Thursday, August 28, 2008

HALA TUJU GENERASI MUDA PERTAHAN KEMERDEKAAN

Menuntut kemerdekaan bukanlah sesuatu yang mudah seperti mana yang seringkali digambarkan memandangkan ianya perlu kepada perjuangan sejati, bermandikan darah dan keringat para pejuang nenek moyang kita sejak zaman berzaman. Namun begitu, mengekalkan kemerdekaan juga amat payah dan mencabar kerana turut memerlukan siri pengorbanan yang berpanjangan dan berterusan. Justeru peranan generasi muda dalam perkara ini begitu penting bagi memastikan nikmat kemerdekaan yang dikecapi dan dinikmati hari berkekalan dan menjadi amanah yang merupakan kewajipan yang perlu dipertahankan.

Tahun ini genaplah 51 tahun negara menyambut ulangtahun kemerdekaan setelah hampir 500 tahun berada di bawah cengkaman penjajah Barat dan Timur. Dalam erti kata lain, penjajahan yang berlaku adalah dalam jangka masa yang panjang dan dalam banyak keadaan, boleh meruntuhkan sesebuah tamadun material dan kemanusiaan yang lama terbina. Sejarah telah membuktikan apabila sesebuah negara atau bangsa yang lama dijajah dan diperbudakkan hanya akan melahirkan generasi modal insan yang lemah, mundur dan tertinggal di belakang sepertimana yang berlaku di sebahagian besar negara Afrika dan sebagainya.

Namun begitu, kita bertuah kerana memiliki generasi nenek moyang yang kental dalam perjuangan dan pengorbanan sejati mereka kepada agama, nusa dan bangsa. Apa yang dilakukan mereka selama ini demi survival anak cucu mereka sememangnya tiada nilai dan tandingannya biarpun dibayar dengan harga segunung emas dan permata kepada jasa serta sumbangan mereka. Mereka telah mempergadai dan memperjudikan segala harta, keringat, air mata, maruah, harga diri dan tenaga mereka melawan penjajah demi memastikan generasi di belakang mereka dapat merasai nikmat kemerdekaan yang tidak dinikmati mereka ketika itu.

Hasilnya hari ini kita dapat hidup dengan bebas dan merdeka serta kembali menjadi tuan di negara sendiri. Kita bebas membangunkan negara dengan cara kita sendiri dan berusaha memperkasakan agenda bangsa dan agama di tanah tumpah darah kita selamanya. Anugerah ini sangat tinggi nilainya dan tidak boleh dipersiakan begitu sahaja atau diambil mudah oleh generasi hari ini. Kemerdekaan yang dinikmati juga membolehkan negara dan rakyat Malaysia kini setanding dengan negara lain sama ada dalam bidang pendidikan, teknologi, politik, ekonomi dan sebagainya sejak kita mencapai kemerdekaan.

Oleh yang demikian, generasi muda hari ini yang merupakan pewaris kepada generasi terdahulu perlulah bersyukur dan berterima kasih dengan segala pengorbanan dan nikmat kemerdekaan yang dinikmati. Mereka mempunyai tugas dan amanah besar untuk meletakkan negara pada landasan yang betul dan menjadikannya dihormati masyarakat dunia lain serta memastikan nikmat keamanan, keadilan dan kemakmuran yang dikecapi hari ini berterusan. Perlu diingatkan bahawa nikmat kemerdekaan yang sedang dirasai bukanlah bersifat kekal dan negara boleh dijajah semula dalam pelbagai bentuk sama ada secara ekonomi, pemikiran, budaya, hiburan dan sebagainya jika generasi muda yang ada hari ini lemah, leka dan tidak bersedia yang cabaran yang bakal mendatang.

Untuk itu, mereka mestilah membuat dan mempunyai persediaan yang secukupnya dalam menghadapi segala kemungkinan yang akan berlaku. Ini adalah kerana menurut pemikir dan ulama terkenal Dr. Yusuf Qardhawi generasi muda merupakan perbendaharaan yang sangat berharga dan mereka adalah entiti yang amat penting ketika zaman awal perkembangan Islam sehinggalah ke hari ini. Dalam tulisan beliau yang cukup terkenal beliau menukilkan "Sebaik-baik anugerah daripada manusia ialah zaman muda atau belianya. Ini kerana, zaman belia ialah zaman produktif, zaman membangun dan membina." Generasi muda hari ini juga menjadi tulang belakang dan jentera penting mengangkat syiar Islam ke serata dunia. Oleh itu, mereka tidak boleh lalai dan alpa dengan perkara yang sia-sia kerana terlalu banyak yang perlu dilakukan memandangkan mereka juga adalah aset serta pelaburan jangka panjang utama kepada negara.

Sehubungan itu, generasi muda perlu mendukung cita-cita dan bertanggungjawab merealisasikan cita-cita dan impian agama, negara dan bangsa. Terlalu banyak contoh-contoh di dalam Al-Quran yang menampilkan peranan golongan muda seperti kisah tujuh Pemuda Al-Kahfi yang komited mempertahankan akidah mereka, kehebatan nabi Yusuf a.s yang adil sebagai pemerintah, contoh kebijaksanaan nabi Daud dalam peperangan dan sebagainya. Kewibawaan para sahabat dari kalangan generasi muda nabi Muhammad s.a.w seperti Ali, Usamah, Zaid, Huzaifah, Khalid dan ramai lagi adalah contoh dan model anak muda yang begitu mengagumkan dalam kehidupan mereka sehingga diangkat sebagai generasi al-Quran yang unik.

Menurut Dr. Yusof Al Qaradhawi lagi dalam buku beliau bahawa “Apabila kita hendak melihat wajah negara pada masa hadapan, lihatlah generasi mudanya pada hari ini, sekiranya golongan muda pada hari ini adalah dari kalangan yang berakhlak dan berhemah tinggi, tentunya negara kita akan datang adalah sebuah negara yang aman makmur ‘ baldatun tayyibatun wa rabbun ghafur’ tetapi jika keadaan adalah sebaliknya maka bersedialah untuk berhadapan dengan kemungkinan buruk yang akan berlaku”. Manakala seorang pemikir dan penyair terkenal Islam, Ahmad Syauqi pernah bermadah bahawa “Sesungguhnya sesuatu bangsa itu kuat dan hebat kerana akhlaknya, jika rosak akhlak itu maka bangsa itu akan lenyap dan hilang”.

ULAMA MERINTIS PROSES KEMERDEKAAN

Sejarah mengakui peranan ulama, tokoh agama dan pemikir Islam dahulu menjadi pengerak dan perintis utama menentang penjajah dan memandu masyarakat ketika itu untuk menuntut kemerdekaan. Semangat dan aspirasi ini bangkit ekoran ledakan maklumat terutamanya penulisan dan gerakan anti penjajah yang berlaku di Timur Tengah yang mana kebanyakan golongan agama mendapat pendidikan tinggi mereka di sana serta terpengaruh dengan idea pemulihan Islam yang dibawa oleh reformis Sayid Jamaluddin al-Afghani dan Sheikh Muhammad Abduh dan pengaruh ini dibawa pulang bersama di tanahair untuk dikembangkan.


Golongan agama ini melaksanakan tugas mereka secara bijaksana di mana di samping giat menyebarkan dakwah kepada masyarakat dan dalam masa yang sama meniupkan semangat kemerdekaan dan menimbulkan kesedaran melawan penjajah ketika itu. Ini banyak dilakukan melalui kegiatan penulisan yang berkembang subur sejak 1906 lagi apabila surat khabar Al-Imam diterbitkan, menjadi akhbar yang julung kali diterbitkan untuk menyeru kesedaran Islam sejagat.


Jika dilihat sepanjang era tahun 1906 hingga 1942, catatan sejarah membuktikan wujudnya perjuangan golongan agama bangun menyedarkan masyarakat Melayu melalui penubuhan sekolah atau madarasah dan pondok yang begitu banyak di seluruh negara serta melalui wadah surat khabar, majalah, aktiviti penulisan kitab, penterjemahan dan sebagainya dalam proses menyalakan obor dan semangat kesedaran orang Melayu menuntut kemerdekaan dari penjajah. Gerakan Islah atau Gerakan Pemulihan Islam ini turut menimbulkan kesedaran di kalangan intelektual Melayu ketika itu.


Nama besar seperti ilmuan dan intelektual Islam terkenal Syed Sheikh Al-Hadi, Sheikh Tahir Jalaluddin, Pendita Za’ba, Dr Burhanuddin al-Helmy, Haji Abas Taha, Ustaz Abu Bakar Bakir, Dr Zulkifli Mohamad, Haji Ahmad Fuad dan datuk Perdana Menteri sendiri iaitu Haji Abdullah Fahim cukup berpengaruh ketika itu di samping ramai lagi tokoh awal pejuang kemerdekaan di kalangan ahli agama yang merupakan antara golongan terawal memulakan gelombang pertama meniupkan semangat kemerdekaan. Korpus pemikiran yang dibina mereka juga telah melahirkan idea dan fikiran, kritikan serta nasihat bagi memajukan masyarakat Melayu untuk bangkit menuju kejayaan dan membina tamadun umat Islam yang unggul.


Mereka telah menyemarakkan kegiatan penulisan intelektual, aktif membasmi buta huruf, merapatkan jurang perbezaan jantina dalam pendidikan, konsisten mengkaji tabiat masyarakat ketika itu serta menerbitkan pelbagai bahan bacaan yang cukup berkesan, informatif dan berjaya menarik perhatian serta minat masyarakat seperti Pengasuh, Qalam, Neracha, Ikhwan dan sebagainya untuk memahami Islam secara syumul dan tidak berlandaskan bidaah atau karut marut dalam agama. Ketika itu sumber bacaan dan pengajian kuliah di institusi agama menjadi mekanisme dan alternatif sebagai salah satu medium untuk memberi kesedaran kepada masyarakat Melayu tentang apa yang berlaku di dalam dan luar negara.


Melihat pengaruh golongan agama dan institusi ulama ketika itu semakin mendapat dokongan rakyat, memaksa pihak British cuba menimbulkan pelbagai fitnah dengan melabelkan golongan ini sebagai radikal, penentang dan sebagainya di samping melaksanakan serangan minda dengan mengubah persepsi masyarakat agar menafikan peranan ulama serta menganggap hanya golongan nasionalis dan berhaluan kiri sahaja berperanan dalam kebangkitan kemerdekaan negara. Biarpun begitu, setelah negara mencapai kemerdekaan pada 1957, golongan agama dan institusi yang cukup berpengaruh ini tidak pernah disisih atau dipinggirkan di mana pengorbanan mereka tetap diiktiraf dan fungsi serta peranan mereka dalam memajukan agenda agama, bangsa dan negara terus berlaku sehinggalah ke hari ini.


Rujukan

Ramlah Adam, 2004. Gerakan Radikalisme di Malaysia. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka

Monday, August 11, 2008

WAKAF MEKANISME ADIL EKONOMI ISLAM

Wakaf diiktiraf sebagai salah satu sistem ekonomi alternatif dan mekanisme penting dalam struktur ekonomi Islam dalam proses pembangunan berasaskan kesaksamaan dan keadilan. Wakaf yang diuruskan secara professional dan sistematik berperanan mengagihkan kekayaan dan dalam masa yang sama mampu mengurangkan liabiliti yang terpaksa ditanggung oleh sesebuah kerajaan melalui pentadbiran dan pengurusan yang cekap di samping menyokong kekuatan dan kestabilan ekonomi di kalangan masyarakat Islam.

Sehubungan itu, harta atau tanah wakaf perlulah dibangun dan dikembangkan bagi tujuan kepentingan awam seperti dalam sektor kesihatan, pendidikan, pertanian, perindustrian, perladangan, hartanah dan pembinaan selain projek seperti masjid, baitul mal, rumah perlindungan dan anak yatim dan sebagainya. Persepsi bahawa hartanah wakaf hanyalah khusus untuk tujuan pembinaan masjid dan kubur sahaja perlulah dikikis dalam pemikiran masyarakat melihat kepada sumbangan dan pengertian wakaf secara menyeluruh.

Reformasi wakaf yang telah dilaksanakan oleh beberapa institusi wakaf negara melalui agihan harta dan saham telah mendapat pengiktirafan dunia dan telah diketengahkan sehinggakan ke peringkat global. Contoh terbaik ialah inisiatif bijak yang dilaksanakan oleh Johor Corporation (JCorp) dan perkara ini telah direkod dan diiktiraf dalam Journal Harvard Business School Universiti Harvard yang cukup terkenal untuk rujukan dan panduan masyarakat antarabangsa.

Sinergi terbaru wakaf yang dilaksanakan oleh JCorp ini dilaksanakan dengan mewakafkan RM200 juta asetnya pada Ogos 2006 diikuti dengan RM50 juta pada tahun lalu dan terbukti memberi keuntungan kepada syarikat dengan mempelbagaikan cabang perniagaan menerusi anak syarikat dan mewujudkan perniagaan usahawan dalaman syarikat. Konsep dan pembaharuan ini diharapkan bukan sahaja dapat dirujuk oleh negara-negara Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) sahaja untuk dipraktikkan malahan juga untuk rujukan dan perlaksanaan masyarakat antarabangsa.

Sejak dahulu lagi, institusi wakaf telah berperanan dengan cukup berkesan dalam usaha membasmi kemiskinan dan meningkatkan lagi tahap sosioekonomi masyarakat Islam melalui pembangunan dan pengurusan harta wakaf yang efektif. Bagi Malaysia dan beberapa negara Islam lain, sistem wakaf merupakan cara dan agenda terbaik melonjakkan kemajuan ummah termasuk merapatkan jurang antara golongan kaya dan miskin sama ada di dalam mahu pun luar negara. Keadaan ini mampu mengimbangi sistem ekonomi kapitalis konvensional yang sedang menguasai landskap dan struktur ekonomi global hari ini.

Oleh demikian, aset tanah wakaf yang dilaporkan masih terbiar seluas 9,907 hektar dengan nilai lebih RM1.2 bilion di seluruh negara tidak boleh diabaikan begitu sahaja dan wajar dibangunkan segera melalui projek pembangunan secara berperingkat dalam tempoh Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9). Ini adalah kerana pembangunan tanah wakaf akan memberi manfaat yang sangat besar kepada kebajikan umat Islam khususnya dalam menjana ekonomi dan sosial masyarakat termasuklah pengagihan kekayaan yang adil.

Untuk itu, pembangunan, pembaharuan dan penjenamaan semula institusi wakaf oleh pelbagai pihak terutamanya badan bukan kerajaan (NGO) dan sektor swasta dalam negara diharapkan akan menyediakan peluang pekerjaan yang banyak kepada rakyat dan memberi keselesaan serta kemudahan untuk kegunaan umum dan pada masa yang sama mengurangkan perbelanjaan kerajaan ketika berhadapan dengan krisis ekonomi global. Dengan fundamental kelembapan ekonomi hari ini, maka wakaf dilihat mampu berperanan menangani masalah ini.


RUJUKAN

Lebih 9,000 hektar tanah wakaf terbiar dibangunkan, Utusan Malaysia, 12 Ogos 2008
Jadikan wakaf JCorp kajian kes global, Utusan Malaysia, 12 Ogos 2008
Basmi kemiskinan menerusi wakaf - Abdullah, Utusan Malaysia, 12 Ogos 2008
Wakaf cara adil ganti kapitalis, Berita Harian, 12 Ogos 2008

Sunday, August 10, 2008

ITM BENTENG TERAKHIR BIJAK PANDAI MELAYU

Cadangan agar Universiti Teknologi MARA (UiTM) dibuka kepada bukan Melayu dengan peruntukan tempat sehingga sepuluh peratus adalah langkah terkebelakang dan cubaan untuk mencabar satu lagi antara hak keistimewaan Melayu. Kontrak sosial yang telah sekian lama terbina dan dipersetujui sejak penubuhannya pada tahun 1956 perlu dihormati dan dipertahankan sehingga ke titisan darah yang terakhir.

Dalam hal yang melibatkan hak dan keistimewaan orang Melayu dan Bumiputra lain, sebarang kompromi tidak diperlukan. Ini adalah kerana UiTM adalah benteng terakhir institusi bijak pandai Melayu di negara kita di mana sejak sekian lama telah melahirkan ribuan jurutera, peguam, arkitek, akauntan dan lain-lain lagi termasuklah ramai di kalangan menteri kabinet yang ada sekarang adalah graduan dan anak didik institusi keramat umat Melayu ini.

Cadangan untuk membawa masuk bukan Melayu ke UiTM sebenarnya bukanlah perkara baru bahkan usaha ke arah itu telah bermula sebelum ini lagi. Desakan agar UiTM membuka pintu kepada bukan Melayu kini giat dilakukan oleh golongan bukan Melayu dan orang Melayu sendiri yang tidak sensitif terhadap masa hadapan serta nasib bangsanya dan tindakan ini sangat menyedihkan di samping membelakangkan falsafah serta objektif awal penubuhan UiTM selama 52 tahun dahulu.

Dengan memberi alasan bahawa 10 peratus daripada jumlah semasa kuota pelajar di UiTM dibuka kepada bukan bumiputera serta pelajar asing akan dapat mempertingkatkan lagi kualiti pendidikan dan persaingan di kalangan pelajarnya serta dianggapnya sebagai wajar dan tepat dengan usaha UiTM yang mahu melahirkan pelajar daripada golongan Melayu dan bumiputera yang lebih berdaya saing adalah alasan yang sangat bebal dan tidak bertanggungjawab memandangkan UiTM bukanlah baru sepuluh atau dua puluh tahun ditubuhkan.

Sesiapa sahaja boleh memberi seribu alasan untuk membuka pintu UiTM kepada bukan Melayu, namun apa yang pasti ialah cadangan dan saranan berkenaan bolehlah disifatkan sebagai satu perangkap intelektual untuk menggadaikan keistimewaan yang telah diberikan kepada kaum Melayu dan bumiputera yang jelas membuktikan wujudnya kelompok yang memandang rendah dan tidak lagi menghormati apa yang telah ditetapkan oleh Perlembagaan jika perkara ini dituruti.

Monday, August 04, 2008

RASUAH POLITIK, POLITIK WANG...MUSUH POLITIK NO. 1

Rasuah politik, politik wang atau apa jua istilah yang seangkatan dengannya adalah amat menjijikkan dan jika amalan buruk ini dibenarkan terus berlaku boleh memberi kesan yang amat negatif kepada bangsa dan negara. Dalam apa jua keadaan sekali pun, rasuah tidak boleh sama sekali dibiarkan berleluasa dan pelakunya mestilah dihadapkan ke muka pengadilan untuk diadili.

Realiti rasuah politik yang sedang berlaku di dalam pemilihan parti ketika ini dilihat sangat membimbangkan semua pihak lebih-lebih lagi masalah sosial ini semakin merebak sehinggalah ke peringkat akar umbi dan pembuat dasar parti. Gambaran yang ditunjukkan dalam beberapa laporan dan kenyataan media baru-baru menunjukkan amalan rasuah politik semakin menjadi-jadi dan seolah-olah tidak terkawal.

Amalan rasuah yang merupakan musuh nombor satu parti politik, jika dibiarkan terus bermaharajalela boleh menjahanamkan sesebuah institusi politik yang telah lama terbina. Ini adalah kerana rasuah seumpama anai-anai yang memakan sedikit demi sedikit binaan konkrit yang akhirnya akan meruntuhkan sesebuah bangunan tersebut tanpa kita sedari. Ketika itu usaha memperbaikinya sudah terlambat dan ketinggalan.

Gejala politik wang yang semakin mengganas ini mudah merebak apabila ahli dan parti politik lemah serta terlalu mengejar imbuhan materialistik. Melalui landasan rasuah yang parah, jika dipandang ringan akan melahirkan generasi pemimpin yang mundur, tidak berkualiti, kurang karisma dan bermata duitan. Jentera wang akan digunakan secara sewewenangnya untuk mengejar jawatan, membeli pengaruh dan akhirnya mewujudkan sebuah kepimpinan atau kerajaan yang korup.

Tambahan pula, keburukan dan kejelekan rasuah hanya akan menyekat hak serta potensi pemimpin yang berwibawa serta bersih untuk naik ke atas dan memberi perkhidmatan politik yang terbaik kepada parti serta ahli. Pemimpin atau ahli politik yang tidak berduit dan hanya berbekalkan semangat, keikhlasan dan rela berkorban ini akan menjadi mangsa keadaan kepada kerakusan pelaku politik rasuah yang kejam dan tidak berperikemanuasiaan.

Pemimpin yang jujur dan amanah juga akan tertinggal di belakang atau dipancung karier politiknya seawal pemilihan di peringkat cawangan lagi jika masyarakat politik sudah hilang pertimbangan dalam memilih antara permata dan kaca, serta mengutamakan kebendaan dan habuan daripada kualiti kepimpinan yang mulia. Apabila politik wang terus berkuasa dan berakar umbi maka saat kehancuran pasti akan menimpa sesebuah parti yang leka dan alpa.

Ini adalah kerana survival sesebuah parti politik bergantung kepada tahap, prestasi dan asas kepimpinan yang tinggi, produktif, relevan dan setia berpegang teguh kepada perjuangan asal serta terus berada di landasan yang betul. Oleh yang demikian, amat menakutkan jika institusi politik boleh tumbang dengan asakan dan pukulan rasuah politik yang semakin membarah dan merebak di dalam arena politik di negara kita.

Dlam perkembangan semasa penahanan seorang bakal Ketua Bahagian di Negeri Sembilan di bawah Akta Pencegahan Rasuah 1997 ketika memberi sogokan RM500 kepada ahli bahagian berkenaan untuk mengundinya kena pada masanya dan perlu digiatkan lagi usaha murni berkenaan. Penahanan Naib Ketua bahagian itu adalah kes pertama dakwaan politik wang membabitkan calon bertanding bagi pemilihan kali ini.

Sehubungan itu, semua parti politik diminta mengemukakan maklumat dan bukti yang kukuh dan bukan sekadar surat layang berhubung dakwaan politik wang pada mesyuarat cawangan dan bahagian yang telah, sedang dan akan berlangsung bagi memudahkan siasatan Badan Pencegah Rasuah (BPR). Laporan yang diterima BPR setakat ini menunjukkan gejala rasuah memang berlaku dalam pemilihan parti walaupun bilangannya kecil.


RUJUKAN

‘Rasuah memang berlaku’, Berita Harian, 5 Ogos 2008
‘Ahli, pemimpin jangan terjebak rasuah politik’, Berita Harian, 5 Ogos 2008

ANCAMAN SIBER DAN PEMANTAPAN UNDANG-UNDANG

Dunia siber kini telah menjadi sebahagian daripada kehidupan manusia moden. Jika suatu masa dahulu kita hanya mengenali dan didedahkan dengan realiti alam siber di kaca televisyen dan layar perak sahaja melalui imaginasi dan fantasi filem dan drama fiksyen. Namun kini kita sedang berada di alam siber yang sebenar sepertimana yang sedang dilalui ketika ini sama ada kita sedar ataupun tidak.

Dunia siber yang masih baru ini menjadi semakin penting dalam segala aspek dan merupakan fenomena yang sedang melanda tatacara serta susun atur kehidupan manusia moden. Keadaan ini memerlukan alam siber yang penuh cabaran ini perlu dikawal, diatur dan dipantau secara konsisten melalui sistem dan perancangan yang komprehensif. Ini adalah kerana alam siber mampu meninggalkan kesan yang positif dan negatif kepada sesebuah negara dan rakyat. Pendekatan kerajaan, sikap rakyat dan sokongan perundangan sangat penting disinergikan bagi memastikan alam siber memberikan manfaat yang besar kepada pembangunan dan bukannya digunakan sebagai medan untuk meruntuhkannya.

Sehubungan itu, amaran akan musibah, bahaya dan ancaman siber baru-baru ini tidak boleh dipandang ringan. Ini kerana dalam dunia tanpa sempadan dan kawalan, sesiapa sahaja sama ada individu atau kumpulan dengan mudah bertindak menceroboh dan melakukan segala macam kerosakan serta kemusnahan kepada sesebuah masyarakat moden dan negara jika kita gagal dan cuai membendungnya.

Kesan dan akibatnya juga boleh membawa mudarat dan kemusnahan kepada kehidupan di muka bumi ini walaupun seseorang yang berniat jahat itu berada jauh beribu-ribu kilometer dari tempat sasaran iaitu dengan hanya semudah memetik butang komputer atau apa sahaja peralatan yang berkaitan dengannya. Dengan inovasi dan teknologi terhadapan hari ini yang semakin canggih dan sofistikated, segalanya boleh dilakukan dengan mudah di alam siber ini sama ada untuk tujuan kebaikan dan keburukan.

Transformasi siber menjadikan perhubungan dunia menjadi bertambah mudah dan pantas sekelip mata di mana segala urusan kehidupan berada di dalam satu sistem yang cukup sempurna dan teratur. Internet umpamanya adalah pelengkap kepada alam siber dan menjadikannya medium paling berpengaruh dan cukup mustahak kepada kehidupan manusia hari ini. Malaysia sebagai sebuah kerajaan elektronik (e-kerajaan) dalam hal ini tidak pernah ketinggalan dan dengan sokongan politik yang cukup kuat, kemudahan siber diaplikasikan hampir dalam segala bidang sama ada urusan berkaitan perkhidmatan awam, perbankan, perhubungan dalam dan luar negara, pendidikan, komunikasi dan sebagainya.

Namun begitu, semua perlulah berwaspada dengan ancaman jenayah siber yang semakin berleluasa dan mampu membawa padah yang sangat besar jika disalahguna sehingga boleh meruntuhkan sistem ekonomi, prasarana dan institusi serta menyebabkan kecederaan atau maut kepada orang ramai. Ancaman siber seperti spamming, pembiakan dan penyebaran virus, pengodam maya, e-mail bombing, penggunaan kata laluan orang lain, menipu, penyebaran bahan lucah, skim cepat kaya dan piramid, judi siber, penipuan kad kredit, peras ugut, pengintipan industri, pelaburan haram dan sebagainya juga mampu merosakkan sistem dan infrastruktur negara yang impaknya boleh mengakibatkan kematian, kecederaan manusia selain mampu melumpuhkan sistem ekonomi, sosial dan politik sesebuah negara.

Semakin tinggi kebergantungan dan hubungan sesebuah negara dan rakyat terhadap internet, semakin ia terdedah kepada ancaman siber. Amerika Syarikat (AS), Jepun, Eropah dan lain-lain yang menjadi peneraju dan peneroka alam siber tidak terlepas daripada ancaman ini. Antara serangan siber yang paling dahsyat yang pernah dilaporkan ialah beberapa percubaan mengakses sistem syarikat dan agensi kritikal di AS seperti Pentagon, NASA dan sebagainya.

Serangan selama dua tahun yang bermula pada tahun 2003 itu turut dikenali sebagai ‘Titan Rain’ dan dikatakan dilakukan oleh pihak musuh yang ingin mendapatkan maklumat perisikan negara tersebut. Keadaan ini menjadikan pentadbiran dan keselamatan AS menjadi kelam kabut serta pelbagai langkah dilaksanakan bagi mengelak kejadian sama berulang. Sehingga kini negara siber itu senantiasa berusaha mewujudkan sistem pertahanan dan kawalan yang cukup hebat bagi berhadapan dengan segala kemungkinan.

Serangan dan pencerobohan yang sama turut berlaku di Estonia yang maju dalam bidang teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) di Eropah, banyak bergantung kepada aplikasi ICT dalam operasi kerajaannya sangat menakutkan semua pihak. Negara itu telah mengalami ancaman siber dalam bentuk tiga siri gelombang serangan siber yang serius selama tiga minggu berturut-turut. Kejadian yang dikenali sebagai ‘Perang Siber Estonian’ pada tahun 2007 itu telah menyebabkan loji rawatan air di negara itu terpaksa ditutup, sistem perbankannya tergendala dan laman web agensi kerajaannya diubah.

Kejadian itu telah menyedarkan banyak negara di seluruh dunia terutamanya pihak yang terlibat secara langsung dalam perancangan pertahanan dalam sistem pertahanan siber masing-masing. Ini kerana mana-mana negara yang tidak mempunyai sistem perlindungan yang baik mudah terdedah kepada ancaman siber. Jika salah perancangan, ancaman siber secara langsung dan tidak langsung boleh menjatuhkan sesebuah kerajaan dan meruntuhkan negara dalam masa yang sangat singkat.

Kerajaan Malaysia setakat ini melalui perancangan dan plan yang disediakan, komited mengawasi dan menjaga ruang lingkup siber negara daripada diceroboh dan dirosakkan oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab. Kerajaan juga sentiasa memantau dan mengawal perkembangan laman-laman web dan blog menerusi Pusat Keselamatan Siber Nasional (PKSN) dan buat masa ini, perkhidmatan bank, air dan keselamatan umpamanya terikat dengan teknologi maklumat (IT) global.

Lanjutan dari itu, langkah Malaysia menubuhkan Sekretariat Perkongsian Multilateral Antarabangsa Menentang Keganasan Siber (IMPACT) di Cyberjaya melalui peruntukan sebanyak AS$13 juta (RM42.2juta) adalah langkah tepat kerana ancaman siber mempunyai pelbagai bentuk dan sukar diramal. Melalui pakatan strategik, kesungguhan agensi-agensi kerajaan dan swasta yang terlibat dalam bidang keselamatan siber dari pelbagai negara boleh bertukar-tukar pengalaman dan berkongsi kemahiran untuk melindungi ruang siber masing-masing.

Kehadiran rakan kongsi Impact seperti F-Secure, Kaspersky Labs, Symantec Corporation dan Trend Micro bakal menyediakan peluang yang antara lainnya dalam bentuk latihan, penyelidikan dan pembangunan, dasar serta rangka kerja kawal selia. Menerusi kemudahan yang dirancangkan, Impact akan melaksanakan empat kegiatan teras iaitu maklum balas global; dasar dan kawal selia; latihan dan pembangunan; persijilan keselamatan, pembangunan dan penyelidikan di mana Impact setakat ini sudah membangunkan dua sistem teras untuk manfaat semua ahlinya, iaitu Sistem Amaran Awal (EWS) dan Platform Kerjasama Terjamin (GCP).

Di samping itu, sistem perundangan siber negara juga perlu dimantap lagi dan meluaskan skopnya seiring dengan situasi semasa. Malaysia sebenarnya adalah antara negara pertama di dunia yang memperkenalkan undang-undang siber yang komprehensif seiring dengan perkembangan pesat Koridor Raya Multimedia (MSC) negara seperti Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, Akta Jenayah Komputer 1997, Akta Tandatangan Digital 1997, Akta Teleperubatan 1997, pindaan Akta Hak Cipta 1997 dan Akta Aktiviti Kerajaan Elektronik 2007.

Akta Tandatangan Digital 1997 misalnya memudahkan perdagangan elektronik (e-dagang) sebagai satu kaedah operasi dan bagi memantau tandatangan digital yang dibuat di dalam setiap transaksi elektronik. Seksyen 62 Akta berkenaan memperuntukkan denda tidak melebihi RM 100,000.00 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi 2 tahun atau kedua-duanya bagi kesalahan berkaitan tandatangan digital, manakala Seksyen 72 pula memantau aktiviti membuka rahsia maklumat yang diperolehi di bawah akta ini di samping Tanggungjawab Kerahsiaan dalam setiap aktiviti dan urusan.

Manakala Akta Aktiviti Kerajaan Elektronik 2007 menyediakan peruntukan pengiktirafan undang-undang sesuatu mesej elektronik dalam segala urusan antara kerajaan dengan orang awam, penggunaan mesej elektronik sesuatu maklumat yang dihasilkan, dihantar, diterima atau disimpan melalui cara elektronik untuk memenuhi kehendak undang-undang dan untuk membolehkan dan memudahkan urusan itu melalui penggunaan cara elektronik dan perkara-perkara lain yang berkaitan dengannya.

Akta Teleperubatan 1997 pula mengawal selia aktiviti teleperubatan di negara kita. Ketika Sukan Komanwel 1998, perkhidmatan perubatan dan teleperubatan telah dihubungkan kepada pusat perubatan di Amerika Syarikat dan Britain untuk mendapatkan nasihat pakar ke atas diagnosis dan rawatan atlit-atlit dan pelawat-pelawat. Kaedah ini juga membolehkan doktor menghantar fail-fail pesakit atau dokumen yang berkaitan seperti X-ray dan imbasan ECG secara elektronik, dan membenarkan interaksi bersemuka antara doktor dan pesakit.

Teknologi maklumat yang hebat dan canggih ini mewujudkan perhubungan pintar antara hospital di rantau ini serta di seluruh dunia yang membolehkan kepakaran doktor di seluruh dunia dapat dikongsi oleh doktor tempatan. Akta ini juga memperuntukan peraturan dan kawalan ketat ke atas amalan teleperubatan seperti kerahsiaan maklumat pesakit dan keperluan pengamal perubatan mendapatkan kebenaran daripada pesakit sebelum teleperubatan diamalkan. Menurut Seksyen 3 Akta ini, bagi sesiapa yang melanggar aturan teleperubatan walaupun mengamalkan teleperubatan dari luar Malaysia boleh didenda tidak melebihi RM 500,000.00 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.

Di samping itu, memandangkan Malaysia tidak terkecuali dan terlepas dengan jenayah dan ancaman siber maka Akta Jenayah Komputer 1997 wujud untuk mengimbangi perkara berkenaan. Akta ini digunakan terhadap sesiapa sahaja tanpa mengira kewarganegaraan seseorang dan kesalahan di bawah akta ini boleh berlaku di mana-mana sahaja tidak kira samada di dalam atau di luar Malaysia asalkan ia melibatkan komputer yang berada di Malaysia.

Akta sedia ada sebenarnya masih belum mencukupi menyekat kegiatan jenayah berkaitan ICT dan siber. Walaupun perundangan siber di negara di Malaysia diakui ramai sebagai yang paling menyeluruh, namun keberkesanannya masih belum teruji sepenuhnya memandangkan kes jenayah siber yang serius dibawa dan didakwa di mahkamah masih kurang. Walaupun keadaan ini turut berlaku di kebanyakan negara memandangkan undang-undang ini masih baru, hanya di Eropah sahaja yang dilihat sedikit ke hadapan dalam bidang ini kerana mempunyai protokol-protokol tertentu yang ditetapkan.

Malaysia juga perlu memperkasa undang-undang siber yang diguna pakai di negara ini dengan merumuskan lebih banyak peruntukan bagi membendung atau menghukum pesalah jenayah itu untuk memastikan sektor ICT mampu terus berkembang pesat. Penyelaraskan undang-undang siber dan transaksi elektronik perlu sejajar dengan perkembangan terkini dalam perdagangan elektronik (e-dagang). Biarpun begitu, dari segi perlindungan pengganas, Malaysia antara negara pertama memperkenalkan kad pengenalan pintar yang membolehkan pihak penguat kuasa mendapatkan maklumat pembawa kad dengan cepat dan tepat.

Sesebuah negara yang bertindak bersendirian tidak mungkin dapat mengelak daripada berdepan ancaman serangan siber. Memandangkan jaringan Internet boleh melangkaui sempadan tanpa mengira negara dan negeri hingga menyebabkan dunia terdedah dengan ancaman siber, mahu tidak mahu semua pihak perlu bekerjasama. Oleh yang demikian, pihak kerajaan, swasta, golongan akademik, pakar dan individu, kita perlu berganding bahu melindungi sistem kita daripada terus menerima ancaman siber.

Malaysia juga patut melabur lebih banyak dalam penguatkuasaan undang-undang jenayah siber dan kerajaan perlu tegas dalam menghukum pesalah yang menjadikan dunia siber sebagai medan untuk melakukan jenayah dan aktiviti menyalahi undang-undang negara. September tahun lalu, dilaporkan Britain akan mengenakan denda sehingga 1,000 pound (RM7,000) terhadap ibu bapa 'pembuli siber' atau pelajar yang terbabit mengancam rakan mereka menerusi telefon bimbit, e-mel, khidmat pesanan ringkas (SMS) dan laman web sosial. Selain didenda, ibu bapa terbabit juga diarahkan mengawal tindak tanduk anak atau mereka sebaliknya akan diwajibkan menghadiri kelas keibubapaan serta dihadapkan ke mahkamah atas kesalahan jenayah wajar dicontohi Malaysia.

Di samping itu, cadangan untuk mewujudkan Mahkamah Keadilan Siber sejak tahun 1997 lalu perlu direalisasikan segera bagi menangani persoalan semasa dan segala undang-undang yang berkaitan dengan siber di samping menjadi tempat rujukan antarabangsa dalam menangani pelbagai isu siber berikutan cabaran, penyalahgunaan dan gejala negatif berkaitan siber semakin kompleks serta sukar ditangani. Untuk itu, peguam dan pengamal undang-undang di negara ini perlu bersedia mendalami pengetahuan mengenai siber bagi memastikan mereka mampu mengendalikan kes berkaitan jika Mahkamah Keadilan Siber ditubuhkan kelak.


RUJUKAN

Mohd Safar Hasim. 2002. Mengenali Undang-Undang Media dan Siber. Kuala Lumpur.
Utusan Publications and Distributors.
Pakatan kerajaan-swasta lindungi ruang siber, Utusan Malaysia, 21 Mei 2008
Jangan pandang rendah ancaman siber, Utusan Malaysia, 21 Mei 2008
Kerajaan, rakyat kena perangi jenayah siber, Berita Harian, 21 Mei 2008
Malaysia perlu perkasa undang-undang siber, Berita Harian, 13 Disember 2007
Kerajaan ambil tindakan laman web ancam perpaduan, Utusan Malaysia, 1 Ogos 2006

Saturday, August 02, 2008

CABARAN REMAJA HARI INI

Remaja hari ini berhadapan dengan cabaran hidup yang semakin rencam dan menakutkan berbanding kehidupan yang dilalui oleh ibubapa mereka. Peredaran dan perubahan zaman yang semakin cepat menjadikan trend dan kehendak remaja masa kini berbeza-beza serta pelbagai. Apa yang berlaku di Barat umpamanya dengan mudah merebak ke seluruh dunia dengan kecanggihan dan teknologi yang ada hari ini seperti internet, kemudahan ICT dan sebagainya. Keadaan ini menimbulkan kebimbangan kepada banyak pihak kerana globalisasi menjadikan dunia semakin kecil dan segala kemungkinan boleh berlaku jika tidak dipantau dan dikawal sebaiknya.

Di Britain umpamanya ramai gadis muda di sana mengakui mereka mengalami masalah kesihatan mental akibat tekanan supaya membesar lebih cepat daripada masanya. Kajian dilakukan oleh Girlguiding UK mendapati remaja di bawah usia 14 tahun percaya pengaruh majalah, laman web dan rakan-rakan yang memberitahu supaya mereka kelihatan dan bertindak secara seksual menjadikan mereka tidak gembira, malah mendorong sebahagiannya mencederakan diri sendiri dan mengalami masalah pemakanan.

Dua daripada lima gadis yang ditemui berasa diri mereka teruk selepas melihat gambar model atau bintang pop seperti Kate Moss dan Cheryl Cole, dan ramai berasa wajib memakai pakaian yang membuatkan mereka kelihatan lebih berusia, menghilangkan berat badan, mengenakan mekap malah mempertimbangkan untuk menjalani pembedahan plastik. Sementara yang lain berkata, mereka tertekan untuk memiliki wang bagi membeli fesyen terbaru dan peralatan seperti iPod dan telefon bimbit. Senario seperti ini sama ada sedar ataupun tidak sudahpun menular dan berakar di kalangan anak muda sebagai budaya popular dan gerakan liberalisasi Barat di negara kita sejak sekian lama.

Lambakan iklan dan promosi barangan keperluan di TV, internet, majalah dan sebagainya khusus untuk kanak-kanak seperti alat mekap, pakaian dan lain-lain dengan jenama serta harga yang mahal sangat membimbangkan. Ketika ini terdapat iklan di stesen TV tempatan yang menunjukkan bagaimana model kanak-kanak bangga menunjuk dan mempromosikan alat solekan serta pakaian mahalnya. Keadaan ini menjadikan kanak-kanak seolah-olah diajar dan digalakkan menggunakan produk yang tidak perlu ini dan perkara ini sudah tentu akan membebankan ibu bapa dalam keadaan harga barang yang semakin meningkat. Ini adalah kerana pengaruh iklan dan kawan-kawan sangat kuat dan ibu bapa perlu lebih proaktif menerangkan perkara sebenar kepada anak-anak berkenaan keperluan tersebut.

Masalah tekanan emosi yang kian melanda kanak-kanak juga semakin menular dan tidak terkawal. Apa yang berlaku kepada keluarga Sufiah Yusof di United Kingdom (UK) sehingga mengemparkan seluruh dunia umpamanya wajar menjadi iktibar dan membuktikan bagaimana situasi ini boleh berlaku diluar kehendak apabila seorang kanak-kanak terpaksa bersaingan di universiti dalam usia terlalu muda dengan kelompok bukan sebaya yang sudah tentu cukup tertekan dan diluar kemampuan walaupun pada hakikatnya Sufiah adalah seorang manusia yang sangat genius tetapi mungkin tidak matang menempuh kehidupan sebenar sehinggakan membawa beliau ke lembah pelacuran.

Ketua Eksekutif Yayasan Kesihatan Mental Dr Andrew McCulloch, yang menjalankan kajian berkaitan berpendapat gadis dan wanita muda dipaksa membesar pada tahap tidak normal dalam masyarakat dan merosakkan emosi mereka. Semua pihak bertanggungjawab untuk membetulkan keadaan ini dan perlu menangani punca kesukaran yang dihadapi remaja sekarang. Ini adalah realiti yang sedang berlaku di seluruh dunia termasuklah di negara kita apabila anak-anak kecil terpaksa bersaing sama sendiri seawal usia empat tahun dan mereka sudah diajar untuk mencipta kejayaan dan kecemerlangan di dalam peperiksaan dan ujian yang disediakan kepada mereka ketika di taman asuhan dan pusat jagaan lagi.

Keadaan ini sudah tentu ada baik dan buruknya kepada perkembangan anak-anak dan dalam hal ini kita perlu melihatnya secara yang lebih positif. Jika 20 tahun dahulu seorang kanak-kanak boleh membaca seawal usia empat tahun, sudah tentu beliau akan dianggap cerdik dan akan dikerumuni oleh orang ramai, namun hari ini kebolehan membaca, mengira, mengeja, menggunakan komputer dan bertutur dalam pelbagai bahasa ketika usia tersebut adalah perkara biasa dan lumrah. Kanak-kanak hari ini menjadi semakin bijak dengan kemudahan dan sistem pembelajaran berkesan yang disediakan.

Biarpun begitu, dalam sebuah laporan antarabangsa menyatakan kebergantungan kepada komputer dan terlalu sedikit membuat kerja menggunakan tangan boleh menyebabkan kehilangan skil kraftangan dan pakar dalam hal ini memberi amaran keadaan itu mengancam perkembangan intelektual kanak-kanak. Bukti perubatan menegaskan aktiviti praktikal bukan saja berkesan merangsang bahagian otak, ia juga sejenis 'senaman' untuk mengukuhkan kaitan saraf. Untuk itu, ibu bapa dan penjaga dalam hal ini perlu lebih kreatif dan inovatif membantu dan membimbing kanak-kanak menjalani latihan praktikal seperti pertukangan, pemasangan, DIY, berkebun dan sebagainya serta tidak membiarkan anak-anak leka bermain komputer di rumah.

Laporan berkenaan meningkatkan kebimbangan berhubung keghairahan sekolah mengurangkan aktiviti praktikal seperti skil menggunakan kayu, logam, kraftangan dan mekanik. Di rumah pula, kanak-kanak lebih berkemungkinan menekan butang pada papan kekunci atau tetikus daripada menggunakan kotak peralatan kerja. Ada alasan saraf dan kognitif mengapa kanak-kanak perlu berpengalaman menggunakan tangan dalam elemen kehidupan seharian mereka.

Menggunakan tangan didapati menjadikan kanak-kanak lebih pintar menurut pakar psikologi, Dr Aric Sigman yang mendakwa Britain misalnya semakin menjadi 'masyarakat program komputer berbanding pemutar skru' dengan implikasi serius pada ekonomi. Generasi sekarang tidak mampu menangani masalah biasa mekanikal dan mereka nampaknya terlepas beberapa bahagian tertentu perkembangan kognitif kerana tidak pernah memegang sepanar atau memperbaiki enjin yang.


Dalam perkembangan berkaitan di mana dalam satu penyelidikan mendapati kanak-kanak hari ini ketinggalan dalam bahagian penting perkembangan kognitif menjelang usia 11 tahun, manakala kajian selama 30 tahun yang diterbitkan dua tahun lalu mendapati pemahaman kanak-kanak mengenai konsep saintifik utama seperti isi padu, kepadatan, kuantiti dan berat jatuh 'secara drastik' sejak dekad lalu. Profesor Michael Shayer berpandangan persembahan budak berusia 11 tahun pada 1975 dalam pertengahan 1990-an adalah sama, tetapi jatuh menjelang 2004.

Satu kajian lain yang memperincikan bagaimana golongan remaja menghabiskan masa melayari internet dan menggunakan telefon bimbit mendapati lebih seorang daripada setiap 10 kanak-kanak di Britain berbual lucah secara online. Ia menunjukkan bagaimana remaja Britain yang semakin celik teknologi berbanding rakan sebaya mereka di Amerika Syarikat dikatakan selalu berbohong kepada ibu bapa untuk memasuki laman web yang tidak sesuai dengan mereka dan berbual dengan orang asing. Hakikat ini jika tidak dipantau oleh pihak berwajib boleh meracuni pemikiran mereka serta memberi impak negatif kepada proses perkembangan semulajadi kanak-kanak termasuklah di negara kita.

Laporan Mobile Life, menyatakan 11 peratus remaja berusia 11 hingga 18 tahun berbual lucah secara online, manakala 28 peratus mengaku melayari laman web lucah. Ramai berpura-pura melakukan kerja rumah sedangkan mereka melayari internet, dengan 49 peratus mengaku mereka menipu ibu bapa masing-masing mengenai apa yang dilakukan secara online. Laporan yang dikumpulkan hasil tinjauan ke atas 6,000 penduduk, juga menganalisis perbezaan antara remaja Amerika dan Britain, dengan golongan itu di Britain kelihatan lebih sofistikated. Sebagai contoh, 53 peratus remaja Britain berkomunikasi menerusi kamera web, sesuatu yang cuma dilakukan oleh 18 peratus rakan mereka di Amerika.

Realiti seperti ini berkemungkinan besar turut berlaku di kalangan kanak-kanak di Malaysia memandangkan mereka hari ini juga celik dan mesra komputer sejak awal lagi di samping pusat kafe siber yang tumbuh bagai cendawan selepas hujan di seluruh negara memudahkan mereka mengakses kepada benda-benda yang negatif jika tiada sebarang bentuk kawalan dan pemantauan terhadap aktiviti harian mereka dilaksanakan. Oleh demikian, dalam perkara ini aspek etika, akhlak dan didikan agama secara menyeluruh sangat penting yang perlu diberikan penekanan yang sewajarnya sebagai benteng dan bekalan kepada mereka dalam menjalani kehidupan seharian mereka.

Rujukan

Abdullah Nasih Ulwan, 2002. Pendidikan Anak-Anak Dalam Islam. Singapura: Pustaka Nasional Pte Ltd

Ramai remaja Britain alami tekanan jiwa, Berita Harian, 16 Julai 2008
Kanak-kanak sudah pandai cakap lucah, Berita Harian, 19 Julai 2008
Komputer hapus skil kraftangan, Berita Harian, 16 Julai 2008

AFRIKA DESTINASI PELABURAN BERPOTENSI MALAYSIA

Dalam Dialog Antarabangsa Selatan Afrika (SAID) 2008, beberapa kejayaan ditempa sehinggakan Bank Negara Malaysia (BNM) dilantik sebagai penasihat mikro kredit Afrika dan akan memberi khidmat nasihat dan menggunakan kepakarannya untuk membantu negara-negara di selatan Afrika dalam melaksanakan sistem kewangan itu. Pandangan Malaysia juga diambil kira dalam banyak perkara termasuklah masalah kenaikan harga minyak, isu tenaga dan masalah serantau lain.


Dengan peluang perniagaan yang terbuka luas di sana, harapan agar lebih ramai usahawan Malaysia berani melabur di luar negara, termasuk di negara miskin dan membangun seperti di benua Afrika perlu diambil perhatian oleh semua pihak. Mereka boleh berjaya seperti dibuktikan oleh sebilangan usahawan negara yang telah berjaya menempa nama di luar negara, jika sanggup bekerja keras dan menghadapi segala saingan serta cabaran. Buktinya sebuah pusat perabot Malaysia milik anak Malaysia yang menjadi jutawan di Uganda selepas terbabit dalam perniagaan perabot di situ sejak 20 tahun lalu.

Antara faktor kejayaan sesebuah perniagaan ialah mempunyai keyakinan diri yang kuat, konsisten, sabar dan bijak mencari peluang. Seluruh rakyat Malaysia melahirkan rasa bangga di atas keupayaan beberapa usahawan Malaysia yang berjaya di benua Afrika dan luar negara di mana mereka yang berani ini disifatkan sebagai turut membantu menaikkan nama Malaysia pada peringkat antarabangsa dan rakyat Malaysia yang berada di luar negara dalam masa yang sama hendaklah membantu kerajaan mempromosikan negara di sana.

Pengarah Institut Bumi di Universiti Columbia, Amerika Syarikat, Prof. Jeffrey D. Sachs, yang juga merupakan pemegang pertama Kursi Profesor Diraja Ungku Aziz di Universiti Malaya (UM) menyatakan bahawa Malaysia perlu berkongsi kejayaannya dalam membangunkan sumber aslinya dengan negara-negara tropika yang lain, khususnya negara-negara Afrika Barat. Negara-negara seperti Liberia dan Sierra Leone memiliki keadaan geografi yang sama seperti Malaysia tetapi mereka masih miskin dan mundur.

Jika syarikat seperti Felda dan Sime Darby boleh membantu dalam usaha pembangunan di negara-negara terbabit dengan kerjasama Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) serta Bank Pembangunan Islam, ia akan memberi manfaat yang besar kepada negara-negara berkenaan. Dalam hubungan ini, langkah Felda memasuki Sierra Leone terlibat dalam industri perladangan, dan berharap usaha itu dapat diperluaskan di negara-negara lain pada masa depan.

Kejayaan Malaysia melaksanakan agenda pembasmian kemiskinan melalui pembangunan modal insan dan pembinaan keupayaan adalah inovasi dan inisiatif yang boleh dikongsi bersama dengan benua Afrika melalui konsep perkongsian bijak dalam usaha membasmi kemiskinan global dan gerakan reformasi pembangunan negara. Negara-negara benua Afrika seperti Botswana, Mozambique, Namibia, Zimbabwe, St. Vincent and Grenadines, Kenya, Gambia, Uganda, Zambia, Sudan, Swaziland dan Lesotho amat berpotensi untuk usahawan Malaysia terokai.

Dalam Dialog Antarabangsa Langkawi (LID 2007) yang diadakan di dalam negara tahun lepas meyaksikan Zambia dan Mozambique begitu berminat dengan kejayaan Taman Teknologi Tinggi Kulim (KHTP) yang diuruskan oleh anak syarikat kerajaan negeri Kedah, Kulim Technology Park Corporation (KTPC) sehingga berjaya menarik pelaburan berbilion ringgit.

Pelan tindakan dan kedinamikan agenda ekonomi Malaysia yang bersifat holistik dalam menangani isu kemiskinan sejak sebelum merdeka yang berteraskan elemen pembangunan pengetahuan, kepakaran dan dana intelek rakyat perlu dikongsikan dengan kebanyakan negara Afrika yang masih berada di bawah paras kemiskinan. Kejayaan badan penyelaras pada tahap nasional bagi menyelaras pelbagai kementerian dan agensi yang terlibat dalam bidang pembasmian kemiskinan; menubuhkan sistem pangkalan data berpusat untuk mengambil kira dan memantau perkembangan program pembasmian kemiskinan; serta mengutamakan objektif pembasmian kemiskinan bagi program pendidikan, kesihatan, pekerjaan dan lain-lain wajar dicontohi negara miskin lain.

Di samping itu juga Malaysia berjaya menggalakkan penyertaan syarikat multinasional (MNC) dalam program-program pembasmian kemiskinan, pembangunan modal insan dan pembinaan keupayaan; menggalakkan media untuk memainkan peranan yang berterusan dalam meningkatkan kesedaran dan pengetahuan awam dan bagi memastikan laporan berita adalah adil dan saksama, khususnya berhubung isu-isu pembangunan serta kemiskinan; menubuhkan program khusus bagi pembasmian kemiskinan berasaskan kepada model yang terbukti berjaya bagi menghasilkan impak dan manfaat fasiliti ekonomi serta sosial; dan menubuhkan indikator prestasi sasaran memantau perkembangan pelaksanaan setiap isu dan program utama negara adalah strategi yang amat berkesan kepada Malaysia ke arah mencapai status negara maju menjelang tahun 2020.

Dalam keadaan sebahagian besar negara di benua Afrika yang dicengkam kemiskinan, bencana dan kebuluran; isu kemiskinan global yang sekian lama menjajah negara-negara mundur dan miskin, menuntut mereka mencari alternatif terbaik melaksanakan polisi serta langkah-langkah mewujudkan peluang pekerjaan dengan memberi akses kepada tanah, dana serta sumber produktif lain. Ini adalah kerana walaupun sebilangan besar negara Afrika miskin tetapi negara-negara ini sebenarnya kaya dengan sumber galian seperti minyak, gas, emas, permata dan sebagainya. Persekitaran yang kondusif dan kompetitif ekonomi mestilah diwujudkan agar pembangunan dan peruntukan perkhidmatan sosial serta prasarana asas dapat dibangunkan sewajarnya. Golongan wanita di benua Afrika juga perlu diperkasa bagi menggalakkan kesaksamaan gender dan mengembangkan potensi mereka bagi pembangunan ekonomi serta sosial.

Di samping itu melalui pengalaman dan kejayaan Malaysia, negara Afrika juga wajar mengambil peluang memperjuangkan hak kanak-kanak dan belia dalam arena pendidikan melalui galakkan latihan kemahiran teknikal serta vokasional. Perkhidmatan kesihatan, tadbir urus baik dan pentadbiran berkesan hendaklah dipertingkat dan diterjemahkan di dalam pemerintahan bagi melindungi keseimbangan perpaduan dan kestabilan sosial serta politik melalui pembangunan modal insan di mana penekanan diberikan terhadap akses kepada pendidikan tanpa bias masyarakat, gender, dan dengan menggalakkan penyertaan kanak-kanak perempuan di sekolah dan mewujudkan persekitaran yang kondusif bagi sistem pembelajaran.

Penglibatan sektor swasta dan korporat dalam menyalurkan latihan, R& D, inovasi, kepakaran dan peluang pekerjaan perlu digiatkan di samping menubuhkan institusi berstruktur bagi menyalurkan pengurusan, dana, latihan dan perkhidmatan sokongan, termasuk dalam penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), membentuk program kewangan mikrokredit, penubuhan penasihat kewangan melibatkan pasukan sektor awam-swasta dan menubuhkan Friends for Finance, rangkaian perikatan antara institusi kewangan, agensi kerajaan dan masyarakat untuk menyokong kecelikan kewangan.

Oleh yang demikian, dalam konteks ini sememangnya Malaysia berupaya untuk meneroka peluang pelaburan dan perniagaan di benua Afrika atau khususnya di negara-negara rakan perkongsian dan juga dalam bentuk bantuan yang boleh ditawarkan Malaysia kepada negara-negara peserta. Petronas umpamanya sebagai sebuah syarikat minyak yang dikenali dunia amat berpotensi melebar luaskan lagi sektor gas dan petrolium mereka di sana memandangkan gergasi itu sudah mendapat tempat di Sudan dan negara pesisir lain.

Syarikat konglomerat Scomi juga dilihat berpeluang mempelbagaikan kaedah perniagaan dan pelaburan mereka di sana kerana kekuatan dan integrasi korporatnya amat diperlukan di sana terutamanya ICT dan industri berat. Bagi Tenaga Nasional pula, peluang di benua Afrika amat ekonomik dan strategik memandangkan sebahagian besar benua itu masih lagi di dalam kegelapan dan industri tenaga begitu menguntungkan serta berpotensi untuk dibangunkan.

Proton dan Perodua dilihat mampu memandu dan menjadi fasilitator korporat negara di benua Afrika di dalam industri automotif kerana Malaysia adalah satu-satunya negara yang mempunyai keupayaan dan kepakaran mengeluar kereta sendiri berbanding negara membangun lain. Pasaran automotif di benua Afrika masih rendah, namun rancangan Proton untuk membuka premis pemasangan komponen keretanya di Mesir adalah permulaan yang bijak memasar dan memperkenalkan jenama Proton di sana.

Tenaga kerja mahir dan berdaya saing, teknologi, kepakaran serta kos bahan komponen dan operasi yang murah amat membantu industri ini. Afrika adalah benua strategik dan dinamik untuk Malaysia memperkasakan industri automotif serta meletakkan negara antara pemain industri automotif bertaraf dunia. Untuk itu kualiti dan produktiviti industri kedua-dua pemain industri automotif ini perlu setanding dengan gergasi sedia ada seperti Toyota, Ford, BMW, Nissan, Honda dan sebagainya.

Rangkaian Media Prima melalui stesen TV3 yang pernah bertapak di Ghana sejak sekian lama, perlulah mencari rakan kongsi lain serta memainkan peranan utama memajukan industri media dan maklumat di sana walaupun bagi sebahagian besar negara anggota seperti Ethiopia, Eritheria, Namibia dan sebagainya, television dan peralatan komunikasi lain masih lagi dianggap peralatan mewah dan eksklusif.

Di samping itu, gergasi telekomunikasi negara seperti Maxis dan Celcom perlulah merebut peluang yang begitu luas dan terbuka di dalam industri telekomunikasi global di sana. Dengan jumlah kepadatan penduduk dan pembangunan yang begitu pesat di Afrika Selatan dan Mesir umpamanya menjadikan industri ini cukup menguntungkan. Kumpulan Telekom Malaysia (TM) pula amat berpotensi untuk meluaskan protokol jalur lebar di sana. TM komited bagi membantu mempercepatkan pembangunan di benua Afrika khususnya dalam bidang pendidikan menerusi peluasan prasarana Internet dengan menubuhkan nod protokol Internet di beberapa negara di benua berkenaan termasuk Afrika Selatan.

Namun begitu, sebelum ini, TM pernah mengalami pengalaman pahit di benua Afrika dan terpaksa menanggung kerugian pelaburannya di Ghana setelah selepas berlaku pertukaran kerajaan. Kerajaan baru, pimpinan John Kufuor yang mengambil alih pentadbiran negara itu pada Januari 2001, enggan mengiktiraf semua perjanjian dan urus niaga kerajaan lama dengan TM yang mempunyai kepentingan dalam Ghana Telecom (GT). Masalah itu selesai pada 2005 apabila mahkamah timbang tara dan kerajaan Ghana diarah membayar semula AS$$44.1 juta bagi 30 peratus pegangan TM itu.

Pengalaman TM ini perlu diberikan perhatian serius dan menjadi indikator penting kepada semua GLC dan syarikat korporat di Malaysia yang berminat melabur di sana. Ini kerana selain masalah terlalu kerap berlakunya proses pertukaran kerajaan, Afrika juga berdepan dengan kerenah birokrasi kerajaan kuku besi; perebutan kuasa; konflik puak dan kaum yang belum selesai seperti di Darfur dan lain-lain; lokasi tidak selamat; tahap pendidikan yang rendah; kekurangan tenaga mahir dan kemudahan asas seperti elektrik, air dan sebagainya; sistem perbankan dan kewangan yang lemah, asas teknologi ICT serta internet yang masih rendah dan pelbagai lagi masalah yang perlu diberikan penekanan khas sebelum pergi ke sana.

Dengan kekuatan sistem pendidikan tinggi, menengah dan rendah di Malaysia, institusi pendidikan tinggi awam (IPTA) dan swasta (IPTS) seharusnya memberanikan diri membuka cawangan atau rangkaian luar mereka di benua ini. Pendidikan adalah sektor utama yang mampu menyelesaikan sebahagian besar masalah di negara anggota. Pemindahan teknologi dan inovasi pendidikan perlu dilaksanakan segera. Oleh yang demikian, Universiti Malaya (UM) umpamanya yang merupakan antara universiti terbaik dunia perlu menggorak langkah mencari peluang dan ruang di sana.

Setakat ini Universiti Lim Kok Wing (ULKW) telah berjaya bertapak di kota London dan Kolej Universiti Teknologi dan Pengurusan Malaysia (KUTPM) berjaya meneroka peluang di India dan beberapa negara lain. IPTA dan IPTS lain perlu berani mengekori langkah bijak dua institusi ini. Mereka tidak seharusnya bermain di gelanggang sendiri sahaja atau sebagai jaguh kampung di dalam sektor pendidikan negara walaupun telah dikorporatkan sejak tahun 1990an lagi.

Sebenarnya banyak lagi peluang dan ruang ekonomi dan pelaburan yang boleh diterokai oleh syarikat korporat di Malaysia terutamanya GLC di dalam sektor seperti perkhidmatan, kesihatan, pelancongan, bioteknologi, perbankan Islam, pembuatan, industri dan sebagainya. Benua Afrika yang sebahagian besarnya adalah negara Islam dan sedang membangun adalah lubuk emas yang tidak sepatutnya dipandang sebelah mata kerana 'gergasi yang masih tidur' ini akan bangun semula dan kembali menjadi pemain global.



RUJUKAN

Fage, J. D., 1979. The Cambridge History of Africa. Cambridge University Press.
Drysdale, Alasdair & Gerald H. Blake, 1985. The Middle East and North Africa. Oxford University Press US
Bank Negara penasihat mikro kredit Afrika – Najib, Utusan Malaysia, 31 Julai 2008

Isu tenaga, masalah serantau antara isu SAID 2008, Utusan Malaysia, 28 Julai 2008

“TM perluas prasarana Internet di Afrika”, Utusan Malaysia, 7 Ogos 2007
“LID hasil tujuh pelan modal insan”, Utusan Malaysia, 8 Ogos 2007
“Malaysia boleh raih manfaat pembangunan China, India”, Utusan Malaysia, 29 Oktober 2007
“Usahawan Malaysia kena berani teroka Afrika: PM”, Berita Harian, 24 Oktober 2007