Sunday, October 26, 2008

BLOG PORTAL DAKWAH YANG EFEKTIF


Suatu masa dahulu media elektronik seperti televisyen dan radio merupakan antara medium utama dan efektif untuk berdakwah kepada masyarakat Islam dan bukan Islam, dan hari ini inovasi internet juga dilihat mampu mengambil tempat serta menjadi saluran terbaik yang cukup berpengaruh sebagai kaedah baru serta kontemporari bagi melaksanakan misi dakwah dan menyampaikan segala maklumat mengenai Islam terutamanya menerusi aplikasi laman blog.

Hari ini trend memiliki blog peribadi semakin popular dan menjadi gaya hidup masyarakat moden yang mesra IT. Melalui blog kita boleh menulis apa sahaja yang diminati dan inginkan serta uniknya dapat dikongsikan pula dengan pembaca di seluruh dunia tanpa batasan sempadan waktu dan negara. Hal ini telah membuka dimensi baru kepada dunia penulisan digital atau maya dan sudah tentu memberi peluang dan ruang yang sangat luas kepada proses transformasi dakwah Islam hari ini di samping medium tradisional lain.

Dalam hal ini pemikir dan pelopor gerakan dakwah terkenal seperti Hasan al-Banna, Syed Qutb, al-Maududi dan lain-lain dalam banyak tulisan serta ucapan mereka konsisten menyatakan bahawa medan dakwah terlalu luas untuk direntasi dan diceburi dalam segala sudut, maka di sini para pendakwah perlu bijak, kritis dan kreatif melaksanakan tanggungjawab dan amanah tersebut. Dalam keadaan dan realiti hari ini, mungkin aplikasi blog wajar dijadikan medium terbaik untuk merealisasikan misi dan visi dakwah di dalam masyarakat.

Secara umumnya, blog atau weblog seperti mana yang diketahui ialah catatan seharian yang ditulis dalam laman web tertentu secara talian yang disediakan secara percuma dan amat mudah memiliki serta mereka bentuknya mengikut citarasa masing-masing. Aplikasi blog hari ini berperanan sebagai medium interaksi yang membolehkan korpus ilmu, pemikiran, perkongsian dan maklum-balas dilakukan di alam maya tanpa ada hubungan secara langsung.

Menurut Ibnu Ahmad al-Kurauwi dalam tulisan beliau Berdakwah Melalui Blog (Dewan Masyarakat, 2007), pengaruh blog dalam masyarakat di Malaysia kini semakin mendapat perhatian dan ulama dalam perkara ini berijtihad bahawa aplikasi blog adalah inovasi dan teknologi yang diharuskan menurut perspektif Islam. Ini adalah kerana Islam tidak pernah menghalang teknologi seperti ini asalkan tidak bertentangan dengan syariat dan besar pula manfaatnya kepada masyarakat Islam itu sendiri.

Dalam keadaan dunia dan realiti kehidupan yang serba mencabar serta kepelbagaian kerenah sosio budaya masyarakat hari ini, memerlukan metodologi dakwah massa dan semasa harus dipelbagaikan kaedah penyampaiannya, bukan semata-mata dengan cara memberi kuliah atau ceramah sahaja. Sebagai contoh, melalui aplikasi blog umpamanya segala kuliah atau ceramah boleh dirakam dan dimuat turun oleh pendengar, segala ilmu dan pemikiran boleh dimanfaatkan oleh orang ramai tanpa had dan tempat, setiap masa dan ketika.

Penggunaan internet, blog dan teknologi-teknologi yang lain sepeti portal, hub dan sebagainya sebagai medium dakwah diyakini mampu memberi nafas baharu kepada dunia dakwah dewasa ini agar skop dan capaian dakwah di negara kita dan di seluruh dunia lebih luas, kreatif dan yang paling penting ialah ilmu itu sampai kepada masyarakat dan dalam masa yang sama masyarakat pula boleh berinteraksi serta berdialog dengan pemilik laman blog atau sebagainya.

Kemajuan dan kemudahan ICT ini secara langsung membuka ruang kepada ulama dan pemikir besar Islam seperti Dr. Yusof al-Qaradhawi, Dr. Wahbah al-Zuhayli, Dr. Muhammad Said Ramadan al-Buty dan lain-lain yang turut berdakwah melalui alam dakwah siber ini. Tokoh-tokoh ini walaupun berada di dunia yang berbeza mampu memberi pandangan, kritikan, fatwa-fatwa dan sebaginya terhadap sebarang permasalahan agama disebabkan kecanggihan dunia siber ini.

Oleh itu, dunia Islam di seluruh dunia harus mengambil kesempatan daripada kemudahan ruang maya yang dilihat mampu membina jaringan dakwah yang kuat, fleksibel dan sistematik. Pelayar internet atau sasaran dakwah pula tidak mengira bangsa dan agama boleh mengikuti kemudahan ini kerana internet boleh diakses dari seluruh dunia. Ini adalah kerana berdakwah dengan medium digital seperti melalui laman blog misalnya lebih mudah dan pantas kerana pengguna boleh mengakses internet tanpa mengira had masa dan tempat. Ini juga adalah peluang terbaik untuk menjadikan blog sebagai rujukan ilmiah berkenaan Islam dan induk kefahaman Islam yang sebenar kepada seluruh masyarakat dunia.

Ciri-ciri interaktif yang menawarkan aplikasi video, gambar, suara dan bunyi lebih menepati kehendak serta minat pengunjung laman blog terutama generasi muda umpamanya. Di sini kita dapat memaparkan keindahan dan kedamaian Islam serta menunjukkan kepada masyarakat luar bahawa Islam tidak jumud atau ketinggalan zaman. Web portal Jakim misalnya menyediakan pelbagai kemudahan seperti rujukan tafsir al-Quran daripada Pimpinan ar-Rahman, himpunan hadis daripada Mastika Hadis, e-Fatwa, e-Hadis, kemusykilan agama, Iqra’, Portal Halal, aduan awam, khutbah online dan banyak lagi yang mampu menarik perhatian ramai untuk mendalami dan mengenali Islam secara lebih dekat dan menarik.

Melalui laman blog juga kita mampu menangkis segala serangan minda dan propaganda musuh Islam seperti gerakan intelektual Barat dan para Orientalis yang sentiasa mencari jalan mengelirukan umat Islam. Jika sebelum ini musuh Islam menggunakan blog untuk mencemar nama baik Islam, menghina nabi Muhammad dan sebagainya, maka umat Islam perlu memiliki laman blog masing-masing untuk menjawab segala tuduhan dan tohmahan tersebut. Di samping itu, salah faham terhadap ajaran Islam dapat diperbetulkan serta menjadikan blog sebagai medan diskusi dan dialog antara bukan Islam atau sesiapa sahaja yang berminat dengan agama suci ini. Oleh itu, adalah menjadi kemestian kepada ahli dan pentadbir agama seperti mufti, pendidik, ulama dan setiap umat Islam umpamanya mempunyai blog sebagai medan dan wadah dakwah digital di negara kita dan di seluruh dunia.

RUJUKAN

Fathi Yakan. Apa Ertinya Saya Menganut Agama Islam ? [http://www.al-islam.com/articles/articles-m.asp ]

Ibnu Ahmad al-Kurauwi, 2007. Berdakwah Melalui Blog. Dewan Masyarakat (Julai), Dewan Bahasa dan Pustaka: Kuala Lumpur

Dakwah Jakim lebih efektif pada era digital, Utusan Malaysia, 14 Mac, 2006

No comments: