Monday, August 04, 2008

ANCAMAN SIBER DAN PEMANTAPAN UNDANG-UNDANG

Dunia siber kini telah menjadi sebahagian daripada kehidupan manusia moden. Jika suatu masa dahulu kita hanya mengenali dan didedahkan dengan realiti alam siber di kaca televisyen dan layar perak sahaja melalui imaginasi dan fantasi filem dan drama fiksyen. Namun kini kita sedang berada di alam siber yang sebenar sepertimana yang sedang dilalui ketika ini sama ada kita sedar ataupun tidak.

Dunia siber yang masih baru ini menjadi semakin penting dalam segala aspek dan merupakan fenomena yang sedang melanda tatacara serta susun atur kehidupan manusia moden. Keadaan ini memerlukan alam siber yang penuh cabaran ini perlu dikawal, diatur dan dipantau secara konsisten melalui sistem dan perancangan yang komprehensif. Ini adalah kerana alam siber mampu meninggalkan kesan yang positif dan negatif kepada sesebuah negara dan rakyat. Pendekatan kerajaan, sikap rakyat dan sokongan perundangan sangat penting disinergikan bagi memastikan alam siber memberikan manfaat yang besar kepada pembangunan dan bukannya digunakan sebagai medan untuk meruntuhkannya.

Sehubungan itu, amaran akan musibah, bahaya dan ancaman siber baru-baru ini tidak boleh dipandang ringan. Ini kerana dalam dunia tanpa sempadan dan kawalan, sesiapa sahaja sama ada individu atau kumpulan dengan mudah bertindak menceroboh dan melakukan segala macam kerosakan serta kemusnahan kepada sesebuah masyarakat moden dan negara jika kita gagal dan cuai membendungnya.

Kesan dan akibatnya juga boleh membawa mudarat dan kemusnahan kepada kehidupan di muka bumi ini walaupun seseorang yang berniat jahat itu berada jauh beribu-ribu kilometer dari tempat sasaran iaitu dengan hanya semudah memetik butang komputer atau apa sahaja peralatan yang berkaitan dengannya. Dengan inovasi dan teknologi terhadapan hari ini yang semakin canggih dan sofistikated, segalanya boleh dilakukan dengan mudah di alam siber ini sama ada untuk tujuan kebaikan dan keburukan.

Transformasi siber menjadikan perhubungan dunia menjadi bertambah mudah dan pantas sekelip mata di mana segala urusan kehidupan berada di dalam satu sistem yang cukup sempurna dan teratur. Internet umpamanya adalah pelengkap kepada alam siber dan menjadikannya medium paling berpengaruh dan cukup mustahak kepada kehidupan manusia hari ini. Malaysia sebagai sebuah kerajaan elektronik (e-kerajaan) dalam hal ini tidak pernah ketinggalan dan dengan sokongan politik yang cukup kuat, kemudahan siber diaplikasikan hampir dalam segala bidang sama ada urusan berkaitan perkhidmatan awam, perbankan, perhubungan dalam dan luar negara, pendidikan, komunikasi dan sebagainya.

Namun begitu, semua perlulah berwaspada dengan ancaman jenayah siber yang semakin berleluasa dan mampu membawa padah yang sangat besar jika disalahguna sehingga boleh meruntuhkan sistem ekonomi, prasarana dan institusi serta menyebabkan kecederaan atau maut kepada orang ramai. Ancaman siber seperti spamming, pembiakan dan penyebaran virus, pengodam maya, e-mail bombing, penggunaan kata laluan orang lain, menipu, penyebaran bahan lucah, skim cepat kaya dan piramid, judi siber, penipuan kad kredit, peras ugut, pengintipan industri, pelaburan haram dan sebagainya juga mampu merosakkan sistem dan infrastruktur negara yang impaknya boleh mengakibatkan kematian, kecederaan manusia selain mampu melumpuhkan sistem ekonomi, sosial dan politik sesebuah negara.

Semakin tinggi kebergantungan dan hubungan sesebuah negara dan rakyat terhadap internet, semakin ia terdedah kepada ancaman siber. Amerika Syarikat (AS), Jepun, Eropah dan lain-lain yang menjadi peneraju dan peneroka alam siber tidak terlepas daripada ancaman ini. Antara serangan siber yang paling dahsyat yang pernah dilaporkan ialah beberapa percubaan mengakses sistem syarikat dan agensi kritikal di AS seperti Pentagon, NASA dan sebagainya.

Serangan selama dua tahun yang bermula pada tahun 2003 itu turut dikenali sebagai ‘Titan Rain’ dan dikatakan dilakukan oleh pihak musuh yang ingin mendapatkan maklumat perisikan negara tersebut. Keadaan ini menjadikan pentadbiran dan keselamatan AS menjadi kelam kabut serta pelbagai langkah dilaksanakan bagi mengelak kejadian sama berulang. Sehingga kini negara siber itu senantiasa berusaha mewujudkan sistem pertahanan dan kawalan yang cukup hebat bagi berhadapan dengan segala kemungkinan.

Serangan dan pencerobohan yang sama turut berlaku di Estonia yang maju dalam bidang teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) di Eropah, banyak bergantung kepada aplikasi ICT dalam operasi kerajaannya sangat menakutkan semua pihak. Negara itu telah mengalami ancaman siber dalam bentuk tiga siri gelombang serangan siber yang serius selama tiga minggu berturut-turut. Kejadian yang dikenali sebagai ‘Perang Siber Estonian’ pada tahun 2007 itu telah menyebabkan loji rawatan air di negara itu terpaksa ditutup, sistem perbankannya tergendala dan laman web agensi kerajaannya diubah.

Kejadian itu telah menyedarkan banyak negara di seluruh dunia terutamanya pihak yang terlibat secara langsung dalam perancangan pertahanan dalam sistem pertahanan siber masing-masing. Ini kerana mana-mana negara yang tidak mempunyai sistem perlindungan yang baik mudah terdedah kepada ancaman siber. Jika salah perancangan, ancaman siber secara langsung dan tidak langsung boleh menjatuhkan sesebuah kerajaan dan meruntuhkan negara dalam masa yang sangat singkat.

Kerajaan Malaysia setakat ini melalui perancangan dan plan yang disediakan, komited mengawasi dan menjaga ruang lingkup siber negara daripada diceroboh dan dirosakkan oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab. Kerajaan juga sentiasa memantau dan mengawal perkembangan laman-laman web dan blog menerusi Pusat Keselamatan Siber Nasional (PKSN) dan buat masa ini, perkhidmatan bank, air dan keselamatan umpamanya terikat dengan teknologi maklumat (IT) global.

Lanjutan dari itu, langkah Malaysia menubuhkan Sekretariat Perkongsian Multilateral Antarabangsa Menentang Keganasan Siber (IMPACT) di Cyberjaya melalui peruntukan sebanyak AS$13 juta (RM42.2juta) adalah langkah tepat kerana ancaman siber mempunyai pelbagai bentuk dan sukar diramal. Melalui pakatan strategik, kesungguhan agensi-agensi kerajaan dan swasta yang terlibat dalam bidang keselamatan siber dari pelbagai negara boleh bertukar-tukar pengalaman dan berkongsi kemahiran untuk melindungi ruang siber masing-masing.

Kehadiran rakan kongsi Impact seperti F-Secure, Kaspersky Labs, Symantec Corporation dan Trend Micro bakal menyediakan peluang yang antara lainnya dalam bentuk latihan, penyelidikan dan pembangunan, dasar serta rangka kerja kawal selia. Menerusi kemudahan yang dirancangkan, Impact akan melaksanakan empat kegiatan teras iaitu maklum balas global; dasar dan kawal selia; latihan dan pembangunan; persijilan keselamatan, pembangunan dan penyelidikan di mana Impact setakat ini sudah membangunkan dua sistem teras untuk manfaat semua ahlinya, iaitu Sistem Amaran Awal (EWS) dan Platform Kerjasama Terjamin (GCP).

Di samping itu, sistem perundangan siber negara juga perlu dimantap lagi dan meluaskan skopnya seiring dengan situasi semasa. Malaysia sebenarnya adalah antara negara pertama di dunia yang memperkenalkan undang-undang siber yang komprehensif seiring dengan perkembangan pesat Koridor Raya Multimedia (MSC) negara seperti Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, Akta Jenayah Komputer 1997, Akta Tandatangan Digital 1997, Akta Teleperubatan 1997, pindaan Akta Hak Cipta 1997 dan Akta Aktiviti Kerajaan Elektronik 2007.

Akta Tandatangan Digital 1997 misalnya memudahkan perdagangan elektronik (e-dagang) sebagai satu kaedah operasi dan bagi memantau tandatangan digital yang dibuat di dalam setiap transaksi elektronik. Seksyen 62 Akta berkenaan memperuntukkan denda tidak melebihi RM 100,000.00 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi 2 tahun atau kedua-duanya bagi kesalahan berkaitan tandatangan digital, manakala Seksyen 72 pula memantau aktiviti membuka rahsia maklumat yang diperolehi di bawah akta ini di samping Tanggungjawab Kerahsiaan dalam setiap aktiviti dan urusan.

Manakala Akta Aktiviti Kerajaan Elektronik 2007 menyediakan peruntukan pengiktirafan undang-undang sesuatu mesej elektronik dalam segala urusan antara kerajaan dengan orang awam, penggunaan mesej elektronik sesuatu maklumat yang dihasilkan, dihantar, diterima atau disimpan melalui cara elektronik untuk memenuhi kehendak undang-undang dan untuk membolehkan dan memudahkan urusan itu melalui penggunaan cara elektronik dan perkara-perkara lain yang berkaitan dengannya.

Akta Teleperubatan 1997 pula mengawal selia aktiviti teleperubatan di negara kita. Ketika Sukan Komanwel 1998, perkhidmatan perubatan dan teleperubatan telah dihubungkan kepada pusat perubatan di Amerika Syarikat dan Britain untuk mendapatkan nasihat pakar ke atas diagnosis dan rawatan atlit-atlit dan pelawat-pelawat. Kaedah ini juga membolehkan doktor menghantar fail-fail pesakit atau dokumen yang berkaitan seperti X-ray dan imbasan ECG secara elektronik, dan membenarkan interaksi bersemuka antara doktor dan pesakit.

Teknologi maklumat yang hebat dan canggih ini mewujudkan perhubungan pintar antara hospital di rantau ini serta di seluruh dunia yang membolehkan kepakaran doktor di seluruh dunia dapat dikongsi oleh doktor tempatan. Akta ini juga memperuntukan peraturan dan kawalan ketat ke atas amalan teleperubatan seperti kerahsiaan maklumat pesakit dan keperluan pengamal perubatan mendapatkan kebenaran daripada pesakit sebelum teleperubatan diamalkan. Menurut Seksyen 3 Akta ini, bagi sesiapa yang melanggar aturan teleperubatan walaupun mengamalkan teleperubatan dari luar Malaysia boleh didenda tidak melebihi RM 500,000.00 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.

Di samping itu, memandangkan Malaysia tidak terkecuali dan terlepas dengan jenayah dan ancaman siber maka Akta Jenayah Komputer 1997 wujud untuk mengimbangi perkara berkenaan. Akta ini digunakan terhadap sesiapa sahaja tanpa mengira kewarganegaraan seseorang dan kesalahan di bawah akta ini boleh berlaku di mana-mana sahaja tidak kira samada di dalam atau di luar Malaysia asalkan ia melibatkan komputer yang berada di Malaysia.

Akta sedia ada sebenarnya masih belum mencukupi menyekat kegiatan jenayah berkaitan ICT dan siber. Walaupun perundangan siber di negara di Malaysia diakui ramai sebagai yang paling menyeluruh, namun keberkesanannya masih belum teruji sepenuhnya memandangkan kes jenayah siber yang serius dibawa dan didakwa di mahkamah masih kurang. Walaupun keadaan ini turut berlaku di kebanyakan negara memandangkan undang-undang ini masih baru, hanya di Eropah sahaja yang dilihat sedikit ke hadapan dalam bidang ini kerana mempunyai protokol-protokol tertentu yang ditetapkan.

Malaysia juga perlu memperkasa undang-undang siber yang diguna pakai di negara ini dengan merumuskan lebih banyak peruntukan bagi membendung atau menghukum pesalah jenayah itu untuk memastikan sektor ICT mampu terus berkembang pesat. Penyelaraskan undang-undang siber dan transaksi elektronik perlu sejajar dengan perkembangan terkini dalam perdagangan elektronik (e-dagang). Biarpun begitu, dari segi perlindungan pengganas, Malaysia antara negara pertama memperkenalkan kad pengenalan pintar yang membolehkan pihak penguat kuasa mendapatkan maklumat pembawa kad dengan cepat dan tepat.

Sesebuah negara yang bertindak bersendirian tidak mungkin dapat mengelak daripada berdepan ancaman serangan siber. Memandangkan jaringan Internet boleh melangkaui sempadan tanpa mengira negara dan negeri hingga menyebabkan dunia terdedah dengan ancaman siber, mahu tidak mahu semua pihak perlu bekerjasama. Oleh yang demikian, pihak kerajaan, swasta, golongan akademik, pakar dan individu, kita perlu berganding bahu melindungi sistem kita daripada terus menerima ancaman siber.

Malaysia juga patut melabur lebih banyak dalam penguatkuasaan undang-undang jenayah siber dan kerajaan perlu tegas dalam menghukum pesalah yang menjadikan dunia siber sebagai medan untuk melakukan jenayah dan aktiviti menyalahi undang-undang negara. September tahun lalu, dilaporkan Britain akan mengenakan denda sehingga 1,000 pound (RM7,000) terhadap ibu bapa 'pembuli siber' atau pelajar yang terbabit mengancam rakan mereka menerusi telefon bimbit, e-mel, khidmat pesanan ringkas (SMS) dan laman web sosial. Selain didenda, ibu bapa terbabit juga diarahkan mengawal tindak tanduk anak atau mereka sebaliknya akan diwajibkan menghadiri kelas keibubapaan serta dihadapkan ke mahkamah atas kesalahan jenayah wajar dicontohi Malaysia.

Di samping itu, cadangan untuk mewujudkan Mahkamah Keadilan Siber sejak tahun 1997 lalu perlu direalisasikan segera bagi menangani persoalan semasa dan segala undang-undang yang berkaitan dengan siber di samping menjadi tempat rujukan antarabangsa dalam menangani pelbagai isu siber berikutan cabaran, penyalahgunaan dan gejala negatif berkaitan siber semakin kompleks serta sukar ditangani. Untuk itu, peguam dan pengamal undang-undang di negara ini perlu bersedia mendalami pengetahuan mengenai siber bagi memastikan mereka mampu mengendalikan kes berkaitan jika Mahkamah Keadilan Siber ditubuhkan kelak.


RUJUKAN

Mohd Safar Hasim. 2002. Mengenali Undang-Undang Media dan Siber. Kuala Lumpur.
Utusan Publications and Distributors.
Pakatan kerajaan-swasta lindungi ruang siber, Utusan Malaysia, 21 Mei 2008
Jangan pandang rendah ancaman siber, Utusan Malaysia, 21 Mei 2008
Kerajaan, rakyat kena perangi jenayah siber, Berita Harian, 21 Mei 2008
Malaysia perlu perkasa undang-undang siber, Berita Harian, 13 Disember 2007
Kerajaan ambil tindakan laman web ancam perpaduan, Utusan Malaysia, 1 Ogos 2006

1 comment:

zurraihaTHEgreat said...

I JUST WANNA TO ASK, IS THERE ANY PUNISHMENT AND LAW FOR CYBERBULLIES IN MALAYSIA?