Monday, September 08, 2008

HARAKAH ISLAMIYYAH MENURUT IMAM HASAN AL-BANNA

"Kita bukanlah sebuah parti politik, sekalipun politik (siasah) yang berasaskan kaedah-kaedah Islam adalah intisari fikrah kita. Kita bukanlah pertubuhan kebajikan sekalipun amal kebajikan dan khairat adalah di antara tujuan gerakan kita yang sangat besar. Kita juga bukan perkumpulan riadah sekalipun riadah atau rekreasi dan riadah ruhiyyah adalah di antara wasilah-wasilah yang kita amalkan.

Kita bukanlah sebuah jama'ahdalam pengertian seperti pertubuhan-pertubuhan tersebut kerana kelahiran pertubuhan tersebut adalah untuk matlamat-matlamat tertentu dan untuk jangka waktu yang tertentu pula. Boleh jadi pertubuhan-pertubuhan berkenaan ditubuhkan semata-mata kerana ingin mengadakan persatuan dan cita-cita inginkan gelaran dan kedudukan dalam pentadbiran dan organisasi tersebut.

Tetapi perjuangan kita adalah perjuangan yang berdasarkan fikrah dan 'akidah, nizam dan manhaj yang tidak membataskan tujuan dan matlamat hanya kepada bangsa tertentu dan kawasan atau wilayah tertentu sahaja. Perjuangan kita tidak akan berhenti dengan penyelesaian masalah tertentu malah ia akan berterusan hingga ke hari Kiamat kerana Islam adalah sistem ciptaan Tuhan alam semesta ini dan manhaj Rasul-Nya yang paling dipercayai.

Kita menyatakan kepada manusia secara tidak bermegah-megah bahawa kita adalah para pengikut angkatan sahabat Rasulullah s.a.w yang menjadi pembawa panji-panji Islam selepas kewafatan Baginda s.a.w. Kita adalah angkatan yang menjulang kembali bendera Rasulullah s.a.w sebagaimana para sahabat r.a telah melakukannya. Kita akan menyiarkan dakwah baginda sebagaimana yang telah disiarkan oleh mereka.

Kita akan memelihara kandungan kitab suci Al-Quran sebagaimana para sahabat telah memeliharanya. Kita adalah pembawa berita gembira melalui dakwah baginda sebagaimana para sahabat telah melakukannya dan ia akan menjadi rahmat ke seluruh alam. Anda pasti akan mengetahui perkhabaran-perkhabarannya dalam sedikit masa lagi."

"Saudara-saudara sekalian! Kamu bukanlah sebuah pertubuhan kebajikan, bukanlah sebuah pertubuhan politik, bukanlah satu pertubuhan yang diasaskan dengan tujuan yang terbatas, tetapi kamu adalah satu roh baru yang mengalir di dalam urat nadi umat ini, lalu kamu menghidupkan mereka dengan Al-Quran. Kamu adalah satu cahaya baru yang memancar, yang dapat menghilangkan kegelapan fahaman kebendaan dengan makrifat kepada Allah dan kamu adalah suara-suara lantang yang akan menghidupkan kembali dakwah Rasulullah s.aw".

Di dalam risalah yang bertajuk "Bainal Amsi Wal Yaum" (Di Antara Semalam Dengan Hari Ini) di bawah tajuk: "Ranjau-ranjau di jalan kita", Asy-Syahid Hassan Al-Banna menyatakan:

"Saya suka berterus terang kepada anda sekalian, sesungguhnya dakwah kami ini mesti belum dikenali oleh orang ramai. Pada hari mereka mengenalinya dan mengetahui matlamat dan objektifnya nanti, kamu pasti menerima penentangan yang hebat dan sikap permusuhan yang ketat. Kamu akan dapati di hadapan kamu berbagai kesusahan dan halangan yang akan menghalang kamu. Pada masa itu barulah barulah kamu mula menempuh dan mengikut jalan para pendukung dakwah. Adapun sekarang mereka tidak mengetahui lagi, kamu di peringkat awal dakwah dan anda tentu bersedia dengan apa jua cara yang dikehendaki oleh perjuangan dan jihad.

Kejahilan rakyat tentang hakikat Islam akan menjadi penghalang jalan kamu. Kamu akan dapati ahli-ahli agama dan ulama-ulama yang rasmi menjadi orang yang hairan dengan kefahaman Islam kamu dan tidak mengakui jihad kamu. Semua pemerintah akan bekerjasama menjadi penghalang di hadapan muka kamu dan setiap pemerintah itu akan cuba menyekat kegiatan-kegiatan kamu dan meletakkan halangan di jalan kamu.

Lanun-lanun ini juga akan berganding bahu di setiap jalan untuk menentang kamu dan memadam sinar dakwah kamu. Mereka akan meminta bantuan pemerintah-pemerintah yang lemah dan orang-orang yang akhlaknya rendah dan tangan-tangan yang sengaja meminta sesuatu dari mereka tetapi melakukan kejahatan dan permusuhan terhadap kamu.

Kamu akan dimusuhi dan dibenci. Semuanya akan berusaha menimbulkan keraguan serta melemparkan tuduhan-tuduhan yang zalim terhadap dakwah kamu dan menunjukkan kepada manusia dengan gambaran yang paling hodoh dan kotor dengan menggunakan kekuatan dan kekuasaan yang ada pada mereka. Mereka akan menindas dengan harta-benda dan kuasa mereka.

Allah s.w.t berfirman:

يُرِيدُونَ لِيُطْفِئُوا نُورَ اللَّهِ بِأَفْوَاهِهِمْ وَاللَّهُ مُتِمُّ نُورِهِ وَلَوْ كَرِهَ الْكَافِرُونَ

Yang bermaksud:

Mereka sentiasa berusaha hendak memadamkan cahaya Allah (agama Islam) dengan mulut mereka, sedang Allah tetap menyempurnakan cahayaNya, sekalipun orang-orang kafir tidak suka (akan yang demikian).
(Surah As-Saff, Ayat: 8).

Dengan ini kamu akan memasuki tingkat percubaan dan ujian di mana kamu akan dipenjara, ditangkap, dipindahkan, dipencilkan, dirampas harta-benda kamu, disekat kerja-kerja kamu bahkan digeledah rumah-rumah kamu. Boleh jadi masa ujian yang bakal kamu hadapi ini panjang.

Allah s.w.t berfirman:

أَحَسِبَ النَّاسُ أَنْ يُتْرَكُوا أَنْ يَقُولُوا ءَامَنَّا وَهُمْ لَا يُفْتَنُونَ

Yang bermaksud:

Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: Kami beriman, sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)?
(Surah Al-Ankabuut, Ayat: 2).

Tetapi Allah telah berjanji kepada kamu selepas semuanya itu, iaitu kemenangan kepada para mujahidin dan ganjaran pahala kepada orang yang melakukan amal yang baik.

Firman Allah:

يَاأَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوا هَلْ أَدُلُّكُمْ عَلَى تِجَارَةٍ تُنْجِيكُمْ مِنْ عَذَابٍ أَلِيمٍ. تُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَرَسُولِهِ وَتُجَاهِدُونَ فِي سَبِيلِ اللَّهِ بِأَمْوَالِكُمْ وَأَنْفُسِكُمْ ذَلِكُمْ خَيْرٌ لَكُمْ إِنْ كُنْتُمْ تَعْلَمُونَ. يَغْفِرْ لَكُمْ ذُنُوبَكُمْ وَيُدْخِلْكُمْ جَنَّاتٍ تَجْرِي مِنْ تَحْتِهَا الْأَنْهَارُ وَمَسَاكِنَ طَيِّبَةً فِي جَنَّاتِ عَدْنٍ ذَلِكَ الْفَوْزُ الْعَظِيمُ. وَأُخْرَى تُحِبُّونَهَا نَصْرٌ مِنَ اللَّهِ وَفَتْحٌ قَرِيبٌ وَبَشِّرِ الْمُؤْمِنِينَ. يَاأَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوا كُونُوا أَنْصَارَ اللَّهِ كَمَا قَالَ عِيسَى ابْنُ مَرْيَمَ لِلْحَوَارِيِّينَ مَنْ أَنْصَارِي إِلَى اللَّهِ قَالَ الْحَوَارِيُّونَ نَحْنُ أَنْصَارُ اللَّهِ فَآمَنَتْ طَائِفَةٌ مِنْ بَنِي إِسْرَائِيلَ وَكَفَرَتْ طَائِفَةٌ فَأَيَّدْنَا الَّذِينَ ءَامَنُوا عَلَى عَدُوِّهِمْ فَأَصْبَحُوا ظَاهِرِينَ

Yang bermaksud:

Wahai orang-orang yang beriman! Mahukah Aku tunjukkan sesuatu perniagaan yang boleh menyelamatkan kamu dari azab seksa yang tidak terperi sakitnya? Iaitu, kamu beriman kepada Allah dan rasulNya, serta kamu berjuang membela dan menegakkan agama Allah dengan harta benda dan diri kamu; yang demikian itulah yang lebih baik bagi kamu, jika kamu hendak mengetahui (hakikat yang sebenarnya). (Dengan itu) Allah akan mengampunkan dosa-dosa kamu dan memasukkan kamu ke dalam taman-taman yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, serta ditempatkan kamu di tempat-tempat tinggal yang baik dalam Syurga "Adn". Itulah kemenangan yang besar. Dan ada lagi limpah kurnia yang kamu sukai, iaitu pertolongan dari Allah dan kemenangan yang cepat (masa berlakunya) dan sampaikanlah berita yang menggembirakan itu kepada orang-orang yang beriman. Wahai orang-orang yang beriman! Jadikanlah diri kamu pembela-pembela (agama) Allah sebagaimana (keadaan penyokong-penyokong) Nabi Isa Ibni Mariam (ketika ia) berkata kepada penyokong-penyokongnya itu: Siapakah penolong-penolongku (dalam perjalananku) kepada Allah (dengan menegakkan agamaNya)? Mereka menjawab: Kamilah pembela-pembela (agama) Allah! (Setelah Nabi Isa tidak berada di antara mereka) maka sepuak dari kaum Bani Israil beriman dan sepuak lagi (tetap) kafir. Lalu Kami berikan pertolongan kepada orang-orang yang beriman untuk mengalahkan musuhnya, maka menjadilah mereka orang-orang yang menang.
(Surah As-Saff, Ayat: 10 - 14).

"Setelah memahami penjelasan demikian, apakah kamu akan tetap pendirian untuk menjadi penolong-penolong (pejuang-pejuang menegakkan agama) Allah?".

Rujukan

Fathi Yakan, Apa Erti Saya Menganut Islam [http://www.zulkiplyharun.com/php/modules.php?name=fy&file=fy5a]

No comments: