Sunday, September 21, 2008

KEWAJARAN AKTA HUBUNGAN KAUM DIWUJUDKAN

Persoalan sama ada perlu atau tidak Akta Hubungan Kaum diwujudkan di negara kita adalah sesuatu yang sangat subjektif dan perlukan kajian lanjut yang komprehensif serta tidak mempunyai agenda politik tertentu. Ini adalah kerana penggubalan akta ini bukanlah satu ancaman atau ugutan perkauman di negara kita tetapi hanya akan digunakan sekiranya terdapat pelanggaran dalam hubungan antara kaum yang boleh menjejaskan perpaduan rakyat.

Pada dasarnya akta berkenaan penting bagi memastikan negara sentiasa berada dalam keadaan aman tenteram dan rakyat pelbagai kaum dapat hidup dengan harmoni dan toleransi. Di samping itu, akta ini boleh bertindak sebagai mekanisme merapatkan perpaduan dan kesepakatan antara etnik di negara kita. Kewujudan akta ini adalah salah satu bentuk usaha penguatkuasaan kerajaan bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan negara terkawal dan dipelihara sebaik mungkin.

Akta ini diharapkan dapat menjadi landasan pembentukan sebuah masyarakat berbilang kaum dengan mengambil kira keadilan dan kesamarataan serta mengelakkan berlakunya konflik dan perselisihan kaum. Melalui akta ini diharapkan hasrat kerajaan merealisasikan sebuah masyarakat Malaysia yang teguh persefahaman, penuh semangat perpaduan, bersaing secara sihat ke arah melahirkan suasana integrasi kaum di negara kita dapat dicapai.

Dalam soal perpaduan, ramai tokoh pemimpin dan pemikir negara menyambut baik cadangan penggubalan akta berkenaan melihat kepada faktor sejarah negara yang pernah mencatatkan beberapa peristiwa pahit dan sejarah hitam negara seperti huru-hara dan perselisihan yang melibatkan kaum ekoran wujudnya perasaan tidak puas hati, salah faham dan sebagainya yang memberi ancaman kepada ketenteraman awam dan tekanan politik semasa.

Keharmonian dan perpaduan kaum penting kerana turut mempengaruhi corak pemerintahan, struktur sosial dan ekonomi sesebuah negara. Oleh demikian, kerajaan dicadang melihat terlebih dahulu beberapa model yang digunakan oleh negara-negara lain untuk dijadikan panduan untuk pengurusan etnik bagi mendapatkan pemahaman yang lebih bukan sahaja kepada budaya sendiri malah budaya serantau lain meliputi aspek bahasa, kebudayaan, adat resam, sejarah, sensitiviti kaum dan pendidikan.

Akta serupa yang sudah lama diamalkan di United Kingdom dan beberapa negara di Eropah boleh dikaji dan diteliti sebagai garis panduan selagi ianya tidak bertentangan dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan, budaya serta kepercayaan masyarakat setempat dan disesuaikan dengan realiti serta keadaan dalaman negara. Kita tidak boleh semborono dan tangkap muat sahaja dalam perkara yang serius ini kerana jika terleka insiden-insiden sama boleh berulang dan mungkin menjadi bertambah parah.

Biarpun begitu, apa yang lebih penting ialah hubungan antara kaum di negara mestilah bersifat semulajadi dan lahir dari hati serta perasaan rakyat berbilang kaum yang luhur dan ikhlas, bukannya sekadar kosmetik hubungan kaum semata-mata di mana kewujudan undang-undang dalam hal ini adalah sebagai garis panduan dan bertujuan mencegah serta mendidik rakyat. Namun, jika akta ini diwujudkan suatu hari nanti, apa yang perlu diberi penekanan adalah aspek perlaksanaan dan penguatkuasaannya secara adil dan tegas dilakukan.


Rujukan

Hubungan kaum mesti semula jadi, Utusan Malaysia, 21 September 2008
Akta Hubungan Kaum disambut baik, Utusan Malaysia, 20 September 2008
Kabinet setuju Akta Hubungan Kaum pupuk perpaduan, Berita Harian, 19 September 2008
Akta hubungan kaum akan diwujudkan: Syed Hamid Albar, Berita Harian, 18 September 2008

No comments: