Ada apa dengan Ph.D?


Memiliki ijazah Ph.D atau ijazah doktor falsafah adalah impian hampir semua orang tidak kiralah sama ada berada di lapangan pendidikan, politik, korporat dan sebagainya. Ini adalah kerana selain gelaran atau pangkat Dr. di pangkal nama, Ph.D juga melambangkan prestij dan klimaks tahap pendidikan tertinggi seseorang. Semua sedia maklum bahawa untuk menggenggam segulung ijazah tertinggi itu bukan mudah, rumit dan memerlukan pengorbanan dan komitmen yang sangat tinggi sama ada berbentuk material, fizikal dan persediaan minda yang cukup kental.

Bagi membolehkan seseorang dianugerahkan ijazah ulung itu, mestilah melalui proses pengajian yang lama, tahap kajian dan penyelidikan tinggi dan sangat bermutu diperlukan di samping terdedah dengan kaedah penulisan dan pembentangan serta mempunyai kemahiran komunikasi baik. Di samping itu, dapat memahami, menilai dan membuat hipotasis sesuatu kajian serta mengumpul fakta, analisis, tafsiran, teori, data, ujian dan hujah sangat penting bagi mempertahankan hasil kajian dan penyelidikan mengikut metodologi yang bersesuaian dengan bidang yang diambil.

Kebiasaannya bagi mereka yang berada di lapangan pendidikan, memiliki Ph.D adalah lumrah tetapi bagi ahli politik pula, kejayaan mempunyai ijazah itu membuktikan kehebatan dan kecemerlangan mereka yang tersendiri. Ini telah dibuktikan oleh Datuk Seri Dr. Shahidan Kassim, lulusan Ph.D sains politik dari Universiti Utara Malaysia (UUM) tahun lepas dan pada tahun ini, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi pula menyusul dengan tesis Ph.D beliau berkenaan komunikasi kemanusiaan di Universiti Putra Malaysia (UPM) yang masing-masing memperolehi ijazah berkenaan ketika berkhidmat sebagai wakil rakyat.

Ini adalah suatu yang sangat membanggakan rakyat Malaysia kerana di dalam keadaan serba sibuk mengurus hal ehwal rakyat, mereka masih mampu bertungkus lumus dan berjaya menggenggam ijazah yang sangat-sangat bernilai itu. Kejayaan mereka yang berjaya mengenggam ijazah tertinggi ini secara positifnya mampu membakar semangat rakyat Malaysia yang dahaga ilmu pengetahuan dan tekad berusaha mengamalkan tradisi menuntut ilmu seumur hidup. Golongan yang cintakan ilmu ini wajar diangkat sebagai ikon dan sumber inspirasi kepada orang ramai dalam usaha mewujudkan masyarakat berilmu mengetahuan atau k-masyarakat.

Di samping itu, dunia politik negara juga diwarnai dengan kehadiran ramai lagi ahli politik sama ada di barisan kerajaan dan pembangkang yang bijak dan memiliki Ph.D dari universiti dalam dan luar negara seperti Datuk Seri Dr. Rais Yatim, Datuk Dr. Abdullah Md. Zain, Datuk Dr. Zambry Abdul Kadir, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkasy, Dr. Mujahid Yusuf, Dr. Dzulkifli Ahmad dan ramai lagi sekadar menyebut beberapa nama yang membuktikan negara dan parti politik arus perdana mempunyai barisan pemimpin dan ahli Parlimen masing-masing yang hebat dan berpendidikan tinggi.

Keadaan ini sudah tentu memberi cabaran dan motivasi kepada orang ramai untuk memiliki ijazah Ph.D dan menjadi aspirasi kepada graduan universiti terutamanya untuk terus menyambung pelajaran mereka sehingga ke peringkat ijazah tertinggi. Bagi mereka cemerlang dan tamat pengajian tetapi masih belum menerima sebarang tawaran pekerjaan, maka ini adalah masa dan peluang terbaik untuk menyambung pelajaran di dalam dan luar negara sebagai bekalan ketika memohon pekerjaan kelak dan nilai tambah kepada potensi diri seseorang.

Tambahan pula dengan dana dan peluang yang ada, kerajaan melalui Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) melancarkan program MyBrain15 yang bermatlamat melahirkan 60,000 pemegang Ph.D menjelang tahun 2023 sebagai satu usaha menambah bilangan pemegang ijazah Ph.D yang secukupnya dalam sumber tenaga kerja mahir dan bermaklumat negara. Program yang julung-julung kali ini dianjurkan kerajaan adalah sebagai persediaan kepada negara menjana dan memiliki modal insan yang berkualiti, kompeten, kompetitif dan mempunyai daya saing yang tinggi serta berfikiran glokal di samping berminda kelas pertama.

Sehingga kini jumlah pemegang ijazah doktor falsafah di Malaysia hanya sekitar 8,000 orang sahaja dan jumlah itu masih belum mencukupi di samping menghalang negara untuk mewujudkan lebih banyak ciptaan atau inovasi yang mampu menjana pembangunan negara. Untuk itu, kerajaan mahu melakukan perubahan pada senario itu dan pemegang Ph.D tempatan perlu menjadi tonggak dalam memandu inovasi negara dan tonggak kepada kejayaan program MyBrain15 adalah di tangan institusi pengajian tinggi awam (IPTA) kerana merekalah kilang melahirkan tenaga pakar tersebut pada masa hadapan.

Namun dalam keghairahan ahli politik mengejar gelaran Ph.D, terdapat di kalangan mereka yang diragui status Ph.D dan universiti yang menganugerahinya. Perkara seperti ini tidak sepatutnya berlaku memandangkan orang politik sangat dihormati dan dipercayai serta dalam perkara ini masyarakat hari ini semakin matang dan mempunyai tahap inkuiri yang tinggi. Jika perkara ini diketahui kelak, sudah tentu ianya sangat memalukan dan orang ramai akan hilang keyakinan kepada mereka. Gelaran Ph.D yang diragui atau bogus juga turut melarat kepada beberapa tokoh ternama korporat, pakar motivasi, pengamal perubatan alternatif dan ramai lagi seperti yang acapkali didedahkan oleh media arus perdana.

RUJUKAN
Wan Mohd. Mihidin Wan Kadir. Calon Ph.D perlu kuasai BI professional, Utusan Malaysia, 18 Ogos 2008
MyBrain15 tingkat jumlah pemegang Ph.D dilancar, Utusan Malaysia, 26 September 2008

Comments

Popular Posts