Sunday, October 26, 2008

Ada apa dengan Ph.D?


Memiliki ijazah Ph.D atau ijazah doktor falsafah adalah impian hampir semua orang tidak kiralah sama ada berada di lapangan pendidikan, politik, korporat dan sebagainya. Ini adalah kerana selain gelaran atau pangkat Dr. di pangkal nama, Ph.D juga melambangkan prestij dan klimaks tahap pendidikan tertinggi seseorang. Semua sedia maklum bahawa untuk menggenggam segulung ijazah tertinggi itu bukan mudah, rumit dan memerlukan pengorbanan dan komitmen yang sangat tinggi sama ada berbentuk material, fizikal dan persediaan minda yang cukup kental.

Bagi membolehkan seseorang dianugerahkan ijazah ulung itu, mestilah melalui proses pengajian yang lama, tahap kajian dan penyelidikan tinggi dan sangat bermutu diperlukan di samping terdedah dengan kaedah penulisan dan pembentangan serta mempunyai kemahiran komunikasi baik. Di samping itu, dapat memahami, menilai dan membuat hipotasis sesuatu kajian serta mengumpul fakta, analisis, tafsiran, teori, data, ujian dan hujah sangat penting bagi mempertahankan hasil kajian dan penyelidikan mengikut metodologi yang bersesuaian dengan bidang yang diambil.

Kebiasaannya bagi mereka yang berada di lapangan pendidikan, memiliki Ph.D adalah lumrah tetapi bagi ahli politik pula, kejayaan mempunyai ijazah itu membuktikan kehebatan dan kecemerlangan mereka yang tersendiri. Ini telah dibuktikan oleh Datuk Seri Dr. Shahidan Kassim, lulusan Ph.D sains politik dari Universiti Utara Malaysia (UUM) tahun lepas dan pada tahun ini, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi pula menyusul dengan tesis Ph.D beliau berkenaan komunikasi kemanusiaan di Universiti Putra Malaysia (UPM) yang masing-masing memperolehi ijazah berkenaan ketika berkhidmat sebagai wakil rakyat.

Ini adalah suatu yang sangat membanggakan rakyat Malaysia kerana di dalam keadaan serba sibuk mengurus hal ehwal rakyat, mereka masih mampu bertungkus lumus dan berjaya menggenggam ijazah yang sangat-sangat bernilai itu. Kejayaan mereka yang berjaya mengenggam ijazah tertinggi ini secara positifnya mampu membakar semangat rakyat Malaysia yang dahaga ilmu pengetahuan dan tekad berusaha mengamalkan tradisi menuntut ilmu seumur hidup. Golongan yang cintakan ilmu ini wajar diangkat sebagai ikon dan sumber inspirasi kepada orang ramai dalam usaha mewujudkan masyarakat berilmu mengetahuan atau k-masyarakat.

Di samping itu, dunia politik negara juga diwarnai dengan kehadiran ramai lagi ahli politik sama ada di barisan kerajaan dan pembangkang yang bijak dan memiliki Ph.D dari universiti dalam dan luar negara seperti Datuk Seri Dr. Rais Yatim, Datuk Dr. Abdullah Md. Zain, Datuk Dr. Zambry Abdul Kadir, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkasy, Dr. Mujahid Yusuf, Dr. Dzulkifli Ahmad dan ramai lagi sekadar menyebut beberapa nama yang membuktikan negara dan parti politik arus perdana mempunyai barisan pemimpin dan ahli Parlimen masing-masing yang hebat dan berpendidikan tinggi.

Keadaan ini sudah tentu memberi cabaran dan motivasi kepada orang ramai untuk memiliki ijazah Ph.D dan menjadi aspirasi kepada graduan universiti terutamanya untuk terus menyambung pelajaran mereka sehingga ke peringkat ijazah tertinggi. Bagi mereka cemerlang dan tamat pengajian tetapi masih belum menerima sebarang tawaran pekerjaan, maka ini adalah masa dan peluang terbaik untuk menyambung pelajaran di dalam dan luar negara sebagai bekalan ketika memohon pekerjaan kelak dan nilai tambah kepada potensi diri seseorang.

Tambahan pula dengan dana dan peluang yang ada, kerajaan melalui Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) melancarkan program MyBrain15 yang bermatlamat melahirkan 60,000 pemegang Ph.D menjelang tahun 2023 sebagai satu usaha menambah bilangan pemegang ijazah Ph.D yang secukupnya dalam sumber tenaga kerja mahir dan bermaklumat negara. Program yang julung-julung kali ini dianjurkan kerajaan adalah sebagai persediaan kepada negara menjana dan memiliki modal insan yang berkualiti, kompeten, kompetitif dan mempunyai daya saing yang tinggi serta berfikiran glokal di samping berminda kelas pertama.

Sehingga kini jumlah pemegang ijazah doktor falsafah di Malaysia hanya sekitar 8,000 orang sahaja dan jumlah itu masih belum mencukupi di samping menghalang negara untuk mewujudkan lebih banyak ciptaan atau inovasi yang mampu menjana pembangunan negara. Untuk itu, kerajaan mahu melakukan perubahan pada senario itu dan pemegang Ph.D tempatan perlu menjadi tonggak dalam memandu inovasi negara dan tonggak kepada kejayaan program MyBrain15 adalah di tangan institusi pengajian tinggi awam (IPTA) kerana merekalah kilang melahirkan tenaga pakar tersebut pada masa hadapan.

Namun dalam keghairahan ahli politik mengejar gelaran Ph.D, terdapat di kalangan mereka yang diragui status Ph.D dan universiti yang menganugerahinya. Perkara seperti ini tidak sepatutnya berlaku memandangkan orang politik sangat dihormati dan dipercayai serta dalam perkara ini masyarakat hari ini semakin matang dan mempunyai tahap inkuiri yang tinggi. Jika perkara ini diketahui kelak, sudah tentu ianya sangat memalukan dan orang ramai akan hilang keyakinan kepada mereka. Gelaran Ph.D yang diragui atau bogus juga turut melarat kepada beberapa tokoh ternama korporat, pakar motivasi, pengamal perubatan alternatif dan ramai lagi seperti yang acapkali didedahkan oleh media arus perdana.

RUJUKAN
Wan Mohd. Mihidin Wan Kadir. Calon Ph.D perlu kuasai BI professional, Utusan Malaysia, 18 Ogos 2008
MyBrain15 tingkat jumlah pemegang Ph.D dilancar, Utusan Malaysia, 26 September 2008

b

BLOG PORTAL DAKWAH YANG EFEKTIF


Suatu masa dahulu media elektronik seperti televisyen dan radio merupakan antara medium utama dan efektif untuk berdakwah kepada masyarakat Islam dan bukan Islam, dan hari ini inovasi internet juga dilihat mampu mengambil tempat serta menjadi saluran terbaik yang cukup berpengaruh sebagai kaedah baru serta kontemporari bagi melaksanakan misi dakwah dan menyampaikan segala maklumat mengenai Islam terutamanya menerusi aplikasi laman blog.

Hari ini trend memiliki blog peribadi semakin popular dan menjadi gaya hidup masyarakat moden yang mesra IT. Melalui blog kita boleh menulis apa sahaja yang diminati dan inginkan serta uniknya dapat dikongsikan pula dengan pembaca di seluruh dunia tanpa batasan sempadan waktu dan negara. Hal ini telah membuka dimensi baru kepada dunia penulisan digital atau maya dan sudah tentu memberi peluang dan ruang yang sangat luas kepada proses transformasi dakwah Islam hari ini di samping medium tradisional lain.

Dalam hal ini pemikir dan pelopor gerakan dakwah terkenal seperti Hasan al-Banna, Syed Qutb, al-Maududi dan lain-lain dalam banyak tulisan serta ucapan mereka konsisten menyatakan bahawa medan dakwah terlalu luas untuk direntasi dan diceburi dalam segala sudut, maka di sini para pendakwah perlu bijak, kritis dan kreatif melaksanakan tanggungjawab dan amanah tersebut. Dalam keadaan dan realiti hari ini, mungkin aplikasi blog wajar dijadikan medium terbaik untuk merealisasikan misi dan visi dakwah di dalam masyarakat.

Secara umumnya, blog atau weblog seperti mana yang diketahui ialah catatan seharian yang ditulis dalam laman web tertentu secara talian yang disediakan secara percuma dan amat mudah memiliki serta mereka bentuknya mengikut citarasa masing-masing. Aplikasi blog hari ini berperanan sebagai medium interaksi yang membolehkan korpus ilmu, pemikiran, perkongsian dan maklum-balas dilakukan di alam maya tanpa ada hubungan secara langsung.

Menurut Ibnu Ahmad al-Kurauwi dalam tulisan beliau Berdakwah Melalui Blog (Dewan Masyarakat, 2007), pengaruh blog dalam masyarakat di Malaysia kini semakin mendapat perhatian dan ulama dalam perkara ini berijtihad bahawa aplikasi blog adalah inovasi dan teknologi yang diharuskan menurut perspektif Islam. Ini adalah kerana Islam tidak pernah menghalang teknologi seperti ini asalkan tidak bertentangan dengan syariat dan besar pula manfaatnya kepada masyarakat Islam itu sendiri.

Dalam keadaan dunia dan realiti kehidupan yang serba mencabar serta kepelbagaian kerenah sosio budaya masyarakat hari ini, memerlukan metodologi dakwah massa dan semasa harus dipelbagaikan kaedah penyampaiannya, bukan semata-mata dengan cara memberi kuliah atau ceramah sahaja. Sebagai contoh, melalui aplikasi blog umpamanya segala kuliah atau ceramah boleh dirakam dan dimuat turun oleh pendengar, segala ilmu dan pemikiran boleh dimanfaatkan oleh orang ramai tanpa had dan tempat, setiap masa dan ketika.

Penggunaan internet, blog dan teknologi-teknologi yang lain sepeti portal, hub dan sebagainya sebagai medium dakwah diyakini mampu memberi nafas baharu kepada dunia dakwah dewasa ini agar skop dan capaian dakwah di negara kita dan di seluruh dunia lebih luas, kreatif dan yang paling penting ialah ilmu itu sampai kepada masyarakat dan dalam masa yang sama masyarakat pula boleh berinteraksi serta berdialog dengan pemilik laman blog atau sebagainya.

Kemajuan dan kemudahan ICT ini secara langsung membuka ruang kepada ulama dan pemikir besar Islam seperti Dr. Yusof al-Qaradhawi, Dr. Wahbah al-Zuhayli, Dr. Muhammad Said Ramadan al-Buty dan lain-lain yang turut berdakwah melalui alam dakwah siber ini. Tokoh-tokoh ini walaupun berada di dunia yang berbeza mampu memberi pandangan, kritikan, fatwa-fatwa dan sebaginya terhadap sebarang permasalahan agama disebabkan kecanggihan dunia siber ini.

Oleh itu, dunia Islam di seluruh dunia harus mengambil kesempatan daripada kemudahan ruang maya yang dilihat mampu membina jaringan dakwah yang kuat, fleksibel dan sistematik. Pelayar internet atau sasaran dakwah pula tidak mengira bangsa dan agama boleh mengikuti kemudahan ini kerana internet boleh diakses dari seluruh dunia. Ini adalah kerana berdakwah dengan medium digital seperti melalui laman blog misalnya lebih mudah dan pantas kerana pengguna boleh mengakses internet tanpa mengira had masa dan tempat. Ini juga adalah peluang terbaik untuk menjadikan blog sebagai rujukan ilmiah berkenaan Islam dan induk kefahaman Islam yang sebenar kepada seluruh masyarakat dunia.

Ciri-ciri interaktif yang menawarkan aplikasi video, gambar, suara dan bunyi lebih menepati kehendak serta minat pengunjung laman blog terutama generasi muda umpamanya. Di sini kita dapat memaparkan keindahan dan kedamaian Islam serta menunjukkan kepada masyarakat luar bahawa Islam tidak jumud atau ketinggalan zaman. Web portal Jakim misalnya menyediakan pelbagai kemudahan seperti rujukan tafsir al-Quran daripada Pimpinan ar-Rahman, himpunan hadis daripada Mastika Hadis, e-Fatwa, e-Hadis, kemusykilan agama, Iqra’, Portal Halal, aduan awam, khutbah online dan banyak lagi yang mampu menarik perhatian ramai untuk mendalami dan mengenali Islam secara lebih dekat dan menarik.

Melalui laman blog juga kita mampu menangkis segala serangan minda dan propaganda musuh Islam seperti gerakan intelektual Barat dan para Orientalis yang sentiasa mencari jalan mengelirukan umat Islam. Jika sebelum ini musuh Islam menggunakan blog untuk mencemar nama baik Islam, menghina nabi Muhammad dan sebagainya, maka umat Islam perlu memiliki laman blog masing-masing untuk menjawab segala tuduhan dan tohmahan tersebut. Di samping itu, salah faham terhadap ajaran Islam dapat diperbetulkan serta menjadikan blog sebagai medan diskusi dan dialog antara bukan Islam atau sesiapa sahaja yang berminat dengan agama suci ini. Oleh itu, adalah menjadi kemestian kepada ahli dan pentadbir agama seperti mufti, pendidik, ulama dan setiap umat Islam umpamanya mempunyai blog sebagai medan dan wadah dakwah digital di negara kita dan di seluruh dunia.

RUJUKAN

Fathi Yakan. Apa Ertinya Saya Menganut Agama Islam ? [http://www.al-islam.com/articles/articles-m.asp ]

Ibnu Ahmad al-Kurauwi, 2007. Berdakwah Melalui Blog. Dewan Masyarakat (Julai), Dewan Bahasa dan Pustaka: Kuala Lumpur

Dakwah Jakim lebih efektif pada era digital, Utusan Malaysia, 14 Mac, 2006

Saturday, October 25, 2008

Jangan Pertikai Status Bahasa Malaysia

Jika sebelum ini status orang Melayu dipertikai dan dikatakan sebagai kaum pendatang, kini bahasa Melayu (Malaysia) pula dicabar apabila cuba diganding dan disamaratakan martabatnya dengan bahasa lain di negara ini dengan alasan yang cukup tidak munasabah. Isu yang sensitif sebegini tidak sepatutnya dibangkitkan di kala kita sedang menuju sebuah negara maju dan moden tidak lama lagi. Keadaan ini secara signifikannya sangat tidak menghormati bahasa kebanggaan rakyat Malaysia dan mencemar semangat perlembagaan negara kita.

Walaupun setelah bahasa Melayu ditukar menjadi bahasa Malaysia yang menyebabkan ramai yang terasa hati dan sedih, namun ditelan jua dengan harapan semua bangsa di negara ini dapat menerima bahasa keramat ini seadanya dan menjadikannya bahasa unggul di dalam segala urusan. Sebaliknya, masih ada yang masih berdegil dan cuba menjadi popular dengan membenarkan pemasangan papan tanda nama jalan dalam pelbagai bahasa di kawasan tapak warisan dalam tulisan Jawi, Tamil dan Cina. Persoalannya ialah perlukan perkara sedemikian dilakukan di kala bahasa Malaysia adalah bahasa utama negara.

Keadaan ini seolah-olah menunjukkan bahawa bahasa Malaysia masih lagi tidak mendapat tempat di hati kalangan bukan Melayu dan tidak diterima sebagai bahasa kebangsaan walaupun pada hakikatnya bahasa Malaysia adalah lambang perpaduan rakyat sejak sebelum merdela lagi dan simbolik kepada pembentukan bangsa Malaysia pada masa hadapan. Jika masing-masing kaum cuba menonjolkan keagungan bahasa mereka dan menjadi juara politik murahan serta membelakangkan bahasa Malaysia dalam urusan seharian pentadbiran, ini hanya akan merugi dan menggagalkan wawasan kewujudan bangsa Malaysia yang berbilang kaum.

Perlembagaan Persekutuan 1957 dan Akta Bahasa Kebangsaan 1963 jelas memperuntukkan kedudukan sebenar, realiti dan status bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan rasmi di negara ini. Untuk itu, bahasa Melayu hendaklah diletakkan di landasan yang betul dalam semua urusan rasmi serta tidak rasmi rakyat dan negara. Bahasa Malaysia juga mestilah menjadi teras kepada sistem pemerintahan, pendidikan, ekonomi, politik dan sebagainya. Namun begitu, ini tidaklah bermakna bahasa ibunda kaum lain dinafikan penggunaannya, malahan perlu digalakkan mengikut lunas dan ruang lingkup yang dibenarkan.

Oleh itu, sebagai warganegara Malaysia yang taat setia, maka semua pihak perlu akur dengan peruntukan yang ada tanpa banyak muslihat atau cuba merendah-rendahkan standard bahasa Malaysia di negara sendiri. Baru-baru ini beberapa badan, tokoh dan pejuang bahasa mengutuk langkah songsang sebuah kerajaan negeri meluluskan pemasangan tanda jalan dalam bahasa lain dan menganggap perbuatan tersebut sebagai satu perbuatan yang tidak patut dilakukan dan diikuti di samping merayu semua pihak menolak sebarang usaha yang cuba menyamaratakan bahasa kebangsaan dengan bahasa lain. Bahasa Malaysia mestilah menjadi bahasa unggul dan tunggal, bukannya bahasa tunggul yang boleh dipermain serta diperbodohkan begitu sahaja.

Sehubungan itu, kerajaan dan pihak terlibat diharapkan bertindak segera membetulkan keadaan dan mengambil tindakan sewajarnya ke atas mana-mana pihak yang cuba melanggar semangat perlembagaan dan tidak mendaulatkan bahasa kebangsaan sewajarnya. Adalah dibimbangi perbuatan yang tidak bertanggungjawab ini akan membangkitkan kemarahan serta mencetus sesuatu yang boleh menimbulkan kontroversi, provokasi dan pertikaian umum di negara kita apabila peruntukan undang-undang sedia ada tidak lagi dihormati memandangkan perbuatan ini umpama kegiatan subversif yang cuba melemahkan kerajaan, perpaduan kaum dan sistem perundangan.

Dalam masa yang sama, semua kaum di negara ini perlu memahami bahawa usaha mendaulatkan bahasa kebangsaan bukan milik mutlak orang Melayu sahaja malahan adalah menjadi tanggungjawab dan tugas semua rakyat Malaysia ke arah menjadikan bahasa Malaysia sebagai bahasa terhebat dalam segala lapangan dan disiplin kehidupan disamping dihormati masyarakat dunia sampai bila-bila. Oleh demikian, rakyat Malaysia mesti berbangga dengan standard dan status bahasa kebangsaan dan menolak sebarang usaha mengecil serta meremehkan peranan, peluang dan dimensi bahasa keempat paling ramai dituturkan di dunia ini.

Rujukan
Kerajaan Pulau Pinang langgar semangat Perlembagaan, Mingguan Malaysia, 26 Oktober 2008

Wednesday, October 22, 2008

WAKAF ALTERNATIF EKONOMI SEJAGAT

Wakaf diiktiraf sebagai salah satu sistem ekonomi alternatif dan mekanisme penting dalam struktur ekonomi Islam dalam proses pembangunan berasaskan kesaksamaan dan keadilan sejagat. Wakaf yang diuruskan secara professional dan sistematik berperanan mengagihkan kekayaan dan dalam masa yang sama mampu mengurangkan liabiliti yang terpaksa ditanggung oleh sesebuah kerajaan melalui pentadbiran dan pengurusan yang cekap di samping menyokong kekuatan dan kestabilan ekonomi di kalangan masyarakat Islam.

Lantaran itu, kejayaan Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (Jawhar) melancarkan sistem elektronik e-Bayanat dan e-Wakaf iaitu pangkalan data dan maklumat bersepadu berkaitan institusi wakaf di seluruh negara diharapkan membantu mempercepatkan lagi perkhidmatan institusi wakaf negara. Sistem elektronik ini berbentuk laporan serta maklumat yang diperoleh yang memaparkan statistik wakaf, zakat, mal dan haji yang direkodkan. Uniknya, maklumat yang diterima diolah pada pelbagai peringkat, diringkaskan dan dipersembahkan dalam pelbagai bentuk seperti graf bar, carta pai, graf perbandingan dan pertanyaan. e-Wakaf dijangka dapat membantu mempercepatkan pembangunan 9,947 hektar tanah wakaf di seluruh negara yang setakat ini hanya 0.72 peratus dimajukan.

Tambahan pula laporan elektronik yang dipaparkan adalah terkini dan maklumat tersebut dapat dikongsi bersama dengan jabatan lain dan masyarakat umum terutamanya aplikasi e-Wakaf yang merupakan sistem pengurusan maklumat wakaf secara bersepadu pada peringkat nasional yang terdiri daripada Portal Pengurusan Maklumat Wakaf, Sistem Pengurusan Maklumat Wakaf, Sistem Antara Muka Maklumat Wakaf dan Pusat Data Wakaf. e-Wakaf secara tidak langsung memudahkan Kerajaan memperoleh maklumat mengenai harta wakaf daripada majlis agama islam negeri secara lebih sistematik bagi menyemak status pembangunan tanah wakaf, mengesan lokasi dan mengesan individu yang mewakafkannya.

Mengikut Enakmen Wakaf (Negeri Selangor) 1977, wakaf ialah menyerahkan apa-apa harta yang boleh dinikmati atau dimanfaatkan faedahnya untuk apa-apa tujuan sama ada wakaf am atau wakaf khas. Bagaimanapun, pemberian itu mestilah disertakan dengan niat untuk kebajikan. Dalam perkara ini usaha Malaysia membangunkan institusi wakaf mendapat kepujian negara-negara Islam yang turut berminat menguna pakai kaedah yang dilaksanakan bagi pembangunan tanah wakaf di negara mereka. Ini adalah satu kejayaan besar negara dalam usaha memperkasakan hartanah dan dana wakaf dengan tujuan pembangunan ummah di Malaysia.

Sehubungan itu, harta atau tanah wakaf perlulah dibangun dan dikembangkan bagi tujuan kepentingan awam seperti dalam sektor kesihatan, pendidikan, pertanian, perindustrian, perladangan, hartanah dan pembinaan selain projek seperti masjid, baitul mal, rumah perlindungan dan anak yatim dan sebagainya. Persepsi bahawa hartanah wakaf hanyalah khusus untuk tujuan pembinaan masjid dan kubur sahaja perlulah dikikis dalam pemikiran masyarakat melihat kepada sumbangan dan pengertian wakaf secara menyeluruh.

Dalam perkembangan semasa, reformasi wakaf yang telah dilaksanakan oleh beberapa institusi wakaf negara melalui agihan harta dan saham telah mendapat pengiktirafan dunia dan bakal diketengahkan sehinggakan ke peringkat global. Aplikasi perlaksanaan wakaf di Malaysia telah direkod dan diiktiraf dalam Journal Harvard Business School Universiti Harvard yang cukup terkenal untuk rujukan dan panduan masyarakat antarabangsa. Ini adalah satu pengiktirafan penting dan bukti penerimaan masyarakat dunia terhadap usaha yang telah dimulakan oleh Malaysia dalam hal ini.

Sinergi terbaru wakaf yang dilaksanakan oleh beberapa organisasi dengan mewakafkan asetnya terbukti memberi keuntungan kepada syarikat dengan mempelbagaikan cabang perniagaan menerusi anak syarikat dan mewujudkan perniagaan usahawan dalaman syarikat. Konsep dan pembaharuan ini diharapkan bukan sahaja dapat dirujuk oleh negara-negara Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) sahaja untuk dipraktikkan malahan juga untuk rujukan dan perlaksanaan masyarakat antarabangsa.

Sejak dahulu lagi, institusi wakaf telah berperanan dengan cukup berkesan dalam usaha membasmi kemiskinan dan meningkatkan lagi tahap sosioekonomi masyarakat Islam melalui pembangunan dan pengurusan harta wakaf yang efektif. Bagi Malaysia dan beberapa negara Islam lain, sistem wakaf merupakan cara dan agenda terbaik melonjakkan kemajuan ummah termasuk merapatkan jurang antara golongan kaya dan miskin sama ada di dalam mahu pun luar negara. Keadaan ini mampu mengimbangi sistem ekonomi kapitalis konvensional yang sedang menguasai landskap dan struktur ekonomi global hari ini.

Oleh demikian, aset tanah wakaf yang dilaporkan masih terbiar dengan nilai lebih RM1.2 bilion di seluruh negara tidak boleh diabaikan begitu sahaja memandangkan nilai komersilnya yang begitu tinggi dan wajar dibangunkan segera melalui projek pembangunan secara berperingkat dalam tempoh Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) dan pada masa akan datang. Ini adalah kerana pertumbuhan tanah wakaf akan memberi manfaat yang sangat besar kepada kebajikan umat Islam khususnya dalam menjana ekonomi dan sosial masyarakat termasuklah pengagihan kekayaan yang adil.

Untuk itu, pembangunan, pembaharuan dan penjenamaan semula institusi wakaf oleh pelbagai pihak terutamanya badan dan agensi kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO) dan sektor swasta dalam negara diharapkan akan menyediakan peluang pekerjaan yang banyak kepada rakyat dan memberi keselesaan serta kemudahan untuk kegunaan umum, membantu serta merancakkan lagi perkembangan ekonomi negara dan pada masa yang sama mengurangkan perbelanjaan kerajaan ketika berhadapan dengan krisis ekonomi global melalui dana dan pembangunan hartanah wakaf secara terurus, serius dan efektif.

Dengan fundamental kelembapan ekonomi dunia hari ini yang mempengaruhi hampir semua negara ekoran krisis kewangan dan permulaan era kemelesetan, maka institusi dan dana wakaf dilihat mampu berperanan menangani masalah kritikal ini dan jika dilakukan dengan bersungguh-sungguh ianya berupaya menjadi pemangkin dalam teras aktiviti penjanaan pelaburan jangka panjang negara serta boleh bertindak sebagai pengimbang kepada struktur ekonomi kapitalis global yang semakin tidak menentu ketika ini melihat kepada nilai dan potensi yang ada pada institusi wakaf di seluruh dunia.


RUJUKAN
Asmak Ab. Rahman, et al, 2005. Teori dan Aplikasi Kontemporari Sistem Ekonomi Islam di Malaysia. Kuala Lumpur: Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd

Jawhar lancar sistem e-Bayanat, e-Wakaf, Utusan Malaysia, 21 Oktober 2008
Pangkalan data wakaf dilancar, Berita Harian, 21 Oktober 2008
Lebih 9,000 hektar tanah wakaf terbiar dibangunkan, Utusan Malaysia, 12 Ogos 2008
Jadikan wakaf JCorp kajian kes global, Utusan Malaysia, 12 Ogos 2008
Basmi kemiskinan menerusi wakaf - Abdullah, Utusan Malaysia, 12 Ogos 2008
Wakaf cara adil ganti kapitalis, Berita Harian, 12 Ogos 2008

Wednesday, October 15, 2008

Peluang Terbaik Sistem Kewangan Islam Berkembang

Krisis kewangan global yang bertunjangkan mekanisme riba, tekanan faedah berganda dan penindasan kini sedang melumpuhkan sektor perbankan dan ekonomi Amerika Syarikat (AS) dan Eropah sekelip mata sahaja dan dalam masa yang sama episod hitam itu telah membuka mata dunia kepada potensi sistem kewangan Islam yang dilaksanakan di Malaysia dan beberapa negara Islam lain di seluruh dunia. Institusi riba global sedang menuju kemusnahan dan pendokongnya bakal berdepan dengan gelombang kemuflisan terbesar dalam sejarah yang membuka peluang kepada sistem kewangan Islam diterjemahkan kepada masyarakat dunia keseluruhannya.

Ini adalah masa dan medan terbaik kepada negara-negara Islam memperkukuhkan struktur dan produk kewangan Islam mereka dan mengenengahkannya kepada dunia sebagai alternatif dan pilihan utama kaedah pemulihan ekonomi global. Kemampuan sistem perbankan Islam tumbuh 15 peratus setahun mencerminkan ia bakal menjadi peneraju pasaran kewangan antarabangsa dengan ciri-cirinya yang tersendiri melawan arus deras institusi riba global seperti kurang risiko dan amalan perkongsian keuntungan, melindungi sistem kewangan itu daripada krisis kewangan seperti yang berlaku sekarang.

Islam sangat mementingkan kesejahteraan umat dan sangat memerangi segala sistem atau struktur yang berteraskan riba yang memudaratkan kehidupan manusia. Firman Allah, bermaksud, "Wahai orang beriman, bertakwa kamu kepada Allah dan tinggalkan saki baki riba jika kamu benar-benar beriman, sekiranya kamu tidak meninggalkannya, isytiharlah perang dengan Allah dan Rasul-Nya, " (Al-Baqarah : 278- 279). Dalam hadis Nabi Muhammad s.a.w bersabda "Riba mempunyai 70 pintu, riba yang paling ringan (dosanya) seperti seorang lelaki berzina dengan ibunya." (Ibn Majah, 2/764 ; Al-Hakim, 2/37 Al-hakim: Sohih menurut syarat Al-Bukhari dan Muslim).

Oleh itu, krisis yang dihadapi di AS dan Eropah hari ini telah menampak dan membuktikan sistem konvensional semasa yang sedang diamalkan ketika ini mempunyai begitu banyak kelemahan, ketempangan dan ketidakseimbangan berbanding sistem kewangan Islam yang semakin kukuh, mantap dan mampu bertahan di kala dunia sedang mendepani zaman meleset yang dijangka bakal mempengaruhi banyak negara di seluruh dunia. Ramai sarjana mengakui kesan krisis ekonomi dunia kini kepada sistem kewangan Islam dan kewangan Islam secara asasnya tidak menerima kesan langsung daripada krisis yang berlaku berdasarkan ciri-cirinya yang tersendiri seperti kurang risiko dan amalan perkongsian keuntungan. Malah, institusi kewangan dan perbankan konvensional lain perlu mencontohi sistem perbankan Islam berdasarkan keupayaannya dan terbukti berjaya.

Nilai keseluruhan aset kewangan Islam mencapai AS$1 trilion (RM3.52 trilion), malah turut dipraktikkan di lebih 75 negara seluruh dunia, termasuk di negara yang didominasi masyarakat bukan Islam. Sejak lima tahun lalu, pusat kewangan antarabangsa dilihat mula mempraktikkan sistem berkenaan termasuk yang beroperasi di London, Singapura dan Hong Kong. Antara produk utama yang dihasilkan daripada kewangan Islam adalah Sukuk dan Malaysia adalah pasaran terbesar produk berkenaan dengan bon keseluruhan bernilai RM211.2 bilion.

Mungkin ada hikmahnya terhadap apa yang berlaku kerana masyarakat dunia jelas nampak kelebihan dan kewibawaan perbankan Islam dan adalah diharapkan agar dengan perkembangan yang memberansangkan di negara kita, banyak negara di Asia Barat akan mula melabur di sini kerana mereka sudah hilang keyakinan kepada pasaran dan situasi ekonomi di negara Barat. Ini adalah kerana, dalam menangani krisis kewangan teruk pada 1997, Malaysia bernasib baik kerana mempunyai kepimpinan yang bijak, berani dan berwawasan untuk melaksanakan langkah-langkah yang drastik termasuk mengawal tukaran asing terpilih yang berjaya menghalang berlakunya kesan kitaran ganas ke atas ekonomi dan sosial negara kita.

Tambahan pula, industri perkhidmatan kewangan Islam seluruh dunia dijangka bernilai AS$2.8 trilion (RM9.57 trilion) menjelang tahun 2010 nanti menurut Pengarah Unit Perbankan dan Kewangan Universiti Monash (Malaysia), Profesor Bala Shanmugam. Jangkaan itu dibuat oleh Badan Perkhidmatan Kewangan Islam Malaysia dan Bank Pembangunan Islam Arab Saudi bersandarkan kepada semakin banyak negara dan institusi kewangan global menyediakan perkhidmatan dan produk kewangan Islam pada masa ini.

Industri global pula telah berkembang dan kini ia bernilai sekitar AS$531 bilion (RM1.816 trilion), menunjukkan penerimaan menyeluruh terhadap produk kewangan Islam. Peserta sektor kewangan Islam tempatan juga bersedia untuk memasuki industri kewangan Islam antarabangsa berikutan penerimaan positif masyarakat global. Langkah untuk meningkatkan kesedaran terhadap perkhidmatan kewangan Islam semakin dipertingkatkan kepada masyarakat Islam dan bukan Islam, termasuk dengan mendedahkan umum kepada aktiviti pasaran modal Islam serta perniagaan takaful yang semakin berkembang pesat.

Kerajaan juga telah mempelbagaikan konsep terbitan nota-nota kewangan Islam sedia ada daripada berasaskan Bai Inah dan Ijarah ke Murabahah yang cukup berjaya. Dengan menerbitkan nota-nota kewangan Islam menerusi struktur itu yang digunakan secara meluas di Timur Tengah, ia boleh menyediakan satu platform bagi pelabur baru untuk melabur dalam kertas-kertas pembiayaan Islam dalam pasaran Malaysia sekaligus mempelbagaikan pangkalan pelabur. Sebagai sebahagian daripada inisiatif yang dikaitkan dengan pasaran kewangan Islam Global, instrumen ini akan dipromosikan ke pasaran kewangan antarabangsa.

Sambil dunia memperakui pentingnya membangunkan produk-produk lindung nilai Islam dalam pasaran kewangan Islam untuk menangani risiko, Malaysia bangun memperkenalkan perjanjian Derivatif Islam global bagi mendokumenkan transaksi derivatif Islam yang dimulakan oleh bank pusat dan dipacu oleh industri kewangan menerusi pakatan serta kerjasama bijak dapat memperbaiki amalan pengurusan risiko, pengurusan imbangan pembayaran, meningkatkan kecekapan menggerakkan dana dan meningkatkan keupayaan perbankan pelaburan institusi perbankan Islam di peringkat global.

Rujukan
Krisis kewangan global serlahkan potensi sistem kewangan islam, Utusan Malaysia, 14 Oktober 2008
Peneraju pasaran, Harian Metro, 14 Oktober 2008
Nilai industri kewangan Islam cecah RM9.6 trilion 2010, Utusan Malaysia, 29 September 2008

Monday, October 06, 2008

BERSATU MEMBANTERAS LANUN


Selepas episod pembebasan kedua-dua kapal tangki milik Malaysia yang ditawan di Teluk Aden di perairan Somalia sejak lebih sebulan lalu, lanun dilaporkan kembali mengganas dengan menyerang empat lagi kapal di luar perairan negara itu. Kejadian itu berlaku pada 1 Oktober lepas dan merupakan satu serangan lanun yang paling banyak dalam masa sehari di dalam satu kawasan di mana kapal-kapal berkenaan diserang lanun yang bersenjatakan mesingan dan pelancar roket di samping peralatan canggih seperti menggunakan Sistem Pertahanan Mudah Alih (MANPADS) selain bom pelontar roket, Sistem Lokasi Global (GPS) dan telefon satelit ketika melakukan serangan.

Serangan pertama berlaku membabitkan sebuah kapal pengangkut milik Emiriah Arab Bersatu (UAE) yang dalam perjalanan ke Eropah, namun gagal setelah kapal tersebut bertukar haluan sebelum sebuah helikopter tentera datang membantu. Kurang sejam kemudian, sebuah lagi kapal tangki membawa bahan kimia milik Filipina yang menuju ke Asia Barat dirampas, namun berjaya dihalang setelah sebuah kapal perang datang membantu. Kejadian ketiga membabitkan kapal tangki minyak milik Itali, namun digagalkan setelah kapal tersebut bertukar haluan. Kapal terakhir milik Taiwan diserang anggota lanun, tetapi kapten kapal berjaya menggagalkan usaha lanun tersebut dengan menyembur hos air ke arah mereka.

Manakala kumpulan lanun yang menahan kapal kargo Ukraine yang membawa senjata menegaskan bahawa mereka tidak akan membebaskan kapal itu selagi wang tebusan sebanyak AS$20 juta (RM68.92 juta) tidak dibayar. Malah, kumpulan lanun itu mengancam akan bertindak balas ke atas sebarang cubaan untuk menyelamatkan kapal tersebut. Lantaran itu, kerajaan Somalia telah memberi "lampu hijau" kepada negara asing untuk menggunakan strategi ketenteraan bagi membebaskan kapal tersebut.

Dalam perkembangan yang sama, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mencadangkan satu resolusi menggesa semua negara yang memiliki kepentingan dalam keselamatan maritim menghantar kapal perang dan pesawat tempur untuk menentang lanun di perairan Somalia. Draf resolusi Majlis Keselamatan PBB itu turut menggesa kapal dan pesawat 'mengambil apa juga langkah perlu' untuk menghentikan kegiatan lanun. Draf itu dirangka mengikut Bab 7 Piagam PBB yang bermaksud peruntukan itu boleh dikuatkuasakan tentera.

Berdasarkan Konvensyen Undang-Undang Laut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, (PBB) 1982 (UNCLOS) kegiatan lanun boleh ditafsirkan sebagai : “Sebarang kegiatan salah melalui keganasan dan penahanan yang dilakukan untuk dijadikan pemilikan sendiri oleh anak kapal atau penumpang sebuah kapal persendirian atau pesawat persendirian di kawasan laut terhadap sebuah kapal atau pesawat atau terhadap orang perseorangan atau harta benda yang terdapat di atas kapal atau pesawat”.

Perancis sebelum ini berusaha supaya resolusi Majlis Keselamatan PBB 1816 yang dicapai pada Jun 2008 dilaksanakan oleh negara-negara yang mempunyai kemampuan tentera laut untuk membantu negara-negara yang menghadapi masalah ancaman lanun. Resolusi Majlis Keselamatan, yang dimulakan oleh Perancis dan Amerika Syarikat serta dinaungi oleh 14 negara, antara lain membenarkan hak memburu dari laut terbuka ke arah perairan wilayah Somalia sekiranya berlaku kesalahan yang jelas.

Ini adalah kerana kegiatan lanun di Somalia kini merupakan satu bentuk trend perniagaan paling menguntungkan yang mana jumlah wang tebusan boleh mencecah jutaan dolar. Sehingga kini dianggarkan sebanyak 100 kapal masih ditahan di negara itu biarpun jumlah sebenar tawanan lanun-lanun di Somalia masih belum diketahui sehingga kini. Pada tahun ini saja dikatakan sebanyak 30 buah kapal dirampas oleh lanun malah jumlah wang tebusan yang diminta mencecah AS$10,000 (RM32,000) seorang.

Sasaran lanun ini kini turut berubah dari hanya mensasarkan kapal-kapal komersial dan perdagangan kepada kapal mewah dan perahu layar peribadi memandangkan jumlah wang tebusan yang boleh diperoleh adalah lebih lumayan. Dengan keadaan politik negara ini yang huru-hara, dan berpecah belah akibat masalah etnik, geografi dan agama ditambah pula dengan keadaan ekonominya yang sangat teruk dan selepas pertanian, kegiatan lanun dikatakan merupakan sumber ekonomi terbesar Somalia.

Masalah lanun di Somalia bukan sahaja telah mengakibatkan kegiatan rompakan dan rampasan kapal semakin berleluasa tetapi ia turut mengakibatkan bantuan makanan kepada penduduk di negara ini dan penduduk di negara Afrika lain terjejas teruk. Keadaan ini sangat menyusah dan merugikan banyak pihak. Sehubungan itu, agensi di bawah PBB, Program Makanan Dunia (WFP) dan Pertubuhan Maritim Antarabangsa (IMO) telah merayu supaya masalah ini dapat diselesaikan segera bagi memudahkan segala urusan bantuan kemanusiaan di sana.

Majlis Keselamatan PBB sebelum ini telah mengeluarkan kenyataan agar negara anggota pertubuhan ini yang beroperasi di perairan dan udara antarabangsa dapat menyumbang melalui ketenteraan laut dan udara agar melindungi dan mengambil tindakan terhadap lanun-lanun ini yang bertindak menyerang kapal-kapal dagang dan kapal yang membawa bantuan makanan. Koordinasi dan tindakan yang lebih tegas perlu diambil terhadap lanun ini oleh kerajaan Somalia, negara-negara berjiran serta Kesatuan Afrika bagi memulihkan semula keadaan.

Secara keseluruhannya, kegiatan lanun di Teluk Aden didapati telah menggugat aktiviti perniagaan antarabangsa apabila syarikat perkapalan terpaksa membayar wang tebusan antara AS$18 juta hingga AS$30 juta (RM 62.04 juta hingga RM103.40 juta). Menurut sebuah syarikat pemikir Britain, Chantham House, kumpulan lanun di Teluk Aden telah merampas lebih 30 kapal kargo dan menjadikan perairan sepanjang 3,300 kilometer di benua Afrika itu antara yang paling berbahaya di dunia, selain mengancam laluan penting perdagangan antara Eropah dan Asia.

Menurut syarikat itu, kumpulan lanun di Teluk Aden menerima bayaran tebusan antara AS$500,000 hingga AS$2 juta (RM1.7 juta hingga RM6.89 juta) bagi pembebasan setiap kapal kargo yang dirampas pada tahun ini. Ini menyebabkan banyak syarikat perkapalan dan pengangkutan terpaksa berhadapan dengan risiko kerugian, ancaman dan jaminan keselamatan anak kapal yang tidak menentu. Keadaan ini sudah tentu akan memberikan impak yang negatif kepada perkembangan pesat industri maritim global jika masalah dan kegiatan lanun ini tidak ditangani sebaiknya.

Dalam laporan bertajuk "Ancaman Perdagangan Global, Suapan Perang Tempatan", syarikat itu berpendapat, kumpulan lanun cuba mengubah laluan kapal perdagangan di laluan tersebut yang digunakan oleh lebih 20,000 kapal setiap tahun. Situasi ini menyebabkan peningkatan kos operasi dan penghantaran kargo di samping kenaikan kos itu ditambah lagi dengan peningkatan harga minyak dan tempoh pelayaran. Tambahan pula premium risiko insurans juga telah meningkat sebanyak 10 kali ganda pada tahun ini ekoran kegiatan lanun antarabangsa yang semakin berleluasa.


RUJUKAN

'Somalia perlu beri kerjasama tangani lanun', Utusan Malaysia, 27 September 2008
Lanun bebas kapal MISC, Berita Harian, 28 September 2008
Pembebasan dua kapal MISC hadiah hari raya, Berita Harian, 30 September 2008
Keganasan lanun di Somalia, Utusan Malaysia, 31 Ogos 2008
Kegiatan lanun gugat perdagangan antarabangsa, Utusan Malaysia, 3 Oktober 2008
Lanun Somalia sasar wang tebusan, Berita Harian, 3 Oktober 2008
Mangsa terpaksa bayar hingga RM103.4 juta, Berita Harian, 3 Oktober 2008
Lanun Somalia serang 4 lagi kapal, Utusan Malaysia, 4 Oktober 2008
Kapal Ukraine hanya dibebas selepas wang tebusan dibayar – Lanun, Utusan Malaysia, 4 Oktober 2008
PBB gesa dunia bersatu lawan lanun, Berita Harian, 4 Oktober 2008