat banyak masjid dan surau di negara ini yang hanya dibuka ketika tiba waktu solat sahaja dan akan ditutup semula selepas itu. Masjid seolah-olah dijadikan sekadar tempat khusus untuk ibadah solat fardhu lima waktu atau solat jumaat dan hari raya; kelas pengajian mingguan dan bulanan; majlis tahlil dan bacaan Yaasin pada malam Jumaat; sekali sekala diadakan kenduri kesyukuran atau kematian dan tidak lebih dari itu.

Realiti yang sedang berlaku ini hanya akan merencatkan prestij dan kredibiliti masjid yang sebenar sahaja jika dibiarkan berlarutan. Oleh demikian, pihak bertanggungjawab dan telah diberikan amanah untuk kepentingan dan pembangunan masjid perlu melakukan sesuatu untuk mengembalikan maruah dan kewibawaan masjid sepertimana yang dituntut agama. Masjid tidak boleh diperlakukan seperti kuil, tokong atau rumah ibadat agama lain yang hanya mementingkan ibadah ritual sahaja, tetapi institusi ini mesti diberi nilai tambah agar dapat berfungsi secara yang lebih berkesan dan rakyat mendapat manfaat daripadanya.

Jika faktor keselamatan dijadikan alasan kenapa masjid ditutup atau untuk mengelak berlakunya kecurian dan vandalisme, jawatankuasa masjid boleh menugaskan ahli atau jemaah masjid memastikan perkara berkenaan agar tidak berlaku dan untuk lebih mudah lagi ialah menggunakan khidmat pengawal keselamatan berbayar atau bergaji. Kos untuk membayar dan menyelenggara keselamatan atau kemudahan masjid boleh diambil dari dana tabung masjid hasil sumbangan orang ramai daripada dibiarkannya di dalam akaun bank sahaja tanpa digunakan.

Menjadikan institusi ini atau meletakkannya di kedudukan sedemikian rupa dan tidak melatakkannya pada kedudukan asal, hanyalah menghina ketinggian dan cubaan menafikan peranan dan fungsi sebenar masjid kepada masyarakat Islam dan bukan Islam di negara kita. Dalam pada itu, masjid juga boleh menjadi penjana utama ekonomi setempat seperti mewujudkan institusi koperasinya sendiri atau pusat perniagaan dan boleh menjalankan kegiatan ekonomi seperti membuka kedai runcit, pusat fotokopi dan alatulis, kedai dobi, kedai buku dan sebagainya di perkarangan masjid.

Bahkan masjid juga boleh membenarkan pembukaan klinik atau pusat kesihatan, pusat jagaan dan transit kanak-kanak dan taman asuhan kanak-kanak atau pusat tusyen pelajar sekolah rendah dan menengah bagi kemudahan masyarakat setempat di samping kelas pengajian atau aktiviti masjid sedia ada. Memandangkan hampir semua masjid berada di lokasi yang strategik seperti di tepi jalan dan tempat tumpuan, maka peluang ini perlu direbut dan tidak boleh dilepaskan begitu sahaja. Melalui pulangan dan hasil yang diperolehi bolehlah digunakan untuk tujuan pembangunan masjid dan ahli khariah.

Dengan jumlah lebih 10,000 masjid dan surau di negara ini, di samping sebagai pusat ibdah dan ekonomi umat Islam, institusi ini wajar dijadikan sebagai medan penjanaan sosial dan maklumat umat Islam memandangkan ia mempunyai jaringan dan rangkaian bijak yang sangat luas, kompetitif dan berpotensi. Masjid yang juga merupakan institusi terpenting umat Islam, mampu menjadi medan percambahan dan perkongsian ilmu, maklumat, teknologi dan sebagainya. Masjid perlu dijenama dan dijelmakan semula dalam bentuk serta realitinya yang sebenar.

Bagi memantapkan institusi masjid di seluruh negara, kewujudan e-masjid dan k-masjid umpamanya perlu direalisasikan segera. Masjid dan surau perlu seiring inovasi ICT dengan ledakan teknologi dan maklumat global. Jika dapat direalisasikan, maka imej dan integriti masjid dapat dilonjakkan pada tahap yang tertinggi serta berlakunya anjakan paradigma ahli jawatankuasa masjid, jemaah, ahli khariah dan sebagainya. Masjid akan lebih dihormati, dikunjungi dan dimeriahkan dengan pelbagai program dan aktiviti kemasyarakatan, ekonomi, ibadah ritual dan lain-lain lagi.

Institusi masjid wajar memiliki laman web, blog dan portal masing-masing agar jemaah, ahli kariah atau siapa sahaja mudah menghubungi pihak pengurusan dan pentadbiran masjid pada bila-bila masa dan di mana jua. Oleh demikian, AJK masjid mestilah celik computer dan ICT agar usaha murni ini dapat dilakukan segera. Memandangkan rata-rata AJK masjid hari terdiri daripada golongan muda dan berpelajaran, maka isu tidak tahu Komputer dan internet tidak timbul melainkan generasi tua yang boleh diberikan pengecualian.

Kemudahan laman web membolehkan ahli khariah dan jemaah serta orang ramai menyemak dan mengemaskini aktiviti dan program harian, mingguan, bulanan dan tahunan masjid. Inovasi blog pula membolehkan imam dan jemaah bertukar-tukar pandangan, informasi dan sebagainya pada bila-bila masa dan di mana jua. Manakala kewujudan portal hukum umpamanya memudahkan sesiapa sahaja merujuk atau bertanya soalan kepada imam dan ustaz yang bertanggungjawab.

Untuk itu ahli jawatankuasa masjid perlu memiliki alamat emel masing-masing agar jemaah dapat menghubungi dan berkomunikasi melalui medium berkenaan. Sebarang bentuk pengumuman, makluman dan hebahan berkenaan program masjid atau apa sahaja yang berkaitan boleh dilakukan melalui emel dan ini akan memudahkan semua pihak di mana maklumat akan sampai kepada sasaran dengan lebih cepat berbanding melalui penghantaran surat, pengumuman melalui pembesar suara, poster dan sebagainya.

Masjid juga wajar dilengkapi kemudahan zon Wi-Fi atau capaian Internet tanpa wayar secara percuma. Jika masjid mempunyai kemudahan Wi-Fi misalnya, jemaah boleh melayari laman web internet dengan mudah dengan hanya menggunakan telefon bimbit atau komputer riba sahaja ketika berurusan di masjid. Ini akan menarik lebih ramai anak mudah datang ke masjid dan orang ramai juga termasuk masyarakat bukan Islam serta jemaah luar khariah ataupun musafir dapat menggunakan kemudahan dan manfaat teknologi berkenaan.

Melihat kepada potensi besar yang ada pada Masjid maka persepsi kuno masjid sebagai tempat ibadah ritual sahaja sudah tidak relevan dan perlu diubah segera. Institusi ini perlu dibangunkan sejajar dengan perkembangan semasa dan ditingkatkan pada tahap yang sewajarnya. Semua pihak mesti berganding bahu, tenaga dan kepakaran untuk merealisasikan masjid sebagai hab maklumat, ekonomi dan sosial umat Islam. Masjid sebenarnya adalah simbol dan penanda aras kejayaan, kehebatan dan keunggulan umat Islam dulu, kini dan selamanya.

Saturday, July 19, 2008

MUZAKARAH MEMBINA PERADABAN


Kesediaan UMNO dan PAS sebagai dua buah parti utama yang membela Islam dan umat Melayu sejak merdeka lagi bermuzakarah sesama mereka adalah merupakan langkah paling bijak dan kena pada masanya di kala umat Melayu Islam hari ini masih berada dalam keadaan dilema, serba salah, tercari-cari kedudukan sebenar mereka dan dalam semua keadaan masih lagi ketinggalan dalam segala aspek sama ada ekonomi, pendidikan, politik, teknologi dan sebagainya.

Ini adalah kesan daripada keputusan Pilihan Raya Umum (PRU) ke-12 baru-baru ini yang menunjukkan tanda protes, marah, emosi dan terjemahan rasa tidak puas hati pengundi sehingga mereka tergamak menggadai maruah ketuanan Melayu dan kedaulatan agama Islam itu sendiri yang kini dilihat memakan diri sendiri atau senjata makan tuan. Hak dan keistimewaan Melayu nampaknya semakin terhakis dan longgar ekoran bahagian itu kini terpaksa dikongsi dan dirasai oleh semua.

Perkembangan dan kedudukan agama Islam itu sendiri pun ketika ini tidak ke mana dan perlaksanaannya semakin rapuh, bahkan turut ditentang dan dipertikai melalui pelbagai insiden yang berlaku biarpun Perlembagaan Persekutuan meletakkan Islam sebagai agama rasmi negara ini. Kedudukan orang Melayu dan Islam di negara ini yang semakin tercabar secara terbuka adalah antara faktor menyebabkan Pas sedia bermuzakarah dengan Umno walaupun mempunyai ideologi politik yang jauh berbeza.

Ini menunjukkan bahawa sudah wujud persefahaman dan profesionalisme dalam kerangka pemikiran serta asas perjuangan kedua-dua parti berkenaan dalam membela umat Melayu Islam di negara ini biarpun permulaan muzakarah ini bukanlah bertujuan untuk mengenepikan hak serta kepentingan mana-mana pihak dan jauh sekali bermaksud cubaan bermain isu dan sentimen agama atau perkauman di negara demokratik ini.

Walaupun ada yang memandang sinis dan tidak serius dengan permulaan penyatuan kembali umat Melayu Islam kepada landasan dan wadah yang cukup signifikan ini, namun begitu tidak kurang juga yang memberi sokongan serta berharap agar agenda besar landskap politik dan geopolitik negara ini dapat direalisasikan sesegera mungkin bagi merungkai segala masalah dan persoalan yang masih membelenggu umat Melayu di negara kita.


Rujukan

Kedudukan Islam tercabar punca Pas setuju muzakarah, Berita Minggu, 20 Julai 2008

Saturday, July 12, 2008

WIBAWA ULAMA MUDA - TAHNIAH USTAZ DATUK SHAMSURI HAJI AHMAD!

Bagi masyarakat utara sama ada Pulau Pinang, Kedah dan Perlis, nama Ustaz Shamsuri Haji Ahmad adalah satu nama besar yang tidak perlu diperkenalkan lagi memandangkan beliau merupakan antara tokoh agama yang disegani oleh semua lapisan masyarakat. Ceramah dan kuliah pengajian beliau mampu menarik perhatian ramai dan setiap kali diadakan, ratusan orang akan membanjiri masjid hadir untuk mendengar ceramah dan kuliah pengajian beliau biarpun terpaksa datang dari jauh di pelusuk negeri.

Beliau yang merupakan anak jati Pulau Pinang mendapat pendidikan awal di SMKA Al-Irshad dan kemudiannya menyambung pelajaran ke Kolej Islam Klang (KIK) dan selanjutnya berjaya memasuki Universiti Malaya dalam bidang Pendidikan Islam dan peringkat Sarjana. Sejak di sekolah dan universiti lagi beliau cukup dikenali sebagai tokoh pemidato hebat walaupun beliau sebenarnya seorang yang agak pendiam pada awalnya dan kebolehan berpidato tersebut menjadi bekal paling berharga beliau sehinggalah ke hari ini.

Tokoh hebat yang kuat membaca dan cukup meminat buku ini memiliki sebuah perpustakaan yang besar di kediamannya dengan ribuan judul dari seluruh dunia meliputi segala topik dan genre. Beliau yang juga merupakan tokoh masyarakat yang unik, memiliki ciri keperibadian unggul dan mampu menjadi contoh kepada generasi muda hari ini. Ratusan koleksi kaset dan VCD ceramah serta kuliah pengajian beliau boleh didapati hampir di seluruh negara di samping laman web beliau yang membolehkan sesiapa sahaja mendapat manfaat daripadanya.

Hari ini beliau adalah antara tokoh agama, ilmuan dan tokoh korporat yang cukup berwibawa dan berkaliber. Beliau yang berumur 43 tahun, fasih berbahasa Inggeris dan Arab yang menjadikan beliau seorang ulama yang berkaliber serta versatil melihat kepada ketokohan, kepakaran dan kepelbagaian pengisian setiap ceramah beliau yang sentiasa segar, informatif dan seiring dengan perkembangan semasa.

Atas jasa dan sumbangan beliau dalam bidang agama, masyarakat dan korporat, Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah menganugerahkan kepada beliau Darjah Setia Pangkuan Negeri (DSPN) membawa gelaran Datuk. Beliau yang juga Pengerusi Eksekutif Syarikat Pelita Samudera Pertama Sdn Bhd iaitu pengendali restoran nasi kandar terbesar negara, adalah antara 470 penerima darjah kebesaran, bintang dan pingat kehormatan Pulau Pinang sempena hari jadi ke-70 Yang di-Pertua Negeri, Tun Abdul Rahman Abbas, hari ini.

TAHNIAH USTAZ DATUK SHAMSURI HAJI AHMAD!

Thursday, July 10, 2008

DIMENSI BARU PROSEDUR JENAYAH SYARIAH DI MALAYSIA

Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini membuat laporan kepada Bahagian Penguatkuasaan, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) meminta agar siasatan dilakukan terhadap dakwaan bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan yang mendakwa diliwat, mengikut peruntukan qazaf atau tuduhan palsu di Mahkamah Syariah di negara ini.

Tindakan bekas Perdana Menteri itu meminta Mahkamah Syariah mengendalikan dakwaan berhubung kes liwatnya dilihat telah membuka dimensi baru isu ini di dalam sistem perundangan di negara kita. Ini adalah kerana memandangkan dalam kes liwat yang sedang dihadapi beliau, hukuman qazaf ke atas orang yang membuat tuduhan palsu didapati tiada dalam undang-undang jenayah sivil. Kanun Keseksaan tidak menyebut secara khusus kesalahan liwat tetapi hanya menyebut berkenaan perhubungan seks luar tabii seperti dalam Seksyen 377, 377(a), 377(b), 377(c), 377(d) dan 377 (e).

Tambahan pula, peruntukan undang-undang mengenai tuduhan palsu tanpa saksi ini dikatakan hanya termaktub di bawah kesalahan jenayah syariah sahaja memandangkan terdapat beberapa peruntukan berkaitan dan oleh kerana itu kes seperti ini didakwa perlu dibicarakan dan diadili di mahkamah syariah dan bukannya mahkamah sivil. Kes ini sudah tentu akan menjadi landmark di dalam korpus kehakiman negara dan mewujudkan dimensi baru kepada ahli perundangan, hakim dan pengamal undang-undang di negara kita dalam mengendalikan kes ini.

Undang-undang syariah di Wilayah Persekutuan mempunyai peruntukan qazaf iaitu hukuman ke atas sesiapa yang membuat tuduhan zina palsu terhadap orang lain mengikut Seksyen 41, Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 (Akta 559). Mengikut peruntukan itu, sesiapa yang menuduh orang lain melakukan zina tanpa mengemukakan empat saksi lelaki atau ikrar (pengakuan) orang yang dituduh, dia melakukan kesalahan yang boleh dihukum denda RM5,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya.

Namun begitu menurut Ketua Jabatan Syariah dan Undang-Undang, Universiti Malaya, Dr Siti Zubaidah Ismail, persoalan empat saksi tidak timbul memandangkan kes ini bukan zina memandangkan kes ini melibatkan tuduhan meliwat. Oleh yang demikian, Pendakwa dalam kes ini boleh mengemukakan seberapa ramai saksi yang tahu atau mempunyai maklumat mengenai kes ini dan ia akan dibicarakan mengikut prosedur Mahkamah Syariah.

Pendakwa juga boleh mengemukakan bukti dan ia akan dinilai sama ada kes itu wujud atau tidak. Prosesnya sama iaitu jika ada kes ia akan dibicarakan di mahkamah dan jika tiada kes bermakna tiada pendakwaan akan dilakukan. Saksi boleh terdiri daripada penguat kuasa, orang yang menangkap atau menyaksikan dan pengadu. Begitu juga dengan dakwaan fitnah di mana di Mahkamah Syariah, hakim hanya akan menganggap sesuatu fitnah adalah bohong sehinggalah ianya dibuktikan terlebih dahulu.

Manakala bukti saintifik turut boleh dikemukakan di Mahkamah Syariah. Ia diterima asalkan memenuhi syarat dan akan berfungsi sebagai bukti sokongan sahaja di mahkamah dan bukannya sebagai bukti utama dalam sesuatu kes. Oleh itu, bukti saintifik seperti DNA boleh dikemukakan kepada mahkamah dan ia perlu dikendalikan pakar dan dalam hal ini adalah tidak ditetapkan sama ada pakar itu mestilah Islam atau tidak agar perjalanan kes berjalan lancar dan adil.

Sebaliknya mengikut Seksyen 25 Akta 559 ada menyatakan mana-mana orang lelaki yang melakukan liwat adalah melakukan kesalahan dan apabila disabitkan kesalahan dia boleh didenda tidak lebih RM5,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau disebat tidak melebihi enam sebatan atau dihukum dengan mana-mana kombinasi hukuman itu. Persoalan yang timbul sekarang ialah tuduhan mana yang perlu diutamakan serta diadili oleh mahkamah terlebih dahulu iaitu sama ada berkaitan liwat atau tuduhan palsu seperti yang sedang berlangsung ketika ini.


Rujukan

Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 (Akta 559)

Empat saksi hanya untuk dakwaan zina, Berita Harian, 10 Julai 2008
Anwar minta Jawi siasat tuduhan liwat ikut qazaf, Berita Harian, 10 Julai 2008
Liwat: Anwar buat laporan qazaf, Utusan Malaysia, 10 Julai 2008

MEMBUDAYAKAN AL-QURAN DALAM KEHIDUPAN

Penganjuran Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan yang sudah masuk kali ke-51 yang hampir seusia dengan umur kemerdekaan negara membuktikan komitmen tinggi berterusan dan agenda besar kerajaan ke arah mendaulat serta menjadikan Al-Quran sebagai aset terpenting umat Islam serta menjadikannya sebahagian daripada proses transformasi negara.

Dengan tema Menjana Ummah Gemilang, kali ini seramai 27 peserta qari dan qariah dari seluruh pelosok negara menjadi duta kecil negeri masing-masing di dalam majlis tilawah kali yang dilihat cukup signifikan dan mengujakan dalam usaha kerajaan membudayakan Al-Quran di dalam kehidupan seharian serta pembangunan negara.

Jumlah kehadiran orang ramai pada malam perasmian yang mencecah hampir 10,000 orang sangat memberangsangkan dan merupakan momentum yang positif kepada penganjuran majlis tilawah kali ini. Ini juga adalah petanda baik dan kesan tarikan Al-Quran itu sendiri kepada masyarakat yang senantiasa menjadikan kitab unggul itu sebagai rujukan dan panduan hidup.

Melihat kepada pengaruh, kepentingan dan keakraban Al-Quran kepada ummah hari ini dan pada masa akan datang maka usaha dan perancangan yang sistematik serta holistik perlu disediakan dan diperkukuhkan lagi bagi memastikan wadah serta landasan perlembagaan umat Islam ini kekal relevan dan praktikal sepanjang zaman tanpa kompromi.

Pengenalan program perdana blueprint pemantapan dan pengukuhan tulisan Jawi, bahasa Arab dan Fardu Ain (J-Qaf) di sekolah rendah dan penerbitan rancangan realiti Akademi Al-Quran (AQ) serta beberapa program lagi berkaitan umpamnya adalah usaha bijak yang sangat mengagumkan dan dilihat telah mencapai objektifnya biarpun terlalu baru diperkenalkan di negara kita.

Program J-Qaf yang berusia tiga tahun telah berjaya melahirkan produk modal insan serba boleh dan mahir dalam empat perkara asas iaitu tulisan jawi, Al-Quran, bahasa Arab dan fardu ain biarpun masih berada di sekolah rendah lagi. Menariknya ialah bagaimanakah agaknya pencapaian mereka apabila generasi Al-Quran ini melangkah masuk ke sekolah menengah dan seterusnya ke peringkat yang lebih tinggi?

Sudah tentu cita-cita dan impian ibu bapa untuk melihat zuriat mereka dapat menguasai empat nilai tambah nilai dapat direalisasikan melalui program mega J-Qaf ini. Jika dahulu ibubapa terpaksa menghantar anak-anak ke sekolah aliran agama yang mungkin agak berjauhan dengan kos yang agak tinggi, namun dengan kemudahan dan peluang yang ada ini membolehkan kanak-kanak hari ini memperolehinya secara percuma.

Di samping itu kala kita dihidangkan dengan pelbagai rancangan dan siri realiti di banyak saluran televisyen yang sememang tidak mendatangkan sebarang faedah dan tumbuh umpama cendawan selepas hujan, maka kehadiran AQ sebagai rancangan realiti alternatif bagaikan orang mengantuk disorong bantal dalam keadaan kita begitu gersang dan ketandusan rancangan dan siri realiti bercorak keagamaan serta keintelektualan.

Malaysia juga dikatakan merupakan antara beberapa negara di dunia yang mengadakan rancangan realiti sedemikian yang langsung tidak bermotifkan keuntungan dan populariti sahaja. Keunikan dan kepelbagaian bentuk bacaan serta ilmu Al-Quran yang ditunjukkan oleh peserta di dalam siri AQ yang sudah masuk ke tahun ketiga diharapkan mampu melonjak minat, keprihatinan dan keseriusan kita kepada Al-Quran sepanjang masa.

Tambahan pula dalam keadaan dunia yang serba mencabar dan tanpa sempadan ini, kita sepatutnya perlu memperbanyak dan mempertingkatkan lagi produk realiti dan aktiviti teras bagi memperkasakan Al-Quran di dalam misi masyarakat serta memastikan segala ajaran yang terkandung di dalamnya dapat dipraktikkan semaksimanya. Ini adalah kerana Al-Quran yang sangat komprehensif perlu dibaca, difahami, dihayati dan diterjemahkan di dalam realiti kehidupan seharian kita.