Sunday, September 14, 2008

PUASA BUKAN ALASAN PRODUKTIVITI MENURUN

Ibadah puasa memainkan peranan yang sangat penting kepada pembinaan kekuatan dalaman serta luaran jasmani, rohani dan akal seseorang. Ibadah unik ini juga merangsang daya pemikiran, tingkah laku serta motivasi paling berkesan kepada amal ibadah khusus dan umum termasuklah bekerja mencari rezeki setiap hari. Untuk itu, tahap produktiviti kerja dan prestasi di bulan Ramadan perlu seimbang dengan produktiviti pada bulan-bulan lain.

Seseorang yang berpuasa sepatutnya lebih kuat bekerja serta berusaha memperbaiki diri dan keluarga, melakukan perubahan dari tidak baik kepada yang lebih baik, lebih bersemangat, bermotivasi, banyak membaca dan menelaah bahan bacaan yang berfaedah, lebih-lebih lagi kitab suci al-Quran yang sangat digalakkan membacanya sepanjang bulan Ramadan ini. Perlaksanaan falsafah puasa yang sebenar mampu mewujudkan persekitaran kerja yang lebih kondusif dan berdaya saing.

Oleh demikian, berpuasa bukanlah alasan produktiviti seseorang menurun dan tidak memberangsangkan. Walaupun terdapat beberapa kajian menunjukkan bahawa produktiviti seseorang pekerja menurun sedikit pada bulan Ramadan, namun sebagai umat Islam perkara berkenaan tidak sepatutnya berlaku memandangkan dalam sebuah hadis Rasulullah s.a.w pernah menegaskan bahawa puasa adalah ibadah yang menyihatkan. Oleh itu, puasa boleh mempengaruhi corak kerja yang efektif, pantas dan efisien yang dapat meningkatkan kualiti dan mutu kerja seseorang.

Sehubungan itu, kita juga tidak boleh memberi alasan penat berpuasa, letih berjaga malam, tidak cukup tidur dan sebagainya sebagai alasan tahap produktiviti menurun jika dilihat daripada perspektif sejarah terdapat beberapa siri peperangan di zaman awal Islam berlaku di bulan Ramadan dan mencapai kejayaan gilang gemilang. Ini membuktikan bahawa ibadah puasa telah memotivasikan umat Islam dahulu kala dalam menempah kejayaan dan ianya wajar dicontohi umat Islam hari ini dengan bekerja bersungguh-sungguh mencari rezeki, menuntut ilmu dan melakukan perubahan dalam hidup.

Bulan puasa bukanlah masa untuk seseorang 'curi tulang', malas, tidak produktif dan cuai dengan tanggunjawab yang telah diamanahkan. Keadaan ini hanya akan membantutkan lagi keupayaan sektor penggerak kepada kemajuan ekonomi negara jika ianya terus berterusan. Semua pihak mempunyai peranan secara langsung dalam meningkatkan produktiviti dan prestasi daya pengeluaran negara dalam apa jua sektor. Kualiti perkhidmatan yang kompetitif dan inovatif di dalam sesebuah negara bergantung kepada produktiviti serta kesungguhan pekerja dan industri terlibat.

Tambahan pula di bulan yang penuh berkat ini, kita boleh datang ke tempat kerja lebih awal dan dapat mengelak masalah kesesakan lalu lintas serta mempunyai banyak masa terluang ketika waktu rehat yang boleh digunakan untuk menyiapkan segala tugasan sebaik mungkin ataupun diisikan dengan amal ibadah sunat lain. Waktu rehat tersebut tidak disepatutnya digunakan untuk bersembang perkara yang tidak berfaedah, melayari internet yang tidak penting, membeli belah, bergosip di sana sini, banyak tidur dan aktiviti-aktiviti lain yang membuang masa serta merugikan semua pihak.

No comments: