KOMENTAR ISU TULISAN PUASA

Komen terhadap tulisan Abdul Rahman Abdul Rahim, 2005. Maksud berpuasa. Utusan Malaysia, 7 Oktober

Puasa adalah suatu amalan ibadat, iaitu aktiviti melahirkan rasa menghambakan diri kepada Allah s.w.t. Kita melaksanakannya kerana ia disyariatkan oleh Allah s.w.t. Sebagai ibadat, ia merupakan suatu aktiviti kerohanian, bagi merapatkan kita, sebagai seorang manusia beragama dengan Tuhan.

Ibadat yang merupakan ciri-ciri agama penuh dengan metafora atau perlambangan yang tidak boleh ditafsirkan secara lahiriah. Begitu juga dengan puasa. Ia merupakan perlambangan atau syiar agama.

Justeru, tidak wajar untuk mengatakan bahawa amalan berpuasa ini adalah baik untuk kesihatan. Ini kerana orang Islam berpuasa bukan kerana kesihatan, tetapi adalah semata-mata kerana agama.

Sebaliknya, orang Islam mesti mengambil langkah-langkah wajar supaya ibadat puasa ini tidak menjejaskan kesihatan mereka.

Sememangnya ada kaedah kesihatan yang menyuruh kita berpuasa atas sebab-sebab tertentu yang disimpulkan daripada kajian mengenai kesihatan. Tetapi ia tidak berkaitan dengan ibadat puasa yang disyariatkan.

Ilmu kesihatan berkembang mengikut pengetahuan manusia dalam bidang sains dan teknologi. Kaedah rawatan berubah dari zaman ke zaman.

Tetapi syariat berpuasa dalam Islam kekal sejak Rasulullah s.a.w. mengajarnya. Justeru, tidak wajar mengaitkan ibadat puasa dengan sebarang kaedah kesihatan.

Metafora yang diserlahkan melalui puasa bukanlah menahan lapar untuk merehatkan perut. Perut manusia tidak memerlukan rehat.

Walaupun kosong, asid tetap dirembeskan. Menahan lapar dalam puasa adalah menahan nafsu yang dikaitkan dengan penyucian hati. Hati di sini bukanlah bermakna organ dalam badan manusia.

Hati dalam Islam bukan merujuk dari segi biologi tetapi lebih kepada kerohanian. Hati dalam beragama berkait dengan roh. Kedua-dua ini merupakan konsep tasauf, dan tempat mereka sebenarnya ialah di minda seseorang.

Justeru, amalan puasa bukan sekadar menahan lapar, tetapi juga menahan perlakuan seks. Ia juga berkait dengan nafsu, dan tidak ada kaitan dengan kesihatan.

Begitu juga dengan sembahyang tarawih. Ia merupakan ibadat bagi memperkayakan jiwa kerohanian seseorang.

Justeru tidak juga wajar untuk menyatakan bahawa tarawih adalah baik untuk kesihatan kerana ia berupa senaman bagi orang berpuasa. Sembahyang adalah ibadat yang tidak ada kaitan dengan senaman.

Realitinya bulan Ramadan akan menyaksikan produktiviti menurun kerana kedudukan fizikal umat Islam yang kurang makan, keletihan dan kurang tidur.

Tetapi Ramadan adalah bulan penghulu bagi orang Islam kerana ia merupakan tempoh masa bagi mempertajamkan nilai kerohanian seseorang. Ini kerana Islam adalah agama kerohanian.

Komentar:

Membaca satu rencana bertajuk " Maksud Puasa " yang
ditulis oleh saudara Abdul Rahman Abdul Rahim pada
7.10.2005 di akhbar tuan adalah suatu yang amat
mengelirukan dan tidak bercirikan tulisan keagamaan
yang baik.

Ini kerana penulis cuba memberi tafsiran mengenai
amalan berpuasa dengan menggunakan hujah-hujah
dangkal, kuno dan langsung tidak relevan untuk
diamati.

Penulis cuba membawa perhatian para pembaca dengan
membawa hujah perbahasan pengertian puasa dengan hanya
merujuk kepada kitab-kitab kuning lama yang kurang
praktikal dan bersifat statik.

Dengan mengatakan bahawa adalah tidak wajar untuk
mengatakan bahawa amalan berpuasa adalah baik untuk
kesihatan kerana orang Islam berpuasa bukan kerana
kesihatan tetapi adalah semata-mata kerana agama
adalah kenyataan dan hujah yang tidak kemas dan kurang
kajian terperinci.

Ini adalah kerana Nabi Muhammad s.a.w pernah bersabda
dengan maksud yang jelas iaitu " Berpuasalah nescaya
kamu sihat " adalah suatu hujah yang bersumberkan
bukti muktamad berkenaan hubungan amalan berpuasa dan
kaedah kesihatan yang difahami oleh semua orang.
Mungkin hadis ini tidak disedari penulis atau sengaja
diketepikan.

Penulis juga ada menyatakan bahawa amalan puasa bukan
sekadar menahan lapar tetapi juga menahan perlakuan
seks kerana ia berkait dengan nafsu dan ia tidak ada
kaitan dengan kesihatan. Sekali lagi penulis berhujah
dengan fakta dan huraian yang agak rendah nilai
keilmuan kerana persoalannya adakah amalan berpuasa
hanya semata-mata untuk menahan lapar dan seks sahaja
serta langsung tiada kaitan dengan kesihatan?

Di samping puasa, penulis turut berhujah bahawa adalah
tidak wajar untuk menyatakan bahawa solat tarawih
adalah baik untuk kesihatan kerana ia berupa senaman
bagi orang berpuasa. Adakah penulis benar-benar
memahami maksud dan hikmah bertarawih selama 30 hari
di bulan Ramadhan. Adakah benar sembahyang adalah
ibadat yang tidak ada kaitan lansung dengan kesihatan?


Sedangkan banyak sekali pendapat ulama-ulama muktabar,
ahli-ahli kesihatan dan sarjana-sarjana keilmuan
berkenaan hubung kait amalan berpuasa dan kaedah
kesihatan masa kini. Penulis tidak sepatutnya hanya
merujuk kepada sumber-sumber keagamaan yang terhad
serta hujah-hujah kuno berkenaan amalan ibadah di
dalam Islam. Penulis perlu lebih realistik dan
praktikal dalam memberi pemahaman kepada pembaca agar
segala amalan dan tuntutan agama dilaksanakan dengan
penuh yakin dan semangat.

Dakwaan penulis bahawa produktiviti umat Islam akan
menurun di bulan Ramadhan kerana kurang makan,
keletihan dan kurang tidur adalah amat prejudis sekali
kepada seluruh umat Islam dan benar-benar berbau
orientalis.

Kenyataan-kenyataan di atas adalah suatu yang tidak
sepatutnya dihujah oleh seorang sarjana Islam seperti
penulis kerana ianya jelas menampakkan kecetekan ilmu
beliau berkenaan Islam dan Sains Kesihatan.

Comments

Popular Posts