Thursday, August 28, 2008

ULAMA MERINTIS PROSES KEMERDEKAAN

Sejarah mengakui peranan ulama, tokoh agama dan pemikir Islam dahulu menjadi pengerak dan perintis utama menentang penjajah dan memandu masyarakat ketika itu untuk menuntut kemerdekaan. Semangat dan aspirasi ini bangkit ekoran ledakan maklumat terutamanya penulisan dan gerakan anti penjajah yang berlaku di Timur Tengah yang mana kebanyakan golongan agama mendapat pendidikan tinggi mereka di sana serta terpengaruh dengan idea pemulihan Islam yang dibawa oleh reformis Sayid Jamaluddin al-Afghani dan Sheikh Muhammad Abduh dan pengaruh ini dibawa pulang bersama di tanahair untuk dikembangkan.


Golongan agama ini melaksanakan tugas mereka secara bijaksana di mana di samping giat menyebarkan dakwah kepada masyarakat dan dalam masa yang sama meniupkan semangat kemerdekaan dan menimbulkan kesedaran melawan penjajah ketika itu. Ini banyak dilakukan melalui kegiatan penulisan yang berkembang subur sejak 1906 lagi apabila surat khabar Al-Imam diterbitkan, menjadi akhbar yang julung kali diterbitkan untuk menyeru kesedaran Islam sejagat.


Jika dilihat sepanjang era tahun 1906 hingga 1942, catatan sejarah membuktikan wujudnya perjuangan golongan agama bangun menyedarkan masyarakat Melayu melalui penubuhan sekolah atau madarasah dan pondok yang begitu banyak di seluruh negara serta melalui wadah surat khabar, majalah, aktiviti penulisan kitab, penterjemahan dan sebagainya dalam proses menyalakan obor dan semangat kesedaran orang Melayu menuntut kemerdekaan dari penjajah. Gerakan Islah atau Gerakan Pemulihan Islam ini turut menimbulkan kesedaran di kalangan intelektual Melayu ketika itu.


Nama besar seperti ilmuan dan intelektual Islam terkenal Syed Sheikh Al-Hadi, Sheikh Tahir Jalaluddin, Pendita Za’ba, Dr Burhanuddin al-Helmy, Haji Abas Taha, Ustaz Abu Bakar Bakir, Dr Zulkifli Mohamad, Haji Ahmad Fuad dan datuk Perdana Menteri sendiri iaitu Haji Abdullah Fahim cukup berpengaruh ketika itu di samping ramai lagi tokoh awal pejuang kemerdekaan di kalangan ahli agama yang merupakan antara golongan terawal memulakan gelombang pertama meniupkan semangat kemerdekaan. Korpus pemikiran yang dibina mereka juga telah melahirkan idea dan fikiran, kritikan serta nasihat bagi memajukan masyarakat Melayu untuk bangkit menuju kejayaan dan membina tamadun umat Islam yang unggul.


Mereka telah menyemarakkan kegiatan penulisan intelektual, aktif membasmi buta huruf, merapatkan jurang perbezaan jantina dalam pendidikan, konsisten mengkaji tabiat masyarakat ketika itu serta menerbitkan pelbagai bahan bacaan yang cukup berkesan, informatif dan berjaya menarik perhatian serta minat masyarakat seperti Pengasuh, Qalam, Neracha, Ikhwan dan sebagainya untuk memahami Islam secara syumul dan tidak berlandaskan bidaah atau karut marut dalam agama. Ketika itu sumber bacaan dan pengajian kuliah di institusi agama menjadi mekanisme dan alternatif sebagai salah satu medium untuk memberi kesedaran kepada masyarakat Melayu tentang apa yang berlaku di dalam dan luar negara.


Melihat pengaruh golongan agama dan institusi ulama ketika itu semakin mendapat dokongan rakyat, memaksa pihak British cuba menimbulkan pelbagai fitnah dengan melabelkan golongan ini sebagai radikal, penentang dan sebagainya di samping melaksanakan serangan minda dengan mengubah persepsi masyarakat agar menafikan peranan ulama serta menganggap hanya golongan nasionalis dan berhaluan kiri sahaja berperanan dalam kebangkitan kemerdekaan negara. Biarpun begitu, setelah negara mencapai kemerdekaan pada 1957, golongan agama dan institusi yang cukup berpengaruh ini tidak pernah disisih atau dipinggirkan di mana pengorbanan mereka tetap diiktiraf dan fungsi serta peranan mereka dalam memajukan agenda agama, bangsa dan negara terus berlaku sehinggalah ke hari ini.


Rujukan

Ramlah Adam, 2004. Gerakan Radikalisme di Malaysia. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka

No comments: