BERSATU MEMBANTERAS LANUN


Selepas episod pembebasan kedua-dua kapal tangki milik Malaysia yang ditawan di Teluk Aden di perairan Somalia sejak lebih sebulan lalu, lanun dilaporkan kembali mengganas dengan menyerang empat lagi kapal di luar perairan negara itu. Kejadian itu berlaku pada 1 Oktober lepas dan merupakan satu serangan lanun yang paling banyak dalam masa sehari di dalam satu kawasan di mana kapal-kapal berkenaan diserang lanun yang bersenjatakan mesingan dan pelancar roket di samping peralatan canggih seperti menggunakan Sistem Pertahanan Mudah Alih (MANPADS) selain bom pelontar roket, Sistem Lokasi Global (GPS) dan telefon satelit ketika melakukan serangan.

Serangan pertama berlaku membabitkan sebuah kapal pengangkut milik Emiriah Arab Bersatu (UAE) yang dalam perjalanan ke Eropah, namun gagal setelah kapal tersebut bertukar haluan sebelum sebuah helikopter tentera datang membantu. Kurang sejam kemudian, sebuah lagi kapal tangki membawa bahan kimia milik Filipina yang menuju ke Asia Barat dirampas, namun berjaya dihalang setelah sebuah kapal perang datang membantu. Kejadian ketiga membabitkan kapal tangki minyak milik Itali, namun digagalkan setelah kapal tersebut bertukar haluan. Kapal terakhir milik Taiwan diserang anggota lanun, tetapi kapten kapal berjaya menggagalkan usaha lanun tersebut dengan menyembur hos air ke arah mereka.

Manakala kumpulan lanun yang menahan kapal kargo Ukraine yang membawa senjata menegaskan bahawa mereka tidak akan membebaskan kapal itu selagi wang tebusan sebanyak AS$20 juta (RM68.92 juta) tidak dibayar. Malah, kumpulan lanun itu mengancam akan bertindak balas ke atas sebarang cubaan untuk menyelamatkan kapal tersebut. Lantaran itu, kerajaan Somalia telah memberi "lampu hijau" kepada negara asing untuk menggunakan strategi ketenteraan bagi membebaskan kapal tersebut.

Dalam perkembangan yang sama, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mencadangkan satu resolusi menggesa semua negara yang memiliki kepentingan dalam keselamatan maritim menghantar kapal perang dan pesawat tempur untuk menentang lanun di perairan Somalia. Draf resolusi Majlis Keselamatan PBB itu turut menggesa kapal dan pesawat 'mengambil apa juga langkah perlu' untuk menghentikan kegiatan lanun. Draf itu dirangka mengikut Bab 7 Piagam PBB yang bermaksud peruntukan itu boleh dikuatkuasakan tentera.

Berdasarkan Konvensyen Undang-Undang Laut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, (PBB) 1982 (UNCLOS) kegiatan lanun boleh ditafsirkan sebagai : “Sebarang kegiatan salah melalui keganasan dan penahanan yang dilakukan untuk dijadikan pemilikan sendiri oleh anak kapal atau penumpang sebuah kapal persendirian atau pesawat persendirian di kawasan laut terhadap sebuah kapal atau pesawat atau terhadap orang perseorangan atau harta benda yang terdapat di atas kapal atau pesawat”.

Perancis sebelum ini berusaha supaya resolusi Majlis Keselamatan PBB 1816 yang dicapai pada Jun 2008 dilaksanakan oleh negara-negara yang mempunyai kemampuan tentera laut untuk membantu negara-negara yang menghadapi masalah ancaman lanun. Resolusi Majlis Keselamatan, yang dimulakan oleh Perancis dan Amerika Syarikat serta dinaungi oleh 14 negara, antara lain membenarkan hak memburu dari laut terbuka ke arah perairan wilayah Somalia sekiranya berlaku kesalahan yang jelas.

Ini adalah kerana kegiatan lanun di Somalia kini merupakan satu bentuk trend perniagaan paling menguntungkan yang mana jumlah wang tebusan boleh mencecah jutaan dolar. Sehingga kini dianggarkan sebanyak 100 kapal masih ditahan di negara itu biarpun jumlah sebenar tawanan lanun-lanun di Somalia masih belum diketahui sehingga kini. Pada tahun ini saja dikatakan sebanyak 30 buah kapal dirampas oleh lanun malah jumlah wang tebusan yang diminta mencecah AS$10,000 (RM32,000) seorang.

Sasaran lanun ini kini turut berubah dari hanya mensasarkan kapal-kapal komersial dan perdagangan kepada kapal mewah dan perahu layar peribadi memandangkan jumlah wang tebusan yang boleh diperoleh adalah lebih lumayan. Dengan keadaan politik negara ini yang huru-hara, dan berpecah belah akibat masalah etnik, geografi dan agama ditambah pula dengan keadaan ekonominya yang sangat teruk dan selepas pertanian, kegiatan lanun dikatakan merupakan sumber ekonomi terbesar Somalia.

Masalah lanun di Somalia bukan sahaja telah mengakibatkan kegiatan rompakan dan rampasan kapal semakin berleluasa tetapi ia turut mengakibatkan bantuan makanan kepada penduduk di negara ini dan penduduk di negara Afrika lain terjejas teruk. Keadaan ini sangat menyusah dan merugikan banyak pihak. Sehubungan itu, agensi di bawah PBB, Program Makanan Dunia (WFP) dan Pertubuhan Maritim Antarabangsa (IMO) telah merayu supaya masalah ini dapat diselesaikan segera bagi memudahkan segala urusan bantuan kemanusiaan di sana.

Majlis Keselamatan PBB sebelum ini telah mengeluarkan kenyataan agar negara anggota pertubuhan ini yang beroperasi di perairan dan udara antarabangsa dapat menyumbang melalui ketenteraan laut dan udara agar melindungi dan mengambil tindakan terhadap lanun-lanun ini yang bertindak menyerang kapal-kapal dagang dan kapal yang membawa bantuan makanan. Koordinasi dan tindakan yang lebih tegas perlu diambil terhadap lanun ini oleh kerajaan Somalia, negara-negara berjiran serta Kesatuan Afrika bagi memulihkan semula keadaan.

Secara keseluruhannya, kegiatan lanun di Teluk Aden didapati telah menggugat aktiviti perniagaan antarabangsa apabila syarikat perkapalan terpaksa membayar wang tebusan antara AS$18 juta hingga AS$30 juta (RM 62.04 juta hingga RM103.40 juta). Menurut sebuah syarikat pemikir Britain, Chantham House, kumpulan lanun di Teluk Aden telah merampas lebih 30 kapal kargo dan menjadikan perairan sepanjang 3,300 kilometer di benua Afrika itu antara yang paling berbahaya di dunia, selain mengancam laluan penting perdagangan antara Eropah dan Asia.

Menurut syarikat itu, kumpulan lanun di Teluk Aden menerima bayaran tebusan antara AS$500,000 hingga AS$2 juta (RM1.7 juta hingga RM6.89 juta) bagi pembebasan setiap kapal kargo yang dirampas pada tahun ini. Ini menyebabkan banyak syarikat perkapalan dan pengangkutan terpaksa berhadapan dengan risiko kerugian, ancaman dan jaminan keselamatan anak kapal yang tidak menentu. Keadaan ini sudah tentu akan memberikan impak yang negatif kepada perkembangan pesat industri maritim global jika masalah dan kegiatan lanun ini tidak ditangani sebaiknya.

Dalam laporan bertajuk "Ancaman Perdagangan Global, Suapan Perang Tempatan", syarikat itu berpendapat, kumpulan lanun cuba mengubah laluan kapal perdagangan di laluan tersebut yang digunakan oleh lebih 20,000 kapal setiap tahun. Situasi ini menyebabkan peningkatan kos operasi dan penghantaran kargo di samping kenaikan kos itu ditambah lagi dengan peningkatan harga minyak dan tempoh pelayaran. Tambahan pula premium risiko insurans juga telah meningkat sebanyak 10 kali ganda pada tahun ini ekoran kegiatan lanun antarabangsa yang semakin berleluasa.


RUJUKAN

'Somalia perlu beri kerjasama tangani lanun', Utusan Malaysia, 27 September 2008
Lanun bebas kapal MISC, Berita Harian, 28 September 2008
Pembebasan dua kapal MISC hadiah hari raya, Berita Harian, 30 September 2008
Keganasan lanun di Somalia, Utusan Malaysia, 31 Ogos 2008
Kegiatan lanun gugat perdagangan antarabangsa, Utusan Malaysia, 3 Oktober 2008
Lanun Somalia sasar wang tebusan, Berita Harian, 3 Oktober 2008
Mangsa terpaksa bayar hingga RM103.4 juta, Berita Harian, 3 Oktober 2008
Lanun Somalia serang 4 lagi kapal, Utusan Malaysia, 4 Oktober 2008
Kapal Ukraine hanya dibebas selepas wang tebusan dibayar – Lanun, Utusan Malaysia, 4 Oktober 2008
PBB gesa dunia bersatu lawan lanun, Berita Harian, 4 Oktober 2008

Comments

Popular Posts