Tuesday, September 23, 2008

JALAN RAYA BUKAN LEBUH MAUT


Dari segi sejarah, kemalangan maut di jalan raya yang pertama di dunia dilaporkan berlaku pada 17 Ogos 1896 membabitkan seorang mangsa nahas bernama Briget Driscoll yang berumur 44 tahun di sekitar Crystal Palace, London di mana dalam kemalangan tragis tersebut sebuah kereta didapati telah memecut melebihi had laju iaitu lapan batu sejam atau 12.8 kilometer sejam berbanding had laju dibenarkan iaitu empat batu sejam sahaja yang menyebabkan berlakunya kemalangan pertama direkodkan dalam sejarah. Walaupun malang memang tidak berbau dan adalah sesuatu yang mustahil untuk kita mencapai kemalangan sifar, namun perkara tersebut boleh dielakkan jika semua pihak berhati-hati dan berwaspada ketika memandu di jalan raya.


Sesungguhnya, jalan raya bukanlah lebuh maut yang meragut nyawa ramai orang yang tidak berdosa. Nahas kemalangan jalan raya kronik dan statistik kemalangan maut yang tinggi begitu sinonim dengan setiap kali tiba musim perayaan di negara kita. Walaupun pelbagai usaha dan inisiatif telah dijalankan untuk membendung masalah ini, namun impaknya masih berada di takuk lama dan membimbangkan. Lantaran itu, Ops Sikap 17 khas sempena sambutan musim perayaan Aidilfitri tahun ini selama 15 hari telah bermula dan akan berakhir 8 Oktober ini telah dilancarkan serentak di seluruh negara oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam usaha mengurangkan kadar kemalangan dan membendung kemalangan maut. Ops Sikap kali ini akan menggunakan pendekatan yang lebih menyeluruh dan penguatkuasaan kreatif dengan menekankan lima aspek utama bagi menangani peningkatan nahas jalan raya pada musim perayaan.


Sehubungan itu, aspek pertama yang akan diberi penekanan ialah nasihat seperti mengajar pengguna jalan raya menggunakan topi keledar selain tindakan saman sebagai pengajaran. Aspek kedua pula, memberikan maklumat trafik pada waktu puncak dan selesa untuk perjalanan dan aspek ketiga, menekankan perubahan sikap pengguna yang hanya mematuhi peraturan jika ada polis. Manakala aspek keempat pula, memberi fokus kepada kawasan yang sering berlaku kemalangan dengan mengambil tindakan sewajarnya dan aspek kelima, meletakkan papan tanda yang jelas untuk peringatan kepada pemandu seperti Zon Perangkap Had Laju dan di samping itu juga, seperti mana sebelum ini, pihak polis akan terus membuat pemantauan bas secara penyamaran, rondaan seluruh negara di kawasan kemalangan, pemantauan kamera litar tertutup (CCTV) dan pemantauan melalui 19 menara pemerhati polis.


Dilaporkan seramai 20 orang maut akibat kemalangan jalan raya dalam 15 kemalangan di seluruh negara pada hari pertama Ops Sikap 13 tahun lepas. Pada hari pertama Ops Sikap 11 pula sebanyak 1,042 kemalangan jalan raya dengan 16 kemalangan maut dicatatkan di seluruh negara. Manakala pada hari pertama, Ops Sikap 12 pula sebanyak 25 kematian dicatatkan dalam 921 kemalangan jalan raya di seluruh negara. Secara keseluruhannya Ops Sikap menunjukkan jumlah kematian dan statistik kemalangan yang tinggi hampir setiap tahun. Pada tahun 2004, 200 kematian dicatatkan; 2005 (233 kematian), 2006 (228 kematian). Dalam Ops Sikap 10, jumlah kemalangan yang dicatatkan di lebuh raya sebanyak 76, jalan persekutuan 220, jalan negeri 160 manakala jalan bandaran mencatat 474 kemalangan.


Oleh yang demikian, bagi mengelak berlakunya kemalangan nahas jalanraya maka beberapa langkah awal perlu dilakukan. Antaranya ialah merancang perjalanan dan dapatkan rehat yang secukupnya sebelum memulakan sesuatu perjalanan jauh seperti balik kampung. Pemeriksaan kenderaan penting sebelum bertolak dan simpan alat bantuan kecemasan di dalam kenderaan bagi mengelak sebarang kemungkinan berlaku sepanjang di jalan raya. Di samping itu simpan air dan minyak hitam tambahan di dalam kenderaan serta pastikan tayar gantian mempunyai angin yang mencukupi dan servis kenderaan tepat pada masanya atau sebelum memulakan sesuatu perjalanan jauh.


Jangan memandu secara berbahaya dan berikan sepenuh tumpuan ketika memandu. Jangan makan, minum atau menggunakan telefon bimbit ketika memandu dan jangan memandu lebih daripada dua jam tanpa henti. Kongsi pemanduan amatlah digalakkan serta sentiasa mengikut had laju yang telah ditetapkan dengan memberikan konsentrasi yang lebih ketika memandu. Apa yang penting ialah bersabar dalam apa jua keadaan. Ketika memandu elakkan memotong barisan apabila beratur dan pastikan tidak terus memasuki lorong memotong apabila memasuki laluan utama dari jalan susur. Jangan berhenti di lorong kecemasan dan pandu di lorong kiri jika tidak memotong. Sifat berhemah, bertimbang rasa dan menghormati orang lain amat penting ketika berada di jalan raya bagi mengelak sebarang kecelakaan berlaku.


Oleh itu, statistik kemalangan maut yang tinggi di negara kita perlu ditangani dengan penuh bijaksana kerana ia melibatkan banyak nyawa terkorban serta mengakibatkan kecederaan dan hilang keupayaan serta banyak harta benda yang musnah. Keadaan ini mengakibatkan kerugian kepada pengguna dan kerajaan yang boleh menjejaskan ekonomi negara di mana kerajaan terpaksa menaik taraf jalan raya, kemudahan awam, di samping kehilangan modal insan berpotensi dan sebagainya. Situasi kemalangan yang tidak terkawal dan menakutkan juga boleh menjejaskan imej negara di kalangan masyarakat antarabangsa dan negara serantau. Oleh demikian, adalah diharapkan Ops Sikap kali ini mencapai objektifnya disamping memastikan aliran trafik lancar dan selamat, pelaksanaan penguatkuasaan undang-undang dengan sempurna dan mengurangkan jumlah kemalangan ke tahap yang paling minimum pada musim perayaan kali ini.


RUJUKAN

Tip Pemanduan Selamat ( Kementerian Kerja Raya )
Ops Sikap ke-17 bermula di seluruh negara, Utusan Malaysia, 24 September 2008
5 pendekatan kreatif didik pemandu, Berita Harian, 24 September 2008
“Ops Sikap 13: 20 maut dalam 15 nahas pada hari pertama”, Utusan Malaysia, 8 Oktober 2007
“Pertolongan cemas kemalangan jalan raya - Penentu jangka hayat mangsa”, Utusan Malaysia, 7 Oktober 2007

Sunday, September 21, 2008

FORMULA LAILATUL QADAR

(Petikan dari Ruangan Bicara Agama – Bersama : USTAZ MOHD. YUSOF ABAS)

Ada sesetengah ulama, tidak menentukannya secara pasti dan ada juga ulama terutama dari kalangan para zuhad dan sebagainya mengira dengan hari permulaan puasa.

Menurut mereka, sekiranya permulaan puasa jatuh pada hari Ahad atau Rabu maka Lailatulqadar ialah pada hari yang ke-29.

Jika bermula puasa pada hari Jumaat atau Selasa, ia jatuh pada hari ke-27 dan jika permulaan puasa pada Khamis, Lailatulqadar berlaku pada 25 Ramadan.

Sekiranya awal puasa pada Sabtu maka Lailatulqadar jatuh pada hari ke-23 dan jika awal puasa pada Isnin, seperti tahun ini, maka Lailatulqadar jatuh pada malam yang ke-21.

Demikianlah kaedah yang diguna pakai oleh sebahagian ulama termasuk Imam Abul Hasan r.a. Tegas beliau: Aku tidak pernah terlepas malam Lailatulqadar tersebut dengan menggunakan kaedah ini''.

Sumber : Mingguan Malaysia, 21 September 2008 [ http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0921&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_04.htm ]

KEWAJARAN AKTA HUBUNGAN KAUM DIWUJUDKAN

Persoalan sama ada perlu atau tidak Akta Hubungan Kaum diwujudkan di negara kita adalah sesuatu yang sangat subjektif dan perlukan kajian lanjut yang komprehensif serta tidak mempunyai agenda politik tertentu. Ini adalah kerana penggubalan akta ini bukanlah satu ancaman atau ugutan perkauman di negara kita tetapi hanya akan digunakan sekiranya terdapat pelanggaran dalam hubungan antara kaum yang boleh menjejaskan perpaduan rakyat.

Pada dasarnya akta berkenaan penting bagi memastikan negara sentiasa berada dalam keadaan aman tenteram dan rakyat pelbagai kaum dapat hidup dengan harmoni dan toleransi. Di samping itu, akta ini boleh bertindak sebagai mekanisme merapatkan perpaduan dan kesepakatan antara etnik di negara kita. Kewujudan akta ini adalah salah satu bentuk usaha penguatkuasaan kerajaan bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan negara terkawal dan dipelihara sebaik mungkin.

Akta ini diharapkan dapat menjadi landasan pembentukan sebuah masyarakat berbilang kaum dengan mengambil kira keadilan dan kesamarataan serta mengelakkan berlakunya konflik dan perselisihan kaum. Melalui akta ini diharapkan hasrat kerajaan merealisasikan sebuah masyarakat Malaysia yang teguh persefahaman, penuh semangat perpaduan, bersaing secara sihat ke arah melahirkan suasana integrasi kaum di negara kita dapat dicapai.

Dalam soal perpaduan, ramai tokoh pemimpin dan pemikir negara menyambut baik cadangan penggubalan akta berkenaan melihat kepada faktor sejarah negara yang pernah mencatatkan beberapa peristiwa pahit dan sejarah hitam negara seperti huru-hara dan perselisihan yang melibatkan kaum ekoran wujudnya perasaan tidak puas hati, salah faham dan sebagainya yang memberi ancaman kepada ketenteraman awam dan tekanan politik semasa.

Keharmonian dan perpaduan kaum penting kerana turut mempengaruhi corak pemerintahan, struktur sosial dan ekonomi sesebuah negara. Oleh demikian, kerajaan dicadang melihat terlebih dahulu beberapa model yang digunakan oleh negara-negara lain untuk dijadikan panduan untuk pengurusan etnik bagi mendapatkan pemahaman yang lebih bukan sahaja kepada budaya sendiri malah budaya serantau lain meliputi aspek bahasa, kebudayaan, adat resam, sejarah, sensitiviti kaum dan pendidikan.

Akta serupa yang sudah lama diamalkan di United Kingdom dan beberapa negara di Eropah boleh dikaji dan diteliti sebagai garis panduan selagi ianya tidak bertentangan dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan, budaya serta kepercayaan masyarakat setempat dan disesuaikan dengan realiti serta keadaan dalaman negara. Kita tidak boleh semborono dan tangkap muat sahaja dalam perkara yang serius ini kerana jika terleka insiden-insiden sama boleh berulang dan mungkin menjadi bertambah parah.

Biarpun begitu, apa yang lebih penting ialah hubungan antara kaum di negara mestilah bersifat semulajadi dan lahir dari hati serta perasaan rakyat berbilang kaum yang luhur dan ikhlas, bukannya sekadar kosmetik hubungan kaum semata-mata di mana kewujudan undang-undang dalam hal ini adalah sebagai garis panduan dan bertujuan mencegah serta mendidik rakyat. Namun, jika akta ini diwujudkan suatu hari nanti, apa yang perlu diberi penekanan adalah aspek perlaksanaan dan penguatkuasaannya secara adil dan tegas dilakukan.


Rujukan

Hubungan kaum mesti semula jadi, Utusan Malaysia, 21 September 2008
Akta Hubungan Kaum disambut baik, Utusan Malaysia, 20 September 2008
Kabinet setuju Akta Hubungan Kaum pupuk perpaduan, Berita Harian, 19 September 2008
Akta hubungan kaum akan diwujudkan: Syed Hamid Albar, Berita Harian, 18 September 2008

Friday, September 19, 2008

KESAN EKONOMI GLOBAL KEPADA MALAYSIA

Secara relatifnya, negara berjaya melalui pelbagai ujian baik dari segi politik, ekonomi dan sosial sejak 50 tahun lalu biarpun terpaksa melalui rencam halangan serta dugaan semasa yang sangat mencabar. Prestasi dan kedudukan ekonomi Malaysia tetap berada dalam keadaan memberangsangkan walaupun perkembangan semasa perdagangan antarabangsa, domestik dan pasaran saham agak kurang stabil sejak kebelakangan ini. Realiti ini adalah bersifat global dan bukan Malaysia sahaja yang merasainya bahkan merangkumi negara-negara maju dan membangun lain termasuklah Amerika Syarikat (AS) sendiri.

Sungguhpun begitu, ekonomi global diramal terus berkembang perlahan pada kadar 3.9 peratus pada 2009 berbanding 4.1 pada 2008 berikutan ketidaktentuan prospek pertumbuhan ekonomi AS berikutan krisis gadai janji subprima dan pasaran perumahan yang lemah di sana yang masih membelenggu dan memarahkan lagi keadaan fundamental ekonominya. Ini diburukkan lagi dengan pengumuman bankrap terhadap Lehman Brothers, bank pelaburan terbesar Amerika Syarikat (AS), ketika Rizab Persekutuan dan bank utama global mengambil langkah strategik mengukuhkan pasaran kewangan.

Pengumuman kerugian besar syarikat kewangan terkemuka seperti Merill Lynch dan American International Group Inc (AIG) menyebabkan pelabur hilang keyakinan terhadap pasaran kewangan AS, sekali gus mempengaruhi sentimen di pasaran kewangan global. Dalam perkembangan berkaitan, usaha Bank of America membeli bank pelaburan Merril Lynch bernilai AS$50 bilion dalam satu urus niaga yang mewujudkan syarikat perkhidmatan kewangan terbesar dunia. Susulan pembelian itu, Bank of America akan memiliki pembrokeran terbesar di dunia dengan kira-kira 20,000 penasihat dan aset pelanggan bernilai AS$2.5 trilion. Di sini, apa yang berlaku di AS boleh memberi kesan dan tempiasan kepada ekonomi Malaysia memandangkan hubungan perdagangan sangat penting wujud sejak sekian lama.

Keadaan ini sudah tentu memberi tekanan kepada Malaysia biarpun secara amnya ekonomi Malaysia mencatatkan pertumbuhan melebihi jangkaan dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) meningkat 6.7 peratus dalam tempoh separuh pertama 2008. Pertumbuhan itu disokong kecergasan penggunaan awam dan swasta serta permintaan luar yang kukuh. Bagaimanapun, pertumbuhan ini dijangka perlahan bagi tempoh separuh kedua tahun ini berikutan persekitaran luar yang tidak menentu termasuklah harga minyak mentah yang masih tidak menentu dijangka memberi kesan negatif terhadap pertumbuhan eksport, terutama bagi produk elektrik dan elektronik (E&E).

Dari sudut ekonomi domestik, tekanan inflasi akibat kenaikan harga minyak mentah sebelum ini dan peningkatan harga makanan dijangka memberi kesan kepada perbelanjaan pengguna dan pelaburan dari mask e semasa. Meskipun berdepan cabaran ini, ekonomi negara diharapkan masih mampu terus memperoleh manfaat berikutan harga komoditi yang teguh serta pertumbuhan kukuh negara membangun dan negara ekonomi sedang berkembang pesat, justeru dapat mengurangkan kesan ekonomi global yang agak perlahan. Sehubungan itu, sektor perkhidmatan yang berpotensi tinggi untuk diterokai seperti kewangan, profesional dan perniagaan, pembinaan, pendidikan dan latihan serta pelancongan perlulah diperkemas serta dimantapkan lagi sewajarnya. Selain itu, perkhidmatan kesihatan, logistik dan perkhidmatan teknologi maklumat merupakan sektor yang dilihat dapat menyediakan peluang besar kepada syarikat-syarikat tempatan.

Ini adalah kerana, pertumbuhan ekonomi yang pesat dan berdaya maju membuka peluang besar kepada keuntungan syarikat meningkat, sekali gus meningkatkan perolehan kerajaan kerana melalui keuntungan tersebut, kerajaan mendapat hasil cukai yang lebih tinggi. Daripada perolehan cukai yang semakin tinggi ini, kerajaan boleh melaksanakan pelbagai program pembangunan untuk rakyat, menyediakan kemudahan awam, membasmi kemiskinan dan sebaginya. Oleh yang demikian, sektor industri terutamanya perlulah diperkasakan lagi memandangkan ianya menyediakan peluang pekerjaan yang banyak kepada rakyat tempatan dalam usaha mengeluarkan hasil lebih tinggi dan bahan digunakan juga bertambah.

Hasil keluaran komoditi utama negara juga perlu dipertingkatkan seperti jumlah keluaran minyak sawit mentah dan getah yang harganya kini melonjak tinggi dan memberi pulangan lumayan kepada penanam serta penoreh sekali gus menyumbang kepada perkembangan ekonomi negara. Di samping itu, industri pelancaongan negara juga wajar dipertingkatkan kerana ianya turut menyumbangkan kepada pendapatan negara. Pada tahun 2007, menyaksikan kedatangan lebih 20 juta pelancong asing ke Malaysia dengan meraih hasil bernilai RM46.7 bilion sempena Tahun Melawat Malaysia 2007 dan secara tidak langsung menyumbang kepada perkembangan sektor perkhidmatan negara termasuk perhotelan, kraftangan, seni halus, perniagaan runcit, restoran, kewangan dan sebagainya.

Pelaksanaan projek di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9), koridor ekonomi dan sistem penyampaian mestilah diperbaiki dan dipertingkatkan agar dapat memberi kesan positif jangka panjang kepada ekonomi negara. Tahap keyakinan pelabur asing ke negara kita hendaklah berada pada tahap yang tinggi biarpun terpaksa berhadapan dengan tekanan politik dalaman dan dalam hal ini pelabur tidak akan mengambil risiko kewangan untuk melabur sekiranya mereka tidak yakin dengan kerajaan yang ada dan wujudnya ketidakstabilan politik. Oleh itu, usaha dan tindakan pantas menarik serta meningkatkan keyakinan pelabur perlu dipergiatkan lagi dari masa ke semasa. Setakat ini negara juga berdepan dengan kelebihan negara membangun lain seperti China, Vietnam, India, Thailand, Indonesia dan sebagainya yang dilihat saingan utama kepada negara.

Menurut Tan Sri G. Gnanalingam, Pengerusi Eksekutif Wesports bahawa selepas mengalami pembangunan kira-kira 50 tahun, kita boleh menyatakan bahawa negara ini memiliki salah satu infrastruktur yang terbaik di dunia di segi jalan raya, lapangan terbang, pelabuhan dan malah Koridor Raya Multimedia. Kerajaan telah melakukan banyak usaha agar setiap rakyat memiliki sebuah rumah, setiap murid mempunyai mejanya sendiri di sekolah, setiap pesakit di hospital mempunyai katilnya sendiri dan malah negara ini menyediakan pekerjaan bagi setiap 2.5 juta pekerja asing di samping pendapatan negara diagihkan kepada rakyat dalam bentuk penyediaan peluang pekerjaan, kemudahan awam yang lebih baik termasuklah pendidikan, kesihatan, perumahan dan sebagainya.
.
Sambil ekonomi negara telah berkembang sejak 50 tahun lepas pada kadar 6.0 hingga 8.0 peratus setahun, pemberian upah di negara ini dikatakan tidak sepadan dengan pertumbuhan sedemikian memandangkan kebanyakan syarikat sektor swasta di sini masih lagi membayar upah kepada pekerja yang bertaraf dunia ketiga. Sejak 50 tahun lepas, pembayaran upah di Singapura telah meningkat 7.5 kali daripada upah di Malaysia dan secara perbandingannya, pendapatan rakyat di Hong Kong lebih tinggi dari di Singapura dan rakyat Jepun menerima pendapatan lebih dari rakyat Hong Kong. Ini penting dan perlu diberi perhatian oleh semua pihak kerana melibatkan prestasi dan produktiviti pekerja di negara kita.

Adalah diharapkan pelan dan formula peralihan kuasa yang mungkin akan dipercepatkan di antara Perdana Menteri dan timbalannya seperti mana yang telah dipersetujui dan pertukaran portfolio yang melihatkan perlantikan Menteri Kewangan 1 yang baru serta penurunan harga minyak yang dijangka bakal dilakukan sebelum hari raya Aidilfitri ini diharapkan mampu merangsang dan memacu ekonomi negara di landasan yang betul. Rakyat menaruh kepercayaan yang tinggi serta berharap agar kerajaan dapat melakukan sesuatu agar kestabilan ekonomi, politik dan sosial di dalam negara kekal berada pada tahap yang terbaik dan kukuh pada masa hadapan.


RUJUKAN

KLCI susut bawah 1,000 mata, Berita Harian, 19 September 2008
Malaysia kurang terjejas krisis kewangan AS, 19 September 2008
Ekonomi negara tetap kukuh, 19 September 2008
Bank pelaburan Amerika bankrap, Berita Harian, 16 September 2008
'Infrastruktur kelas pertama, upah dunia ke-3', Utusan Malaysia, 15 September 2008
Kenapa masih tidak yakin?, Mingguan Malaysia, 25 Februari 2007
Tahun Melawat Malaysia raih RM46.7b, Utusan Malasyia, 18 Februari 2008

Laman web:
http://www.bharian.com.my/klikkhas/bajet/Artikel2009/LaporanEkonomi/20080829164959/Article/
http://www.bharian.com.my/klikkhas/bajet/Seksyen/index_html?mysec=LaporanEkonomi

Sunday, September 14, 2008

PUASA BUKAN ALASAN PRODUKTIVITI MENURUN

Ibadah puasa memainkan peranan yang sangat penting kepada pembinaan kekuatan dalaman serta luaran jasmani, rohani dan akal seseorang. Ibadah unik ini juga merangsang daya pemikiran, tingkah laku serta motivasi paling berkesan kepada amal ibadah khusus dan umum termasuklah bekerja mencari rezeki setiap hari. Untuk itu, tahap produktiviti kerja dan prestasi di bulan Ramadan perlu seimbang dengan produktiviti pada bulan-bulan lain.

Seseorang yang berpuasa sepatutnya lebih kuat bekerja serta berusaha memperbaiki diri dan keluarga, melakukan perubahan dari tidak baik kepada yang lebih baik, lebih bersemangat, bermotivasi, banyak membaca dan menelaah bahan bacaan yang berfaedah, lebih-lebih lagi kitab suci al-Quran yang sangat digalakkan membacanya sepanjang bulan Ramadan ini. Perlaksanaan falsafah puasa yang sebenar mampu mewujudkan persekitaran kerja yang lebih kondusif dan berdaya saing.

Oleh demikian, berpuasa bukanlah alasan produktiviti seseorang menurun dan tidak memberangsangkan. Walaupun terdapat beberapa kajian menunjukkan bahawa produktiviti seseorang pekerja menurun sedikit pada bulan Ramadan, namun sebagai umat Islam perkara berkenaan tidak sepatutnya berlaku memandangkan dalam sebuah hadis Rasulullah s.a.w pernah menegaskan bahawa puasa adalah ibadah yang menyihatkan. Oleh itu, puasa boleh mempengaruhi corak kerja yang efektif, pantas dan efisien yang dapat meningkatkan kualiti dan mutu kerja seseorang.

Sehubungan itu, kita juga tidak boleh memberi alasan penat berpuasa, letih berjaga malam, tidak cukup tidur dan sebagainya sebagai alasan tahap produktiviti menurun jika dilihat daripada perspektif sejarah terdapat beberapa siri peperangan di zaman awal Islam berlaku di bulan Ramadan dan mencapai kejayaan gilang gemilang. Ini membuktikan bahawa ibadah puasa telah memotivasikan umat Islam dahulu kala dalam menempah kejayaan dan ianya wajar dicontohi umat Islam hari ini dengan bekerja bersungguh-sungguh mencari rezeki, menuntut ilmu dan melakukan perubahan dalam hidup.

Bulan puasa bukanlah masa untuk seseorang 'curi tulang', malas, tidak produktif dan cuai dengan tanggunjawab yang telah diamanahkan. Keadaan ini hanya akan membantutkan lagi keupayaan sektor penggerak kepada kemajuan ekonomi negara jika ianya terus berterusan. Semua pihak mempunyai peranan secara langsung dalam meningkatkan produktiviti dan prestasi daya pengeluaran negara dalam apa jua sektor. Kualiti perkhidmatan yang kompetitif dan inovatif di dalam sesebuah negara bergantung kepada produktiviti serta kesungguhan pekerja dan industri terlibat.

Tambahan pula di bulan yang penuh berkat ini, kita boleh datang ke tempat kerja lebih awal dan dapat mengelak masalah kesesakan lalu lintas serta mempunyai banyak masa terluang ketika waktu rehat yang boleh digunakan untuk menyiapkan segala tugasan sebaik mungkin ataupun diisikan dengan amal ibadah sunat lain. Waktu rehat tersebut tidak disepatutnya digunakan untuk bersembang perkara yang tidak berfaedah, melayari internet yang tidak penting, membeli belah, bergosip di sana sini, banyak tidur dan aktiviti-aktiviti lain yang membuang masa serta merugikan semua pihak.

Monday, September 08, 2008

Kewajipan-kewajipan Seorang Saudara Muslim

Di dalam risalah At-Taalim Asy-Syahid Hassan Al-Banna telah menetapkan lebih tiga puluh kewajipan bagi seseorang saudara muslim yang menggabungkan dirinya dengan Harakah Islamiah. Dengan kewajipan-kewajipan ini Imam Al-Banna telah merumuskan kewajipan setiap seorang muslim terhadap dirinya, rumah tangganya dan masyarakatnya. Beliau mengatakan:

"Wahai saudara yang jujur! Keyakinan saudara terhadap persetiaan (baiah) ini, menuntut saudara menunaikan kewajipan-kewajipan berikut ini sehingga menjadi batu-batu yang kukuh bagi binaan kita".

1. Saudara hendaklah mewiridkan (membaca) Al-Quran kira-kira satu juzuk setiap hari dan bersungguh-sungguh melakukannya supaya dapat khatam dalam tempoh tidak lebih dari satu bulan tetapi janganlah dihabiskan dalam tempoh kurang dari tiga hari.

2. Saudara hendaklah membaca Al-Quran dengan baik (sebutan dan tajwid), sanggup pula mendengar dan merenungi maksud pengertiannya. Saudara juga hendaklah mempelajari sirah perjalanan hidup Rasulullah s.a.w dan sejarah angkatan salafussoleh yang mampu dilakukan sesuai dengan ruang waktu yang ada pada saudara. Sekurang-kurangnya saudara membaca buku "Hamalatul Islam" sebagai kajian permulaan. Hendaklah saudara memperbanyakkan membaca hadis-hadis Rasulullah s.a.w dan menghafal sekurang-kurangnya empat puluh hadis iaitu hadis 40 susunan Imam Nawawi. Saudara juga hendaklah mempelajari sebuah risalah atau kitab mengenai usul-usul akidah dan sebuah kitab mengenai hukum-hakam fekah.

3. Saudara hendaklah segera berjumpa doktor supaya diperiksa kesihatan am saudara. Jika didapati ada apa-apa penyakit saudara hendaklah segera mencari ubatnya. Saudara hendaklah mengambil berat terhadap sebab-sebab kekuatan badan dan pemeliharaannya. Di samping itu saudara hendaklah menjauhkan diri dari perkara-perkara yang boleh melemahkan kesihatan.

4. Saudara hendaklah menjauhkan diri dari meminum kopi, teh atau minuman menyegarkan seumpamanya secara berlebihan. Janganlah saudara meminumnya kecuali di ketika yang sangat perlu dan janganlah sekali-kali saudara menghisap rokok.

5. Saudara hendaklah mengambil berat tentang kebersihan dalam semua perkara, dalam rumah tangga, pakaian, makan-minum, tubuh-badan dan tempat kerja (pejabat) kerana agama ini dibina di atas dasar kebersihan.

6. Saudara hendaklah bercakap benar dan jangan sekali-kali berdusta.

7. Saudara hendaklah menunaikan dengan tepat segala kata-kata dan janji dan jangan sekali-kali saudara memungkirinya walaupun dalam keadaan paling sulit sekalipun.

8. Saudara hendaklah bersifat berani dan tahan memikul bebanan (tanggungjawab), semulia-mulia keberanian talah berani berterus-terang dalam perkara yang benar dan sanggup menyimpan rahsia, berani mengaku kesilapan diri sendiri, sanggup menyedarkan diri sendiri dan mampu mengawal diri ketika marah.

9. Saudara hendaklah bersikap serius dengan cara bersungguh-sungguh dalam sesuatu perkara. Kesungguhan sikap ini tidaklah sampai kepada peringkat sehingga menahan saudara dari bergurau-senda dengan cara yang benar dan ketawa dengan senyum.

10.Saudara hendaklah bersifat pemalu, halus perasaan dan mudah terasa (peka) kepada sesuatu yang baik ataupun yang buruk, dengan cara menunjukkan kegembiraan kepada sesuatu kebaikan dan menunjukkan kedukacitaan terhadap sesuatu yang buruk. Saudara hendaklah bersikap merendah diri tetapi bukan kerana merasa hina atau bertongkat dagu kepada orang lain. (Jika saudara menuntut sesuatu) saudara hendaklah memintanya kurang dari martabat kerana dengan cara demikian saudara dapat mencapai martabat sebenarnya dengan kebenaran.

11.Saudara hendaklah berlaku adil dan benar dalam menjalankan sesuatu hukum dalam segala perkara dan jangan saudara melupakan kebaikan orang lain kerana marah dan janganlah kerana sayang. Budi orang lain hendaklah dikenangkan walaupun ketika bermusuhan. Saudara hendaklah sanggup bercakap benar walaupun ke atas diri sendiri atau ke atas orang yang paling hampir dengan kamu walaupun ucapan itu pahit.


12.Saudara hendaklah benar-benar cergas dan terlatih dalam melakukan kerja-kerja kebajikan am sehingga saudara merasa bahagia dan menyenangkan perasaan apabila saudara dapat memberi khidmat kepada orang lain. Untuk maksud ini saudara hendaklah menziarahi orang-orang yang sakit, membantu orang yang berhajat (memerlukan), meringankan orang yang menanggung bebanan dan melapangkan orang yang ditimpa bencana dan melapangkan orang yang ditimpa bencana walaupun sekadar mengeluarkan kata-kata yang baik dan manis. Kesimpulannya hendaklah saudara segera melakukan kebajikan.

13.Saudara hendaklah bersifat belas-kasihan, pemurah dan bertolak-ansur. Dalam perkara ini saudara hendaklah memberi kemaafan dan mengampunkan kesilapan-kesilapan orang lain dan sentiasa bersabar dan bertenang. Bertimbang-rasa bukan terbatas kepada manusia sahaja malah terhadap haiwan sekalipun hendaklah saudara bertimbang-rasa. Saudara hendaklah memelihara pergaulan dan akhlak yang baik dengan orang ramai, memelihara adab-sopan secara Islam, menaruh belas kasihan terhadap yang lebih muda dan menghormati orang-orang yang lebih tua, melapangkan tempat duduk di dalam majlis-majlis perhimpunan, janganlah saudara mengintai-intai, mengumpat-umpat dan menceroboh. Saudara hendaklah meminta izin terlebih dahulu sebelum memasuki ke satu-satu tempat dan ketika hendak mengundurkan diri daripadanya.

14.Saudara hendaklah boleh membaca dan menulis dengan baik dan sentiasa banyak mengulang-kaji risalah-risalah Ikhwanul Muslimin seperti akhbar-akhbar, majalah dan seumpamanya yang diterbitkan oleh mereka. Seboleh-bolehnya saudara hendaklah memiliki kutub khanah (perpustakaan) sendiri walaupun kecil. Dengan ini saudara pula hendaklah mendalamkan ilmu pengetahuan dan kepandaian saudara. Jika saudara termasuk dalam golongan yang mempunyai pengkhususan berkenaan urusan-urusan dalam bidang tertentu, saudara hendaklah mempunyai pengalaman berkenaan urusan-urusan keIslaman sekadar yang membolehkan saudara melihat dan menghukumnya supaya selari dengan tuntutan-tuntutan fikrah perjuangan kita.

15.Saudara hendaklah membuat sesuatu pekerjaan ekonomi sekalipun saudara sudah kaya-raya dan hendaklah saudara memilih dan membuat apa jua pekerjaan yang bebas sekalipun kecil. Ceburkanlah diri saudara ke dalam bidang berkenaan walau apa juga kedudukan ilmu pengetahuan yang ada pada saudara.

16.Janganlah saudara mencari-cari kerja di dalam jabatan-jabatan kerajaan malah saudara hendaklah memandang pekerjaan seperti itu sempit pintu rezekinya. Tetapi jangan pula saudara terus menolak apabila datang peluang pekerjaan. Janganlah pula saudara lepaskan pekerjaan tersebut kecuali kalau ia benar-benar bertentangan dengan kewajipan-kewajipan dakwah kita.

17.Saudara hendaklah berjaga-jaga supaya dapat menunaikan tugas dan tanggungjawab saudara dengan penuh amanah tentang kelicinan dan kehalusan pekerjaannya, jangan sekali-sekali anda menipu, malah saudara hendaklah menunaikan tugas tersebut tepat dengan mdan janjinya.

18.Saudara hendaklah menuntut hak-hak saudara dengan cara yang baik dan menunaikan hak-hak orang lain dengan sempurnatanpa perlu dituntut dantidak menangguh-nangguhkan.

19.Saudara hendaklah menjauhi permainan judi walau apapun jenisnya dan walau apapun tujuannya. Saudara juga hendaklah menjauhi sebarang cara penghasilan yang haram sekalipun memperolehi keuntungan dengan serta merta.

20.Saudara hendaklah menjauhi amalan riba dalam seluruh muamalat malah hendaklah saudara membersihkan diri sama sekali dari sebarang amalan riba.

21.Saudara hendaklah menggunakan harta kekayaan Umat Islam kepada jalan-jalan yang menggalakkan perusahaan dan institusi-institusi ekonomi Islam dan saudara hendaklah berjaga-jaga supaya jangan tercicir walaupun satu sen ke tangan pihak yang bukan Islam walau dalam apa jua keadaan sekalipun. Janganlah saudara memakai dan memakan kecuali pakaian dan barang makanan yang dikeluarkan oleh negara Islam.

22.Saudara hendaklah menyumbangkan untuk dakwah kita dari harta saudara dan jangan lupa mengeluarkan zakat yang wajib malah hendaklah saudara menguntukkan sedikit daripada harta itu untuk menolong pengemis-pengemis dan orang-orang yang terputus rezeki sekalipun pendapatan saudara sangatlah kecil.

23.Saudara hendaklah menyimpan sebahagian dari wang pendapatan saudara untuk waktu-waktu kecemasan walaupun sedikit dan janganlah sekali-kali saudara terjerumus di dalam amalan-amalan membelanjakan wang dalam perkara-perkara yang tidak mustahak.

24.Saudara hendaklah berusaha sedaya upaya menghidupkan adat-adat yang bercorak Islam sebaliknya mematikan adat-adat asing dalam semua lapangan hidup. Di antara adat tersebut ialah cara-cara memberi hormat, bahasa, sejarah. Masa bercuti, makanan, minuman, cara-cara datang dan pergi, cara berduka, cara bersuka dan sebagainya. Dalam semua kebiasaan-kebiasaan itu saudara hendaklah beramal dengan sunnah Rasulullah s.a.w.

25.Saudara hendaklah pulaukan mahkamah tempatan dan sebarang proses kehakiman yang bukan Islam, kelab-kelab, akhbar-akhbar, perkumpulan-perkumpulan, sekolah-sekolah dan institusi-institusi yang menentang fikrah Islamiah. Pemulauan tersebut mestilah dilakukan secara bersungguh-sungguh.

26.Saudara hendaklah sentiasa merasai diri saudara berada di bawah pengawasan Allah s.w.t, mengingati hari akhirat dan bersedia untuk ke sana dan hendaklah saudara mempertingkatkan perjalanan hidup sehari-hari satu peringkat ke satu peringkat yang lebih tinggi dalam mendapatkan keredaan Allah dengan hemat dan keazaman yang kuat. Dekatkanlah diri saudara kepada Allah s.w.t dengan cara mengerjakan ibadat-ibadat sunat seperti sembahyang tahajud (di waktu malam), berpuasa sekurang-kurangnya tiga hari setiap bulan, memperbanyakkan zikir di dalam hati dan lidah dan berdoa dengan doa-doa yang ma'thur dalam setiap keadaan.

27.Saudara hendaklah melakukan dengan baik apabila bersuci (iaitu berwuduk dengan cara menyempurnakan segala syarat dan rukunnya) dan hendaklah saudara sentiasa berada di dalam keadaan berwuduk.

28.Saudara hendaklah mengerjakan sembahyang dengan cara yang betul (iaitu menyempurnakan syarat dan rukun-rukunnya) dan menunaikannya pada waktu-waktunya dengan mengutamakan sembahyang berjemaah dan sembahyang di masjid seboleh yang mungkin.

29.Saudara hendaklah berpuasa pada bulan Ramadan dan menunaikan Haji ke Baitullah apabila saudara berkemampuan pergi ke sana dan jika sekiranya saudara belum mampu hendaklah membuat persediaan untuknya mulai sekarang.

30.Saudara hendaklah sentiasa berada di dalam keadaan niat berjihad dan bercita-cita untuk mati syahid serta melakukan persediaan sedaya-upaya untuk berjihad dan mati bersama-sama dengan para syuhada'.

31.Saudara hendaklah sentiasa memperbaharui taubat dan memohon keampunan, menjauhkan diri dari dosa-dosa besar. Saudara hendaklah memperuntukkan masa selama satu jam sebelum tidur untuk menghisab diri saudara tentang kebaikan-kenaikan dan kejahatan-kejahatan yang telah saudara lakukan. Saudara hendaklah menjaga masa kerana masa itu adalah kehidupan. Oleh itu janganlah saudara membazirkan masa itu walaupun sedikit kepada perkara-perkara yang tidak memberi faedah dan hendaklah saudara menjauhkan diri dari perkara-perkara yang syubahat dan samar-samar hukumnya supaya saudara tidak terjatuh ke dalam perkara-perkara yang haram.

32.Saudara hendaklah bersungguh-sungguh melawan hawa nafsu saudara sehingga mudah saudara mengendalikannys. Saudara mestilah menjaga penglihatan saudara (dari benda-benda atau tempat-tempat yang haram) dan kuasailah desakan-desakan naluri saudara dengan cara mengarahkannya kepada perkara-perkara yang halal lagi baik dan elakkanlah diri dari sesuatu yang haram walau apapun bentuknya.

33.Saudara hendaklah menjauhkan diri sama sekali dari arak, minuman-minuman yang memabukkan dan minuman-minuman yang melemahkan kesihatan badan atau minuman yang seumpamanya.

34.Saudara hendaklah menjauhkan diri dari berdampingan dengan rakan-rakan yang jahat, kawan-kawan yang rosak dan segala tempat berlakunya maksiat dan dosa.

35.Saudara hendaklah memerangi tempat-tempat permainan yang keji apatah lagi menghampirinya malah saudara juga menjauhkan diri dari cara hidup yang bermewah-mewahan dan bersenang-lenang.

36.Saudara hendaklah mengenali anggota-anggota pasukan saudara demi seorang dengan sebenar-benar pengenalan. Di samping itu saudara juga memperkenalkan diri saudara kepada mereka sama seperti saudara mengenali mereka dengan cara menunaikan dengan sempurna hak-hak persaudaraan seperti kasih-sayang, menghargai, memberi pertolongan, mengutamakan diri mereka dan menghadiri majlis-majlis mereka, janganlah saudara ketinggalan dari menghadirinya kecuali keuzuran yang tidak dapat dielakkan. Saudara hendaklah sentiasa membuktikan bahawa saudara benar-benar mengutamakan diri mereka dari diri saudara sendiri.

37.Saudara hendaklah melepaskan diri daripada berhubung dengan sebarang badan atau kumpulan yang tidak memberi faedah kepada fikrah perjuangan saudara terutama jika saudara disuruh berbuat demikian dengan kumpulan seperti itu.

38.Saudara hendaklah bekerja untuk menyiarkan dakwah saudara di segenap ceruk rantau dan saudara hendaklah melaporkan kepada pucuk pimpinan tentang keadaan suasana yang mengelilingi saudara dan janganlah saudara melakukan sesuatu kerja yang menjejaskan dasar-dasar seruan kita melainkan dengan mendapat keizinan terlebih dahulu (dari pucuk pimpinan). Dalam melakukan kerja sedemikian, saudara hendaklah mempunyai hubungan yang rapat dengan pucuk pimpinan, malah dari sudut jiwa dan amalan saudara hendaklah menganggap diri saudara adalah seorang perajurit yang sentiasa bersiap-sedia di khemahnya, hanya menunggu saat menerima perintah dan tindakan.

Wirid Rabitah:

Saudara bacalah ayat-ayat suci di bawah ini dengan penuh tadabbur dan renungilah maksudnya:

قُلِ اللَّهُمَّ مَالِكَ الْمُلْكِ تُؤْتِي الْمُلْكَ مَنْ تَشَاءُ وَتَنْزِعُ الْمُلْكَ مِمَّنْ تَشَاءُ وَتُعِزُّ مَنْ تَشَاءُ وَتُذِلُّ مَنْ تَشَاءُ بِيَدِكَ الْخَيْرُ إِنَّكَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ. تُولِجُ اللَّيْلَ فِي النَّهَارِ وَتُولِجُ النَّهَارَ فِي اللَّيْلِ وَتُخْرِجُ الْحَيَّ مِنَ الْمَيِّتِ وَتُخْرِجُ الْمَيِّتَ مِنَ الْحَيِّ وَتَرْزُقُ مَنْ تَشَاءُ بِغَيْرِ حِسَابٍ.

Yang bermaksud:

Katakanlah (wahai Muhammad): Wahai Tuhan yang mempunyai kuasa pemerintahan! Engkaulah yang memberi kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang mencabut kuasa pemerintahan dari sesiapa yang Engkau kehendaki. Engkaulah juga yang memuliakan sesiapa yang Engkau kehendaki dan Engkaulah yang menghina sesiapa yang Engkau kehendaki. Dalam kekuasaan Engkaulah sahaja adanya segala kebaikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu. Engkaulah (wahai Tuhan) yang memasukkan waktu malam ke dalam waktu siang dan Engkaulah yang memasukkan waktu siang ke dalam waktu malam. Engkaulah juga yang mengeluarkan sesuatu yang hidup dari benda yang mati dan Engkaulah yang mengeluarkan benda yang mati dari sesuatu yang hidup. Engkau jualah yang memberi rezeki kepada sesiapa yang Engkau kehendaki, dengan tiada hitungan hisabnya.
(Surah Aali Imran, Ayat: 26 - 27).

Kemudian saudara hendaklah menghadirkan di dalam ingatan saudara rupa rakan-rakan yang saudara kenali merasakan wujudnya ikatan hubungan kerohanian dengan mereka dan rakan-rakan yang belum saudara kenali. Kemudian berdoalah untuk mereka semua dengan doa ini:

اَللّهُمَّ إِنَّكَ تَعْلَمُ أَنَّ هَذِهِ الْقُلُوْبَ قَدِ اجْتَمَعَتْ عَلَي مَحَبَّتِكَ، وَالْتَقَتْ عَلَى طَاعَتِكَ، وَتَوَحَّدَتْ عَلَى دَعْوَتِكَ، وَتَعَاهَدَتْ عَلَى نُصْرَةِ شَرِيْعَتِكَ، فَوَثِّقِ اللَّهُمَّ رَابِطَتَهَا، وَأَدِمْ وُدَّهَا، وَاهْدِهَا سُبُلَهَا، وَامْلَأَهَا بِنُوْرِكَ الَّذِيْ لَا يَخْبُوْا، وَاشْرَحْ صُدُوْرَهَا بِفَيْضِ الْإِيْمَانِ بِكَ، وَجَمِيْلِ التَّوَكُّلِ عَلَيْكَ، وَاَحْيِهَا بِمَعْرِفَتِكَ، وَأَمِتْهَا عَلَي الشَّهَادَةِ فِيْ سَبِيْلِكَ إِنَّكَ نِعْمَ الْمَوْلَي وَنِعْمَ النَّصِيْرِ، اَللَّهُمَّ أَمِيْنَ وَصَلِّ اللَّهُمَّ عَلَي سَيِّدَنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَي آلِهِ وَصَحْبِهِ وَسَلَّمْ.

Yang bermaksud:

"Ya Allah, sesungguhnya Engkaulah yang Maha Mengetahui bahawa hati-hati (orang-orang yang dibayangkan) ini, telah berhimpun di atas dasar kecintaan terhadapmu, bertemu di atas ketaatan kepada-Mu, bersatu lagi memikul beban dakwah-Mu. Hati-hati ini telah mengikat persetiaan untuk menolong meninggikan syariat-Mu. Oleh itu, Ya Allah, Engkau perkukuhkan ikatannya dan Engkau kekalkan kemesraan mawaddah antara mereka. Tunjukkanlah kepada hati-hati ini akan jalan yang sebenar serta penuhkanlah piala hati-hati ini akan jalan yang sebenar serta penuhkanlah piala hati-hati ini dengan cahaya Rabbani-Mu yang tidak kunjung malap. Lapangkanlah hati sanubari ini dengan keimanan dan keindahan tawakal kepada-Mu. Hidup suburkanlah hati-hati ini dengan makrifat (pengenalan yang sebenarnya) tentang-Mu. (Jika Engkau takdirkan kami mati) maka matikanlah hati-hati ini sebagai para syuhada dalam perjuangan agama-Mu. Sesungguhnya Engkau sebaik-baik pelindung dan sebaik-baik penolong. Ya Allah perkenankanlah doa kami".

Rujukan

Fathi Yakan, Apa Erti Saya Menganut Islam [http://www.zulkiplyharun.com/php/modules.php?name=fy&file=fy7a]

HARAKAH ISLAMIYYAH MENURUT IMAM HASAN AL-BANNA

"Kita bukanlah sebuah parti politik, sekalipun politik (siasah) yang berasaskan kaedah-kaedah Islam adalah intisari fikrah kita. Kita bukanlah pertubuhan kebajikan sekalipun amal kebajikan dan khairat adalah di antara tujuan gerakan kita yang sangat besar. Kita juga bukan perkumpulan riadah sekalipun riadah atau rekreasi dan riadah ruhiyyah adalah di antara wasilah-wasilah yang kita amalkan.

Kita bukanlah sebuah jama'ahdalam pengertian seperti pertubuhan-pertubuhan tersebut kerana kelahiran pertubuhan tersebut adalah untuk matlamat-matlamat tertentu dan untuk jangka waktu yang tertentu pula. Boleh jadi pertubuhan-pertubuhan berkenaan ditubuhkan semata-mata kerana ingin mengadakan persatuan dan cita-cita inginkan gelaran dan kedudukan dalam pentadbiran dan organisasi tersebut.

Tetapi perjuangan kita adalah perjuangan yang berdasarkan fikrah dan 'akidah, nizam dan manhaj yang tidak membataskan tujuan dan matlamat hanya kepada bangsa tertentu dan kawasan atau wilayah tertentu sahaja. Perjuangan kita tidak akan berhenti dengan penyelesaian masalah tertentu malah ia akan berterusan hingga ke hari Kiamat kerana Islam adalah sistem ciptaan Tuhan alam semesta ini dan manhaj Rasul-Nya yang paling dipercayai.

Kita menyatakan kepada manusia secara tidak bermegah-megah bahawa kita adalah para pengikut angkatan sahabat Rasulullah s.a.w yang menjadi pembawa panji-panji Islam selepas kewafatan Baginda s.a.w. Kita adalah angkatan yang menjulang kembali bendera Rasulullah s.a.w sebagaimana para sahabat r.a telah melakukannya. Kita akan menyiarkan dakwah baginda sebagaimana yang telah disiarkan oleh mereka.

Kita akan memelihara kandungan kitab suci Al-Quran sebagaimana para sahabat telah memeliharanya. Kita adalah pembawa berita gembira melalui dakwah baginda sebagaimana para sahabat telah melakukannya dan ia akan menjadi rahmat ke seluruh alam. Anda pasti akan mengetahui perkhabaran-perkhabarannya dalam sedikit masa lagi."

"Saudara-saudara sekalian! Kamu bukanlah sebuah pertubuhan kebajikan, bukanlah sebuah pertubuhan politik, bukanlah satu pertubuhan yang diasaskan dengan tujuan yang terbatas, tetapi kamu adalah satu roh baru yang mengalir di dalam urat nadi umat ini, lalu kamu menghidupkan mereka dengan Al-Quran. Kamu adalah satu cahaya baru yang memancar, yang dapat menghilangkan kegelapan fahaman kebendaan dengan makrifat kepada Allah dan kamu adalah suara-suara lantang yang akan menghidupkan kembali dakwah Rasulullah s.aw".

Di dalam risalah yang bertajuk "Bainal Amsi Wal Yaum" (Di Antara Semalam Dengan Hari Ini) di bawah tajuk: "Ranjau-ranjau di jalan kita", Asy-Syahid Hassan Al-Banna menyatakan:

"Saya suka berterus terang kepada anda sekalian, sesungguhnya dakwah kami ini mesti belum dikenali oleh orang ramai. Pada hari mereka mengenalinya dan mengetahui matlamat dan objektifnya nanti, kamu pasti menerima penentangan yang hebat dan sikap permusuhan yang ketat. Kamu akan dapati di hadapan kamu berbagai kesusahan dan halangan yang akan menghalang kamu. Pada masa itu barulah barulah kamu mula menempuh dan mengikut jalan para pendukung dakwah. Adapun sekarang mereka tidak mengetahui lagi, kamu di peringkat awal dakwah dan anda tentu bersedia dengan apa jua cara yang dikehendaki oleh perjuangan dan jihad.

Kejahilan rakyat tentang hakikat Islam akan menjadi penghalang jalan kamu. Kamu akan dapati ahli-ahli agama dan ulama-ulama yang rasmi menjadi orang yang hairan dengan kefahaman Islam kamu dan tidak mengakui jihad kamu. Semua pemerintah akan bekerjasama menjadi penghalang di hadapan muka kamu dan setiap pemerintah itu akan cuba menyekat kegiatan-kegiatan kamu dan meletakkan halangan di jalan kamu.

Lanun-lanun ini juga akan berganding bahu di setiap jalan untuk menentang kamu dan memadam sinar dakwah kamu. Mereka akan meminta bantuan pemerintah-pemerintah yang lemah dan orang-orang yang akhlaknya rendah dan tangan-tangan yang sengaja meminta sesuatu dari mereka tetapi melakukan kejahatan dan permusuhan terhadap kamu.

Kamu akan dimusuhi dan dibenci. Semuanya akan berusaha menimbulkan keraguan serta melemparkan tuduhan-tuduhan yang zalim terhadap dakwah kamu dan menunjukkan kepada manusia dengan gambaran yang paling hodoh dan kotor dengan menggunakan kekuatan dan kekuasaan yang ada pada mereka. Mereka akan menindas dengan harta-benda dan kuasa mereka.

Allah s.w.t berfirman:

يُرِيدُونَ لِيُطْفِئُوا نُورَ اللَّهِ بِأَفْوَاهِهِمْ وَاللَّهُ مُتِمُّ نُورِهِ وَلَوْ كَرِهَ الْكَافِرُونَ

Yang bermaksud:

Mereka sentiasa berusaha hendak memadamkan cahaya Allah (agama Islam) dengan mulut mereka, sedang Allah tetap menyempurnakan cahayaNya, sekalipun orang-orang kafir tidak suka (akan yang demikian).
(Surah As-Saff, Ayat: 8).

Dengan ini kamu akan memasuki tingkat percubaan dan ujian di mana kamu akan dipenjara, ditangkap, dipindahkan, dipencilkan, dirampas harta-benda kamu, disekat kerja-kerja kamu bahkan digeledah rumah-rumah kamu. Boleh jadi masa ujian yang bakal kamu hadapi ini panjang.

Allah s.w.t berfirman:

أَحَسِبَ النَّاسُ أَنْ يُتْرَكُوا أَنْ يَقُولُوا ءَامَنَّا وَهُمْ لَا يُفْتَنُونَ

Yang bermaksud:

Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: Kami beriman, sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)?
(Surah Al-Ankabuut, Ayat: 2).

Tetapi Allah telah berjanji kepada kamu selepas semuanya itu, iaitu kemenangan kepada para mujahidin dan ganjaran pahala kepada orang yang melakukan amal yang baik.

Firman Allah:

يَاأَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوا هَلْ أَدُلُّكُمْ عَلَى تِجَارَةٍ تُنْجِيكُمْ مِنْ عَذَابٍ أَلِيمٍ. تُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَرَسُولِهِ وَتُجَاهِدُونَ فِي سَبِيلِ اللَّهِ بِأَمْوَالِكُمْ وَأَنْفُسِكُمْ ذَلِكُمْ خَيْرٌ لَكُمْ إِنْ كُنْتُمْ تَعْلَمُونَ. يَغْفِرْ لَكُمْ ذُنُوبَكُمْ وَيُدْخِلْكُمْ جَنَّاتٍ تَجْرِي مِنْ تَحْتِهَا الْأَنْهَارُ وَمَسَاكِنَ طَيِّبَةً فِي جَنَّاتِ عَدْنٍ ذَلِكَ الْفَوْزُ الْعَظِيمُ. وَأُخْرَى تُحِبُّونَهَا نَصْرٌ مِنَ اللَّهِ وَفَتْحٌ قَرِيبٌ وَبَشِّرِ الْمُؤْمِنِينَ. يَاأَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوا كُونُوا أَنْصَارَ اللَّهِ كَمَا قَالَ عِيسَى ابْنُ مَرْيَمَ لِلْحَوَارِيِّينَ مَنْ أَنْصَارِي إِلَى اللَّهِ قَالَ الْحَوَارِيُّونَ نَحْنُ أَنْصَارُ اللَّهِ فَآمَنَتْ طَائِفَةٌ مِنْ بَنِي إِسْرَائِيلَ وَكَفَرَتْ طَائِفَةٌ فَأَيَّدْنَا الَّذِينَ ءَامَنُوا عَلَى عَدُوِّهِمْ فَأَصْبَحُوا ظَاهِرِينَ

Yang bermaksud:

Wahai orang-orang yang beriman! Mahukah Aku tunjukkan sesuatu perniagaan yang boleh menyelamatkan kamu dari azab seksa yang tidak terperi sakitnya? Iaitu, kamu beriman kepada Allah dan rasulNya, serta kamu berjuang membela dan menegakkan agama Allah dengan harta benda dan diri kamu; yang demikian itulah yang lebih baik bagi kamu, jika kamu hendak mengetahui (hakikat yang sebenarnya). (Dengan itu) Allah akan mengampunkan dosa-dosa kamu dan memasukkan kamu ke dalam taman-taman yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, serta ditempatkan kamu di tempat-tempat tinggal yang baik dalam Syurga "Adn". Itulah kemenangan yang besar. Dan ada lagi limpah kurnia yang kamu sukai, iaitu pertolongan dari Allah dan kemenangan yang cepat (masa berlakunya) dan sampaikanlah berita yang menggembirakan itu kepada orang-orang yang beriman. Wahai orang-orang yang beriman! Jadikanlah diri kamu pembela-pembela (agama) Allah sebagaimana (keadaan penyokong-penyokong) Nabi Isa Ibni Mariam (ketika ia) berkata kepada penyokong-penyokongnya itu: Siapakah penolong-penolongku (dalam perjalananku) kepada Allah (dengan menegakkan agamaNya)? Mereka menjawab: Kamilah pembela-pembela (agama) Allah! (Setelah Nabi Isa tidak berada di antara mereka) maka sepuak dari kaum Bani Israil beriman dan sepuak lagi (tetap) kafir. Lalu Kami berikan pertolongan kepada orang-orang yang beriman untuk mengalahkan musuhnya, maka menjadilah mereka orang-orang yang menang.
(Surah As-Saff, Ayat: 10 - 14).

"Setelah memahami penjelasan demikian, apakah kamu akan tetap pendirian untuk menjadi penolong-penolong (pejuang-pejuang menegakkan agama) Allah?".

Rujukan

Fathi Yakan, Apa Erti Saya Menganut Islam [http://www.zulkiplyharun.com/php/modules.php?name=fy&file=fy5a]

KOMENTAR ISU TULISAN PUASA

Komen terhadap tulisan Abdul Rahman Abdul Rahim, 2005. Maksud berpuasa. Utusan Malaysia, 7 Oktober

Puasa adalah suatu amalan ibadat, iaitu aktiviti melahirkan rasa menghambakan diri kepada Allah s.w.t. Kita melaksanakannya kerana ia disyariatkan oleh Allah s.w.t. Sebagai ibadat, ia merupakan suatu aktiviti kerohanian, bagi merapatkan kita, sebagai seorang manusia beragama dengan Tuhan.

Ibadat yang merupakan ciri-ciri agama penuh dengan metafora atau perlambangan yang tidak boleh ditafsirkan secara lahiriah. Begitu juga dengan puasa. Ia merupakan perlambangan atau syiar agama.

Justeru, tidak wajar untuk mengatakan bahawa amalan berpuasa ini adalah baik untuk kesihatan. Ini kerana orang Islam berpuasa bukan kerana kesihatan, tetapi adalah semata-mata kerana agama.

Sebaliknya, orang Islam mesti mengambil langkah-langkah wajar supaya ibadat puasa ini tidak menjejaskan kesihatan mereka.

Sememangnya ada kaedah kesihatan yang menyuruh kita berpuasa atas sebab-sebab tertentu yang disimpulkan daripada kajian mengenai kesihatan. Tetapi ia tidak berkaitan dengan ibadat puasa yang disyariatkan.

Ilmu kesihatan berkembang mengikut pengetahuan manusia dalam bidang sains dan teknologi. Kaedah rawatan berubah dari zaman ke zaman.

Tetapi syariat berpuasa dalam Islam kekal sejak Rasulullah s.a.w. mengajarnya. Justeru, tidak wajar mengaitkan ibadat puasa dengan sebarang kaedah kesihatan.

Metafora yang diserlahkan melalui puasa bukanlah menahan lapar untuk merehatkan perut. Perut manusia tidak memerlukan rehat.

Walaupun kosong, asid tetap dirembeskan. Menahan lapar dalam puasa adalah menahan nafsu yang dikaitkan dengan penyucian hati. Hati di sini bukanlah bermakna organ dalam badan manusia.

Hati dalam Islam bukan merujuk dari segi biologi tetapi lebih kepada kerohanian. Hati dalam beragama berkait dengan roh. Kedua-dua ini merupakan konsep tasauf, dan tempat mereka sebenarnya ialah di minda seseorang.

Justeru, amalan puasa bukan sekadar menahan lapar, tetapi juga menahan perlakuan seks. Ia juga berkait dengan nafsu, dan tidak ada kaitan dengan kesihatan.

Begitu juga dengan sembahyang tarawih. Ia merupakan ibadat bagi memperkayakan jiwa kerohanian seseorang.

Justeru tidak juga wajar untuk menyatakan bahawa tarawih adalah baik untuk kesihatan kerana ia berupa senaman bagi orang berpuasa. Sembahyang adalah ibadat yang tidak ada kaitan dengan senaman.

Realitinya bulan Ramadan akan menyaksikan produktiviti menurun kerana kedudukan fizikal umat Islam yang kurang makan, keletihan dan kurang tidur.

Tetapi Ramadan adalah bulan penghulu bagi orang Islam kerana ia merupakan tempoh masa bagi mempertajamkan nilai kerohanian seseorang. Ini kerana Islam adalah agama kerohanian.

Komentar:

Membaca satu rencana bertajuk " Maksud Puasa " yang
ditulis oleh saudara Abdul Rahman Abdul Rahim pada
7.10.2005 di akhbar tuan adalah suatu yang amat
mengelirukan dan tidak bercirikan tulisan keagamaan
yang baik.

Ini kerana penulis cuba memberi tafsiran mengenai
amalan berpuasa dengan menggunakan hujah-hujah
dangkal, kuno dan langsung tidak relevan untuk
diamati.

Penulis cuba membawa perhatian para pembaca dengan
membawa hujah perbahasan pengertian puasa dengan hanya
merujuk kepada kitab-kitab kuning lama yang kurang
praktikal dan bersifat statik.

Dengan mengatakan bahawa adalah tidak wajar untuk
mengatakan bahawa amalan berpuasa adalah baik untuk
kesihatan kerana orang Islam berpuasa bukan kerana
kesihatan tetapi adalah semata-mata kerana agama
adalah kenyataan dan hujah yang tidak kemas dan kurang
kajian terperinci.

Ini adalah kerana Nabi Muhammad s.a.w pernah bersabda
dengan maksud yang jelas iaitu " Berpuasalah nescaya
kamu sihat " adalah suatu hujah yang bersumberkan
bukti muktamad berkenaan hubungan amalan berpuasa dan
kaedah kesihatan yang difahami oleh semua orang.
Mungkin hadis ini tidak disedari penulis atau sengaja
diketepikan.

Penulis juga ada menyatakan bahawa amalan puasa bukan
sekadar menahan lapar tetapi juga menahan perlakuan
seks kerana ia berkait dengan nafsu dan ia tidak ada
kaitan dengan kesihatan. Sekali lagi penulis berhujah
dengan fakta dan huraian yang agak rendah nilai
keilmuan kerana persoalannya adakah amalan berpuasa
hanya semata-mata untuk menahan lapar dan seks sahaja
serta langsung tiada kaitan dengan kesihatan?

Di samping puasa, penulis turut berhujah bahawa adalah
tidak wajar untuk menyatakan bahawa solat tarawih
adalah baik untuk kesihatan kerana ia berupa senaman
bagi orang berpuasa. Adakah penulis benar-benar
memahami maksud dan hikmah bertarawih selama 30 hari
di bulan Ramadhan. Adakah benar sembahyang adalah
ibadat yang tidak ada kaitan lansung dengan kesihatan?


Sedangkan banyak sekali pendapat ulama-ulama muktabar,
ahli-ahli kesihatan dan sarjana-sarjana keilmuan
berkenaan hubung kait amalan berpuasa dan kaedah
kesihatan masa kini. Penulis tidak sepatutnya hanya
merujuk kepada sumber-sumber keagamaan yang terhad
serta hujah-hujah kuno berkenaan amalan ibadah di
dalam Islam. Penulis perlu lebih realistik dan
praktikal dalam memberi pemahaman kepada pembaca agar
segala amalan dan tuntutan agama dilaksanakan dengan
penuh yakin dan semangat.

Dakwaan penulis bahawa produktiviti umat Islam akan
menurun di bulan Ramadhan kerana kurang makan,
keletihan dan kurang tidur adalah amat prejudis sekali
kepada seluruh umat Islam dan benar-benar berbau
orientalis.

Kenyataan-kenyataan di atas adalah suatu yang tidak
sepatutnya dihujah oleh seorang sarjana Islam seperti
penulis kerana ianya jelas menampakkan kecetekan ilmu
beliau berkenaan Islam dan Sains Kesihatan.

OBAMA DAN WAJAH BARU AMERIKA SYARIKAT

Abstrak

Majoriti rakyat Amerika Syarikat (AS) percaya calon Demokrat, Barack Obama, 46, seorang peguam muda akan menang dalam pilihan raya Presiden menentang calon Republikan, John McCain, seorang negarawan AS November ini. Tinjauan oleh Fox News menunjukkan, ketika 51 peratus berharap Obama, yang cuba menjadi Presiden kulit hitam pertama, akan memang dalam pilihan raya itu, cuma 27 peratus bertaruh atas kemenangan McCain. Pengundi berdaftar sebagai Demokrat lebih yakin mengenai peluang calon mereka berbanding pengundi Republikan dengan 71 peratus anggota Demokrat melihat kemenangan Obama pada 4 November ini manakala 51 peratus Republikan percaya McCain akan menang. Satu dalam empat anggota Republikan yakin Obama akan menggantikan Presiden George W. Bush manakala 47 peratus rakyat Amerika percaya Obama, yang merupakan senator Illinois, akan menang pilihan raya berbanding 32 peratus untuk McCain, senator Arizona berusia 71 tahun itu. Walaupun ramai rakyat Amerika meramalkan kemenangan Obama, persaingan mereka berdua masih sengit dan menarik perhatian dunia untuk mengikuti perkembangannya.

Pengenalan

Menurut Shakila Yacob (2005), dalam usaha untuk muncul sebagai kuasa besar seperti hari ini, AS pernah dijajah dan menjajah. Sejarah awal AS mempamerkan satu isu penting yang memainkan peranan utama dalam membentuk keperibadian dan kenegaraan AS. Isu itu adalah berhubung dengan perselisihan antara koloni dengan bekas penjajah mereka, Britain secara khusus atau Eropah secara keseluruhannya. Pembentukan negara baru AS bermula selepas berjaya dalam perjuangan kebebasan semasa Perang Kemerdekaan pada tahun 1776. Kejayaan itu dianggap sebagai bukti keagungan tamadun AS dan mengukuhkan lagi semangat rakyatnya untuk mengasingkan diri daripada tamadun Eropah yang dianggap boleh meruntuhkan keperibadian mereka.

Negara AS berjaya memperoleh kemerdekaan tetapi malangnya tidak ada perpaduan atau penyatuan di antara 13 negeri. Selepas AS terbentuk, ia muncul sebagai negara terawal mengamalkan demokrasi dalam dunia yang diperintah oleh monarki. Selepas menandatangani Perjanjian Keamanan Paris pada tahun 1783, AS mempunyai tempat sah di kalangan negara merdeka di dunia. Dan sejak itu, cabaran demi cabaran ditempuhi, AS berjaya melaluinya dengan menjadikan sejarah sebagai landasan serta teladan untuk membolehkannya bangkit. Pendek kata, AS mempunyai sejarah tersendiri sebelum unggul pada abda ke-20 sebagai sebuah kuasa besar dunia.

Proses demokrasi empat tahun sekali AS kali ini penuh sejarah apabila disertai Obama dalam perlumbaan Presiden, merupakan calon kulit hitam yang mendapat sokongan masyarakat global. Menurut Razak Rashid Ghows (2008), Obama yang juga seorang senator kulit hitam kelima di negara berkenaan menjanjikan perubahan dan kelainan daripada zaman Bush dan Clinton, jika beliau dipilih partinya untuk menjadi calon Demokrat menentang calon Republikan. Pada Januari atau Februari 2009 kelak bakal melihatkan sama ada calon kulit hitam dari parti Demokrat ataupun calon lain dari Republikan yang menduduki kerusi nombor satu di Rumah Putih ditentukan melalui pelbagai peringkat proses pemilihan sepanjang tahun ini sehingga November depan.

Masa Hadapan Negara Jajahan AS

Obama, dalam siri kempen beliau konsisten berjanji akan mengeluarkan tentera negaranya dari Iraq pada pertengahan 2010 tetapi sebagainya alternatif akan menempatkan pasukan khas untuk terus menentang pejuang al-Qaeda di negara itu. Beliau turut berjanji tidak akan mewujudkan pangkalan tetap tentera Amerika di Iraq sekiranya dipilih menjadi Presiden, November depan.

“Seperti yang saya kata banyak kali sebelum ini, kita mesti keluar dari Iraq dengan teliti kerana kita memasukinya dengan penuh cuai,” kata Obama dalam keterangan bertulis kepada akhbar The New York Times.

AS hanya akan menempatkan semula pasukan tentera khas di Iraq selepas semua askar dikeluarkan dari negara itu dalam masa 16 bulan selepas dia dipilih menerajui kerajaan pada Januari atau Februari 2009 ini. Ia akan dilakukan pada musim panas 2010, dua tahun dari sekarang dan lebih tujuh tahun selepas peperangan dimulakan; selepas penempatan semula, pasukan khas di Iraq ini hanya akan melakukan misi terhad seperti memburu pejuang al-Qaeda di Mesopotamia, melindungi petugas AS dan jika keadaan politik di Iraq bertambah baik, pasukan ini akan melatih pasukan keselamatan Iraq.

Pasukan khas AS itu dirancang ditempatkan semula di kawasan selamat di Iraq terlebih dulu sebelum ke wilayah bergolak. Calon Rumah Putih itu yakin beliau akan berunding dengan komander perang dan kerajaan Iraq bagi melaksanakan strateginya itu dan akan melakukan beberapa ‘perubahan taktik’ jika diperlukan. Obama turut berjanji akan meneruskan tekanan diplomatik terhadap setiap negeri di wilayah itu bagi memastikan Iraq kembali stabil selain menyumbang AS$2 bilion (RM6.6 bilion) sebagai usaha antarabangsa bagi menyokong pelarian Iraq.

Pesaing beliau, John McCain merupakan penyokong kuat perang Iraq dan pada pilihan raya Presiden November ini sudah pasti lebih tertumpu kepada masa depan askar AS di Iraq. McCain dan Obama bertelagah mengenai peranan negara ini di Iraq di mana McCain sering mempersoalkan penilaian pesaingnya mengenai kedudukan tentera di Iraq dan pada masa yang sama, Obama mengemukakan strategi baru bagi meningkatkan kehadiran tentera di Afghanistan. Obama yang merupakan pengkritik utama perang global, mempertahankan penentangannya terhadap tindakan Presiden George W. Bush menambah anggota tentera di Iraq dan mengulangi gesaan jadual pengunduran tentera selama 16 bulan jika beliau dipilih sebagai Presiden.

“Menamatkan perang merupakan asas kepada mencapai matlamat strategik yang lebih luas, bermula di Afghanistan dan Pakistan, tempat selamat bagi Taliban dan Al-Qaeda,” tulis Obama dalam akhbar The New York Times.

Sehubungan itu, McCain dalam perkara ini mengambil peluang menyindir Obama dengan kata: “Amat menakjubkan bagi seorang yang tidak memiliki pengalaman atau latar belakang ketenteraan untuk mengeluarkan cadangan itu tanpa berunding dengan panglima tentera Amerika di Iraq, Jeneral David Petraeus, terlebih dulu.”
McCain yang pernah menjadi juruterbang tentera ketika Perang Vietnam dan menjadi tahanan perang selama lima tahun berpendapat, rancangan Obama untuk mengeluarkan tentera Amerika dari Iraq dalam tempoh 16 bulan selepas menjadi Presiden adalah resipi untuk kekalahan, kekacauan dan meningkatkan pengaruh Iran di wilayah itu serta menyebabkan perang lebih besar berlaku.

Sebaliknya, Obama mengalihkan perhatian kepada kempen pilihan raya Presiden dengan menyelar John McCain kerana melantik pelobi sebagai penasihat kanannya. Karisma Obama berjaya menarik kira-kira 75,000 penyokong untuk mendengar ucapannya di Portland, Oregon, antara perhimpunan besar dalam kempennya. “Sejak beberapa minggu lepas, John McCain terus dirundung masalah dengan para penasihatnya menjadi pelobi, dalam sesetengah kes untuk kerajaan asing atau golongan berkepentingan lain yang menjalankan urusan di Washington,” kata Obama.

John McCain turut dibayangi kenyataan kedua penasihat ekonominya yang menggambarkan AS sebagai "sebuah negara perungut yang sedang mengalami kemelesetan mental." Ekoran itu, McCain ketinggalan jauh di belakang lawannya, Obama daripada segi keupayaan untuk memungut derma dan mencatatkan rekod pungutan dengan menggunakan Internet secara inovatif. Obama dalam pada itu terus membuat kutipan wang tunai sambil menghentam McCain berhubung isu-isu wanita dan masalah ekonomi yang kini menjadi isu nombor satu di kalangan pengundi AS.

Keunikan Kempen Obama

Ketika kempen calon Presiden berjalan rancak, Mahkamah Persekutuan AS membenarkan Parti Demokrat di Nevada mengadakan pengundian pilihan raya Presiden di hotel-hotel kasino di Las Vegas, sekali gus bakal membantu Obama memenangi kempennya. Buat pertama kali, Parti Demokrat mengadakan sembilan lokasi pengundian yang membolehkan para pekerja kasino yang diwakili sebuah kesatuan sekerja pro-Obama mengundi calon pilihan. Berikutan itu, sekumpulan guru telah memfailkan tuntutan injunksi kerana tidak berpuas hati apabila hanya pekerja kasino boleh mengundi tetapi Hakim Mahkamah Daerah Nevada menolak permintaan mereka.

Kehadiran ramai pekerja kasino menguntungkan Obama yang berada dalam persaingan sengit menentang saingannya Hillary Clinton kerana sebuah kumpulan buruh di negeri itu mewakili 60,000 pekerja di bidang perhotelan. Seperti mana di Iowa, pengundian di Nevada dilakukan secara kaukus atau berkumpul dan bukan secara pengundian individu menurut tinjauan Las Vegas Review-Journal. Tidak seperti kempen pilihan raya presiden di kebanyakan negeri di AS, kaukus Parti Demokratik Nevada memerlukan penyokong berkumpul dalam kumpulan untuk menyokong calon mereka.

Sokongan Padu Hillary Clinton

Pada awalnya para penyokong Hillary Clinton enggan memberi sokongan terhadap calon presiden Demokrat, Obama walaupun mereka tampil untuk meraih sokongan ahli parti tersebut. Menurut laporan tinjauan pendapat CNN/Opinion Research Corp. yang diumumkan, para penyokong Hillary menyatakan mereka tidak akan keluar membuang undi pada pilihan raya presiden November ini. Dalam tinjauan pada Jun sebelum Hillary mengumumkan kempennya berakhir, sebanyak 60 peratus penyokong isteri bekas Presiden Bill Cliton tersebut menyatakan mereka akan mengundi Obama tetapi kini jumlahnya menurun kepada 54 peratus. Pada awal Jun, sebanyak 22 peratus penyokong Hillary menyatakan mereka tidak akan mengundi langsung tetapi angkanya kini meningkat kepada sepertiga.

Namun begitu, Hillary telah berubah fikiran dan menyeru berjuta-juta penyokong yang mengundinya pada pemilihan peringkat awal supaya memberikan sokongan padu kepada Obama bagi membolehkannya ke White House. Hillary dalam ucapan pada Konvensyen Kebangsaan Demokrat mengisytiharkan sokongan kepada lelaki yang menewaskannya sebelum ini dalam perebutan untuk pencalonan parti itu ke White House.

"Obama adalah calon pilihan saya dan beliau mesti menjadi Presiden kita," tegas Hillary. Bekas Wanita Pertama itu diberi tepukan gemuruh pada konvensyen tersebut yang tidak berapa lama dahulu dijangka menjadi landasan mengangkat beliau sebagai calon Demokrat pada pilihan raya Presiden Amerika Syarikat (AS) November ini.

Komen Dari Bekas Calon Presiden Kulit Hitam AS

Pemimpin hak asasi, Jesse Jackson yang sebelum ini menuduh Obama "kadangkala bersikap seperti orang kulit putih" pada September 2007 lalu seperti dipetik oleh akhbar tempatan The State, mula memberi sokongan padu kepada Obama. Jackson, juga berkulit hitam adalah antara tokoh yang dinamakan untuk merebut pencalonan parti Demokrat dalam pilihan raya Presiden pada 1984, namun begitu beliau bagaimanapun tidak terpilih. Jesse berpendapat, Obama sepatutnya memperluaskan lagi mesejnya meliputi soal keadilan kaum, dasar kehidupan di bandar, peluang pekerjaan dan penjagaan kesihatan. "Malah, banyak lagi isu yang boleh diperkatakan," kata Jackson yang juga pengikut setia pemimpin hak asasi manusia yang dibunuh, Martin Luther King Jr.

Ibu pengaruhi Obama

“Apa yang terbaik ada pada saya, ia datang daripada dia,” kata Obama dalam bukunya, Dreams From My Father. Obama begitu menghargai sumbangan ibu pembentuk dirinya sehingga menjadi apa yang berlaku dan ada kini. Ibu Obama, Stanley Ann Dunham, seorang wanita kulit putih, lahir pada 1942 dan melanjutkan pelajaran tingginya ke Universiti Hawaii dan bertemu dengan lelaki Kenya, Barack Obama Sr, ketika menghadiri kelas bahasa Russia. Setahun selepas Obama lahir, bapanya mendapat dua tawaran melanjutkan pengajian ekonomi, masing-masing di Universiti Harvard dan New York. Walaupun universiti di New York menawarkan biasiswa dan membolehkan dia membawa keluarganya ke sana, Obama Sr memilih Harvard.

Selepas bercerai, ibu Obama bergantung kepada kupon bantuan makanan kerajaan, manakala datuk dan nenek membesarkan Obama. Ketika berusaha mendapatkan ijazah empat tahun kemudian, Ann berkenalan dengan lelaki dari Indonesia, Lolo Soetoro. Lantaran itu, Ann dan Obama memulakan hidup baru di negara baru, Indonesia. Obama yang pernah belajar di sekolah Katolik, Sekolah Rendah Franciscus Assisi dan seperti dijangka menjadi perhatian pelbagai pihak. Pada masa sama, dia mengadaptasi perlahan-lahan kehidupan setempat seperti memakan tempe, misalnya. Bekas jiran mereka, Bambang Sukoco, berkata Obama gemar bermain bola sepak dan memetik buah jambu bersama budak kampung.

“Dia tidak marah dipanggil negro,” katanya. Dia memberi sedekah kepada hampir semua yang datang meminta bantuan di pintu rumahnya.

Bagi menyara keluarga, Ann bekerja sebagai guru bahasa Inggeris di Kedutaan AS di Jakarta sambil menjadi guru peribadi kepada Obama kerana tidak mampu menghantarnya ke sekolah elit yang ada. Obama sempat belajar dan fasih berbahasa Indonesia serta berkenalan dengan kawan baru di sana. Ibu beliau seterusnya menyambung pengajian peringkat sarjana di Universiti Hawaii dalam bidang antropologi dan menjadikan Indonesia sebagai tumpuan kajian. Tiga tahun selepas menetap dengan anak-anaknya di apartmen kecil di Honolulu, Ann memutuskan untuk sekali lagi ke Indonesia bagi melengkapkan pengajian peringkat doktor falsafahnya.

Berbanding warga asing di Indonesia, Ann tidak kekok bergaul dengan orang miskin di negara itu, malah menghabiskan kebanyakan masa dengan mereka. Legasi terpenting Ann adalah membantu penubuhan program skim pinjaman mikro kepada golongan berpendapat rendah di Indonesia yang dilakukannya di antara 1988 hingga 1992. Hari ini, program itu dianggap terbaik di dunia daripada segi penyimpan dengan 31 juta ahli di seluruh Indonesia. Pada 1992, selepas hampir dua dekad, Ann berjaya mendapat PhD yang disiapkannya sambil menabur bakti untuk masyarakat setempat di negara berpenduduk paling ramai umat Islam. Ibunya yang cukup memberi kesan kepada hidup dan peribadi Obama meninggal dunia pada 7 November 1995, ketika berusia 52 tahun.

Bantuan Isteri Tersayang

Obama dan isterinya, Michelle, mencetuskan kelahiran semula impian rakyat negara itu. Namun kali ini, impian itu melihat kemunculan wanita kulit hitam yang berdiri di samping presiden kulit hitam pertama AS.

“Mereka yang mengenali isteri saya akan mendapati beliau menakjubkan. Mereka akan mendapatinya seorang yang bijak, kelakar, ramah dan juga sangat cantik,” kata Obama. mengenai isterinya dalam bukunya, ‘The Audacity of Hope’. Takdir menyatukan mereka dan Michelle dan Obama berkahwin pada 1992. Michelle berjaya ke Princeton dan selepas itu melanjutkan pelajaran ke Universiti Harvard. Selepas tamat pengajian, beliau diterima bekerja di sebuah firma guaman dan kemudian bertemu bakal suaminya yang kini disokongnya sebagai bakal lelaki kulit hitam pertama di Rumah Putih.

Michelle berpengaruh di kalangan anggota Parti Demokrat dan rapat dengan Datuk Bandar, Richard M Daley. Dia memperkenalkan Obama ke kancah politik Illinois dan membantu Obama memenangi kerusi di Kongres Negeri dan jawatan Senat di Washington. Hasil kerja keras Michelle, Obama memiliki sokongan mantap kaum kulit hitam di Chicago dan persekitaran yang sesuai untuk membesarkan anak mereka. Kesan langsung yang diperoleh Michelle ialah kebarangkalian beliau menjadi wanita pertama berkulit hitam Amerika. Michelle juga menegaskan, beliau bersedia menjadi wanita pertama AS.

“Saya sudah bersedia. Saya adalah saya dan tiada apa yang akan merubah saya. Saya dan Obama berbincang mengenai semua perkara. Bagaimanapun, saya bukan penasihat politiknya, saya hanya isterinya,” katanya dalam Time.


Peningkatan Minat Rakyat AS Terhadap Kempen Bakal Presiden

Dilaporkan bilangan rakyat yang mengikuti perkembangan kempen ke White House adalah tinggi dan berkemungkinan besar menyumbang kepada peratusan keluar mengundi yang lebih tinggi semasa pilihan raya Presiden AS pada November ini. Jumlah penduduk yang keluar mengundi akan meningkat kali ini dan mungkin lebih tinggi daripada pilihan raya Presiden sebelum ini kerana semakin ramai pengundi yang memberi perhatian terhadap kempen pemilihan Presiden menurut sebuah badan pemikir, Pew Research Center (PRC). Jelas badan itu lagi, dengan kehadiran lebih ramai penyokong Parti Demokrat berbanding penyokong Parti Republikan dalam pemilihan awal sebelum ini, peningkatan tersebut mungkin memberi kelebihan kepada Obama.

"Minat dan penyertaan yang tinggi dan berterusan (kepada kempen Presiden) memungkinkan peratusan mengundi yang tinggi pada (pilihan raya Presiden) November ini sebagaimana yang berlaku dalam pemilihan awal. Peratusan pengundi Demokratik dijangka menyamai malah mungkin melebihi pengundi Republikan," demikian menurut PRC. Manakala dalam satu tinjauan lain yang dijalankan melibatkan 2,004 warga AS oleh badan pemikir itu untuk akhbar People and the Press mendapati, seramai 72 peratus daripada mereka "banyak memikirkan tentang pilihan raya." Ia merupakan peratusan tertinggi sejak 1988 dan melebihi keghairahan dalam lima kempen pilihan raya Presiden sebelum ini.

Skeptikal Negara Sekutu

Ketua Setiausaha Kabinet Jepun, Nobutaka Machimura mendakwa Obama tidak mungkin memenangi pilihan raya Presiden AS kerana beliau berkulit hitam. Majalah Shukan Bunshun yang menyiarkan temu bual Machimura berkata, calon Presiden AS untuk Parti Demokrat itu akan tewas kepada calon dari Parti Republikan, John McCain.

“Tidak kira apa yang berlaku, AS adalah sebuah negara yang konservatif. Obama, adalah seorang yang berkulit hitam dan Senator Hillary Clinton pula adalah seorang wanita. Saya berpendapat adalah sangat sukar untuk salah seorang daripada mereka untuk menjadi Presiden AS,” katanya lagi. Menurutnya, McCain, 71, akhirnya akan muncul sebagai pemenang dalam pilihan raya raya presiden yang dijadualkan berlangsung pada November nanti.

Sementara itu sebuah akhbar di Australia, The Sidney Morning Herald melaporkan Obama mungkin boleh meraih kemenangan besar sekiranya beliau bertanding untuk menjadi pemimpin dunia bukannya Presiden AS. Dalam satu tinjauan pendapat yang dijalankan oleh Pusat Penyelidikan Pew mendapati Obama berjaya menyakinkan penduduk di Eropah, Asia, Afrika dan Australia. Obama juga mendapat sokongan daripada penduduk di benua berkenaan untuk menjadi pemimpin AS berbanding McCain dalam pilihan raya presiden nanti.

Di Australia dilaporkan, 80 peratus responden berkata, mereka menyokong Obama untuk menjadi Presiden AS berbanding McCain yang memperoleh 40 peratus keyakinan awam. Keputusan yang sama juga diperoleh daripada tinjauan pendapat yang dijalankan di Britain, Perancis, Jerman, Sepanyol, Jepun dan Tanzania.

Liputan Meluas Masyarakat Global

Lawatan pertama Barack Obama ke Eropah dan Asia Barat selaku calon Presiden AS daripada Parti Demokrat diberi liputan meluas oleh wartawan - wartawan terkemuka, stesen televisyen dan media cetak AS. Lawatan calon kulit hitam pertama White House itu telah menimbulkan keghairahan media yang begitu rupa sehinggakan lawan Obama McCain mengecapnya sebagai satu "publisiti politik" dan kempen luar negara yang tidak mempunyai objektif untuk mengetahui situasi sebenar.

Pertubuhan berita berebut-rebut mengikat perjanjian dengan pengurus kempen Obama bagi membuat liputan mengenai siri lawatannya. Tiga pengacara berita utama stesen televisyen AS, Charles Gibson daripada ABC, Brian Williams (NBC) dan Katie Couric (CBS) telah mengikat perjanjian mengikut Obama dalam lawatannya ke Jordan, Israel, Jerman, Perancis dan Britain.

Manakala kira-kira 200 wartawan berebut 40 tempat untuk mengiringi Obama, dalam lawatannya, menurut Washington Post. Selain Eropah dan Asia Barat, Obama juga turut dikatakan melakukan kunjungan mengejut ke Iraq dan Afghanistan. Perhatian yang begitu meluas terhadap lawatan itu menimbulkan rungutan daripada pihak Republikan bahawa McCain kini menghadapi kesukaran untuk menyampaikan mesej beliau. Ahli Dewan Perwakilan Republikan, Eric Cantor yang merupakan penyokong kuat McCain menegaskan, lawatan Obama itu telah bertukar menjadi acara media besar-besaran. Pemerhati media, Tindall Report melaporkan, ABC, CBS dan NBC yang kesemua sekali menarik 20 juta penonton meluangkan 114 minit siaran televisyen untuk Obama sejak Jun lalu, berbanding hanya 48 minit untuk McCain.

Kesimpulan

Melihat kepada kewibawaan, karisma dan ketrampilan serta sokongan masyarakat global di samping rakyat AS sendiri ke atas Obama, maka tidak mustahil bagi beliau muncul sebagai Presiden kulit hitam pertama AS penghujung tahun ini. Ini adalah kemuncak kepada kesuburan sistem demokrasi dan keadilan di dunia. Beliau yang mempunyai banyak kelebihan berbanding saingannya McCain, dilihat sebagai pemimpin dunia berbakat yang dekat dan rapat dengan masyarakat global memandangkan beliau mempunyai latar belakang dan evolusi minda, fizikal dan spiritual yang cukup unik di mana beliau dilahirkan di AS, membesar di Indonesia di zaman kanak-kanaknya, mempunyai keturunan dan saudara mara dekat di Kenya, Afrika dan juga mempunyai pertalian darah dan rakan taulan dengan masyarakat Islam. Ini memberi gambaran prolifik bahawa beliau mempunyai citarasa dan kemahuan global mewakili Barat dan Timur, hitam dan putih, Islam dan bukan Islam, negara miskin, membangun dan maju - yang merupakan sesuatu ramuan pemimpin hebat yang dicari-cari. Fenomena Obama bakal melakarkan sejarah baru kepada dunia moden serta memberi harapan baru kepada seluruh masyarakat global jika beliau dipilih sebagai Presiden AS kelak.


Rujukan

Shakila Yacob, 2005. Amerika Syarikat: Pembentukan Negara Bangsa. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka
Razak Rashid Ghows, 2008. Kejutan Obama menanti Hillary , Berita Harian, 4 Januari
Obama calon pilihan saya – Hillary, Utusan Malaysia, 28 Ogos 2008
Rakyat yakin Obama menang, Berita Harian, 26 Julai 2008
Majoriti rakyat AS yakin Obama menang jawatan Presiden, Utusan Malaysia, 25 Julai 2008
McCain terus hentam Obama undur dari Iraq, Berita Harian, 19 Julai 2008
Ramai wartawan berminat ikuti lawatan Obama, Utusan Malaysia, 19 Julai 2008
Calon Presiden AS terus bertelagah, Utusan Malaysia, 16 Julai 2008
Obama ikrar undur askar dari Iraq 2010, Berita Harian, 15 Julai 2008
Pengunduran askar dari Iraq selesai musim panas 2010 – Obama, Utusan Malaysia, 15 Julai 2008
Jepun skeptik presiden AS, Kosmo, 14 Jun 2008
McCain lapor bulan pungutan derma terbaik, Utusan Malaysia, 12 Julai 2008
Rakyat AS makin minat kempen Presiden, Utusan Malaysia, 12 Julai 2008
Obama hina kulit hitam, Berita Harian, 10 Julai 2008
Obama jamin tamatkan perang Iraq jika menang, Utusan Malaysia, 7 Julai 2008
Obama gagal pikat penyokong Hillary, Kosmo, 6 Julai 2008
Ibu pengaruhi Obama, Metro Ahad, 25 Mei 2008
Obama selar McCain lantik pelobi sebagai penasihat kanan, Utusan Malaysia, 20 Mei 2008
‘Jackie Kennedy' kulit hitam, Metro Ahad, 2 Mac 2008
Obama berkempen di hotel-hotel kasino, Utusan Malaysia, 18 Januari 2008
Kesan Sejarah Membentuk Dasar Amerika Syarikat, Utusan Malaysia, 18 Julai, 2005

Sunday, September 07, 2008

RAMADHAN LANDASAN IBADAH

Ramadhan saban tahun datang dengan penuh rahmat dan berkat. Kecil besar, tua muda dan miskin kaya akan merasai nikmat serta kehebatan ganjaran beribadah di bulan Ramadhan yang tiada sempadan ini. Ini adalah kerana, di samping disyariatkan berpuasa selama sebulan, umat Islam digalakkan meningkatkan tahap dan kapasiti ibadah wajib dan sunat pada tahap maksima serta tidak perlu berlengah lagi.

Dengan janji ganjaran pahala yang berlipat kali ganda dan pintu keampunan yang terbuka luas, maka di bulan inilah peluang terbaik bagi umat Islam merebut kesempatan bersedekah sebanyak mungkin, berzakat kepada yang memerlukan, bertadarus dan khatam al-Quran, berzikir, beristikhfar, bertarawih, beriktikaf di masjid dan lain-lain sebagai tanda mendampingi dan meraikan Ramadhan yang hanya sekadar sebulan ini.

Di samping itu, amalan berbentuk kemanusiaan juga perlu diperluaskan seperti memuliakan anak-anak yatim dan mengembirakan orang fakir dan miskin sepanjang bulan Ramadhan adalah sangat terpuji dan amat digalakkan. Oleh itu, anjuran majlis berbuka dan bersahur kepada golongan ini perlu diteruskan dan trend membawa mereka berbuka puasa dan bersahur di tempat-tempat yang eksklusif dapatlah sekurang-kurangnya mengirangkan hati mereka dan boleh merasa makanan mewah yang jarang ditemui mereka pada waktu biasa.

Ramadhan turut mengajar kita erti insan dan keinsanan di mana di saat kita kekenyangan dengan makanan yang melimpah ruah, perlulah kita ingatkan mereka yang tidak mampu dan sekadar makan apa yang ada. Manakala di kala kita berbuka secara ala carte, mereka berbuka ala kadar sahaja. Oleh demikian, sikap suka membazir, boros dan membeli juadah berbuka secara berlebihan hendaklah dihentikan agar falsafah puasa dapat direalisasikan dengan jayanya.

Selanjutnya, amat rugi jika kita masih alpa, lalai dan disibukkan dengan aktiviti rutin harian biarpun sudah lebih seminggu kita berpuasa yang meyebabkan kita terlepas peluang serta pakej ibadah yang cukup istimewa ini memandangkan Ramadhan hanya datang setahun sekali sahaja. Dan pada tahun hadapan belum tentu kita akan bertemu lagi dengan bulan khas yang disediakan satu malam yang lebih baik daripada seribu bulan ini.

Biarpun kita mungkin dibebani dengan beban tugas dan tanggungjawab lain, namun di kesempatan Ramadhan kali ini perlu diberikan keutamaan serta merancang jadual dan tentatif kerja harian sebaik mungkin agar tidak mengganggu program ihya Ramadhan kita yang sepatutnya diurus lebih awal. Sehebat dan sebijak mana kita mengurus syarikat dan perusahaan, maka begitulah juga pengurusan dan pentadbiran ihya Ramadhan yang mesti lebih diutamakan.

Dalam pada itu, organisasi dan majikan Islam dan bukan Islam juga perlu peka serta prihatin dengan pengisian Ramadhan di tempat kerja iaitu dengan menyediakan aktiviti dan program khusus bagi memudahkan para pekerja melaksanakan ibadah wajib dan sunat seperti majlis berbuka dan bersahur, kemudahan bertarawih, waktu senggang untuk membaca al-Quran, majlis tazkirah Ramadhan dan sebagainya.

Secara simboliknya, Ramadhan adalah institusi yang mampu menjana keperibadian mulia dan modal insan yang berakhlak tinggi serta melatih setiap individu menjadi muslim sejati dalam apa jua perkara yang dilakukan. Segala pantang larang ketika berpuasa sebenarnya mempunyai hikmah yang tersendiri dan merupakan medan kekuatan serta persiapan kepada seseorang untuk berhadapan dengan segala cabaran dan dugaan dalam hidup.